Anda di halaman 1dari 7

Pidato Pendidikan Cemerlang Teras Negara Terbilang

Terima kasih peneraju acara, yang dihormati panel juri teguh saksama, penjaga
masa yang setia dengan randiknya, guru-guru berintegriti dan seluruh warga dewan
yang berkarisma. Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia, Di pentas perdana ini
dengan penuh iltizamnya saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk
Pendidikan Cemerlang Teras Negara Terbilang. Justeru sebelum lidah petah
berkata, sebelum lafaz terus berbicara, izinkan saya menyatakan definisi tajuk saya.
Dalam kamus dewan edisi keempat menyatakan bahawa pendidikan
merupakan keprihalan mendidik. Cemerlang pula diertikan sebagai bersinar dengan
terang, berkilauan dan gilang-gemilang. Negara pula dirujuk sebagai suatu
masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan
manakala terbilang pula dirujuk sebagai yang terkenal dan terkemuka. Maka jika
digabungkan kata-kata ini maka muncullah satu makna untuk memberi peringatan
yang sangat keramat kepada kita semua iaitu bertapa pentingnya pendidikan untuk
majukan Negara untuk nusa dan bangsa tercinta.
Maka, berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dilihat mampu
melahirkan masyarakat yang bertamadun demi mencapai wawasan negara maju
yang kita impikan selaras untuk menjadikan Malaysia sebuah negara terbilang teras
pendidikan cemerlang.
Persoalannya, bagaimanakah kita dapat merealisasikan pendidikan cemerlang demi
membentuk negara terbilang?
Maka, berdirinya saya dihadapan ini adalah untuk menyatakan 3 indikator yang
menyokong tajuk ini yang akan saya kupas satu persatu. Maka, hayatilah cetusan
minda kurniaan Tuhan, rempuhan idea pertama ialah Sekolah Cemerlang,
Pendidikan Gemilang.
Menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, institusi sekolah sentiasa
ditambahbaikkan, sekolah kebangsaan diperkasakan, jurang pendidikan dirapatkan,
sekolah wawasan diwujudkan, semuanya untuk menyemai budaya kecemerlangan
dan semangat perpaduan ke arah 1Malaysia yang kita gagaskan. Dalam era
kemodenan, sekolah bestari menjadi pilihan, aplikasi ICT banyak digunakan, malah
pedagogi guru mampu ditingkatkan. Bagi menangani golongan pelajar bermasalah,
pendekatan kaunseling dibuat secara berhemah, penerapan disiplin membentuk
sahsiah, ketrampilan murid kian terserlah, bukti pendemokrasian pendidikan tidak
pernah goyah.

Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pula, Orang ramai


dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem
pendidikan negara tidak lama selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Antara hasil awal yang dijangka dilihat ialah syarat pengambilan guru diperketat
dan dikuatkuasakan di semua institut pendidikan guru dan institusi pendidikan
tinggi awam. Ia turut menyasarkan 100 peratus sekolah mempunyai sambungan
Internet dengan kelajuan sekurang-kurangnya 4Mbps melalui 1BestariNet,

Satu lagi hasil awal yang dijangka diraih susulan pelaksanaan pelan
pendidikan itu ialah semua guru opsyen bahasa Inggeris di bawah tahap
penguasaan, dilatih untuk meningkatkan kemahiran.

Daripada segi ujian, 20 peratus daripada soalan peperiksaan akan digunakan


untuk mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.

Prestasi guru turut diberi keutamaan dengan 410,000 guru akan dinilai
melalui apa yang disifatkan sebagai instrumen bersepadu, dan 61,000 guru bahasa
Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa.

"Perubahan ini akan menjadi asas hasil yang dihasratkan untuk masa depan,"
kata pelan pembangunan berkenaan.

Pelan itu melakarkan visi sistem pendidikan dan aspiasi pelajar yang dapat
memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan


oleh Kementerian Pendidikan untuk mencapai visi yang dihasratkan.

Hakikatnya, institusi pendidikan kita terbukti cemerlang apabila Laporan Daya Saing
Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan negara di tangga
ke-14 daripada 142 buah negara. Malah, transformasi pendidikan telah melonjakkan
kecemerlangan apabila 182 buah sekolah kluster berjaya dikenalpasti, 66 buah
sekolah pula diiktiraf berprestasi tinggi bahkan 2450 buah sekolah dilihat berpotensi

memperbaiki Gred Purata Sekolah sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, Sekolah
Gemilang, Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang.

Hadirin sekalian,
Rempuhan idea yang kedua Guru Cemerlang, Pendidikan Gemilang.

