Anda di halaman 1dari 4

SINGAPURA DILANGGAR TODAK

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera diucapkan kepada barisan Hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.
Pada pagi yang berbahagia ini, saya akan menyampaikan sebuah cerita bertajuk
Singapura Dilanggar Todak.
Pada suatu ketika beratus-ratus tahun dahulu Singapura telah diserang ikan
todak. Secara tiba-tiba, beratus-ratus ikan todak melompat ke arah pantai
Singapura dan menikam ramai rakyat Singapura yang sedang berada di tepi
pantai. Ramai rakyat Singapura mati terkena tikaman todak hingga keadaan
darurat berleluasa di seluruh negeri.
Sultan yang merajai Singapura amat terperanjat dengan berita serangan todak
ini. Baginda pun pergi ke pantai untuk melihat sendiri malapetaka yang telah
menimpa negeri itu. Baginda berasa sedih kerana melihat ramai rakyat jelata
mati dibunuh oleh ikan todak.
Untuk mengatasi masalah ini, baginda memerintahkan rakyatnya berkubukan
betis di sepanjang pantai agar ikan-ikan todak tidak lagi dapat menyerang.
Malangnya, lebih ramai pula rakyat yang mati apabila kaki-kaki mereka ditikam
oleh ikan todak.
Pada waktu itu juga hidup seorang kanak-kanak lelaki yang pintar lagi cerdas
bernama Hang Nadim. Hang Nadim pada ketika itu baru berusia tujuh tahun!
Setelah menyaksikan serangan kejam ikan todak ini, Hang Nadim pun mempunyai
buah fikiran untuk melawan serangan ikan-ikan todak yang kejam. Tanpa
berlengah lagi, Hang Nadim pun memohon menghadap Sultan Singapura yang
telah mati akal dan tidak lagi dapat memimpin negerinya dengan baik.

"Tuanku, patik rasa jika kita terus menyuruh hamba rakyat menggunakan betis
mereka untuk menahan serangan ikan todak, lebih ramai rakyat Singapura yang
akan mati Tuanku," sembah Hang Nadim ke hadapan Sultan.
"Hai si kecil, adakah kamu mempunyai cadangan yang lebih baik untuk beta?"
Sultan pun bertanya kepada Hang Nadim.
"Ya Tuanku! Patik rasa adalah lebih baik jika kita menggunakan batang-batang
pisang untuk melawan serangan ikan-ikan todak itu," jawab Hang Nadim.

"Batang pisang? Bagaimana caranya wahai Hang Nadim?" tanya Sultan dengan
penuh hairan.
"Kita boleh menggunakan batang-batang pisang sebagai kubu di sepanjang pantai
negeri kita. Apabila ikan-ikan todak menyerang, jongor todak akan terlekat pada
batang pisang. Apabila ikan-ikan todak ini sudah terlekat, nah rakyat sekalian
boleh menetak kesemuanya hingga mati," hujah Hang Nadim.
Apabila kata-kata Hang Nadim didengar oleh Sultan Singapura, baginda sedar
akan kebenarannya. Tanpa berlengah lagi, baginda pun memerintahkan semua
rakyat negeri itu untuk menanam batang-batang pisang di sepanjang pantai untuk
dijadikan kubu.

Akhirnya, terbukti buah fikiran Hang Nadim berjaya mendatangkan hasil dan
ikan-ikan todak semuanya berjaya ditewaskan dan negeri Singapura akhirnya
terselamat.
Sultan Singapura berasa sungguh gembira dan baginda pun menghujani Hang
Nadim dengan hadiah-hadiah yang istimewa. Baginda amat bersyukur kerana
negeri Singapura dikurniakan dengan seorang kanak-kanak yang sungguh pintar
lagi cerdas.
Malangnya, para pembesar negeri itu berasa sangat iri hati dan dengki dengan
kepintar-cerdasan Hang Nadim. Mereka takut kalau-kalau Hang Nadim akan
mengambil tempat mereka sebagai penasihat di-Raja dan kelak Hang Nadim akan
menjadi lebih berpengaruh dan lebih berkuasa berbanding mereka.
"Budak lelaki ini masih kecil tetapi dia sungguh bijak. Apabila dia besar nanti,
tentu akan menjadi lebih bijak. Aku yakin Sultan akan mengambilnya sebagai
penasihat tertinggi baginda," kata Tun Bendahara yang menjadi ketua kepada
para pembesar negeri yang lain.
"Hang Nadim mesti dibunuh, saudara-saudaraku! Aku akan memujuk Raja untuk
membunuh budak itu dengan sokongan kalian semua," tambah Tun Bendahara
dengan marahnya.
Para pembesar negeri pun bersepakat untuk menghasut Sultan agar membunuh
Hang Nadim. Mereka menasihati Sultan agar membunuh Hang Nadim yang pintar
cerdas itu kerana takut apabila besar kelak, dia akan menjadi lebih cerdik.
Malah, mereka berjaya menyakinkan Sultan jika Hang Nadim menjadi lebih pintar
cerdas dan mencapai umur remaja, nescaya mahkota Sultan pun akan cuba
dirampasnya.

Mendengar hasutan para pembesar negeri yang tidak berasas itu, Sultan
Singapura dengan serta-merta menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa
ke atas Hang Nadim, walaupun Hang Nadim telah berjasa kepada negeri
Singapura.
Dengan kejamnya, Hang Nadim diikat dengan rantai besi lalu dihumban ke dalam
laut hidup-hidup. Semua rakyat negeri Singapura berasa sungguh sedih dengan
kematian Hang Nadim akan tetapi mereka semua berasa terlalu takut dan tidak
berdaya untuk melakukan apa-apa usaha untuk menentang kezaliman itu.
Hari ini tinggallah nama Hang Nadim dalam lipatan sejarah dunia di sebelah sini,
sebagai si kecil pintar cerdas yang telah menyelamatkan negara Singapura dari
serangan todak tetapi jasanya yang amat besar dibalas dengan kekejaman dan
kezaliman tanpa pembelaan.

Daripada cerita yang saya sampaikan tadi, dapatlah kita semua mengambil
teladan bahawa setiap masalah yang kita hadapi pasti ada penyelesaian, jika kita
menggunakan akal fikiran. Kita juga perlulah berfikiran positif dan bersyukur
dengan pertolongan yang diberikan oleh seseorang.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai