Anda di halaman 1dari 1

Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia.

Dengan
mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu,
setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-
kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu
seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat
melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif
selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.

     Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang
seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat
khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil
makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan
yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya
seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana
mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.

     Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan
riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan
perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti
bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan
seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang
cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.

     Selain itu, Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi
memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi,
mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya
mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan,
menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan
yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin
boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup
yang sihat dalam kalangan masyarakat.

     Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk
melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang
proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil,
sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi
kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti
jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Anda mungkin juga menyukai