Anda di halaman 1dari 9

NILAI KEMANUSIAAN

NILAI KEMANUSIAAN

Kemanusiaan bermaksud perihal manusia, sifat – sifat manusia (Kamus Dewan, Edisi Ketiga, K.L 1994,
hlm.859)

Sifat – sifat manusia itu meliputi hal – hal yang baik dan murni iaitu sifat – sifat yang dituntut sebagai
suatu yang seharusnya dimiliki oleh seorang yang bernama manusia kerana kelebihan kejadian sifat
manusia yang dianugerahi akal dan budi di samping nafsu. Sifat – sifat manusia itu dilihat juga dari sifat –
sifat yang berlawanan atau sesuatu sifat yang berdasarkan hawa nafsu semata – mata. Sifat – sifat
buruk, keji dan hina.

Perikemanusiaan pula bermaksud, “sifat – sifat yang wajar bagi manusia (seperti bertimbang rasa,
tolong – menolong, mengasihi dan sebagainya).

Berperikemanusiaan bermakna, “mempunyai perikemanusiaan (seperti perasaan bertimbang rasa,


tolong – menolong mengasihi dan sebagainya).

Ketidakperikemanusiaan bermaksud, “perihal tidak mempunyai perasaan perikemanusiaan.

Unsur – unsur kemanusiaan akan dilihat dari dua sudut iaitu;

a) Kemanusiaan yang positif atau berperikemanusiaan. Termasuklah nilai – nilai baik, murni dan
mengutamakan nilai kemanusiaan. Sifat – sifat seperti adil, berbudi bahasa, berjasa, bertimbang rasa,
setia, sanggup berkorban, nasihat menasihati, rendah diri dan sebagainya.

b) Kemanusiaan yang negative atau ketidak-perikemanusiaan iaitu sifat – sifat jahat dan buruk yang
menepikan nilai – nilai kemanusiaan. Termasuk dalam sifat – sifat kejam, ganas, perasaan dendam dan
iri hati, pemarah, emosional, belot, tamak, haloba, cemburu, zalim dan sebagainya.

Kemanusiaan Yang Positif (Mengutamakan Nilai Kemanusiaan)


1 Adil dan Bijaksana

Sulalatus Salatin menyebut dengan jelas tentang beberapa orang raja dan pembesar Melaka yang
mentadbir Melaka dengan penuh sifat – sifat adil dan bijaksana. Mereka mengutamakan tanggungjawab
dan amanah sebagai ketua negara bagi menjamin kehidupan rakyat dalam aman dan damai. Antara
Sultan Melaka yang memiliki sifat adil dan saksama ialah:

a) Sultan Mansur Syah. Sulalatus Salatin menyebut tentang sifat baginda sebagai:

“….. terlalu baik parasnya, serta dengan adilnya lagi murah; seorang pun raja – raja di dalam alam ini
tiada sepertinya pada zaman itu.”

b) Sultan Alau’d-Din Riayat Syah juga terkenal sebagai seorang Sultan yang adil dan
bertanggungjawab. Baginda sanggup menyamar sebagai rakyat biasa bagi mengetahui sendiri tentang
kawalan keselamatan yang dilakukan oleh pembesar – pembesar negeri dengan tujuan mengatasi
masalah kecurian di Melaka.

c) Raja Kecil Besar juga seorang pemerintah yang digambarkan sebagai:

“Terlalulah adil saksama baginda pada memeliharakan segala rakyat, seorang pun tiada raja – raja dalam
alam ini sepertinya pada zaman itu, lagi dengan murahnya.” (Sulalatus Salatin, hlm.72)

2 Berjasa dan Berbakti

Dalam konteks pemerintahan feudal raja memiliki kuasa mutlak. Rakyat dan pembesar akan memberi
tumpuan dan menumpahkan sepenuh taat setia serta berbakti kepada raja. Sebagai pembalasan dan
rasa penghargaan di atas bakti yang dicurahkan, sultan memberi anugerah atau kurnia sama ada dalam
bentuk persalinan, barang – barang berharga seperti emas, permata atau kurniaan pangkat kebesaran
dan gelaran – gelaran tertentu.

a) Jasa bakti Tun Perak sewaktu angkatan Siam menyerang Melaka. Tun Perak memegang jawatan
penghulu orang – orang Kelang. Kejayaan Tun Perak menyekat kemaraan Siam serta serangan Siam
hingga menyelamatkan Melaka tanpa pertumpahan darah telah mendapat pengiktirafan yang tinggi
daripada Sultan Muzaffar Syah. Tun Perak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja.
Jika mengikut adat dan peraturan Melaka, Tun Peraklah yang sepatutnya menduduki jawatan sebagai
Bendahara Melaka setelah ayahandanya Bendahara Seri Wak Raja mati (minum racun) tetapi oleh
kerana Seri Nara Diraja sangat berpengaruh (jasanya menaikkan Sultan Muzaffar Syah di atas takhta)
maka jawatan Bendahara dipegang oleh Seri Nara Diraja.

