Anda di halaman 1dari 4

Perkahwinan Yang Bahagia

Perhubungan Khadijah dan Muhammad selaku majikan dengan pekerja berjalan dengan
baik. Perniagaan Khadijah semakin menggalakkan dan keuntungan yang diperolehi juga
berlipat ganda. Beliau bertambah kaya dan sukar untuk ditandingi oleh peniaga-peniaga
lain. Khadijah bukan sahaja menganggap Muhammad sebagai pekerjanya malah
sebagai rakan kongsinya. Bagi Khadijah, Muhammad adalah aset yang
menguntungkannya berbanding pekerja-pekerjanya yang lain. Khadijah bukan sahaja
tertarik kepada Muhammad kerana kepandaiannya berniaga tetapi juga kerana
Muhammad berbudi bahasa dan mempunyai ahklak yang tinggi jugfa kerana
ketampanan serta kemerduan suaranya. Tutur bicaranya yang lembut sentiasa diingati
oleh Khadijah. Bukan sesuatu yang aneh apabila Khadijah menaruh harapan terhadap
diri Muhammad. Wujud satu perasaan yang dirinya sendiri teragak-agak untuk
menyatakannya. Beliau sering bertanya kepada dirinya sendiri kenapa harapan itu mesti
tumbuh dan bersemi dalam dirinya tetapi malangnya beliau sendiri tidak menemui
jawapan bagi persoalan tersebut. Khadijah yang telah menjanda merasakan kehadiran
Muhammad yang bekerja dengannya telah membangkitkan perasaan indah dalam
dirinya. Khadijah sendiri merasa hairan apabila perasaan itu muncul semula setelah
usianya meningkat. “Wahai hati…!” bisiknya. “ Apa gerangan yang membuat engkau
muncul semula…? Padahal sekian lama engkau beku dan tidur dalam kebisuan yang
panjang…? Sungguhpun begitu, perasaan itu dipendamnya sendiri dan beliau berasa
malu untuk menyatakan perasaannya itu kepada orang lain walaupun kepada orang
yang amat dipercayainya. Ini kerana beliau bimbang akan umpatan orang ramai
mengenainya, padahal sekian lama beliau menutup pintu hatinya untuk lelaki sama ada
dari golongan bangsawan atau hartawan Quraisy. Apabila sedar akan hal itu, beliau
berasa malu dengan dirinya sendiri dan beliau sedar akan perbezaan usianya dengan
Muhammad Al-Amin. Lagipun baginya Muhammad belum tentu sudi untuk menerima
dirinya sebagai teman hidup. Muhammad masih muda, tampan, segak, bangsawan dan
berakhlak mulia. Hanya satu sahaja keunggulan Khadijah iaitu mempunyai harta yang
banyak. Tetapi beliaujuga mengetahui bahawa Muhammad bukanlah seorang yanmg
mahukan harta kekayaan. Dalam keadaan khayal yang tiada hujung pangkalnya,
Khadijah telah mendengar bunyi ketukan di pintu rumahnya. Kebimbangannya hilang
serta merta apabila melihat sahabatnya yang datang berkunjung iaitu Nafisah binti
Minyah. Perbualan kedua-dua sahabat itu amat menggembirakan, dari masalah negara
sampailah ke persoalan rumah tangga. Tanpa disedari, terungkaplah nama Muhammad
mengenai amal laku dan kebolehan Muhammad. Nafisah dapat membaca apa yang
tersirat dalam hati Khadijah maka dengan sengaja Nafisah mengkhususkan perbicaraan
mengenai peribadi Muhammad sehinggalah Khadijah meluahkan perasaan yang
bersemi dalam hatinya kepada sahabatnya itu. “Tetapi…Adakah Muhammad akan
menerima perasaan aku ini?” Tanya Khadijah. Nafisah menghibur hati sahabatnya itu
dengan meningatkan kepadanya bahawa beliau adalah berketurunan mulia, hartawan,
dermawan lagi cantik. Walaupun usianya telah meningkat namun beliau tetap cantik dan
ayu yang menyebabkan ramai lelaki berminat untuk menyuntingnya. Nafisah telah
berjanji untuk membantu Khadijah dengan melakukan sesuatu perkara yang masih
dirahsiakan daripada Khadijah. Janji sahabatnya itu telah memberi keyakinan diri
kepada Khadijah. Pada suatu hari, Nafisah sengaja pergi menjumpai Muhammad Al-
Amin dan bertanya kepadanya. “Muhammad…Kenapakah engkau belum berkahwin?”
Muhammad terdiam apabila terdengar akan pertanyaan itu. Muhammad kemudiannya
menjawab sambil tersenyum: “Saya belum mampu untuk berumah tangga.” Jawabnya
pendek. Nafisah bertanya lagi: “Apakah pendapatmu andai ada seorang wanita yang
rupawan, hartawan, bangsawan dan dermawan memintamu untuk mengahwininya?”
Sememangnya Muhammad faham akan ungkapan Nafisah itu, tetapi Muhammad tetap
bertanya pula: “Siapakah wanita yang engkau maksudkan itu?” “Khadijah, Khadijah binti
