Anda di halaman 1dari 19

Pertumbuhan dan Perkembangan Remaja

Berteraskan Falsafah Pendidikan Islam

Oleh:

 NIK AWANG B. YAACOB ( A120917 )

 NORZIANAH BT. NAYAN ( A120918 )

 AHMAD HILMI B. SAID ( A 120922 )

1.0 Pengenalan

Pertumbuhan dan perkembangan remaja sering mendapat tempat dan menjadi fokus yang
sangat dititikberatkan di bidang kajian psikologi perkembangan manusia. Tarikan ini
didorong oleh keunikan konflik yang wujud di dalam diri remaja semasa melalui proses
transformasi antara alam kanak-kanak menuju alam kedewasaan. Kewujudan konflik ini
menyebabkan remaja sering dilihat oleh masyarakat sebagai golongan minoriti yang
gemar mencetuskan perilaku salah dan memiliki keadaan minda yang tidak seimbang. G.
Stanley Hall (1904) mengenengahkan istilah ’storm and stress’ bagi menggambarkan
remaja sebagai ’zaman ribut dan tekanan dalam tempoh kehidupan manusia dengan
memiliki sifat tertentu, mengalami perubahan dan penuh dengan keganjilan’.

Proses melepaskan zaman kanak-kanak bagi membina asas kematangan alam dewasanya,
menjadikan remaja sering mengalami konflik sosial di antara pembentukan identiti diri
dengan kekeliruan peranannya dalam kehidupan. Arnett (2003) melihat remaja sebagai
’tempoh melalui konflik dengan ibubapa, perubahan mood yang cepat dan perilaku yang
berisiko’. Tempoh ini menyaksikan pelbagai persoalan kehidupan bermain di dalam
fikiran seseorang remaja. Persoalan ’siapakah saya?’, ’apakah tujuan hidup ini?’,
’kemanakah berakhirnya kehidupan?’ merupakan persoalan-persoalan biasa yang
memerlukan jawaban secara pembuktian. Kegagalan menyediakan jawaban terhadap
persoalan-persoalan yang timbul, menyaksikan remaja mudah terdedah dan terjebak
dengan tingkah laku ’delikuensi’ atau kenakalan. Rice (1990) menegaskan bahawa
’delikuensi merupakan perilaku bertentangan dengan undang-undang jenayah yang
dilakukan oleh juvenile’.
Justeru, bersesuaian dengan sifatnya sebagai tempoh menuju kedewasaan, remaja
memerlukan persekitaran dan sistem nilai yang baik dalam membentuk identiti diri.
Keperluan ini harus wujud di dalam institusi kekeluargaan, kemasyarakatan dan
pendidikan di mana remaja sedang melalui tempoh getir dalam kehidupannya. Biarpun
begitu, persoalan menyediakan remaja dengan persekitaran dan sistem nilai yang baik
bukanlah sesuatu yang mudah dan terbentuk secara semulajadi. Penyediaan ini perlu
melalui proses pendidikan bermatlamat sebagaimana ditegaskan oleh Wheeler (1973)
iaitu ’perubahan tingkah laku ke arah yang baik di samping menyediakan individu untuk
menjadi anggota masyarakat yang baik, mempunyai perasaan dan mengamalkan nilai-
nilai yang baik, sesuai dengan budaya hidup masyarakatnya’.

Bagi merungkai persoalan ini, Islam sebagai agama yang sempurna telah menyediakan
panduan yang cukup jelas dan teratur melalui falsafah pendidikannya dalam membentuk
keperibadian muslim termasuklah dalam menangani konflik remajanya. Justeru, sebelum
memperincikan isu-isu yang mewarnai pertumbuhan dan perkembangan remaja
berteraskan ’Falsafah Pendidikan Islam’, takrifan yang jelas haruslah diberikan tehadap
’konsep remaja’ dan ’Falsafah Pendidikan Islam’ yang menjadi tunjang kepada arah tuju
diskusi ini.

2.0 Takrifan

2.1 Konsep Remaja

Muss (1966) menakrifkan remaja dalam tiga peringkat dengan melihat dari i)Sudut
kronologi; di usia 12 hingga 13 tahun kepada awal 20an secara umumnya, ii)Sudut
psikologi; individu berada di pinggir keadaan dalam mencari keselarasan baru untuk
menukar sifat dan kelakuan yang keanak-anakan kepada sifat dan kelakuan orang dewasa
dalam masyarakat dan iii)Sudut sosiologi; zaman peralihan daripada anak-anak yang
bergantung kepada orang lain menuju dewasa yang berdikari.

Sementara Brooks-Gun & Warren (1985) pula menegaskan remaja sebagai ’satu
jangkamasa di mana peringkat kematangan telah tercapai, jangkamasa perubahan di
antara zaman kanak-kanak dan dewasa serta jangkamasa di mana individu yang tidak
matang dari segi emosi menjangkau zaman kemuncak perkembangan fizikal dan mental’.

Bagi Medinnus & Johnson (1976), remaja dilihat ’bermula dengan berlakunya
perubahan-perubahan fizikal dan berakhir apabila individu itu berperanan sebagai orang
dewasa’.

Berbeza dengan Super (1957) yang melihat zaman remaja sebagai ’jangkamasa
penerokaan masyarakat di mana mereka tinggal, budaya yang patut mereka masuki,
peranan yang mungkin dimainkan dan peluang-peluang untuk memainkan peranan di
mana yang sesuai dengan personaliti, minat dan bakat mereka’.

Jersild (1968) pula meletakkan remaja sebagai ’jangkamasa untuk perkembangan


keintelektualan dan penglibatan di dalam pengalaman akademik, berkemampuan untuk
memberi dan meluahkan pendapat, menilai ketepatan waktu, memberi idea tanpa
melibatkan penyertaan individu lain dan dapat berkomunikasi dengan orang lain’.

Apa juga takrifan yang cuba diberikan terhadap konsep remaja oleh sarjana-sarjana
psikologi, secara umumnya remaja bolehlah dirumuskan sebagai ’tempoh yang wujud
antara zaman kanak-kanak dengan alam kedewasaannya serta menjalani proses
perubahan dari segi fizikal, emosi dan sosial.

2.2 Falsafah Pendidikan Islam

Al-Syaibany (1991) menegaskan bahawa perkataan ’falsafah’ itu berasal dari bahasa
Yunani kuno dan dalam pengertian yang bebas ia bermaksud ’cintakan hikmah’.
Kenyataan ini disokong dengan pandangan Maimun Aqsa Lubis (1994) yang
menjelaskan bahawa perkataan ’falsafah’ bukan berasal daripada Bahasa Arab, tetapi
ianya merupakan Mu’rab, yakni bahasa asing yang diguna pakai dari dua akar kata iaitu
’philein’ beerti cinta dan ’sophia’ beerti kebijaksanaan(hikmah atau wisdom).
Selanjutnya Maimun Aqsa Lubis (1994) menakrifkan falsafah sebagai ’hasrat atau
keinginan yang sungguh-sungguh untuk mendapatkan kebenaran yang sejati serta
menghayati kebenaran tersebut’.

Yaljin (1991) pula berpendapat bahawa falsafah ialah ’usaha bersungguh-sungguh untuk
menyelesaikan masalah manusia dan kemanusiaan dalam masyarakat’. Bagi Yaljin
(1991), ahli-ahli failasuf Islam dari setiap zaman tidak akan lari daripada persoalan-
persoalan siapa anda?, dari mana anda datang?, kenapa anda berada di sini?, ke mana
anda akan pergi?, apakah tujuan hidup? dan apakah hakikat mati? sebagai asas
perbincangan. Justeru, secara umumnya falsafah itu dirumuskan sebagai ’satu usaha
untuk mencari kebenaran(seeking the truth) demi untuk menyelesaikan sesuatu masalah
atau menuju sesuatu matlamat’.

Pendidikan Islam pula mempunyai makna dan signifikannya yang tersendiri berasaskan
kepada ajaran Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan. An-Najjar (1989)
menegaskan bahawa ’ajaran Islam itu bersifat universal yang bersumberkan kepada Al-
Quran dan Sunnah’. Hasan Langgulung (1981) pula menggariskan ’selain bersumberkan
Al-Quran dan Sunnah, ajaran Islam juga mengambilkira kata-kata sahabat Rasullullah,
pemikir-pemikir Islam, nilai kebiasaan masyarakat(Al-’Urf) dan kemaslahatan sosial’.

Abdul Halim El-Muhammady (1993) pula melihat pendidikan Islam sebagai ’proses
mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber
wahyu, Al-Quran dan Sunnah, pengalaman Salaf Al-Salih serta ilmuan muktabar untuk
melahirkan insan soleh yang mampu memikul tanggungjawab khalifah yang
dipertanggungjawabkan oleh Allah S.W.T ke atas manusia supaya mengimarahkan alam
ini untuk kebahagian hidupnya di dunia dan akhirat’.

Huraian yang lebih mendalam dapat dinukilkan melalui takrifan yang diberikan oleh
Burlian Somad (1989) yang menggariskan pendidikan Islam sebagai ’aktiviti atau
kegiatan yang bertujuan membentuk individu menjadi seorang yang mempunyai
personaliti yang baik dan bernilai tinggi menurut kacamata Islam, membentuk rasa anak
didik menjadi halus dan tajam sehingga mampu mencintai Allah yang ghaib serta merasa
sangat takut mendapat azab Allah, merasa bertanggungjawab untuk mengangkat darjah
hidup kaum melarat dan anak-anak yatim, serta perasaan bertanggungjawab untuk
membela agama Allah dengan rela mengorbankan apa saja yang di miliki untuk
keperluan perjuangan kerana Allah’.

Pendidikan Islam dilihat menyatukan semua ilmu pengetahuan di bawah autority dan
pengendalian Al-Quran dan Sunnah yang merupakan teras dalam sistem pendidikan dan
kebudayaan Islam seluruhnya (Mohd. Kamal Hassan, 1981). Justeru, secara umumnya
pendidikan Islam bolehlah dirumuskan sebagai usaha atau proses mengajar, mengasuh,
mendidik dan mengembangkan potensi individu dari segi aqli, rohani, jasmani dan emosi
supaya menjadi insan seimbang yang mampu membangunkan diri, keluarga dan
masyarakat berteraskan ajaran Islam dengan matlamat mengecapi kebahagiaan hidup di
dunia dan kesejahteraan di akhirat.

3.0 Pertumbuhan Dan Perkembangan Remaja Berteraskan ’Falsafah Pendidikan


Islam’

Menjalani kehidupan remaja merupakan tempoh di mana seseorang individu yang masih
muda mempelajari tentang siapa dirinya dan melalui proses pembentukan identiti.
Menurut Erikson (1968), ’dalam proses pembentukan identiti diri dan mengetahui
kedudukan atau statusnya, kaum remaja mungkin berdepan dengan konflik kerana
terpaksa membuat penyesuaian di antara identiti lama iaitu nilai-nilai, sifat-sifat dan
tingkahlaku-tingkahlaku lama yang dipegangnya dengan identiti baru iaitu cara-cara
perlakuan baru seperti mana yang dikehendaki oleh orang dewasa dan masyarakatnya’.

Bagi merungkai permasalahan ini, Islam mendampingi remajanya melalui pendekatan


secara hikmah, yakni bijaksana dan berhati-hati bersesuaian dengan firman Allah(Surah
an-Nahl: 125), terjemahannya ;
’Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik serta berdebatlah
dengan mereka dengan sebaik-baiknya’

Menurut Muhammad Nasir (1978), hikmah di sini bermaksud mengenal golongan atau
sasaran dakwah dan cara mendekati mereka haruslah bersesuaian dengan tingkat
kecerdasan pemikiran atau akalnya. Kenyataan ini diperkukuhkan dengan hadith nabi
yang diucapkan oleh Umar al-Khattab bermaksud;
’Bercakaplah dengan sesuatu kumpulan orang itu mengikut kadar kemampuan akalnya’

Berasaskan pendekatan secara hikmah inilah ’Falsafah Pendidikan Islam’ tampil


menggariskan pelbagai kaedah dalam membentuk keperibadian remajanya. Bagi tujuan
diskusi ini hanya dua kaedah yang dilihat memberi impak yang besar terhadap
pembentukan remaja muslim akan diperkatakan iaitu melalui ’Kaedah Pengikatan’ dan
’Kaedah Pengancaman’.

3.1 Kaedah Pengikatan

Kaedah pengikatan bukanlah suatu kaedah pendidikan Islam secara khusus ditujukan
kepada golongan remaja, sebaliknya merupakan kesinambungan konsep pendidikan sejak
manusia dilahirkan, menjalani zaman kanak-kanak, melangkah ke alam remaja, dewasa,
seterusnya sehingga manusia kembali kepada rahmat Allah S.W.T. Seperti dinyatakan
terdahulu, Islam melihat tingkat kecerdasan pemikiran dan akal sebagai asas pendekatan
pendidikannya. Justeru, kaedah pengikatan di dalam konteks pendidikan remaja Islam
tentunya berbeza dengan kaedah pengikatan semasa di zaman kanak-kanaknya.
Bersesuaian dengan sifat alam remajanya, kemampuan menjana pemikiran dan kebolehan
membezakan sesuatu menjadikan pendekatan pendidikan yang digunakan turut berbeza.
Di peringkat ini, pendekatannya dilihat lebih terarah kepada usaha-usaha
memperkukuhkan kaedah pengikatan di zaman sebelumnya iaitu pengukuhan Ikatan
Kepercayaan(Aqidah), Ikatan Kerohanian, Ikatan Pemikiran, Ikatan Kemasyarakatan dan
Ikatan Riyadhah.

3.1.1 Pengukuhan Ikatan Kepercayaan(Aqidah)

Pengukuhan ikatan kepercayaan(aqidah) memberi fokus kepada usaha-usaha


memantapkan keyakinan dan kepercayaan remaja berhubung rukun-rukun iman serta
hakikat kewujudan hari akhirat yang ghaib. Persoalan hakikat keimanan kepada Allah
Azzawajalla, keimanan kepada para Malaikat, keimanan kepada kitab-kitab Allah,
keimanan kepada para Rasul Allah, keimanan kepada qhada dan qhadar, keimanan
kepada soalan-soalan dua Malaikat(Mungkar dan Nakir), keimanan kepada siksa kubur
serta keimanan kepada hal ehwal hari akhirat berhubung kebangkitan, hisab, syurga dan
neraka merupakan persoalan-persoalan yang wajar diperhalusi bersesuaian dengan
tingkat kecerdasan pemikiran dan akal remaja. Bersumberkan kepada Al-Quran dan
Sunnah, Islam mendekati remajanya dengan dalil-dalil yang jelas lagi nyata bagi
menjawab persoalan-persoalan keimanan seperti firman Allah(Surah al-Tariq: 5-10),
terjemahannya ;

’(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memerhatikan dari apa
ia dicipta? Ia dicipta dari air(mani) yang memancut (ke dalam rahim) yang keluar dari
tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk
mengembalikannya (hidup semula sesudah mati) pada hari didedahkan segala yang
terpendam di hati (dari iktikad, niat dan lain-lainnya). Maka (pada saat itu) tidak ada
bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang
dapat memberi pertolongan).’

Pengukuhan ikatan kepercayaan(aqidah) di dalam diri remaja juga dilihat sebagai


pengisian dan jalan keluar kepada konflik identiti yang wujud di dalam diri mereka.
Melaluinya, remaja bakal bertemu jawaban dan pembuktian kepada persoalan-persoalan
yang meruntun jiwanya. Malah, remaja akan mula mengenali dirinya, dari mana asal
kewujudannya, untuk apa dia diwujudkan dan kemana berakhirnya kehidupan ini?
Kemampuan menyediakan jawaban bagi persoalan-persoalan berbangkit akan
menghubungkan remaja dengan keteguhan aqidah ketuhanan yang Maha Esa dan bakal
menyaksikan lahirnya remaja yang mantap kepercayaannya kepada Allah,
muraqabah(mengawas diri) kepadaNya, takut kepadaNya, menyerah diri kepadaNya
dalam segala perkara yang baik dan buruk serta berpegang teguh kepada dasarNya dalam
segala hal yang disuruh dan ditegahNya. Perasaan keimanan yang tajam ini bakal
menjadi benteng di dalam diri remaja daripada kepincangan sosial dan keruntuhan moral,
malah akan terpancar keperibadian yang luhur, berdiri di atas petunjuk yang benar serta
menuju ke arah shiraathilmustaqiim (jalan yang lurus).

3.1.2 Pengukuhan Ikatan Kerohanian

Islam mendidik remajanya untuk mencipta identiti dan personaliti bermatlamatkan


kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Matlamat yang menjadi
pengukur kepada makna kebahagian ini meletakkan soal pembentukan akhlak
bersesuaian dengan akhlak Al-Quran dan akhlak Rasullullah S.A.W sebagai suatu
keutamaan. Berhubung pendekatan ini, Al-Ibrashy (1976) menegaskan bahawa
’pendidikan Islam membentuk umatnya supaya berakhlak mulia, mendidik roh supaya
halus dan sempurna, mengasuh mereka melakukan perkara yang baik, terhormat,
membiasakan diri mereka dengan adab-adab yang mulia, kebersihan, kesucian dan
keikhlasan serta amalan-amalan yang berfaedah’.

Bagi merealisasikannya, pengukuhan ikatan kerohanian di lihat berperanan besar


memantapkan jiwa remaja dengan menerapkan nilai-nilai kesucian hati berteraskan
semangat keimanan dan keikhlasan kepada Allah S.W.T. Ikatan kerohanian ini boleh di
capai melalui lima pendekatan iaitu ikatan dengan peribadatan, ikatan dengan Al-Quran
Al-Karim, ikatan dengan masjid, ikatan dengan zikrullah, ikatan dengan amalan ibadat
Nawafil(sunnat) dan ikatan dengan Muraqabah(mengawas diri) kepada Allah S.W.T.

Ikatan dengan peribadatan ini dimulai dengan ibadat sembahyang lima waktu sehari
semalam yang diwajibkan ke atas umat Islam seawal usia transfomasi daripada alam
kanak-kanak ke alam remaja sebagaimana sabda Rasullullah S.A.W yang diriwayatkan
oleh Al-Hakim dan Abu Daud daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a yang
bermaksud ;
’Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang, apabila mereka mencapai usia tujuh tahun,
dan pukullah mereka kerana tidak bersembahyang apabila mereka mencapai usia sepuluh
tahun, dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur’

Peribadatan sembahyang ini juga dikiaskan dengan ibadat puasa, ibadat haji dan ibadat
zakat. Malahan ibadat yang dianjurkan oleh Islam adalah tidak terbatas kepada empat
rukun ibadat itu sahaja, tetapi juga merangkumi segala amalan baik yang wajar
dilaksanakan oleh seseorang muslim mengikut cara yang dibenarkan oleh Allah S.W.T
dan dilakukan adalah keranaNya. Justeru, Islam mendedahkan remajanya dengan prinsip-
prinsip kebaikan dan keburukan, halal dan haram serta kebenaran dan kebatilan sebagai
asas pembentukan personalitinya. Anjuran ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W
yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir yang bermaksud ;

’Kerjakanlah segala rupa ketaatan kepada Allah, dan takutlah membuat maksiat-maksiat
kepadaNya, dan suruhlah anak-anak kamu supaya menurut segala perintah Allah, dan
meninggalkan laranganNya. Itulah yang dikatakan pemeliharaan diri mereka dan diri
kamu daripada api neraka’

Ikatan dengan Al-Quran Al-Karim pula adalah di dasarkan kepada sabda Rasulullah
S.A.W sebagaimana riwayat oleh Al-Thabarani daripada Saidina Ali K.W.J yang
bermaksud ;
’Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara; Cinta kepada Nabi kamu, cinta kepada kaum
keluarganya serta membaca Al-Quran. Sesungguhnya para pembaca Al-Quran itu berada
di dalam naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan melainkan naunganNya bersama-
sama para NabiNya dan orang-orang suciNya’

Bersesuaian dengan sifatnya sebagai pemberi petunjuk, Al-Quran merupakan panduan


yang jelas lagi nyata bagi merungkai segala persoalan yang membelenggu jiwa remaja. Ia
merupakan kitab yang memandu manusia keluar daripada kegelapan jahiliah kepada
cahaya keimanan, membimbing setiap yang beriman menjadi muslim berkeperibadian
tinggi dan baik untuk meneruskan hidup dalam masyarakat manusia. Malah Al-Quran
juga merupakan sumber segala ilmu (Rabih, 1982). Remaja yang diikat dengan naungan
Al-Quran bakal melahirkan generasi pewaris yang mantap rohaninya, kukuh
keimanannya dan sempurna akhlaknya.

Ikatan dengan masjid pula merupakan suatu pendekatan yang dianjurkan oleh Islam
dalam menyediakan remajanya yang berketerampilan, baik budi pekerti, berakhlak mulia
dan sentiasa di dalam naungan petunjuk Allah S.W.T. Islam melihat masjid berperanan
sebagai institusi pembentuk keperibadian, pusat penyebaran ilmu, medium pengerat
ikatan kasih sayang dan persaudaraan. Melalui aktiviti-aktiviti yang boleh dimainkan
oleh institusi ini, remaja bakal mendapat faedah yang cukup besar dalam membentuk
keperibadiannya, menangani konflik identiti dan menyediakan asas kedewasaan
berteraskan kemurnian didikan ajaran Islam. Kepentingan masjid dalam kehidupan
manusia dapat dilihat melalui sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Daud
dan At-Tirmizi yang bermaksud ;

’Berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam gelap gelita ke
masjid, bahawa mereka akan mendapat cahaya yang terang benderang pada hari
kiamat’

Begitu juga dengan sabda Rasulullah S.A.W sebagaimana riwayat Muslim yang
bermaksud ;

’Tiada suatu kaum berkumpul di salah satu dari rumah-rumah Allah, mereka membaca
kitab Allah, mereka bertadarus antara sesama sendiri, melainkan turun ke atas mereka
ketenteraman, mereka dikelubungi oleh rahmat, dan dikelilingi oleh para malaikat serta
disebutkan mereka oleh Allah kepada siapa yang ada di sisiNya’

Ikatan dengan zikrullah pula dapat dilihat kepentingannya melalui firman Allah(Surah
Al-Baqarah: 152), terjemahannya ;

’Ingatilah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu’

Begitu juga dengan sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang
bermaksud ;

’Perumpamaan orang yang mengingati Allah, dan orang yang tiada mengingatiNya
adalah laksana orang hidup dengan orang yang mati’

Justeru, pengikatan remaja dengan zikrullah merupakan asas dalam membina


pengukuhan alam rohani yang mampu menghadirkan kebesaran Allah S.W.T di dalam
dirinya. Kesinambungannya, akan terpancar dari dalam diri remaja nilai-nilai murni
berteraskan ajaran Islam dan terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang
dilarang ke atas dirinya dengan sentiasa muraqabah(mengawas diri) kepadaNya. Remaja
yang sentiasa menghadirkan ingatannya terhadap Allah S.W.T bukan sahaja mengisi
alam remajanya dengan kebahagian dan ketenangan, malah bakal melangkah ke alam
dewasanya dengan penuh kenyakinan dan berkemampuan memimpin generasinya.

Ikatan dengan amalan ibadat Nawafil(sunat) pula merujuk kepada ibadat-ibadat bukan
fardhu yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W kepada umatnya terutama di dalam
mengerjakan ibadat sembahyang dan puasa sperti sembahyang Sunat Istikharah, Sunat
Hajat, Sunat Tarawih, Puasa Hari Asyura, Puasa Enam di bulan Syawal dan Puasa Hari
Isnin serta Khamis. Keutamaan menyempurnakan amalan Rasulullah S.A.W ini
digambarkan melalui sabda baginda sebagaimana riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang
bermaksud ;

’Barang siapa yang mendekatkan dirinya kepadaku sejengkal, nescaya aku akan
mendekatinya sehasta, dan barang siapa yang mendekatkan dirinya kepadaku sehasta,
nescaya aku akan mendekatinya sedepa, dan jika dia datang kepadaku berjalan, nescaya
aku akan datang kepadanya berlari’

Begitu juga dengan firman Allah(Surah Al-Isra: 79), terjemahannya ;

’Dan pada sebahagian malam, hendaklah engkau bangun bertahajjud mengerjakan


nafilah(sunnat), moga-moga Tuhanmu akan mengangkatmu ke tingkat yang terpuji’

Rasulullah S.A.W diutuskan oleh Allah S.W.T sebagai pembawa khabar gembira buat
umat manusia, terdidik dengan akhlak yang cukup mulia, malah merupakan sebaik-baik
contoh dan ikutan. Justeru, dalam membentuk keperibadian remaja, Islam amat
menitikberatkan pengikatan remajanya dengan ibadat-ibadat yang menjadi amalan
Rasulullah S.A.W., khususnya amalan yang termaktub pensyariatannya di dalam Sunnah
Nabawiyah(Hadith). Amalan-amalan ini merupakan setinggi-setinggi amal soleh yang
merapatkan seorang hamba dengan Allah S.W.T, meneguhkan ketaqwaan, mencetuskan
ketenteraman dan kenyakinan serta membuahkan kemanisan iman di dalam dirinya.
Ikatan ini merupakan antara elemen penting yang berperanan membentuk kerohanian dan
keimanan remaja serta mencorakkan akhlak serta kebergantungan kepada Allah S.W.T di
dalam setiap perkara dan keadaan.

Ikatan dengan Muraqabah(mengawas diri) kepada Allah S.W.T pula merupakan


pendekatan Islam dalam mendidik remajanya untuk menyedari hakikat bahawa diri ini
sentiasa di dalam pemerhatian Allah S.W.T. Hakikat ini dapat dilihat berdasarkan firman
Allah(Surah Ali-Imran: 5), terjemahannya ;
’Sesungguhnya Tuhan itu, tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripadaNya, baik yang
di bumi mahupun yang di langit’

Begitu juga dengan sabda Rasulullah S.A.W sebagaimana riwayat Muslim yang
bermaksud ;
’Ihsan itu ialah hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya.
Andaikata engkau tiada melihatNya, yakinlah bahawa Dia melihatmu’

Remaja yang sempurna pengikatannya dengan Muraqabah kepada Allah S.W.T akan
melahirkan sifat ikhlas di dalam setiap amalan, perbicaraan, perbuatan dan segala tindak
tanduknya. Malah segalanya dilakukan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.
dan seluruh kehidupannya bakal diwarnai dengan kesucian dan terhindar dari dorongan
hawa nafsu.

Secara umumnya, pengukuhan ikatan kerohanian merupakan antara keutamaan yang di


beri penekanan di dalam falsafah pendidikan Islam sebagai pelan tindakan dalam
menyediakan remajanya yang memiliki keseimbangan dalam mengecapi kebahagiaan
hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

3.1.3 Pengukuhan Ikatan Pemikiran

Pertumbuhan dan perkembangan remaja tidak hanya diukur berdasarkan kepada


peringkat-peringkat kronologi, psikologi dan sosiologinya, malah turut menyaksikan
perkembangan daya fikir dalam menerima atau menolak sesuatu persoalan yang
dihadapkan kepada mereka. Flavell (1977) menegaskan bahawa ’pemikiran remaja
berbeza daripada pemikiran kanak-kanak dalam tiga aspek penting iaitu penekanan
kepada realiti lawan kemungkinan, menggunakan penaakulan saintifik dan kemahiran
mengkoordinasi idea’. Perkembangan ini menyaksikan remaja mudah menerima apa
sahaja yang diputuskan sebagai baik oleh akal fikirannya biarpun penerimaan itu boleh
membawa kepada kebinasaan.

