Anda di halaman 1dari 18

DIKIR BARAT

PENGENALAN

Permainan dikir barat adalah suatu teater tradisional yang paling digemari
oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan Patani. Secara umumnya, tidak
seperti teater tradisional lain, permainan ini lebih popular di kalangan
masyarakat biasa daripada kalangan istana. Di dalam persembahan dikir
barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang tukang karut dan tok
juara (atau dikenali sebagai juara sahaja). Mereka akan mengarut sambil
berbalas pantun dan diikuti oleh awok-awok sebagai suara latar dengan suara
yang kuat dan lantang.

Dikir barat boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun pertandingan.


Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat tani di musim menuai padi
dan juga majlis perkahwinan serta berkhatan. Di samping itu, pertandingan
sering diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan
kerajaan mahupun pihak tertentu untuk mengutip wang. Dikir barat adalah
permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional lain.

1
Perkembangan teater ini amat unik kerana dikir barat sering berubah bentuk
persembahan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Juara dalam Dikir Barat

Perkataan dikir adalah hasil dari kombinasi dua perkataan, iaitu dikir dan
pantun atau dikir dan karut. Pengertian karut itu sendiri ialah dari istilah
mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi dikir barat, dikir karut, dikir
pantun dan dikir syair merujuk kepada perkara yang sama. Walau
bagaimanapun, di Kelantan permainan ini lebih dikenali sebagai dikir barat
dan di Patani sebagai dikir karut.

Tukang karut sedang beraksi

ASAL-USUL

a) Dikir Barat Berasal dari Patani

Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal usul dikir barat. Setengah
pendapat mengatakan permainan ini berasal dari Patani. Sebenarnya dikir
barat, yang lebih terkenal dengan nama dikir karut, dibawa dari Patani.
Mengikut orang-orang Kelantan perkataan barat ini bermakna Patani. Ini tidak

2
dapat dinafikan kerana pada satu ketika dahulu negeri Kelantan pernah
diperintah oleh kerajaan Siam. Rakyat dari kedua-dua buah negeri ini sering
berulang-alik dan secara tidak langsung dikir dibawa ke sana dan diterima
pula oleh masyarakat di situ. Ketika dibawa ke Kelantan, dikir barat adalah
dalam bentuk dikir dan di sana permainan ini telah ditambah dengan pantun,
diubahsuai dari segi persembahan serta loghatnya sesuai dengan keadaan
sekeliling dan suasana tempatan.

b) Dikir Barat Berasal dari Pulau Kerengga

Mengikut keterangan yang diberikan oleh Nik Abd. Rahman bin Nik Dir (Pak
Nik Man) dikir barat berasal dari Pulau Kerengga iaitu satu daerah di dalam
jajahan Narathiwat di selatan Siam. Seorang yang bernama Pak Sa berasal
dari Pulau Kerengga telah masuk ke Kelantan dalam tahun 1931 dan telah
ditangkap oleh Pak Nik Man sendiri ketika bertugas sebagai pegawai kastam.
Pak Sa telah masuk tanpa pasport dan menyeludup barang. Pak Sa telah
ditangkap dan dipenjarakan tetapi setahun kemudian beliau telah
memperkenalkan dikir barat kepada orang-orang Kelantan. Oleh kerana beliau
berasal dari Pulau Kerengga maka timbullah pendapat yang mengatakan dikir
berasal dari sana.

c) Dikir Barat Berasal dari Ilham Budak-Budak Penjaga Lembu

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa dikir barat berasal dari
permainan budak-budak yang menjadi gembala lembu di padang rumput.
Pada tahun 1930-an terdapat ramai pencuri lembu berkeliaran di padang
rumput. Oleh kerana ketakutan budak-budak penjaga lembu ini duduk
berkelompok dan berdikir beramai-ramai. Mereka akan menyanyi dan
berpantun sambil sindir-menyindir sesama mereka untuk menghibur hati dan
melupakan perasaan takut terhadap perompak tadi. Dari peristiwa inilah
timbulnya permainan dikir barat.

