Anda di halaman 1dari 17

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MERINGKASKAN KARANGAN DENGAN MENGGUNAKAN TEKNIK ACUAN OLEH HASLINDA BINTI YAHIYA SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN

TAMBUN 31400 IPOH

ABSTRAK Mulai tahun 2005, format baru Bahasa Melayu telah diperkenalkan untuk kertas 1 dan Kertas 2. Mengikut format baru Kertas 2 kini terbahagi kepada beberapa bahagian yang kesemuanya wajib dijawab oleh pelajar. Bahagian A (i) terdiri daripada soalan meringkaskan karangan manakala Bahagian A (ii) merupakan soalan pemahaman berdasarkan petikan umum respons terhad. Bahagian B pula merupakan karangan berdasarkan bahan rangsangan sementara Bahagian C pula jenis karangan respons terbuka. Bahagian D pula menyentuh soalan berdasarkan novel. Meringkaskan karangan adalah salah satu bentuk soalan yang perlu diberi penekanan oleh pelajar kerana mengandungi 20 markah. Kriteria penting yang dinilai adalah dari aspek bahasa dan juga isi. Untuk mendapatkan markah yang baik, bahasa hendaklah baik dan lancar, pemilihan kata yang tepat dan gramatis serta menggunakan penanda wacana yang sesuai. Selain itu pelajar perlu memastikan tiada kesalahan ejaan dan menggunakan tanda baca yang betul. Para pelajar juga perlu bijak mencari isi-isi penting dan menyusunnya dengan teratur. Dalam kajian tindakan ini, kami telah memperkenalkan teknik ACUAN bagi membantu pelajar yang lemah meningkatkan kemahiran mereka menjawab soalan ini. Melalui kajian ini juga dapat membantu guru untuk mengambil pendekatan yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini melibatkan lima belas orang pelajar dari kelas tingkatan 3 Visi. Tinjauan telah dibuat berdasarkan temu bual, ujian pra, ujian pos dan pemeriksaan buku latihan. Hasilnya telah memperlihatkan peningkatan pencapaian yang ketara dalam aspek meringkaskan karangan. 1. Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu Kajian tertumpu kepada pelajar tingkatan 3 Visi. Masalah yang timbul di kelas ini kerana terdapat pelajar yang lemah menguasai kemahiran membaca dan menulis. Selain itu latar belakang kelas ini merupakan pelajar yang agak lemah. Mengikut keputusan peperiksaan Akhir Tahun 2005 kesemua pelajar gagal dalam Bahasa Melayu. Telah menjadi tanggungjawab besar guru Bahasa Melayu pada tahun ini bagi memastikan 60% pelajar kelas ini lulus dalam Bahasa Melayu. Hasil tinjauan

yang dibuat mendapati pelajar ini menganggap Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang mudah untuk memperoleh markah lulus sedangkan jika dikaji keputusan adalah kurang memuaskan. Hal ini demikian kerana pelajar tidak serius untuk belajar. Selain itu mereka tidak menggunakan kaedah dan teknik yang betul semasa menjawab soalan ini. Kebanyakan daripada mereka tidak menumpukan perhatian sewaktu pengajaran dan pembelajaran. Hal ini dapat dikesan apabila tugasan diberikan, tugasan tersebut tidak mengikut kehendak soalan. Malahan jumlah perkataan sepatutnya hanya 80 patah perkataan telah ditulis melebihinya. Melalui temu bual yang dijalankan pelajar mengatakan mereka tidak mengetahui kehendak soalan. Mereka juga tidak tahu mencari isi-isi penting. Mereka hanya menyalin tanpa mengetahui sama ada isi yang dipilih itu merupakan isi penting atau tidak. Selain itu pelajar tidak tahu untuk menyusun isi yang diperoleh. Di kelas ini juga terdapat pelajar yang masih lemah menguasai kemahiran membaca dan menulis. Mereka mengambil masa yang lama untuk membaca satu petikan dan menghadapi masalah untuk mengesan isi-isi penting. Guru yang mengajar menghadapi masalah untuk menarik minat mereka untuk belajar. Mereka mudah bosan jika mereka gagal menguasai satusatu topik. Tugas guru amat besar untuk menarik minat pelajar tersebut. Untuk itu kaedah dan teknik pengajaran yang menarik serta motivasi sentiasa diberi memandangkan pelajar ini akan menghadapi peperiksaan PMR. 2. Isu Keperihatinan / Fokus Kajian Bagi membantu para pelajar ini, kajian tindakan tertumpu kepada kaedah berkesan untuk meringkaskan karangan. Sekurang-kurangnya teknik ACUAN ini dapat membantu pelajar yang lemah untuk memperoleh markah.. Masalah yang dihadapi semasa pengoperasian ialah sikap pelajar yang tidak bersungguh-sungguh untuk belajar. Mereka tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajaran yang disampaikan. Kebanyakan pelajar kelas ini selalu tidak hadir ke sekolah. Oleh itu sukar untuk mendapatkan data. Selain itu masih terdapat pelajar yang tidak mahu mengikut arahan yang diberi. Objektif Kajian 3.1 Objektif Am Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran meringkaskan karangan dengan menggunakan teknik ACUAN. 3.2 Objektif Khusus 3.2.1 Membantu guru mengajar ringkasan karangan supaya lebih berkesan. 3.2.2 Mendedahkan kepada pelajar kaedah mudah untuk meringkaskan karangan. 3.2.3 Membantu pelajar memperoleh markah yang baik dalam Bahasa Melayu.

