Anda di halaman 1dari 17

SIKAP PENGGUNA ISLAM TERHADAP PENIPUAN PRODUK HALAL :

KAJIAN DI PERMATANG PAUH PULAU PINANG


Mohd. Hapiz Mahaiyadin
Roshaimizam Suhaimi
Mohd. Marbawi Taha
CITU UiTM Kampus Pulau Pinang

Penipuan produk makanan halal menjadi isu utama dihadapi para pengguna Islam di
Malaysia yang turut menjejaskan keyakinan terhadap status halal sesebuah produk. Bagi
umat Islam, menjaga kebersihan dalam setiap aspek pemakananan merupakan suatu
kewajipan syarie yang dimanifestasikan dalam konsep Halalan Tayyiban disebabkan
kaitannya dengan pembentukan fizikal, kesucian spiritual, kejernihan minda dan keberkatan
hidup. Namun, kes-kes penipuan masih berlaku walaupun pihak Kerajaan berhasrat
menjadikan Malaysia sebagai hub halal dunia. Faktor utamanya, sikap pihak pengusaha,
yang hanya memaksimumkan keuntungan di sebalik label halal di mana para pengguna
Islam pula menjadi mangsa. Justeru, kajian ini cuba meninjau secara kritis sikap umat Islam
sendiri khususnya di kawasan Permatang Pauh Pulau Pinang, berhubung kes-kes penipuan
produk halal, untuk dikenalpasti tahap sensitiviti, bentuk tindakan, dan langkah-langkah
preventif-agresif bagi mencegah kejadian tersebut daripada berulang semula. Kajian ini
turut mengemukakan beberapa cadangan bernas kepada semua pihak ; pengguna,
masyarakat, pengusaha produk dan juga kerajaan sebagai suatu usaha menjaminkan konsep
Halalan Tayyiban di Malaysia selaras dengan hasrat yang dicanangkan. Dalam hal ini,
penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya para
pengguna Islam sangat diperlukan selain para pengusaha produk makanan sendiri wajar
menghormati sensitiviti umat Islam
1.0

PENDAHULUAN

Kepentingan aspek halal dalam setiap keperluan seharian pengguna Islam umumnya dan juga
produk makanan khususnya mendapat perhatian kerajaan Malaysia. Ini sejajar dengan matlamat untuk
menjadikan Malaysia sebagai hub halal dunia. Justeru itu, pihak kerajaan telah membangunkan beberapa
garis panduan kepada para pengusaha dan pengguna seperti Standard Malaysia bertajuk Makanan
Halal:Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan Garis Panduan Umum (MS
1500:2004) di bawah Sistem Pembangunan Standard Malaysia yang di bawah tanggungjawab Jabatan
Standard Malaysia (DSM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Standard ini dibangunkan oleh
Jawatankuasa Standard Perindustrian Kebangsaan yang berkaitan dengan Halal (ISC I) yang mana telah
diwakili pelbagai organisasi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan
Pengerusi kepada Jawatankuasa Teknikal yang berkaitan untuk gambaran menyeluruh sistem
pembangunan standard di Malaysia dan kaitan ISC I di dalam sistem ini. Skop standard ini mengandungi
garis-garis panduan yang praktikal bagi industri makanan mengenai penyediaan dan pengendalian
makanan halal (termasuk penambah nutrien). Ia bertujuan menyediakan peraturan asas bagi produk
makanan serta perdagangan atau perniagaan makanan di Malaysia. Pihak JAKIM juga mengeluarkan
sebuah Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia yang mengandungi peraturan dan juga kriteria halal
yang harus dipatuhi bagi setiap permohonan sijil halal. Di dalamnya turut menyatakan beberapa
peruntukan undang-undang dan akta tertentu yang menjamin keperluan pengguna Islam khususnya bagi
mendapatkan produk makanan halal.

Pada masa kini, permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan
antarabangsa dilakukan oleh pihak Halal Industry Development Corporation (HDC) denga kerjasama
JAKIM, manakala bagi pasaran di peringkat tempatan, selain HDC, ia turut diakui oleh Jabatan/Majlis
Agama Islam Negeri (JAIN/MAIN) yang berkaitan. Namun begitu, telah berlaku pelbagai kesalahan
perniagaan produk halal yang menyalahi prosedur pensijilan Halal Malaysia. Apa yang dikesalkan ialah
pihak terbabit seakan tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam terhadap pengambilan makanan haram.
Antara kesalahan yang sering dilaporkan ialah penipuan logo halal yang tidak dipohon kepada
HDC/JAKIM/JAIN/MAIN atau sijil pengesahan halal telah luput, penggunaan sumber ramuan [bahan
mentah, bahan terproses atau bahan tambah] yang tidak halal dalam penyediaan produk makanan, dapur
hotel yang tidak mengasingkan dapur yang halal daripada dapur yang tidak halal. Begitu juga
pengendalian, pemprosesan, pembungkusan atau pemindahan produk dalam keadaan tidak bersih,
dicemari najis atau memudaratkan kesihatan menurut hukum syarak, bekalan ayam dan daging yang tidak
disembelih secara syarie, serta kilang pengeluar produk halal berdekatan dengan pusat ternakan babi dan
loji kumbahan dalam jarak kurang daripada 5 km.
Bagi umat Islam, mencari makanan yang halal adalah kewajiban ke atas setiap individu muslim.
Faktor halalan tayyiban [halal dan suci] pada makanan bukan setakat terhenti pada kandungannya yang
halal sahaja tetapi melibatkan proses penyediaan, pembungkusan dan pemasaran produk tersebut juga
mesti menuruti garis panduan halal yang ditetapkan. Sudah tentu penipuan dalam perniagaan produk halal
yang dilakukan oleh syarikat atau pengusaha bukan Islam bukan sahaja suatu jenayah di sisi undangundang tetapi lebih daripada itu, ia bagaikan sengaja memprovokasikan sentimen keislaman para
pengguna Islam.
2.0

KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian tentang respons terhadap penipuan produk halal yang juga dianggap kesalahan di sisi
undang-undang, amat penting untuk kita menilai sikap keperihatinan pengguna Islam tempatan terhadap
tuntutan agama dan juga memenuhi tuntutan hidup yang berasaskan halalan tayyiban. Tidak dinafikan
bahawa semua pengguna Islam akan marah apabila mengetahui penipuan pada produk halal akan tetapi
jarang didengar respon dan tindakan susulan mereka bagi mengatasi kemelut yang terjadi. Ini kerana
kebanyakan mereka hanya menuding diri ke arah HDCatau JAKIM dan pihak berkuasa yang berkaitan
untuk mengambil tindakan.
Apa pun berlakunya penipuan dalam produk makanan halal tidak menghairankan kerana
kebanyakan syarikat pengeluar makanan halal terbabit dimiliki oleh pengusaha bukan Islam. Mengikut
statistik JAKIM, syarikat pengusaha bukan Bumiputera yang menjalankan perniagaan produk makanan
halal berjumlah 2470 buah syarikat berbanding 1576 buah syarikat Bumiputera. Jika dipecah mengikut
status syarikat bertaraf multinasional, industri kecil sederhana dan industri kecil, jumlah syarikat bukan
Bumiputera berstatus multinasional 285 buah (70%) di samping 125 buah syarikat Bumiputera (30%),
syarikat IKS bukan bumiputera 1029 buah (63%) manakala syarikat IKS Bumiputera 609 buah (37%) dan
syarikat IK bukan Bumiputera 1156 buah (58%) berbanding 842 buah (42%) syarikat IK Bumiputera
(http://www.halal.gov.my/articles.php). Pengurus Besar HDC, Dr Nor Azman Ngah menyatakan daripada
3000 buah syarikat yang mengeluarkan produk halal di Malaysia, kira-kira 500 buah syarikat Bumiputera
sahaja yang menerima sijil halal JAKIM di mana terlibat dalam 15 jenis produk yang rata-ratanya
berasaskan makanan kering dan perubatan tradisional. Produk-produk tersebut hanya mewakili 15 peratus
daripada
keseluruhan
produk
halal
di
Malaysia
((http://www.halaljournal.com/index.php?page=article&act=show&category=0&pid=1032)
Pengusaha produk halal di kalangan bukan Islam/Bumiputera berusaha untuk mendapatkan sijil
halal JAKIM untuk tujuan keuntungan perniagaan yang boleh diperolehi dalam pasaran makanan halal di
Malaysia yang kebanyakan penggunanya beragama Islam. Akan tetapi, sebagai pengguna Islam yang

perihatin, menjadi tanggungjawab kita untuk perihatin dan memainkan peranan sebagai kuasa pengguna
untuk menyelesaikan kemelut di atas selain daripada hanya menuding kesalahan kepada pihak lain.
Syarikat-syarikat pengusaha bukan Islam yang terlibat mungkin boleh terlepas daripada pemantauan
pihak berkuasa seterusnya terselamat daripada sebarang tindakan undang-undang tetapi akan menjadi
lebih berhati-hati dan tidak akan berani mengabaikan aspek-aspek halal sekiranya operasi mereka
dipantau dengan ketat oleh para pengguna Islam. Antara bentuk pemantauan yang boleh dilakukan
termasuk melakukan siasatan berkala ke premis-premis perniagaan dengan bantuan pihak berkuasa,
membuat laporan polis sekiranya dikesan adanya penipuan, membentuk suatu komiti bertindak yang
membuat senarai hitam syarikat dan produk yang terlibat serta menghebahkannya kepada pengguna Islam
yang dikenalpasti menggunakannya, memboikot syarikat dan produk tersebut sehingga terbukti prosedur
halal telah dipatuhi.
Justeru itu, kajian ini ingin meninjau secara lebih halus reaksi susulan para pengguna Islam
terhadap kes-kes penipuan tersebut atas kesedaran dan tanggungjawab sebagai seorang muslim.
Sebenarnya, ramai di kalangan pengguna khususnya orang-orang Islam kurang arif tentang peruntukan
undang-undang berkaitan dengan Prosedur Pensijilan Halal seperti (a) Akta Perihal Dagangan 1972 ; (b)
Akta/Enakmen Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan ; (c) Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan
Peraturan-peraturan Makanan 1985; (d) Animal Rules 1962 ; dan (e) Undang-undang Kecil Pihak
Berkuasa Tempatan.
Secara umumnya, akta-akta di atas memberi perlindungan kepada para pengguna dari segi amalan
perdagangan atau perniagaan yang tidak sihat dan melanggar prosedur halal yang ditetapkan.Antara
peruntukan yang ditetapkan oleh akta-akta di atas khususnya Akta Perihal Dagangan 1972 termasuklah ;
i. Larangan penggunaan perihal dagangan palsu ke atas barang-barang, harga dan perkhidmatan.
ii. Kesalahan dan penalti ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan serta kuasa-kuasa bertindak
berhubung dengan kesalahan-kesalahan tersebut.
Para pengguna Islam juga seharusnya tahu akan bentuk-bentuk kesalahan yang berkaitan dengan
penandaan Halal di bawah peruntukan APD 1972 dan juga bentuk penalti ke atas individu dan
pertubuhan yang melakukan kesalahan-kesalahan di atas.
Sememangnya perbuatan seperti menipu logo Halal, percampuran sumber halal dengan yang
haram, dianggap suatu kesalahan jenayah oleh Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1997 [Akta 559]. Menurut Seksyen 42, Bahagian V [Kesalahan Jenayah] ia boleh didenda
tidak melebihi lima ribu ringgit (RM5000) atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun (3)
atau kedua-duanya. Maka, kurangnya pengetahuan para pengguna mengenai peruntukan di atas membuka
ruang lebih luas kepada berleluasanya kes penipuan halal oleh para pengusaha yang sememangnya
tamakkan keuntungan.
3.0

OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dibuat berdasarkan beberapa objektif berikut:
i.

Mengetahui tahap kefahaman dan persepsi pengguna Islam terhadap kepentingan halal dan haram
dalam penggunaan barang keperluan seharian
ii. Melihat respon mereka terhadap syarikat atau produk yang terlibat dalam kes salahlaku logo
Halal
iii. Mengenalpasti bentuk tindakan lanjut yang telah dan pernah responden lakukan
4.0

SKOP DAN METODOLOGI KAJIAN

Responden kajian ini terdiri daripada pengguna Islam di kalangan penduduk kawasan Permatang
Pauh Pulau Pinang. Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2000,
Permatang Pauh mempunyai penduduk seramai 116,759 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 58,155
orang ialah penduduk lelaki manakala 58,604 orang pula penduduk perempuan. Kebanyakan penduduk di
sini terdiri daripada Bumiputera orang Melayu iaitu 80,927 orang (69.32%) diikuti kaum cina 23,180
orang (19.86%), kaum India 7890 orang (6.76%), Bumiputera bukan Melayu 172 orang (0.1,4%) dan
lain-lain 450 orang (0.3,9%) di samping bukan warganegara sebanyak 4140 orang (3.54%).
Dari segi pekerjaan pula, maklumat yang ada hanya merekodkan data pekerja seramai 47529
orang (40.66%) sahaja daripada penduduk Permatang Pauh. Antara kategori pekerjaan tersebut ialah
Penggubal Undang-undang, Pegawai Kanan dan Pengurus seramai 2340 orang (2%), profesional 2051
(1.75%), juruteknik dan profesional bersekutu 7308 orang (6.25%), perkeranian 5417 orang (4.63%),
Pekerja Perkhidmatan, Pekerja Kedai dan Jurujual 4215 orang (3.61%), Pekerja Mahir, Pertanian dan
Perikanan 702 (0.6%), Pekerja Pertukangan dan yang berkaitan 3622 (3.1%), Operator Logi dan Mesin
serta Pemasang 12,291 (10.52%), Pekerjaan Asas (Elementary) 4298 (3.68%) manakala pekerjaan tidak
diketahui 5285 (4.52%). Manakala selebihnya iaitu 69230 orang (59.34%) lagi boleh dianggap bekerja
sebagai pesawah, petani, penternak, bekerja sendiri atau suri rumah. Di kawasan luar bandar seperti di
kampung-kampung, kebanyakan penduduk terutamanya orang Melayu di sini mengusahakan sawah padi.
Kesemua data dan maklumat yang berkaitan diperolehi melalui borang soal selidik. Sebanyak 600
buah borang telah diedarkan di mana hanya 509 orang responden sahaja telah mengembalikan borang soal
selidik tersebut.Kumpulan ini dipilih berdasarkan fakta bahawa mereka merupakan para pengguna yang
mengeluarkan perbelanjaan pada setiap bulan untuk membeli pelbagai barang keperluan seharian seperti
makanan, minuman, pakaian, peralatan kosmetik dan lain-lain. Responden yang dipilih terdiri daripada
kakitangan kerajaan/badan berkanun, swasta dan bekerja sendiri, di mana pemilihan mereka sebagai
responden kajian dilakukan secara rawak. Antara pusat membeli-belah utama terdapat di kawasan
Permatang Pauh ialah pasaraya Carrefoure Sebarang Jaya, Giant di Sunway, Pasaraya Pacific di
Megamall dan Tesco di Pulau Pinang. Di pasaraya-pasaraya besar tersebut terdapat bermacam-macam
barang keperluan termasuk produk halal.

