Anda di halaman 1dari 15

Penggunaan Bahasa dalam Hikayat Inderaputera

Hikayat Inderaputera merupakan salah satu daripada kesusasteraan bahasa Melayu yang
ditulis sebelum 1700-an. Hikayat Inderaputera juga merupakan karya agung Melayu genre
lipur lara yang sangat terkenal dan tersebar luas pada abad ke-17 hingga abad ke-19. Terdapat
beberapa unsur keindahan yang kita boleh lihat dalam karya Inderaputera, terutamanya dari
segi penggunaan bahasanya. Pada permulaan Hikayat Inderaputera sudah menampakkan
penggunaan bahasa yang indah, iaitu:

“Bahawa ini kisah ceritera Hikayat Inderaputera yang indah-indah perkataannya yang
masyur pada tanah manusia dan pada tanah jin, terlalu elok rupanya, syahdan kesaktiannya
dan terlalu pantas barang lakunya, dan sikapnya terlau baik dan rupanya terlalu amat manis
seperti laut madu, dan jejaknya sederhana, barang lakunya dan pekertinya terlalu bai”.
                                                                                                (Hikayat Inderaputera, 2007:1)

Contoh tersebut memperlihatkan keindahan bahasanya seperti ‘amat manis seperti laut madu’
yang menampakkan rupa seseorang yang terlalu manis dan elok wajahnya.

            Selain itu, Hikayat Inderaputera juga banyak menggunakan unsur keislaman dalam
penggunaan bahasa dalam karya tersebut. Hikayat Inderaputera dikitkan dengan keindahan
‘kekayaan tuhan’. Keindahan tersebut dilihat sebagai hasil Tuhan Maha Pencipta. Contoh
penggunaan bahasa yang menampakkan unsur keislaman dalam Hikayat Inderaputera adalah
seperti berikut:

“             Maka Inderaputera pun turun ke sebelah gunung itu. Maka dilihatnya beberapa
bagai pohon buah-buahan dan bagai-bagai rasanya dimakan Inderaputera. Maka
Inderaputera hairan melihat segala kekayaan Subahanahu wa Ta’ala.
Maka Inderaputera pun lalu berjalan menuju matahari hidup, beberapa melalui bukit
dan padang. Maka ada suatu padang rumputnya seperti zamryt warnanya. Maka
Inderaputera pun berjalan ke padang itu. Maka ada suatu bukit terlalu baik rupanya dan
ada airnya mengalir daripada kaki bukit itu terlalu jernih dan sejuk. Maka di bawah bukit
beberapa pohon kayu bagai-bagai rupanya dan warnanya. Maka didengar oleh
Inderaputera bunyi suara orang bernyanyi dan bersyair, dan suara orang madah dan
berpantun dan berseloka. Maka Inderaputera pun hairan seraya berhenti di sana melihat
kekayaan Allah Ta’ala yang indah-indah. Maka kenyang  rasa hati Inderaputera melihat
yang indah-indah, terlalu suka hatinya melihat. Maka Inderaputera mengucap syukur akan
dirinya dan minta doa kepada Allah Ta’ala akan ayah bondanya.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:19&20)
Bahasa yang digunakan berdasarkan contoh petikan tersebut menunjukkan terdapat unsur
keislaman yang digunakan. Penggunaan bahasa dalam Hikayat Inderaputera ini
sememangnya sangat indah dalam menampakkan unsur keislaman. Selain itu, terdapat contoh
lain yang menampakkan unsur keislaman dalam penggunaan bahasa dalam hikayat tersebut,
iaitu seperti berikut:

“....Ya ayahanda, sekalian hamba Allah itu semuanya lupa dan lalai, hanya Allah Ta’ala
juga yang tiada lupa dan lalai. Serahkanlah hambamu kepada Allah subhanahu wa Ta’ala,
ia juga memeliharakan segala hambanya.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:16)