Khuwailid.” Jawab Nafisah singkat. “Seandainya beliau berkeinginan , saya tidak akan
menolak.” Jawab Muhammad pula. Nafisah seolah-olah tidak percaya mendengar
jawapan Muhammad itu. Bagi memastikan dirinya tidak tersilap Nafisah bertanya:
“Apakah engkau berkata benar, Muhammad?” Gesanya. “Benar. Saya bersungguh-
sungguh.” Jawab Muhammad. Setelah memperolehi jawapan dari Muhammad, Nafisah
segera pergi ke rumah Khadijah untuk menyampaikan berita gembira bahawa
Muhammad putera Abdullah itu bersetuju untuk mengahwininya. Wajah Khadijah
berseri-seri setelah mendengar jawapan itu. Sebagai lambang kegembiraan dan
kesyukuran kepada Allah atas berita gembira itu, maka Khadijah membahagikan
sebahagian hartanya kepada orang-orang miskin dan sesiapa saja yang memerlukan.
Dalam pada itu, Muhammad Al-Amin segera memberitahu perkara itu kepada bapa
saudaranya Abu Thalib, Abbas dan Hamzah. Mereka berasa gembira sekali dan tanpa
perlu dibawa berbincang mereka telah menyetujui cadangan Muhammad untuk
mengahwini Khadijah binti Khuwailid. Oleh itu, Muhammad meminta bapa saudaranya
mengemukakan pinangan kepada pihak Khadijah. Maka ketiga-tiga mereka segera
menemui keluarga Khadijah iaitu bapa saudaranya Amr bin Asad untuk mengemukakan
pinangan Muhammad terhadap Khadijah. Amr bin Asad bersetuju dan menerima
pinangan Muhammad. Pada hari yang telah ditetapkan, Muhammad pergi ke rumah
Khadijah. Hadir sama pada majlis walimah itu ialah Hamzah, Abu Thalib dan Abbas.
Kedatangan mereka disambut oleh keluarga Khadijah dengan mesra, disertai dengan
tatacara penghormatan yang sederhana. Pada walimah itu, Abu Thalib menyampaikan
ucapan bagi pihak lelaki dan ucapannya itu disambut oleh Amr bin Asad. Amr bin Asad
menyatakan secara terbuka mengenai penerimaan ahli keluarganya terhadap
Muhammad selaku suami anak saudaranya, Khadijah dengan mas kahwin (mahar)
sebanyak 20 ekor unta. Berlangsungnya upacara pernikahan Muhammad dan Khadijah.
Penyembelihan haiwan ternak dan tabuhan kompang menyemarakkan lagi majlis
tersebut. Sementara orang-orang miskin pun turut bersuka ria dan mereka diberi
layanan yang baik oleh keluarga Khadijah. Setiap seorang fakir dan miskin yang datang
pada waktu itu akan diberi hadiah yang bernilai oleh Khadijah. Di antara jemputan yang
turut hadir ialah Halimatul Saadiah, ibu susuan Muhammad. Beliau datang dari sebuah
desa yang terletak di pedalaman Makkah dikenali sebagai desa Bani Saad hanya untuk
menyaksikan perkahwinan Muhammad dan Khadijah. Halimah berada di rumah
Khadijah selama 2 hari. Sepanjang itu Khadijah telah melayani Halimah dengan baik
dan hormat. Muhammad begitu gembira dengan kehadiran Halimah di majlis tersebut
dan merasakan seolah-olah pada waktu itu ibu kandungnya, Aminah turut menyaksikan
hari yang penuh bermakna itu. Keesokan harinya, Halimah minta diri untuk kembali ke
kampungnya. Pemergian wanita budiman itu direlakan oleh Muhammad dengan rasa
senang hati dan Khadijah pula telah menghadiahkan 40 ekor kambing sebagai tanda
terima kasih kepada wanita itu atas jasanya yang telah menyusukan suaminya, 25 tahun
yang lampau. Khadijah bersyukur kerana dapat menjadi isteri Muhammad, seorang
insan yang mulia dan dipuji oleh seluruh masyarakat Arab ketika itu. Bahkan suaminya
adalah sebaik-baik lelaki di kalangan kaum Quraisy dan seutama manusia. Sebagai
seorang isteri Khadijah amat pandai menjaga hati suaminya, bahkan beliau adalah
contoh utama dalam hal menghormati dan mencintai suaminya. Khadijah amat
memahami kesukaan suaminya sehinggakan kesukaan suaminya turut menjadi
kesukaannya dan begitulah sebaliknya. Pada suatu hari, Khadijah melihat Muhammad
amat sayang kepada bekas hamba beliau yang bernama Zaid bin Harisah, maka
Khadijah turut memuliakan Zaid sebagaimana Nabi Muhammad memuliakan dan
menyayanginya. Apabila Khadijah mendapat tahu bahawa Muhammad ingin mengambil
anak bapa saudaranya, Ali bin Abu Thalib yanmg masih kecil, Khadijah pun memberi
dorongan kepada suaminya mengenai perkara itu. Bahkan dia juga turut sama mendidik
dan mengasuh Ali dengan penuh kasih sayang.

Rumahtangga Bahagia Dan Penuh Keberkatan

Rumahtangga yang dibina oleh Muhammad Al-Amin bersam Khadijah penuh kedamaian
dan ketenteraman, aman dan bahagia, mereka tidak pernah berselisih faham dalam
sesuatu perkara, walaupun Khadijah berusia 15 tahun lebih tua dari Muhammad Al-Amin
yang ketika itu baru berusia 25 tahun. Walaupun demikian, sebagai manusia biasa
mereka merasakan bahawa rumahtangga yang mereka bina dengan penuh pengertian
dan saling faham memahami itu belum lagi sempurna selagi mereka masih belum
memperolehi cahayamata sebagai penyeri rumahtangga. Mereka merindukan kehadiran
anak-anak di rumah mereka bagi menyemarakkan lagi suasana di samping merupakan
tali penghubung yang kuat antara sumi isteri. Allah Maha Pemurah mengetahui akan
apa yang terguris di dalam hati kedua-dua hamba-Nya itu. Allah mengurniakan kepada
mereka nikmat yang amat mereka harapkan. Mereka berasa amat gembira kerana
mereka akan menimang cahayamata pertama mereka tidak lama lagi. Sementara itu,
Khadijah telah mempersiapkan segala keperluan untuk menyambut kehadiran bayi
pertama dari suami yang tercinta, Muhammad Al-Amin. Dengan izin Allah, tibalah hari
yang dinanti-nantikan itu. Maka lahirlah seorang puteri yang comel mirip wajah
Muhammad dan Khadijah. Sebaik sahaja Muhammad Al-Amin mengetahui bahawa
puterinya telah selamat dilahirkan segera baginda menghampiri isterinya dan mengucup
dahinya kemudian mendukung bayinya dan diribanya. Puteri sulungnya itu dinamakan
Zainab oleh baginda. Sebagai tanda kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi, mereka telah
mengadakan kenduri dengan menyembelih beberapa ekor unta dan diberi kepada
orang-orang miskin di kota Makkah. Mereka amat gembira menyambut kelahiran Bani
Hasyim iaitu Zainab binti Muhammad Al-Amin. Kemudian, sebagaimana yang biasa
berlaku di kalangan bangsawan Quraisy, Khadijah menyerahkan puterinya itu kepada
ibu susuan yang telah ditempah sebelum kelahiran bayinya. Tiga tahun kemudian,
lahirlah pula puteri Muhammad yang kedua, diberi nama Ruqiyyah. Dia juga diserahkan
kepada ibu susuan sebagaimana kakaknya Zainab. Selepas itu, mereka dikurniakan lagi
seorang anak yang dinamakan Ummi Kalsum. Lima tahun sebelum Muhammad dilantik
menjadi Rasul, Allah telah mengurniakan seorang lagi puteri yang diberi nama Fatimah.
Puteri keempat ini mendapat gelaran Al-Zahrah yang bermakna kembang mekar
mewangi penghibur duka lara kedua orang tuanya. Bagaimanapun, ketika hamil pada
kali yang kelima, Khadijah telah bermohon kepada Allah supaya mereka dikurniakan
seorang anak lelaki untuk menyemarakkan lagi rumahtangga mereka. Allah Yang Maha
Pengasih telah mengabulkan doa hamba-Nya itu. Mereka telah dikurniakan seorang
anak lelaki yang tampan dan tidak ubah seperti ayahandanya. Putera ini telah
dinamakan Qasim dengan nama gelarannya Tayyib yang bermaksud anak lelaki yang
baik. Tidak berapa lama kemudian, setelah Muhammad dilantik menjadi Rasul oleh
Allah, Khadijah telah hamil lagi dan melahirkan seorang putera yang dinamakan
Abdullah dan diberi julukan Tahir yang bermaksud anak lelaki yang suci dan bersih.
Walaubagaimanapun, Allah itu Maha Berkuasa, kedua-dua putera Rasulullah tidak
sempat tampil dan berjuang bersama-sama ayahandanya untuk mengembang dan
menyampaikan seruan Ilahi kepada manusia dan dunia. Kedua-duanya kembali ke sisi
Ilahi ketika belum akil baligh lagi. Rasulullah dan Khadijah redha dengan pemergian
kedua-dua anaknya itu kerana mereka sedar bahawa semuja itu berlaku atas kehendak
Allah Yang Maha Berkuasa. Oleh itu, kesedihan yang menyerang kalbu diterima dengan
hati yang sabar dalam menghadapi segala ujian dan cubaan dari Allah S.W.T. Bahkan
baginda yakin sepenuhnya bahawa segala yang ditentukan oleh-Nya mempunyai
hikmah yang tersembunyi dan tidak dapat diketahui oleh sesiapa. Setelah pemergian
Qasim dan Abdullah, perhatian mereka lebih bertumpu kepada empat puterinya yang
sudahpun melangkah ke alam remaja. Keempat-empat puteri jelita itu dididik dengan
sempurna dan diasuh dengan akhlak yang mulia sehingga mereka menjadi anak-anak
yang baik dan patuh kepada kedua-dua orang tuanya.