4.0

KONSEP HALAL TAYYIBAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM DAN UNDANGUNDANG DI MALAYSIA

Islam sangat mementingkan aspek halal ke atas umatnya dalam memenuhi pelbagai keperluan
hidup. Pengambilan makanan yang halal dan suci diwajibkan Allah S.W.T kepada seluruh umat Islam
(Al-Baqarah : 168). Ini kerana amalan pemakanan bersih, suci dan baik merupakan tradisi kehidupan
para rasul AS termasuk juga Rasulullah SAW sendiri yang amat berhati-hati dalam memilih makanan
sehariannya (Al-Mukminun : 51).
Kepentingan amalan pemakanan halal juga turut jelas tercatat pada riwayat al-Hafiz Abu Bakar
Bin Mardawaih daripada Ibn Abbas, katanya Saya membaca ayat; Wahai Manusia , makanlah yang
halal lagi baik dari apa yang terdapat di atas bumi berdekatan dengan Nabi SAW. Lalu Saad Bin Abi
Waqqas berdiri lalu berkata, Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar doaku dimakbulkan. Maka
Nabi bersabda, :Wahai Saad perbaikilah makananmu, nescaya doamu akan dikabulkan. Demi Tuhan
yang menguasai diri Muhammad, sesungguhnya sesiapa yang memasukkan sesuap makanan haram ke
dalam perutnya, maka ibadatnya tidak akan diterima Allah selama 40 hari. Hamba mana yang dagingnya
tumbuh daripada makanan haram dan riba, maka api neraka lebih layak untuk membakarnya (Mustafa
Dib Bugho. et.al. 1998).

Pada dasarnya, semua benda yang menjadi sumber makanan kepada manusia seperti haiwan,
tumbuh-tumbuhan, air, mineral termasuk bahan-bahan kimia dan yang diproses melalui kejuruteraan
genetik adalah halal untuk dinikmati manusia. Keharusan ini berpandukan kepada semuah prinsip Fiqh
yang menyebut maksudnya Semua perkara pada mulanya adalah diharuskan.
Menurut kebanyakan fuqaha antaranya mazhab Syafie, aplikasi kaedah ini terpakai pada setiap sesuatu
yang ada di atas muka bumi ini adalah harus dimanfaatkan selagi tidak ada dalil atau nas syarie yang
melarangnya. (Al-Suyuthi. 1983). Di samping banyaknya sumber makanan halal, terdapat beberapa jenis
dan sumber makanan tertentu dilarang al-Quran dan sunnah disebabkan faktor kebersihan, kemudaratan,
dan kesesuaian dengan fitrah manusia yang membenci kekotoran dan segala yang menjijikkan (AlMaidah : 1).
Pengambilan makanan halal, bersih dan suci merupakan tanggungjawab setiap individu muslim
kerana ia juga mempunyai kaitan langsung dengan aspek kebersihan hati nurani ketika beribadat kepada
Allah SWT. Hati menjadi kotor disebabkan pemakanan bersumberkan yang haram samada dalam bentuk
material ataupun pendapatan tidak halal selain menjadi punca ibadat ditolak. Di samping itu, hasil
pendapatan seseorang yang menyediakan keperluan makan minum untuk diri dan keluarganya juga akan
disoal pada hari kiamat kelak.

Tegasnya di sini, ajaran Islam amat mementingkan penjagaan aspek kebersihan dalam
persekitaran umatnya agar fizikal dan rohani mereka sentiasa harmoni, suci dan dicintai Allah
SWT. Kewajipan menggunakan segala elemen halal bagi semua keperluan seharian di samping
menjauhi sumber-sumber haram samada secara langsung atau tidak langsung bertujuan untuk
merealisasikan amalan kebersihan dalam Islam. Justeru semua yang halal sudah tentu baik, suci
dan bersih sementara yang haram pastinya kotor, tercemar dan memudaratkan manusia. Sabda
Rasulullah SAW :
Sesungguhnya Allah itu baik (indah), menyukai kebaikan (keindahan), bersih cinta kepada kebersihan,
pemurah cinta kepada kemurahan, dermawan menyukai kedermawanan, maka bersihkanlah halaman
pekarangan rumahmu dan janganlah kamu meniru orang-orang Yahudi (yang suka menumpuk sampah
dan kotoran dalam rumah mereka). (H.R Tarmizi)
4.1

Definisi Halalan Tayyiban

Perkataan halal berasal daripada bahasa Arab yang terbit daripada sebutan ahalla yuhillu halalan.
Secara literalnya, halal bermaksud diboleh atau dibenarkan. Lawan kepadanya ialah haram. Haram ialah
sesuatu yang ditegah atau dilarang (al-Mujam al-Arabiy al-Asasi. t.th).
Dari segi terminologinya, halal juga dimaksudkan sebagai harus (mubah). Para ulama Usul Fiqh
seperti al-Amidi, al-Ghazzali dan al-Isnawi mendefiniskan mubah sesuatu perkara yang diberikan pilihan
oleh syarak kepada mukallaf (setiap orang yang Islam, baligh dan waras) samada melakukan atau
meninggalkannya. Ia juga ditakrifkan sebagai sesuatu perkara tidak disabitkan dengan pujian (madh)
ataupun celaan (zamm) jika melakukannya. Kewujudan mubah dalam al-Quran dan sunnah ditandai
dengan beberapa isyarat seperti pernyataan al-hill (halal), al-ibahah (keharusan), raful isthm, al-junah
dan nafyul harj (penafian dosa dan kesalahan) pada sesuatu perkara. (Al-Zuhayli. 1996).
Walaupun argumentasi mubah mempunyai konotasinya tersendiri menurut ulama Usul Fiqh,
namun maknanya masih mencakupi pengertian halal sebagai sesuatu boleh dilakukan, dimakan atau
dimanfaatkan. Halal yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu yang tidak diharamkan samada pada zat
ataupun unsur berkaitan dengannya.

Sementara itu, perkataan tayyiban bermaksud baik. Al-Tayyib salah satu daripada nama Allah
SWT yang bermaksud suci bersih daripada segala kekurangan. Dalam sebuah hadith riwayat Abu
Hurayrah RA, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya Allah itu baik , Dia tidak menerima kecuali
yang baik. Maknanya Allah SWT tidak menerima amalan dan harta benda yang dibelanjakan kecuali
sesuatu yang bersih daripada keburukan ataupun halal. (Mustafa Dib Bugho. et.al. 1998).
Mengikut Seksyen 3 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) 1975, penjelasan Halal,
Ditanggung Halal, Makanan Islam atau apa-apa perbahasaan yang lain apabila digunakan ke atas
makanan dalam apa-apa jua bentuk sekalipun maka perbahasaan itu hendaklah bermaksud bahawa
makanan tersebut :
a.

b.
c.
d.

Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang
yang orang Islam dilarang oleh hukum syarak memakannya atau yang tidak disembelih
mengikut hukum syarak
Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak
Tidak disedia, diproses, atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas
dari benda-benda najis mengikut hukum syarak; dan
Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau
berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan
(a), (b), atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.

Berdasarkan huraian di atas, dapat simpulkan bahawa konsep halalan tayyiban mencakupi setiap
perkara yang halal, dibenarkan syarak, suci dan bersih daripada sebarang kotoran berbentuk hissi (fizikal)
ataupun maknawi (abstrak) dan diperolehi secara sah menurut hukum syarak. Ini bermakna sesuatu yang
memiliki semua ciri-ciri di atas sahaja yang boleh diguna, dimakan atau diamalkan umat Islam. Konsep
Halalan Tayyiban sememangnya menjadi budaya kepenggunaan Islam dalam setiap keperluan hidup
mereka lebih-lebih lagi aspek pemakanan.
4.2

Peruntukan Undang-undang Berkaitan Halal

Di Malaysia, terdapat beberapa peruntukan undang-undang dan akta bagi mempastikan jaminan
keselamatan dan kualiti makanan secara amnya dan juga mutu produk makanan halal. Antaranya ialah
Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan 1985, Akta Perihal Dagangan 1972 dan juga Akta/Enakmen
Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan. Terkini suatu Standard Malaysia bertajuk Makanan
Halal:Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan Garis Panduan Umum (MS
1500:2004) telah dibangunkan di bawah Sistem Pembangunan Standard Malaysia yang di bawah
tanggungjawab Jabatan Standard Malaysia (DSM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Standard
ini dibangunkan oleh Jawatankuasa Standard Perindustrian Kebangsaan yang berkaitan dengan Halal
(ISC I) yang mana telah diwakili oleh pelbagai organisasi termasuk JAKIM yang merupakan Pengerusi
kepada Jawatankuasa Teknikal yang berkaitan untuk gambaran menyeluruh sistem pembangunan
standard di Malaysia dan kaitan ISC I di dalam sistem ini. Skop standard ini mengandungi garis-garis
panduan yang praktikal bagi industri makanan mengenai penyediaan dan pengendalian makanan halal
(termasuk penambah nutrien). Ia bertujuan menyediakan peraturan asas bagi produk makanan serta
perdagangan atau perniagaan makanan di Malaysia.
Mana-mana pengeluar/ pengilang produk (manufacturer/ producer), pengedar/penjual (distributor/
trader), pengeluar sub-kontrak (sub-contract manufacturer), pembungkusan semula (repacking), premis
makanan (food premise); dan rumah sembelih (abattoir/slaughter house) boleh mendapatkan Sijil
Pengesahan Halal. Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan
antarabangsa dilakukan oleh pihak Halal Industry Development Corporation (HDC) manakala bagi

pasaran di peringkat tempatan, selain HDC, ia turut diakui oleh Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri
(JAIN/MAIN) yang berkaitan.
Kerajaan juga telah menggubal peruntukan undang-undang berkaitan dengan Prosedur Pensijilan
Halal seperti :
(a) Akta Perihal Dagangan 1972 ;
(b) Akta/Enakmen Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan ;
(c) Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan-peraturan Makanan 1985;
(d) Animal Rules 1962 dan
(e) Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan.
Secara umumnya, akta-akta di atas memberi perlindungan kepada para pengguna dari segi amalan
perdagangan atau perniagaan yang tidak sihat dan melanggar prosedur halal yang ditetapkan.Antara
peruntukan yang ditetapkan oleh akta-akta di atas khususnya Akta Perihal Dagangan 1972 termasuklah ;
iii. Larangan penggunaan perihal dagangan palsu ke atas barang-barang, harga dan perkhidmatan.
iv. Kesalahan dan penalti ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan serta kuasa-kuasa bertindak
berhubung dengan kesalahan-kesalahan tersebut.
Para pengguna Islam juga seharusnya tahu akan bentuk-bentuk kesalahan yang berkaitan dengan
penandaan Halal di bawah peruntukan APD 1972 seperti ;
a. Seksyen 11 (2), kesalahan kerana gagal mematuhi Perintah 2 (1) dan 2 (2) Perintah Perihal
Dagangan (Penandaan Makanan) 1975.
b. Seksyen 3 (1) (a), kesalahan menggunakan perihal dagangan palsu
c. Seksyen 3 (1) (b), membekalkan atau menawar untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya
digunakan perihal dagangan palsu
d. Seksyen 15 (1), pernyataan palsu mengenai bekalan/produk/perkhidmatan.
e. Seksyen 29 (1), menghalang Pegawai bertindak di bawah APD 1972.
f. Seksyen 29 (2), member maklumat atau membuat suatu kenyataan yang diketahui sebagai palsu
Sekiranya disabitkan kesalahan, Seksyen 18 (1) APD 1972 juga memperuntukkan penalti ke atas
individu dan pertubuhan yang melakukan kesalahan-kesalahan di atas. Contohnya bagi kesalahan
pertama, seseorang seperti pengarah, pengurus atau pegawai daripada suatu pertubuhan perbadanan boleh
dikenakan hukuman dengan tidak lebih daripada ;
a. Satu ratus ribu ringgit (RM100 000) atau
b. Penjara tidak lebih daripada tiga (3) tahun atau
c. Kedua-duanya
Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya :
a. Denda tidak lebih daripada dua ratus ribu ringgit (RM200 000) atau
b. Penjara bagi tempoh tidak lebih daripada enam (6) tahun atau
c. Kedua-duanya sekali
Syarikat pula akan dikenakan hukuman bagi kesalahan pertama denda sebanyak dua ratus lima
puluh ribu (RM250 000). Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, denda tidak lebih daripada lima ratus
ribu ringgit (RM500 000).