“Setelah itu maka kata Inderaputera kepada tuan puteri, ‘Hai saudaraku, mari juga tuan
turun ke bawah mahligai ini, sebentar dilihat oleh tuan hamba kuasa Allah Subhanahu wa
Ta’ala, kalau dapat hidup segala anak raja-raja.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:101)

Di samping itu, dalam Hikayat Inderaputera juga banyak sekali digunakan perkataan ‘elok’
serta ‘merdu’ tentang apa-apa sahaja yang tampil di mata seperi bunga, binatang pandai
berpantun, kecantikan malah tentang tindakan dalam pertempuran dan lain-lainnya sebagai
ganti kepada perkataan ‘indah’. Contohnya:

“...Maka segala bidadari itu pun menanggalkan bajunya lalu turun mandi ke kolam.
Kemudian maka Tuan Puteri Kemala Ratnasari pun menanggalkan bajunya antakusuma itu.
Maka Inderaputera pun melihat rupa Tuan Puteri Kemala Ratnasari itu terlalau elok
rupanya, gilang-gemilang tiada dapat ditentangnya. Maka Inderaputera pun hairan melihat
rupa Tuan Puteri Ratnasari itu.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:37)

“Setelah bidadari itu mendengar pantun Inderaputera maka segala bidadari itu pun tertawa
seraya memandang kepada Inderaputera. Maka dilihat oleh bidadari itu rupa Inderaputera
terlalu baik paras, syahdan manis barang lakunya seperti laut madu. Maka segala bidadari
itu pun kembali mendapatkan tuan puteri.”
(Hikayat Inderaputera,2007:39)

“Setelah dilihat Inderaputera Tuan Puteri Kemala Ratnasari datang ke hadapannya, maka
dilihat oleh Inderaputera rupa tuan puteri itu, diamat-amatinya, terlalu sekali elok rupanya,
baik paras, syahdan manis barang lakunya lebih daripada laut madu.”
(Hikayat Inderaputera, 2001:43)
Contoh-contoh petikan tersebut memperlihatkan perkataan ‘elok’ sering digunakan untuk
menggambarkan sesuatu yang cantik dan indah.

            Selain itu, pantun juga turut diselitkan dalam Hikayat Inderaputera. Terdapat beberapa
pantun dalam hikayat tersebut. Bahasa yang digunakan dalam pantun tersebut menampakkan
maksud yang jelas. Contoh pantun yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti
berikut:

“Mempelam tumbuh di parit,


Dipagar Dang Ratnawali,
Katakan salam doa dagang yang gharib,
Minta dikenali.”

“Tumbuh padi tanam  halia,


Kalau halia tiada tumbuh,
Embuh kami mengenali dia,
Kalau setia tiada sungguh.”

“Tumbuh padi tanam halia,


Kalau halia tiada tumbuh,

Embuh kami mengenali dia,


Kalau setia tiada sungguh.”

“Jika halia tiada tumbuh,


Ganja dikarang akan destar,
Jika setia tiada sungguh,
Bukanlah beta anak raja besar.”

(Hikayat Inderaputera, 2007:115)

Penggunaan bahasa dalam  pantun tersebut mudah untuk difahami dan bahasa yang
digunakan juga begitu indah dan menarik untuk didengari.  Selain itu, bahasa yang digunakan
untuk pembuka kata, iaitu rangkap pertama dan kedua dalam pantun tersebut menggunakan
perkataan  yang  mempunyai unsur alam seperti halia, padi dan juga mempelam. Terdapat
contoh-contoh pantun yang menggunakan perkataan selain daripada unsur alam sebagai 
perbuka kata dalam Hikayat Inderaputera. Contoh-contoh pantun tersebut dalam Hikayat
Inderaputera adalah seperti berikut:
“Utar-utar di atas pintu,
Pakaian Jawa main rakit,
Orang sukar saja begitu,
Membuang nyawa makanya dapat.”

