Anda di halaman 1dari 5

Dalam Sulalatus Salatin, episod Singapura Dilanggar Todak digambarkan melalui seorang

yang mahir ilmu agama bernama Tuan Jana Khatib telah berkunjung ke Singapura. Tuan Jana
Khatib berjalan di pekan Singapura sehinggalah ke pintu peranginan raja. Di situ, Tuan Jana
Khatib telah menilik atau merenung pohon pinang sehingga pohon itu terbelah dua dan kejadian
itu berlaku di hadapan permaisuri raja. Raja telah menitahkan hukuman bunuh keatas Tuan
Jana Khatib kerana menganggap Tuan Jana Khatib sengaja ingin menunjuk-nunjuk
kebolehannya di hadapan permaisuri. Beberapa lama kemudian, Singapura menerima bencana
besar iaitu bencana serangan todak. Ramai rakyat jelata telah terkorban. Nyawa rakyat terus
melayang apabila Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkotakan betis.
Kemudian datang seorang budak yang pintar mencadangkan agar mereka berkotakan batang
pisang. Akhirnya berkat cadangan pintar seorang budak, serangan todak telah berakhir. Tetapi
budak tersebut telah dijatuhi hukuman bunuh akibat hasutan para pembesar terhadap raja.
Mereka merasa bimbang kebijaksanaan Hang Nadim akan menggugat raja apabila dia besar
kelak.
Soalan : Apakah signifikannnya episod Singapura dilanggar todak dalam Sulalatus Salatin?
Jawapan : Episod Singapura dilanggar todak merupakan antara episod awal dalam
perkembangan penulisan Sulalatus Salatin. Episod ini berlaku jauh lebih awal dari penemuan
Melaka. Jadi, episod Singapura dilanggr todak berada dalam episod pengenalan terutama dalam
pengisahan perkembangan kerajaan Melayu Melaka. Episod ini mempunyai signifikan terhadap
beberapa episod awal dalam Sulalatus Salatin terutama apa yang berkait dengan daulat, derhaka,
kesetiaan, dan kecintaan terhadap tanahair.
Episod ini menjadi pengukuh kepada segenap pernyataan yang berlaku lebih awal. Ia merupakan
satu penanda penting dalam Sulalatus Salatin terutama sekali apa yang berkaitan dengan daulat,
derhaka, kesetiaan, dan cinta negara. Episod ini ingin memunculkan peringatan atau pedoman
kepada rakyat dan raja. Segenap yang telah menjadi waad atau perjanjian antara rakyat dan raja
mestilah dipegang erat tanpa mengira apa situasi yang berlaku. Waad yang berlaku antara
Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana benar-benar menemui ujiannya dalam episod ini.
Pertama, apabila Tuan Jana Khatib menggunakan kebolehannya menyebabkan pinang terbelah
dua. Paduka Seri Maharaja menafsirkan apa yang dilakukan oleh Tuan Jana Khatib sebagai suatu
keaiban dan penghinaan terhadap baginda kerana pada masa perbuatan itu berlaku permaisuri
baginda berada di tingkap istana. Lanatara itu tanpa usul periksa, dengan amukan amarah dalam
jiwanya baginda telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Tuan Jana Khatib. Tuan Jana
Khatib dibawa ke hujung negeri untuk dibunuh iaitu di tempat orang membuat bikang. Darahnya
menitis dan badannya ghaib serta merta. Tukang membuat bikang menutup darah Tuan Jana
Khatib dan perempuan itu menjadi kaya raya hasil dari bikangnya. Manakala bikang yang
menutup darah Tuan Jana Khatib menjadi batu. Disebutkan juga bahawa badan Tuan Jana Khatib
ditemui di Langkawi sebagaimana pantun ini :