Manakala Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan-peraturan makanan 1985 diwujudkan
adalah bertujuan untuk mengawal mutu makanan. Akta ini juga turut memperuntukkan hukuman terhadap
kesalahan yang berkaitan dengan makanan. Di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, turut
ditetapkan beberapa peraturan yang berkaitan dengan kawalan makanan, Kesalahan dan Keterangan,
Aditif Makanan dan Tambahan Zat Makanan.
Contohnya, menurut peraturan 13(1) mana-mana orang yang menyedia atau menjual apa-apa
makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya yang
boleh memudaratkan kesihatan adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan bersalah boleh
dikenakan denda yang tidak melebihi satu ratus ribu atau penjara bagi tempoh sepuluh tahun atau keduaduanya.
Manakala peraturan 13(2) pula menyatakan bahawa dalam menentukan sama ada sesuatu
makanan adalah memudaratkan kesihatan bagi maksud subseksyen (1), perhatian hendaklah diberikan
bukan sahaja pada kesan kemungkinan makanan itu kepada kesihatan seseorang yang memakannya tetapi
juga kesan kumulatif kemungkinan makanan itu yang pada keseluruhannya mengandungi kandungan
yang sama kepada kesihatan seseorang yang memakan makanan itu sebanyak yang lazim dimakan.
Menurut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975, setiap produk yang
mempunyai Sijil Pengesahan Halal walaupun dihasilkan pengusaha bukan Islam, adalah boleh dimakan
oleh orang-orang Islam.
Akan tetapi perbuatan-perbuatan seperti menipu logo Halal, percampuran sumber halal dengan
yang haram, dianggap suatu kesalahan jenayah oleh Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1997 [Akta 559]. Menurut Seksyen 42, Bahagian V [Kesalahan Jenayah] ia boleh didenda
tidak melebihi lima ribu ringgit (RM5000) atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun (3)
atau kedua-duanya.

Berhubung dengan isu penguatkusaan, secara umumnya Jakim akan melaksanakan


pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penggunaan sijil halal. Fungsi ini akan dijalankan
oleh bahagian Hub Halal cawangan pemantauan dan penguatkusaan Jakim yang beroperasi di
Cyberjaya. Sehingga kini terdapat seramai 32 orang pegawai di bahagian ini yang akan
melaksanakan aktiviti-aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala sepanjang tahun.
Manakala isu-isu yang berkaitan dengan pendakwaan pula, penguatkuasaan produk halal
dilaksanakan oleh pihak Jakim, manakala pendakwaan pada kes produk halal atau yang
melibatkan pelbagai kesalahan lain dilakukan oleh KPDN & HEP, perlu dijelaskan bahawa pihak
KPDN dan HEP tidak mempunyai unit khas bahagian pendakwaan halal, manakala Jakim pula
mempunyai bahagian Hub Halal cawangan Penguatkuasaan sendiri.
Apa yang jelas,walaupun tiada suatu akta khusus berkaitan halal, usaha kerajaan untuk
menjaminkan konsep halalan tayyiban dalam setiap produk makanan di pasaran tempatan sememangnya
boleh dilihat pada kewujudan akta-akta seperti di atas. Menjadi kewajipan pihak pengusaha pula untuk
mematuhi peraturan undang-undang dan prosedur persijilan halal sebagai pihak yang benar-benar terlibat
dalam jaminan sebenar halal makanan yang dihasilkan. Selain itu, yang menjadi masalah kepada kes-kes
penipuan produk halal disebabkan pemantauan tidak ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang
lemah oleh pihak berkuasa. Justeru, desakan agar digubal sebuah Akta Halal atau Akta Produk Halal
sangat releven dan ia diberikan perhatian serius pihak kerajaan.

5.0

KES-KES PENIPUAN PRODUK HALAL

Pernah berlaku suatu serbuan ke atas sebuah kilang pengeluar tauhu di Kajang, yang disertai oleh
Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM). Didapati tauhu tersebut diproses dengan menggunakan air daripada sebuah kolam takungan yang
sudah berlumut dengan air kotor berwarna kehijauan. Tidak kurang juga 20 ekor anjing yang dikurung di
sebelah kilang itu pula difahamkan sedang menjalani proses jagaan dan rawatan sebelum dijual sebagai
haiwan peliharaan. Pusat jagaan anjing itu yang dimiliki oleh pengusaha lain terletak hanya kira-kira 15
meter dari kilang tersebut. Paling mengejutkan ialah pengusaha kilang tersebut masih menggunakan logo
halal yang sudah tamat tempoh sejak Januari 2003 dan perkara itu disahkan oleh wakil dari Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS). Kilang itu diarahkan ditutup serta-merta dan lesen ditarik balik di samping
kompaun sebanyak RM1000 dikenakan kepada pengusaha kilang tersebut (Akhbar KOSMO, 11
September 2008)
Utusan Malaysia, 20 Mei 2008 melaporkan pendedahan seorang pengguna, Amir Amin mengenai
mi segera keluaran Vietnam. Amir memberitahu, hasrat dia dan isterinya menikmati keenakan mi segera
dalam mangkuk yang dibeli di Woodland Centre, Singapura pada 4 Mei lalu terbantut apabila mendapati
mi segera itu berperisa babi walaupun ada logo halal. Atas rasa tanggungjawab supaya umat Islam tidak
termakan mi berkenaan, Amir kemudian mengambil keputusan untuk membuat aduan kepada pemilik
kedai berkenaan.
Dalam berita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memaklumkan pengakuan dua chef
tentang penyediaan makanan yang tidak menititberatkan soal halal dan haram di beberapa hotel bertaraf 5
bintang. Beliau melihat bagaimana arak dituang di dalam sup bawang (onion soup) yang dimasak di Hotel
5 bintang itu. Chef itu juga berkata, di atas ruang rak tempat memasak sup-sup, berbaris berjenis-jenis
botol arak bersama-sama dengan rencah-rencah lain untuk dibuat sup. Selain itu, peralatan seperti dapur
dan mesin pengisar daging untuk penyediaan masakan juga bercampur antara kegunaan halal dan tidak
halal termasuk pinggan yang dicuci juga bercampur dengan pinggan makanan haram.(
http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/comment.php?comment.news.556)
Pasaran produk makanan di Malaysia telah dicemari dengan produk-produk luar dijual bersamasama produk halal. Terdapat sesetengahnya yang jelas di antara kandungannya mengandungi bahan
haram. Contohnya kandi getah strawberi Qra Qra yang dijual di 7 Eleven dikesan mengandungi gelatin
dan kolagen daripada babi. (http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/comment.php?comment.news.541).
Bagi kanak-kanak sudah tentu mereka tidak akan sedar perkara ini sewaktu membelinya.
Harian Metro bertarikh 4 Januari 2008 melaporkan berleluasanya gula-gula hantu yang tiada logo
halal Malaysia sebaliknya menggunakan logo halal China yang disyaki tiruan di samping kandungannya
diragui. Gula-gula tersebut tidak tertulis di atasnya walau sepatah perkataan Melayu serta menggunakan
alamat dan nombor telefon palsu. Apa yang dikesalkan ialah produk itu dijual secara meluas di beberapa
kedai runcit stesen minyak terkemuka seluruh negara, terutama di Lembah Klang.
Ini tidak termasuk lagi beberapa produk yang mempunyai logo pengesahan halal Malaysia tetapi
sebenarnya tidak mempunyai rekod di dalam direktori halal HDC/JAKIM dan ada juga juga telah lama
tamat tempoh sijilnya tetapi masih digunakan. Terdapat juga beberapa produk makanan terutama yang
diimport, mempunyai tanda halal tersendiri tetapi jelas kandungannya tertera ianya daging babi. Lebih
menjijikkan apabila ada beberapa produk import yang memaparkan pengesahan halal Malaysia seperti
Straw perisa susu Sipahh edaran MUNCHYS. Sedangkan HDC/JAKIM tidak pernah mengeluarkan
pengesahan
halal
kepada
mana-mana
produk
makanan
daripada
luar.
(http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/news.php?item.566).

