Anda di halaman 1dari 13

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 62

UNIT 5 LARAS, RAGAM DAN MUZIK BAHASA

HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir unit ini, anda diharapkan dapat: 1. 2. 3. 4. Memahami konsep laras dan ragam bahasa Memahami jenis-jenis laras dan ragam bahasa Menghuraikan perbezaan laras dan ragam bahasa. Menghuraikan pengertian dan contoh muzik bahasa

Pengenalan

aras bahasa dimaksudkan dengan penggunaan bahasa mengikut bidang penggunaan, sama ada bidang sains, ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan lain-lain. Pada hakikatnya, laras bahasa membayangkan konteks penggunaan bahasa yang berdasarkan hubungan, bidang dan wahana. Jika sesuatu laras itu diteliti berdasarkan bidang, maka laras tersebut ditandai oleh dua ciri sahaja, iaitu istilah-istilah yang mewakili bidang itu dan juga gaya pengungkapannya atau phraseology (Asmah Haji Omar, 1983). Definisi Laras Nik Safiah Karim (1982: 629) menyatakan laras bahasa bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud sesuatu variasi bahasa yang boleh dipilih daripada sekumpulan variasi yang ada pada bahasa tersebut. Abdullah Hassan (1997: 248) pula menyatakan laras ialah ciri gaya penceritaan yang istimewa digunakan untuk sesuatu jenis bidang. Ciri-ciri istimewa itulah yang membolehkan kita segera dapat menjangka apa-apa yang menjadi topik atau tajuk utama sesuatu teks sebaik-baik sahaja kita membaca ayat pertama. Malah, laras adalah unsur bahasa, bukan unsur makna. Maksudnya, laras yang sama boleh diungkapkan menggunakan beberapa laras. Ure dan Ellis (1977) pula menjelaskan laras sebagai pola penggunaan bahasa yang lazim digunakan dalam keadaan tertentu. Edward A.D. (1969) menyatakan laras sebagai bentuk bahasa yang khusus untuk situasi tertentu dan dapat dibezakan daripada bentuk yang digunakan dalam situasi lain, manakala Trudgill (1974) menganggap laras sebagai satu bentuk bahasa khusus yang wujud daripada keadaan sosial.

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 63

Hymes dan Gumperz (1980: 216) mendefinisikan laras sebagai gaya percakapan dalam situasi tertentu. Jika laras berbeza, maka situasi pun turut berbeza, begitu juga sebaliknya. Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa laras bahasa adalah penggunaan bahasa yang ditandai oleh ciri-ciri khusus dan setiap laras berbeza mengikut bidang penggunaannya. Aspek Kajian Laras Bahasa Sesuatu laras bahasa boleh dianalisis dari segi: a. Ciri-ciri Keperihalan b. Ciri-ciri Linguistik Ciri-ciri Keperihalan Ure dan Ellis (1977) membahagikan siri keperihalan kepada dua, iaitu situasi luaran dan situasi persekitaran. Situasi luaran bermaksud latar belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan cara hidup yang menentukan perlakuan sesuatu anggota masyarakat. Situasi persekitaran pula mencakupi aspek-aspek yang terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa. Terdapat banyak aspek persekitaran yang dapat menghasilkan kemunculan laras bahasa yang berlainan, iaitu: a. Cara penyampaian: bentuk perhubungan yang digunakan, termasuklah jenis bahasa, peserta yang terlibat dalam sesuatu peristiwa dan jangka masa penggunaan bahasa itu. b. Perhubungan Sosial dan Peribadi: perhubungan sosial dimaksudkan sebagai perhubungan yang berlaku antara penerbit dan pembaca akhbar, buku, majalah atau media lain. Perhubungan pula ialah perhubungan antara individu secara terus. Dalam perhubungan peribadi, iaitu ganti diri seperti aku, engkau, kamu, awak dan lain-lain digunakan. c. Bahan yang Diperkatakan: sesuatu perkara atau bahan yang diperkatakan menggunakan laras bahasa yang berbeza, yang juga bergantung kepada isi yang hendak disampaikan. Perkara yang dibincangkan berkisar daripada perkara yang umum kepada perkara yang abstrak dan kompleks. d. Fungsi Sosial Perlakuan Bahasa: bahasa diperlukan untuk melaksanakan atau mewujudkan peristiwa dan keperluan tertentu. Misalnya, bahasa digunakan untuk menyatakan maksud atau perasaan, bahasa digunakan dalam upacara tertentu seperti pertunangan, perkahwinan, bahasa yang digunakan dalam arahan, memujuk dan sebagainya. Dalam setiap situasi sosial, terdapat penggunaan bahasa, peserta yang terlibat, dan fungsi peristiwa tersebut dalam sesuatu masyarakat.

