Anda di halaman 1dari 2

JAWAPAN ONLINE FORUM

ESEB4314 – KAEDAH MENGAJAR BAHASA MELAYU

NAMA : WONG CHIN CHAN NO. MATRIK : MC171005220

Jawapan:

Dalam era globalisasi, guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk
seorang pelajar yang cemerlang dan terbilang. Guru diibaratkan sebagai ibu dan bapa
kedua bagi seseorang pelajar sepanjang tempoh persekolahan. Hal ini bermaksud guru
memainkan peranan yang sangat penting untuk mencorakkan masa depan seseorang
pelajar itu. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah yang
dilakukan oleh guru kepada seseorang pelajar dalam menaburkan bakti dan jasa yang tidak
ternilai harganya. Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang
besar dan mendalam dalam diri setiap individu itu. Oleh itu, guru harus menggunakan
pelbagai teknik atau kaedah dalam proses pengajaran dan pembelajar supaya pelajar di
dalam kelas itu tidak berasa bosan dan untuk menarik perhatian pelajar terhadap sesuatu
subjek dan ia juga dapat membantu guru untuk mewujudkan suasana kelas yang aktif dan
menyeronokkan. Saya sebagai guru Bahasa Melayu mempunyai beberapa cadangan
aktiviti yang boleh digunakan dalam kelas. Ayuh kita bincangkan mengenai aktiviti-aktiviti
tersebut.

Aktiviti yang pertama yang boleh digunakan adalah aktiviti main peranan. Aktiviti ini
merupakan salah satu aktiviti yang sering digemari oleh segolongan pelajar kerana aktiviti ini
sangat menarik dan ia dapat mewujudkan suasana kelas yang aktif, dimana semua pelajar
dapat melibatkan diri dalam aktiviti tersebut dan mereka akan berkerjasama antara satu
sama lain untuk menjayakan aktiviti tersebut. Selain itu, melalui aktiviti main peranan, guru
dapat membantu pelajar untuk mempertingkatkan kemahiran pertuturan mereka. Dan ia
juga dapat mengasah bakat lakonan seseorang pelajar dan banyak situasi di luar bilik darjah
dapat ditunjukkan di dalam bilik darjah melalui pengendalian aktiviti main peranan.
Contohnya, semasa proses pengajaran dan pembelajaran subjek Komponen Sastera
(KOMSAS), murid diberikan tanggungjawab untuk memegang sesuatu peranan atau watak.
Kemudian, guru akan memberikan masa untuk murid membuat persediaan. Selepas itu,
murid dikehendaki membuat persembahan dengan memainkan peranan atau watak yang
telah diberikan.

Aktiviti yang kedua adalah aktiviti “Who Am I”. Aktiviti ini merupakan satu aktivti yang
sangat menyeronokkan dan mencabar. Aktiviti sebegini dapat mewujudkan suasana kelas
yang aktif dan semua pelajar akan melibatkan diri secara sukarela apabila aktiviti ini
dilaksanakan di dalam bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini
demikian kerana guru tidak boleh terlalu fokus kepada pengajaran secara tradisional kerana
pelajar akan cepat berasa bosan dan mereka tidak akan memberi tumpuan terhadap proses
pembelajaran. Oleh itu, melalui aktiviti “Who Am I” guru dapat menarik minat dan juga
perhatian pelajar terhadap sesuatu subjek tersebut. Contohnya, guru akan memberikan satu
identiti pada belakang baju pelajar. Kemudian, setiap daripada mereka akan diberikan tiga
soalan sahaja untuk bertanya kepada kawan lain tentang identiti masing-masing. Kemudian,
rakannya pula hanya boleh menjawab “ya” atau “tidak”. Apabila identiti diperolehi hasil
daripada pembayang jawapan yang diberikan oleh rakan, individu tersebut boleh menjadi
“pakar rujuk” kepada rakan lain yang belum mengenalpasti identitinya.
Aktiviti yang ketiga adalah aktiviti mendeklamasikan sajak. Aktiviti ini merupakan satu
aktiviti yang telah dilaksanakan sejak dahulu lagi dalam subjek Bahasa Melayu. Dan kini
aktiviti tersebut dapat sambutan yang baik daripada semua pihak terutamanya dalam
kalangan pelajar sekolah. Aktiviti sebegini dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari
subjek Bahasa Melayu, ia juga dapat mewujudkan suasana kelas yang aktif, dan ia akan
membentuk pelajar yang proaktif di dalam bilik darjah. Jika guru mendapati bahawa pelajar
berasa bosan semasa proses pengajaran, guru boleh melaksanakan aktiviti ini untuk
menghilangkan rasa kebosanan seseorang pelajar itu. Aktiviti ini juga dapat memupuk
perpaduan di antara kaum dan menerapkan nilai murni dalam kalangan masyarakat dalam
mendaulatkan Bahasa Melayu. Contohnya, semasa proses pengajaran dan pembelajaran
Komponen Sastera (KOMSAS), guru boleh mengadakan pertandingan mendeklamasikan
sajak di dalam bilik darjah. Guru akan minta seorang pelajar untuk mendeklamasikan baris
pertama sajak. Kemudian, diikuti oleh rakan pasangannya. Akhirnya, semua murid bersama-
sama mendeklamasikan sajak tersebut secara betul, tepat, dan harmonis.

Aktiviti yang keempat adalah aktiviti “Hot Seat”. Aktiviti ini adalah sangat mudah untuk
dilaksanakan di dalam bilik darjah dan ia mempunyai kelebihan yang tinggi untuk menarik
minat pelajar dan juga untuk mewujudkan suasana kelas yang lebih aktif. Aktiviti ini lebih ke
arah soal jawab. Melalui aktiviti ini juga guru dapat membantu pelajar untuk mengasah bakat
mereka dan juga daya kreativitinya. Aktiviti sebegini sememangnya perlu dilaksanakan
dalam semua bilik darjah kerana ia bukan sahaja dapat mewujudkan suasana kelas yang
aktif, malah ia juga dapat meningkatkan tahap kefahaman seseorang pelajar itu dalam
sesuatu subjek. Aktiviti “Hot Seat” ini boleh dikatakan sebagai aktiviti susulan selepas pelajar
membuat bacaan dan kajian secara individu atau berkumpulan. Kemudian, seorang pelajar
akan duduk di kerusi yang disediakan dan menjadi pakar atau watak. Selepas itu, pakar atau
watak ini akan menjawab segala soalan yang dikemukakan oleh pelajar lain semasa aktiviti
ini berlangsung.

Secara tuntasnya, pihak sekolah dan guru perlu memberi perhatian terhadap minat
pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia akan memberi kesan kepada
pencapaian objektif pembelajaran. Guru perlu bersedia dengan pelbagai kaedah atau
teknik pengajaran yang bersesuaian untuk menarik minat pelajar, mewujudkan suasana kelas
yang aktif, dan juga untuk mengelakkan berlakunya pelajar berasa bosan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran. Akhir sekali, aktiviti-aktiviti yang dinyatakan di atas boleh
memberikan kesan yang baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan ia juga
dapat membatasi masalah kebosanan di dalam kelas.

Anda mungkin juga menyukai