Anda di halaman 1dari 3

Buang fanatik mazhab

ISLAM mengiktiraf perbezaan mazhab dalam bab fikah. Ia sepatutnya membawa rahmat
kepada seluruh penganut agama suci ini. Bagaimanapun, sikap fanatik mazhab terutama
dalam isu berkaitan fikah membawa perpecahan yang besar di kalangan umat Islam.
Perpecahan ini pula memberi ruang yang luas kepada pihak musuh untuk mengalahkan Islam.
Allah mengingatkan kita tentang larangan berpecah belah sesama Islam menerusi firman-
Nya: Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kalian semua, agama yang satu dan
Aku adalah Tuhan kalian, maka bertakwalah kepada-Ku. (al-Mukminun: 52)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual pensyarah (Bahasa Arab) Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Anzaruddin Ahmad bagi
mengupas persoalan fanatik mazhab ini.
Mega: Apakah maksud fanatik atau taksub?
ANZARUDDIN: Ringkasnya, fanatik atau taksub adalah sikap melampau yang dimiliki oleh
seseorang sehingga menyebabkan dia tidak mahu meraikan apa juga pendapat lain yang
berbeza.
Hal ini jelas bertentangan dengan sikap toleransi (tasamuh) yang dianjurkan oleh Islam.
Seseorang yang dihinggapi penyakit fanatik sentiasa mendabik dada dan merasakan hanya
pendapatnya yang selari dengan Islam, pendapat orang lain bukan dari agama.
Menurut Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, sikap fanatik menjadikan seseorang itu berpegang
kepada sesuatu mazhab, ideologi, pendapat bangsa atau kumpulannya secara membuta-tuli.
Dia langsung tidak mahu menerima sebarang perbincangan dengan sesiapa yang berselisih
pendapat dengannya.
Apakah punca taksub ini?
ANZARUDDIN: Menurut al-Syeikh Muhammad al-Ghazali antara punca utama taksub ialah
niat yang salah. Wujudnya penyakit hati yang tersembunyi ini menyebabkan seseorang itu
menjadi sangat keras hati. Malah sentiasa ingin menang dalam berhujah.
Penyakit taksub menjadi punca permusuhan di antara sesama Islam kerana penghidapnya
cuba menyekat orang lain daripada berfikir dan beramal dengan pandangan yang berbeza.
Kongkongan ini akan membantutkan perkembangan ilmu dan kebebasan beramal dalam
perkara khilafiah.
Sedangkan menurut sarjana Islam, Sheikh Muhammad Rasyid Redha, orang yang menghidap
penyakit taksub mazhab tidak dapat menerima bahawa khilaf itu adalah rahmat. Mereka
bersikap melampau dengan mewajibkan orang lain supaya mengikut mazhab mereka sahaja.
Pada masa yang sama, mereka juga mengharamkan orang lain mengikut mazhab yang lain.
Apakah pula celaan terhadap mereka yang mengadakan perbahasan ilmu untuk
kemenangan diri bukannya mencari kebenaran?
ANZARUDDIN: Perbahasan atau perdebatan yang dilakukan semata-mata untuk
memperlihatkan kehebatan berhujah dibimbangi akan membutakan hati sehingga
menyebabkan kita tidak dapat melihat kebenaran.
Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulum al-Din mengatakan: "Ketahuilah bahawa perdebatan yang
bertujuan untuk menang, membesar diri, menonjol diri, kelebihan, kemuliaan serta perhatian
orang lain hanya ingin menconteng arang di muka pihak lain pada masa yang berhasrat
menzahirkan kelebihan serta kebaikan diri sendiri di mata manusia merupakan punca segala
keburukan akhlak di sisi Allah SWT. Penyakit ini sangat disukai oleh iblis".
Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali. Penyakit ini kadang-kadang
membawa kepada sikap mencari-cari kelemahan para ulama. Kita perlu menerima bahwa
para ulama juga manusia biasa yang bukan maksum.
Bagaimanapun, itu bukan bermakna kita diberi keizinan membuka aib mereka dengan
menjaja kesilapan- kesilapan yang mereka lakukan.
Di negara kita, isu seperti perbezaan rakaat solat tarawih dan qunut pada solat subuh
masih menjadi polemik di sesetengah tempat. Apakah keutamaan akhlak dalam hal
sebegini?
ANZARUDDIN: Islam tidak pernah melarang para ulama berfatwa dan mengeluarkan
pandangan. Namun, Islam sentiasa mensyaratkan agar persaudaraan sesama umatnya sentiasa
terpelihara. Pembuatan fatwa dan pelaksanaannya mesti sentiasa mengambil kita persoalan
akhlak agar manfaat daripada produk fikah yang dikeluarkan oleh para ulama berkekalan dan
mudarat daripada perpecahan dapat dielakkan.
Kita perlu sedar bahawa fikah hanyalah interpretasi para ulama terhadap al-Quran dan
sunnah. Oleh itu tarafnya tidak sama dengan al-Quran dan sunnah. Disebabkan interpretasi
bersifat ijtihad, maka terhasil pelbagai pendapat yang berbeza-beza.
Sheikh Islam Ibn Taimiyyah mengatakan: "Sesuatu perbuatan itu kadangkala sunat dilakukan
dan adakalanya digalak untuk ditinggalkan mengikut maslahatnya berdasarkan dalil-dalil
syarak.
"Seseorang Muslim kadang-kadang digalak meninggalkan sesuatu perbuatan sunnah kerana
apabila ia dilakukan, maka kerosakan (mafsadah) yang timbul lebih besar daripada maslahat
yang diperolehi".
Mengenai membaca qunut pada solat subuh mari kita lihat kisah yang berlaku pada zaman
Atba' al-Tabien yang melibatkan al-Imam al-Syafie.
Dikhabarkan pada suatu hari, Imam al-Syafie mengimami solat subuh di sebuah masjid di
Baghdad yang majoriti makmumnya adalah pengikut Imam Abu Hanifah.
Dalam solat subuh itu, Imam Syafie tidak melakukan qunut sehinggakan pengikut Imam
Hanifah bertanya, "kenapa tuan tidak qunut?" Imam Syafie menjawab: "Aku menghormati
penghuni kubur di situ".
Kebetulan kubur Imam Abu Hanifah tidak jauh dari masjid tersebut. Maka, demi
menghormati Abu Hanifah, Imam Syafie tidak membaca qunut.
Apa yang dilakukan oleh Imam Syafie bukanlah contoh penukaran fatwa (daripada qaul
qadim kepada qaul jadid) tetapi adalah aplikasi beliau terhadap kaedah fiqh yang masyhur
iaitu menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada menarik kemaslahatan.
Maknanya, apabila bertembung antara keburukan dengan kebaikan maka wajib menolak
keburukan sekalipun tindakan tersebut akan menghilangkan manfaat.
Tentang bilangan rakaat solat tarawih, mari kita hayati kisah yang berlaku pada zaman Sheikh
Hasan al-Banna.
Diceritakan bahawa pada satu malam Ramadan, al-Banna masuk ke sebuah masjid ketika
orang ramai sedang bertengkar mengenai jumlah rakaat tarawih. Satu kelompok mengatakan
ia 11 rakaat, satu lagi cenderung kepada 23 rakaat.
Al-Banna lalu bertanya kepada kelompok yang berpegang kepada 11 rakaat, "menurut kamu
apakah hukum solat tarawih?" Mereka menjawab, "sunat".
Kepada kelompok yang cenderung 23 rakaat juga diajukan soalan yang sama. Lalu mereka
juga memberi jawapan yang sama iaitu sunat.
Kemudian al-Banna bertanya lagi: "Apa hukumnya bertengkar sesama umat Islam di dalam
masjid?" Mereka sepakat menjawab: "Haram".
Al-Banna kemudian menyedarkan mereka, "mengapa kamu melakukan yang haram hanya
kerana ingin mempertahankan yang sunnah?"
Apa yang dilakukan oleh al-Banna adalah aplikasi pemahaman beliau terhadap fiqh
aulawiyat (keutamaan). Peristiwa ini membuktikan betapa al-Banna adalah seorang
pendakwah merangkap pemimpin gerakan Islam yang bukan sekadar mahir tentang fiqh
keutamaan tetapi juga mahir dalam menentukan pada masa bila dan di mana sesuatu fatwa itu
sesuai diamalkan.
Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam untuk merungkai permasalahan ini?
ANZARUDDIN: Umat Islam mesti meninggalkan fanatisme terhadap mana-mana individu
atau mazhab. Sikap sebegini hanya akan melahirkan kedegilan dalam mempertahankan
kesalahan dan menolak kebenaran yang akan berakhir dengan perpecahan.
Perbezaan pendapat (ikhtilaf) dalam perkara furu' (cabang) tidak sepatutnya menjadi sebab
perpecahan dalam agama lebih-lebih lagi membawa permusuhan dan kebencian.
Sikap fanatik adalah barah kepada pemikiran umat Islam. Kerananya, para pengikut mazhab
yang berbeza saling bercakaran dan bertindak melampau dengan mengkafirkan antara satu
sama lain.
Paling menyedihkan ialah sikap fanatik mazhab itu mengorbankan ribuan nyawa dalam
kalangan umat Islam. Mereka bukannya syahid pada jalan Allah kerana mempertahankan
tanah umat Islam daripada penceroboh luar tetapi sebaliknya terkorban kerana berbunuhan
sesama sendiri dalam mempertahankan mazhab fiqh masing-masing.
Hidup ini terlalu mahal untuk dibayar dengan perpecahan yang terlalu singkat untuk
dihabiskan dengan perdebatan yang tidak bermanfaat. Alangkah indahnya jika hidup yang
mahal ini kita tebus dengan persatuan yang dilandasi semangat ukhuwah yang tinggi dan
perasaan saling mencintai.

Anda mungkin juga menyukai