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 64

Ciri-ciri Linguistik Penganalisisan sesuatu laras dari sudut linguistik boleh diteliti daripada beberapa matra (dimensi). Dari satu segi, ciri-ciri linguistik dilihat berkait rapat dengan faktor sosial, seperti latar belakang orang yang menulis atau bercakap, hubungan penulis dengan pembaca atau pendengar dengan topik yang dibicarakan. Dari segi yang lain, sifat-sifat bahasa itu sendiri yang bersifat luwes dan pragmatis memungkinkan wujudnya aspek-aspek kehadiran dan ketidakhadiran sesuatu ciri, kekerapan, kehadiran dan suasana struktur tertentu. Terdapat beberapa aspek yang boleh diteliti dari segi linguistik, iaitu aspek leksis, tatabahasa, gaya bahasa dan kohesi. Faktor-Faktor Kewujudan Laras Bahasa Laras ialah bentuk bahasa yang wujud akibat situasi sosial yang berlainan. Dalam konteks ini, terdapat faktor yang mewujudkabn sesuatu laras bahasa, iaitu: i. ii. iii. iv. v. vi. Bangsa Jantina Status Sosial Pendidikan Kerjaya/Profesion Bidang/Disiplin ilmu

Faktor-faktor Kewujudan Kepelbagaian Laras Kepelbagaian laras bahasa yang wujud dalam sesuatu bahasa ditentukan oleh beberapa faktor. Mengikut Dell Hymes (1966), faktor-faktor yang mewujudkan kepelbagaian laras ialah: i. ii. iii. iv. v. vi. Formula Penerima Bentuk Mesej Cara Penyampaian Jenis Bahasa Latar

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 65

Jenis-jenis Laras Bahasa Abdullah Hassan (1997: 248) membahagikan laras kepada beberapa jenis, iaitu: 1. Laras Umum Laras digunakan untuk menerangkan sesuatu topik khas kepada pembaca atau pendengar yang bukan pakar dalam bidang tersebut. Ciri-ciri laras umum ialah: tidak mengandungi istilah teknikal menggunakan ayat yang berstruktur mudah tidak banyak menggunakan kata atau perkataan pinjaman

Laras umum digunakan dalam semua jenis media seperti radio, televisyen, surat khabar, majalah, surat berita, buletin dan seumpamanya. Contohnya:
Kuala Lumpur, Isnin Selaras dengan perkembangan sekeliling, Universiti Malaya (UM) telah memantapkan misinya untuk menjadi sebuah pusat pembelajaran dan penyelidikan unggul, bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan manusia dan penciptaan pengetahuan, tetapi juga terhadap penciptaan kekayaan dan pembangunan Negara. Bagi memenuhi misi ini, UM telah melakukan penstrukturan semula organisasi dan program akademiknya.

2.

Laras Teknikal

Laras teknikal digunakan oleh para pakar untuk berkomunikasi dengan pakar lain yang sebidang. Misalnya, seorang arkitek bercakap dengan arkitek yang lain tentang reka bentuk bangunan. Laras teknikal juga bermakna semua jenis teks dalam semua jenis bidang kepakaran, sama ada dalam bidang sains tulen (matematik, kimia, fizik dan lain-lain), sains sosial, muzik dan kepakaran yang lain. Ciri-ciri laras teknikal ialah: Banyak mengandungi istilah khusus dalam bidang tertentu. Mengandungi ilustrasi (gambar, rajah, jadual, graf, peta, simbol dan lain-lain). Struktur ayat mengandungi subjek dan penerang Mengandungi ayat yang mendefinisikan makna istilah Tidak banyak mengandungi unsur bahasa perlambangan dan bunga-bunga bahasa Tidak mengandungi ayat-ayat yang boleh ditasfirkan dengan pelbagai makna dan cara.