d) Dikir Barat Berasal dari Pulau Tebu

Ada orang mengatakan bahawa dikir barat berasal dari Pulau Tebu kerana
pengasasnya ialah Husain Mok Nah Lombong yang berasal dari kawasan
tersebut. Sewaktu beliau memperkenalkan dikir barat ramai menganggap
permainan ini sebagai satu hasil seni yang baru sebab iramanya boleh
disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti rebana besar.
3
Persembahan Dikir Barat

e) Dikir Barat Berasal dari Ciptaan Mat Leh Tapang

Bila memperkatakan dikir barat nama Mai Leh Tapang tidak boleh dilupai
kerana ramai orang mengenali beliau melalui dikir barat. Mat Leh Tapang atau
nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Haji Ahmad berasal dari Kampung
Tapang. Beliau telah mengakui bahawa dikir barat ini sebenarny a berasal dari
Patani. Beliau telah mengubahsuaikan permainan ini dengan memasukkan
pantun. Jadi, pada awalnya dikir barat yang dibawa ke Kelantan itu masih lagi
dalam bentuk dikir tanpa pantun.

Semasa pemerintahan Jepun, Datuk Menteri Kelantan pernah memanggil


beliau untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Pada zaman itu
juga terdapat sebuah kumpulan dikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek
Zainab yang memperkenalkan dikir barat di kampungnya. Awok-awoknya
terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka
mendendangkan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Mat Leh
Tapang pula berperanan menggubah serta menambah dikir tersebut dengan
pantun untuk menyedapkan lagi dikir barat.

PERSEDIAAN SEBELUM BERMAIN

Bermacam-macam persediaan perlu dilakukan sebelum pertunjukan dikir


barat dapat dipersembahkan di hadapan khalayak.

a) Menempah Tukang Karut dan Juara

Jikalau sesuatu pertunjukan dikir barat itu dianjurkan oleh sesebuah badan
terpulanglah kepada penganjur tersebut untuk menempah tukang karut dan
4
juara yang sesuai. Awok-awok tidak payah ditempah kerana setiap juara
sudah mempunyai awok-awok sendiri. Selalunya penganjur mahukan tukang
karut dan juara yang popular. Penganjur boleh menempah tukang karut dan
juara sama ada secara formal atau sebaliknya iaitu di rumah tukang karut
sendiri, melalui orang tengah, di tempat pertunjukan ataupun di mana sahaja
mereka dapal berjumpa.

b) Mendapat Kebenaran Bermain

Satu lagi tugas penganjur ialah mendapatkan kebenaran pertunjukan dari


pihak berkuasa seperti penghulu, penggawa, pegawai polis dan ketua jajahan
/ daerah.

c) Menampal Iklan-Iklan dan Poster

Iklan-iklan ditampal, disebar dan didedahkan di sekitar kawasan kampung


dalam bahasa atau loghat daerah. Walau bagaimanapun pengumuman
melalui pembesar suara sangat popular. Pihak penganjur akan pergi ke
kampung-kampung yang berdekatan pada waktu petang sebelum pertunjukan
itu dan turut memberi tahu bahawa permainan tersebut akan diadakan di
kampung yang tertentu pada waktu lain. Di antara pengumuman tersebut
berbunyi begini :

Jage lupa adik kakak ini mala dikir barat


di pade sekolah Alo Bakat denge
tuke karutnya mat Yeh de Sudin: Tok Joranya
Ripin ana denge Daud Bukit Abed serta penyanyi

wanita Che Esah Sayonara de


Zaleha Gula Batu
Datela berghama-ghama

d) Tempat Bermain

Permainan dikir barat dimainkan di atas pentas. Biasanya, bentuk pentas


dibina mengikut corak permainan sesebuah dikir barat.
5
i. Bangsal atau Pentas Untuk Pertunjukan Percuma

Jika permainan ini dipertunjukkan di hari perayaan atau majlis perkahwinan


maka bangsal atau pentas didirikan setinggi 4 kaki. Pertunjukan ini percuma
dan semua penonton dapat melihat dari jauh. Bangsal ini biasanya diperbuat
daripada buluh berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa.

ii. Bangsal atau Pentas Untuk Pertunjukan Yang Dikenakan Bayaran

Kadang kala terdapat juga penganjur yang mengadakan permainan ini dengan
tujuan mengutip wang. Penonton dikenakan bayaran masuk.

