Anda di halaman 1dari 9

3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…

Sains Islam Bukan Hasil Bucaillisme


By Shaharir Mohamad Zain • May 31st, 2009 • Category: Rencana

Berbicara soal “sains Islam,” kita tidak boleh terlepas daripada menyorot pandangan tiga pemikir
penting. Pertama, Sayyed Hossein Nasr yang mengutarakan ilmu yang berdoktrin kosmologi
Islam. Kedua, Syed Muhammad Naquib al-Attas yang memaparkan sifat-sifat ilmu pengetahuan
kontemporari yang sekular. Dan ketiga, Isma‘il al-Faruqi yang menunjukkan pertembungan tradisi
ilmu Islam dengan ilmu Barat.

Semenjak 1970-an, mereka bertiga adalah tokoh yang sering dikaitkan dalam mengangkat
gagasan “pengIslaman ilmu”. Namun, polemik tentang siapakah antara tiga orang sarjana ini yang
memulakan gagasan “pengIslaman ilmu” atau “Islamization of knowledge” rasanya tidak sesuai
dipaparkan di sini. Apatah lagi, wacana mereka rata-ratanya adalah membabitkan kritikan
terhadap sains moden atau sains Barat atau sains kontemporer ini.

Tetapi, ada persoalan asas yang timbul. Ada lagikah makna “pengIslaman Ilmu” itu? Persoalan
inilah yang ingin diperkatakan di sini. Dalam sejarah, “pengIslaman ilmu” berlaku sepanjang zaman
tamadun manusia, apabila Muslim bertembung dengan bukan Muslim. Malah, pengalaman ini
dipercayai semenjak setelah Nabi Adam, sewaktu adanya orang bukan Muslim yang membina
“ilmu” mereka.

Inilah wajah sebenar “pertembungan peradaban”, jika kita mahu pinjam ungkapan Huntington
dalam teori politiknya itu. Namun, “pengIslaman ilmu” ternyata lebih terkenal ketika Zaman
Tamadun Islam. Ketika itu Muslim berhadapan dengan “ilmu” daripada pelbagai tamadun bukan
Islam. Ini termasuklah ilmu dari Tamadun Yunani, Parsi, Tiongkok, Hindia dan lain-lain lagi. Dalam
konteks inilah, polemik yang disebut di atas itu menjadi kurang bergunanya dan memang takkan
dibincangkan di sini.

“PengIslaman ilmu” sejak abad ke-20 ini berlaku sebaik sahaja sarjana Muslim menilai “ilmu”
asing menerusi asas-asas ajaran Islam. Ini dilakukan sehingga ada komponen ilmu itu yang
mungkin terpaksa dibuang. Bahkan, terdapat juga kompenen ilmu yang perlu diubahsuai atau
(perlu) dibina semula sepenuhnya. Selain itu, tindakan juga perlu dilakukan terhadap ilmu warisan
Melayu itu sendiri, seperti yang dilakukan dalam bidang etnosains Melayu.

Pendekatan ini adalah bertujuan untuk menyerasikan “ilmu asing” dengan ajaran Islam dan
kemudian dapat membantu menyelesaikan masalah orang Islam semasa. Justeru, usaha ini
diharapkan bakal menerbitkan ilmu baru yang mampu menandingi ilmu Barat kontemporer itu.
Sebab itu, hanya apabila Muslim malas menilai “ilmu asing”, atau etno-ilmunya, dan berat untuk
membina ilmunya sendiri, maka “pengIslaman ilmu” pasti takkan berlaku.

Di Alam Melayu, sedikit-sebanyaknya pengIslaman ilmu pernah berlaku apabila Islam mula
bertapak di rantau ini. Dalam konteks ini, Syed Muhammad Naquib al-Attas cukup terkenal
dengan huraiannya menerusi aspek kebudayaan Melayu. Ini disampaikannya semasa syarahan
pemasyhuran profesor di Institut Kebudayaan, Kebudayaan dan Kesusateraan Melayu (IBKKM) di
UKM pada tahun 1972 dahulu.