“Perisyai bertali rambut,


Rambut dipintal akan cemara,
Adakah besyi tahu takut,
Adakah muda gentarkan marah.”

(Hikayat Inderaputera, 2007:118)

Contoh-contoh pantun di atas menggunakan bahasa selain unsur alam sebagai pembuka kata,
iaitu pada baris pertama dan juga kedua. Selain itu, bahasa yang digunakan dalam Hikayat
Inderaputera juga halus dan indah apabila menggunakan kiasan ala tradisi pantun apabila
ingin memaklumkan bahawa beliau begitu mengagumi kecantikan dan keindahan bidadari
ketika mereka mandi laut dengan menggambarkan pelbagai bunga dan tumbuhan. Contohnya,
‘Apa dicari bayan terbang,
Rajawali menyambar dia,
Apa dicari dayang berulang-ulang,
Orang bestari mendapat dia.

(Hikayat Inderaputera, 2007:39)

‘Anak gerda mudik sekawan,


Siripnya dilanggar duduk,
Sisiknya lekat di tangan Inderaputera,
Anak Maharaja Bikrama Bispa.

(Hikayata Inderaputera, 2007:42)

Estetika atau Gaya Bahasa


Terdapat beberapa unsur estetika atau keindahan iaitu gaya bahasa yang cuba diketengahkan
oleh pengarang kepada pembaca. Antaranya ialah gaya bahasa simile, personifikasi, anafora,
antitesis, oksimoron, aliterasi dan asonansi.

Simile
Simile merupakan perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya
berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas
mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan unsur-unsur
perlambangan dan ditandai dengan bak, laksana, seperti, bagai, laksana, umpama dan
sebagainya. Antara contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam Hikayat
Inderaputera adalah seperti berikut:
"Maka diperbuat oleh pandai kayu itu seekor ikan terlalu indah-indah rupanya seperti rupa
ikan yang benar."
                                                                                           (Hikayat Inderaputera,
Halaman 6)

 "Maka ujar bayan itu, “Tiadakah ghairat hari tuanku mendengar khabar Tuan Puteri Ratna
Serigading, timang-timangannya Tuan Puteri Cenderalela Nurlela di Padang Anta Berahi di
atas mahligai yang keemasan bertatahkan mutu manikam, terlalu elok rupanya, rambutnya
seperti cincin dituang, dahinya bagai sehari bulan, keningnya bagai ditaji dibentuk, matanya
bagai timur, hidungnya bagai kuntum melur, telinganya bagai telepok layu, pipinya bagai
pauh dilayang, bibirnya bagai pati dicarik, giginya bagai delima merekah, lidahnya bagai
cerana diupam, dagunya bagai awan bergantung, lehernya bagai kumba dilarik, bahunya
bagai bahu wayang, lengannya bagai panah dibentur, jarinya bagai duri landak, susunya
bagai telur burung, dadanya bagai antaran hanyut, pinggangnya bagai tangkai bunga,
pahanya bagai paha belalang, betisnya bagai bunting padi, tapaknya bagai dua jari
hujung”."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 96)

"Maka kata bayan itu, ‘Patut sekali dengan tuanku, seperti bunga kembang sekaki,
kembangnya tidak nirmala lagi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 96)

Personifikasi
Menurut Corbett dan Connors dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012),
personifikasi bermaksud menerangkan objek bukan manusia dengan sifat manusia.
Personifikasi juga ditakrifkan sebagai sesuatu yang memberi unsur manusia atau benda hidup
kepada bukan benda hidup atau tidak bernyawa. Contohnya:
"Maka ikan kayu itu pun tertawa dan berenang dalam air itu, berpantun dan berseloka."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 6)

"Maka dilihat baginda terlalu ajaib indah-indah rupanya merak itu. Maka ditaruh baginda
di atas talam emas, maka merak itu pun mengigal di atas talam itu seraya berpantun dan
berseloka."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7)