Para penonton menyaksikan persembahan dikir barat

Kedudukan pentas pertunjukan ini amat rendah. Oleh itu, hanya orang yang
masuk ke kawasan panggung sahaja dapat melihat pertunjukan. Pentas ini
berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa dan dibina di tengah-tengah
padang yang dikeliling oleh pagar yang juga diperbuat daripada daun kelapa.

PERSEDIAAN ALAT-ALAT MUZIK

a) Rebana Ibu dan Anak

Rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan


belulang kambing dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada
cincin rotan di bawah rebana itu. Badan alat ini diperbuat daripada kayu yang
tidak dalam (5" - 6" dalam). Belulang dikemaskan dengan menggunakan
pancang kayu di antara cincin dan bahagian bawah badan rebana. Rebana
anak lebih kecil daripada rebana ibu.

6
b) Tetawak

Tetawak diperbuat daripada perunggu berbentuk bulat. Alat ini mempunyai


dinding yang tebal serta berbusut di tengah permukaan. Bunyi pukulan
tetawak lebih tinggi daripada gong. Biasanya tetawak digantung dan dipalu
pada busutnya.

PAKAIAN

Permainan dikir barat di Kelantan yang berasal dari Patani tidak mempunyai
pakaian tertentu atau menarik untuk dipakai oleh juara, tukang karut mahupun
awok-awok. Ini tidak dapat dinafikan kerana permainan ini merupakan
permainan rakyat biasa yang diadakan di kawasan sawah padi dan kampung.
Oleh itu, mereka tidak mementingkan pakaian kerana tujuan utama ialah
memberi hiburan yang berupaya memuaskan selera penonton. Jadi pasukan-
pasukan dikir barat dari kelompok ini memakai pakaian biasa ketika membuat
persembahan.

AHLI-AHLI KUMPULAN

Setiap pasukan dikir barat mempunyai seorang tukang karut, seorang juara
dan beberapa orang awok - awok (selalunya antara 15-30 orang).

a) Awok - awok

Awok - awok adalah sekumpulan orang yang berdikir dalam permainan dikir
barat. Kebiasaannya awok-awok terdiri dari muda-mudi belasan tahun (tetapi
mereka tidak pernah bercampur) dan kerana faktor usia inilah orang
menamakan mereka sebagai budak-budak dikir. Pada praktiknya orang
dewasalah yang lebih ramai menjadi awok-awok.

Awok-awok menyanyikan korus sambil duduk dalam kedudukan secara


bulatan
7
Gelaran awok-awok ini mengambil sempena dari nama kumpulan orang-orang
nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang
ketua dipanggil sebagai jeragan dan keadaan ini disesuaikan dengan pelakon
awok-awok dalam permainan dikir barat yang di bawah jagaan ketua mereka
iaitu juara. Tugas awok-awok ialah mengikut atau mengulangi secara
beramai-ramai. Seni kata lagu yang didendangkan oleh juara dan tukang karut
mereka. Sebenarnya, awok-awok melahirkan suara latar atau korus bagi
permainan dikir barat.

b) Juara (Tok Juara)

Juara merupakan orang yang kedua penting dalam satu pertunjukan dikir
barat. Tugasnya ialah berdikir sebelum tukang karut mengarut. Pada waktu
tertentu juara juga terpaksa mengarut iaitu sewaktu menunggu ketibaan
tukang karut (biasanya di awal permainan) tetapi karutnya tidak panjang.
Juara tidak menyanyi tetapi berdikir sambil duduk di sepanjang masa
permainan. Tukang karut pula mendendangkan karutnya sambil berdiri dan
menari. Suara juara yang baik dan merdu boleh menaikkan semangat tukang
karut dan awok-awok pasukannya. Tema yang dibawa oleh juara selalunya
menjadi panduan kepada tukang karut untuk mengarut kerana selepas juara
berdikir tukang karut akan mengarut pula.

Awok-awok berpakaian seragam. Mereka duduk dalam dua barisan dan


kedudukan ini sudah menjadi kelaziman apabila berada di alas pentas.