Kilang roti jenama High 5 antara kilang memproses roti yang pernah diarahkan menghentikan
operasinya selama dua minggu kerana didapati kotor serta menggunakan bahan yang disyaki tidak halal.
Menurut Setiausaha PPIM, Datuk Dr. Maamor Osman pemeriksaan di kilang berkenaan dijalankan
berdasarkan aduan orang ramai berserta gambar keadaan kilang itu serta minyak yang diragui halalnya.
Pemeriksaan itu disertai oleh JAKIM, Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Jabatan
Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) (Berita
Harian, 7 September 2006).
Baru-baru ini Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat satu laporan polis berhubung
pemfailan saman RM 5 juta oleh Zainuddin Md Zin yang merupakan Ketua Unit Jabatan Pelancongan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terhadap Perak Duck Food Industries Sdn. Bhd., CKL Marketing Sdn.
Bhd. dan Pasaraya TESCO. Laporan polis tersebut dibuat oleh Pegawai Khas PPIM, En. Azmin Ib
Berahim. .(Akhbar KOSMO, 18 September 2008). Ia adalah ekoran daripada isu penjualan ayam yang
didakwa tidak disembelih dan dijual di Pasaraya Tesco. Pada 28 Oktober 2007 lalu beliau telah membeli
tiga ayam selasih di Tesco dan mendapati ayam yang dilabelkan logo halal tidak disembelih dengan betul
mengikut prosedur penyembelihan.(Berita Harian. 28 Februari 2008).

6.0

ANALISIS DAPATAN DAN HASIL KAJIAN

Analisis deskriptif statistik telah digunakan dalam mengolah data menggunakan perisian SPSS
versi 16.0. Semua data kajian akan dianalisis dan dibahagi kepada empat bahagian iaitu: (1) profil
responden, (2) kefahaman responden terhadap konsep halal dalam makanan, (3) pengetahuan tentang
undang-undang dan akta berkaitan dan (4) reaksi dan tindakan susulan terhadap penipuan produk halal.

6.1

Profil Responden

Responden kajian terdiri daripada 509 orang iaitu 206 (40.5%) orang terdiri daripada responden lelaki dan
303 (59.5%) orang responden wanita. Dari segi pekerjaan pula, sebahagian besar daripada responden
berkerja di sektor kerajaan atau badan berkanun iaitu seramai 325 (63.9%) orang berbanding 144 (28.3%)
orang di sektor swasta dan 40 (7.9%) orang pula bekerja sendiri. Di antara mereka, seramai 97 (19.1%)
orang membelanjakan kurang daripada RM300, 155 (30.5%) orang membelanjakan antara RM301RM500, 151 (29.7%) orang membelanjakan antara RM501-RM800 dan 106 (20.8%) orang
membelanjakan lebih daripada RM800. Sebahagian besar responden lebih mengutamakan kedai-kedai
runcit, pasar mini berdekatan kediaman untuk mendapatkan barangan keperluan dengan jumlah responden
seramai 217 (42.6%) orang. Ini diikuti oleh pasaraya Tesco seramai 214 (42%) orang, pasaraya Carrefour
seramai 210 (41.3%) orang, Giant 164 (32.3%) orang dan pasaraya Billion seramai 57 (11.2%) orang.

6.2

Kefahaman Konsep Halal Dalam Makananan


Jadual 1 : Item yang Mengukur Kefahaman Konsep Halal Dalam Makanan
Item

Min

Kewajipan menjaga hukum halal dan haram

4,8

2.

Memastikan kewujudan logo halal pada bungkusan

4,4

makanan
3.

Sedia membeli jika tiada pengesahan halal

2,2

4.

Tahap keyakinan terhadap makanan halal yang

2,4

diproses bukan Islam


5.

Keyakinan dengan logo halal JAKIM pada pek

3,4

bungkusan
6.

6.2.1

Bukan tanggungjawab pengguna memastikan


produk halal

2,5

Kewajipan Menjaga Hukum Halal Dan Haram

Hampir keseluruhan responden sangat bersetuju dengan jumlah responden 430 (84.5%) orang. Manakala
seramai 69 (13.6%) responden bersetuju, 2 (4%) responden bersikap tidak pasti, 2 responden (4%) tidak
bersetuju dan hanya 6 (1.2%) responden memilih sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 4.8 jelas
menunjukkan sebahagian besar responden sangat bersetuju dengan kenyataan ini
6.2.2

Memastikan Kewujudan Logo Halal Pada Bungkusan Makanan

Sebanyak 268 (52.7%) daripada responden sangat bersetuju akan berbuat demikian, 190 (37.3%)
responden setuju, 32 (6.3%) responden tidak pasti, 15 (2.9%) responden pula tidak bersetuju dan hanya 4
(8%) responden sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 4.4 menunjukkan purata responden bersikap
setuju dengan kenyataan ini.
6.2.3

Sedia Membeli Jika Tiada Pengesahan Halal

kebanyakan responden iaitu 190 (37.3%) orang sangat tidak setuju akan membeli produk tersebut, 124
(24.4%) responden tidak setuju, 116 (22.8%) responden bersikap tidak pasti, manakala 61 (12%)
responden bersetuju untuk membeli dan hanya 18 (3.5%) responden sangat bersetuju. Berdasarkan min =
2.2 jelas menggambarkan bahawa sebahagian besar responden bersikap tidak bersetuju dengan kenyataan
ini.
6.2.4

Tahap Keyakinan Terhadap Makanan Halal Yang Diproses Bukan Islam

kebanyakan responden iaitu 195 (38.3%) bersikap tidak pasti, 144 (28.3%) responden tidak bersetuju,
115 (22.6%) responden sangat tidak bersetuju, berbanding 49 (9.6%) responden bersetuju dan 6 (1.2%)
responden sangat bersetuju. Berdasarkan min = 2.4 menunjukkan purata responden hampir tidak bersetuju
dengan kenyataan ini.

6.2.5 Keyakinan Dengan Logo Halal JAKIM Pada Pek Bungkusan


Kebanyakan responden dengan jumlah 193 (37.9%) orang bersetuju, 56 (11.0%) responden sangat
bersetuju. Manakala seramai 183 (36%) responden bersikap tidak pasti serta 64 (12.6%) responden tidak
bersetuju. Hanya 13 (2.6%) responden sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 3.4 menunjukkan purata
responden hampir bersikap tidak pasti dengan kenyataan ini.
6.2.6

Bukan Tanggungjawab Pengguna Memastikan Produk Halal

Seramai 213 (41.8%) responden tidak bersetuju perkara tersebut bukan tanggungjawab mereka manakala
97 (19.1%) responden sangat tidak bersetuju. Sejumlah 79 (15.5%) bersikap tidak pasti berbanding 92
(18.1%) responden bersetuju dan hanya 28 (5.5%) responden sangat bersetuju. Berdasarkan min=2.5,
jelas menunjukkan purata responden hampir meyakini bahawa menjadi tanggungjawab pengguna sendiri
untuk memastikan sesuatu produk itu halal atau tidak.

6.3

Pengetahuan Undang-Undang Dan Akta Berkaitan


Jadual 2 : Item yang Mengukur Pengetahuan Undang-undang dan Akta Berkaitan
Item

Min

Mengetahui penipuan logo halal adalah satu kesalahan

3.6

2.

Mengetahui wujudnya manual pensijilan halal

3.4

Malaysia

Sebahagian besar responden iaitu 280 (55%) orang mengaku tidak pasti mereka mengetahui bahawa
produk makanan halal dikawal oleh Akta Perihal Dagangan (APD) 1972, Akta Makanan 1983 dan
Peraturan-peraturan 1985, Akta/Enakmen Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan, Animal Rules 1962 dan
Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan. Seramai 154 (30.3%) responden bersetuju dengan
kenyataan ini, 43 (8.4%) responden sangat bersetuju berbanding hanya 25 (4.9%) responden tidak
bersetuju dan 7 (1.4%) responden sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 3.4 menunjukkan purata
responden bersikap tidak pasti dengan kenyataan ini.
6.3.1

Mengetahui Penipuan Logo Halal Adalah Satu Kesalahan

Kebanyakan responden dengan jumlah seramai 225 (44.2%) orang tidak pasti mengetahuinya. Manakala
180 (35.4%) responden bersetuju, 74 (14.5%) responden sangat bersetuju. Berbanding hanya 21 (4.1%)
orang tidak bersetuju manakala 9 (1.8%) orang sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 3.6,
menunjukkan purata responden hampir bersetuju dengan kenyataan ini
6.3.2

Mengetahui Wujudnya Manual Pensijilan Halal Malaysia

Sebahagian besar responden iaitu seramai 246 (48.3%) orang tidak pasti bahawa sebuah Manual Prosedur
Pensijilan Halal Malaysia telah diterbitkan sebagai panduan kepada pengguna dan pengusaha produk
halal. Seramai 158 (31%) responden bersetuju berbanding 35 (6.9%) responden tidak bersetuju dan hanya
12 (2.4%) responden sahaja sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 3.4 menunjukkan purata responden
sememangnya tidak pasti adanya manual berkaitan.

6.4

Tindakan Susulan
Jadual 3: Item yang Mengukur Tindakan Susulan Responden
Item

Min

Marah dengan penipuan halal

4.4

2.

Menyiasat latar belakang syarikat terbabit

3.6

3.

Melawat syarikat terbabit

3.4

4.

Memboikot syarikat terbabit

4.4

5.

Mengajak rakan-rakan untuk bersama memboikot

4.2

6.

Membuat semakan nombor bar code dan melaporkan

nil

kepada pihak berwajib tentang penipuan


7.

Cadangan pihak berwajib menyenaraihitamkan

4.5

pengusaha terbabit
8.

Kerajaan perlu wujudkan akta produk halal bagi

4.7

menjamin kesucian
9.

Penipuan syarikat bukan Islam tidak memberi

2.5

kesan dalam pembelian produk syarikat lain


10.

Pengguna tertarik membeli produk halal bukan

2.6

Islam kerana promosi dan bungkusan

6.4.1

Marah Dengan Penipuan Halal

Seramai 275 (54%) responden sangat bersetuju menyatakan rasa marah dengan sikap tidak
bertanggungjawab pihak pengusaha makanan terutamanya bukan Islam kerana sanggup melakukan
penipuan samada di peringkat penyediaan ramuan makanan, pemprosesan, penggunaan peralatan,
penyimpanan dan juga pembungkusannya. Seramai 202 (39.7%) responden menyatakan setuju, 18 (3.5%)
responden bersikap tidak pasti. Di samping itu, hanya 8 (1.6%) responden tidak bersetuju dan 6 (1.2%)
responden sangat tidak bersetuju untuk menunjukkan reaksi marah atau kesal. Berdasarkan min = 4.4,
menunjukkan purata responden bersetuju dengan kenyataan ini.
Kebanyakan mereka menzahirkan pelbagai ketidakpuasaan terhadap isu tersebut. Namun apabila
ditanya adakah mereka pernah mengambil tindakan mengikut prosedur undang-undang seperti membuat
laporan polis mahupun melaporkan kepada pihak-pihak berwajib, hampir keseluruhannya iaitu 475
(93.3%) responden mengaku tidak pernah berbuat demikian dan hanya 34 (6.7%) responden sahaja yang
mendakwa pernah melakukannya.
6.4.2

Menyiasat Latar Belakang Syarikat Terbabit

Seramai 217 (42.6%) responden bersetuju akan berbuat demikian, 84 (16.5%) responden sangat bersetuju,
144 (28.3%) responden tidak pasti, berbanding 56 (11%) responden tidak bersetuju dan 8 (1.6%)
responden sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 3.6, menunjukkan purata responden mengambil
sikap hampir bersetuju dengan reaksi menyiasat latar belakang syarikat terbabit dengan lebih lanjut.

6.4.3

Melawat Syarikat Terbabit

Seramai 56 (11%) responden memilih sangat bersetuju, 187 (36.7%) responden bersetuju, 181 (35.6%)
responden memilih tidak pasti, berbanding 72 (14.1%) responden tidak bersetuju dan 13 (2.6%)
responden sahaja sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 3.4, menunjukkan purata responden
menunjukkan reaksi tidak pasti untuk melawat premis berkenaan.
6.4.4

Memboikot Syarikat Terbabit

Seramai 287 (56.4%) responden sangat bersetuju untuk memboikot syarikat terbabit. Seramai 183
responden (36%) bersetuju mengambil tindakan yang sama, 27 responden (5.3%) tidak pasti, manakala 7
responden (1.4%) tidak bersetuju dan 5 (1%) responden angat tidak bersetuju untuk memboikot.
Berdasarkan min = 4.4 menunjukkan purata responden bersetuju untuk mengambil tindakan memboikot
syarikat terbabit.
6.4.5

Mengajak Rakan-rakan Untuk Bersama Memboikot

Seramai 234 (46%) responden sangat bersetuju dan seramai 193 (37.9%) responden bersetuju untuk
mengajak rakan-rakan untuk turut memboikot syarikat yang terlibat. Seramai 64 (12.6%) responden
bersikap tidak pasti, di samping 14 (2.8%) responden tidak bersetuju dan hanya 4 (0.8%) responden
sangat tidak bersetuju untuk bertindak sedemikian. Berdasarkan min = 4.2 menunjukkan purata responden
memilih bersetuju dengan reaksi ini.
6.4.6

Membuat Semakan Nombor Bar Code Untuk Pengesahan Halal Dan Melaporkan Kepada Pihak
Berwajib Tentang Penipuan

Majoriti responden iaitu 368 (72.3%) orang mengaku tidak pernah berbuat demikian berbanding hanya
141 (27.7%) orang sahaja yang pernah melakukannya. Manakala di kalangan responden yang pernah
membuat semakan Bar Code, lalu mendapati keputusannya tiada rekod dijumpai, hanya 20 (3.9%)
responden sahaja yang melaporkannya kepada mana-mana pihak berwajib tentang penipuan logo
berkenaan. Manakala selebihnya 121 ( 23.8%) responden tidak pernah melaporkannya walaupun mereka
mengetahui tentang penipuan logo halal berkenaan.
6.4.7 Cadangan Pihak Berwajib Menyenaraihitamkan Pengusaha Terbabit
Kebanyakan responden sangat bersetuju dengan tindakan ini dengan jumlah responden 308 (60.5%)
orang. Manakala seramai 174 (34.2%) responden bersikap bersetuju, seramai 22 ( 4.3%) responden
bersikap tidak pasti, manakala 3 (0.6%) responden memilih tidak bersetuju dan hanya 2 (0.4%) responden
sangat tidak bersetuju. Berdasarkan min = 4.5, menunjukkan purata responden hampir sangat bersetuju
dengan tindakan ini.
6.4.8