Kecemerlangan sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya ditunjangi oleh 5 prinsip


utama golongan pendidik kita, iaitu kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa,
kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta kecintaan terhadap profesion
keguruan. Lantaran itulah, Standard Guru Malaysia telah dilancarkan, Petunjuk
Prestasi Utama Sektor Pendidikan terus diperkasakan, Guru Cemerlang diberi
pengiktirafan, Tawaran Baiah Baru turut diberikan, bukan untuk menambah beban
atau tekanan, tetapi sebagai dorongan untuk merintis perubahan demi kemajuan
dunia pendidikan. Kepimpinan bertauladan turut dijadikan teras utama lebih-lebih
lagi dalam pengurusan masa, tanggungjawab bersama, amalan etika dan budaya
kerja dalam meningkatkan kualiti pendidikan.

Hasilnya kini, bilangan guru dan pengetua cemerlang telah mencecah 8125 orang
berbanding 5984 orang pada tahun 2010. Lebih membanggakan lagi, Kajian Indeks
Persepsi Murid 2012 mendedahkan bahawa 97.4% murid-murid Malaysia
menganggap guru-guru mereka bersifat penyayang, berdedikasi malah menjadi
sumber inspirasi. Benarlah nukilan pantun, berburu ke padang datar, dapat rusa
belang di kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Terima kasih
guru-guru Malaysia dalam menjayakan hasrat Pendidikan Cemerlang, Negara
Terbilang.

Hadirin sekalian,
Rempuhan idea ketiga Pendidikan Cemerlang, Modal Insan Gemilang.

Sedarkah kita bahawa hari ini gejala sosial bermaharajalela, mat rempit dan bohsia
jadi idola, zina pula dianggap biasa, bayi dihumban tanpa kasihan, dipijak ditendang
tanpa ihsan, lebih menyedihkan hati, bapa dicaci, ibu dimaki. Jelaslah, dalam dunia
moden kini, modal insan bermoral tinggi bukan lagi satu kemewahan tetapi satu
keperluan. Maka dalam membentuk ketrampilan modal insan, pendidikan seimbang
kita aplikasikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, pengisian

kokurikulum kita perhebatkan, Dasar 1Murid 1Sukan kita lancarkan, kempen budi
bahasa kita jayakan, bahkan disiplin pelajar kita tingkatkan.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita terbukti cemerlang dalam melahirkan


individu yang kompetitif dan dinamik bagi mewarisi kepimpinan negara. Sekadar
menyebut beberapa contoh, menerusi transformasi pendidikan, kita mampu
menghasilkan lebih ramai pelajar pintar seperti Nur Amalina Che Bakri, lebih ramai
atlit muda seperti Dato Nicol Ann David, lebih ramai tokoh belia seperti Zuraidi
Komari, malah lebih ramai idola remaja seperti Imam Muda Asyraf. Hakikatnya jelas,
Pendidikan Cemerlang Melahirkan Modal Insan Gemilang Demi Memacu Kejayaan
Negara Terbilang.

Ya, hadirin sekalian. Secara kesimpulannya, Negara yang mempunyai potensi untuk
dimajukan jika tidak disokong dengan sistem pendidikan yang mantap umpama
tanah subur di ladang yang tidak diusahakan. Benih yang baik juga jika tidak
disemai, dibaja dan dijaga dengan sempurna tidak akan memberi apa-apa makna.
Tegasnya pendidikan yang berkesan akan melahirkan generasi berakhlak mulia,
berilmu, berketerampilan dan berdaya saing untuk meletakkan nama Negara duduk
sama rendah berdiri sama tinggi di mata dunia. Pendidikan cemerlang menjelaskan
kolerasi yang terjalin antara institusi pendidikan berkualiti, golongan pendidik
berdedikasi dan kemenjadian pelajar modal insan berintegriti. Apabila kesemua
ramuan ini mampu kita adun bersama, maka pendidikan kita akan menjadi lebih
bermakna sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra negara yang berjaya. Oleh
itu marilah kita bersama-sama memartabatkan sistem pendidikan Negara. Benarlah
bahawa Pendidikan Cemerlang Teras Negara Terbilang.

KUALA LUMPUR: Peningkatan kualiti dalam pendidikan antara lima inisiatif utama
dicapai dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam transformasi pendidikan negara, kata
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata empat aspek lain adalah peningkatan akses kepada pendidikan
berkualiti; ekuiti dalam pendidikan; memupuk perpaduan dalam pendidikan dan
mempertingkat kecekapan penyampaian pendidikan.

"Saya merasa bangga kerana dapat merealisasikan Anjakan 11 PPPM dengan


menyampaikan laporan tahunan yang kedua bagi pelaksanaan PPPM.