Sungguhpun begitu, seperti kebanyakan sarjana di Alam Melayu kini, istilah “kebudayaan” dalam

http://www.kesturi.net/archives/876 1/9
3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…
“kebudayaan Melayu” itu telah disempitkan ranahnya. Ini terbukti apabila beberapa bidang ilmu
tidak dirangkumkan dalam kegiatan pengislaman ilmu, seperti sains, kesihatan, kejuruteraan dan
teknologi, atau ringkasnya SAKTI. Akhirnya, terjadinyalah istilah “tamadun Melayu” yang hanya
bercitrakan tamadun sastera (kemanusiaan dan keagamaan) sahaja.

Penulis sendiri, sudah beberapa kali menghuraikan kelemahan ini menerusi blognya, Komshaha.
Justeru, kami kira keadaan ini memang sengaja dilakukan oleh penjajah dahulu. Tetapi,
malangnya pendekatan salah ini terus diperkukuhkan oleh bangsa yang dijajah itu sendiri hingga
amat sukar menghakiskannya walaupun fakta-fakta telah dipersembahkan semula sejak 1990-an
lagi.

Sebaliknya, di peringkat penyelidikan kami telah berjaya memperlihatkan bahawa terdapat


banyaknya SAKTI Melayu pra-Islam yang sudah hilang dalam lipatan sejarah. Penjelasan yang
munasabahnya setakat ini ialah kerana pengIslaman yang dilakukan sebelum ini tidak cukup baik
dan kritis sehingga mudah saja ilmu ilmu pra-Islam itu tersisih. Ini dapat kita perhatikan apabila
banyaknya “pengetahuan” (istilah asalnya thu atau thuv dan pinjaman serentaknya ajnanam) yang
terfosil kerana dokongan pengetahuan baru yang disangkanya asalnya dari Tamadun Islam yang
dibawa oleh ulama atau pendakwah Islam ke Alam Melayu.

Demikian juga sistem sankia/angka (digantikan dengan sistem ‘adad), wariga (digantikan dengan
taqwim), hora dan horasastera (digantikan dengan ‘ilm nujum dan falak), nyaya (digantikan dengan
mantiq), arthasastera (digantikan dengan iqtishad), widya dan budhi (digantikan dengan ‘ilm), dan
casana/vantin/raja (digantikan dengan sultan, amir, walaupun vantin masih dipakai sebagai tok
batin di kalangan orang asli).

Lebih mendukacitakan lagi, ramai pihak tidak mahu mengiktiraf adanya “Melayu”, atau “ilmu
Melayu” atau “teknologi Melayu” itu, sekurang-kurangnya sebelum bangsa Melayu memeluk Islam.
Pandangan ini tampak membawa erti bahawa pengIslaman yang dibicarakan oleh Syed
Muhammad Naquib al-Attas itu ialah adalah semata-mata terbatas dalam konteks pengIslaman
bahasa atau ilmu bangsa lain.

Sepatutnyalah sesuatu bangsa, khususnya Melayu, adalah ditakrif mengikut pegertian ahli
antropologi, atau ahli etnografi atau lebih-lebih lagi mengikut ahli bahasa. Pemaknaan ini
seharusnya sudah selesai seawal bangsa “Rumpun Melayu” dikenalpasti, iaitu sejak abad ke-2M.
Tapi, itu tidak berlaku, meskipun kini ¨Rumpun Melayu¨ telah diiktiraf sebagai bangsa ke-empat
terbesarnya di dunia, yang kehidupan bertaraf tingginya bermula sejak sekurang-kurangnya abad
tersebut lagi.

Bangsa Melayu ini sebelum abad ke-13M, disepakati adalah beragama Hindu-Buddha di mana
bahasanya sangat sarat dengan perkataan Sanskrit yang mengandungi nilai-nilai agama, mantik
dan kerasionalan bahasa dan agama tersebut. Apabila Bangsa Melayu memeluk Islam, maka
pengIslaman ilmu pun berlaku. Tetapi pengIslaman itu tidaklah berjaya sepenuhnya sehingga nilai-
nilai Melayu kini tetap saja dilihat berbeza dengan nilai-nilai bangsa Islam di belahan lain atau
Islam yang murni. Itulah lahirnya istilah Melayu-Islam.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan memang tercatat kehidupan tinggi atau sivilisasi
Melayu semenjak abad pertama lagi. Sejarah ini penting meskipun tamadun dan peradaban
Melayu-Islam hanya bermula sejak abad ke-13M. Tapi, itu hanya eksklusif dalam makna tamadun
dan peradaban yang Melayu didukungi melalui ad-Din, iaitu Islam. Sehubungan dengan itu,
http://www.kesturi.net/archives/876 2/9
3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…
PengIslaman Melayu-Islam itu tentu sekali membawa makna lain. Paling dekat, usaha tersebut
bermakna ke arah pengubahan nilai Melayu daripada nilai Hindu-Buddha kepada nilai Islam
dalam segala aspek kehidupan Melayu termasuklah ilmunya.