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 66

Laras ini digunakan dalam buku teks, jurnal, laporan dan penerbitan persatuan-persatuan profesional. Contohnya:
Morfologi merupakan satu bidang pengkajian yang mengkaji pembentukan kata. Perkataan morphology itu sendiri berasal daripada bahasa Latin, morphe yang bermaksud bentuk. Morfologi merupakan kata yang mengisi struktur sintaksis dalam sesuatu ayat. Justeru itu, bidang morfologi merupakan suatu bidang pengkajian yang mengkaji struktur binaan kata, sebagaimana juga bidang sintaksis yang merupakan suatu bidang yang mengkaji binaan sesuatu ayat.

3. Laras Undang-Undang Laras undang-undang ialah sejenis laras teknikal tetapi mempunyai ciri kelainan yang tersendiri, iaitu: Tidak mengandungi gambar, gambar rajah, graf, jadual, simbol, peta dan lain-lain. Struktur ayatnya terdiri daripada prinsip undang-undang, diikuti oleh syarat-syarat dan diakhiri dengan keputusan undang-undang. Terdapat bentuk frasa sendi nama yang tidak digunakan dalam teks teknikal yang lain.

Laras undang-undang digunakan oleh pakar perundangan, termasuk peguam, hakim dan pendakwa apabila mereka menulis dan bercakap tentang undang-undang. Contohnya:

Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

4.

Laras Agama Dimaksudkan dengan apa-apa teks yang diungkapkan menggunakan laras agama boleh jadi perkara agama, bukan agama atau apa-apa jenis agama.

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 67

Ciri-ciri laras agama ialah: terdapat unsur bahasa klasik, terutama pada kosa katanya. terdapat istilah agama yang khusus bagi sesuatu agama. banyak mengandungi bentuk cerita, kias dan ibarat.

Laras agama digunakan untuk menerangkan apa-apa tajuk bagi tujuan keagamaan. Contohnya:

Imam Nawawi berkata bahawa sanadnya sah. Ibnu Hazmin tawaqquf tentang sah atau tidaknya hadis tetapi ia berkata pula: Hadis ini sekalipun tidak dapat digunakan sebagai dalil, tetapi tidak ada hadis lain dalam soal qunut itu yang diterima dari Nabi s.a.w. Jadi meskipun dhaif kedudukannya, bagi kami masih lebih baik daripada pendapat manusia. Tentang ini kami sependapat dengan Ibnu Hanbal. Petikan: Fikih Sunnah, Jilid 2, hlm. 37.

5. Laras Klasik Laras klasik terdapat dalam karya-karya Melayu lama, seperti dalam hikayat dan kitab-kitab kuno. Dengan kata lain, laras klasik ialah bahasa Melayu lama. Contoh karya lama seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Ciri-ciri laras klasik ialah: teks asal ditulis dalam tulisan Jawi. tidak menggunakan tanda baca, tidak menggunakan perenggan. banyak menggunakan struktur ayat pasif. terdapat penggunaan kata praklausa atau kata pembuka ayat yang tidak digunakan lagi dalam bahasa Melayu moden, seperti arakian, sayugia, hatta, kalakian, empunya, persetua dan lain-lain. Mengandungi kosa kata bahasa istana. Tidak terdapat imbuhan asing untuk pembinaan istilah sains dan teknikal seperti dalam bahasa Melayu moden, contohnya eka, dwi, mono, bi-, pra dan lain-lain.

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 68

Contoh Laras Klasik


Hatta berapa antaranya, maka rangga dan Raden Aria pun datanglah dari benua Keling itu. Maka dipersembahkan oranglah kepada Seri Betara mengatakan Raden Aria dan rangga sudah datang. Petikan: Kassim Ahmad (1971) Hikayat Hang Tuah, hlm, 106.)

