Anda di halaman 1dari 7

SASTERA PANJI

SINOPSIS
Terdapat sebuah negeri di Tanah Jawa (Jenggala) bernama Cempaka Jajar.
Rajanya bernama Seri Inu bergelar Sang Nata. Baginda seorang raja besar
mempunyai beratus-ratus hulubalang dan banyak negeri di bawah taklukannya. Di
negeri Cempaka Jajar, baginda membina sebuah taman yang indah di mana
ditempatkan segala puteri anak-anak raja di bawah takluk baginda. Puteri-puteri
tersebut disuruh bertenun kain oleh Permaisuri. Antara puteri tersebut, seorang
daripadanya bernama Raden Puspa Kencana yang mempunyai rupa paras yang
cantik dan tidak tahu asal usulnya. Baginda dan Permaisuri menggelarnya Ken
Tambohan. Ken Tambohan sangat disayangi Baginda dan Permaisuri. Ken Tambohan
berumur empat belas tahun.

Pada suatu malam, Ken Tambohan bermimpi bulan jatuh ke pangkuannya dan
tubuh badannya terang benderang disinari bulan. Di pinggangnya pula berbelit
seekor naga. Ken Tambohan menjadi sugul dan tertanya-tanya apakah maksud
mimpi tersebut.

Baginda Sang Nata mempunyai seorang putera bernama Raden Inu Kertapati
yang juga terkenal dengan nama Raden Inu, Inu Bangsawan dan Raden Menteri.
Pada suatu malam, dia bermimpi bulan jatuh ke pangkuannya dan datang seorang
raksasa lalu melarikan bulan itu. Ayah dan bondanya berpendapat Raden Inu patut
beristeri kerana sudah berusia tujuh belas tahun. Permaisuri bertanyakan
anakandanya siapakah pilihannya namun Raden Inu tidak mencadangkan sesiapa.
Pateh menasihatkan Permaisuri meminang Puteri Ratu Banjar yang cantik dan
setaraf dengan Raden Inu.

Pada suatu hari, Raden Inu pergi berburu di dalam taman yang dipagari tempat
istana Ken Tambohan. Semasa berburu, disumpitnya burung serindit yang terus
terbang memasuki ke dalam kubah tempat Ken Tambohan bertenun. Burung
serindit itu datang kepada Ken Tambohan lalu ditangkapnya setelah gagal ditangkap
oleh dayang-dayangnya.

Raden Menteri menitahkan pengiringnya (Wira Wani) untuk mencari burung


serindit yang baru disumpit tadi. Setelah puas mencari, akhirnya sampailah hamba
tersebut di pintu kubah tempat Ken Tambohan bertenun. Hamba tersebut lalu
memberitahu Raden Inu tentang apa yang dilihat iaitu burung serindit berada di sisi
seorang puteri yang sungguh cantik. Apabila mendengar cerita hambanya, Raden
Menteri terus ke pintu kubah. Apabila terpandang kecantikan Ken Tambohan lalu
terpikatlah dia dengan Ken Tambohan. Wira Wani menasihati menasihati Raden Inu
supaya jangan jatuh cinta dengan Ken Tambohan kerana puteri itu ialah puteri
tawanan, takut dimurkai ayahanda dan bonda Raden Inu. Raden Inu enggan kembali
dan menitahkan pintu kubah dibuka. Takutkan dibunuh oleh Raden Menteri, paman
penjaga pintu kubah pun membuka pintu kubah tersebut. Raden Menteri masuk ke
dalam kubah bertemu Ken Tambohan. Dipegangnya Ken Tambohan yang hendak lari
lalu bertanya kepada Ken Tambohan, ke mana hendak pergi dan jangan takut akan
kedatangannya. Raden Menteri juga bertanyakan asal usul,nama dan apakah nama
kain yang ditenun oleh Ken Tambohan. Raden Menteri terpikat dengan Ken
Tambohan lalu memujuk Ken Tambohan dengan pujuk rayu dan cumbu-cumbuan.
Namun Ken Tambohan takut untuk menerima Raden Menteri kerana takutkan
Permaisuri murka dan lebih-lebih lagi Raden Menteri akan ditunangkan dengan
Puteri Ratu Banjar. Ken Tambohan menjadi serba salah namun akhirnya menyerah
kepada Raden Menteri. Berkahwinlah Raden Menteri dengan Ken Tambohan tanpa
diketahui Baginda Ratu dan Permaisuri.

Sang Nata dan isterinya menyedari kehilangan anaknya lalu bertanyakan Wira
Wani. Akhirnya ketahuilah mereka, Raden Menteri telah berkahwin dengan Ken
Tambohan. Perkahwinan itu dipersetujui Sang Nata kerana katanya semua itu atas
kehendak Dewata Mulia Raya namun Permaisuri menentang dengan alasan Ken
Tambohan itu anak celaka dan anak rampasan(jarahan). Lagipun jika Raden Menteri
menjadi raja, Ken Tambohan tidak layak menjadi permaisuri kerana dia anak
jarahan. Permaisuri menjadi geram dan mencari jalan untuk membalas dendam
lebih-lebih lagi apabila Sang Nata memihak kepada anaknya.

Suatu malam, Raden Menteri bermimpi Ken Tambohan ditangkap harimau lalu
ghaib dalam hutan. Kedua-dua suami isteri itu menangis kerana mengetahui
alamat mimpi akan berlaku perceraian antara mereka. Keesokan harinya, Raden
Menteri pergi ke istana menghadap Sang Nata. Kemudian, Raden Menteri pergi
menghadap bondanya. Permaisuri bertitah kepada Raden Menteri bahawa dia tidak
suka perkahwinan Raden Menteri dengan Ken Tambohan kerana Ken Tambohan
anak jarahan dan sekiranya Raden Menteri menjadi raja nanti, Ken Tambohan tidak
layak menjadi permaisuri. Permaisuri kemudian menitahkan Raden Menteri pergi ke
hutan, berburu kijang dan pelanduk.

Sepeninggalan Raden Menteri pergi berburu, Permaisuri pergi ke istana Ken


Tambohan. Permaisuri memarahi Ken Tambohan. Permaisuri menitahkan Pelebaya
membawa Ken Tambohan ke dalam hutan untuk dibunuh. Ken Tambohan dibawa ke
hutan bersama dua orang inang pengasuhnya, Ken Tadahan dan Ken Penglipur.
Apabila tiba di pohon cempaka yang berdekatan pohon angsana, Pelebaya
membuka rahsia bahawa dia dititah oleh Permaisuri untuk membunuh Ken
Tambohan kerana bersuamikan Raden Menteri. Ken Tambohan berpesan supaya
Pelebaya meletakkan mayatnya di dalam rakit dan ditaburkan bunga cempaka serta
bunga angsana. Kemudian, dihanyutkan rakit di dalam sungai. Pelebaya menikam
Ken Tambohan dan dua orang pengasuhnya. Ketiga-tiga mayat itu telah
dihanyutkan sebagaimana pesanan Ken Tambohan. Peristiwa itu dilihat oleh dewa-
dewa kayangan yang berasa dukacita melihat Ken Tambohan berserta dayangnya
mati dibunuh.

Semasa Raden Menteri dan pengiringnya mandi di sungai setelah berhenti


berburu, mereka melihat sebuah rakit berisi bunga cempaka dan bunga angsana
hanyut. Pengiring Raden Menteri berkejar-kejar untuk mengambilnya namun tidak
berjaya. Baginda cuba nengambilnya. Rakit itu datang sendiri kepada baginda.
Baginda terkejut apabila mendapati di dalam rakit itu, isterinya bersama dua orang
pengasuhnya. Raden Menteri menyesal meninggalkan isterinya. Raden Menteri
telah membunuh dirinya kerana terlalu sedih.

Berita kematian Raden Menteri dan puncanya disampaikan kepada Sang Nata.
Sang Nata terlalu sedih. Penyiasatan telah dilakukan oleh baginda dan sekalian
menteri memberitahu perkara sebenar berpunca daripada Permaisuri. Permaisuri
turut menyesal akan perbuatannya. Sang Nata memarahi Permaisuri lalu
menamparnya. Jenazah Raden Menteri dan Ken Tambohan diarak ke istana. Sang
Nata menghukum Permaisuri tinggal di luar istana untuk menjaga anjing perburuan
manakala Pelebaya dibunuh serta dibakar rumahnya.

Sang Nata berdukacita lalu memohon kepada Dewata Mulia Raya, moga-moga
anaknya dihidupkan kembali berdua. Atas belas kasihan, Betara Guru menitahkan
Betara Kala turun ke dunia untuk menghidupkan Raden Menteri dan Ken Tambohan.
Dengan nenyapu kembang gandapura dan kembang wijaya mala ke tubuh Raden
Menteri dan Ken Tambohan, maka hiduplah kembali kedua-duanya. Baginda pun
mengampunkan dosa Permaisuri. Setelah itu, Betara Kala menghidupkan pula Ken
Penglipur dan Ken Tadahan. Akhir cerita, Sang Nata menabalkan Raden Menteri dan
Ken Tambohan menjadi Ratu dan Suri Kuripan menggantikannya.


TEMA


Cerita Sastera Panji adalah tentang percintaan sesama manusia. Raden Inu
mencintai Ken Tambohan lalu mengahwininya tanpa persetujuan kedua-dua orang
tuanya iaitu Sang Nata dan Permaisuri. Permaisuri menentang perkahwinan
tersebut atas alasan Ken Tambohan merupakan anak jarahan dan tidak layak
menjadi permaisuri kelak. Kemarahan Permaisuri membawa kepada pembunuhan
Ken Tambohan dan dua orang pengasuhnya. Mayat mereka yang dihanyutkan di
dalam rakit di sungai telah dijumpai oleh Raden Menteri. Raden Menteri turut
membunuh diri kerana terlalu sedih dengan kematian isterinya. Namun, akhirnya
kedua-dua suami isteri itu dihidupkan semula oleh Betara Kala.

PERSOALAN

Tentang percintaan yang tidak mendapat restu kedua-dua ibu bapa.


Contoh: Percintaan Raden Menteri dengan Ken Tambohan ditentang oleh Permaisuri.

Tentang perbezaan antara dua darjat.


Contoh: Ken Tambohan tidak disukai oleh Permaisuri kerana dia anak jarahan yang
tidak diketahui asal-usulnya.

Tentang sikap dendam-mendendami.


Contoh: Permaisuri mencari jalan membunuh Ken Tambohan kerana marah dan
dendam terhadapnya, lebih-lebih lagi Sang Nata tidak menentang perkahwinannya
dengan Raden Inu.

Tentang kasih sayang suami terhadap isteri.


Contoh: Raden Menteri sanggup membunuh diri kerana terlalu cinta akan isterinya.

Tentang perbuatan jahat dibalas kejahatan.


Contoh: Permaisuri dihukum menjaga anjing perburuan manakala Pelebaya dihukum
bunuh dan rumahnya telah dibakar.

WATAK &PERWATAKAN

RADEN INU KERTAPATI

Seorang putera kepada Sang Nata dengan Permaisuri.

Seorang anak tunggal,tidak mempunyai adik-beradik.

Seorang yang juga dikenali sebagai Raden Inu, Inu Bangsawan dan Raden
Menteri.

Berumur tujuh belas tahun. Misalnya, ayahanda dan bondanya berkata dia sudah
patut beristeri kerana telah berusia tujuh belas tahun.

Seorang yang suka berburu. Contoh: Berburu bersama kedayan-kedayannya


dalam taman yang dipagari kota batu tempat terbinanya istana Ken Tambohan.

Seorang yang pandai memujuk. Contoh: Memujuk Ken Tambohan dengan pujuk
rayu dan cumbu-cumbuan sehingga Ken Tambohan menyerah lalu mereka
berkahwin.

Seorang yang berani. Contoh: Berani melanggar larangan kedua-dua ibu bapanya
dengan mengahwini Ken Tambohan.

Seorang yang percaya kepada alamat mimpi. Contoh: Percaya kepada mimpinya
iaitu Ken Tambohan yang ditangkap oleh harimau lalu ghaib ke dalam hutan
membawa alamat akan berlaku perceraian antara dia dengan isterinya.

Seorang yang taat perintah orang tuanya. Contoh: Menunaikan perintah


Permaisuri untuk pergi berburu kijang dan pelanduk di hutan.

Seorang yang penyayang. Contoh: Sanggup membunuh diri apabila mendapati


isterinya telah mati kerana terlalu sayang akan isterinya.

Seorang yang akhirnya telah dilantik menjadi Ratu Kuripan.

KEN TAMBOHAN

Seorang puteri tawanan yang tidak diketahui asal-usulnya.

Berumur empat belas tahun.

Seorang yang berwajah paling cantik dalam kalangan puteri tawanan. Contoh: Ken
Tambohan disayangi oleh Sang Nata dan Permaisuri kerana kecantikannya.

Seorang yang mempunyai dua orang inang pengasuh iaitu Ken Tadahan dan Ken
Penglipur.

Seorang yang pandai menenun kain. Contoh: Raden Menteri memuji kain tenunan
Ken Tambohan.

