Anda di halaman 1dari 9

PENYAKIT IATROGENIK: WARISAN ALAF KE 2

Oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

Bersama dengan lambaian alaf ke dua, perubatan moden telah

mewariskan pencapaian terhebat dalam tamadun manusia menerusi pelbagai

penciptaan ubat-ubatan dan teknologi rawatan. Di samping perkembangan

dalam kaedah diagnosis dan prosedur rawatan, surgeri telah sampai ke tahap

organ manusia pun boleh dipindah-pindahkan seperti memasang spare-part

kenderaan. Bahkan dengan kemajuan teknologi komputer, surgeri ke atas

pesakit boleh dilakukan dari jarak yang jauh di mana manusia tidak pernah

membayangkan sebelumnya.

Bagaimanapun, ketibaan alaf baru tidak menjanjikan sesuatu yang kudus

dalam dunia perubatan moden. Keadaannya samalah dengan kecanggihan

komputer yang bukan saja mewariskan teknologi yang berharga dan bermanfaat,

tetapi juga turut membawa ancaman globalisasi dunia komunikasi tanpa

sempadan dan virus yang mana kini ia bukan saja boleh menyerang menerusi

cakera malah menerusi lorong-lorong internet. Siapa sangka bersama-sama

dengan kemajuan ilmunya, pencapaian perubatan yang diagung-agungkan itu

turut mewujudkan penyakit baru. Keadaannya seolah-olah operasi komputer

yang sentiasa dikejar virus.


Tetapi penyakit ini sebenarnya bukan baru. Ia pernah dihuraikan oleh Dr.

Samuel Hahnemann hampir 200 tahun yang lalu di dalam bukunya Organon of

Medicine (1810). Tetapi serangan terhadap natijah perkembangan ilmu

perubatan ini popular apabila ia dibangkitkan oleh Ivan Illich menerusi Medical

Nemesis (1977) dan Allen Klass dalam There’s Gold in Them Thar Pills (1975).

Mungkin sebahagian masyarakat kurang maklum atau tidak ambil pusing.

Namun isu yang pernah dibangkitkan mengenai penyakit iatrogenik (iatrogenic

disease) tidak tenggelam dan tidak dapat dikelabui oleh pencapaian yang

mengkagumkan. Penyakit iatrogenik akan turut menjadi warisan alaf yang baru

berlalu untuk kita ingati dan kendong dalam batang tubuh kita. Ia mungkin akan

bergerak seperti virus komputer yang akan terus menghantui dan menjadi kayu

ukur sejauh mana efektif dan hebatnya pencapaian yang diagungkan dunia Barat

itu.

Iatrogenic adalah satu perkataan yang berasal daripada Greek, iaitu iatros

yang bermaksud ‘doktor’ dan genesis yang membawa makna ‘asal-usul’. Jadi,

penyakit iatrogenik merujuk kepada sebarang keadaan yang timbul akibat

daripada rawatan, sama ada sebagai kesan sampingan yang tidak diduga

maupun sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Istilah penyakit ‘dadah’ (drug

disease) ini jarang dibicarakan melainkan oleh ahli akademik yang membuat

kajian mengenai kesan-kesan rawatan moden dan oleh mereka yang terlibat

dalam amalan perubatan alternatif. Polemik mengenainya sengaja didiamkan

untuk kebajikan orang-orang tertentu, khususnya syarikat-syarikat gergasi

multinasional yang menguasai media demi kepentingan yang sedia dimaklumi.


Pendapat ahli akademik yang membicarakan mengenai keadaan

iatrogenik ini menyatakan ia berlaku kerana bentuk rawatan ortodoks (moden)

menerusi ubat dadah dan surgeri yang mencampuri urusan dan fungsi-fungsi

normal tubuh. Apabila tubuh bertindak melawan penyakit dengan mengeluarkan

simptom-simptom tertentu, tindakan itu segera terbantut oleh bantuan menerusi

kaedah yang tidak dikehendaki. Dalam ertikata lain, rawatan yang diberikan tidak

selari dengan nature. Justeru, manfaat yang diperolehi daripada rawatan

kebanyakannya bersifat sementara kerana ciri-ciri supresif dan paliatif yang

menjadi jaguh sistem contraria contrariis.

Ubat-ubat yang biasa dipreskripsi seperti ubat jantung (contohnya Digoxin

dan Captopril), ubat batuk (seperti Promethazine dan Codeine phosphate),

analgesik (seperti Aspirin, Ibuprofen, dan Parasetamol), antiasma (seperti

Salbutamol dan Prednisolone), antibiotik (seperti Ampicillin, Erythromycin dan

Penicillin) dan banyak lagi tidak pernah terhindar daripada kesan sampingan. Hal

ini berlaku walaupun sesetengah ubat itu diberi dalam dos yang tepat, diambil

pada masa yang disarankan dan digunakan untuk suatu tempoh seperti yang

ditetapkan oleh dokotr. Apa lagi jika ubat-ubat itu digunakan di luar preskripsi

doktor kerana sebahagiannya merupakan ubat OTC (over the counter) yang

dibenarkan jual di kedai biasa atau farmasi-farmasi tanpa preskripsi doktor.

Setiap ubat itu sentiasa memerlukan masa bagi penilaian lebih hakiki atau

selalu menanti ubat baru dihasilkan. Demikianlah lumrah yang terjadi terhadap

kebanyakan ubat-ubat moden. Contoh klasik ialah penggunaan Aspirin yang

meluas dahulu telahpun merosot selepas ubat baru khususnya Parasetamol


(dengan jenama popular Panadol) diperoleh. Apakah Parasetamol juga akan

semakin diketepikan apabila ubat-ubat yang lebih baru dan saintifik dikeluarkan

di alaf baru? Sedar atau tidak, ini merupakan bentuk pergerakan ubat-ubat

moden di pasaran dunia. Setiap ubat hanya menanti masa untuk diperkenal dan

kemudian untuk diketepikan. Keadaannya seakan tewas kepada ubat-ubatan

tradisional yang dicop tidak saintifik tetapi masih terus diperguna, yang mungkin

hanya bertukar bentuk seperti prekripsian dalam bentuk pil-pil bersarung.

Jadual: Beberapa contoh kesan sampingan ubat moden

Nama ubat Kesan sampingan ubat


Aspirin Muntah-muntah, pening, pening, berdesing di dalam
(analgesik) telinga, bingung.
Ibuprofen Diarea, loya, sakit perut, sakit kepala, pening.
(analgesik)
Parasetamol Gangguan kulit dan darah.
(analgesik)
Digoxin Letih, gangguan penglihatan, loya dan muntah-muntah
(ubat jantung) teruk
Captopril Hilang selera, gayat, batuk.
(ubat jantung)
Promethazine Mengantuk, sakit kepala, mulut kering.
(ubat batuk)
Codeine Sembelit dan rasa mual.
phosphate
(ubat batuk)
Albuterol Resah, bimbang, ketar-ketar, sakit kepala.
(antiasma)
Salbutamol Cirit-birit..
(antiasma)
Ampicillin, Masalah kulit, pernafasan dan reaksi alergi.
(Antibiotik)
Erythromycin Loya dan muntah-muntah.
(Antibiotik)
Estradiol Mual, keempukan payudara, pertambahan berat badan,
(Sediaan
hormon)
Sumber: Reader's Digest, Medical cures and treatment & Dr. Azmi Sariff, Kesan buruk ubat
(Majalah Sihat).

Misteri yang ditinggalkan akibat pengenalan pil Viagra beberapa tahun

sebelum berakhirnya alaf ke dua menjadi tanda tanya yang masih belum

terjawab. Yang jelas, sehingga 30 Jun 1999, 150 juta pil Viagra telah dijual di

seluruh dunia dan 217 orang mati akibat memakannya walaupun kebanyakan

yang mati dikatakan berkaitan komplikasi jantung. Pada 29 Disember 1999,

Menteri Kesihatan Dato’ Chua Jui Meng memaklumkan bahawa dua lelaki mati di

Malaysia selepas mengambil pil tersebut, sementara 18 orang yang lain

dilaporkan menghidapi pelbagai kesan sampingan. Kesan buruk boleh berlaku

walaupun digunakan melalui preskripsi doktor. Apatah lagi kesan bagi mereka

yang mengambil tanpa preskripsi atau untuk tujuan lain, seperti untuk

merangsang syahwat.

Menurut anggaran syarikat Pfizer yang memasarkannya di Malaysia, kira-

kira RM1 bilion sudah berjaya dijual. Viagra merupakan pil yang paling tinggi

jualannya di Malaysia manakala hanya 1.6 juta orang yang mengalami masalah

mati pucuk. Yang menghairankan kita lagi ialah bagaimanakah Viagra boleh

sampai ke tangan pengguna tanpa sebarang nasihat pakar perubatan. Keadaan

ini seakan-akan menunjukkan adanya terowong gelap bagi sesiapa sahaja yang

ingin mencubanya seperti penggunaan ubat-ubat batuk oleh penagih dadah

suatu waktu dahulu.

Siapakah yang akan menerima pertanggungjawaban terhadap kesan-

kesan iatrogenik dan angka kematian akibat penggunaan atau


penyalahgunaannya yang dilaporkan oleh akhbar? Berita paling akhir pada 15

Mac 2000 melaporkan bahawa satu kajian menunjukkan pil Viagra dipercayai

menyebabkan jumlah kematian yang tinggi dan masalah jantung yang serius.

Kajian yang berasaskan laporan Pentadbiran Ubat Persekutuan di Amerika

Syarikat mendapati bahawa dalam 1,473 insiden, seramai 522 lelaki mati. Tujuh

puluh peratus daripada kematian itu berkaitan dengan dos standard yang

disarankan iaitu 50mg.

Setakat ini kita baru membicarakan mengenai kesan iatrogenik ubat-ubat.

Sedangkan kerapkali pengguna tertanya-tanya tentang kesan sesetengah

bentuk rawatan seperti kemoterapi dan pelbagai prosedur yang dijalankan di

hospital untuk tujuan diagnosis. Tumpuan yang melampau kepada merawat

penyakit menyebabkan perubatan moden lupa pada pesakit itu sendiri. Justeru,

tidak hairanlah apabila luahan rasa tidak puas hati pengguna itu ditunjukkan

dalam pelbagai bentuk seperti melalui usaha mendekati kaedah perubatan

alternatif. Paling jelas, perasaan tidak puas hati itu telah diluahkan menerusi

sebuah filem yang berjaya, “Patch Adams” lakonan Robin Williams.

Satu lagi kejutan ialah terhadap keraguan yang berputar dalam benak

pengguna berkaitan kesilapan perubatan (medical errors). Satu laporan The

Sunday Times London dalam tempoh dua minggu sebelum berakhirnya abad ke

dua puluh cukup mencemaskan. Laporan itu menyebutkan bahawa kesilapan

perubatan merupakan penyebab ketiga terbesar yang menyumbangkan kepada

kematian di Britain selepas kanser dan penyakit jantung. Di dalam kajian yang

menyiasat kesilapan-kesilapan hospital, dilaporkan bahawa 40,000 kematian


setahun adalah diakibatkan oleh kemalangan perubatan (medical mishap).

Sementara 280,000 orang dikatakan menderita kerana kesilapan preskripsi ubat-

ubatan, memberi terlebih dos dan jangkitan.

Inipun merupakan suatu kesan iatrogenik kerana ia berpunca daripada

pengamal perubatan. Tetapi ia juga berlaku kerana pengguna terlampau

bergantung kepada kewibawaan doktor sehingga mereka membenarkan diri

mereka rebah kepada prosedur dan rawatan ubat-ubatan tanpa pengetahuan

yang cukup, termasuk pembedahan yang kadang kala tidak diperlukan. Mungkin

benar bahawa kebanyakan pembedahan yang tidak begitu mendesak terus

berlaku kerana saranan-saranan yang tidak berpihak kepada pengguna.

Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ivan Illich, dianggarkan 90 peratus

tonsilektomi yang dilakukan di Amerika Syarikat adalah sebenarnya tidak perlu,

sedangkan seorang daripada 1,000 orang mati kerana pembedahan itu,

sementara 16 pesakit lain menderita komplikasi serius.

Apakah alaf yang baru ini mampu menampung atau mengurangkan

penyakit-penyakit yang semakin bertambah seperti penyakit jantung, emfisema,

kanser, artritis, gout, hipertensi, diabetes, asma, malahan penyakit mental?

Dengan kemajuan yang begitu hebat sudah tentu tidak cukup setakat

bergantung kepada penjelasan bahawa berlakunya penyakit-penyakit itu berkait

rapat dengan usia, dan bertambahnya justeru lebih ramai manusia boleh hidup

lebih lama. Walhal kita juga tahu penyakit kanser dan jangkitan yang serius turut

menyerang kanak-kanak. Demikian juga apakah alaf baru sanggup

menanggulangi risiko penyakit iatrogenik yang merupakan produk terbesar


kejayaan alaf yang melambaikan tangan pamitan? Penyakit iatrogenik juga

menerpa tanpa memilih mangsa, pendeknya dari buaian hinggalah ke liang

lahad.

Memahami implikasi setiap rawatan dan ubat-ubat yang dipreskripsikan,

para pengamal perubatan dan pesakit mestilah menimbang dengan cermat

mengenai kebajikan-kebajikan dan risiko-risiko sebelum mengguna mana-mana

ubat berjenama saintifik atau menjalani satu-satu rawatan. Pengamal perubatan

bertanggungjawab terhadap rawatan yang diberikan kerana mereka tertakluk

kepada sumpah Hippocrates (Hippocratic oath) atau sumpah yang meminta

pertanggungjawabannya (selain kerana sifat kemanusiaannya). Pesakit sudah

pasti perlu berhati-hati kerana ia mempunyai hak ke atas batang tubuhnya dan

dia jugalah yang bakal menerima implikasi satu-satu rawatan.

Akhirnya, cukuplah disebutkan bahawa cabaran paling besar alaf baru

ialah bukan sekadar membasmi penyakit-penyakit yang kita sedia mengetahui,

tetapi juga merawat penyakit-penyakit ubat dadah (drug disease) atau yang

digelar iatrogenik. Lebih jauh lagi kita ingin melihat kemampuan para saintis

mencari atau mencipta ubat-ubat yang bukan saja menyembuhkan tetapi juga

bebas daripada kesan sampingan yang tidak diingini. Dengan cara itu barulah

bayaran yang dihulurkan pengguna berbaloi, meskipun penemuan itu tidak akan

menggendutkan poket syarikat multinasional.

---------------------- o ----------------------
HOME

Anda mungkin juga menyukai