Anda di halaman 1dari 5

INOVASI GURU BAHASA MELAYU (GBM) MEKANISME PENGAJARAN

BERKESAN
Menjadikan proses pembelajaran berkesan dalam setiap sesi pengajaran
isi pelajaran menjadi fokus utama bagi setiap pendidik. Suasana
pembelajaran yang dilatari keceriaan dan keharmonian proses pengajaran
menjadi pemangkin ke arah mencapai objektif pelajaran yang telah
dirancangkan. Sehubungan itu, guru bahasa Melayu (GBM) sebagai
individu sentiasa bersama murid memainkan peranan penting bagi
mewujudkan suatu bentuk proses P&P yang mampu memberi daya tarikan
di kalangan para murid. Tegasnya, kemahiran dalam proses pengajaran
oleh seorang guru yang ditunjangi daya inovasi menjadi asas utama
berhubung isu ini.
Inovasi dapat difahami sebagai sesuatu yang dibuat dan dihasilkan oleh
individu--individu kreatif dengan menggunakan daya imaginasi dan
pemikiran mereka untuk menghasilkan sesuatu yang baru, kreatif dan
berguna bagi manusia (Jauhara Hj. Tak, 1995). Hal ini merujuk kepada
kebolehan serta kemahiran yang dapat dimanipulasi untuk menghasilkan
sesuatu yang asli, bermutu dan berkualiti tinggi. Oleh itu, penghasilan
satu bentuk pengajaran melalui daya inovasi disifatkan sebagai satu
wadah pembelajaran yang memberi kesan ke atas satu-satu isi pelajaran.
Justeru, adanya daya inovasi bagi seorang GBM yang dapat disesuaikan
dengan proses pengajarannya akan menghidupkan lagi suasana dan
meransang penyertaan murid dalam aktiviti pembelajaran. Fromm (1959)
mengemukakan berkenaan individu kreatif sebagai seorang yang selalu
melihat kepada yang baru. Oleh itu , individu seperti ini akan
memperlihatkan sifat kedinamikan dalam setiap tingkah laku dan juga
pemikirannya. Dalam konteks keguruan, inovasi berperanan sebagai
momentum yang akan menghasilkan satu proses pengajaran berkesan
seterusnya menjadi asas ke arah merealisasikan kecemerlangan akademik
murid.
Sementara itu, Robiah Sidin dan Hassan Langgulung (1980)
mengemukakan inovasi bagi seorang guru merupakan elemen yang dapat
dipergunakan untuk menghasilkan satu bentuk pengajaran dinamik. Para
GBM yang memiliki daya inovasi seringkali mendatangkan banyak idea
baru selain dapat mengatasi masalah dengan menggunakan bahan-bahan
serta situasi-situasi tertentu dengan cara luar biasa. Jelaslah bahawa
sekiranya daya inovasi ini dapat dijelmakan dalam proses pengajaran oleh
seorang GBM maka proses pembelajaran murid-muridnya akan mendapat
limpahan maklumat pengetahuan maksimum.
Kemantapan proses pengajaran menerusi adunan kaedah, teknik dan
pendekatan yang berinovasi oleh seorang GBM menjanjikan suatu proses
pembelajaran yang menarik minat pelajar dalam mengikuti isi pelajaran
yang disampaikan oleh guru tersebut. Seterusnya, inovasi GBM yang
mewarnai proses pengajarannya akan menjadikan suasana pembelajaran
yang kondusif selain membuka ruang untuk pelajar dalam memahami
sepenuhnya isi pelajaran yang disampaikan dan sentiasa mengingati
terhadap apa yang telah mereka pelajari itu. Malahan kreativiti GBM
tersebut juga secara langsung menanam nilai murni kepada murid supaya
melahirkan sesuatu yang berinovasi dalam pemikiran mereka.
Di samping itu, penghasilan proses pengajaran berkesan juga meliputi
hubungan dua hala antara GBM dan murid. Bagi menjamin kelangsungan

setiap isi pelajaran yang disampaikan hubungan ini akan merangsang


tindak balas (respons) daripada kedua-dua pihak. Perhubungan GBM dan
murid-murid terutamanya dalam bilik darjah berperanan sebagai medium
yang menghubungkan isi pelajaran supaya ia dapat diterima sepenuhnya
oleh murid. Sehubungan itu, kemahiran berkomunikasi GBM yang
melibatkan gabungan inovasi dapat mewujudkan suatu suasana yang
dapat mempengaruhi minda dan respons muridnya. Selain itu, Komunikasi
yang baik diantara GBM dan murid akan mewujudkan kemesraan yang
memberi kesenangan dalam proses pembelajaran sekaligus memberi
input pengetahuan bermanfaat bagi murid-murid. Justeru, GBM
sewajarnya memberi penekanan terhadap hal ini agar dapat
menyumbang ke arah proses pendidikan melalui peningkatan dan
perkembangan hubungan sosial positif terhadap setiap anak didiknya.
Inovasi dalam proses pengajaran juga melibatkan teknik atau kaedah
yang digunakan oleh seorang GBM terhadap penyampaian kandungan
pelajarannya. Kemahiran yang ada dalam menguruskan hal-hal ini akan
menjana kemajuan dan prestasi murid ke arah membentuk kefahaman
mereka. Abd Ghafar Md. Din (2003) menyatakan hal ini bergantung
kepada beberapa faktor yang melibatkan masa pengajaran, jumlah murid,
bahan pengajaran dan lain-lain lagi. Menurut beliau lagi, dengan
menggunakan pelbagai kaedah pengajaran atau teknik pelajar tidak akan
berasa bosan. Oleh demikian, teknik atau kaedah pengajaran yang
bersesuaian akan menjadikan pengajaran GBM lebih menarik dan
berkesan. Oleh itu, ia melibatkan kemahiran dan idea-idea kreatif seorang
GBM bagi menguruskan hal-hal ini.
Dalam proses pengajaran ia melibatkan gabung jalin isi pelajaran dan
aktiviti murid. Bagi mencapai matlamat pengajaran sekaligus menjamin
keberkesanannya ia haruslah memberi fokus kepada kecenderungan
murid. Ini melibatkan kebebasan memilih pendekatan serta teknik P&P
mengikut kemampuan murid agar dapat memberi sepenuh perhatian.
Dengan demikian, daya inovasi GBM menjadi asas dalam mencorakkan
proses pengajaran supaya dapat mewujudkan keceriaan murid menerusi
aktiviti-aktiviti pengajaran seperti melakukan eksperimen, demonstrasi,
lakonan dan sebagainya yang memperlihatkan perkara-perkara praktikal.
Selain itu, kreativiti GBM dapat diwujudkan dalam menyampaikan isi
pelajaran semasa proses P&P dengan mengaitkannya dengan isu-isu
semasa yang menjadi sumber maklumat tambahan kepada murid-murid.
Penerangan isi pelajaran dengan perkaitan sumber maklumat semasa
akan mencambahkan minda dan pengetahuan sedia ada murid.
Seterusnya hal ini akan membentuk kefahaman maksimum dan
penerapan ilmu serta mendedahkan mereka kepada realiti dunia semasa.
Tuntasnya, kemahiran dan kebolehan para GBM dalam mengendali setiap
proses P&P bergantung kepada keupayaan kreativiti dan inovasi mereka
dalam mempelbagaikan corak penyampaian isi pelajaran. Justeru, proses
pengajaran sedemikian akan menjadikan murid dapat mengikuti setiap isi
pelajaran yang disampaikan serta dapat menguasai pemikiran mereka
supaya dapat memberi sepenuh perhatian semasa proses P&P
dilaksanakan.