Justeru, di peringkat usia remaja, Islam memperkukuhkan ikatan pemikiran yang telah
sedia tersemai seawal alam kanak-kanak dengan memperkasakan ikatan pemikirannya
terhadap perundangan Islam sebagai panduan beragama dan bernegara, pengajaran Al-
Quran sebagai perlembagaan dan undang-undang, ilmu-ilmu syariah sebagai dasar dan
hukum-hakam, sejarah sebagai sumber ilham dan ikutan, kebudayaan Islam sebagai asas
pembinaan kemajuan dan ketamadunan dan kaedah dakwah Islamiyah sebagai pendorong
dan semangat. Bersifatkan sesuai sepanjang zaman, syumul dan sempurna, pendekatan
Islam melalui ikatan pemikiran ini bakal mencorakkan remajanya dengan kecintaan
kepada Allah S.W.T, Rasulullah S.A.W dan Islam sebagai agama yang penuh dengan
kemuliaan dan membawa kesejahteraan.
Ikatan pemikiran berkemampuan memperkasakan umat Islam termasuk remajanya
dengan jati diri seorang muslim dan meniti di atas jalan kebenaran menuju rahmat Allah
S.W.T. Keutamaan ikatan pemikiran ini dapat dinukilkan melalui pidato termashur
Ishaam Al-Athaar seperti diungkapkan ;

’Kami, umat Islam, kami tidak dikenal oleh sejarah dengan Abu Jahal, Abu Lahab dan
Ubai bin Khalaf. Akan tetapi kami dikenal oleh sejarah dengan Rasul yang berbangsa
Arab shalawatullahi wasalaamuhu alaihi. Kami dikenal oleh sejarah dengan Abu Bakar
dan Umar. Kami tiada menguasai medan perang dengan perang Bagus, perang Dahis
dan perang Al-Ghabraa, akan tetapi kami menguasainya dengan perang Badar, perang
Al-Qadisiyah dan perang Yarmuk. Kami tiada menguasai dunia dengan kata-kata tujuh
penyair jagoan, tetapi kami menguasainya dengan hukum hakam Al-Quran Al-Majid.
Kami tiada membawa kepada manusia seruan Lata dan Uzza, tetapi kami membawa
kepada mereka perutusan Islam dan prinsip-prinsip Al-Quran’

3.1.4 Pengukuhan Ikatan Kemasyarakatan

Sebagaimana dibahaskan terdahulu, zaman remaja merupakan tempoh manusia keluar


dari alam kanak-kanak menuju kedewasaannya. Melangkah keluar dari alam kanak-kanak
menjadikan remaja lebih terdedah kepada aktiviti kemasyarakatan dan merancakkan lagi
proses sosialisasinya. Sigmund Freud (1971) beranggapan bahawa ’manusia haruslah
melalui proses sosialisasi yang telah sedia wujud di dalam institusi kekeluargaan dan
masyarakat. Kegagalan manusia melalui proses ini, hanya akan menyaksikan kecelaruan
yang boleh merosakkan peraturan-peraturan dalam pembentukan disiplin diri, institusi
kekeluargaan dan kemasyarakatan’.

Sebagai persediaan menyambut remaja keluar dari alam kanak-kanaknya, Islam


menyediakan ruang sosialisasi berasaskan tuntutan agama agar kecelaruan sebagaimana
dakwaan Sigmund Freud dapat dihindari, seterusnya mengelak dari menjadi penyakit
yang boleh membinasakan remajanya. Pengukuhan ikatan kemasyarakat merupakan jalan
terbaik yang dianjurkan oleh Islam bagi menyediakan ruang remajanya membina
kedewasaan.

Ikatan kemasyarakat membawa remaja Islam untuk memahami realiti kehidupan dengan
suasana kemasyarakatan yang bersih dan baik supaya mereka mampu mengambil sumber
kebersihan itu bagi diri mereka, membina kesucian hati, ketetapan iman, ilmu yang
bermanfaat, akhlak yang mulia, kekuatan jasmani, kesedaran Islam dalam pemikiran,
jihad yang benar dalam berdakwah, kejernihan yang dipuji Allah S.W.T bagi jiwa mereka
dan pendorongan keimanan bagi agama mereka.
Pendekatan ini boleh dipraktikkan melalui hubungan remaja dengan seorang mursyid
iaitu pembimbing yang berkemampuan membimbingnya ke jalan kebenaran, hubungan
remaja dengan ikatan silatur rahim yang baik iaitu menyediakan persekitaran silatur
rahim berteraskan ketaqwaan dan keimanan serta hubungan remaja dengan dakwah dan
para pendakwah bagi menyuburkan jiwanya dengan semangat dakwah Islamiyah,
menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

3.1.5 Pengukuhan Ikatan Riyadhah

Menyedari kepentingan remaja sebagai aset yang cukup bernilai dalam membentuk saf
kepimpinan masa depan, maka Islam membangunkan remajanya bukan hanya terarah
kepada pembangunan kerohanian semata-mata, malah turut memfokuskan kepada
pembangunan jasmani. Pembangunan ini diimplimentasikan melalui pendekatan
pengukuhan ikatan riyadhah bagi memenuhi tuntutan masa lapang remajanya dengan
aktiviti-aktiviti jihad, latihan-latihan ketenteraan dan latihan-latihan jasmani serta
permainan, agar wujud keseimbangan antara kehendak-kehendak rohani dan keperluan-
keperluan jasmaninya. Keseimbangan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan agama,
tetapi juga merupakan suatu keperluaan dalam menyediakan barisan ketenteraan sebagai
benteng menghadapi ancaman musuh-musuh Islam.

Kepentingan ikatan riyadhah ini dapat dilihat melalui sabda Rasulullah S.A.W seperti
diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud ;
’Seorang Mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada si
Mu’min yang lemah’

’Bahawasanya Rasulullah S.A.W telah membaca ayat ini (maksudnya) dan


perlengkapkanlah diri kamu untuk menghadapi mereka sekadar yang terdaya dari
kekuatan. Kemudian baginda bersabda ; Ingatlah, bahawa kekuatan itu dengan
melimpar panah! Ingatlah, bahawa kekuatan itu dengan melimpar panah!’

Begitu juga dengan firman Allah(Surah Al-Anfal: 60), terjemahannya ;

’Dan lengkapkan diri kamu untuk menghadapi mereka dengan apa yang terdaya oleh
kamu dari kekuatan dan dengan pasukan berkuda untuk menggentarkan musuh Allah
dan musuh kamu’

3.2 Kaedah Pengancaman


Selain kaedah pengikatan, Islam juga membentuk keperibadian remajanya melalui
kaedah pengancaman yang juga biasa disebut sebagai peringatan atau amaran. Melalui
kaedah ini remaja Islam didedahkan dengan amaran-amaran yang termaktub di dalam
ayat-ayat Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W bertujuan membina kesedaran dan
keimanan remaja sebagai benteng menolak pemikiran orang-orang yang sesat,
penyelewengan orang-orang yang tidak mengenal pantang larang dalam kehidupan serta
menjauhkan remaja daripada kelompok yang pincang kelakuannya dan melencong
perjalanan hidupnya.

Kaedah ini dijayakan dengan merujuk kepada sebegitu banyak ayat-ayat Al-Quran dan
Sunnah Rasulullah S.A.W dalam memperkatakan tentang pelbagai isu yang bertentangan
dengan kehendak Allah S.W.T dan ajaran Rasulullah S.A.W, antaranya ;

Firman Allah S.W.T, terjemahannya ;

’Jangan engkau adakan bersama Allah itu, tuhan yang lain, supaya engkau tidak duduk
sebagai terhina dan tercela’
(Surah Al-Isra’: 22)

’Dan janganlah kamu bunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kamilah yang
memberi mereka rezeki dan begitu pula kamu. Sesungguhnya pembunuhan mereka itu
adalah suatu kesalahan yang besar’
(Surah Al-Isra’: 31)

’Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan
yang keji’
(Surah Al-Isra’: 32)

’Dan janganlah engkau berjalan di atas muka bumi ini secara sombong, sesungguhnya
engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan tidak akan dapat sampai setinggi
gunung’
(Surah Al-Isra’: 37)

Begitu juga dengan sabda-sabda Rasulullah S.A.W, bermaksud ;

’Awas kamu dari berdusta, sesungguhnya dusta merosakkan keimanan’


(Riwayat Ahmad dan Ash-Habus Sunan)

’Awas kamu dari berbanyak sumpah di dalam jual beli, sesungguhnya dia memang
melariskan, tetapi membawa sial’
(Riwayat Muslim dan Ahmad)
’Awas kamu dari berbanyak ketawa, sesungguhnya ketawa banyak itu akan mematikan
hati, dan menghapuskan cahaya penghuni syurga’
(Riwayat Ibnu Majah)

’Awas kamu dari teman-teman yang jahat, kelak engkau akan terkenal jahat pula’
(Riwayat Ibnu Asakir)

Ayat-ayat Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W yang menjadi rujukan di dalam
pendekatan kaedah pengancaman ini menyentuh pelbagai perkara termasuklah peringatan
tentang kesesatan aqidah, kerosakan akhlak, kejelekan dalam permuamalahan, larangan
berbuat kejahatan, mengancam kerosakan dan menarik perhatian supaya memelihara diri
daripada penyelewengan dan keburukan akhlak. Perasaan gerun terhadap ancaman dan
balasan Allah S.W.T terhadap laranganNya yang berjaya diterapkan melalui kaedah
ancaman ini menjadikan pembentukan remaja Islam adalah menepati kehendak-kehendak
tuntutan agama.

4.0 Rumusan

Pertumbuhan dan perkembangan remaja merupakan tempoh yang tidak wajar


dikesampingkan di dalam kehidupan manusia. Tempoh ini bakal menyaksikan
kecenderungan individu untuk membuat pilihan berdasarkan kepada apa yang difikirkan
betul oleh akal fikirannya, tanpa terlalu menitikberatkan nilai-nilai dan norma-norma
yang menjadi amalan di persekitaran, malah kadang-kadang ia dilihat terlalu janggal buat
dirinya. Keghairahan untuk keluar dari alam kanak-kanak menuju kedewasaan,
menjadikan remaja sering hilang arah tuju dan acap kali terjebak dengan tingkah laku
songsang di dalam masyarakatnya.

Islam sebagai agama yang sempurna tampil secara hikmah dan penuh kebijaksanaan
menangani kemelut remajanya dengan pelbagai pendekatan yang berteraskan ’Falsafah
Pendidikan Islam’. Pendekatan yang dicorakkan oleh Al-Quran dan Sunnah telah
menyediakan pilihan terbaik bagi individu mengisi ruang-ruang pembentukan personaliti
alam remaja sebagai persediaan membina kematangan alam dewasanya selari dengan
tuntutan agama. Pilihan yang tersedia ini bukan sekadar mengisi ruang, malahan
membentuk manusia agar mengenal Allah S.W.T, tahu pertanggungjawaban sebagai
hambaNya, seterusnya mencipta kebahagiaan bagi dirinya dan keluarga di dunia serta
mendapat kesejahteraan di akhirat.

Senarai Rujukan

Abdul Halim Uwais. 1998. PROBLEM REMAJA Masakini & Penyelesaiannya Menurut
ISLAM. Kuala Lumpur. Pustaka Syuhada.

Abdullah Nasih ’Ulwan. 2000. PENDIDIKAN ANAK-ANAK menurut pandangan


ISLAM. Kuala Lumpur. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM)

Abdurrahman An Nahlawi. 1995. PENDIDIKAN ISLAM DI RUMAH SEKOLAH DAN


MASYARAKAT. Jakarta. Gema Insani Press.

Asmawati Desa. 1997. PSIKOLOGI untuk golongan profesional. Bangi, Selangor.


Jabatan Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim & Yusof Boon. 2005. PSIKOLOGI
SOSIAL ALAM REMAJA. Bentong, Pahang. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Azrina Sobian. (sunt.) 2007. Keluarga Islam, Kemahiran Keibubapaan dan Cabaran
Semasa. Petaling Jaya, Selangor. MPH Group Publishing Sdn. Bhd.

Fatimah Hj. Omar. 1995. Anak ’Amanah Allah’. Kuala Lumpur. Al-Hidayah.

Husain Muhammad Haikal. 2004. 140 TIPS PENDIDIKAN ANAK BERSIKAP


POSITIF menurut RASULULLAH S.A.W. Kuala Lumpur. Jasmin Enterprise.

Jamiah Hj. Manap. (nota kuliah) 2007. Pertumbuhan & Perkembangan Manusia. Bangi,
Selangor. Pusat Pengajian Psikologi Dan Pembangunan Manusia, FSSK, Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Jamiah Hj. Manap. (nota kuliah) 2008. REMAJA. Bangi, Selangor. Pusat Pengajian
Psikologi Dan Pembangunan Manusia, FSSK, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Maryam Abd. Majid. 1998. KAEDAH PENDIDIKAN GENERASI BERWAWASAN.


Kuala Lumpur. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM)

Mohd Yusuf Ahmad. 2004. Falsafah dan Sejarah Pendidikan Islam. Kuala Lumpur.
Penerbit Universiti Malaya.

Muhamed Awang. 2000. SISTEM DAN TEORI PSIKOLOGI. Bangi, Selangor. Pusat
Pengajian Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Syed Omar Syed Agil Al-Attas. 2003. MELENTUR REBUNG. Kuala Lumpur. Mulia
Erat Sdn. Bhd.

Urwah Sofri Zain. 2003. PETUA MELAHIRKAN ANAK GENIUS & SOLEH. Kuala
Lumpur. Darul Nu’man.

Posted by Jamiah Hj. Manap at 1:34 AM 1 comments


Labels: Tugasan Berkumpulan

Sunday, May 4, 2008


Peperiksaan Akhir

Tarikh: 6 Mei 2008, 3.30-5.00 PM

Lokasi: DECTAR

Bentuk Soalan: Objektif (40 soalan)

Peratusan Markah: 40% daripada markah keseluruhan

Liputan Soalan: Semua Bab

"Selamat Maju Jaya"

Posted by Jamiah Hj. Manap at 9:43 PM 0 comments


Labels: Penilaian

Monday, April 21, 2008


Skima Pemarkahan Projek Kumpulan
Pecahan Skima Pemarkahan Kertas Kerja Kumpulan

Format dan Profesionalisme

 Muka hadapan, pendahuluan, kekemasan, format penulisan, tatabahasa, muka


surat, tertib

 Markah keseluruhan: 3 markah

Isi Kandungan

 Dua markah bagi setiap isi kandungan yang tepat dan relevan

 Markah keseluruhan: 20 markah

Kesimpulan

 Markah penuh bagi kesimpulan yang tepat, padat dan bernas

 Markah keseluruhan: 3 markah

Rujukan

 Mesti ditulis mengikut format Gaya UKM

 Markah penuh diberikan jika mempunyai sekurang-kurangnya lima rujukan


daripada sumber yang berkredibiliti
 Markah keseluruhan: 4 markah

Punca Markah ditolak

 Plagiat – tidak menyatakan sumber petikan karya individu lain

 Tiada muka surat

 Tiada daftar/senarai isi kandungan

 Kesalahan ejaan dan tatabahasa

 Tidak mengikut gaya UKM


 Penghantaran lewat : Selepas 15 April 2008 & kurang daripada 15 halaman
bercetak

Tugasan Individu

Soalan:

Nyatakan apakah yang dimaksudkan dengan Id, Ego dan Superego?

Format Jawapan

Setiap tugasan hendaklah:

1. Menyatakan nama, nombor matrik, program pengajian, tarikh dan tajuk tugasan
2. Ditulis mengikut 'Gaya UKM'
3. Dihantar melalui e-mel
4. Mengandungi bibliografi atau rujukan kandungan
5. Bukan ciplak

Tarikh Akhir
Tugasan pertama perlu dihantar sebelum atau pada 25 Januari 2008 (Jumaat)

Posted by Jamiah Hj. Manap at 7:42 PM 0 comments


Labels: Tugasan Individu
Older Posts
Subscribe to: Posts (Atom)

Anda mungkin juga menyukai