Tun Perak seolah – olah membawa diri ke Kelang dan dilantik sebagai Penghulu Kelang. Sebagai seorang
anak pembesar, darah pembesar tetap mengalir dalam diri Tun Perak. Kewibawaan beliau sebagai tokoh
pemimpin yang berkaliber tetap terserlah. Beliau tidak pernah “merajuk” dalam melaksanakan tugas
dan berbakti kepada Melaka walaupun ia tersingkir daripada jawatan yang menjadi “haknya”. Ini jelas
apabila raja mengerahkan seluruh pahlawan daripada segenap pelosok negeri berkumpul di Melaka bagi
menghadapi serangan Siam.

b) Jasa bakti Tun Telanai dan Menteri Jana Putera serta utusan Melaka yang pergi ke Siam kerana
berhasil menjalinkan hubungan baik antara Melaka dengan Siam mendapat penghargaan Sultan:

“Maka baginda pun terlalu sukacita, serta memberi anugerahi persalin Tun Telanai dan Menteri Jana
Putera serta segala utusan Siam itu.” (Sulalatus Salatin, hlm.111)

3 Sifat Bertimbang Rasa dan Diplomasi

Sifat ini juga sangat jelas dalam beberapa tindakan yang dibuat terutamanya oleh pihak pemerintah
yang menentukan sesuatu dasar atau tindakan. Dengan wujudnya sifat kemanusiaan yang murni ini,
beberapa perkara buruk yang melibatkan kemusnahan dapat dihindari.

a) Raja Iskandar Zul – Karnain sewaktu menyerang negeri Kida Hindi telah berjaya menawan negeri
tersebut. Raja Kida Hindi telah diIslamkan, begitu juga dengan segala pembesar dan rakyatnya. Puteri
Raja Kida Hindi telah diIslamkan dan dijadikan isterinya. Tindakan Raja Iskandar jelas mengandungi nilai
– nilai kemanusiaan yang sangat mulia kerana pada kebiasaannya dalam peperangan, negeri yang kalah
bermakna rajanya terpaksa turun takhta. Tetapi kerana kemanusiaan, Raja Iskandar terus
“membenarkan” Raja Kida Hindi memerintah dan membimbing baginda kepada agama yang diredai.

b) Sultan Alau’d-Din Riayat Syah adalah terkenal dengan sifat – sifat adil dalam membuat keputusan
yang wajar demi untuk menjaga keamanan Melaka. Dengan tindakan baginda, telah memberi
keselesaan kepada kehidupan rakyat. Tindakannya telah memberi kesedaran kepada pembesar –
pembesar negeri yang bertanggungjawab dalam soal – soal keselamatan untuk bekerja dengan lebih
bersungguh – sungguh bagi mengembalikan keamanan dan menjamin keadaan aman berpanjangan
dengan menguatkuasakan undang – undang dan hukuman.
4 Memberi Nasihat dan Pengajaran

Nasihat – menasihati antara satu dengan yang lain amatlah dituntut dalam mengatur kehidupan agar
tidak tergelincir daripada landasan kemanusiaan yang murni dan abadi. Golongan tua biasanya betindak
sebagai penunjuk ajar, memberi pengajaran kepada yang lebih muda dengan harapan tindakan yang
dilakukan tidak melampaui batas – batas kemanusiaan serta dapat berlaku adil, tidak menimbulkan
masalah atau beban kepada golongan masyarakat dibawahnya. Unsur nasihat dan pengajaran ke arah
kebaikan demi kesejahteraan hidup amat jelas melalui wasiat – wasiat. Malah jenis wasiat amat kaya
dengan unsur nasihat dan pengajaran.

a) Wasiat pada Raja Mamad (Sultan Mahmud Syah)

