Anda di halaman 1dari 6

Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Sumber: Yahya Othman (2014). Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi (KBAT). Dewan Bahasa. 14(5). 20-24.

Menguasai dan mengamalkan kemahiran berfikir penting dalam merealisasikan harapan negara
untuk membentuk insan yang berkualiti dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Hasrat Kementerian Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (2013-2025) juga menggariskan usaha untuk membina rupa bangsa yang memiliki daya saing
yang tinggi melalui pendidikan berasaskan pemikiran tinggi melalui pendidikan yang diterima di
sekolah.

Usaha untuk menyediakan murid yang berfikiran aras tinggi, usaha secara berterusan dijalankan sejak
konsep Sekolah Bestari diperkenalkan. Hingga kini usaha ini masih diberikan penekanan dalam usaha
untuk mencapai tahap berfikir yang memungkinkan murid dapat bersaing dalam dunia global yang
semakin mencabar. Konsep kemahiran berfikir semasa mula diperkenalkan lebih menumpukan
perhatian kepada penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Disebabkan keperluan
pendidikan semasa yang lebih kompleks dan bersifat kompetitif, maka kini Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT) diberikan tumpuan pelaksanaannya untuk direalisasikan dalam pengajaran dan
pembelajaran.

KBAT diaplikasikan dalam sistem pendidikan bagi menggerakkan potensi minda murid untuk
menangani cabaran baru. Melalui KBAT, murid dapat memahami, menterjemah, menganalisis dan
memanipulasikan maklumat dengan lebih berkesan. Murid perlu mengalami sendiri proses berfikir
secara heuristik di dalam pembelajaran atau penemuan sendiri secara terbimbing melalui KBAT.
Untuk mengaplikasikan KBAT, guru perlu menyesuaikan pendekatan dan strategi yang hendak diguna
pakai semasa pembelajaran dan pembelajaran

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM), aspek yang penting untuk
mencapai KBAT adalah keupayaan memindahkan kemahiran yang sudah dipelajari di dalam BM
kepada situasi komunikasi yang sebenarnya. Dalam situasi sedemikian, kualiti murid dalam berbahasa
dapat diukur bukan sahaja kepetahannya bertutur atau menulis tetapi juga melalui kualiti
pemikirannya semasa berbahasa. Dalam konteks ini, pengajaran BM yang melibatkan penguasaan
kemahiran berbahasa, pelajar dapat menggunakannya dalam kehidupan seharian.

Guru sebagai penggerak pemikiran murid perlu memastikan KBAT dikuasai agar dapat meningkatkan
keupayaan belajar bahasa mereka kerana melalui KBAT, murid dapat mengawal, menentukan arah
dan mengukur kemajuan pelajaran mereka. Objektif pengajaran BM memerlukan murid yang bukan
sahaja dapat menguasai kemahiran berbahasa tetapi mampu menguasai pembelajaran secara kendiri.
Untuk mencapai tahap berbahasa murid yang kompeten, guru perlu menyediakan situasi
pembelajaran yang lebih kondusif dan mencabar agar pembelajaran BM tidak dilihat sebagai mata
pelajaran yang membosankan.

Objektif KBAT dalam BM juga menyasarkan agar murid dapat menggunakan pengetahuan yang telah
dipelajari dengan lebih produktif. Dalam konteks kemahiran membaca, kebolehan murid
menggunakan pengetahuan lalu sangat penting bagi memastikan mereka mampu berfikiran secara
kritis melalui teks yang dibaca. Bagi teks jenis hujahan, murid perlu mahir menganalisis hujah yang
ada di dalam teks di samping dapat membuat penilaian terhadap teks tersebut. Untuk memastikan
kemahiran berfikir yang memerlukan pelajar menganalisis dan membuat jangkaan terhadap plot teks
jenis naratif pula, guru BM bukan hanya perlu menyediakan bahan bacaan yang mencabar tetapi perlu
mendedahkan strategi membaca kritis agar aktiviti membaca berkesan.

Dalam kerangka yang lebih luas, guru juga perlu memastikan pelajar dapat menggunakan
pengetahuan, kemahiran dan bersikap positif dalam kehidupan. Dalam aspek pengetahuan bahasa ,
menjadi keutamaan kepada guru untuk memastikan murid dapat menguasai kandungan ilmu bahasa.
Bagi memastikan ilmu bahasa dapat diterjemahkan semasa berkomunikasi secara berkesan, guru
perlu merancang pengajaran dengan memberikan penekanan kepada strategi berfikir agar
penguasaan ilmu bahasa dapat dikuasai dalam jangka masa yang lama.

Hal ini disebabkan faktor psikologi seperti keupayaan mengingat dapat memastikan ilmu bahasa yang
dipelajari berfungsi secara berkesan. Selain itu, penguasaan ilmu bahasa juga menjadikan kemahiran
yang diperoleh dapat membentuk sikap murid terhadap kehidupannya. Maka keperluan berfikir aras
tinggi perlu diadaptasikan dalam menyampaikan ilmu tersebut.

Dalam konteks pelaksanaan KBAT, guru perlu mahir mengasimilasikan kemahiran tersebut dengan
keperluan kurikulum BM. Untuk tujuan tersebut, murid perlu didedahkan dengan aktiviti pemikiran
aras tinggi seperti membanding, menganalisis dan membuat inferens agar murid berupaya
meningkatkan kefahaman dan mengukuhkan pembelajaran.

Berdasarkan kurikulum BM, kemahiran lisan dianggap penting terutama dalam konteks menyediakan
murid berkomunikasi secara interpersonal sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi. Disebabkan
kemahiran ini kurang ditekankan dalam pentaksiran bahasa, maka sering penekanan kemahiran ini
sering diabaikan. Guru mungkin beranggapan murid mahir menguasai kemahiran tersebut walaupun
tidak diajar secara formal. Pandangan seperti ini jika dibiarkan boleh memberi implikasi terhadap
kebolehan berkomunikasi murid terutama apabila mereka berada dalam lingkungan kehidupan yang
sebenar. Oleh itu, guru BM berperanan agar kemahiran tersebut dapat diajarkan bukan hanya untuk
tujuan keperluan di dalam kurikulum tetapi juga dapat menguasai maklumat dengan berkesan.

Bagi memastikan murid mampu berkomunikasi menggunakan KBAT, maka guru boleh melaksanakan
aktiviti lisan dengan menyediakan bahan dan tugasan yang mencabar minda mereka. Contohnya
dengan melaksanakan aktiviti main peranan dan simulasi bahasa, guru perlu memberi peluang kepada
murid merancang aktiviti kreatif sama ada secara berkumpulan ataupun individu. Walau
bagaimanapun, terdapat kelompok murid yang sememangnya memiliki kebolehan yang terbatas
terutamanya dalam berkomunikasi interpersonal. Hal ini boleh membataskan keupayaannya mereka
untuk menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan yang akan dialaminya dalam aktiviti
kehidupan yang sebenarnya.

Apakah peranan guru bagi memastikan murid yang lemah juga dapat melibatkan diri dalam aktiviti
KBAT terutamanya dalam aktiviti lisan? Pemilihan aktiviti yang sesuai dengan kebolehan dan minat
mereka boleh membantu mengurangkan masalah kurang daya fikir murid yang lemah dalam
pembelajaran. Contohnya guru boleh mengadakan sesi soal jawab secara terancang dengan
merendahkan tahap berfikir soalan yang dikemukakan. Apabila mereka telah menguasai aras rendah
dengan baik, guru boleh mempertingkatkan tahap aras berfikir melalui soalan yang lebih mencabar.
Sering berlaku apabila menjawab soalan pada aras tinggi, murid yang lemah terabai disebabkan
mereka tidak mampu menjawabnya.

Dalam pengajaran membaca teks untuk tujuan pemahaman, guru perlu menyediakan bahan yang
boleh membantu murid membaca secara kritis. Misalnya melalui teks jenis fakta atau naratif,
pemikiran kritis murid dapat dijana dengan meminta murid membaca dan melakukan analisis
kandungan teks. Murid ditugaskan berfikiran kritis dengan meminta mereka membuat perbandingan
isi kandungan jika teks yang dibaca dari jenis perbincangan. Bagi teks berbentuk naratif, aktiviti
berfikiran kreatif dapat diwujudkan melalui latihan membuat peleraian plot yang memerlukan murid
merangka penutup cerita yang lebih menarik seperti menonjolkan kejadian yang tidak dijangka boleh
berlaku.

Kemahiran menulis merupakan kemahiran penting untuk dikuasai oleh murid pada peringkat sekolah
rendah dan menengah. Pada peringkat sekolah rendah, mereka perlu memiliki daya pengecaman dan
menulis huruf yang hinggalah boleh membina ayat. Di samping itu, kemahiran menulis juga
memerlukan murid bukan sahaja mampu menukilkan idea yang tersimpan dalam pemikirannya tetapi
mereka juga perlu mampu mengorganisasikan idea tersebut agar dapat diterjemahkan dalam wacana
yang dapat difahami pembaca.

Bagi memastikan pelajar dapat mengaplikasikan KBAT dalam kemahiran menulis, guru perlu mampu
mewujudkan persekitaran menulis yang kondusif. Pengaruh iklim pembelajaran yang selesa tanpa
tekanan mampu memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara terencana. Berikan murid
peluang untuk menyampaikan, memperincikan idea, menganalisis maklumat, serta menyatakan
pandangan dengan lancar. Untuk memastikan kelancaran dalam penghasilan sesuatu hasil penulisan,
guru BM berperanan mencungkil, memantapkan, dan menjadikan idea yang difikirkan terjelma dalam
bentuk tulisan yang bukan sahaja boleh dibaca malahan boleh memberi kesan sama ada secara
eksplisit mahupun intrinsik. Oleh itu bagi memastikan murid menguasai kemahiran menulis dengan
baik, KBAT boleh digunakan melalui pedagogi yang terancang dengan baik. Guru BM perlu mahir
menulis dan dapat mempamerkan kemahiran menulis kepada murid. Di samping itu, dengan
menggunakan pengurusan grafik yang baik, penulisan karangan boleh menjadi lebih baik kualitinya.
Untuk memastikan proses berfikir aras tinggi dapat dilaksanakan secara berkesan di dalam
pengajaran dan pembelajaran BM, guru BM perlu menguasai aspek metakognitif. Strategi
metakognitif merujuk kepada cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan
pembelajaran yang berlaku. Melalui strategi ini murid dapat membuat refleksi terhadap maklumat
yang diperoleh sama ada semasa aktiviti lisan, membaca, dan menulis. Dalam konteks kemahiran
membaca, murid dapat difokuskan pemikirannya terutama dalam menetapkan tahap pemahaman
masing-masing apabila melalui proses membaca. Begitu juga dengan aktiviti kemahiran menulis,
murid juga dapat melakarkan maklumat yang ingin ditulis secara jelas melalui refleksi yang diamalkan.

Kadangkala, persekitaran yang disediakan juga tidak mampu untuk merangsang pemikiran murid
menghasilkan penulisan yang baik. Kesan persekitaran, pengalaman lalu murid, minat terhadap
menulis, dorongan menulis dan strategi menulis yang didedahkan oleh guru sangat menyumbang
kepada kualiti penulisan yang diharapkan.

Dalam konteks menulis karangan, pemilihan tajuk yang bersifat hujahan atau fakta sangat sesuai
untuk murid mengeluarkan hujah yang mampu mendorong ke arah berfikiran kritis. Di samping
mengemukakan tajuk yang boleh menimbulkan polemik, guru juga perlu memberikan peluang kepada
murid berfikiran secara kritis melalui aktiviti penulisan yang ringkas seperti membuat ulasan ringkas
terhadap bahan berbentuk berita atau rencana yang dipetik dari media massa. Dengan cara
mengemukakan isu-isu semasa, guru mampu menambahkan skemata pengetahuan lalu mereka.

Bagi memastikan aspek sistem bahasa dapat dikuasai dengan berkesan, guru boleh melakukan
beberapa aktiviti yang mampu mendorong murid berfikiran lebih kritis. Untuk menguasai konsep dan
peraturan sistem bahasa yang perlu dikuasai oleh murid, pemilihan aktiviti belajar perlu diberikan
keutamaan. Guru perlu berperanan mengemukakan soalan yang dapat membantu murid kuasai
kandungan sistem bahasa tanpa menghafal peraturan yang ada. Contohnya dalam mempelajari
golongan kata BM, guru boleh meminta murid menjawab siri soalan yang mengarah kepada
penguasaan dalam pertuturan untuk tujuan komunikasi. Di samping mengemukakan soalan secara
terancang untuk memahirkan KBAT, guru juga perlu memastikan aspek sistem bahasa diaplikasikan
dalam menguasai kemahiran bahasa yang lain.

Jika aspek KBAT dikuasai dengan baik, ia akan menjadi satu alat yang berguna untuk membantu murid
belajar. Seterusnya dapat meningkatkan prestasi pencapaian dan memperbaik kelemahan diri. Dalam
konteks pengajaran BM, guru perlu mahir dalam memilih strategi belajar yang boleh diaplikasikan
dalam pembelajaran bahasa. Jika dianalisis kandungan sukatan pelajaran BM, terdapat banyak hasil
pembelajaran yang disenaraikan memberi peluang kepada pelajar menguasai strategi belajar melalui
kemahiran bahasa. Contohnya dalam kemahiran lisan, membaca, dan menulis banyak subkemahiran
yang disenaraikan mampu membantu pelajar menguasai strategi belajar yang boleh meningkatkan
prestasi akademik dalam mata pelajaran lain. Oleh itu, guru BM berperanan menterjemahkan hasil
pembelajaran itu dalam bentuk aktiviti KBAT yang boleh digunakan oleh murid semasa mempelajari
mata pelajaran yang lain. Melalui aktiviti ini juga guru mengharapkan murid meningkatkan
peningkatan daya fikiran mereka.
Kemahiran berfikir boleh diajar secara langsung atau tidak langsung bergantung pada objektif
pengajaran yang ingin dicapai semasa proses belajar berlangsung. Dalam konteks menyoal secara
kritis, guru sebagai Di samping itu, strategi yang dianggap sangat berkesan dalam pengajaran dan
pembelajaran BM. Strategi menggunakan soalan terancang memerlukan guru BM yang mahir dalam
hal tersebut. Soalan berbentuk terbuka boleh dikemukakan dalam aktiviti lisan, membaca dan
menulis. Kelebihan soalan bentuk ini mampu menjana pemikiran murid semasa menjawab. Di
samping bentuk soalan, guru juga perlu mahir dalam teknik menyoal. Menggunakan lingkaran soalan
merupakan cara yang baik bagi mengaitkan antara soalan-soalan yang akan disoal.

Teknik menyoal merupakan satu keperluan dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM. Menyoal
dapat memotivasikan murid, menggalakkan pelajar berfikir dan mendapat respons berdasarkan
aktiviti lisan, membaca dan menulis. Kajian-kajian juga mendapati guru BM kurang mahir dalam
mengendalikan teknik menyoal. Kebanyakan soalan yang dikemukakan hanya pada aras rendah dan
hal ini memberi kesan terhadap kualiti pemikiran murid.

Untuk memberikan respons terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang dikemukakan dalam belajar
bahasa, guru bahasa boleh menggunakan kaedah perbincangan untuk meningkatkan kualiti berfikir
murid. Agak sukar untuk membangkitkan suasana berbincang dalam bilik darjah jika guru tidak
memainkan peranan sebagai pemudah cara. Guru perlu mahir mengendalikan sesi perbincangan sama
ada dijalankan dalam kumpulan kecil mahupun menggunakan kaedah kelas yang memerlukan
penglibatan murid secara menyeluruh. Tajuk perbincangan yang diberikan kepada murid perlu
menarik perhatian dan memudahkan aliran idea dikeluarkan dari pemikiran mereka. Contohnya
dalam aktiviti menulis karangan, guru boleh mendapatkan respons murid berdasarkan tajuk karangan
yang diajukan melalui perbincangan.

Alat pengurusan grafik pula boleh digunakan oleh guru BM dengan tujuan untuk memudahkan
memahami sesuatu konsep. Penggunaan pemetaan konsep menggunakan i-Think juga dapat
membantu murid dalam kemahiran bahasa dan sistem bahasa. Jika dibandingkan dengan pernyataan
sesuatu konsep yang dibuat dengan cara huraian secara linear, pengurusan grafik dapat membantu
menguasai sesuatu topik secara lebih bersistem. Hal ini disebabkan pengurusan grafik dalam
pembelajaran mementingkan penggunaan bentuk ilustrasi atau lakaran. Dalam kemahiran membaca,
alat pengurusan grafik digunakan untuk membantu dan mengurus cara berfikir yang lebih tersusun
dengan tujuan memantapkan pemikiran selepas membaca teks. Pengurusan grafik dapat
menggambarkan secara mudah dan jelas tentang sesuatu idea atau perkara dengan perhubungannya
dalam pembacaan dengan aspek-aspek yang berkaitan.

Kaedah penyelesaian masalah juga diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran BM untuk
tujuan meningkatkan KBAT. Kaedah ini merupakan usaha dalam bentuk proses kognitif dengan
maklumat digunakan sebagai usaha untuk mencari cara yang sesuai bagi mencapai sesuatu matlamat.
Guru BM perlu mahir mengembangkan pelbagai langkah penyelesaian kepada murid supaya
menggalakkan mereka menggunakan unsur kognitif yang melibatkan proses penaakulan, pembinaan
konsep, penilaian dan penyelesaian masalah. Langkah yang paling asas dan penting bagi
membolehkan penyelesaian masalah ialah perlunya banyak pengalaman yang berbentuk konsep dan
prinsip tentang pelbagai hal. Murid sepatutnya digalakkan menyatakan pendapat mereka dan
pendapat tersebut dihargai demi menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran berfikir
semaksimum yang mungkin.

Kesimpulannya, aplikasi KBAT dalam pengajaran BM mampu membantu murid berfikir secara lebih
mendalam, konsisten, produktif dan berkesan. BM sebagai mata pelajaran teras dalam kurikulum
pendidikan memerlukan usaha guru yang tekal dengan sentiasa memikirkan unsur kreativiti dan
inovasi dalam menyampaikan kandungan pelajaran. Peranan guru BM juga perlu selaras dengan
hasrat dan usaha Kementerian Pendidikan yang telah merancang anjakan dalam meningkatkan mutu
penguasaan BM. Usaha yang berterusan dan peranan yang perlu dimainkan oleh guru BM terutama
dalam meningkatkan KBAT melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu bagi memastikan
objektif kurikulum BM dapat dicapai. Peranan guru BM bukan setakat menyampaikan pengajaran BM
seperti yang terkandung di dalam sukatan pelajaran, tetapi juga menuntut mereka berperanan
sebagai penggerak dan pembuka minda dalam memikirkan unsur yang tersirat di dalamnya.

Anda mungkin juga menyukai