Anafora
Menurut Corbett dan Connors dalam buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris
(2012) juga, anafora merujuk kepada pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan
perkataan pada permulaan klausa yang berurutan. Anafora digunakan bagi menghasilkan
kesan emosi yang kuat. Contohnya adalah seperti berikut :
"Maka ia pun berjalan pula beberapa melalui hutan dan padang. Maka Inderaputera pun
bertemu dengan binatang berbagai-bagai rupanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 78)
Antitesis
Menurut Umar Junus dalam buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012),
antitesis boleh ditafsirkan sebagai bentuk peletakan dua ayat atau kata yang bertentangan
dalam kedudukan berdampingan. Contohnya perkataan ayah dan bonda yang membawa
maksud berbeza tetapi diletakkan secara berdampingan dalam ayat. Begitu juga tuan dan
hamba serta makan dan minum.
"Maka Inderaputera mengucap syukur akan dirinya dan minta doa kepada Allah Ta’la akan
ayah bondanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 20)

“… tahukah akan tuan hamba jauhnya mahligai Tuan Puteri itu..”


(Hikayat Inderaputera, Halaman 67)

“…dihadap oleh segala menteri hulubalang dan bala tenteranya sekalian dengan makan
minum…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 83)
Paralelisme
Paralelisme merujuk kepada kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa-
frasa atau klausa-klausa yang berhubungan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris,
2012). Berdasarkan contoh di bawah, dapat dilihat wujudnya kesamaan struktur bagi contoh
pertama yang menyenaraikan pelbagai jenis alat muzik, manakala contoh dua pula
menyenaraikan pelbagai jenis binatang.
“… bunyi-bunyian pun berbunyilah daripada harebab, kecapi, dandi, muri, serdam, mendali,
kopak, ceracap,bangsi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 91)

“ … maka kelihatanlah tenteranya kera dan beruk dan lontong dan kongkang dan kerkah
dan siamang itupun berlompatan ...”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 118)
Aliterasi
Aliterasi merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan bunyi konsonan yang sama pada awal
kata dan yang berturutan waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa
moden waima kreatif atau bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa dalam Hikayat
Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:
“Apa ketupat padi Dang Nilam,
Temu-temu parang lengkuas,
Apa ubat hati yang dendam,
Sukar bertemu makanya puas,”

“Ke padang rimba raya,


Kumbang menyeri pekan sutera,
Kepada pemandangan sahaya,
Sedang akan isteri Inderaputera.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 121)
Berdasarkan contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan aliterasi dapat dilihat dalam
pengulangan huruf ‘t’ dan ‘m’ dalam beberapa perkataan.

Asonansi
Asonansi adalah gaya bahasa pengulangan bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau pada
setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam
puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif ata bukan
kreatif. Penggunaan gaya bahasa asonansi dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat
berdasarkan contoh-contoh berikut:
Utar-utar di atas pintu,
Sarung keris sudah dirapat,
Orang sukar sahaja begitu,
Orang arif maka mendapat.

Telak empelas di dalam padi,


Menteri duduk berdagang gelang,
Tidaklah belas hati tuan puteri,
Melihat dagang terulang-ulang.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 97)
Berdasarkan contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan asonansi dapat dilihat dalam
pengulangan huruf ‘a’ dan ‘e’ dalam beberapa perkataan.

Kesimpulan
Kesimpulannya, Hikayat Inderaputera merupakan kelangsungan daripada pengaruh Hindu
terhadap kesusasteraan Melayu. Perwatakan, tema dan plotnya menunjukkan dasar kreativiti
pemikiran yang masih kuat berkhayal terhadap alam nyata dan alam dongeng yang disatukan.
Keistimewaan Inderaputera yang dapat berkomunikasi dan bergerak di pelbagai pelosok alam
ini adalah berpunca dari world view daripada serpihan kepercayaan Hindu yang antaranya
memaparkan unsur-unsur sakti dan inkarnasi.