Juara juga bertindak sebagai ketua dan guru kepada seluruh awok - awoknya
sebab segala bentuk dikir yang merupakan suara latar atau korus, yang
diperlukan adalah dari ajaran dan arahan juara. Walau bagaimanapun, tukang
karut tidak terikat dengan tindakan juara atau awok-awok sewaktu
berlangsungnya persembahan. Lagu dan seni kata boleh dianggap sebagai
ciptaan juara. Awok-awoknya dilatih terlebih dahulu sebelum permainan dikir
8
barat diadakan dan seorang juaranya selalu mempunyai beberapa pasukan
awok-awok yang terdekat dengan tempat permainan dikir barat akan dipilih
atau ditugaskan oleh juara bagi mewakili pasukannya ketika mengadakan
persembahan di daerah tersebut.

c) Tukang Karut

Orang yang memainkan peranan utama dalam pasukan dikir barat ialah
tukang karut. Tugas tukang karut yang penting ialah berpantun dan bersyair.
Pantun dan syair yang didendangkan mengikut selera tukang karut. Idea, isi,
bahasa dan persoalan yang terkandung dalam puisi berkenaan (pantun dan
syair) selalunya dikemukakan secara spontan.

Tukang karut juga boleh menyanyi pelbagai jenis lagu. Biasanya, lagu-lagu
sendiri lebih dipentingkan oleh tukang karut dan kerap kali menjadi masyhur,
terkenal serta menjadi sinonim dengan namanya seperti Seman Wau Bulan,
Dolah Kulai Malam, Awang Ikan Duyung dan Iain-lain. Tukang karut
merupakan watak yang mempunyai kebolehan semulajadi kerana tidak semua
orang boleh menjadi tukang karut.

CARA PERSEMBAHAN

Dalam permainan ataupun persembahan dikir barat selalunya ada dua


pasukan yang mengambil bahagian pada suatu masa. Mereka akan berbalas
pantun, sindir-menyindir ibarat orang berkelahi. Walau bagaimanapun,
keadaan ini hanya dianggap sebagai hiburan dan disampaikan dalam loghat
Kelantan. Permainan akan dimulakan tepat pada pukul 10.00 malam.
Berkemungkinan keadaan sunyi dan sepi pada waktu malam memberikan
sumber ilham kepada tukang-tukang karut. Manakala awok-awok kedua-dua
pasukan pula mengambil tempat masing-masing iaitu duduk bersila
mengelilingi pembesar suara ibarat orang yang sedang menghadapi satu
hidangan.

9
Kedudukan kedua-dua pasukan dalam persembahan

LAGU KARUT DIKIR BARAT

Kebanyakan lagu karut dikir barat lahir secara spontan dari ilham tukang-
tukang karut itu sendiri sewaktu mengarut di dalam permainannya. Apabila
sedap didengar lagu berkenaan akan menjadi terkenal dan menjadi ikutan
tukang karut lain. Nama lagu-lagu ciptaan ini amat terkenal dan menjadi
kesukaan ramai. Di antara lagu dikir barat yang terkenal ialah :

i. Karut Kelantan cepat


ii. Karut Kelantan anyo' (Perlahan)
iii. Karut Petani
iv. Karut Wok Yoh
v. Karut pendek
vi. Karut Yengki Cepat
vii. Karut Yengki Anyo'
viii. Karut Yengki Tengah (Sederhana)
ix. Karut Yengki a ding dong
x. Karut Alo
xi. Karut Selampit
xii. Karut Menora
xiii. Karut Jenaka Mak Yong
xiv. Karut Wau Bulan

Terdapat tiga jenis dikir :

i. Irama Melayu Asli


ii. Irama Padang Pasir
iii. irama Hindustan

10
Alat-alat muzik dipalu oleh awok-awok yang terdiri dari rebana ibu, rebana
anak, tetawak, buah rumba dan seruling. Persembahan bermula apabila juara
pasukan A mengalunkan lagu dikirnya mengalu-alukan kedatangan penonton-
penonton. Di antara lagunya berbunyi demikian :

Inilah resam dunia


Insan rang sama dibeza-beza
Yang miskin mengapa dihina
Yang kaya selalu dimulia ... (suara latar)

