Anda di halaman 1dari 2

HIKAYAT ALI BAD SYAH/HIKAYAT MAHARAJA ALI

Hikayat Ali Bad Syah mengisahkan mengenai Raja Ali Bad Syah yang dipaksa turun dari
takhta. Ali Bad Syah merupakan seorang raja yang memerintah negeri Syam. Baginda
memerintah dengan adil. Mempunyai seorang isteri yang sangat cantik, Tuan Puteri Hasinan
dan tiga orang putera iaitu Raja Baharum Syah, Raja Tahir Syah dan Raja Badar Syah.
Setelah meningkat dewasa, putera sulungnya iaitu Raja Baharum Syah sangat nakal dan suka
membuat khianat serta aniaya dalam negerinya. “Beberapa anak menteri ulubalang
dirosakkanya, dipalunya, dibunuhnya dan tiada lain kerjanya hanya mengambil anak bini
orang…” Akibat daripada perbuatan jahat tersebut, menyebabkan rakyat jelata dan perdana
menteri bermesyuwarah dan mengadukan hal tersebut kepada Raja, Ali Bad Syah
disingkirkan daripada takhta kerajaanya serta dihalau keluar dari negeri Syam. Akhirnya,
Raja bersama keluarganya mengambil keputusan meninggalkan negerinya. Bertemu dengan
dua belas orang pencuri dan telah dirompak sehingga tinggal sehelai sepinggang. Peristiwa
Maharaja Ali terpisah dengan putera sulungnya yang ingin membuang air seni.

Bermula pengembaraan Maharaja Ali bersama isteri dan dua orang anaknya
membawa diri sehingga tiba disebuah negeri Kabitan yang raja di negeri berkenaan digelar
Raja Serdala. Baginda merupakan seorang raja yang suka bersedekah kepada fakir miskin.
Isteri Maharaja Ali bersama-sama dua anaknya turut sama pergi meminta sedekah daripada
raja tersebut. Kecantikan isteri Maharaja Ali telah menarik perhatian orang ramai termasuk
penghulu bendahari. Penghulu Bendahari menyampaikan berita kecantikan isteri Maharaja
Ali kepada Raja Serdala. Baginda meminta isteri Maharaja Ali ditahan dan anak-anaknya
dihalau. Maharaja Ali berasa sedih dan takut apabila mendengar berita tersebut, lalu
melarikan diri bersama dua anaknya meninggalkan tempat itu.

Dua hari kemudian, baginda sampai di sebatang sungai yang luas dan deras airnya.
Oleh sebab ketiadaan wang tambang untuk membayar kepada penambang, Maharaja Ali
mengambil keputusan untuk berenang mengharungi sungai tersebut dengan membawa
anaknya seorang demi seorang. Walau bagaimanapun, baginda telah dibaham buaya, anak-
anak baginda telah dijadikan anak angkat oleh penambang. Tengkoraknya berguling-guling
di tepi pantai memberi salam kepada Nabi Allah Isa yang kebetulan berjalan di pantai.
Dengan doa Nabi Isa dan takdir Allah, tengkorak itu dihidupkan ke bentuk Maharaja Ali
yang asal, dan mereka berdua berjalan ke negeri Badagra. Badagra ketika itu diperintah oleh
menteri bernama Baharum dengan keadaan negeri dalam suasana huru-hara dan tidak beraja.
Nabi Isa melantik Maharaja Ali menjadi raja. Kedua-dua anak Maharaja Ali yang dibela
penambnag memohon untuk ke negeri Badagra yang bertujuan untuk mengubah nasib hidup.
Setelah bertemu Maharaja Ali yang tidak mengenali anaknya. Mereka telah dilantik menjadi
biduanda lantaran baik pekerti, di samping merasa belas kesian akan nasib mereka.

Seterusnya, Maharaja Ali juga dikurniakan kelebihan untuk menyembuhkan orang


yang sakit. Oleh itu, Raja Serdala yang menculik isteri Maharaja Ali mendengar hal tersebut
dan menyediakan segala kelengkapan untuk belayar ke negeri itu untuk berubat kakinya.
Isteri Maharaja Ali turut dibawa bersama tetapi ditinggalkan di kapal. Setelah dihidupkan
kembali, Maharaja Ali telah diberikan rupa paras yang lagi elok dari sebelumnya, sehingga
tiada lagi yang mengenalnya dan baginda juga mengunakan nama yang lain. Kedua orang
biduanda diarahkan Maharaja Ali mengawal kapal tersebut, dan mereka berpelukan dengan
tuan puteri. Hal ini menimbulkan kegemparan, kedua biduanda ditangkap dan dihumbangkan
ke penjara untuk disula. Mereka bertemu dengan abang sulung mereka yang menjadi
penunggu pintu penjara. Esok harinya, mereka pergi mengadap menjelaskan segala-galanya.
Tuan puteri turut diarahkan mengadap untuk membuat penjelasan kepada raja, dan Maharaja
Ali telah menguji tuan puteri untuk membuktikan bahawa dia adalah isteri kepadanya.

Akhirnya, kesemua ahli keluarga Maharaja Ali bertemu kembali, dan rakyat dalam
negeri itu mengenali semula raja mereka. Raja Serdala tercengang melihat kebesaran Allah.
Maharaja Ali meminangkan seorang puteri cantik untuk Raja Serdala, dan beliau kembali ke
negerinya. Setelah selesai, maka Maharaja Ali pun tetaplah di atas takhta kerajaanya dengan
suka bersama menteri dan hulubalangnya serta rakyatnya. Maharaja Ali menjadi raja yang
adil, suka bersedekah kepada fakir dan miskin, makan minum dengan isterinya dan sentiasa
berbuat ibadat kepada Allah.

Anda mungkin juga menyukai