Walau bagaimanapun, karya ini juga sudah disisipkan dengan unsur-unsur kemelayuan
seperti unsur nenek kebayan, unsur Islam seperti penggunaan nama-nama Islam dan unsur
memuji kebesaran Tuhan. Sungguhpun begitu, penyisipan unsur-unsur Melayu dan Islam
sukar memadamkan kekentalan nilai-nilai Hindunya.
Rujukan

Daripada Buku
Abu Hassan Abdul, PhD. (2013). Modul BMK 30043 Seni Mengarang. Tanjung
Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris. (2012). Nota Kuliah Semester 1
2012/2013. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur :
Dewan  Bahasa Dan Pustaka.

Nik Hassan Basri Nik Abd Kadir. (2007). Komsas Pegangan Teras Keterampilan.
Kuala Lumpur : Icon Region Sdn. Bhd.

Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani.
(2014). Karya       Agung Melayu. Tanjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan
Idris.

Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak:


Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Rashid Idris, Siti Khairiah Mohd Zubir & Abdullah Yusof. (2004), Nilai
Estetika dalam Pantun. Tanjong Malim: Emeritius Publications.

Daripada Bab Dalam Buku


Hassan Ahmad. (2007). Hikayat Inderaputera.  Kuala Lumpur: Global Printers Sdn.
Bhd.

Raja Ali Haji. (2000). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan


Pustaka.
Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Hikayat Abdullah
Karya agung merupakan salah satu hasil peninggalan masyarakat Melayu dahulu. Hal ini
demikian kerana, karya agung merujuk hasil ciptaan seni yang mengandungi coretan dan
pemikiran penulis yang kreatif dan mempunyai daya cipta yang tinggi. Selain itu, penulis
karya terdiri daripada golongan masyarakat yang mahir dalam bidang penulisan. Penulis akan
menggarap pelbagai hasil tulisan dan cerita-cerita dengan menyelitkan pengalaman hidup,
unsur-unsur keindahan dan pelbagai gambaran seperti idealisme, nilai, pandangan hidup, adat
budi, kesedaran moral, nilai keintelektualan dan sebagainya di dalam hasil karya yang
dihasilkan. Hasil ciptaan hadir dalam bentuk hikayat- hikayat, kitab undang-undang, surat-
surat rasmi, dan sebagainya.

Selain itu, penghasilan karya agung Melayu telah mencerminkan keindahan bahasa dan
garapan idea yang bernas oleh penulis terdahulu. Hal ini demikian kerana, menurut Andri
Wicaksono (2014:3), sesebuah karya dicipta pengarang untuk dinikmati, dihayati, dan
dimanfaatkan bagi khalayak (pembaca). Oleh sebab itu, garapan idea penulis sudah tentu
menyelitkan sesuatu yang bernilai dan berguna kepada pembaca sama ada dalam bentuk
nasihat, pandangan dan falsafah atau sindiran dan kritikan.

Oleh sebab itu, karya agung Melayu menjadi satu wadah kepada penulis untuk
menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Oleh itu, karya agung Melayu seperti Hikayat Hang
Tuah, Hikayat Abdullah, Kitab Undang-undang, dan sebagainya mengandungi ciri-ciri
tertentu yang telah menjadikan karya-karya tersebut bernilai dan diangkat menjadi karya
terunggul dalam alam Melayu.