Selamat malam selamat datang


Para penonton budiman
Terlebih dahulu harap maafkan
Salah silap jangan dicaci jangan

Malam ini sungguhlah bertuah


Cahayanya terang cuaca
Pantun dan lagu kami mempersembahkan
Untuk hiburan saudara dan saudari

Dunia ini hanya sementara


Tempat mencari bekalan
Miskin kaya mengapa dibeza
Hanya bahagia diharapkan

Tempat mencari bekalan


Walau di buku dan di hutan
Hanya bahagia diharapkan
Tetapi yang miskin mengapa ketinggalan

Walau di bukit dan di lautan


Kerjasama bergotong-royong
Tetapi yang miskin selalu ketinggalan
Mungkinkah itu salah ibu mengandung.

11
Juara ini terpaksa menambah beberapa rangkap pantun lagi sementara
menunggu tukang karut pasukannya naik ke pentas. Antaranya :

Terima kasih saudara


Mana datang ini malam
Tukang karut masuk mari
Lewat masa sampai jam

Terima kasih tuan kerja


Dan juga kongsi-kongsi
Ambo tera nok mulo-mulo
Buat mula tanda jadi

Terima kasih ketua kampung


Tuan penghulu dan penggawa
Silap salah minta ampun
Baso dia main goni

Selepas itu pasukan B mengambil giliran dan juaranya akan berdikir seperti
yang dilakukan oleh pasukan A iaitu memperkenalkan diri serta mengucapkan
selamat datang serta perlu menambah beberapa rangkap pantun lagi
seandainya tukang karut kumpulannya belum sampai.

Apabila tiba giliran pasukan A semula tetapi tukang karutnya tidak juga
muncul, jadi terpaksalah tukang nyanyi wanitanya naik ke pentas untuk
mempersembahkan beberapa buah lagu. Kebanyakan lagu yang dinyanyikan
merupakan lagu - lagu yang popular pada ketika itu tetapi disampaikan dalam
loghat Kelantan. Selesai sahaja penyanyi wanita menyanyi juara akan berdikir
semula. Di antara lagu tersebut berbunyi demikian :

Muda mudi di bangku pelajaran


Jago diri jangan diabaikan
Dirimu itu wajiblah dijaga
Janganlah sampai tergoda ... (suara latar)

Dengarlah adik abang berkata


Nasihat abang sebagainya pelita
Bolehlah menerang segalalah benda
Untuk dirimu dek masalah tua

12
Andainya jadi kecemaran
Rosakkan diri meranalah badan
Jiwa terseksa di dalam badan
Hidup derita dek sepanjang zaman

Di bangku pelajaran jangan main asmara


Ikutlah dek gurumu berkata
Jauhlah dadah dan ganja
Itu perkara dek jadi merhahaya

Sekaranglah ini dah dapat dilihat


Bagaimana gara-gara orang yang terlibat
Hidup terseksa oh sungguhlah dahsyat
Dikeji diseksa oleh masyarakat

Dengarlah dek abanglah berkata


Jangan menyalahgunakan dadah
Perbuatan sia-sia tidaklah terkira
Mugopun salah undang-undang pun salah

Sekianlah dahulu abanglah berkata


Lepaslah adik lelaki dan perempuan
Carilah ilmu penuh di dada
Untuk kemudahan diri hari kemudian

Setelah selesai juara pasukan A ini berdikir, tiba-tiba tukang karutnya naik ke
pentas dan ini diikuti oleh tukang karut pasukan B. Tukang karut pasukan A
mula mengarut dan bunyinya demikian.

Selamat malam saudara


Terima kasih saudari
Hilang royak timbul cerita
Mulo-mulo ambo gori

Terima kasih saudari


Kecil besar tuo mudo
Mulo setak mula gori
Walau letih tubuh ambo

13
Kecil besar tuo mudo
Peminat dikir barat
Letih lesu tubuh ambo
Tubuh badan kure sihai

Tukang karut ini akan mencipta pantun atau karutnya di atas bangsal atau
pentas secara spontan. Mereka akan mengemukakan berbagai - bagai tema.
Di antaranya ialah budi dan jasa, pelajaran, pembangunan, dakwah dan
percintaan. Kadang kala tukang karut ini akan sindir-menyindir, kata-mengata,
keji-mengeji dan pukul memukul di antara satu sama lain. Ini dilakukan
dengan tujuan berhibur semata-mata. Tukang karut terus menyambung
karutnya :