KESIMPULAN
Keberkesanan proses pengajaran berinovasi dalam proses P&P merupakan
aspek yang sangat penting dalam sistem pendidikan. Justeru, bagi

meningkatkan dan memperhebat usaha-usaha ke arah amalan pengajaran


berkesan memerlukan kepada daya inovasi GBM yang dapat
menggunakan segala kebolehan dan kemahiran dalam menyampaikan isi
pelajaran. Ini dapat dilakukan berdasarkan ketajaman idea-idea baru bagi
menjana penguasan maksimum murid-murid terhadap ilmu pengetahuan
yang disampaikan. Sungguhpun kemudahan teknologi pengkomputeran
menjadi arus perdana masakini menjadi dasar kemajuan pembangunan
baru, namun keberkesanannya dalam proses pengajaran hanya dillihat
sebagai suatu sumber kemudahan yang tidak bersifat sepenuhnya. Oleh
itu, adalah menjadi keutamaan bagi para GBM menggunakan daya inovasi
mereka bagi mewujudkan kedinamikan proses P&P tanpa bergantung
sepenuhnya dengan kemudahan teknologi pengkomputeran.

Perlaksanaan Inovasi Di Dalam Bilik Darjah (PowerPoint


Interaktif)
Kelebihan Penggunaan inovasi PowerPoint Interaktif Dalam Bilik Darjah
Pada zaman sekarang, teknologi maklumat dan komunikasi tidak perlu diperkatakan lagi.
Boleh dikatakan hampir semua masyarakat mengetahui kepentingannya. Sama ada dalam
bidang pendidikan, pentadbiran, pertahanan dan sebagainya. Namun, sejauh manakah
teknologi maklumat dan komunikasi ini digunakan secara maksimum oleh para guru di
sekolah sebagai bahan mengajar di kelas.
Kebanyakan bahan mengajar berteraskan ICT agak jarang digunakan kerana tidak berapa
mesra pengguna dan, kandungan yang kurang sesuai dengan budaya pembelajaran di
sekolah dan sebagainya. Selain itu, bahan mengajar berteraskan ICT banyak dibina oleh
pihak luar dan kurang menepati citarasa guru serta murid di sekolah. Ada kalanya terlalu
canggih sehingga sukar dipelajari dan digunakan di sekolah.
Justeru, satu inovasi telah dicipta untuk menjadi pemudah cara kepada guru di sekolah
untuk menggunakan bahan mengajar berteraskan ICT secara mudah dan ringkas. Seperti
yang telah diketahui, perisian Windows PowerPoint sering digunakan untuk membentangkan
teks dan gambar atau sebagai pengganti kepada penggunaan papan hitam dan OHP. Tidak
dinafikan kebanyakan guru hari ini menggunakan PowerPoint yang menarik di dalam kelas.
Namun, ianya bersifat statik dan berpusatkan guru.
Sebenarnya, perisian PowerPoint boleh dipelbagaikan dan sebagai alat untuk
menghasilkan perisian pembelajaran interaktif seperti mana perisian-perisian yang dijual di
kedai. Cuma ianya perlu sedikit masa untuk dipelajari oleh guru. Tambahan pula, perisian ini
mampu menjimatkan kos dan boleh dilakukan oleh guru sendiri ketika di rumah atau
sekolah.
Berbanding perisian yang dibeli dari luar, ianya tidak boleh diubah suai atau ditambah untuk
disesuaikan dengan tahap pembelajaran murid di sesebuah sekolah. Tentulah keadaan ini
menyukarkan guru sekiranya perisian tersebut tidak sesuai untuk muridnya. Selain itu,
perisian dari luar juga bersifat universal dan umum kerana dibina untuk pasaran seluruh
negara. Justeru, kemungkinan ianya tidak selaras dan tidak ada perkaitan dengan
persekitaran murid-murid. Bagaimana murid hendak menggabungkan pengalaman sedia
ada dengan perkara yang dipelajarinya sekiranya bahan pembelajaran tiada unsur
kesamaan dengan persekitaran mereka.
Dengan adanya inovasi perisian PowerPoint interaktif ini, guru di sekolah bebas
merancang, mengaplikasi, mengubah, menambah dan menambah baik perisian tersebut di

sekolah. Sebagai guru, sudah tentulah mereka lebih faham dan tahu kehendak serta
keperluan murid mereka. Maklum balas murid juga boleh diambil dan dibuat refleksi
terhadap perisian tersebut.
Alam pekerjaan zaman sekarang yang memerlukan kemahiran dalam bidang ICT
terutamanya komputer. Justeru, adalah amat baik sekiranya murid-murid didedahkan
dengan ICT sejak sekolah rendah supaya mereka sudah biasa dengannya. Apabila mereka
sudah terbiasa sejak kecil dan dibekalkan dengan kemahiran ICT, ianya berguna apabila
mereka melangkah ke pusat pengajian tinggi dan alam pekerjaan.
Globalisasi yang melanda dunia pada zaman sekarang menjadikan perkongsian ilmu
menjadi mudah. Bahan inovasi seperti PowerPoint interaktif ini boleh dijadikan contoh serta
dikongsi dengan mudah melalui softcopy. Bahan softcopy ini boleh dipindahkan melalui emel
atau salinan dalam cakera keras. Dengan itu, guru di tempat lain juga dapat berkongsi dan
menggunakan bahan inovasi ini. Manfaat dapat dikongsi dengan mudah dan cepat.
Kelemahan Penggunaan inovasi PowerPoint Interaktif Dalam Bilik Darjah
Walaupun bahan pengajaran berasaskan ICT memberi pelbagai kelebihan dan kemudahan
kepada proses pembelajaran dalam kelas, namun ianya juga mempunyai pelbagai
kelemahan. Oleh kerana bahan berasaskan ICT memerlukan peralatan elektronik seperti
komputer, projektor dan monitor, kebarangkalian untuk peralatan tersebut rosak, gagal
berfungsi adalah tinggi. Ia boleh menjejaskan kelancaran pengajaran guru dan kegagalan
untuk mencapai objektif pembelajaran.
Kepelbagaian latar belakang murid juga memberi kesan kepada penggunaan ICT dalam
bilik darjah. Tidak semua murid mempunyai asas komputer yang baik. Bagi murid yang lahir
daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan, luar bandar dan pedalaman, komputer
merupakan sesuatu yang asing. Justeru, adalah sukar untuk murid sebegini mempelajari
sesuatu menggunakan bahan berasaskan ICT. Dikhuatiri mereka akan ketinggalan dan tidak
mampu mempelajarinya berbanding rakan mereka yang lain.
Seterusnya, kebanyakan bahan pengajaran berasaskan ICT mempunyai unsur permainan,
hiburan dan multimedia. Pada awalnya ia dibuat untuk meransang minat murid. Tetapi,
murid pada peringkat umur kanak-kanak biasanya mempunyai sifat ingin tahu yang sangat
tinggi. Mereka akan mudah leka dan ketagih dengan unsur permainan tersebut sehingga
menjejaskan pembelajaran mereka.
Kemudian, bahan pengajaran berasaskan ICT sebenarnya kurang memberi pengalaman
sebenar kepada murid. Hal ini kerana kebanyakan bahan berasaskan ICT hanyalah sebagai
simulasi, contoh dan gambaran, bukannya keadaan sebenar di dunia realiti. ICT mungkin
tidak mampu memberi kesan pembelajaran seperti mana pembelajaran di luar bilik darjah
yang lebih berkesan dalam membina pengetahuan berasaskan pengalaman sebenar.
Jika pembelajaran menggunakan komputer dilakukan, kesan buruknya ialah murid belajar
secara pasif dengan hanya duduk di hadapan komputer. Komunikasi antara murid dengan
guru dan murid dengan murid mungkin tidak berjalan dengan baik. Murid akan terlalu asyik
dengan perisian komputer tanpa menghiraukan arahan guru dan komunikasi dengan rakan
mereka. Hal ini sudah tentu menjejaskan perkembangan kemahiran komunikasi mereka di
sekolah.
Kesan negatif kepada guru pula ialah apabila mereka mahir menggunakan ICT, mereka
akan mula mengambil mudah semasa membina bahan pengajaran. Bahan sedia ada akan
hanya diubah mengikut keperluan subjek. Hal ini sudah tentu membantutkan pemikiran
kreatif dan kritis guru dalam menghasilkan bahan pengajaran. Walhal, sumber bahan
pengajaran adalah pelbagai, bukan hanya tertumpu pada ICT semata-mata.