Telur itik dari Singgora,


Pandan terdandar di batang tuli
Darahnya titik di Singapura,
Badan terhantar di lengkawi.
Yang penting adalah pembunuhan Tuan Jana Khatib disusuli beberapa kejadian aneh. Badannya
lenyap dan bikang menjadi batu. Perempuan pembuat bikang menjadi kaya. Peristiwa ini kalau
dirujuk semula sama sebagaimana berlaku ketika ladang huma kepunyaan Wan Empuk dan Wan
Malini bertukar rupa. Padi menjadi emas, daun menjadi perak, batang padi menjadi tembaga
suasa, dan tanah di sekitarnya menjadi warna emas. Ia berlaku akibat ketibaan tiga orang putera
Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama tiba di Bukit Siguntang. Ketibaan tiga putera
dan diikuti dengan waad yang berlaku. Keanehan kejadian sebenarnya memberi satu simbol atau
petanda kepada impak perisitiwa itu kepada masyarakat dan negara.
Soalan : Apa kaitan impak darah Tuan Jana Khatib yang titik di Singapura sedang badan
terlantar di Langkawi?
Jawapan : Penulisan Sulalatus Salatin adalah bertujuan untuk iktibar dan pedoman kepada anak
cucu yang kemudian. Atau dengan lebih mudah kepada bangsa Melayu dan keturunan Melayu
yang terkemudian dari episod penceritaan yang termuat dalam Sulalatus Salatin. Keanehan ini
mungkin bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat akan impak peristiwa yang berlaku. Jika
ladang Wan Empuk dan Wan Malini yang bercahaya membawa kepada terjadinya waad, maka
kematian Tuan Jana Khatib adalah implikasi kepada waad itu. Suatu kesilapan atau perlanggaran
yang disengajakan akan memberi kesan besar kepada rakyat dan negara. Kegaiban badan Tuan
Jana Khatib adalah untuk memberi kesan kebesaran dan ketinggian golongan agama dan orang
berilmu. Golongan ini penting untuk masyarakat dan negara. Pembunuhan Tuan Jana Khatib
adalah kematian ilmu dan kebijaksanaan. Yang hilang dari bumi Singapura adalah kebijaksanaan,
ilmu dan kemuliaan agama. Yang tinggal hanya titik darah yang akhirnya memberi kesan buruk
kepada Singapura. Ia sebenarnya peringatan kepada masyarakat. Segenap yang telah dipersetujui
bersama seperti waad harus dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak.
Kelalaian akan memusnahkan. Ini adalah mesej penting dalam episod ini. Paduka Seri Maharaja
hanya melihat secara lapis dasar tentang kebiadaban Tuan Jana Khatib. Tidak pula melihat secara
mendalam terhadap waad yang telah lama tertera antara rakyat dan raja. Signifikannya di sini
adalah kebijaksanaan dalam membuat tindakan. Generasi berilmu harus dihormati bukan dengan
mudah dipinggirkan atau dinafikan kebolehan mereka. Raja tidak langsung dinasihati dan
akhirnya berlaku pembunuhan yang merugikan rakyat dan negara.
Impak kepada rakyat pula adalah untuk sentiasa merendah dan mentaati raja. Setinggi mana pun
ilmu jika dilakukan pada jalan silap akan memberi mudarat kepada rakyat dan negara.
Kemahiran dan kebolehan Tuan Jana Khatib yang digunakan pada tindakan yang tidak

sepatutnya berlaku. Ilmu untuk membawa masyarakat mendekati agama dan memartabatkan
Islam bukan menjadikan kekeliruan dan konflik dalam masyarakat. Golongan berilmu harus
bertindak bijaksana dengan itu akan lahir impak yang lebih positif dan terarah kepada
keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Ia sebenarnya satu gejala dari perlanggaran waadat.
Apa yang diperlukan dari rakyat adalah ketaatan dan kesetiaan dalam pelbagai dimensi seperti
tidak menunjuk-nunjuk kebolehan selain untuk kebaktian terhadap negara, tidak
menyalahgunakan ilmu yang memudaratkan masyarakat, dan kepatuhan serta setia akan
pemerintah.
Hubungan rakyat dan raja harus harmoni. Tidak harus berlaku ada yang melanggar atau
membelakangkan waad. Pada garis halusnya raja melihat Tuan Jana Khatib berbuat derhaka
terhadap baginda. Maka perintah bunuh dikeluarkan tanpa sebarang usul periksa. Sekali lagi kita
diperingatkan dengan tindakan dan kebijaksanaan. Kejadian itu seperti memberitahu bertindak
sederahana jangan ekstrim. Raja yang ekstrim terus menganggap Tuan Jana Khatib derhaka.
Tuan Jana Khatib ekstrim menunjukkan kebolehan semata-mata membuang batang pinang yang
menganggu pandangan. Kesederhanaan, keprihatinan, dan kebijaksanaan boleh mengelak insiden
yang memberi kesan buruk kepada sesiapa sahaja. Ekstrim amalan yang boleh merosakkan
masyarakat dan negara. Inilah peringatan dari kejadian ini.

Soalan : Tuan ada menyebut tentang penanda dan impak dalam Sulalatus Salatin. Jika dilihat
pada episod Singapura dilanggar todak ia berlaku selepas dari kejadian pembunuhan Tuan Jana
Khatib?
Jawapan : Serangan todak adalah impak kepada kezaliman yang berlaku. Masyarakat menerima
kesan langsung daripada kejadian kematian Tuan Jana Khatib. Singapura menjadi huru hara dan
rakyat dalam keadaan panik. Serangan itu membunuh ramai rakyat Singapura. Langkah
pertahanan dibuat dengan begitu tergesa-gesa dan tanpa perancangan. Rakyat diminta
berkubukan betis, serangan todak tidak juga berkurangan.