Seorang yang merendah diri. Contoh: Membahasakan dirinya,patik yang hina


kerana dia anak tawanan.

Seorang yang berjiwa sensitif. Contoh: Mudah menitiskan air mata. Ketika dipujuk
rayu oleh Raden Inu, Ken Tambohan menangis teramat sangat menghempaskan
dirinya.

Seorang isteri kepada Raden Menteri. Contoh: Setelah dipujuk rayu, akhirnya Ken
Tambohan bersetuju menjadi isteri kepada Raden Inu.

Seorang yang mati dibunuh. Contoh: Ken Tambohan mati dibunuh oleh Pelebaya
atas arahan Permaisuri.

Seorang yang akhirnya telah ditabalkan menjadi Permaisuri Kuripan.

CIRI-CIRI SASTERA PANJI

Temanya tentang percintaan iaitu percintaan antara Raden Inu dengan Ken
Tambohan.

Cerita berakhir dengan kegembiraan iaitu Raden Inu dan Ken Tambohan
dihidupkan kembali dan dilantik menjadi Ratu dan Suri Kuripan.

Terdapat watak pembantu iaitu Inang Pengasuh Ken Tambohan, Ken Tadahan
dan Ken Penglipur.

Wira dan wirawati terdiri daripada anak raja iaitu Raden Inu dan Ken Tambohan
ialah anak raja.
Cerita berasal dari tanah Jawa. Misalnya, Raden Inu dilantik sebagai Ratu Kuripan.

Ada unsur Hindu iaitu adanya dewa-dewa.

Percaya kepada mimpi iaitu Raden Inu percaya akan mimpi.

LATAR MASYARAKAT

Masyarakat tanah Jawa.


Contoh:Raden Inu berasal dari negeri di Jenggala (tanah Jawa) iaitu negeri Cempaka
Jajar.

Masyarakat yang penyayang.


Contoh:Raden Inu dan Ken Tambohan saling menyayangi.

Masyarakat yang suka berburu.


Contoh: Raden Inu dan pengiringnya pergi berburu.

Masyarakat yang percaya kepada alamat mimpi.


Contoh: Ken Tambohan dan Raden Inu percaya akan alamat mimpi mereka.

Masyarakat feudal.
Contoh: Ketua pemerintah ialah Raja (Ratu).

Masyarakat yang percaya kepada dewa-dewa.


Contoh: Raden Inu dan Ken Tambohan dihidupkan kembali oleh dewa Betara Kala.

Masyarakat yang suka akan hiburan.


Contoh: Rakyat jelata bersuka ria dengan tarian dan hiburan semasa pertabalan
Raden Inu.

NILAI & PENGAJARAN

NILAI

Kasih sayang
Contoh: Raden Inu sangat sayang akan isterinya,Ken Tambohan.

Pengorbanan
Contoh: Raden Inu sanggup berkorban demi isterinya.

Keinsafan
Contoh: Apabila melihat kematian anaknya, Permaisuri menyesal.
Kemaafan
Contoh: Setelah Raden Inu dan Ken Tambohan dihidupkan kembali, Sang Nata
memaafkan Permaisuri.

Merendah diri
Contoh: Ken Tambohan merendah diri apabila bertemu Raden Inu.

PENGAJARAN

Kita hendaklah sayang-menyayangi antara manusia.


Raden Inu sayang akan Ken Tambohan.

Kita hendaklah merendah diri.


Ken Tambohan merendah diri ketika bertemu Raden Menteri.

Kita hendaklah sanggup berkorban demi kasih sayang.


Raden Inu sanggup membunuh diri kerana sayang akan isterinya.

Kita hendaklah insaf akan perbuatan kita yang lalu.


Permaisuri insaf akan perbuatannya membunuh Ken Tambohan.

Kita mestilah memaafkan kesalahan orang lain.


Sang Ratu memaafkan kesalahan Permaisuri.

Kita janganlah dendam-mendendami antara satu sama lain.


Perlakuan Permaisuri yang mendendami Ken Tambohan kerana berkahwin dengan
anaknya,Raden Inu janganlah kita ikuti.

Kita janganlah suka menghina orang lain.


Perbuatan Permaisuri yang memandang hina terhadap Ken Tambohan kerana Ken
Tambohan anak tawanan yang tidak diketahui asal-usulnya janganlah kita contohi.

Kita mestilah taat kepada pemerintah.


Rakyat sangat taat kepada perintah Sang Nata.

Anda mungkin juga menyukai