Anda di halaman 1dari 1

Nilai-nilai murni yang dahulunya kaya dalam diri masyarakat kian terhakis lantaran daripada tuntutan mengejar kekayaan

dan kebendaan. Amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni bukanlah merupakan satu amalan baru bagi kita rakyat Malaysia. Budi bahasa didefinisikan kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia. Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang terutamanya sebagai ahli KRS agar segala tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Sudah menjadi warisan keluarga di mana dari kecil lagi kita telah sentiasa diasuh dan diterapkan dengan sikap bersopan santun dan berbudi bahasa. Kita telah dididik supaya sentiasa hormat-menghormati, bertutur dengan sopan, bantumembantu, merendah diri, jujur dan amanah dan berbagai lagi bagi menjadi seorang yang berbudi bahasa. Dalam unit beruniform KRS, saya harus mengamalkan nilai berbudi bahasa supaya dapat bergaul mesra sesama ahli. Jika mengamalkan nilai berbudi bahasa, saya akan dihormati oleh orang lain. Dengan sikap yang lemah lembut dan berbudi bahasa, saya akan dipandang mulia oleh ahli yang lain. Malah, mereka akan suka berdampingan dan bergaul dengan saya kerana sentiasa berhemah dan bersopan santun dalam percakapan dan perlakuan. Amalan berbudi bahasa akan memudahkan komunikasi sesama ahli dalam KRS. Sahsiah diri dan kemahiran sosial dapat dipupuk melalui pengamalan nilai berbudi bahasa dalam unit beruniform KRS. Kemahiran sosial merujuk kepada kemampuan seseorang untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan ahli KRS yang lain. Amalan murni ini harus dipupuk dan disemai sejak daripada kecil lagi bagi memastikan generasi muda kenal akan warisan turun-temurun sejak zaman berzaman. Sebagai ahli dalam KRS, saya perlu beradab, bersopan santun serta bertoleransi bagi memastikan urusan dan aktiviti KRS berjalan dengan lancar dan efektif. Apabila dalam perbincangan, pelbagai pandangan dan idea boleh dikongsi antara sesama ahli. Pengamalan nilai berbudi bahasa akan mencerminkan keperibadian seseorang dan dapat melahirkan rasa hormat antara satu sama lain, jadi perbincangan dalam sesuatu aktiviti dalam unit akan menjadi mudah dan cepat. Janganlah kita hanya berjaya dalam meraih kemajuan kebendaan tetapi mundur dalam mencapai keperibadian mulia. Berdasarkan salah satu objektif KRS iaitu melahirkan generasi pelajar yang mengetahui, memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni serta mampu memberikan sumbangan demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara, nilai berbudi bahasa merupakan asas pencapaian objektif di atas. Jadi, kita harus sentiasa mengamalkan sifat berbudi bahasa dengan siapa jua sekalipun tanpa mengira status, kaum dan agama. Setiap tutur kata harus dijaga, tingkah laku harus tertib dan sentiasa bersopan santun ketika berinteraksi dalam unit beruniform.

Anda mungkin juga menyukai