Anda di halaman 1dari 7

OLEH: AZMAH NORDIN

Kemunculan cahaya dari kenderaan yang dibelasah teruk kiri kanan oleh hujan lebat, di selekoh
jalan yang menghala ke Motel Beaufort, meresahkan amat. Ketajaman daya khayalnya yang
terlepas pada kabut hujan lebat yang jatuh mengguyur gelap malam, serta-merta berantakan dan
kebebasannya menjadi cekikan yang melemaskan. Itu jelas. Bagaimana tidak?
Kemunculan kenderaan yang mendadak di sebalik rimbunan pepohon paya bakau, di bawah
temaram cahaya lampu jalanan, tidak jauh dari kawasan motel papan dua tingkat merangkap
kedai makan itu, bagaikan jelmaan roh yang menggerunkan. Meremang bulu tengkuknya!
Aduh! Kenapa hanya pada hari ini saja, bertali arus pula motel itu disinggahi orang, kenapa
tidak sebelumnya? soal hatinya, dipagut bimbang. Hujan yang jatuh mengguyur sejak senja tadi,
terasa bagai turut menempiaskan sekujur tubuhnya kini.
Tatkala dia terkebil-kebil memerhati kenderaan yang terenjut-enjut melewati lopak air hujan di
sana sini, di sepanjang jalan menuju motel itu, sekonyong-konyong, terbayang bagaimana
semangatnya sendiri sering dibelasah dari seluruh sudut, suatu ketika dahulu, dipaksa menjual
bahagian sahamnya yang 49 peratus di
Hotel Menara Impian, untuk pecahan nilai yang jauh lebih rendah daripada harga sebenar.
Sementara dalam kemenangan, bapa saudara merangkap abang kepada arwah bapanya yang
mempunyai lingkaran luas dalam pengaruh politik tempatan itu terus tertawa berdegar-degar,
mencengkamkan pengaruhnya. Tertawa bersama-sama ketiga-tiga anak lelakinya, yang juga
saudara sepupu Salma sendiri.
Salma sedar. Situasi lingkungan tidak sedikit pun mendukung. Jelasnya, kalau orang mahu
meruntuhranapkan sebuah rumah, mula-mula sekali dia mungkin mencabut tiang serinya, satu
per satu, sebelum yang lain. Terbukti, itulah teknik yang digunakan oleh bapa saudaranya yang
mahu meruntuhranapkan seluruh semangatnya, secara serentak, memotong gaji dan dividennya,
merampas isi kandungan komputer miliknya, memalangkuncikan pejabatnya (tidak ubah seperti
yang dialami Awang semasa menjadi chef di sebuah restoran elit di dalam hotel lima bintang di
bandar raya Kota Kinabalu, beberapa bulan terdahulu itu) merenggut kerusinya dalam lembaga
pengarah,sekali gus membuka ruang bagi segelintir akhbar melontarkan nama Salma dalam
kehinaan yang tiada taranya!
Pada detik seperti itu, tangisnya tidak hanya menyirat emosi kepedihan jiwanya yang mendalam,
tetapi juga untuk kekecewaan Awang yang bagaikan tidak terungkapkan. Kekecewaan itu tibatiba sahaja mengembalikan sifat Awang yang tergagap-gagap kekhuatiran suatu ketika dahulu,
sekali gus membuatkan suaminya itu kian membungkam mulut, menggelut badai dalam diri
sendiri. Seolah-olah segala yang melanda dirinya, hanya mengingatkan Awang kembali pada