Khadijah Meninggalkan Rasulullah s.a.w

Peristiwa demi peristiwa yang dialami dan disaksikan oleh Khadijah memberi kesan
ynag mendalam di dalam dirinya. Perkara ini nampak dari sikap dan amlannya yang rela
berkorban semua harta yang dimilikinya demi kemajuan dan perjuangan Islam pada
masa itu. Semua sedia maklum bahawa Khadijah tidak lagi secergas dahulu. Beliau
mula uzur dan kadang-kadang juga jatuh sakit, tetapi semangat dan keyakinannya untuk
turut sama dengan Rasulullah s.a.w tetap tidak berganjak. Saat demi saat berlalu,
penyakit Khadijah pun kian tenat. Rasulullah s.a.w yakin bahawa Khadijah akan
meninggalkannya. Namun demikian, Rasulullah s.a.w memberi khabar gembira kepada
istrinya itu dengan menyatakan bahawa mereka akan bertemu di syurga. Dalam usia 65
tahun, Khadijah telah pergi ke pangkuan Ilahi, beliau wafat dengan keadaan yang
tenang dan suaminya ada di sisinya. Peristiwa yang menyedihkan ini terjadi pada saat
Rasulullah s.a.w mendapat cabaran hebat dari musuh-musuh Islam iaitu 3 tahun
sebelum Rasulullah barhijrah ke Madinah Al-Munawwarah. Semenjak kepergian
Khadijah, Rasulullah s.a.w merasakan jiwanya sangat kosong. Bukan sahaja rumah
yang ditinggalkan menjadi sunyi malahan seluruh kota Makkah turut berkabung selepas
pemergiannya. Rasulullah s.a.w bukan sahaja merasakan kehilangan seorang isteri
yang setia, tetapi baginda juga telah kehilangan seorang pembantu dan pembela
baginda dalam menjalankan tugas-tugas suci, iaitu menyeru manusia ke jalan Allah.
Tidak lama selepas kewafatan Khadijah, Rasulullah s.a.w dikejutkan pula dengan
wafatnya Abu Thalib, bapa saudaranya yang telah banyak memberi perlindungan
terhadap Rasulullah s.a.w dalam usahanya memberi bimbingan kepada manusia untuk
kembali ke jalan yang benar, berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya. Oleh yang
demikian, tahun itu telah dinamakan sebagai tahun dukacita atau “Am Al-Huzni.”

Anda mungkin juga menyukai