Anda di halaman 1dari 6

KAJIAN 1

PERMASALAHAN KEMAHIRAN MEMBACA DAN MENULIS BAHASA MELAYU MURID-MURID SEKOLAH RENDAH DI LUAR BANDAR (The Problems Pertaining To Reading AndWriting Skills In Malay Language Among Rural Primary School Children) ABDUL RASID JAMIAN

ABSTRAK Kemahiran membaca dan menulis merupakan kemahiran asas Bahasa Melayu untuk murid-murid sekolah rendah. Hal ini amat penting untuk mereka mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Oleh hal yang demikian, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti permasalahan tentang kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Responden kajian terdiri daripada 161 murid sekolah rendah tahun 4 dan 5 di luar bandar di Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak. Kajian ini adalah berbentuk tinjauan deskriptif dengan menggunakan borang soal selidik yang merangkumi maklumat latar belakang serta masalah yang murid-murid alami dalam kemahiran membaca dan menulis. Sehubungan itu, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat masalah dalam diri murid untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu, antaranya pengetahuan asas membaca dan menulis, persekitaran dan kaedah pengajaran guru. Dapatan kajian dalam masalah kemahiran membaca menunjukkan bahawa kegagalan murid-murid memahami kandungan maklumat dalam teks yang dibaca (min = 3.40; sp = .71) dan tidak memahami maksud ayat yang dibaca (min = 3.24; sp = .60). Manakala dapatan kajian tentang masalah kemahiran menulis menunjukkan bahawa murid-murid tidak dapat membezakan huruf besar atau huruf kecil melalui pengecaman (min = 3.62; sp = .62), di samping itu, mengenali tanda baca (min = 3.42; sp = .80). Kesimpulannya, bagi mengatasi masalah ini, pendidikan pemulihan merupakan satu wadah yang dapat membantu meningkatkan potensi muridmurid yang mengalami masalah dalam kemahiran membaca dan menulis. Program pemulihan peringkat awal akan memberi kesan yang lebih efektif dalam usaha memperkasakan pendidikan di negara kita.

KAJIAN 2

Meningkatkan Keupayaan Menulis Karangan Sepanjang Sekurang-kurangnya 350 Patah Perkataan Dalam Masa Yang Ditetapkan Menggunakan Kaedah Salin dan Jalin. Noor Aainah Hj.Ag.Jaafar

Abstrak Kajian Tindakan ini saya rancangkan apabila saya menyemak kertas ujian pelajar Tingkatan 5D saya di bahagian karangan (kertas 2, bahagian 1 (b)). Saya dapati antara sebab pelajar saya mendapat markah rendah ialah mereka telah gagal kertas karangan ataupun mendapat markah kurang daripada 55 markah. Saya membuat beberapa tinjauan dan mendapati karangan pelajar kebanyakannya tidak mencapai 350 patah perkataan seperti yang disyaratkan dalam arahan soalan. Hal ini merisaukan saya kerana sekiranya perkara ini tidak diatasi maka sudah pastilah pelajar-pelajar saya menanggung risiko yang amat besar dalam peperiksaan SPM nanti. Bertolak dari situlah saya telah merangka satu kajian tindakan untuk membantu pelajar berusaha untuk menulis karangan seperti yang dikehendaki iaitu sekurang-kurangnya 350 patah perkataan dalam masa yang ditetapkan. Setelah melaksanakan program/kaedah Salin dan Jalin, saya dapati terdapat pelajar saya telah mula menunjukkan keupayaan mereka untuk menulis karangan dalam jumlah perkataan yang sepatut. Meskipun masih ada sebilangan kecil yang kurang menyerlah tetapi saya merasakan usaha yang dibuat melalui kajian tindakan kali ini telah membuahkan hasil.

KAJIAN 3

Tahap Penguasaan Dan Kesukaran Membaca Dan Menulis Dalam Kalangan Murid KIA2M Oleh Hasnalee bin Tubah Jabatan Pengajian Melayu

ABSTRAK Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap penguasaan dan bentuk kesukaran membaca dan menulis dalam kalangan murid KIA2M. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah temu bual dan pemerhatian berstruktur berdasarkan soalan soal selidik interpersonal bagi mengumpul data kualitatif. Subjek kajian terdiri daripada 4 orang murid KIA2M yang dipilih secara rambang berdasarkan jantina dengan berdasarkan rekod pencapaian daripada ujian penapisan dan ujian pelepasan 1. Keputusan kajian menunjukkan bahawa tahap penguasaan dan bentuk kesukaran membaca dan menulis murid KIA2M adalah pada paras sederhana lemah. Dapatan kajian ini membawa implikasi bahawa murid KIA2M akan dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan bantuan guru secara sistematik. Berdasarkan dapatan kajian, pengkaji mencadangkan agar kaedah pengajaran guru perlu lebih berfokus kepada murid dan aktiviti dalam kelas. Bagi mencapai tahap tersebut guru KIA2M terlebih dahulu perlu menguasai kaedah pengajaran KIA2M secara khusus dan professional.

REFLEKSI KAJIAN 2

Kajian tindakan yang kedua merupakan kajian tindakan yang melibatkan kemahiran menulis karangan sepanjang 350 perkataan dalam masa yang ditetapkan dengan menggunakan kaedah Salin dan Jalin. Kaedah yang diperkenalkan oleh Cikgu Nur Aainah ini adalah untuk membantu pelajar-pelajarnya yang menghadapi masalah dalam penulisan karangan. Usaha memperkenalkan kaedah Salin dan Jalin ini diperkenalkannya untuk memberi kemudahan kepada pelajarnya agar dapat menghasilkan karangan yang menepati saranan soalan dengan ketetapan masa yang diberikan.

Oleh itu, saya dapat melihat daripada penulisan abstrak bagi kajian Cikgu Nur Aainah ini, beliau merupakan seorang guru yang peka dan prihatian terhadap pencapaian pelajar-pelajarnya. Justeru, saya amat mengagumi keprihatinan guru ini sehingga dapat mengesan kelemahan pelajarnya dalam penulisan karangan. Keprihatinan ini membuatkan saya sedar bahawa seorang guru mungkin dapat mengajar dengan baik tetapi sukar untuk memberi perhatian yang menyeluruh terhadap murid namun, jika guru mengambil peluang yang ada guru akan dapat mengenali muridnay dengan lebih baik. Saya berharap keprihatinan Cikgu Aainah ini juga akan saya contohi agar dapat mengenali murid dengan lebih baik dan seterusnya membantu mereka berjaya dalam pelajaran mereka.

Seterusnya, saya mendapati guru yang melaksanakan kajian tindakan ini mempunyai idea yang baik dan mampu membantu pelajar-pelajarnya dalam

menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Saya mengaguninya, kerana saya menyedari bahawa saya masih kurang kreatif dan sukar untuk memikirkan jalan penyelesaian yang mudah untuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan baik. Namun begitu, saya menyedari bahawa saya berani untuk menyampaikan pendapat untuk memnyelesaikan sesuatu perkara. Oleh itu, saya seharusnya berusaha untuk menyelesaikan permasalahan dengan kaedah yang tertentu agar dapat membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi murid seperti membina bahan bantu belajar yang menarik untuk pembelajaran murid kelak.

Tambahan lagi, saya tertarik dengan permasalahan yang dikemukakan oleh guru ini iaitu berkaitan kesukaran murid menyiapkan sebuah penulisan karangan yang mempunyai panjang 350 perkataan dalam masa yang ditentukan.

Sesungguhnya, masalah penulisan karangan juga adalah salah satu kelemahan saya yang masih saya hadapi sehinggan kini. Ini menyedarkan saya bahawa masalah penulisan merupakan salah satu kesukaran yang dihadapi oleh muridmurid dan saya mempunyai tekad untuk menjadi seperti Cikgu Aainah ini yang mampu memperkenalkan kaedah bagi menyelesaikan masalah tersebut. Justeru, saya sebagai bakal guru yang juga akan mengajar Baahasa Melayu perlu menelaah masalah ini dengan baik dan memikirkan penyelesaian yang terbaik untuk membantu murid-murid dalam penulisan.

Kesimpulannya, saya percaya bahawa menjadi seorang guru bahasa bukan mudah seperti yang dianggap oleh ramai orang. Malahan, mengajar bahasa memerlukan guru yang mampu menarik perhatian murid-murid kerana bahasa adalah salah satu mata pelajaran yang membosankan di mata murid-murid. Justeru, saya yang sudah pernah mengalami belajar dan seterusnya pula akan mengajar mata pelajaran ini harus sentiasa meningkatkan kebolehan diri dalam penyediaan aktiviti dan pengajaran yang dapat menarik minat murid untuk belajar seperti menyediakan bahan bantu belajar, mempelbagaikan teknik dan beberapa perkara yang lain juga perlu di ambil kira.

Anda mungkin juga menyukai