6. Laras Kreatif Laras kreatif digunakan dalam karya kreatif, sama ada dalam bentuk prosa (cerpen, novel), puisi (pantun, sajak, syair, gurindam dan lain-lain) drama (pentas, radio, televisyen, filem), dan peribahasa. Ciri-ciri laras kreatif ialah: Menggunakan struktur ayat aktif dan ayat pasif. Menggunakan bentuk dialog (kata bual), misalnya dalam skrip drama. Menggunakan bahasa perlambangan dan kiasan. Bersifat kreatif-imaginatif, menggunakan bunga-bunga bahasa atau bahasa hiasan. Tidak terdapat ciri-ciri khusus bahasa teknikal dan penggunaan ilustrasi seperti rajah, jadual, carta, peta, gambar dan lain-lain. Terdapat unsur ambiguiti (ketaksaan) dari segi penggunaan kata dan penggunaan struktur ayat. Terdapat penyimpangan (deviasi) dari segi fonologi,morfologi atau sintaksis. Menggunakan alat-alat stilistik untuk tujuan menimbulkan kesan, misalnya menggunakan unsur imejan. Contoh Laras Kreatif Binatang buas mengelilingi mereka hendak menerkam. Serigala mendongak ke langit, menyalak panjang dan bunyinya berkalakala, mengecutkan hati dan meremangkan bulu roma. Lendir daripada mulut serigala itu meleleh daripada celah gigi masingmasing, pekat dan terjurai ke bawah. Petikan: Arena Wati , Parita (1993), hlm. 255.

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 69

7.

Laras Bahasa Kanak-Kanak Laras bahasa kanak-kanak ialah laras yang dituturkan oleh kanak-kanak dan laras yang digunakan untuk menghasilkan bahan bacaan atau untuk pendengar kanak-kanak. Bahan-bahan seperti buku dan majalah untuk kanak-kanak serta siaran radio dan televisyen untuk mereka menggunakan laras ini. Ciri-ciri laras bahasa kanak-kanak ialah: kosa katanya terdiri daripada kata akar, kata nama konkrit, kata kerja dan kata adjektif. bilangan atau jumlah kurang berbanding dengan kosa kata orang dewasa. bilangan imbuhan yang digunakan agak terhad, malah imbuhan yang digunakan untuk membentuk kata abstrak tidak terdapat dalam laras ini. struktur ayat yang banyak digunakan ialah struktur ayat aktif bentuk tunggal. bahasa perlambangan tidak gunakan; begitu juga bentuk-bentuk bunga bahasa.

Contoh Laras Bahasa Kanak-Kanak

Sebelum tidur, nenek menghidangkan susu panas. Kamu berdua mahu dengar cerita tak? Nenek ada satu cerita yang bagus, kata nenek Kiti. Cerita apa, nenek? tanya Kiti. Kamu pernah dengar cerita Semut dan Belalang? tanya nenek pula. Tak pernah la nenek, jawab Kiti dan Bani. Petikan: Che An Abd. Ghani (1994) Kiti dan Bani Pulang Kampung, hlm. 16.

8. Laras Bahasa Iklan Laras bahasa iklan terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Laras ini juga sebenarnya sejenis laras pujukan tetapi banyak mempunyai ciri tersendiri. Fungsi utama laras iklan ialah untuk memperkenalkan dan menjual barangan atau perkhidmatan yang diiklankan. Ciri-ciri laras bahasa iklan ialah: terdapat penggunaan unsur grafik dan ilustrasi yang sangat ketara pada iklan bercetak.

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 70

terdapat penggunaan gambar bergerak dan muzik dengan jelas pada laras iklan pandang dengar (filem, laman web dan televisyen). terdapat penggunaan warna dan teknik kesan khususnya pada iklan bercetak mahupun iklan pandang-dengar. struktur ayatnya pendek dan banyak menggunakan ayat tunggal. menggunakan unsur retorik atau manipulasi bahasa secara berkesan. menggunakan ungkapan dan istilah. menggunakan pelbagai kaedah untuk memujuk atau menarik perhatian pengguna seperti kaedah umpan, pujukan, pemesraan, gesaan, doa dan lain-lain.

Contoh Laras Iklan

Gaya, mutu dan Keunggulan itulah Dunhill Doktor-doktor pergigian seluruh dunia sudah menggunakannyaanda bila lagi? Jangan lepaskan keemasan ini..jadilah anda pembeli pertama, Joven.

Konsep Ragam Bahasa Konsep ragam bahasa merupakan ciri-ciri gaya penceritaan istimewa yang digunakan untuk sesuatu jenis bidang. Ciri-ciri istimewa itulah yang membolehkan kita segera dapat menjangka apa yang menjadi topik atau tajuk utama sesuatu teks sebaik-baik membaca ayat pertama. Asmah Hj Omar (1987:47) menjelaskan ragam bahasa didasarkan kepada ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya. Manakala Bachman (1990) mendefinisikan ragam bahasa sebagai variasi bahasa menurut pemakaian, yang berbeza-beza menurut topik yang dibicarakan, menurut hubungan pembicara, kawan bicara, orang yang dibicarakan, serta menurut medium pembicara. Ragam bahasa adalah variasi bahasa yang berasaskan pemakaian atau penggunaannya, terutamanya yang berkaitan dengan konteks dan situasi yang tertentu. Zaba, dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu, membincangkan ragam bahasa dalam dua bab iaitu gaya cakap mulut iaitu

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 71

bahasa Melayu lisan dan gaya surat iaitu bahasa Melayu tulisan. Ragam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu:

RAGAM BAHASA

FORMAL

TIDAK FORMAL

BAHASA BAKU

BAHASA MESRA

BAHASA ISTANA
SENTUH

BAHASA HALUS

AKU

BAHASA PASAR R BAHASA SINDIRAN


SENTUH

BAHASA B

R BAHASA BASAHAN
SENTUH

BAHASA B

a. Ragam Bahasa Formal Ragam bahasa formal digunakan dalam situasi rasmi. Ayat yang terbina merupakan ayat yang gramatis dan mementingkan aspek-aspek sebutan intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat dan tatabahasa. Contoh: Awak sangat degil. Saya telah berkali-kali memberi amaran supaya jangan pergi ke tempat itu, tetapi awak masih hendak ke sana. b. Ragam Bahasa Tidak Formal Ragam bahasa tidak formal mempunyai ciri-ciri bahasa tidak formal dan digunakan dalam situasi tidak rasmi serta digunakan sehari-hari. Dalam ragam ini sering wujud campuran antara bahasa Melayu

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 72

dan bahasa Inggeris. Ayat yang terbina merupakan ayat yang tidak gramatis yakni tidak mementingkan aspek sebutan, intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat, dan tatabahasa. Contoh: You ni betullah degil sangat. I dah warning you banyak kali, tapi you masih hendak ke tempat tu.

Hubungan Laras dan Ragam Bahasa Terdapat hubung kait antara laras dan ragam bahasa, iaitu laras bahasa dikatakan mengandungi variasi dan ragam bahasa yang berlainan berdasarkan fungsi tertentu. Variasi bahasa pula merupakan komponen atau di bawah cabang laras bahasa. Manakala ragam bahasa hampir sama dengan laras bahasa tetapi digunakan dalam situasi tertentu dan tidak berkembang maju, berbeza dengan laras yang sentiasa berubah-ubah mengikut perkembangan semasa.