Teknik serta kemahiran menulis sesuatu karya sama ada dalam bentuk hikayat, surat, kitab,
syair, dan sebagainya bukan dimiliki oleh semua orang. Hal ini kerana, kemahiran ini
memerlukan bakat yang meliputi kreativiti serta pengalaman yang luas. Hal ini penting bagi
mencipta satu karya yang baik dan indah. Merujuk Hikayat Abdullah, penulis telah
mempamerkan satu nilai ilmu yang dimiliki oleh masyarakat Melayu Melaka pada zaman
tersebut, iaitu kemahiran menulis karya-karya seperti hikayat, syair, kita, surat-surat rasmi,
dan sebagainya. Berikut merupakan keratan petikan yang menggambarkan nilai ilmu yang
dimiliki oleh masyarakat pada zaman tersebut:
“Maka adapun perkara yang ditulis itu berbagai-bagai-bagai: ada yang menyalin hikayat,
ada yang menulis surat kiriman, ada yang menulis darihal jalan-jalan bahasa Melayu dan
syair dan sebagainya. Maka adalah masing-masing dengan pekerjaannya”.

( Hikayat Abdullah, 2007: 63) 


Berdasarkan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah memaparkan nilai ilmu yang dimiliki
oleh golongan masyarakat pada masa itu. Kebanyakan masyarakat mahir dalam penulisan
karya-karya klasik ini dan secara tidak langsung telah menggambarkan keupayaan mereka
mengenal huruf-huruf.

Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007: 78), gaya bahasa ialah cara atau ragam
bahasa yang digunakan dalam penulisan atau lisan atau pun cara pemakaian bahasa dalam
sesebuah karya atau susunan kata, frasa dan ayat yang digunakan oleh pengarang dalam karya
yang dihasilkan. Terdapat pelbagai seni bahasa yang digunakan oleh penulis dalam hikayat
ini antaranya ialah majaz perbandingan dan pertentangan.

Majaz perbandingan pula merujuk kepada penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat
membandingkan dua hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama manakala majaz
pertentangan ialah bentuk bahasa yang mengemukakan makna yang bertentangan dengan
makna yang sebenarnya.

Simile
Dalam Hikayat Abdullah ini, penggunaan majaz perbandingan dapat dilihat dengan unsur
simile. Gaya bahasa simile merupakan penggunaan gaya bahasa yang membandingkan dua
hal padahal berlainan ataupun sengaja dianggap sama. Simile juga lebih menggunakan
perkataan “seperti”, “umpama”, dan sebagainya. Sebagai contoh :
“Maka kulihat akan hal negeri Singapura daripada masa itu, seperti kelakuan perempuan
kematian suaminya: rambutnya pun kusut, mukanya pun masam, duduklah ia dengan
dukacitanya karena serinya telah tiada.” 
(Hikayat Abdullah, 2007 : 213)

Berdasarkan contoh gaya bahasa di atas, penulis menggunakan gaya bahasa simile tersebut
dengan menyamakan keadaan Singapura yang kehilangan seorang pemimpin ketika itu.
Penduduk Singapura berasa sangat sedih dan perasaan sedih tersebut dinyatakan seperti gaya
bahasa simile di atas.
Hiperbola
Penggunaan majaz pertentangan dapat dilihat dengan penggunaan gaya bahasa hiperbola.
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2005:60), perkataan hiperbola berasal daripada
bahasa Yunani yang terdiri daripada perkataan “hyper” yang bermaksud melebihi dan
“ballien” bererti meluahkan atau mengeluarkan. Dalam Hikayat Abdullah, penggunaan
hiperbola ini dapat dilihat bagaimana Abdullah menggambarkan kepanjangan rambutnya
yang tidak bercukur kerana beliau jatuh sakit.
“Hatta maka hari pun sianglah maka kurasakan badanku tiada berketahuan terlalu panas,
sebab rambutku terlalu panjang dari Singapura sampai ke Melaka tiada bercukur kerana
tiada diberi oleh mereka itu, katanya ‘nanti bentan’.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 323)


Skema Pengguguran
Selain daripada majaz perbandingan dan pertentangan yang digunakan, dalam Hikayat
Abdullah juga turut menggunakan skema pengguguran. Skema pengguguran yang dilihat
dalam hikayat ini ialah asidenton, iaitu pengguguran kata hubung. Dalam penghasilan karya,
pengguguran yang dilakukan bagi memberikan kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa
dalam sesuatu karya yang dihasilkan.