Inilah implikasi besar kepada Singapura. Keamanan yang selama ini dikecapi berakhir dari
serangan bukan negara lain atau musuh bersenjata tetapi serangan todak. Rakyat terpaksa
membayar harga yang mahal hanya kerana kesilapan melanggar waad yang telah tertanda dalam
hubungan raja dan rakyat. Ia adalah peringatan atau penanda bahawa kezaliman, kesilapan,
kelalaian, dan kebodohan boleh membawa kehancuran kemakmuran negara.
Sepatutnya peristiwa kejadian kematian Tuan Jana Khatib menjadi iktibar untuk rakyat dan
pemerintah bertindak lebih bijaksana. Sekali lagi digambarkan dalam episod ini kesilapan
berlaku. Kemunculan seorang budak memberi nasihat untuk berkubukan batang pisang diguna
pakai oleh Paduka Seri Maharaja. Rakyat dikerah menebang batang pisang dan diletakkan di tepi
pantai. Serangan todak dapat dihentikan dan Singapura kembali aman.
Keamanan yang terhasil akhirnya membawa kesan baru terutama kepada budak yang memberi
idea tadi. Pembesar yang penuh dendam, dengki dan iri hati menghasut raja bahawa budak pintar
ini akan melawan baginda pada satu ketika kelak. Paduka Seri Maharaja sekali lagi merasakan
akan berlaku derhaka dan baginda tanpa berfikir panjang menyuruh budak itu dibunuh.
Episod Singapura dilanggar todak sebenarnya mengulangi peristiwa terdahulu. Jika Tuan Jana
Khatib menggunakan ilmu dan kelebihan tanpa sebarang tujuan dibunuh raja maka budak yang
bijaksana akal fikirnya memberi nasihat untuk menyelamatkan rakyat dan negara turut dibunuh
kerana dibimbangi akan menderhaka atau membawa keburukan kepada raja. Jelas kejadian
membunuh budak pintar adalah kezaliman dan kesilapan yang secara sengaja dibuat. Pemerintah
tidak lagi berpegang kepada waad sebaliknya bertindak zalim membunuh. Pembesar kalaupun
memberi nasihat dan pandangan tetapi merupakan nasihat yang merugikan dan berbaur dendam
kesumat. Inilah aspek politik dan kenegaraan yang disarikan dalam Sulalatus Salatin. Pemerintah
berpegang pada keadilan. Pembesar berpaksi kepada kesetiaan dan amanah. Rakyat bergantung
kepada taat setia dan tidak derhaka. Unsur-unsur kepentingan diri melampau kepentingan negara
akan memusnahkan tunas dan akar kemakmuran. Sama ada ia berlaku pada raja atau pembesar
sekalipun rakyat. Kepentingan diri boleh merosakkan kemakmuran dan membawa kepada
kemudaratan.
Budak pintar yang terjelma dalam kejadian tersebut sekali lagi melambangkan ilmu,
kebijaksanaan dan kepintaran. Tuan Jana Khatib digambarkan sebagai orang yang tinggi ilmu
agama manakala budak pintar adalah implikasi terhadap kebijaksanaan dalam membuat
keputusan dalam pentadbiran atau pengurusan. Ia berlandaskan konsep setiap rakyat mempunyai
hak untuk mempertahankan negaranya. Tidak kira golongan muda atau tua yang penting adalah
memberi bakti kepada negaranya. Kebijaksanaan tidak mengukur status usia. Kepentingan
golongan muda dalam memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kemajuan negara
dijelaskan dengan kehadiran watak budak pintar. Generasi muda harus bertindak ke arah
mendaulatkan negara bukan merosakkan. Inilah yang dilakukan oleh budak itu. Kehilangan
budak pintar bermakna kehilangan masa depan buat masyarakat dan negara.
Soalan : Apakah yang dapat disimpulkan dari episod yang dibincangkan ini?
Jawapan : Episod awal Sulalatus Salatin adalah sebagai gambaran kesan sebab akibat jika

berlaku perlanggaran kepada apa yang diterima sebagai taat setia, daulat, dan derhaka. Ia adalah
peringatan agar semua pihak harus berpegang kepada prinsip yang diterima bersama secara
mutlak. Tidak ada pihak yang harus melanggar prinsip kerana kesannya begitu besar untuk
ditanggung oleh masyarakat dan negara.
Keilmuan dan kepintaran menjadi aset kepada kemajuan negara. Mereka yang berilmu dan pintar
akan dapat memberi sumbangan berguna untuk memajukan negara. Yang penting ilmu dan
kepintaran digunakan pada jalan yang betul dan bermanfaat. Golongan ini amat penting dalam
memacu makmur, kedaulatan, dan kesejahteraan negara.
Generasi muda adalah pemimpin masa depan. Mereka perlu diasuh dan dididik untuk menjadi
orang yang dapat memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Jika golongan ini
diabaikan negara akan kerugian dan memberi kesan buruk dari sudut sosial, politik, dan
sebagainya.
Setiap orang harus berupaya memberi yang terbaik untuk negaranya.
Soalan : Terima kasih tuan
Jawapan : Terima kasih kembali

Facebook

Twitter

Google Buzz

StumbleUpon

Digg
Delicious

http://mimbarkata.blogspot.my/2013/03/dialog-sastera-singapura-dilanggar-todak.html

Anda mungkin juga menyukai