Karut Kelantan Slow (perlahan)

Hilan royak balik sana


Nok timbul alik sini
Nati dengar kawe demo
Nak royak gitu gini

Pada perkara masa sekare


Kena kita berjago-jago
Kerajaan kita duduk lare
Dia royak semo-semo

Bagi yan ore muda


Jangan amal salah dadah
Keno kita berjago-jago
Hok termake payah bedoah

Kalau sapo-sapo ke rumah


Kena pakat-pakat payung
Kalau tubuh kita lemoh
Keno jago kesihate

Saudara saudari
Ibu-ibu bapa-bapa
Mulo-mulo tanda jadi
Mulo-mulo buka tekok
14
Keluarga muslimin
Anak cucu Tok Adam
Baso dia main goni
Mulo-mulo pembukaan

Pembangunan adik kakak


Benar benar di Malaysia
Keno fikir dengan otak
Fikir dengan akal

Aman makmur bahagia


Melayu, Cina dan India
Bersatu pada di negara
Itulah negara Malaysia

Keno hapus segala musuh


Yang pertama ni komunis
Bersatu kita baru kukuh
Walau belia beliawanis

Setelah itu tiba masanya pula untuk tukang nyanyi wanita pasukan B
menyanyi dan ini akan diikuti oleh juaranya berdikir.

Seterusnya tibalah giliran pasukan A sekali lagi. Juaranya akan berdikir dan
tukang karutnya akan mengarut. Kemudian tiba pula giliran pasukan B.
Juaranya akan berdikir dan selepas itu disambut oleh tukang karutnya.
Temanya juga sama dengan pasukan A. Biasanya tukang karut pasukan A
tidak melagukan lagu yang serupa dengan pasukan B walau pun temanya
sama. Mereka akan bergilir-gilir membuat persembahan ini hingga pukul tiga
pagi atau waktu rehat. Ketika mereka berdikir dan mengarut inilah diselitkan
selingan atau penambahan unsur-unsur nyanyian lagu-lagu lucu, lucah, dan
sebagainya. Lagu-lagu ini dalam loghat Kelantan ataupun lagu-lagu saduran
dari piring hitam. Lagu ini sebagai hiburan ataupun untuk menghilangkan rasa
mengantuk para penonton.

Jam pada pukul tiga pagi adalah waktu rehat. Tukang karut dan juara akan
turun berjalan-jalan di sekeliling tempat bermain. Pada masa inilah penganjur
mengumumkan pertandingan, tikam pulut, tikam rokok, kain lepas, tikam
basikal dan lain-lain permainan. Ketika itu juga peminat-peminat dikir barat
15
mengambil kesempatan menempah tukang karut dan juara untuk bermain di
tempat mereka pula.

Selepas waktu rehat kedua-dua pasukan ini akan naik ke pentas semula.
Mereka akan memulakan dengan lagu dikir yang lebih panas. Kebanyakan
yang disampaikan pada waktu ini adalah lagu-lagu berunsur lucah. Begitu pun
terdapat juga lagu yang berunsur pengajaran dan nasihat di sebaliknya.
Sebelum acara berakhir tukang karut akan mengarut serentak. Misalnya,
tukang pasukan A memberi pembayang manakala tukang karut pasukan B
pula akan memberi maksud pantun.

Akhir sekali untuk penghabisan persembahan, tukang karut sebelah pihak


akan mengalunkan lagu sedih. Di antaranya lagu Wau Bulan, Kilat Malam,
Ikan Duyung, Layang-layang dan lain-lain lagi. Di samping itu, tukang karut ini
meminta maaf dan mengenangkan nasib sebagai tukang karut.

Lagu Wau Bulan

i wa i wa bulan
wau bulan teraju tiga ...

Minta maaf adik kakak sekalian


Kalau ada silap jangan simpan dalam dado
Tinggal kasih menolak sayang
Kalau panjang umur semula pulok kita jumpo

Oh samo-samo paling belakan


Selamat tinggal nok baliklah ambo

Oh ambo ini pakar ilmu tolo saran


Orang sayang orang merai waktu muda

Kalau dah tua habis Sayan ni aban


Taruh butir buat bako letok atas paro

Tak dak aroh ini malam


Sampai pun ye time dan maso

Oh ada salah nok minta maaf


Aban jangan taruh bimban dalam dado

16
Takut terkasar takut tersalah benar
Mana tahu kerajaan puak ambo

Oh rasa bebas cari makan


Turut untuk badan kecil jual suara

Ni ibarat burung terbang


Di mana dahan di situlah tempat ambo

Oh ada anok betina atau jantan


Mintok aban jangan tiru pengarai ambo

Kalau tak adok ilmu pengujian


Balah ni contoh buat kijo
Oh kita taat ambo nak pesan

Kalau dah habis tok sah ingat bila-bila


Maklum saja demo rama amba soran
Tok boleh nok buat tok boleh nok jago

Oh selamat tinggal selamat baik selamat jalan


Tok payah tunggu nok sudahlah ambo
Oh ni assalamualaikum ambo beri salam
Hilan royak doh habis alik ambo

PEMBAHARUAN DALAM PERMAINAN DIKIR BARAT

Semenjak pihak RTM (Radio Televisyen Malaysia) menyiarkan dikir barat ini
sebagai salah satu rancangannya dan juga semenjak diadakan pertandingan
dendang rakyat, dikir barat mengalami beberapa proses perubahan dari
beberapa segi. Perubahan dan pembaharuan berlaku dalam aspek pakaian,
tempat, cara persembahan dan juga lagu-lagu yang didikirkan untuk
permainan ini.

Pada asalnya tiada pakaian seragam dalam permainan dikir barat.


Walaubagaimanapun, semenjak diadakan pertandingan dikir barat dalam
dendang rakyat kebanyakan pasukan dikir barat mempunyai pakaian masing-
masing. Biasanya, awok-awok memakai baju yang sepasang serta
17
bersamping dan kepala dililit dengan kain yang bercorak balik atau
sebagainya. Juara, sebagai ketua berpakaian lain daripada awok-awok,
berbaju sepasang dan mengikat kain di kepala dan sampin yang juga
diperbuat daripada kain batik. Tukang karut pula memakai baju sepasang,
baju luar (overcoat) dan mengikat kain di kepala seperti tanjak.

Dari segi persembahan, pada asalnya awok-awok duduk bersila mengelilingi


pembesar suara seperti sebuah bulatan dan tok juara serta tukang karut
duduk di tengah. Semenjak diadakan pertandingan, awok-awok duduk bersila
di dalam dua barisan yang menyerupai bentuk separuh bulatan.

Pembesar suara diletak di hadapan barisan hadapan iaitu di tengah-tengah


kumpulan. Juara dan tukang karut juga duduk di barisan hadapan. Alat-alat
muzik dipegang oleh awok-awok yang duduk di tepi.

Lagu-lagu yang didikirkan kebanyakannya bertemakan pembangunan, dasar


ekonomi kerajaan, pelajaran, perpaduan dan lain-lain. Begitu pun tidak
terdapat lagu-lagu yang berunsur lucah didikirkan seperti tahun-tahun
sebelum pertandingan.

PENUTUP

Demikianlah persembahan dikir barat yang asalnya adalah dalam bentuk dikir
tetapi diubahsuai dengan pantun masyarakat Melayu. Kemudian
persembahan ini diselitkan lagu-lagu lucu, sedih yang bertujuan untuk hiburan.

Dikir barat berkembang begitu pesat dengan tertubuhnya beberapa kumpulan


dikir barat di tanahair. Pada masa yang sama permainan ini telah menjalani
beberapa proses perubahan serta pembaharuan. Dikir barat bukan sahaja
berfungsi sebagai arena hiburan tetapi juga mampu menyampaikan amanat
kerajaan kepada rakyat dengan berkesan, terutamanya dalam mengubah cara
penghidupan dan pemikiran rakyat sesuai dengan peredaran masa.

Diterbitkan oleh :
Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan
Bahagian Pembangunan Kebudayaan dan Kesenian
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. 2003
18

Anda mungkin juga menyukai