Anda di halaman 1dari 1

Kisah dengan pembuat roti

Pada suatu hari, Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah ingin menghabiskan malamnya di sebuah masjid,
tetapi penjaga masjid tidak membenarkannya (mungkin kerana dia tidak mengenali Imam Ahmad bin
Hanbal). Puas Imam Ahmad bin Hanbal memujuk penjaga masjid tersebut, namun tidak berhasil.

Sehingga Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku akan tidur di atas kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).”
Dan sememangnya Imam Ahmad bin Hanbal tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu,
penjaga masjid tersebut tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin Hanbal keluar dari
masjid tersebut.

Keadaan ini telah diperhatikan oleh seorang pembuat roti, membuatkan timbul rasa belas kasihan
terhadap Imam Ahmad bin Hanbal yang agak lanjut usianya pada ketika itu. Lalu beliau mempelawa
Imam Ahmad bin Hanbal untuk bermalam di rumahnya pada malam itu. Kedua-duanya tidak mengenali
antara satu sama lain.

Apabila tiba di rumah si pembuat roti, Imam Ahmad dilayani dengan baik sekali dan dimuliakan sebagai
seorang tetamu.

Apabila si pembuat roti beredar untuk membuat roti, Imam Ahmad bin Hanbal mengekori sambil
memerhatikannya. Imam Ahmad bin Hanbal kagum dan terkejut melihat si pembuat roti yang sentiasa
beristighfar walaupun sibuk dengan kerja-kerjanya.

Pada pagi keesokannya, Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti tentang keadaannya yang
sentiasa beristighfar walaupun sedang sibuk melakukan kerja.

“Alhamdulillah, saya sering beristighfar walau di manapun saya berada dan walau keadaan apa
sekalipun yang saya hadapi,” jawab si pembuat roti jujur.

Lalu Imam Ahmad bertanya: “Adakah anda dapati apa-apa kebaikan dari perbuatanmu itu?”

Maka si pembuat roti menjawab: “Tidak ada satu doa pun yang aku pohon kecuali Allah SWT akan
memperkenankan doaku itu.” Beliau terdiam seketika lalu menyambung: “Kecuali satu doa...”

“Apakah doa itu?” tanya Imam Ahmad bin Hanbal.

Jawab si pembuat roti: “Doa untuk aku melihat Imam Ahmad bin Hanbal.”

SUBHANALLAH...

Wallahua'lam.

Anda mungkin juga menyukai