Kemudian, datangnya Barat yang bertapak di Alam Melayu. Saat itu, pemBaratan pun berlaku dan
lagi sekali hampir semua ilmu Melayu dari tamadun Islam disingkir atau tersingkir. PemBaratan
lalu menjadi agenda penjajah dengan matlamat untuk menggantikan segala ilmu peribumi bangsa
yang dengan ilmu dalam acuan Barat sepenuhnya. Ini terus disemai sehinggalah bangsa yang
dijajah itu merasakan mereka tidak pernah berilmu sehinggalah penjajahnya itu datang.

Lihat saja, istilah “ilmu” itu sendiri telah direndahkan dengan digantikan perkataan science. Rasa
rendah yang dibentuk oleh penjajahan ini bukan sahaja berlaku di Alam Melayu, malahan di seluruh
dunia Islam. Mahu atau tidak, umat Islam memang sudah terpasung buat berkurun-kurun lamanya
di rumah pasung penjajahnya.

Akhirnya, tiba abad ke-20 ini. Pada kurun inilah, baru terserlahnya kesedaran terhadap ilmu-ilmu
dalam tubuh bangsa sendiri. Kesedaran inilah yang cuba dikemukakan oleh Sayyed Hossein
Nasr, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ismail al-Faruqi. Mereka berusaha untuk
mengembalikan keserasian ilmu dengan Islam.

Seperti Sayyed Hossein Nasr, kebanyakan usahanya adalah untuk memasakkan ilmu menurut
“doktrin kosmologi Islam.” Ini dilakukannya sejak 1960-an lagi. Manakala, Syed Muhammad
Naquib al-Attas pula cuba menyusun alur sejarah “pengIslaman kebudayaan Melayu.” Walau
bagaimanapun, nampaknya gagasannya tidak memasukkan bidang ilmu SAKTI Melayu pra-Islam
yang barangkali dianggapnya tiada maknanya.

Setelah itu, apabila agenda pen-nyahsekularan ilmu pengetahuan kontemporer ini, menurut
pendekatan Syed Muhammad Naquib al-Attas turut dimarakkan dari 1970-an, apatah lagi dengan
dorongan penubuhan ISTAC-nya pada tahun 1980-an. Tetapi, malangnya institusi tersebut
nampaknya cenderung menumpukan hanya kepada isu-isu sejarah dan falsafah sains sahaja.

Selain itu, mulai 1980-an, Ismail al-Faruqi turut memberi sumbangan dalam ¨pengislaman ilmu¨ ini
melalui IIIT di Washington. Namun, sekali lagi, institut tersebut hanyalah terhad dalam konteks
sains sosial dan kemanusiaan sahaja. Penekanan kepada SAKTI hanya saja dilakukan oleh
ASASI (yang ditubuhkan di Malaysia 1977) dan MAAS (yang ditubuhkan di India dalam 1980-an).
Walau bagaimana, secara tak langsungnya, kelahiran dua buah institusi ini dikatakan di bawah
pengaruh buah fikiran Nasr, al-Attas dan al-Faruqi itu.

Kendatipun begitu, ASASI sebenarnya bolehlah dianggap mencipta aliran sains Islamnya yang
tersendiri. Semenjak 1990-an, ASASI ini mengumandangkan konsep pemeribumian ilmu dan
penggalian etnosains Melayu. Inisiatif ASASI inilah menghasilkan natijah ¨pengislaman ilmu¨ yang
sama sekali berbeza dengan usah-usaha sebelumnya. Bezanya, ASASI berusaha keras untuk
membangunkan etnosains Melayu, terutamanya sejak Melayu pra-Islam lagi. Inilah suatu medan
tambahan penting, selain medan sains kontemporari Barat-sekular yang memang telah lazim
dicungkil sebelum ini.

Memang pada awalnya harapan ¨pengislaman ilmu¨ diletakkan atas bahu “universiti-universiti
Islam,” terutamanya UIAM yang didirikan atas landasan “pengIslaman ilmu” untuk mencipta “ilmu
Islam.” Namun, ternyata hasrat ini tidak kesampaian akibat perubahan senario politik tempatan
http://www.kesturi.net/archives/876 3/9
3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…
dan tekanan nilai sejagatisme yang melumpuhkan idealisme para ilmuwan tersebut.

“PengIslaman ilmu” yang diingini ialah menggunakan al-Qur’aan atau asas-asas ajaran Islam untuk
mengkritik sains kontemporer (sains Barat). Banyak sains Barat yang patut dikritik, seperti “teori
Newton”, “teori quantum”, “teori deguman besar” atau “teori dentuman besar.” Begitu juga ¨teori
alam semesta mengembang”, “teori Einstein” , “teori Hawking”, “teori kewangan”, “teori
pembuatan keputusan”, dan “teori pengoptimuman.” Ini adalah sekadar sebutan beberapa teori
besar Barat dalam ilmu Barat itu.

Selain itu, etnosains kita sendiri perlu disemak kembali, terutamanya dalam konteks
pertembungan dengan ilmu Barat—dengan membawa kefahaman Islam yang lebih tepat. Sebab
itu, pendekatan ¨pengIslaman ilmu¨ seharusnya bermakna bahawa segala ilmu Barat kontemporer
ini dan etno-ilmunya sendiri (ilmu warisan bangsanya sendiri yang selama ini terfosil) adalah
sekurang-kurangnya setara dengan ilmu Yunani dan tamadun-tamadun lain.

Di sinilah, kita boleh belajar dari pengalaman Tamadun Islam sebelum ini yang melakukan
penyaringan ilmu dari belahan dunia lain. Sekarang, mungkin waktunya untuk gelombang
pengIslaman kedua dunia Islam, atau ketiga bagi dunia Melayu kalau mahu mempertimbangkan
pengIslamannya yang diperihalkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas itu.

Bagaimanapun ada perkara yang perlu difahami tentang persoalan “sains Islam” ini. Bagi para
sarjana yang mengutarakan gagasan “pengIslaman Ilmu”, terutamanya ASASI, “pengIslaman ilmu”
ini tidaklah bermaksud kegiatan mudah mencari unsur-unsur “ajaran Islam” (biasanya daripada
tafsiran baru tentang sesuatu ayaht al-Quran, atau al-Hadith) untuk mengukuhkan, mengeyakan
atau membenarkan sains moden ini. Kegiatan ini memanglah mudah kerana seseorang yang
bergiat dalam “penyelidikan sains” sebegini—kalau pun boleh dikatakan “penyelidikan”—tidak
perlu menjadi ahli sains pun. Sebaliknya, memadai hanya “dengar-dengar” pada sesuatu unsur
sains berkenaan itu dan mencari jalan menyesuaikan dengan sesuatu tafsiran atau terjemahan
ayat al-Qur’aan atau al-Hadith.

Rasanya, umat Islam melakukan kegiatan mudah ini, terutamanya sejak mereka tidak lagi menjadi
penyumbang sains dunia. Akhirnya, orang yang mempopularkan kaedah ini ialah seorang pakar
perubatan Perancis bernama Maurice Bucaille, seorang Zamil Akademi Perubatan Perancis.

Dalam tahun 1976, Bucaille membuat perbandingan teori sains moden dengan Bible dan al-
Qur’aan, dan membuktikan bahawa ilmu yang ada di dalam al-Qur’aan lebih serasi dengan sains
moden berbanding dengan Bible. Dalam karyanya yang tersohor itu, La Bible, le Coran et la
Science, jelas terlihat dalam konteks sains kejadian alam semesta dan kejadian makhluk di bumi
ini. Penemuan Bucaille ini cukup hebat disambut oleh dunia Islam dan beliau menjadi selebriti
setelah karyanya itu ke dalam pelbagai bahasa.

Kerja gaya Bucaille ini kemudiannya disusuli oleh ramai sarjana atau penulis popular serata dunia.
Ini termasuklah Achmad Baiquni dan Wardana (kedua-dua di Indonesia) yang melakukan
keserasian Islam dengan teori atom dan teori Einstein.Begitu juga oleh Ibrahim (di AS) dalam
beberapa makalahnya tentang teori quantum. Manakala Mansour (di Mesir) pula menulis dalam
sebuah makalahnya tentang laju cahaya yang cukup laris dirujuk Muslim. Sementara, Moore & al-
Zindani (di Kanada) memaparkan tentang teori proses pembesaran bakal-bayi dalam kandungan
dalam sebuah buku yang laris jualannya.

http://www.kesturi.net/archives/876 4/9
3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…
Dalam senarai Bucaillisme ini, Harun Yahya (di Turki) turut melakukannya menerusi pelbagai teori
sains (melainkan teori Darwin yang dikritik hebatnya, malah menjadi sinonim dengannya). Perkara
yang dilakukan oleh mereka semua ini ialah memadankan perkara yang ada di dalam al-Qur’aan
dan al-Hadith dengan teori-teori Barat. Mereka melakukan dengan tujuan untuk menunjukkan
keabsahan teori sains itu di sisi Islam. Lebih dashyat, mereka seolah-olah mengharapkan ehsan
sarjana Barat itu—yang tentunya sebahagian besarnya adalah kemungkinan ateis, kalau pun
bukan sekular—bagi membuktikan kebenaran Islam menerusi ciptaan sainsnya!

Di Malaysia sekalipun, golongan ini agak ramai termasuk ahli ASASI sendiri. Bahkan, pada tahun
1980-an dahulu, ASASI juga pernah hanyut menerbitkan sebuah risalah karya Maurice Bucaille,
“Quran and Modern Science” (satu bab daripada bukunya asalnya) bagi tujuan tersebut.

Ini dapat dilihat menerusi Danial Zainal Abidin, seorang yang berlatar-belakangkan doktor
perubatan dengan karyanya seperti Quran Saintifik, Malim Ghozali, seorang mantan pegawai
diplomat dan seorang sasterawan melalui karyanya Kebenaran Mutlak: Memahami
Kesempurnaan, dan Mohd Arip Kasmo, seorang sarjana pendidikan sains dengan karyanya
Aplikasi PASAK dalam Dakwah Kontemporari yang kemudian diangkat sebagaii penerima
hadiah karya UKM pada tahun tersebut. Semua buku ini amatlah laris jualannya.

Sementara jurnal ASASI, Kesturi, dan warkah beritanya, ASASAINS, ada juga yang menerbitkan
tulisan yang cenderung ke arah ini yang seolah-olah menggambarkan kecitaan ASASI ke arah
kegiatan tersebut. Namun begitu, penulis merasakan keadaan tersebut berlaku ekoran tolak-ansur
ASASI terhadap pandangan yang berbeza sahaja.

Inilah keghairahan Bucaillisme—suatu istilah yang dikemukan oleh Ziauddin Sardar—yang berlaku
dalam dunia Islam, termasuklah di Malaysia. Walau bagaimanapun, sepadan dengan perkataan,
Bucaillisme, kami pula menamakan gaya/kaedah ini sebagai gaya/kaedah “tumpang sekaki”.

Pendekatan “sains Islam” atau “pengIslaman ilmu” mengikut pendekatan Bucailleisme atau
“tumpang-sekakisme” itu memang wajar tidak dijadikan suatu kegiatan kesarjanaan. Ini kerana,
kegiatan itu sebenarnya tidak kritis, tidak cukup berdaya cipta dan oleh itu tidak hairanlah sudah
terbukti tidak mampu menerbitkan sebarang atur cara penyelidikan yang menjanjikan penghasilan
inovasi. Itu belum lagi kita mengharapkan tampilnya ilmu yang baru sama sekali.

Kegiatan ini juga menunjukkan kelemahan umat Islam amnya kerana sering “tertinggal kereta api”
dari arus penerokaan ilmu semasa. Sebenarnya, teori yang disanjungi atau dianggap serasi
dengan ajaran Islam itu hakikatnya sudah ditinggalkan oleh komuniti ahli sains Barat berkenaan,
atau teori itu sedang dikritik hebat oleh sebahagian komuniti ahli sains Barat yang lain.

Umpamanya, teori atom sedang dikritik hebat sejak 1970-an, bahkan sedang diganti dengan teori
baru yang dinamai teori tetali. Manakala teori Einstein sedang dipersoalkan dengan hebatnya oleh
ramai pihak termasuk yang agak dominannya oleh sarjana Turki, Yilmiz, dan kumpulan sarjana
Rusia yang diketuai oleh Lugonov. Malah, beberapa teori alternatif ini sedang cuba menyaingi
teori Einstein itu dengan hebatnya. Manakala teori quantum pula cukup terkenal dengan beragam
mazhab. Sementara, teori deguman besar dan kembarannya teori alam mengembang cukup
banyak kritikan terhadapnya sehingga teori itu dianggap penuh dengan kecacatannya dan perlu
diganti dengan teori yang tiada deguman besar itu atau tiada pengembangan alam semesta.

Jadi, sebab itu, muncullah teori-teori baru seperti teori Hoyle-Burbidge-Narlikar dan teori Steinhart
http://www.kesturi.net/archives/876 5/9
3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…
serta tertubuhnya kumpulan penentang teori alam mengembang di UK yang bernama Kumpulan
Kosmologi Alternatif (KKA) 2004 yang diketuai oleh Herman Bondi, seorang ahli kosmologi Barat
yang masyhur.

Malangnya, umat Islam tidak menekuni perkembangan ini dengan serius. Lantaran itu, fenomenon
“ketinggalan kereta api” ini tidaklah menghairankan diterima dalam dunia Islam. Apatah lagi,
golongan pendokong tumpang sekaki itu semuanya bukanlah mereka yang membuat penyelidikan
dalam bidang yang mereka bicarakan itu. Oleh itu, mereka ini tidaklah mungkin diharapkan
mampu mengkritik ilmu itu. Dan, tidak mungkin mereka juga mampu untuk mencetuskan program
penyelidikan yang diingini oleh para pencetus/penggerak asal “pengIslaman ilmu” itu (Nasr, al-
Attas dan al-Faruqi).

Memang, usaha mereka ini menyeronokkan umat Islam yang rata-rata bukan masyarakat
penyelidik. Sebab itulah, buku-buku karya golongan ini sentiasa menjadi “laris jualan”. Lantas,
kegiatan “tumpang sekaki” ini akhirnya mengukuhkan sainsisme itu, iaitu fahaman bahawasanya
“kebenaran sains” itu mengatasi segala-galanya hatta termasuk kebenaran agama. Lebih
memilukan, tafsir al-Qur’aan itu dilakukan mengikut acuan sains semasa, bukan sebaliknya. Inilah
sikap yang lebih teruk daripada falsafah sains Galileo yang dianggap sesat itu. Sekurang-
kurangnya, Galileo menawarkan dua kebenaran yang terasing: kebenaran sains dan kebenaran
agama (Kristian).

Sebenarnya, ada tiga variasi pendekatan yang boleh dianggap terbit daripada pemikiran
Bucailleisme. Pertamanya pendirian seperti Golshani (ahli fizik teori Iran yang disegani) yang
menegaskan pengIslaman sains ialah masalah pentafsiran sains mengikut acuan Islam. Beliau
malah berpendapat Teori Evolusi pun boleh ditafsirkan semula sehingga sesuai dengan Islam.

Keduanya, ialah kumpulan yang melihat implikasi sesebuah teori sains sahaja, iaitu apabila
implikasi teori itu berpadanan dengan yang pernah berlaku dalam kehidupan Islam, terutamanya
kehidupan sufi. Maka, teori sains itu kemudiannya dianggap menepati kehendak Islam atau
berada di jalan yang betul—iaitu menuju ke destinasi Islam. Pendirian sebegini banyak dipegang
oleh mereka yang cenderung kepada ajaran sufi seperti Ibrahim (pakar perubatan di AS yang
tersebut di atas) dan di Malaysia ini, lebih berwibawa lagi, diwakili oleh Shahidan Radiman
(seorang professor fizik nuklear).

Ketiganya, kumpulan yang menilai keanalogan teori sains kini dengan teori Zaman Tamadun Islam
dahulu yang berakhir dengan kepuasannya terhadap teori sains moden apabila kononnya sains
moden mewarisi teori “sains Islam” dahulu. Mungkin ada sarjana Islam pada zaman tamadun Islam
dahulu yang memberi pandangan awal tentang sesuatu sains kontemporer kini. Namun, tentu
sekali pandangan mereka tersebut telah diabaikan berkurun-kurun sehingga hampir pasti
berlainan sekali dengan yang dibina oleh ahli sains bukan Islam hingga sekarang ini.

Oleh itu, teori kontemporer yang berasal daripada Tamadun Islam dahulu pun memang wajar
dinilai dengan kritisnya termasuklah dengan menggunakan ajaran Islam itu, bukan untuk
mengeyakannya sahaja.

Misalnya, teori atom Barat mungkin ada unsur kesamaan dengan teori asasi jirim dalam Islam iaitu
teori jawhar dan ‘aradh itu. Tetapi kita tidak boleh dengan segeranya menganggap teori atom
Barat itu serasi dengan ajaran Islam seperti teori jawhar dan ‘aradh itu.

http://www.kesturi.net/archives/876 6/9
3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…
Begitu juga kita tidak boleh katakana bahawa teori asal-usul sesuatu hukum fizik Barat itu terbit
daripada pengoptimuman suatu “tindakan” itu serasi dengan Islam. Ini tidak boleh dibenarkan
hanya semata-mata kerana teori itu dimulai oleh sarjana Islam zaman Tamadun Islam dahulu (iaitu
Ibn Haytham). Walhal, istilah “tindakan” yang dipadankan dengan “action” (daripada bahasa
Inggeris yang diambil daripada teori ini dalam bahasa Perancis) sudah diubah maknanya
daripada semantik istilah asalnya dalam bahasa Arab oleh Ibn al-Haytham itu.

“Tindakan” yang dipadankan dengan “action” itu sudah mengalami pensekularan sedangkan
prinsip asalnya daripada Ibn Haytham itu amat kudus konsepnya, iaitu yang berhubung dengan
sifat qudraht dan iradaht Allah. Lebih khusus lagi, “tindakan” yang menerbitkan hukum quantum
(persamaan Schroedinger) tidaklah sama dengan “tindakan” mengikut kehendak teori Ibn al-
Haytham itu.

Justeru, pengIslaman ilmu bukanlah sekadar kajian sejarah ilmu kontemporer ini yang ditelusuri
tanpa kritis hingga masuk ke dalam pengalaman Tamadun Islam. Kegiatan mudah inilah akhirnya
mendorong lahirnya fenomenon “tumpang sekaki” itu.

Sehubungan dengan itu, tugas utama para penggerak “pengIslaman ilmu” sebenar ialah mencipta
atur cara penyelidikan dalam acuan Islam. Ini sekaligus menolak usaha pengeyaan sains sedia
ada yang kemudiannya dibalut dengan kertas perada yang bertinta emas ayaht-ayaht al-Qur’aan.
Lalu, setelah itu didakwa kononnya tindakan tersebut adalah relevan, sambil mengacukannya
kepada teori ciptaan sarjana Zaman Tamadun Islam yang seanalognya, atau memadankan
implikasinya dengan fenomenon kehidupan sufi sahaja.

Maka, yang perlu dilakukan ialah memperbaikinya dalam acuan Islam supaya hasilnya lebih
menepati dengan Islam lalu menjadi “ilmu Islam” yang lebih bermakna. Umat Islam, khususnya ahli
sains Muslim tidak mungkin berada di baris hadapan atau menyaingi ahli sains Barat jika mereka
asyik menunggu atur cara Barat dan mengeyakannya sahaja.

Lebih sedih, mereka malah mengukuhkan sahaja sains Barat itu seperti yang dilakukan oleh para
Bucailleis atau “penumpang sekaki” itu. Sebab itu, cara yang terbaik untuk memaparkan sains
semasa kepada khalayak umum mengikut perspektif Islam (menggunakan Hadith atau al-Qur’aan)
mestilah dengan kritisnya. Ini boleh dilakukan menerusi kenyataan pada tempat-tempat yang
seakan-akan serupa dengan maksud sesuatu ayaht al-Qur’aan atau Hadith itu. Setelah itu, perlu
ditegaskan juga aspek-aspeknya yang memang tidak serupa, malah bertentangan dengan
maksud sumber Islam itu.

Walau bagaimanapun, usaha ini tentunya memerlukan tahap kesarjanaan yang tinggi. Namun,
hasilnya, cara ini sahajalah yang akan menghidupkan kembali makna “al-Qur’aan sebagai sumber
ilmu”, atau “al-Qur’aan sebagai panduan ilmu” dan sebagainya itu.

Jadi, sebagai Muslim awam (bukan sarjana dalam sesuatu bidang), mereka perlulah “berlapik”
sahaja apabila menyebut sesebuah teori sains Barat yang dianggap ada unsur-unsur yang
sealiran dengan ajaran Islam sekali pun. Kehati-hatian ini penting bagi mengelakkan dari
terjerumus bersama dengan para Bucailleis atau penumpang sekaki tersebut!

Nota: Artikel ini pertama kali tersiar dalam Siasah (24-30 Mei 2009, menerusi tiga siri berturutan).

http://www.kesturi.net/archives/876 7/9
3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…
Shaharir Mohamad Zain
Email this author | All posts by Shaharir Mohamad Zain

3 Responses »
1. Aishah on June 19th, 2009 at 1:33 am:

Siapakah kita untuk melabel orang bucailleism ke atau ‘ tumpang sekaki’?Kita manusia ni di
beri Allah ilmu yang sedikit sahaja ,tumpang menumpang ilmu antara kita untuk mengenali
diri kita sendiri ,mengenali alam ini dan memakmurkan alam ini seperti mana misi
penciptaan manusia.Apakah misi manusia ?Bukankah sebagai khalifah di mukabumi ini dan
juga beribadah kepadaNya.Siapakah kita manusia yang di beri sedikit ilmu merasakan
bahawa ilmu itu hak kita. Di dalam Al-Quran begitu banyak tanda kekuasaan Allah yang di
sebut belum lagi kita memikirkan hakikat kejadian kita dan alam.Itu pun ramai manusia yang
sesat tercari-cari erti kehidupan atau hanyut terus. Alhamdulillah ada manusia yang menyeru
kepada kebenaran dan kebaikan.Semoga di beri ganjaran oleh Nya.Hak Allah untuk menilai
amalan manusia .Jangan pula kita mendapat dosa kerana merendah-rendahkan usaha
dakwah itu.Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

2. Fariz on June 19th, 2009 at 1:24 pm:

I’m glad I’m not a Sadrism who expects the Quran to be an encapsulated holy book to be
protected by men.For me Al Quran is timeless , amazing Living Word Of God .And to Allah
through His AlQuran I find my answers .And I am rest assured Allah will forever never ceases
to amaze us with Its relevency (The Quran) until Kiamat.Only God knows why the non Muslims
are the forerunners of science and technology today.It is His design.Maybe in the future the
Muslims will take the lead.It is Hiis design,. it is His Will.Knowledge belongs to Allah.It is our
duty to always seek the Truth then we will never go astray.Ameen.

3. Anonymous on June 20th, 2009 at 6:12 pm:

Fariz has raised a good point there.The non muslims especially the atheists have turned to
science to find answers to their existence in this world or rather on planet earth.We muslims
are lucky because we find our answers in the Quran.The Quran tells us specifically why we
are created, how we are created,why we are on earth,our role or purpose for our existence in
this very vast universe,where do we go from hereO.We have the Quran and the Hadith and
Sunnah to guide us.Before RasulAllah ,there were the prophets to guide mankind.The very
first verse of the first surah Al Alaq is “Read”That is the essence of knowledge.Knowledge
will guide mankind to Allah.Knowledge belongs to Allah SWT. So mankind ‘ reads’ the ‘ world
‘ he lives in and that is ’science’.So science is for all mankind.There is no such thing as
western science or muslim science.Knowledge belongs to Allah.It is a’gift’ to mankind as
befits His Attributes Ar-Rahman.Allah gives
the non Muslim the lead in science because that is what they need. They have turned away
from the Quran and look to science for anwers and amazingly the Quran 1500 years old has
what they were looking for.Even we Muslims are amazed!Al Quran is the Word of God.It is a
Book Of Guidance for mankind.He is All Knower for ways to guide mankind.The Newsweek
issue of May14 2001 focus on ‘God in your brain’-the new field of ‘neurotheology’scientists
seek the biological basis of spirituality.And many more researches are going on.Eventually
http://www.kesturi.net/archives/876 8/9
3/15/2011 kesturi » Rencana » Sains Islam Bukan H…
they’ll come back to Quran and Islam.InshaAllah.
So do not prolong this debate of ‘bucailleism’ etc.It is outdated and unnecassary.We are
witnessing en masse conversions to Islam in whatever way He Wills.

Leave a Reply

http://www.kesturi.net/archives/876 9/9

Anda mungkin juga menyukai