Dalam Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi telah menggunakan skema pengguguran kata
hubung ini dapat proses menggarap jalan cerita hikayat tersebut. Berikut merupakan keratan
petikan yang mempamerkan skema pengguguran dalam hikayat ini:

“ … Maka sebentar lagi datanglah baris, ada kira-kira seribu supai, dari Limbungan sampai
ke Liri itu, semuanya sekali masuk ke dalam Melaka…”

( Hikayat Abdullah, 2007 : 78)


Berdasarkan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah menggunakan skema pengguguran dalam
penggarapan cerita beliau. Hal ini kerana, beliau telah menggugurkan kata hubung ‘dan’
dalam ayat “… Limbungan sampai ke Liri, semuanya sekali masuk ke dalam Melaka…” dan
menggantikan kata hubung tersebut dengan meletakkan tanda baca koma (,) antara kedua-dua
ayat tersebut.

Peribahasa dan Perumpamaan


Selain itu terdapat penggunaan peribahasa dan perumpamaan dalam hikayat ini. Menurut
Za’ba dalam Abdullah Yusof (2012:115), peribahasa ialah susunan cakap pendek yang
melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya,
luas dan benar tujuannya. Penggunaan peribahasa dalam Hikayat Abdullah dapat dilihat pada
petikan berikut. Penggunaan peribahasa dalam hikayat ini dapat dilihat menceritakan
kelicikan akal fikiran Tuan Raffles:
“Maka sekaliannya itu adalah seperti perkataan Melayu :Mulut disuap pisang dan pantat
dikait onak. Maka bahawa sesungguhnya dalam hati Tuan Raffles terlalu banyak fikiran;
hendak dihalaukannya nyata-nyata nescaya kelihatanlah jahatnya kepada Temenggung.
Maka oleh sebab kepandaiannya dan akalnya itu :Di mata pun tiada kena, di kening pun
tiada kena .Ia melepaskan dirinya itu dengan perihal sahaja”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 182)


Perumpamaan ialah peribahasa yang mempunyai makna dua lapis. Ia terbahagi kepada dua
bahagian iaitu perumpamaan yang menyebut perbandingannya dan perumpamaan yang tidak
menyebut perbandingannya. Secara umumnya, perumpamaan ini juga disebut sebagai bahasa
kiasan. Dalam Hikayat Abdullah, penggunaan perumpamaan dapat dilihat pada petikan
berikut yang mana dalam petikan tersebut Abdullah telah memberi perbandingan mengenai
kelakuan manusia dengan menggunakan unsur alam dalam mengungkapkannya.

“Adakah pernah telaga yang keruh itu mengalir airnya jernih? Dan lagi pula katanya
jikalau di hulu airnya keruh, dapat tiada di hilirnya pun keruh juga adanya. Ibaratnya
jikalau dahulu orang yang membuat negeri Amerikan itu orang jahat, segala keturunannya
itu pun jahatlah juga adanya”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 320)

Pantun
Selain itu, dalam Hikayat Abdullah terdapat penggunaan pantun. Pantun merupakan sejenis
puisi Melayu lama yang berangkap yang mengandungi ayat pembayang dan ayat maksud.
Dalam hikayat ini, Abdullah menggunakan pantun dalam memberi nasihat.

‘Penggaga dalam timba,


Mari digoreng dalam kuali;
Seekor naga di Lautan China,
Digonggong kumbang dibawanya lari’.
‘Patah ranting di tengah rimba,
Patah di titi Malim Sidi;
Sungguhpun gajah binatang besar,
Sudahlah rezeki si ular lidi’.
(Hikayat Abdullah, 2007 : 296)