kisah getir silamnya, seperti yang kerap diulang ceritanya kepada Salma, sebelum ini.
Sejumlah masalah yang menyelimuti masa remaja Awang, di rumah usang yang terpencil, di
lereng bukit, di daerah Keningau, tempat yang pernah menyaksikan suaminya itu terlonta-lonta,
waktu kecilnya yang penuh azab dan mengerikan dalam liku-liku perjuangan hidupnya.
Matanya meratap pilu, memerhati layang-layang rumah yang tenang menujah angkasa dalam
kesuraman senja, apabila bapanya yang pemabuk dan kemaruk nombor ekor, bertukar menjadi
pendera isteri dan anak tunggal sendiri. Lalu ibu Awang membawa hati dan jasadnya yang
tercedera parah lari entah ke pelosok dunia mana, sekali gus meninggalkannya untuk dimangsai
bapa, terus-terusan.
Setiap kali menceritanya kembali, Awang akhirnya pasti tersendu keharuan dan kadangkala, tibatiba, Awang yang terus-terusan digelut gelojak dalam diri, cepat-cepat menggenggam tinju.
Kemudian, renungan tajamnya menembusi dinding rumah papan milik keluarga Salma seolaholah cuba menikmati pemandangan di sawah ladang yang sisi-menyisi dengan lebuh raya. Dapat
Salma bayangkan burung helang mengitari reban ayam ternakan ibunya, di daerah pedalaman
Keningau dahulu. Pasti mata fikir suaminya menyaksikan kembali anak-anak ayam yang baharu
tumbuh bulu, tiba-tiba ditukik dan disambar oleh helang itu dengan paruhnya yang tajam,
setajam dan sesinis sindiran bapa, semasa meluahkan kemarahan dan kekecewaan ke batang
jasadnya dahulu.
Salma sedar. Kenangan tentang anak-anak ayam yang dimangsai itu terus menukik di benak
suaminya, biarpun setelah meningkat dewasa. Biarpun ketika berusia awal belasan tahun,
khabarnya, suaminya mula membentuk diri sebagai pembantu tukang masak yang tugasnya
daripada menyiang ikan kepada mengupas kulit bawang, mencuci timbunan sisa-sisa makanan
pada pinggan mangkuk yang bertali arus datang ke dapur restoran, di samping periuk belanga
yang hitam melegam. Selepas itu, perlahan-lahan (tersangat perlahan) meningkat ke bahagian
pastri, kemudian ke bahagian memotong, di dapur sebuah hotel bertaraf sederhana, sekali gus
mengulit impian untuk membuka restoran di hotel terkemuka. Kemudian, dia baru sedar, tidak
semena-mena impiannya, jika melalui pintu dapur. Kesedaran lalu mendorongnya bekerja sambil
mengikut kelas malam dan langsung berjaya memperoleh diploma dalam jurusan Pengurusan
Perniagaan, dan jurusan Perhotelan dan Kursus Chef. Di sinilah tempatnya, Salma yang juga
mengambil kursus Perniagaan dan Pengurusan hotel ketika itu, dipertemukan jodoh dengan
Awang.
___
Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Antoi dan Pohon Usia


oleh Cerpen on No Comments
Oleh Saadiah Haji Ibrahim
Antoi melihat ada bebayang dirinya pada pohon yang meninggi mengalahkan setiap pucuk yang
cuba menyaingi ketinggiannya. Wahai pokok adakah aku ini sekukuh engkau?
Matanya langsung melekatkan seluruh pandang pada puncak pohon yang sebatang itu. Dari satu
pelepah ke satu pelapah digayutkan upaya renungan matanya. Nun jauh di puncak sana dia jelas
melihat dengan mata kasarnya, adanya percantuman kasih antara tiap-tiap pelepah itu terletaknya
belahan lorong yang menzahirkan buah yang berbagai-bagai peringkat usia.
Sedari masih putik yang pada asalnya dikandungkan oleh ampu lindung seludang, mereka
meremaja dan terus mendewasa. Apakala tiba ketika yang sesuai turunlah sekaliannya
mempersembahkan segala bakti kepada yang empunya.
Aku memang seperti engkau pada asalnya. Aku diampu dan dilindungi dengan penuh kasih
sayang terutama sewaktu aku kecil. Aku dibelai dan diberi penuh kemanjaan sehinggalah aku
menjejak remaja. Aku menjadi jatuh kasih dengan engkau kerana engkau bagaikan seiringan
denganku dalam beberapa sudut. Kata mereka, jika engkau hendak tahu dirimu, pandanglah
pada pohon itu. Pohon itu ibarat kembarmu. Engkau dilahirkan ketika bapamu sedang menanam
pohon itu. Antoi tersenyum mendengar setiap kali dia diperdengarkan mengenai asal usul diri.