Apabila ICT diberi tumpuan secara berlebihan, makan kaedah pengajaran guru tidak
pelbagai. Jika dilihat kaedah pengajaran biasa dan konvensional juga mempunyai kelebihan
tersendiri dan tidak harus dibuang begitu sahaja.
Pelaksanaan Inovasi Dalam Bilik Darjah
Seterusnya, mari kita bincangkan tentang huraian pelaksanaan inovasi ini dalam bilik darjah.
Perisian inovasi ini memerlukan bilik darjah atau makmal komputer yang lengkap dengan
komputer. Sekiranya bilangan komputer terhad, ia masih boleh digunakan. Keperluan asas
peralatan komputer seperti tetikus, papan kekunci dan pembesar suara diperlukan. Untuk
pengetahuan, perisian inovasi ini hanya menggunakan perisian Microsoft PowerPoint dan
tidak memerlukan proses install yang kadang-kala merumitkan. Perisian ini hanya
memerlukan guru copy and paste dalam komputer. Perisian yang tidak memerlukan proses
install boleh menjimatkan masa dalam kelas.
Perisian ini memanipulasi fungsi hyperlink, command button, text box dan animation untuk
menghasilkan slide yang interaktif dan mewujudkan hubungan dua hala dengan pengguna.
Bahan audio dan video diselitkan dalam PowerPoint untuk meransang minat dan deria
murid.
Semasa digunakan dalam bilik darjah, guru boleh membahagikan murid kepada kumpulan
atau individu. Dalam perisian PowerPoint ini, terdapat unsur multimedia seperti gambar,
video, audio dan animasi. Terdapat juga butang-butang akses (button) untuk memudahkan
murid meneroka perisian ini. Setiap fakta dan maklumat isi pelajaran yang perlu diingat
murid, disusun secara tersembunyi supaya murid mencari sendiri. Kaedah ini bertujuan agar
murid mudah menghafal dan faham perkara yang dipelajari.
Jika dilihat sebelum ini, semasa guru menggunakan PowerPoint dalam kelas, murid
menunjukkan reaksi teruja. Namun, murid jarang diberi peluang untuk mencuba sendiri
PowerPoint tersebut. Justeru, dengan adanya perisian ini, ia dapat memberi peluang murid
merasai sendiri pengalaman belajar yang menyeronokkan. Murid dibiarkan bermain,
mencuba, menjawab dan meneroka sendiri perisian inovasi ini.
Kemudian, perisian ini membahagikan isi pelajaran mengikut tajuk dan bahagian. Ianya
dibuat berdasarkan huraian sukatan pelajaran terkini. Murid akan mempelajari setiap tajuk
dengan teratur seperti yang dirancang oleh guru. Pada akhir bahagian diselitkan dengan
soalan-soalan ujian pemahaman. Soalan pemahaman dibuat secara menyeluruh oleh guru
mengikut tahap dan kemampuan murid. Di sini guru boleh memantau terus perkembangan
murid. Memandangkan perisian ini hanya menggunakan PowerPoint dan boleh diubah bilabila masa, guru boleh menambah atau mengubah soalan yang lebih sesuai dengan murid
sekiranya murid gagal atau tidak faham.
Perisian inovasi ini memerlukan murid meneroka sendiri pengetahuan, maka ianya dapat
membantu murid yang pasif dan pemalu dalam kelas untuk belajar dengan lebih berkesan.
Seterusnya motivasi murid juga semakin bertambah baik. Hal ini menepati matlamat
penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Selalunya, apabila dalam kelas murid kurang berkeyakinan untuk mencuba sesuatu
perkara. Dengan adanya inovasi ICT ini, ianya dapat membantu murid mencuba dan
melakukan perkara yang sukar dilakukan semasa proses pengajaran guru biasa. Hal ini
memupuk nilai yakin diri dan keberanian murid semasa proses pembelajaran.
Akhir sekali, semasa ia dilaksanakan dalam bilik darjah guru boleh memasukkan sedikit
pengisian tentang kemahiran asas menggunakan komputer seperti belajar menaip,
menggunakan tetikus dan sebagainya. Walaupun kemahiran ini nampak remeh, namun
ianya tetap memberi kesan kepada murid dalam membiasakan diri mereka dengan
komputer.

Anda mungkin juga menyukai