“Hei anakku, adapun engkau hendaklah banyak – banyak sabar dan ampunmu akan segala hamba
sahayamu dan baik – baik memelihara akan dia; kerana firman Allah Taala serta pada segala yang sabar.
Dan jikalau datang kepada dua pekerjaan Allah daripada pekerjaan dunia. “Hendaklah engkau sangat –
sangat menyerahkan dirimu ke hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu kerana wa man
yatawakkal’ala’Allah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia
dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahanmu,
seperti kata Arab, Al – ‘abdi tinu’l – maulana, yang hamba itu, tanah tuhannya. Jikalau engkau bunuh ia
tiada dengan dosanya, bahawa kerajaanmu binasa. Hei anakku, hendaklah engkau turut dan engkau
ingatkan wasiatku ini dan engkau kerjakan supaya berkat diberi Allah subha na wa taala.” (Sulalatus
Salatin, hlm.186-187)

5 Keimanan dan Ketakwaan

Sifat – sifat ini berkait dengan amalan agama Islam. Dengan mengamalkan sifat ketakwaan manusia
akan hidup lebih sempurna. Dalam Sulalatus Salatin, banyak peristiwa – peristiwa yang berkaitan dengan
soal – soal keimanan ini diceritakan terutama dalam episod – episod seperti:

a) Raja dam pembesar Melaka menuntut ilmu agama yang datang dari Jeddah. Sultan Mahmud dan
Bendahara Seri Maharaja pernah belajar agama pada Makhdum Sadar Jahan.

b) Kerajaan Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah telah melaksanakan hukuman
mengikut Islam iaitu hukuman potong tangan kepada mereka yang melakukan kesalahan mencuri.
c) Raja – raja Melaka memerintah dengan penuh adil dan saksama sebagai suatu tuntutan sifat – sifat
yang mulia dan terpuji di sisi agama Islam.

Kemanusiaan Yang Negatif (Ketidakperikemanusiaan)

Tindakan manusia yang melampaui batas – batas kemanusiaan demi mencapai tujuan dan tujuan
tertentu. Sifat – sifat kejam atau tidak berperikemanusiaan jelas dilihat daripada tindakan membunuh
sama ada demi untuk mencapai tujuan – tujuan tertentu atau sebagai salah satu hukuman yang
dikenakan kerana melanggar undang – undang dan peraturan.

1 Kekejaman dan Keganasan

Tindakan kejam dan ganas sering terjadi dalam mana – mana perlawanan senjata atau dalam masa
pertempuran dan peperangan.

a) Sidi Asma Yaumi’d – Din dijatuhkan hukuman dipenggal kepala kerana keengganannya berpisah
dengan Sultan Maliku’l – Mansur. Hukuman kejam ini diceritakan dalam Sulalatus Salatin:

“Maka oleh Sultan Maliku’t – Tahir disuruhnya kerat kepala Sidi Asma Yaumi’d – Din, kepalanya dibuang
ke laut dan badannya disulakan di kapal Pasai.” (Sulalatus Salatin, hlm.64)

b) Pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Dalam episod ini, langsung ditunjukkan
bagaimana tidak wujudnya rasa kemanusiaan pada diri Hang Tuah dalam melaksanakan tugasnya atas
titah raja. Sungguhpun Hang Jebat menderhaka kerana membela kebenaran iaitu membela hukuman
tidak adil bagi yang dikenakan ke atas diri Hang Tuah sendiri, namun Hang Jebat tetap dihapuskan
kerana perbuatannya adalah bersalah di sisi undang – undang zamannya. Sulalatus Salatin
menceritakan:

“….. maka Hang Jebat pun tertikam pada dinding pintu, lekat kerisnya. Maka segera ditikam oleh Hang
Tuah dari belakangnya terus ke hulu hati.

Maka kata Hang Jebat, “Hei Tuah! Demikiankah lelaki menikam mencuri dan mengubah waadnya?
Engkau dua tiga kali lekat kerismu, aku suruh tanggalkan juga; aku sekali lekat kerisku engkau tikam.”
Maka sahut Hang Tuah, “Siapa bersetia dengan engkau orang derhaka.”

Maka ditikam pula seliang lagi, maka Hang Jebat pun matilah. (Sulalatus Salatin, hlm.142)

2 Sifat Dendam

Sifat dendam merupakan suatu sifat yang keji kerana pada kebiasaannya sifat ini membawa kepada
kemusnahan atau tindakan kejam iaitu membunuh. Banyak kejadian bunuh yang diceritakan dalam
Sulalatus Salatin berpunca daripada perasaan dendam. Ini jelas daripada pristiwa:

a) Dendam Sultan Mahmud Syah pada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir kerana tidak
menunjukkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepada baginda sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali. Sultan
Mahmud mengetahui bahawa Bendahara mempunyai seorang anak gadis yang amat cantik setelah
menghadiri perkahwinan Tun Fatimah dengan Tun Ali. Sultan Mahmud amat tertarik apabila melihat
kecantikan Tun Fatimah. Sulalatus Salatin menceritakan:

Baginda berkata dalam hatinya, “Jahatnya Pak Mutahir ini, demikianlah baik anaknya, tiada ditunjukkan
kepada kita.”

Maka Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanya akan Bendahara Seri Maharaja. (Sulalatus
Salatin, hlm.251)

b) Dendam Sultan Maliku’t - Tahir pada saudaranya Sultan Maliku’l - Mansur disebabkan kesilapan
Sultan Maliku’l - Mansur mengambil salah seorang dayang istananya tanpa kebenaran. (Sulalatus Salatin,
hlm.63) Ketika kejadian ini berlaku, Sultan Maliku’t - Tahir dalam perjalanan pulang setelah
diselamatkan oleh pembesar – pembesarnya kerana ditawan oleh Raja Syahru’n Nuwi. Ketika sampai ke
Jambu Air:

“….. dan khabar Sultan Maliku’l – Mansur pun telah kedengaranlah. Maka Sultan Maliku’t – Tahir pun
menaruh dendamlah kepada hatinya akan adinda baginda, hingga tiada dikeluarkannya.” (Sulalatus
Salatin, hlm.63)

3 Sifat Cemburu
Perasaan cemburu merupakan suatu sifat yang akan membawa kepada tindakan di luar batas – batas
kemanusiaan. Perasaan cemburu sering dikaitkan dengan perasaan marah dan tindakan membalas
dendam dibuat secara emosional. Biasanya akan melibatkan pembunuhan tanpa belas kasihan seperti:

a) Pembunuhan Tuan Jana Khatib semasa pemerintahan Paduka Seri Maharaja, zaman kerajaan
Singapura adalah disebabkan oleh rasa cemburu membabi buta. Ketika Tuan Jana Khatib lalu di hadapan
istana, Raja Perempuan berada di pintu peranginan. Tuan Jana Khatib menunjukkan keahliannya dalam
menilik pohon pinang hingga pohon pinang itu terbelah dua. Kejadian ini dilihat oleh Paduka Seri
Maharaja. Timbul rasa cemburu kerana menganggap perbuatan Tuan Jana Khatib cuba menarik
perhatian Raja Perempuan. Tuan Jana Khatib disuruh bunuh. (Sulalatus Salatin, hlm.67)

b) Perasaan cemburu gundik – gundik Raja Iskandar zaman kerajaan Singapura terhadap gundik
kesayangan raja iaitu anak kepada Sang Rajuna Tapa. Perasaan cemburu yang meluap – luap akhirnya
membawa kepada usaha memusnahkannya. Timbul fitnah yang mengatakan bahawa gundik kesayangan
raja berbuat jahat. Raja Iskandar sangat marah. Tanpa usul periksa, ia dijatuhkan hukuman sula di
hujung pasar. Hukuman ini menyebabkan Sang Rajuna Tapa menanggung malu:

“Jika sungguh sekalipun anak hamba berbuat jahat, bunuh ia, mengapakah diberi malu demikian?”
(Sulalatus Salatin, hlm.69)

4 Menyebabkan Fitnah

Fitnah timbul bersabit dengan iri hati, dengki dan cemburu dengan kelebihan dan kebolehan orang lain.
Salah satu cara yang paling singkat untuk membalas sakit hati dengan tujuan memusnahkan orang yang
dengki ialah dengan mengadakan fitnah. Seringkali yang tidak bersalah menjadi mangsa. Hukuma yang
diterima amat kejam dan menyeksakan iaitu hukuman bunuh atau sula. Unsur fitnah jelas dalam
Sulalatus Salatin, antaranya:

a) Fitnah yang dibawa oleh Raja Mendeliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan yang terlibat
menyampaikan berita kepada Sultan Mahmud bahawa Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir hendak
menderhaka. Laksamana Khoja Hassan turut terlibat apabila ia disogokkan dengan harta emas yang
banyak. Kitul pula menyampaikan berita kepada Raja Mendaliar dan mendapat habuan lumayan, iaitu
hutang – hutangnya dilangsaikan. Manakala, Sultan Mahmud pula setelah mendengar berita tersebut
diibaratkan “orang mengantuk di sorong bantal.” (Sulalatus Salatin, hlm.275). Baginda telah lama
menaruh dendam pada Bendahara kerana tidak menunjukkan anaknya Tun Fatimah sebelum
dikahwinkan dengan Tun Ali. Lebih – lebih lagi perasaan berahi sultan pada Tun Fatimah begitu meluap –
luap. Fitnah Raja Mendeliar berhasil. Seluruh keluarga Bendahara dihukum bunuh kecuali Tun Fatimah.
Sudah tidak ada pertimbangan dan rasa kemanusiaan lagi dalam diri Sultan Mahmud. Mereka yang tidak
berdosa turut menjadi mangsa keganasan dan kebuasannya. Ini semua berpunca daripada angkara
fitnah.