Namun begitu, tidaklah dia hanya menerima dengan omongan kosong itu sebaliknya fikirannya
mengukir sesuatu yang lebih jauh daripada itu. Sememangnya dia mengerti, sebenarnya benih
pohon itu sudah pun tersedia semasa dia masih bertapa dalam rahim ibu. Janin yang menjelma
menjadi dirinya yang sempurna sebagai bayi itu pula menghantar segala tindak balas bapanya
untuk menanam pohon itu sempena kelahirannya ke alam dunia. Lantaran itu, secara tidak
langsung sebuah pengertian pun berumah di hatinya. Segalanya membawa maksud, pohon nyiur
yang sebatang itulah letak usianya.
Mata Antoi memanjati pohon yang mengembari dirinya itu. Dia merenungi puncak pohon.
Kelihatan setiap helai daunnya begitu mesra melambai-lambai. Warna hijau pada daun itu
seakan-akan menyerlahkan seribu kegembiraan. Pucuk muda yang menguning lembut baru
hendak mengurai, melebarkan sayap sambil mengucup jari angin yang melampirkan bisikan
kesetiakawanan. Oh! Aku tak begitu, desah pilu dengan tiba-tiba memasuki ruang dadanya.
Dia menangkup mukanya dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Susur matanya jatuh
menjejak permukaan tanah yang kering berpasir. Perdu nyiur yang berketak-ketak di rabanya.
Pada perdu yang membanir akarnya serta kerak mengerutu kulit yang menggeliling ketak, tempat
asal duduknya pelepah itu jelas menunjukkan suatu petanda usia yang sedang menyusur ke
angka akhir perhitungan.
Dia mulai menghitung baki usianya dengan menyusuri tebing lengan. Menyambung lagi ke sisi
lehernya. Kemudian berhenti. Lantas meletakkan 10 jarinya ke batang nyiur yang kelihatan
seperti berkedut itu. Tuamu ini tetap berhasil. Semakin lama engkau hidup semakin bermutu
buahmu, semakin besar dan semakin pekat santanmu. Tuamu hanya nampak di pangkal tetapi
apabila dilihat di atas sana, daunmu segar, buahmu sihat. Keadaanmu sentiasa dalam
kegembiraan.
Itu yang aku tak ada! Aku tak sepertimu. Kegembiraan sebegitu entah bila akan dapat
kukecapi. Dia melarikan diri sekali gus melarikan matanya ke mana-mana. Pohon buah-buahan
yang sedang mengeluarkan bunga kelihatan seperti sedang mentertawakannya. Tua dan muda
masing-masing berlumba-lumba memeriahkan proses awal penzuriatan.
Telinganya mendengar bersiung bunyi kumbang menyerikan bunga-bungaan yang kuning, yang
merah hati, yang putih dan yang hijau muda. Sampaikan pohon tangki yang menjalar seakanakan hampir menutupi permukaan sumur itu juga menyerikan alam dengan mengeluarkan bunga
yang berwarna kundang untuk dicium oleh haruan dan keli yang berenang-renang terkocakkocak menongkah lumut. Bau hanyir lumut dan tanah yang bercampur dengan air itu mengusik
liang hidungnya. Dia tidak jadi untuk berkumur lalu ditumpahkannya kembali air yang bertakung
di lengkung telapak tangannya itu ke dalam sumur. Lantas dia menyusuri tebing bilik air yang
terletak di sisi kediamannya.
Kalau engkau resah segeralah berwuduk. Suara Jumilah Daeng tiba-tiba menjelma. Maka dia
pun mencangkung di bawah pili yang berkepit dengan tembok sebelah luar bilik air itu.
Ulama kita ada berpesan, janganlah engkau berwuduk di tempat yang ada terdapat najis. Suara
Jumilah Daeng sekali lagi menyinggahi pendengarannya. Dia angguk lalu membasuh kedua-dua

belah tangannya dan seterusnya menyempurnakan wuduknya. Setelah selesai membaca doa, dia
berasa terlalu ingin untuk duduk bersenang di anjung terbuka yang terletak di hadapan
kediamannya. Dia lantas menjejaki kaki lima anjung rumah besar, tempat dia dilahirkan dan
dibesarkan. Anjung itu juga sudah dimamah usia. Bapanya mengupah tukang yang mahir untuk
membina anjung itu semasa dia belum lagi dilahirkan. Di situ dia sering duduk bersama-sama
ibu dan bapanya untuk menikmati udara pagi yang secara kebetulan menghadap ke arah matahari
terbit.
Awal kamu siap membangkit, hari ini, Hasan? tegur bapa Antoi sebaik-baik sahaja melintas
seorang pemuda di hadapannya. Pemuda itu pula diekori oleh ibu dan bapanya yang masingmasing menjinjing sebuah baldi yang diperbuat daripada zink.
Hari ini kami menyuluh kerana sekejap lagi anak kami hendak ke markas tentera. Dia dapat
tawaran menjadi askar, balas ibu pemuda itu sambil menjinjing baldi yang mengandungi getah
sekerap. Selepas mereka siap memproses getah keping, bapa Hasan menemui Haji Tahir.

Anda mungkin juga menyukai