Anda di halaman 1dari 5

MENCARI KEMURNIAN ETIKA DALAM KRITIKAN ANTARA PENGKARYA DAN

PENGKRITIK

Dalam kita berkarya ada yang mengkritik dan dalam kita mengkritik ada kritikan lain.
Sebahagian yang baik dalam berkarya dan dalam kritikan itu harus diingat nilai etika
yang boleh membantu meletakkan nilai kritikan dan nilai karya itu sesuai untuk dihayati,
saksama untuk diapresiasi dan berada dalam perbincangan yang sihat.

Kebiasaannya etika difahami dalam bentuk yang mudah sebagai garis panduan supaya
antara artis dan pengkritik itu saling bantu membantu dan hormat menghormati.
Mengikut Ku Seman dalam ruangan blog beliau(http://kayangdailypost.blogspot.com/)
bertajuk “Blog, Adab dan Topeng” bertarikh 26 Mei 2009 menyatakan ada sumbangan
intelektual yang dapat disebarkan dalam suasana mencintai ilmu, menghormati
pemikiran orang lain seperti menghormati pemikiran sendiri. Suasana yang murni dan
beretika dalam kritikan itu melahirkan pembuat karya itu terangsang untuk terus
berkarya dan tahu bercakap serta berfikir tentang karya yang dihasilkan. Manakala
pengkritik mendapat maklum balas positif bagi meningkatkan ilmu, membaiki fakta yang
tertinggal dan menambahbaik elemen yang dapat menceliksenikan orang ramai.

Kritikan yang tidak beretika, nampak berat sebelah dan tiada dorongan bagi
meningkatkan hasil karya dan boleh membawa interpritasi yang negatif. Ada lanjutan
dari kritikan itu oleh pihak kedua dan berterusan untuk terus membunuh secara senyap
nilai karya dan kreativiti pengkarya. Jika ada pihak ketiga yang mengamalkan kritikan
beretika mungkin ianya dapat membantu mengharmonikan suasana kritikan itu dan
suatu dailog ilmu yang sihat berkembang yang disebut oleh Ku Seman “mewujudkan
nilai intelektual.”

Menurut Edmund Burke Feldman 1994, kita mesti mengelak dari konflik sewaktu
membuat kritikan. Antaranya, elakkan membuat kritikan pada kerja-kerja sendiri atau
rakan yang terdekat atau sahabat karib. Ini tidaklah bermaksud kritikan tidak boleh
dilakukan kepada seseorang artis atau kawan sesama artis. Yang sepatutnya
merapatkan perhubungan di mana dapat melahirkan kritikan yang adil dan saksama.

Selain itu Edmund menghuraikan bahawa pengkritik tidak boleh menggunakan komen
yang boleh merosakkan reputasi seseorang atau sesuatu kumpulan. Semua hasil karya
seni boleh menjadi senjata kepada seseorang atau kumpulan tertentu untuk
melemahkan semangat kumpulan lain yang merupakan suatu tindakan yang kurang
sihat.

Bila kita menulis perihal artis, kritikan dibuat bagi mencari kekuatan dan kelebihan di
sebalik kekurangan yang ada. Dengan cara ini pengkritik melakukan kerja ikhlas dan
tidak didesak atas sebab kewangan atau oleh mana-mana pihak dari sebelah pihak
artis. Kritikan sepatutnya tidak berdasarkan wang atau saguhati daripada pembeli atau
pengedar seni atau sebarang egen yang mengendalikan urusan artis. Pengkritik tidak
harus menerima hasil dari karya yang diberikan oleh artis walaupun pemberi itu rasa
tidak bersalah. Pengkritik tidak boleh menerima hasil kerja seni sebagai hadiah
daripada artis atau yang dihantar sebagai hadiah tanpa diketahui siapa pemberinya.

Sebagai pengkritik perlu ada suatu sikap untuk mencetuskan idea membina. Pengkritik
cuba mengelak dari terlalu banyak mencari kesilapan, sebaliknya cuba mencetuskan
sebanyak idea dengan mengutamakan tumpuan pada mengcungkil kekuatan dari
setiap elemen dalam karya yang ada.

Kritikan tidak seharusnya menerima sebarang komisen daripada hasil jualan karya seni
yang berkaitan dengan kritikan tersebut.

Apabila menerima kritikan anggaplah segala pendapat itu bertujuan memperbaiki


kualiti atau nilai sesuatu karya, fakta tentangnya harus bersandarkan hujah dari rujukan
yang boleh diperakui atau sekurang-kurangnya dari rujukan buku yang boleh menarik
perhatian orang ramai.

Kritikan perlu jujur dari hal fakta tentang tarikh, sejarah, harga jualan dan sebagainya
dan dipertimbangkan semula sama ada relevan atau sebaliknya. Secara umumnya
banyak lagi etika yang sesama kita tidak mengendahkan kerana menganggap ianya
kurang penting seperti :

• Kritikan juga tidak seharusnya bersandarkan kritikan yang lain seperti tuan punya
galeri, pernyataan muzium secara rasmi yang bertujuan mempromosikan karya-
karya artis atau dari mana-mana institusi tempat artis itu dilahirkan.

• Kritikan tidak sepatutnya menjadi nasihat peribadi atau sebagai perbincangan


awam yang merujuk pada kenyataan-kenyataan berbentuk nasihat.

• Kritikan yang dibuat tidak harus menjadi laporan. Kritikan bersandarkan


kepakaran seni dan tidak patut ada elemen nasihat antara penjual dan pembeli.

• Kritikan tidak harus menggunaan komentar untuk memburukkan artis atau


persoalan bermotifkan sesuatu yang ditambah.

• Kritikan tidak harus diasingkan di antara satu krtikan dengan kritikan yang lain
dengan maksud mencela nilai peribadi dan latarbelakang artis.

• Kritikan juga tidak harus dibuat berdasarkan interpritasi dari lain-lain kritikan
kecuali munasabah dan ada kesesuaian.

• Akhirnya kritikan tidak harus menjadi ruang untuk mengenengahkan perkara


yang tersembunyi di sebalik sesuatu yang pernah didengar.
Berdasarkan etika kritikan yang disyorkan oleh Edmund Burke Feldman 1994 ini, ia
boleh menyedarkan pengkritik akan tugas mereka yang sebenar ke arah lebih positif
untuk membina suasana yang sihat. Dengan kritikan yang bersandarkan kesedaran
dapat mengaitkan hujah-hujah pada fakta, teknikal, sejarah dan stail yang tergolong
sebagai kritikan yang membina dan boleh dijadikan sesi polimik yang sihat.

Kritikan yang positif boleh mencerminkan nilai peribadi tetapi tidak sepenuhnya boleh
menjadi pengganti secara langsung kepada artis. Biarlah kritikan itu sebagai
pengalaman yang asli dan baik berdasarkan hasil dan kesan estetik yang dimiliki oleh
artis.

Kritikan yang melampau dan mendekati hal-hal politik, ideologi boleh menjadi penilaian
yang berat sebelah. Sebagai suatu perbandingan, kritikan harus ada pertalian dengan
kerja seni yang mempunyai persamaan dengan kerja-kerja seni yang lain dan
membawa kesan secara keseluruhan. Keutamaan kritikan yang standard boleh
dilakukan secara luaran dari kesan permulaan yang membawa pada konteks
seterusnya dan memberi kesan-kesan positif.

Dengan nilai positif, kritikan yang dibuat mengikut merit menjadikan prinsip bagi melihat
kekuatan atau kelemahan yang disempurnakan oleh bukti dan fakta. Ada kes yang
menjadikan krtitikan secara sedar boleh mewakili hak orang ramai dan sebahagian hak
artis dan yang bakinya kepunyaan dunia seni.

Perlu diingatkan juga, setiap karya seni dalam perkembangannya ada meninggalkan
kesan yang menghampirkan diri artis dengan rahsia diri dan ada hubungkaitnya dengan
pengalaman dalam karya.

Dalam pergerakan seni lukis di Malaysia, persoalan yang menjadi perbahasan


berpanjangan telah dijadikan alasan yang baik namun masih berhati-hati. Inilah
perkembangan yang berlaku di bidang seni tampak Malaysia dengan adat dan budaya
yang saling hormat menghormati sesama artis dan pengkrtik seni. Dengan kehormatan
yang diberi kepada golongan muda telah membawa semangat antara kritikan dan
berkarya. Sebagai contoh, Redza Piyadasa dan Salleh Ben Joned yang memulakan
semangat kritikan telah membawa suatu perkembangan dalam seni lukis Malaysia.
Walaupun nampak suatu polimik yang tak berkesudahan tetapi sekadar riak-riak dalam
cawan kopi dan tidak membawa kesan kontroversi yang berpanjangan.

Dalam konteks tanggungjawab sosial, kritikan seni menurut Dr. Tan Chee Kuan
menyatakan ramai di kalangan penulis, kolektor seni, artis, kurator berganding bahu
mengangkat karya-karya seni tampak menjadi bernilai sebagai khazanah budaya.
Melalui jalinan erat, maklumat yang tepat dan fakta-fakta yang betul, sumber-sumber
seni diterokai bersama. Ada yang menyentuh hal kontroversi dalam kritikan dan sejarah
seni yang tercatat itu dimanipulasikan dengan berhati-hati mengikut sudut pandangan
peribadi yang saling menghormati.

Jika budaya membalas kembali kritikan dengan ayat dan perkataan yang tidak
melambangkan nilai intelektual dan sebagainya maka samalah kita dengan apa yang
pernah berlaku antara Ruskin dan Whistler. Berlaku saman menyaman antara
pengkritik dengan artis dan terbongkar segala gosip serta perbincangan yang
melanggari peraturan sehingga hilang rasa hormat menghormati antara artis dengan
pengkritik. Walaupun nanti keputusan mahkamah akan memenangi seseorang
kesannya berpanjangan. Jika salah seorang itu menang perbicaraan dan mendapat
pengikhtirafan yang tinggi dan memberi signifikan yang baik ke atas kerjayanya tetapi
semuanya akan rugi di akhir nanti.

Sepanjang perjalanan meneroka kehidupan seorang pelukis dan tempoh masa yang
dilalui perlu dicatat dengan penuh tanggungjawab. Hal ini cuba dilakukan oleh Dr. Tan
Chee Kuan. Tentu jawapannya adalah dari rasa tanggungjawab sosial dalam
melaksanakan tanggungjawab berwibawa. Menerusi analisis dokumentasi yang
bersesuaian dengan esei bagi menyangkal isu-isu yang samar-samar atau andaian
bagi mencari kebenaran.

Dr. Tan Chee Kuan menggunakan pendekatan sejarah untuk mempengaruhi


pembaca. Misalannya dalam isu siapakah yang patut mengangkat seniman Yong Mun
Sen sebagai bapa seni lukis Malaysia telah menimbulkan perdebatan antara beliau
dengan Piyadasa. Beliau mempengaruhi pembaca dari sudut kaca mata seorang
kolektor seni dengan fakta-fakta sejarah. Hujahan beliau menyentuh esei-esei Piyadasa
berhubung perkembangan pelukis-pelukis Pulau Pinang di sekitar tahun 1920 hingga
1990 dikatakan suatu analisis yang kurang mantap. Hujah Piyadasa dikatakan banyak
bersandar kepada kenyataan yang dipetik melalui surat khabar dan bergantung pada
penulisan-penulisan yang lepas. Dr. Tan beranggapan status seniman Yong Mun Sen
sebagai bapa seni lukis Malaysia perlu disemak kembali dari kaca mata seorang
pembeli dan kolektor seni kerana mereka mengetahui perjalanan sejarah seni dan
tokoh seni. Hujah Dr. Tan disokong dengan cerita yang berkait dengan memori lama
dari surat-surat, artikel-artikel yang dipetik dari akhbar sampai ke katalog pameran.

Begitulah isu dan kontroversi dalam kritikan seni memerlukan hujah yang meminta
pengkritik kembali kepada sejarah, individu-individu yang terdekat dengan artis, ahli
keluarga dan orang yang masih hidup dengan merujuk bahan dan surat yang masih
ada.

Dalam melaksanakan peranan mencari kemurnian etika dalam kritikan kedua-dua pihak
perlu menerima dengan jelas bahawa antara artis dan pengkritik berada pada dasar
yang adil. Penerimaan yang jelas ini boleh membantu khalayak mengenali karya-karya
seni dan pembuatnya, boleh mengetahui pembongkaran fakta sejarah dan
perkembangan seni yang berkait-kait dalam lingkungan yang sangat luas.

Ada dua motif utama secara adil yang menjadi dasar dalam mencari kemurnian etika
antara pengkarya dan pengkritik iaitu :

• Menerapkan nilai adil pada asas-asas yang munasabah dalam menampakkan


perbezaan antara kritikan melulu dengan kritikan berbantukan penglihatan dan
tafsiran minda.

• Menerapkan nilai saksama bagi menunjukkan kenapa seni itu penting dalam
aktiviti kehidupan manusia.

Apabila interpritasi dan penilaian karya seni dibuat, kritikan sepatutnya menekankan
apa yang dapat diketahui oleh artis tentang dirinya. Artis pula memerlukan penganalisis,
pengkritik sekaligus pendorong memotivasikan artis mengetahui segala kekuatannya.
Gambaran visual sebagai saksi dokumentasi yang sah menjadi terbitan kata-kata dari
mulut yang sah dan laporan sejarah dengan fakta yang betul. Nasihat akhir, apabila
melakukan kritikan harus diyakini dan menjadi persediaan untuk membantu nilai estetik
mengambil tempat dan nilai moral serta budaya tidak dilanggari. Manakala artis terus
menglahirkan karya bertaraf unggul, menjadi karya penyambung tamadun, artifak
sejarah budaya bangsa yang kekal sebagai khazanah harta intelek negara.

Anda mungkin juga menyukai