Anda di halaman 1dari 3

Mengenali Jati Diri Mengenali Akhlak

Posted by Mrbelia on 10:44 AM, 15-Apr-11 Under: Buletin Utama

Jati diri ini adalah istilah baru. Dahulu, istilah ini tidak ada digunakan. Ramai orang merasakan mereka faham apa maksud jati diri tetapi kalau di-minta untuk menerangkannya, mereka kurang yakin. Ramai orang keliru dengan istilah jati diri ini. Di zaman sebelum dan sejurus selepas merdeka (1957), para remaja lebih terpelihara dan tidak terlalu terdedah kepada pengaruh-pengaruh negatif yang merosakkan. Pengaruh negatif ketika itu tidaklah terlalu berleluasa seperti sekarang ini. Para remaja masih kuat berpegang kepada adat resam ketimuran dan ajaran agama. Mereka sedikit sebanyak masih mempunyai jati diri. Dua puluh hingga tiga puluh tahun kebelakangan ini lain pula ceritanya. Dengan konsep langit terbuka dan dunia tanpa sempadan (borderless world) pengaruh negatif datang bertali arus dan jati diri para remaja merosot dengan teruknya. Mereka hilang ketahanan jiwa. Mereka mudah terpengaruh dan terjebak dengan segala macam kerosakan, maksiat dan budaya kuning. Mereka mudah hanyut mengikut arus. Mereka tidak ada pegangan dan pendirian. Mereka tidak mampu menangkis pengaruh yang jahat dan merosakkan. Mereka sukar membezakan yang baik dengan yang buruk. Selalu sahaja mereka terpengaruh dan terjebak dengan yang jahat dan buruk. Pandangan mereka tidak jauh. Mereka hanya nampak apa yang di hadapan mata. Itulah yang mereka gila-gilakan dan besar-besarkan walaupun perkara itu akan memusnahkan kehidupan mereka jangka panjang. Penglibatan remaja dengan maksiat, gejala sosial dan dadah yang berlaku di Malaysia hari ini ada pertalian rapat dengan kemerosotan dan kelemahan jati diri para remaja. MAKSUD JATI DIRl Jati diri orang akal Maksud jati diri ini terpulang kepada fahaman orang yang menyebutnya. Bagi orang akal, jati diri ini ialah keteguhan, ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental. Bagi orang akal, jati diri ialah fizikal dan mental yang tahan dan lasak. Kedua-dua kekuatan ini dikatakan perlu untuk mencapai segala cita-cita dalam hidup yang mencakupi berbagai bidang. Hendak keliling dunia dengan bot layar, hendak panjat gunung Everest atau hendak berenang melintasi Selat Inggeris, ini semuanya perlukan jati diri yang teguh dan padu. Begitu juga untuk berjaya dalam pelajaran, dalam perniagaan, dalam perusahaan, dalam kepimpinan, dalam kerjaya dan sebagainya, semuanya memerlukan jati diri. Iaitu ketahanan, keteguhan dan kelasakan fizikal dan mental untuk menuju kepada sesuatu pencapaian dan kejayaan. Sebab itu cara orang akal membina jati diri ialah dengan melatih fizikal dan mental di kemkem latihan jati diri supaya kedua-duanya menjadi teguh dan kuat. Ini kata mereka akan meningkatkan kemampuan dan ketahanan fizikal dan mental seseorang. Jati diri bagi orang akal hanya bertujuan untuk mencapai kepentingan dan kejayaan duniawi semata-mata. Kadang-kadang dalam hendak mencapai jati diri ini berbagai kegiatan yang melalaikan dan maksiat dilakukan termasuk berpesta-pesta, camp-fire, pergaulan bebas lelaki perempuan dan sebagainya. Sembahyang tidak dititikberatkan. Soal iman, soal akhlak dan kemurnian hati tidak diambil kira. Hasilnya, remaja dan muda-mudi mungkin bertambah kuat membuat kerja-kerja lahir tetapi akhlak dan keperibadian mereka rosak. Mereka semakin jauh dari agama dan semakin jauh dari Tuhan. Jiwa mereka lemah dan mudah jinak dan terpengaruh dengan maksiat dan kemungkaran.

