Anda di halaman 1dari 5

PATRIOTISME…PEWARIS MUNSYI

Hujan dan kabus memekup udara dingin, 22 darjah celcius. Kawasan dingin lagi
nyaman, segar dan bersih mengalu-alukan kehadiran kami. Bilik 118, Hotel Seri
Malaysia meresap dingin luar. Terasa kedinginannya hingga ketulang.

Kedinginan suhu di Tanah Tinggi Genting hanya lapisan luar. Lapisan dalamnya,
panas dibakar semangat oleh Tuan Munsyi Dewan. Tuan Munsyi membakar semangat
dengan objek bahasa. Bahasa boleh menjadi objek simbol atau lambang patriotisme.
Segalanya tertanam di dalam kotak fikir. Semangat bahasa yang ditiupkan pagi, petang
dan malam selama empat hari menguatkan jati diri patriotisme yang tidak serupa
kepada semua orang.

Semangat Munsyi Dewan meninggi apabila nada suara ditinggikan. Simbol


patriotisme boleh dilihat pada bendera, tugu peringatan, status bangunan, pakaian,
istana pembesar, nama pahlawan bangsa, nama jalan, berita dan kisah-kisah sejarah,
nyanyian lagu kebangsaan dan banyak lagi. Simbol semangat patriotisme tadi menjadi
istilah pengganti “ibu pertiwi”. Semangat bahasa yang ditiup oleh dua Munsyi Dewan
menjadi pengganti “jiwa bangsa”. Itulah yang dipaku dalam kotak fikir hingga ada
terjaga dari tidur.

Nada dan laungan dua pewaris Munsyi Dewan menjadi pelengkap antara satu sama
lain. Kecintaan pada agama, bangsa, negara dan bahasa adalah unsur patriotisme.
Termasuklah berpengetahuan luas tentang sejarah negara bangsa dan kesetiaan
kepada pemimpin. Lebih bermartabat patriotisme itu apabila mendaftar dan membuang
undi sebagai hak dan kewajipan warga yang berpatriotisme. Begitu lebih nilai
martabatnya jika waktu mengundi itu rakyat diminta bijak “memangkah” pemerintah
yang boleh menjamin nasib kesinambungan bangsa. Jadinya kesinambungan bangsa
itu menjadi pelengkap pada kesinambungan bahasa. “Jiwa bangsa” itu bahasa atau
“bahasa itu jiwa bangsa”. Mana yang dahulu. Bahasakah atau bangsa? Seperti telur
dan ayam, manakah yang dahulu?

Bilik Mengkuang menjadi bilik untuk kami membezakan banyak orang atau ramai
orang. “Ialah tak boleh diguna di hadapan perkataan untuk. Sepatutnya adalah untuk
yang selayaknya,” Munsyi mengeluarkan fatwa. Diketuknya kotak fikir bahawa
penggunaan ianya salah. Mengapa ia salah dan rasional hukum mengapa ia betul. Ia
dan nya, kedua-duanya ialah kata ganti orang ketiga. Pintu kotak fikir mulai terbuka.

Pintu Bilik Mengkuang setebal tiga sentimeter menutup suara-suara patriotisme dari
terpantul keluar. Gelak ketawa dalam semangat patriotisme berdekah lantunannya di
sekitar dinding kaku yang bodoh. Terpantul ke dinding dan membalikkan semangat itu
ke dalam kotak fikir yang cerdik. Syarat, aturan, rukun dan hukum bahasa diamati.
Tidak berhak sesiapa menentukan rukunnya, kecuali ada mazhab lain yang muncul dan
mempertahankan hukum. Segalanya untuk mempertahankan bahasa sebagai budaya
bangsa bertamadun. Tidak mungkin dikatakan orang bahasa Melayu serupa bahasa
basahan, bahasa mati, bahasa kuno, bahasa rojak, bahasa tidak dinamis dan bahasa
yang lemah. Bahasa yang tak mampu mengglobalkan anak-anak dalam Sains dan
Matematik. Tetapi mungkin dihamburkan kata-kata itu oleh bangsa sendiri.

Pemimpin politik yang bersemangat bangsa juga turut menghamburkan kata-kata.


Penjawat awam perlu meyakinkan rakyat dengan bahasa yang mudah difahami. Rakyat
perlu diyakinkan bahawa kerajaan kita sentiasa memperjuangkan nasib bangsa dan
maruah bahasa. Sepintas kilas menggelinding dalam kotak fikir masing-masing mencari
kata-kata yang sesuai untuk menggantikan slogan yang dipahat kuat selama ini tentang
MBMMBI. Kenapa perlu ada ‘memperkasakan Bahasa Inggeris’. Sedangkan rakyat
diyakinkan kerajaan berjanji memperjuangkan maruah bahasa. Tidak bolehkah diubah
menjadi ‘Memertabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Malaysia’.

Kotak fikir yang cerdik memacu ligat, sudah tahu ada agenda tersirat. Walaupun
dinding kaku yang hanya tahu melantunkan gelombang suara dalam Bilik Mengkuang
itu seolah sedang mentertawakan kepandiran semua. Sudahnya apa…Peluh dingin
manusia di dalamnya sudah membuka kotak fikir bahawa ini suatu permainan dam ular.
Ada yang akan jatuh dan naik tangga bergantung pada buah dadu. Terlihat beberapa
pasang bola mata dalam bilik pemantapan Bahasa Melayu itu terkebil-kebil kerana
sedar diri dipandirkan.
Tidak…Bukan buah dadu yang menentukan untung nasib. Naik turunnya nasib itu
ditentukan oleh ular yang menunggu di atas. Ada ular kecil, besar, ular pendek dan ular
panjang. Ular berbagai saiz yang menunggu itu hanya menyelamatkan keadaan supaya
mangsa ada waktu untuk meneruskan perjuangan. Buah dadu itu penentu strategi.
Manakala anak tangga sebagai ‘gula-gula getah’. Jika lambungan dadu bernasib baik
seperti tahun 1959, dihulurkan tangga yang sedang-sedang. Ketika buah dadu tergolek
muram pada tahun 1969, anak tangga yang ada tak dapat menolong kaki untuk
memijak. Manakala ular besar tetapi sederhana panjang sedang menanti. Ketika
permainan dam ular mendapat tumpuan ramai pada tahun 1999 dan 2008, alangkah
bernasib baiknya orang itu dan orang ini. Namun ular besar masih menghulurkan
peluang cuma tidak ditelannya sampai jatuh tergolek.

Ada bijak pandai dan sedikit cerdik tetapi masih kepandiran berhimpun ramai
menahan ular besar dari mengganas. Itulah permainan…barangkali pewaris Munsyi
yang lahir sejak tahun 1956 dan membesar tua hingga kini telah bermati-matian
memupuk dan mengembangkan semangat bahasa Melayu hingga berkembang pesat.
Kepesatannya naik turun kerana ular yang rakus sedang menanti. Pernah ada usaha
pada tahun 1984 meletakkan tangga untuk membakukan bahasa Melayu melalui
sebutan. Disambut baik oleh badan penyiaran radio dan TV dengan pembaca berita
perdananya daripada kaum Cina, India, Serani, Punjabi menyebut bahasa Melayu baku
dengan baik sekali. Usaha ini seumpama slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan kini.
Slogan untuk menyatupadukan rakyat dengan sebutan diseragamkan mengikut ejaan.
Sepuluh tahun lebih usaha membakukan bahasa Melayu berjalan rancak tiba-tiba
dimusnahkan.

Penghujung…,sudahnya apa? Satu usaha dan idea yang baik namun ditelan oleh
ular. Sejenis ular yang cukup ganas. Meletakkan dirinya di puncak ‘Dark Justice’
(Keadilan Syaitan). Niat mutlaknya menghapuskan usaha murni ini.

Kononnya kita meniru gaya keIndonesiaan…,tak ada jati diri. Hujah lain, kesukaran
menyebutnya begitu janggal bagi penutur yang mesra dengan bahasa Inggeris. Segala
alasan seperti tidak sedap didengar, sukar disebut, ganjil dan pelik menjadi hujah untuk
menolaknya. Di sebalik permainan dam ular, kebimbangannya kerana idea itu
dizahirkan oleh satu ikon berkarisma dan dijulang ramai. Hanya terpalit amalan tidak
bermoral, semua kencing dan beraknya dipungut. Dicari kebusukan bersama nanah, air
mani, tilam yang meloyakan.

Nah! Sekarang dilaungkan oleh pewaris Munsyi dengan dadu di tangan,


patriotisme…bukan ma…bukan mi. Sebut betul-betul dengan bibir terjulur, bola mata
terkelip-kelip dalam suasana romantik. Bersuara lantang bagi mencari keselarasan
vokal dalam semangat patriotisme. Sebut betul-betul…

Nah! Sekarang ketawa bodoh melantun kembali ke dalam Bilik Mengkuang apabila
Munsyi Dewan menghidupkan suasana yang mulai lesu. Tersembur dari mulut seorang
Munsyi Dewan, “Manusia itu adalah hamba kepada kebiasaan…membetulkan yang
biasa, membiasakan yang betul.” Kata-kata itu seperti meniup api semangat supaya
tidak padam. Api yang panas dan membakar ini perlu ditiupkan selalu. Lebih-lebih lagi
Bahasa Melayu-bahasa ilmu yang utuh dalam tamadun. Kelestrian itu perlu diberi
makna yang sebenar.

“Oleh kerana - salah di sisi rukun bahasa, sepatutnya oleh sebab. Oleh …KSN,
sebab…KN, jadinya oleh + KN,” sekali lagi Munsyi Dewan membetulkan kesalahan.
Ketawa bodoh beramai-ramai terdiam seketika. Rasa membodoh diri sendiri, di Tanah
Tinggi Genting. Bahasa sendiri diguna tidak mengikut rukun yang betul. Kebodohan
dan bangang untuk dilaungkan semangat perjuangan bahasa. Apa tidaknya, pengamal
dari bangsa bahasa itu sendiri sudah melakukan kesalahan rukun.

Tak sampai separuh yang lulus dalam latihan bertandakan √ jika betul dalam
penganalisisan Munsyi Dewan. Masing-masing tergegau dan bengang. Orang ‘cerdik’
dimalukan dengan bahasa sendiri. Orang ‘cerdik’ yang selama ini tidak perasan yang
ditulis mengandungi kesalahan hukum. Tulin, walau pun, atlit, suruhan jaya, calun,
tengahari, siaraya, pra sejarah, ketrampilan, mee bandung, keretapi, sayugia dan
banyak lagi dieja salah belaka.

Sepatut, ejaannya seperti tulen, walaupun, atlet, suruhanjaya, npilihan raya, calon,
tengah hari, siar raya, prasejarah, keterampilan, mi bandung, kereta api, seyogia,
catatan, Johor Bharu, Kota Bharu,ihsan, automatik, protein, bancar, pascamerdeka,
selesema, stoking, atur cara, reka bentuk, warganegara, warga kota, e-mel, anti-Israil,
tahun 80-an, kokurikulum, kalesterol, kemas kini, tandatangan, walau bagaimanapun,
tatacara, Insya-Allah, boling, juruukur, dail, dialog, pensel, kepada-Nya, memperbesar,
ambil alih, gembleng, perabot, ibu bapa, keibubapaan, keriting…

Hujan dan kabus tiada lagi di hari terakhir. Suhu dingin masih nyaman hanya tinggal
kenangan. Bilik 118, tiada sesuatu yang istimewa. Hanya nama Hotel Seri Malaysia itu
yang menjadikan cepu kepalaku menyondol, kenapa tidak dimartabatkan Hotel Seri
Melayu? Bunyinya rasis. Dahulu kita guna Bahasa Melayu, sekarang kita guna Bahasa
Malaysia. Keterlaluan rasisnya. Dahulu dan kini kita berslogan “Bahasa Jiwa Bangsa”,
tidakkah bertentangan dengan slogan 1Malaysia? Semakin rasis. Dahulunya kesan dan
pengaruh Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) tiada sambutan, kini kempen
memperkasakan Sekolah Wawasan juga tidak mendapat sambutan. Keterlaluan
rasialisnya. Jadinya apa…seperti anjing menyalak bukit. Sedikitpun tanah bukit tak
runtuh, sebaliknya anjing itu ditangkap, diracun dan dimatikan kerana asyik bising dan
memekak dengan berak dan kencingnya terbarai, pedulikan sahaja.

Akhirnya aku berterima kasih atas ilmu yang disebarkan oleh pewaris Munsyi
Dewan. Jika tidak aku menjadi ‘haiwan’. Sejarah tamadun manusia mempertahankan
bahasa sebagai tradisi kebudayaan bangsa. Tentu kebudayaan itu terpenting
membezakan manusia daripada ‘haiwan’. Aku bernasib baik terkeluar dari ‘kandang
haiwan’. Bagiku pewaris Munsyi akan meneruskan amanah dan warisannya. Jangan
disinonimkan pula dengan Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir yang digelar siKitul Moden
sebagai ‘budak Raffles’, kelak nanti menjadi sebahagian ‘buah dadu’ dalam permainan
dam ular yang bernaung di bawah lancung nasionalis Melayu.

Anda mungkin juga menyukai