3.

4. Kumpulan Sasaran Kumpulan pelajar yang terpilih adalah dari kelas 3 Visi. Pelajar yang dipilih seramai 15 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Melayu, Cina dan India. Latar belakang pelajar kelas ini terdiri daripada pelajar yang lemah dalam Bahasa Melayu. Lima orang daripada pelajar kelas ini juga lemah menguasai kemahiran membaca dan menulis. 5. Pelaksanaan Kajian 5.1 Tinjauan Masalah 5.1.1 Temu bual Melalui temu bual yang dijalankan, pelajar menjelaskan mereka tidak memahami kehendak soalan. Selain itu mereka tidak dapat mengesan isi-isi penting dalam petikan dan tidak mengetahui bagaimana menyusun ayat. Sementara itu bagi pelajar yang kurang menguasai kemahiran 2M menghadapi masalah untuk memahami isi petikan dan menyukarkan bagi mereka mengesan isi-isi penting. 5.1.2 Ujian Pra dan Pos Ujian pra diberikan kepada kumpulan sasaran untuk mengesan sejauh mana kefahaman mereka. Keputusan ujian pra menunjukkan pelajar menghadapi masalah semasa menjawab soalan ringkasan. Setelah itu Teknik ACUAN telah diperkenalkan kepada pelajar. Pelajar telah diajar cara-cara untuk meringkaskan karangan menggunakan Teknik ACUAN. Keputusan Ujian Pos pula menunjukkan terdapat peningkatan.

5.2 5.3

Analisis Tinjauan Masalah 5.2.1 Ujian Pra Ujian Pra telah dijalankan bagi mengesan kelemahan para pelajar semasa menjawab soalan meringkaskan karangan. Berdasarkan ujian pra yang dijalankan terhadap kumpulan sasaran beberapa kelemahan telah dikenal pasti. Antara kelemahan yang dapat dikesan iaitu pelajar tidak memahami kehendak soalan. Pelajar juga tidak membaca petikan dengan teliti dan memahami isi petikan. Selain itu pelajar tidak dapat mengesan isi-isi penting yang terdapat dalam petikan tersebut. Pelajar juga tidak tahu menggunakan penanda wacana sebagai kesinambungan ayat. Terdapat juga pelajar yang menyalin petikan bulat-bulat. Malah pemerengganan tidak tepat dan jumlah perkataan tidak mengikut jumlah yang dikehendaki iaitu tidak lebih 80 patah perkataan.

5.3

Tindakan yang dijalankan Setelah berjaya mengesan kelemahan pada pelajar, diperkenalkan kepada para pelajar. teknik ACUAN

TEKNIK ACUAN Teknik ACUAN ialah formula khusus yang akan digunakan untuk meringkaskan karangan. Acuan tersebut menggunakan penanda wacana yang bersesuaian. Acuan ini disediakan terlebih dahulu bagi memudahkan para pelajar melengkapkan ringkasan karangan. Penanda Wacana yang terpilih akan disusun terlebih dahulu kemudian diikuti dengan tempat kosong. Lebih kurang lima penanda wacana yang akan digunakan. Setelah itu para pelajar diminta untuk melengkapkan acuan kosong ini dengan memasukkan isi-isi penting yang dipilih daripada petikan berdasarkan kehendak soalan. Antara keistimewaan Teknik ACUAN ini ialah ACUAN ini dapat memudahkan para pelajar untuk memulakan sesuatu ringkasan itu. Selain itu dengan adanya penanda wacana ini dapat menunjukkan ada kesinambungan dan gabung jalin antara satu ayat dengan satu ayat yang lain. Cara ini juga dapat mengelakkan pelajar daripada menyalin isi bulatbulat. Dengan adanya penggunaan penanda wacana ini turut membantu pelajar memperoleh markah bahasa yang lebih baik kerana salah satu kriteria yang diambil kira adalah penggunaan penanda wacana yang sesuai. Isinya turut dapat diolah dan disusun dengan lebih sistematik. Acuan boleh diubah mengikut kesesuaian.

Contoh: ACUAN 1 Salah satu faktor / sebab / punca / kepentingan / peranan / kesan / langkah / usaha ...................................... . Selain itu.................. . Di samping itu.. Terdapat juga.. Dalam pada itu

ACUAN 2 Antara faktor-faktor . . Sementara itu. . Tambahan pula Faktor lain yang turut . Ada juga. .

Setelah teknik ACUAN ini diperkenalkan kepada para pelajar, langkahlangkah pengajaran seperti berikut perlu dilakukan bagi memastikan keberkesanannya. Langkah-langkah Pengajaran Langkah 1: Mencari skop soalan Contoh Soalan: Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan komputer kepada pelajar. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Pelajar akan diminta membaca dan memahami kehendak soalan dan kemudian menggariskannya. Contoh: .........tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan komputer kepada pelajar. Langkah 2: Membaca dan memahami isi petikan. Pelajar dikehendaki membaca keseluruhan petikan. Kefahaman pelajar diuji dengan mengemukakan soalan berkaitan petikan. Langkah 3: Menggaris isi-isi penting Bagi peringkat permulaan petikan dibaca semula oleh guru satu persatu. Pelajar diminta menyatakan sama ada ayat itu ialah isi ataupun tidak. Jika isi, pelajar dikehendaki menggaris ayat-ayat tersebut. Contoh petikan: Perbuatan ponteng sekolah merupakan salah laku yang serius dilakukan oleh pelajar. Gejala ini mendapat perhatian daripada pihak media, masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan sebagainya. Malah, pihak polis turut turun padang bagi membantu pihak sekolah untuk mengesan pelajar yang ponteng sekolah. Salah satu faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah adalah kerana tiada motivasi diri. Selain itu, pelajar terbabit kurang mengambil berat akan kepentingan pelajaran. Mereka malas dan berasa bosan untuk bersekolah dan menganggap persekolahan sebagai bebanan dan bukannya tanggungjawab. Dalam pada itu, golongan pelajar akan berusaha untuk mendapatkan geng yang akan ponteng bersama-sama dengannya. Mereka akan cuba memujuk rakan-rakan yang lain dengan pelbagai cara. Bagi pelajar yang goyah pendiriannya, dia akan mudah terpengaruh dengan ajakan tersebut. Selain itu, ibu bapa turut menjadi penyumbang kepada kegiatan ponteng sekolah anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana terdapat ibu bapa yang kurang memberi perhatian terhadap pelajaran anak-

anak. Kesempatan ini diambil oleh anak-anak untuk ponteng sekolah tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa mereka. Di samping itu, sikap guru-guru dikatakan juga sebagai punca pelajar ponteng sekolah. Guru yang mengajar secara sambil lewa tanpa menitikberatkan kefahaman pelajar menyebabkan sesetengah pelajar tidak tertarik pada pelajaran yang disampaikan. Maka, ponteng sekolahlah tindakan yang diambil oleh mereka. Kini, gejala ponteng sekolah menjadi masalah yang mencabar kewibawaan sekolah. Bagi pelajar pula, mereka seolah-olah menempah kegagalan dalam persekolahan dan masa mereka melibatkan diri dalam gejala ponteng sekolah. Oleh hal yang demikian, semua pihak bertanggungjawab untuk mencari jalan keluar bagi mengatasi masalah ponteng sekolah ini. Langkah 4: Melengkapkan ACUAN Pelajar diberi panduan bagaimana memasukkan isi-isi yang digaris tadi ke dalam acuan. Bagi pelajar yang lemah sudah memadai memasukkan semua ayat yang digaris ke dalam acuan yang disediakan. Pelajar yang sederhana dan baik digalakkan menukarkan beberapa ayat dan memasukkan ke dalam acuan tersebut. Contoh jawapan lengkap: Salah satu faktor pelajar ponteng sekolah adalah kerana tiada motivasi diri. Selain itu, pelajar tersebut kurang mengambil berat akan kepentingan pelajaran. Terdapat juga pelajar yang malas dan berasa bosan untuk bersekolah dan menganggapnya sebagai satu beban. Pelajar yang goyah pendiriannya turut terpengaruh untuk ponteng sekolah. Di samping itu, ibu bapa turut menjadi faktor kerana kurang memberi perhatian terhadap pelajaran anak-anak mereka. Dalam pada itu, sikap guru yang mengajar sambil lewa tanpa menitikberatkan kefahaman pelajar menyebabkan mereka tidak tertarik dengan pelajaran yang disampaikan. (79 patah perkataan)

Latih tubi yang dijalankan secara berterusan dapat memahirkan pelajar menggunakan teknik ACUAN ini. 5.4 Pelaksanaan Tindakan dan Pemerhatian / Penilaian Setelah pelajar ini diperkenalkan dengan teknik ACUAN, prestasi pelajar didapati semakin meningkat. Melalui ujian pos yang dijalankan didapati terdapat peningkatan. Pelajar kini telah mula memahami kehendak soalan ringkasan. Pelajar dapat mengenal pasti isi-isi penting. Namun begitu masih terdapat pelajar yang masih lemah. Pelajar tersebut akan diberi bimbingan dan dorongan supaya dapat memperbaiki kelemahan mereka. Pelajar-pelajar juga menunjukkan lebih keyakinan dan mempunyai semangat untuk mempertingkatkan prestasi mereka. Mereka tidak lagi berasa rendah diri

kerana kelemahan mereka kerana sentiasa diberi perhatian dan mendapat galakan daripada guru. Guru-guru Bahasa Melayu di sekolah saya juga telah diperkenalkan dengan teknik ini. Mereka juga mengakui teknik ini memudahkan tugas mereka mengajar ringkasan karangan. Keputusan pelajar juga agak memberangsangkan dalam peperiksaan. 5.5 Refleksi Kajian i. Penilaian Pencapaian Murid Pemarkahan Ringkasan Karangan Isi = 10 markah Bahasa = 10 markah Jumlah = 20 markah Pelajar A B C D E F G H I J K L M N O ANALISIS UJIAN PRA / POS MARKAH 15-20 (CEMERLANG) 11-14 (BAIK) 5-10 (MEMUASKAN) 1-4 (LEMAH) JUMLAH PRA 13% 80% 7% 100% POS 46.5% 46.5% 7% 100% Ujian Pra 09 11 09 05 11 10 09 05 07 10 07 04 10 05 11 Ujian Pos 11 13 10 05 14 11 11 06 08 11 08 04 14 08 11

ii.

Rumusan Hasil daripada ujian pos menunjukkan peningkatan yang agak memberangsangkan. Peratus pelajar yang mendapat keputusan baik telah menunjukkan peningkatan sebanyak 26.5%. Namun begitu masih terdapat pelajar yang menunjukkan keputusan yang statik. Pelajar tersebut akan terus dibimbing bagi memastikan terdapat peningkatan dalam latihan dan ujian seterusnya. Pelajar kini dapat mengaplikasikan teknik ACUAN ini untuk meringkaskan karangan. Proses pengajaran pula lebih mudah dijalankan kerana pelajar kini memahami kehendak soalan dan bagaimana menyusun ayat. Pelajar juga kini mengetahui cara mencari isi seterusnya membina ayat yang lebih tersusun. Pelajar juga lebih yakin untuk menjawab soalan ini dan tidak lagi berasa rendah diri kerana selama ini mereka sering menganggap diri mereka lemah. Teknik ini turut merapatkan hubungan antara guru dan pelajar kerana pelajar digalakkan untuk berbincang dan memberi pendapat. Selain itu dapat menarik minat untuk mereka belajar. Teknik ini tidak akan berkesan jika tiada komitmen antara guru dan pelajar. Oleh itu guru-guru perlu memberi latihan yang berterusan bagi memahirkan mereka untuk menjawab soalan ini.

6.0

Cadangan untuk Kajian Seterusnya Kajian ACUAN ini boleh diperkenalkan untuk pelajar tingkatan satu hingga tiga. Guru-guru boleh menggunakan kaedah ini bagi memudahkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Bagi penambahbaikan guru-guru boleh mencipta ACUAN lain yang sesuai dengan soalan yang berkaitan ringkasan karangan. ACUAN ini turut boleh diaplikasikan untuk menjawab soalan karangan berdasarkan bahan rangsangan. Selain itu teknik ini boleh juga digunakan untuk soalan merumuskan karangan bagi tingkatan 4 dan 5.

Bibliografi / Bahan Rujukan 1. Manual Kajian Tindakan, Bahagian Perancangan dan Dasar Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 2. Konvensyen Kajian Tindakan Negeri Perak 2003, Jabatan Pendidikan Negeri Perak 3. Konvensyen KajianTindakan negeri Perak 2004, Jabatan Pelajaran Negeri Pera