Jati diri orang agama Jati diri bagi orang agama atau orang rohani lain pula maksudnya. Jati itu pada bahasa membawa maksud murni. Dalam konteks ini, ia juga membawa maksud keteguhan seperti kayu jati yang kuat dan teguh hingga boleh diukir tanpa ia patah. Kayunya pun tahan lama, tidak lapuk dan tidak dimakan anai-anai atau bubuk. Perabot yang diperbuat dari kayu jati tahan dan boleh digunakan turun temurun. Diri itu bukan pula fizikal atau mental (akal) manusia sahaja. la adalah hakikat diri manusia itu sendiri iaitu hatinya atau jiwanya atau rohnya. Yang dikatakan diri manusia itu ialah hatinya. Oleh itu, bagi orang agama, jati diri itu bermaksud keteguhan atau ketahanan hati atau keteguhan jiwa. Inilah maksud jati diri yang sebenarnya. Oleh itu, jati diri yang sebenarnya seperti yang difahami oleh orang agama bukan sahaja setakat kekuatan fizikal dan mental. la termasuk juga keteguhan hati, roh atau jiwa. Jati diri bagi orang agama bertujuan untuk meneguh dan menguatkan jiwa supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang melalai dan merosakkan. la bertujuan untuk mencapai kemurnian hati demi untuk menempah kejayaan dan keselamatan di dunia dan di Akhirat. Orang yang mempunyai jati diri ialah orang yang kuat rasa bertuhan dan kuat berpegang kepada agama. Dia tegas dan berprinsip. Sentiasa di atas jalan yang benar dan lurus. Dia tidak mudah terpengaruh dengan keadaan dan suasana yang rosak. Menguatkan fizikal itu mudah. Menguatkan mental lebih rumit sedikit tetapi boleh juga dikira mudah. Tetapi menguatkan hati atau jiwa itu amat sulit dan amat rumit. Tidak semua orang faham akan tuntutan-tuntutan dan liku-likunya, jauh sekali mampu melaksanakannya. la perkara yang halus dan seni yang melibatkan soal roh dan hati. la bidang yang khusus untuk orang yang khusus. Bukan semua orang boleh memahami dan melakukannya. a. Menguatkan fizikal Dalam menguatkan fizikal, cukuplah dengan menjaga beberapa perkara yang melibatkan hal fizikal. Makan minum contohnya kenalah secara sederhana dan pada waktunya. Jangan makan terlalu banyak dan jangan terlalu sedikit. Makanlah makanan yang berkhasiat. Kunyah makanan sampai lumat sebelum ditelan. Kerehatan kena dijaga. Tidur biar cukup. Jangan terlalu banyak tidur. Jangan pula terlalu kurang. Tidurlah di waktu qailullah (lebih kurang satu jam sebelum Zuhur) dan selepas waktu Isyak di waktu malam. Jangan tidur selepas waktu Asar dan Subuh dan di waktu selepas makan. la merugi dan memudaratkan. Kebersihan lahir perlu dijaga dari najis, kekotoran dan fudhul (hasil rembesan badan yang kotor) seperti peluh, daki tahi gigi, tahi hidung, tahi telinga, tahi kuku dengan istinja, mandi, berus gigi, potong kuku dan sebagainya. Jaga kebersihan rumah dan persekitaran. Buat latihan fizikal dan beriadhah terutama dengan cara yang digalakkan oleh Islam seperti bertani, mengembara, menunggang kuda, berenang, memanah dan lain-lain lagi. b. Menguatkan mental Dalam menguatkan mental pula cukup dengan belajar ilmu dan menimba pengalaman. Ilmu termasuklah ilmu fardhu ain, ilmu fardhu kifayah dan ilmu yang harus. Ini boleh dilakukan dengan belajar, membaca dan bermuzakarah. Kita boleh menimba pengalaman dalam berbagai bidang hidup seperti masyarakat, iklim, ekonomi, kebudayaan, adat istiadat dan sebagainya dengan mengembara, membuat kajian, melihat, memerhati dan meneliti segala kejadian di sekeliling kita dan berkongsi pengalaman dengan orang lain dengan mendengar dan membaca.

c. Menguatkan jiwa Usaha untuk menguatkan jiwa, hati atau roh adalah lebih rumit. la dibangunkan dengan ilmu, iman dan taqwa. Dengan menguatkan aqidah dan pegangan kepada Tuhan. Dengan membina jiwa tauhid. la bukan setakat percaya pada Tuhan tetapi mesti ada rasa cinta dan takut pada Tuhan. Mengetahui bahawa Tuhan ada peranan dalam hidup. Merasakan bahawa diri itu hamba dan menanam segala sifat-sifat hamba di dalam hati. Mengamalkan dan menghayati syariat hingga ia benarbenar berkesan di jiwa. Jati diri yang sebenar adalah ketahanan hati bukan kekuatan fizikal ataupun kekuatan mental semata-mata. Jati diri adalah kekuatan jiwa dan keteguhan hati. la adalah ukuran kekuatan seseorang manusia. Tanpa jati diri bererti tidak ada ketahanan jiwa. Jiwa jadi rapuh, reput dan lemah. Jiwa akan diserang dan dihinggapi oleh berbagai-bagai penyakit. Sifat-sifat dan pengaruh yang negatif mudah masuk ke dalam hati dan merosakkannya. Jiwa tidak ada pertahanan dan terdedah kepada bahaya. Akhirnya, manusia hanyut dari hak dan kebenaran dan terperangkap dalam kelalaian dan kebatilan. Mereka tersasar dari jalan yang lurus. Mereka menjadi renggang dengan agama dan renggang dengan Tuhan. Inilah titik tolak bagi kemusnahan dan kehancuran hidup manusia. Menguatkan jiwa manusia bukan kerja semua orang. Tidak semua orang mampu melakukannya. Orang yang hendak melakukannya mestilah terlebih dahulu mempunyai jiwa yang kuat dan kuat pula hubungan dan pautan hatinya dengan Tuhan.

http://mrbelia.pun.bz/mengenali-jati-diri-mengenali-akhlak.xhtml

Anda mungkin juga menyukai