"Saya bangga dengan komitmen yang ditunjukkan bukan sahaja warga pendidikan,
tetapi juga ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam merealisasikan PPPM," kata
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan semasa membentangkan Laporan Tahunan
2014 PPPM 2013-2025 di Dewan Kompleks Seri Bintang di sini, hari ini.

Di bawah aspek peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti, beliau berkata


antara kejayaan yang dicapai adalah peningkatan enrolmen prasekolah daripada
81.7 peratus kepada 84.2 peratus hasil daripada usaha kementerian menyediakan
pelbagai inisiatif dan insentif.

Selain itu, katanya perubahan ketara juga dapat dilihat dalam pendidikan lepas
menengah apabila lima pusat tingkatan enam di Johor, Kuala Lumpur, Kedah,
Selangor dan Sabah ditubuhkan pada tahun lepas.

Muhyiddin berkata peningkatan kualiti dalam pendidikan turut dititik-beratkan


antaranya pelaksanaan program LINUS 2.0 (program saringan literasi dan numerasi)
dengan 98.7 peratus murid tahun tiga berjaya menguasai literasi asas bahasa
Melayu, 99 peratus menguasai numerasi asas dan 78.3 peratus murid tahun dua
menguasai literasi asas bahasa Inggeris, daripada lebih sejuta murid yang melalui
proses saringan.

"Program kompetensi guru bahasa Inggeris turut diteruskan sebagai


kesinambungan usaha yang dijalankan pada 2013, dimana seramai 10,502 guru
bahasa Inggeris telah dilatih semula di bawah Programme for English Language
Teachers (ProELT).

"Usaha yang lebih berfokus untuk meningkatkan profisiensi bahasa Inggeris turut
dilaksanakan dengan mengenal pasti 1,191 sekolah 'hotspot' bahasa Inggeris iaitu
sekolah yang berada di bawah purata kebangsaan untuk markah lulus bahasa
Inggeris," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata melalui program Sarana Ibu Bapa pula, mereka
termasuk komuniti berusaha meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan masing-

masing antaranya menyediakan Smart TV dalam bilik darjah dan program


pertukaran budaya di luar negara.

Mengenai ekuiti dalam pendidikan, Muhyiddin berkata kementerian sentiasa


komited untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar seperti yang
dijanjikan PPPM.

"Menerusi Program Transformasi Daerah kita berjaya mengurangkan sekolahsekolah Band 6 dan 7 daripada 1.39 peratus pada 2013 kepada 0.9 peratus pada
2014.

"Manakala sekolah-sekolah dalam Band 1 dan 2 meningkat kepada 36.8 peratus


pada 2014 berbanding 31 peratus pada 2013," kata beliau.

Dalam pada itu kementerian turut meningkatkan usaha menerapkan perpaduan


dalam pendidikan melalui Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
melibatkan 3,011 sekolah di seluruh negara, katanya.

Katanya kajian yang dijalankan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pada tahun lepas
menunjukkan 87.2 peratus murid berinteraksi dengan rakan-rakan daripada bangsa
lain dalam kelas semasa menjalankan aktiviti kokurikulum dan sukan.

Muhyiddin berkata bagi mempertingkatkan kecekapan penyampaian pendidikan,


kementerian turut berusaha memaksimumkan keberhasilan pelajar bagi setiap
ringgit yang dibelanjakan.
"Dari segi peruntukan pada 2014, kementerian telah menyalurkan 23 peratus
daripada simpanan bajet bukan emolumen kepada aktiviti yang memberi impak
secara langsung kepada keberhasilan murid, daripada sasaran 10 peratus yang
ditetapkan," katanya.

Menurutnya, selaras dengan pembelajaran abad ke-21, kementerian turut


memastikan 8,884 sekolah di seluruh negara dilengkapi 1BestariNet, manakala
6,623 sekolah dilengkapi internet berkelajuan tinggi.

"Selepas dua tahun kita dapat melihat perubahan yang berlaku dalam bilik darjah.
Bukan sahaja susun atur dalam kelas, tetapi peranan guru kini sudah berubah dan
lebih kepada menjadi fasilitator untuk membantu murid mendapat maklumat tepat
dan betul di hujung jari," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, melangkah ke akhir Gelombang 1 PPPM iaitu bagi
tempoh 2013 hingga 2015, semua pihak perlu berusaha gigih dan memberi
komitmen padu bagi memastikan peningkatan pencapaian secara berterusan bagi
setiap inisiatif transformasi yang telah dirancang.

Anda mungkin juga menyukai