Anda di halaman 1dari 4

NILAI DAN WORLD-VIEW ORANG MELAYU TENTANG GENDER

Pandangan orang Melayu tentang gender sama seperti perkara-perkara yang lain adalah berdasarkan ajaran agama yang dianuti mereka iaitu agama Islam serta adat budaya masyarakat Melayu itu sendiri. Dalam agama Islam yang syumul, semua perkara dibincangkan dengan teliti dan jelas agar penganutnya faham terhadap sesuatu perkara dengan mendalam mengapa sesuatu perkara itu perlu dilakukan sebegitu. Sama halnya berkaitan gender dan peranan mereka dalam kehidupan seharian. Dalam masyarakat Melayu, kedudukan lelaki adalah lebih dominan dari wanita. Ini dapat dilihat dari segi pembahagian harta pusaka yang diwarisi dari ibubapa. Anak lelaki diberikan lebih dari anak perempuan dengan perbezaan dua bahagian kepada lelaki berbanding hanya satu bahagian kepada perempuan. Ia diatur sedemikian rupa disebabkan tanggungjawab lelaki adalah lebih berat berbanding wanita. Lelaki diwajibkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak mereka termasuk ibu, adik beradik dan saudara perempuan yang lain. Manakala perempuan tidak diberi tanggungjawab sedemikain rupa walaupun sekiranya mereka mempunyai pendapatan sendiri serta berkemampuan dari segi kewangan. Orang lelaki mempunyai lebih kebebasan dalam banyak perkara contohnya apabila mencari calon isteri. Mereka lebih bebas menentukan pasangan hidup mereka berbanding wanita. Bagi anak gadis Melayu, pasangan hidup biasanya ditentukan oleh ibubapa mereka. Ibubapa mempunyai kuasa untuk memilih calon menantu yang mereka sukai tanpa bertanyakan pendapat anak gadis terlebih dahulu.

Kaum lelaki juga mempunyai kebebasan dalam persekitaran sosial berbanding wanita. Mereka mempunyai kebebasan dalam penyertaan sosial seperti keluar bertemu rakan taulan serta tidak dibimbangi jika lewat pulang ke rumah. Ini kerana sebagai lelaki mereka dilihat sebagai seorang yang gagah dan mampu menjaga keselamatan diri sendiri. Berbanding wanita, mereka dilihat sebagai seorang yang lemah dari segi fizikal dan memerlukan perlindungan dari orang lain. Selain itu, mereka dikhuatiri terdedah kepada bahaya yang mendatang jika berada di jalanan tanpa ditemani oleh orang yang dapat melindungi mereka. Oleh kerana lemah fizikalnya, wanita dalam masyarakat Melayu biasanya hanya melakukan kerja-kerja yang lebih ringan berbanding lelaki dalam urusan ekonomi mereka. Pekerjaan yang dilakukan hanya untuk membantu meringankan

tanggungjawab sang suami sebagai pencari nafkah utama untuk keluarga. Disebabkan suami perlu keluar bekerja untuk menyara keluarga, tugas-tugas mengurus rumahtangga secara automatiknya terletak di bahu si isteri. Walaupun dalam Islam tugas-tugas tersebut milik suami sebagai ketua keluarga tetapi dalam hal ini masyarakat Melayu berpegang pada adat budaya mereka dan ramai yang tidak menyedari akan perkara ini. Selain melakukan pelbagai kerja-kerja di rumah, kaum wanita juga memikul tanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Sesuai dengan sifat mereka yang penyayang, wanita mempunyai kelebihan dalam menjaga dan mengasuh anak-anak yang perlukan perhatian dan kasih sayang. Wanita mempunyai naluri luhur yang perihatin terhadap keperluan anak-anak. Contohnya jika anak sakit, ibulah yang menjaga mereka tidak mengira waktu, penat atau lelah.
2

Dalam masyarakat Melayu kini, pandangan terhadap perbezaan gender semakin berubah. Kaum wanita di masa kini dilihat semakin maju dan ramai diantara mereka yang mampu hidup berdikari dan mempunyai kerier yang baik. Wanita tidak lagi hanya bergantung sepenuhnya kepada lelaki dalam urusan ekonomi serta kehidupan mereka. Dalam kehidupan yang semakin mencabar kini, kaum wanita bersikap lebih berhati-hati dalam menentukan masa depan mereka. Syukur kerana dasar pendidikan di negara tercinta ini bersifat terbuka membolehkan kaum wanita menempatkan diri mereka dalam arus pembangunan pendidikan dan kerjaya yang dapat menjamin kelansungan hidup mereka. Kini, ramai wanita yang bergelar isteri sama-sama keluar bekerja bagi meringankan beban kewangan keluarga. Apa yang diharapkan ialah agar para suami menghargai sumbangan isteri dengan bersikap tolak ansur dalam hal ehwal urusan rumahtangga. Oleh kerana kedua-duanya keluar bekerja, maka sepatutnya kerja-kerja rumah perlu dikongsi bersama khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pembantu rumah. Tugas ini sering dianggap kecil oleh sebahagian golongan lelaki tetapi sebenarnya tugas tersebut adalah banyak dan tidak akan habis sama seperti tugas di pejabat yang tiada kesudahannya. Dalam ajaran Islam, bukanlah dibezakan siapa yang lebih atau kurang sebaliknya baik lelaki atau perempuan, mereka telah diciptakan dengan kelebihan dan peranan masing-masing yang mana kelebihan dan peranan ini dapat saling lengkapmelengkapi diantara satu sama lain kerana sebenarnya kedua-dua lelaki dan wanita adalah saling perlu-memerlukan!

Anda mungkin juga menyukai