Muzik Bahasa dalam Penulisan Muzik bahasa (the musics of language) bermaksud suasana perasaan atau mood yang terdapat pada penulisan sesuatu teks. Muzik bahasa boleh juga diterjemahkan sebagai nada atau irama yang dirasakan oleh pembaca menerusi susunan perkataan, ayat atau wacana yang dilontarkan oleh pengarang. Secara mudah, dalam penulis dekriptif atau penulisan non-fiksyen, hanya ada tiga jenis nada, iaitu nada positif yang tercermin melalui penggunaan kosa kata, frasa dan hujah-hujah yang cenderung ke arah perubahan positif; nada neutral yang bersikap tidak memihak, dan nada negatif yang memanipulasi kosa kata, frasa dan hujah-hujah ke arah persepsi yang negatif. Nada positif dapat dikesan melalui penggunaan kosa kata yang menarik, sama ada dari segi maknanya dan juga kesan konotasi kepada pembaca. Perlambangan, contoh atau anekdot yang digunakan cenderung kepada pemujukan sikap positif. Perhatikan bahasa dan imej-imej yang digunakan oleh para pengiklan lazimnya bernada positif untuk memujuk pembeli. a. Perenggan bernada positif Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah berasa bangga kerana dalam tempoh 50 tahun sahaja, negara kita yang dulunya mundur, kini telah menjadi sebuah negara yang maju dari segi pembangunan perekonomian, pendidikan dan infrastruktur, malah terkenal di peringkat antarabangsa. Perhatikan kosa kata bangga, maju dan terkenal dalam petikan di atas memberi kesan yang positif, bahkan seluruh teks tersebut membawa makna dan konotasi yang positif dengan satu tujuan yang cuba diterapkan oleh pengarang, iaitu menanamkan semangat patriotik kepada pembaca.

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 73

b.

Perenggan bernada neutral Kadar kemalangan jalan raya di negara ini adalah antara yang tertinggi di dunia. Bagi menangani masalah ini, pihak berkuasa telah melakukan pelbagai usaha seperti melancarkan kempen pemanduan berhemah, menaikkan denda kesalahan lalu lintas dan meningkatkan rondaan pada musim perayaan. Tetapi semua usaha ini tidak akan berhasil tanpa kerjasama dan kesedaran daripada para pemandu sendiri. Nada neutral dapat dikesan dalam perenggan di atas menerusi kosa kata, frasa dan klausa yang sederhana, yakni tidak memihak tetapi memberi pilihan kepada pembaca untuk berfikir secara matang, membuat keputusan dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani isu kemalangan jalan raya di negara ini.

c.

Perenggan bernada negatif Nada negatif menggunakan kosa kata, frasa dan klausa yang mirip ke arah pemupukan sikap dan tindakan berlawanan, misalnya perasaan kebencian, permusuhan dan ketidakpuasan hati. Contohnya seperti berikut: Amerika Syarikat selalui mendabik dada kononnya merekalah negara yang paling demokrasi di dunia. Tetapi mengapakah dalam isu Iraq, negara itu melemparkan prinsip demokrasi setelah pemeriksa senjata PBB mengesahkan tiada senjata pemusnah di Iraq? Di manakah slogan-slogan demokrasi yang menjadi kebanggaan Amerika? Tidak syak lagi Amerika sebenarnya bersikap talam dua muka dalam menangani konflik di Iraq. Perhatikan kosa kata kononnnya, melempar prinsip demokrasi dan talam dua muka mampu memberi kesan negatif terhadap pemikiran pembaca. Ungkapan ini berpontensi mempengaruhi, memujuk dan mengubah persepsi dan pendirian pembaca bersesuaian dengan hasrat pengarang.

KATA KUNCI
1. Laras Umum 2. Laras Agama 3. Laras Iklan 4. Laras Klasik 5. Ragam Formal 6. Muzik bahasa

L a r a s , R a g a m d a n M u z i k B a h a s a | 74

PENILAIAN KENDIRI
1. 2. 3. 4. 5. Bincangkan dengan ringkas definisi laras dan ragam bahasa. Bincangkan perbezaan antara laras umum, laras kreatif dan laras agama. Huraikan lima faktor kewujudan kepelbagaian laras bahasa Apakah perbezaan antara laras bahasa formal dan laras bahasa tidak formal? Bina perenggan yang membawa nada positif, nada neutral dan nada negatif.

Bahan Rujukan Abdullah Hassan. (1997). Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-Esei Lain. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Abu Hassan Abdul. (2010). Teori Balaghah Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Widad. Kamarudin Haji Husin. (1995. Laras Bahasa. Kuala Lumpur. Utusan Publications dan Distributors Sdn. Bhd. Nik Safiah Karim. (1989). Laras Bahasa. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. S. Nathesan (1995) Laras Bahasa Ilmiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai