Anda di halaman 1dari 6

UNSUR SENI YANG TERSEMBUNYI.

KEKUATANNYA DILIHAT MENERUSI


AGENDA GESTALT

Agenda Gestalt meletakkan persepsi tampak sebahagian yang penting dalam melihat
sesebuah karya seni tampak. Dalam agenda Gestalt, peringkat pertama ialah
kemunculan bentuk yang baru dari kerak bawah. Contoh dari dua wajah yang
bertentangan muka dan imej di tengahnya muncul sebuah pasu adalah suatu
penglihatan yang menyoal audiens dengan tanda tanya iaitu manakah sebenarnya
latarbelakang dalam gambar tersebut? Kita dapat melihat dua imej dalam satu persepsi
iaitu pasu bunga seperti bentuk wajah dan latarbelakang yang digelapkan. Di samping
itu kita juga dapat melihat dua wajah seperti satu bentuk dari kawasan
berlatarbelakangkan putih. Adalah mustahil untuk melihat kedua-dua seumpama pasu
dan wajah dalam masa yang sama, namun itulah persepsi tampak yang dimainkan oleh
agenda Gestalt dan kita mempunyai pilihan hanya dapat melihat salah satu
daripadanya.

Satu persamaan juga berlaku. Kita tidak dapat memutuskan sama ada wajah yang
hitam berada di hadapan atau di belakang. Sama seperti maklumat yang tidak cukup
telah diberi bagi memutuskan yang mana satu sebagai yang benar dalam otak kita.
Faktur lain yang dianggap penting ialah cara kita mengolah sesuatu objek tampak
untuk mejadi suatu penghasilan imej. Lazimnya kita mengelompokkannya menjadi satu
paten. Cara dan kaedah mengelompok ini dalam persepsi tampak adalah intipati
kepada kehidupan kita setiap hari dan ia berpunca dari pilihan dan penolakan maklumat
Apabila kita melihat suatu siri lukisan menggunakan titik-titik sebagai tanda, kita
terdorong untuk memilih apa yang berkenan bagi mewujudkan makna.

Dalam kes yang lain ianya terlalu banyak maklumat yang tidak dapat disenaraikan serta
mustahil untuk dipermudahkan sehingga ia menjadi gangguan. Contoh gangguan yang
dimaksudkan ialah gambar garisan-garisan yang menuju ke titik tengah. Apabila ia
dilihat dalam beberapa saat, kelihatan garisan itu muncul dan bergerak, mata tidak
dapat memutuskan makna di sebaliknya.

Kesimpulannya jika mata disalurkan dengan terlalu banyak maklumat, imej yang
dihasilkan boleh menjadi gangguan. Contoh-contoh ilusi ini dapat disimpulkan bahawa
kita sebagai audiens tidak dapat mempercayai apa yang dilihat oleh mata. Namun
unsur seni di sebalik itu yang membawa makna apabila otak pandai mentafsirnya.

Alasan kenapa kita tertipu ialah kerana pengamatan kita diganggu. Gangguan yang
mempercepatkan kita untuk terus menterjemah makna dari imej tampak ke dalam
gambar tiga dimensi. Gambaran struktur imej yang menampakkan kedalaman jika
dipersetujui dengan keadaan saiz maka kita akan melihat bahawa proses ilusi itu
melibatkan pengetahuan kita tentang perspektif dan saiz.
Suatu contoh yang mudah berkaitan ilusi garisan horizontal dan vertikal
memperlihatkan bahawa garisan vertikal kelihatan lebih panjang daripada garisan
horizontal. Merujuk teori perspektif, hal ini terjadi disebabkan oleh kita melihat garisan
vertikal bergerak menjauhi kita dan juga oleh saiz yang tetap sehingga nampak ianya
panjang.

Unsur-unsur seni yang kita fahami boleh membawa perubahan menerusi olahan dan
gubahan baru. Gestalt memainkan peranan dalam gubahan baru ini. Perbezaan antara
karya-karya tradisional dengan karya aliran moden boleh dijadikan contoh terutamanya
dalam penyusunan bentuk-bentuk. Merujuk pada karya realis dan abstrak, kedua-
duanya bersandarkan pada penyusunan bentuk-bentuk. Apabila karya tradisional yang
memaparkan imej lanskap, didapati bentuk-bentuk semulajadi menjadi pilihan untuk
memenuhi hukum keseimbangan ruang.

Pengalaman mata yang melihat suasana alam semulajadi telah dapat membantu
mempengaruhi imej-imej yang tergolong dalam lukisan lanskap. Imej-imej berhorizontal
dan vertikal digunakan bagi memenuhi ruang dan keadaan. Hal ini dapat
disempurnakan melalui ruang depan, tengah dan belakang. Imej-imej yang seimbang
telah memenuhi hukum harmoni. Pemilihan bentuk bersesuaian dengan imej-imej alam
semulajadi dan faktor pemilihan menjadi kekuatan bagi karya-karya tradisional yang
bertemakan lanskap.

Bagi seniman moden yang memaparkan lukisan abstrak bersandarkan contoh seperti
karya Sharifah Fatimah melalui tahap kelainan antara dua zaman berasaskan
keupayaan dalam pengawalan bentuk dan warna. Lukisan Sharifah dalam gaya Abstrak
Ekspresionisme mengajak audiens untuk bersama menikmati keharmonian bentuk,
ruang dan warna. Kaedah penstrukturan imej dalam lukisan abstrak yang melibatkan
struktur bentuk, ruang dan warna dapat dikaitkan dengan pendekatan Gestalt. Mata
pemerhati dimainkan dengan persepsi psikologi melalui gaya dan gubahan baru yang
sebenarnya adalah permainan mata dan otak.

Dalam karya-karya lain antaranya Victor Vasarely seperti “Metagalaxie” (1960-61) dan
“Zebra” (1938) membawa gaya pengulangan garisan. Ini juga ada persamaan dalam
karya-karya Bridget Riley “Arrest III” (1965) dan “Shuttle I” (1964) yang mengutamakan
gaya pengulangan. Keseluruhannya dapat difahami, kenapa kita menerima rupa bentuk
dan paten-paten yang ada sebagai suatu keseluruhan objek? Inilah ikatan Gestalt yang
tidak dapat diputuskan dan berusaha mengaitkan bahagian-bahagian kecil menjadi
keseluruhan bahagian. Gaya menjadikan bentuk-bentuk yang ada dikawal oleh
persepsi dan kita tahu setiap bahagian adalah suatu permainan mata dan otak. Karya-
karya sebegini adalah proses permainan antara ruang fizikal yang nyata tetapi masih
menekankan persepsi yang ada perkaitan ilusi.
Di sebalik permainan mata dan otak, pendekatan Gestalt menonjolkan sesuatu yang
yang bebas dan terbuka dalam konsep pengamatan. Ini adalah permainan dari kesan
pengamatan yang menjadikan saiz imej tampak sebagai paten. Oleh itu kesan yang
ditinggalkan ialah kesaksamaan yang boleh dilihat dalam contoh-contoh seni
Arabesques.
Kenyataan ini dinyatakan oleh Anton Ehrenzweig (1975:24) untuk mengaitkan sifat
kesaksamaan dalam paten Gestalt sebagai satu perkaitan dengan ciri-ciri bebas dan
terbuka. Keadaan paten yang “terbuka” di mana bentuknya tidak bertepi (hard-edged)
melahirkan pengalaman yang tidak terhad kepada sempadan yang ada. Hal ini jelas
mendekati sifat seni Arabesque itu sendiri yang ternyata mengabungkan hakikat bentuk
yang terbuka dalam menzahirkan ruang secara fizikal.

Manakala kesaksamaan dalam erti kata “bebas” di dalam Gestalt bertujuan melahirkan
penyatuan, persambungan tanpa sempadan tepi. Oleh itu dalam tradisi seni bina Islam,
gabungan bentuk dalam ruang yang terbuka membawa fungsi memenuhi konsep kiblat,
imam, jemaah (makmum), saf dan sebagainya. Dinyatakan oleh Ismail Zain (1980:33)
bahawa;

“….tradisi yang mengabungkan kedua-dua bentuk ini (ruang terbuka dan fungsi) telah
diperkukuhkan lagi terutamanya oleh ciri-ciri terbuka antaranya ciri-ciri hiasan Arabesque. Ciri-
ciri hiasan ini menggunakan sumber tumbuh-tumbuhan sama ada secara ukiran batu, kayu
atau rangkaian mosaic dengan tulisan-tulisan khat yang kedua-duanya mempunyai
kemungkinan persambungan ke arah infiniti”

Kesimpulannya, unsur seni tampak yang tersembunyi dapat dibangkitkan menerusi


gabungan pancaindera menerusi mata dan otak. Peranan Gestalt cuba
memaksimumkan penggunaan otak dari kedua-dua hemosphera otak kiri dan otak
kanan. Dalam tradisi lukisan yang ditemui sebahagian kecil tarikan cuba ditangkap oleh
mata dan ditonjolkan oleh artis untuk meningkatkan penghayatan audiens kepada
sesebuah karya seni. Dari amalan tradisi ini menjadi landasan untuk teori Gestalt
meletakkan konsep persepsi tampak yang melibatkan kreativiti ke atas subjek atau hal
benda. Peranan mata dianggap penting untuk menerima titik-titik imej yang tidak
tersusun. Manakala otak mengambil peranan melengkapkannya menjadi bentuk-bentuk
yang sempurna secara keseluruhannya. Maka artis yang menyiapkan sesebuah karya
akan membuka peluang kepada otak yang bijak mentafsir bagi mencari unsur seni yang
tersembunyi.

Rujukan:

Anton Ehrenzweig. The Psychaanalysis of Artistic Vision and Hearing. London:


Sheldon Press, 1975

Beardsley D.C dan Wertheimer, M. Readings in Perception. New York: D. Van


Nostrand Co., 1958

Carolyn M. Bloomer. Principles of Visual Perception. London: The Herbert Press,


1990

Ismail Zain (Dewan Budaya, Januari 1980). “Beberapa Aspek Imajan dalam
Kesenian di Malaysia”

Anda mungkin juga menyukai