b) Fitnah pembesar negeri yang menaruh perasaan dengki dan cemburu kepada kebolehan dan
keistimewaan yang diberikan oleh Sultan Mansur Syah pada Hang Tuah. Hang Tuah telah difitnahkan
berkehendak dengan salah seorang dayang raja. Tanpa berfikir panjang dan tanpa menyiasat terlebih
dahulu, Sultan mengeluarkan perintah menghukum Hang Tuah yang begitu berjasa kepada Melaka.
Dalam keadaan marah, tidak ada lagi pertimbangan baik buruknya hukuman itu sungguhpun Seri Nara
Diraja cuba menasihatkan baginda agar Hang Tuah jangan dihukum bunuh kerana dia pahlawan yang
gagah berani. Sultan tetap dengan keputusannya.

NILAI - NILAI MURNI

1. Keberanian

Watak Tun Husin yang merupakan anak kepada Tun Perpatih Hitam. Tun Husin yang berani menegakkan
kebenaran dan mempertahankan maruah bapanya Tun Perpatih Hitam. Contohnya, Tun Husin sanggup
dan berani berlawan dengan Laksamana demi mempertahankan bapanya daripada dibunuh oleh
Laksamana. Tun Husin sanggup berlawan dengan Laksamana walaupun dia tahu bahawa dia akan mati di
tangan Laksamana.

2. Kesetiaan

Watak Laksamana dan Temenggung yang sentiasa ada dengan Bendahara Melaka ke mana sahaja
Bendahara pergi. Laksamana dan Temenggung sangat setia dengan Bendahara. Mereka sanggup
membunuh demi mempertahankan dan meenjaga keselamatan Bendahara. Contohnya, mereka
sanggup membunuh Tun Husin dan Tun Perpatih Hitam demi menjaga keselamatan Bendahara Melaka
itu. Bagi mereka, Bendahara merupakan orang yang penting di Melaka pada ketika itu.

3. Bertanggungjawab
Contoh: Tun Mutahir, Bendahara Melaka menjalankan tanggungjawabnya sebagai bendahara dengan
baik sekali. Dirinya disenangi oleh rakyat Melaka kerana sikapnya yang baik dan menjaga hal ehwal
orang dagang.

4. Kasih - Sayang

Contoh: Walaupun Sultan Mahmud Syah berkeinginan untuk memiliki Puteri Gunung Ledang dan
mengutuskan Laksamana Hang Tuah untuk mendapatkan Puteri Gunung Ledang buatnya untuk
dijadikan isteri. Namun, untuk mendapatkan Puteri Gunung Ledang baginda perlu memenuhi
permintaannya. Namun, kesemua yang disenaraikan dapat dituruti kecuali semangkuk darah anak
baginda tidak dapat dipenuhi. Jelaslah baginda sangat menyayangi anaknya demi cinta baginda terpaksa
ketepikan rasanya itu.

5. Bijaksana

Kebijaksanaan penting dalam kepimpinan. Kebijaksanaan pemimpin mampu menjadikan sesebuah


negeri itu lebih maju daripada yang lain. Hal ini dapat dilihat dalam kisah serangan Siam ke atas Melaka.
Siam berniat untuk menyerang Melaka tetapi dengan kebijaksanaan Tun Perak, Siam telah tewas. Tun
Perak menyuruh supaya memasang obor sekeliling pokok dan apabila tentera Siam datang, mereka
terpedaya dengan menyangkakan bahawa tentera Melaka terlalu ramai.

6. Nilai Menghormati Tetamu.

Nilai ini merupakan satu nilai yang wajar diterapkan dalam kalangan pemimpin. Dalam urusan negara
dan politik , hubungan sesama ahli negara atau pemerintah haruslah dijaga dengan baik. Sultan
Mahmud Syah menghormati tetamunya iaitu Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah. Baginda melayani tetamu
dengan baik iaitu memberikan tempat tinggal dalam negeri dan mengahwinkan saudaranya dengan
Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah.

Anda mungkin juga menyukai