Kerajaan Perlu Wujudkan Akta Produk Halal Bagi Menjamin Kesucian

Sebahagian besar responden dengan jumlah 377 (74.1%) orang sangat bersetuju kerajaan perlu
menggubal Akta Produk Halal bagi mempastikan semua barang keperluan pengguna Islam di pasaran
tempatan terjamin kesucian dan kehalalannya. Seramai 111 (21.8%) responden memilih bersetuju, 16
(3.1%) responden memilih tidak pasti dan hanya 5 (1%) responden sahaja tidak bersetuju. Berdasarkan
min = 4.7 menunjukkan purata responden sangat bersetuju dengan tindakan yang perlu dilakukan ini.

6.4.9

Penipuan Syarikat Bukan Islam Tidak Memberi Kesan Dalam Pembelian Produk Syarikat Lain

Seramai 162 (31.8%) responden memilih tidak bersetuju, 109 (21.4%) responden sangat tidak bersetuju,
136 (26.7%) responden pula memilih tidak pasti. Manakala seramai 72 (14.1%) responden bersetuju dan
30 (5.9%) responden sangat bersetuju. Berdasarkan min = 2.5 menunjukkan purata responden
menyatakan bahawa penipuan syarikat bukan Islam akan memberi kesan dalam pembelian produk halal
syarikat lain.
6.4.10 Pengguna Tertarik Membeli Produk Halal Bukan Islam Kerana Promosi dan Pembungkusan
Seramai 140 (27.5%) responden memilih tidak bersetuju, 121 (23.8%) responden sangat tidak bersetuju,
110 (21.6%) responden memilih tidak pasti. Berbanding hanya 97 (19.1%) responden sahaja bersetuju
dan 41 (8.1%) responden sangat bersetuju. Berdasarkan min = 2.6, jelas menunjukkan purata responden
tidak bersetuju bahawa mereka tertarik membeli produk halal bukan Islam hanya disebabkan promosi dan
pembungkusan yang menarik.

7.

KESIMPULAN

Anggaran kasar menunjukkan saiz pasaran produk makanan halal berjumlah antara RM1.3 bilion hingga
RM1.5 bilion setahun, dengan mengambil kira penggunaan oleh pengguna Muslim saja di negara kita.
Justeru, masyarakat Islam di Malaysia khususnya tidak lagi boleh sekadar menjadi pemerhati atau
pengguna sahaja malahan perlu berubah menjadi negara pengeluar dan pemain utama di dalam industri
halal global. Sekiranya pasaran produk halal dikuasai oleh syarikat umat Islam, sudah tentu isu-isu
penipuan seperti yang dilaporkan dalam media massa tidak akan berlaku atau sekurang-kurangnya dapat
diminimumkan.
Salah satu objektif Pelan Induk Pembangunan Ketiga (IMP3) adalah menjadikan Malaysia
sebagai hab halal global bagi pengeluaran dan perdagangan barangan serta perkhidmatan halal. Industri
halal pada dasarnya tidak hanya tertumpu kepada produk makanan halal sahaja seperti mana yang
difahami sebelum ini malahan merangkumi sektor perkhidmatan seperti logistik, pembungkusan,
penjenamaan dan pasaran. Ia juga merangkumi produk farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik,
kewangan, hiburan, pelaburan, pelancongan dan sebagainya.
Untuk itu, Malaysia perlu menjadi peneraju kepada penetapan piawaian halal global termasuklah
proses mengaudit, pengeluaran sijil halal bagi melindungi integriti halal dan selanjutnya mengarah serta
menyelaras pembangunan industri halal di peringkat global. Namun di belakang usaha murni tersebut,
umat Islam yang seharusnya menjadi pengemudi utama pembangunan industri halal domestik terlebih
dahulu berbanding realiti masa kini yang menunjukkan penguasaan produk halal didominasi para
pengusaha bukan Islam. Ini kerana isu penipuan produk makanan halal hanya menjadi isu kepada umat
Islam sebagai pengguna. Adapun bagi syarikat bukan Islam dan pengguna bukan Islam lain isu tersebut
lebih bersifat pemaksimuman keuntungan dalam merebut pasaran kepenggunaan umat Islam.WalLahu
alam bi al-sawab.

RUJUKAN UTAMA

Al-Quran al-Karim
Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2000. Statistik Demografi Permatang Pauh.
Mohd. Hapiz Mahaiyadin, Roshaimizam Suhaimi dan Mohd. Marbawi Taha (2010). Sikap Pengguna
Islam Terhadap Penipuan Produk Makanan Halal : Satu Kajian di Kalangan Penduduk Permatang
Pauh Pulau Pinang. Projek Penyelidikan DKC [600-RMI/SSP/DANA 5/3/Dsp (81/2009).
Research Management Institute : UiTM.
Mustafa al-Bugho & Muhy al-Din Mistu (1998).Al-Wafi Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Terj. Mohd
Asri Hashim et.al. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Mustafa al-Bugho & Muhy al-Din Mistu (t.th), Al-Wafi Fi Sharh al-Arbain al-Nawawiyyah, Beirut :
Dar Katib wa Kitab.
Al-Mujam al-Arabiy al-Asasi. (t.th). Al-Munazzamah al-Arabiyyah Li al-Tarbiyyah wa al-Thaqafah wa
al-Ulum : Larus.
Al-Suyuthi. Jalal al-Din Abd al-Rahman (1983), Al-Ashbah wa al-Nazair Fi Qawaid wa Furu Fiqh alShafiiyyah. Bayrut : Dar al-Kutub al-ilmiyyah.
Al-Tirmidhiyy, Muhammad bin cIsa Abu cIsa. (T.th). Sunan al-Tirmizi. Beyrut : Dar Ihya' al-Turath alc
Arabiyy

Al-Zuhayl. Wahbah. 1995. Al-Fiqh al-Islm Wa Adillatuh. Bayrut : Dr al-Fikr


Al-Zuhayl. Wahbah. 1996. Usul al-Fiqh al-Islami. Dimashq : Dar al-Fikr
Standard Malaysia Makanan Halal:Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan Garis
Panduan Umum (MS 1500:2004).

INTERNET & WEBSITE


http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/comment.php?comment.news.556
http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/comment.php?comment.news.541
http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/news.php?item.566
http://www.halal.gov.my/articles.php
http://www.halaljournal.com/index.php?page=article&act=show&category=0&pid=1032

AKHBAR

Akhbar KOSMO, 11 September 2008


Akhbar KOSMO, 18 September 2008
Berita Harian, 7 September 2006
Berita Harian. 28 Februari 2008
Utusan Malaysia, 20 Mei 2008

SENARAI STATUT

Akta Perihal Dagangan 1972


Akta/Enakmen Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan
Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan-peraturan Makanan 1985
Animal Rules 1962

Anda mungkin juga menyukai