Selain daripada gaya bahasa tersebut, terdapat juga penggunaan bahasa Keling dan bahasa
Arab yang terdapat dalam hikayat Abdullah. Perkataan keling yang dikenal pasti digunakan
dalam hikayat ini ialah perkataan ‘aci’ yang bermaksud kakak. Contohnya:
“ada pun panggilannya pada bondanya itu ‘aci’, iaitu bahasa Keling, ertinya kakak dalam
bahasa Melayu”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 18)

Penggunaan bahasa Arab yang digunakan dalam hikayat ini dapat dilihat dalam petikan
berikut:

“Maka beberapa lamanya dalam hal yang demikian maka datanglah seorang orang Arab
sayid yang bernama Habib Abdullah, bangsanya Hadad. Maka adalah iaitu aulia”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 12)


Perkataan Arab sayid dalam petikan di atas merujuk kepada kelas bangsawan atau gelaran
bagi keturunan Rasulallah yang lelaki manakala aulia merujuk kepada orang agama yang
dipandang tinggi. Perkataan Al-ghaib ‘ind Allah pula bererti ‘yang tiada kelihatan itu, Allah
sahaja yang mengetahuinya’.

Kesimpulan
Kesimpulannya, Hikayat Abdullah merupakan sebuah karya agung yang unggul kerana karya
ini mempunyai nilai estetik yang tinggi dari aspek kepengarangannya. Ciri-ciri karya agung
yang terdapat dalam naskhah Hikayat Abdullah ini memperlihatkan keunggulan pengarang
dalam menyampaikan mesej kepada pembaca. Ciri-ciri karya agung seperti mesej, nilai
budaya, padangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa yang terdapat
dalam sesuatu karya ini mencetuskan idealisme pengarang dalam sesebuah karya.Dalam hal
ini, Hikayat Abdullah memperlihatkan kepengarangan Abdullah yang mampu mencetuskan
pemikiran, nilai dan pegangan atau pandangan hidup bangsa Melayu pada suatu ketika
dahulu. Sebagai contoh, Hikayat Abdullah adalah sebuah karya agung merupakan satu karya
agung yang memperihalkan pengalaman dan kisah hidup sebenar Abdulah bin Abdul Kadir
Munsyi sejak beliau dilahirkan sehingga meninggal dunia.
Selain itu, Abdullah Munsyi juga melakukan kritikan terhadap masyarakat Melayu pada
ketika itu yakni menjurus kepada sikap pemerintah yang mementingkan diri dan mudah
terpengaruh dengan penjajah dan sikap orang Melayu yang tidak mahu mengubah diri agar
menjadi lebih baik. Dalam pada itu, Abdullah Munsyi juga mengkritik golongan penjajah,
iaitu mengambil kesempatan terhadap kelemahan orang Melayu. Walaupun begitu, kritikan
yang dilakukan oleh Abdullah Munysi memperlihatkan beliau mempunyai idealisme dan
pendiriannya terhadap mesej yang hendak disampaikan. Setiap cerita yang disampaikan
dalam setiap bab Hikayat Abdullah ini mempunyai nilai keunggulan yang menjadikan
Hikayat Abdullah sebagai karya agung yang perlu dihargai oleh generasi pada masa ini.

Rujukan
Daripada Buku
Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim, Mohd Ra'in Shaari (2009). Semantik dan
pragmatic bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Abdul Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris, Seri Lanang Jaya Rohani (2014).
Karya agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Aimi Abdulkarim (2006). Pendidikan kewarganegaraan : membangun warga negara


yang demokratis untuk kelas IX. Jakarta : Grafindo Media Pratama.

Hasuria Che Omar & Rokiah Awang (2009). Kelestarian bidang penterjemahan.
Kuala Lumpur : Persatuan Penterjemah Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Hj Md Idris et. al (2014). Karya agung Melayu. Tanjung Malim :
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2005). Stilistik komsas. Tanjong Malim : Penerbit
UPSI

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007). Komsas pegangan teras keterampilan. Kuala
Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd.
Daripada Bab Dalam Buku
Hassan Ahmad (2007). Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.

Anda mungkin juga menyukai