Anda di halaman 1dari 10

Mengapa tauhid tiga serangkai?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan
akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh
terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy ari r.a

dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a. Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah
Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim.

Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulama di Tanah Melayu.

Antara kenyataannya berbunyi: Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang
bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam,
kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab
dengan mazhab al Imam al Syafi e r.a ijma an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain
daripada mazhab Syafi e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy ari r.a. Diambilkan
dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab
Melayu .

Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan.
Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan
akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco.

Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam
terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini diguna pakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan
beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan
yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan
sebagainya.

Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan
akidah ASWJ yang tulen.

Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga
kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia
diambil dari Falsafah Greek.

Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid.
Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah
menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan
negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.
Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran
ilmu tauhid di negara kita? Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang
mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?

Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil
yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan
doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil
dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan
sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama
kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?

Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang
dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat
baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah
dan Wahhabi ini.

Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al
Asy ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam
ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan
dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul
Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara
khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang
diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.

Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak
butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju
mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta
oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi
kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?

Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan
kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:
*Al Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis
Ulama Besar al Azhar.

Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah.
Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan
lidah rasmi al Azhar pada masa itu.

Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya
sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam
beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al
Muhaddith al Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa
ini dalam majalah tersebut.

*Al Muhaddith al Allamah Sheikh Salamah al Qudha i al Azzami al Syafi i r.a dalam
kitabnya al Barahin al Sati ah fi Raddi b ad al bida al Syai ah.

Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu
al Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama
besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya
oleh ulama pada zaman ini.

Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau
menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi
pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang
diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk
al Ghuluw.

*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu ah.

Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang
dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk
kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam
golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid
uluhiah.

Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa


pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi
orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak
mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah
dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

*Prof. Dr. Muhammad Sa id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria.
Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar
Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16
hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal
Islam Dubai.

Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang
bertajuk al Fath al Mubin fi Bara at al Muwahhidin min Aqaid al Musyabbihin.

*Al Allamah Abu Abdullah Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin.

Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

*Al Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi i, ulama besar
Mekah.

Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah
Taala an al Tasybih.

*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis
risalah mengenainya.

*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang
ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan
bukannya iktikad ASWJ.

Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan
untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah,
orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa
dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

*Al Allamah Muhammad al Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al
Haram.

Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara ah al Asy ariyyin
min Aqaid al Mukhalifin.

*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif
Universiti al Azhar.

Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar
Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos
2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti
Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008.

Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu
Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor.

Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk
Kalimah Hadi ah fi Bayan Khata al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang
dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani.

Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al
Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.

Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga
serangkai ini.

Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari
kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di
khalayak ramai.

Asas sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan
tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela
semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan
kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya,
keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.

Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian


tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-
wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang
melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak
bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama
dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.

Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang
yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki
tauhid uluhiah?
Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau
ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW
makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain
kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan
Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati
yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah
bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam
yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja
ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut
kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.

Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita
sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah
mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan,
Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini.
Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan
profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang
sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid
ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al
Haramain al Allamah Ibnu al Arabi al Tabbani bertajuk Bara ah al Asy ariyyin. Ia telah
diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani al Himyari, Mantan Pengarah
Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk al Fath al Mubin fi
Bara at al Muwahhidin min Aqaid al Musyabbihin.

16/11/2009
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1116&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.h
tm#ixzz4v4tUE3xg
Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 07/12/2009

Tauhid uluhiah dan rububiah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN


SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Menyorot ruangan Relung Cahaya minggu


lepas, kita telah pun mempersoalkan dan
membincangkan secara ringkas tentang sumber
tauhid tiga serangkai ini.

Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa


pembahagian tauhid kepada tiga ini tidak
mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak,
maka pada minggu ini kami ingin mengajak Syarat sah syahadat kita adalah mengucap dengan lisan, membenarkan
pembaca menghalusi lagi penelitian tentang dengan hati dan beramal dengan anggota.

permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah


dan kebatilan akan terpadam.

Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid kepada tiga, maka kami
ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat perbezaan di antara tauhid uluhiah dan
rububiah?

Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang jawapan ringkas
melalui e-mel yang kami terima daripada seorang pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.

Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada
minggu lepas.

Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah seperti yang dapat
dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh
ulama ahli sunnah.

Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra' (telaah) atau
pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.

Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk dengan rapi dan betul kepada
sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.

Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami
sebutkan, insya-Allah.
Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini bererti tidak bertafaqquh terhadap
kitab Allah, tidak mengetahui kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui
sebahagian yang lainnya.

Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang sepatutnya kami peroleh
daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh dengan kitab Allah?

Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang mengingkari tauhid tiga ini
dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para
sarjana yang telah saya sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?

Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam, mempunyai ulama dan
tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab Allah? Bagaimana pula dengan Mufti
Mesir yang telah menafikan dengan lantang perkara ini di dalam fatwanya?

Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini, ia telah kami rujuk di
dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan kemas di perpustakaan kami.

Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan
untuk menyertakannya.

Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.

Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin nyatakan di sini
bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-
pengikutnya telah menyatakan bahawa:

1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang
mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.

2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul,
beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.

Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan),
beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang
musyrik kerana tidak memiliki tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang
ditawassulkan.

Kenyataannya berbunyi: "Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan
tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang". (Risalah Ahli al Suffah H: 34.)

"Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak
termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang
lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT".
Mereka juga menyatakan: "Sesungguhnya orang-orang Islam yang bertawassul dan
beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh serta bertabarruk dengan mereka (para
nabi dan orang-orang soleh), adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada
kekufuran Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain". (Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).

Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di dalam kebanyakan kitab-kitab
berkaitan pembahagian tauhid ini di Malaysia.

Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan. Tetapi jika kita merujuk
kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul Wahhab dan pemuka-pemukanya,
kenyataan ini banyak ditulis di dalam kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita
dapati dari pembahagian tauhid ini.

Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang telah lama memakai tauhid
ini berlaku pergolakan, perpecahan dan pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan
dan menghalalkan darah umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.

Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada Empayar


Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika dahulu. Insya-Allah,
perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan datang.

Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan dengan dalil-dalil syarak dan
telah diketahui secara dharuri di sisi ulama.

Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini, maka soalan ini dijawab:
Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan serta tidak menerima
sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada hamba-hamba-Nya, melainkan akidah
tauhid yang tulus dan suci kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah,
diiktikad dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan kalimah
(Laa Ilaaha Illallah).

Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.

Adakah orang kafir ahli tauhid?

Terhadap pendapat yang menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman
adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan para Rasul a.s tidak diutuskan melainkan dengan
tauhid uluhiah.

Jawabnya: Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu
kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas al-
Quran dan sunnah.
Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang
terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.

Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan
bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.

Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada
berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di
antara dua keadaan (tauhid dan kufur).

Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan tauhid rububiah tidaklah
benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.

Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.

Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir sebagai ahli tauhid dan
menganggap orang Islam yang telah mengucapkan kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.

Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun. Ibadah Abu Darda' r.a yang
paling utama selepas melaksanakan kefarduan ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai
kepada hakikat suatu perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.

Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu yang halus, tipu daya
dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih berwaspada dengannya.

Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bica
ra_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4v4vK4nbt
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai