Anda di halaman 1dari 26

BAB 7

CIRI-CIRI KETEKSTUALAN DALAM PENYELIDIKAN WACANA BAHASA


MELAYU
Rohaidah Haron

Pengenalan

Wacana atau discourse merupakan subbidang linguistik yang mendapat tumpuan ahli-ahli bahasa
di barat. Antara ahli wacana awal yang mengusahakan kajian wacana termasuklah Grimes
(1975), Sinclair & Coulthard (1975), Brown & Yule (1988), Stubbs (1987), Dijk (1988) dan
Mulkay (1994). Kajian wacana tempatan turut mendapat tumpuan pengkaji-pengkaji bahasa,
khususnya mereka yang menekuni bidang ini. Malah, di beberapa buah universiti sama ada
dalam mahupun di luar negara turut menawarkan kursus-kursus berkaitan analisis wacana pada
peringkat ijazah pertama, dan kajian peringkat ijazah tinggi menerusi program sarjana dan
kedoktoran.
Perkembangan bidang analisis wacana tempatan dapat dilihat dengan terhasilnya kajian-
kajian dalam bentuk penerbitan buku dan jurnal-jurnal ilmiah. Namun begitu, penyelidikan
berkenaan wacana seharusnya diusahakan dengan lebih giat memandangkan wacana merupakan
wahana yang mampu mengungkap bukan sahaja persoalan unit-unit bahasa, tetapi mekanisme
terbaik mentafsir persoalan sosial dan budaya yang berlaku dalam masyakarat hari ini. Sebagai
satu daripada bidang yang mempunyai cakupan kajian yang luas, para pengkaji wacana boleh
memfokuskan kajian masing-masing berdasarkan teori dan pendekatan yang pelbagai.
Selanjutnya, bab ini membincangkan satu aspek penting kajian wacana, iaitu ciri-ciri atau prinsip
ketekstualan berdasarkan kerangka yang dinyatakan oleh Beugrande & Dressler (1981).

Konsep Wacana

Pengkaji yang berhasrat menekuni bidang wacana perlu terlebih dahulu tahu dan faham konsep
wacana secara menyeluruh. Ramai tokoh dalam bidang wacana memberikan maksud dan konsep
wacana, namun begitu pendefinisian yang diberikan adalah hampir sama. Tokoh bahasa tempatan
seperti Asmah (1980, 11) melihat wacana sebagai;

1
“Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Dengan itu, wacana boleh
terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, siri buku dan sebagainya
yang memperlihatkan kesatuan dan hubungan di antara butir-butir fikiran dan
juga perkembangan akaliah yang ada di dalamnya”.

Menurut beliau lagi, wacana boleh disusun atur menurut waktu, tempat, keutamaan, sebab
akibat dan sebagainya yang bererti ayat-ayat dalam wacana mesti memperlihatkan kesatuan
dalam hubungan waktu, tempat dan sebagainya. Setiap wacana mesti berlandaskan hubungan
antara penutur dengan pendengar dalam bahasa lisan atau penulis dengan pembaca dalam bahasa
tulisan. Seterusnya, Asmah (1980) menganggap “keseluruhan penglahiran bahasa” oleh penutur
atau penulis ialah penglahiran sistem bahasa dan unsur-unsur yang luar daripada sistem bahasa
yang menyumbang ke arah menjadikan tutur atau tulisan yang berkenaan sebagai sesuatu yang
bermakna dalam komunikasi (Rohaidah, 2018).

Samsuddin (1992) dalam Yoce Aliah, (2014, 21) menjelaskan wacana merupakan unit
bahasa yang paling lengkap unsurnya. Wacana tidak hanya didukung oleh unsur-unsur segmental
sesuatu bahasa seperti kalimat, morfem, dan fonem tetapi juga didukung oleh unsur
nonsegmental dan suprasegmental seperti situasi, ruang, waktu, tujuan pemahaman bahasa,
pengguna bahasa itu sendiri, intonasi, tekanan, makna perasaan berbahasa dan penutur atau
pembicaranya.

Idris (2020) yang menekuni bidang wacana merumuskan tentang ciri-ciri penting wacana,
iaitu pertama, wacana melibatkan penutur dengan pendengar (bagi wacana lisan). Kedua, wacana
melibatkan hubungan penutur-penulis dengan masyarakat, yang melalui ciri ini melahirkan
kelainan gaya wacana, seperti formal, bersahaja, bahasa kolokial, dan sebagainya. Penutur-
penulis mesti memahami sasaran wacananya, iaitu pendengar atau pembaca bagi mencapai
matlamat komunikasi. Ciri penting yang ketiga ialah wacana bersifat mempunyai kesatuan
maklumat dan sistematik dalam jalinan organisasinya.
Selain itu, tiga unsur penting yang berkaitan dengan wacana ialah teks, konteks dan
wacana (Cook, 1994). Teks bukan hanya kata-kata yang tercetak di lembar kertas, tetapi juga
semua bentuk bahasa dan ekspresi komunikasi. Konteks pula memasukkan semua situasi dan hal
yang berada di luar teks dan mempengaruhi penggunaan bahasa seperti orang yang terlibat,
2
situasi tempat teks itu dihasilkan dan fungsi yang dimaksudkan. Seterusnya, wacana meliputi
gabungan teks dan konteks atau dengan kata lain analisis wacana menyatukan teks dan kontek\s
secara bersama-sama dalam satu proses komunikasi (Siti Hajar, 2010, 15). Pandangan berkaitan
konteks ini telah dikemukakan oleh Asmah menerusi penulisannya pada tahun 1980, iaitu
sesuatu analisis wacana tidak perlu terikat kepada rumus-rumus yang akhirnya menonjolkan
bahasa sebagai kumpulan rumus-rumus sahaja dan seolah-olah rumus-rumus itu adalah setepat-
tepatnya. Analisis wacana tidaklah menafikan pentingnya tatabahasa tetapi menegaskan tidak
semua peristiwa bahasa dapat diterangkan oleh rumus tatabahasa sahaja, dan dengan demikian
mestilah dilihat dalam konteks yang lebih luas.
Beberapa pandangan tentang konsep wacana ini memberi penjelasan bahawa wacana yang
terbahagi kepada tulisan dan lisan itu merupakan unit bahasa yang lengkap, mempunyai kesatuan
fizikal, dan memperkira konteks. Wacana bukan setakat meneliti sistem dan gelagat bahasa
semata-mata tetapi melalui pendekatan kritis, wacana merupakan mekanisme terbaik mentafsir
proses sosial yang berlaku dalam masyarakat. Oleh itu, kajian wacana boleh diselidiki dengan
beberapa pendekatan dan pelbagai penelitian tertentu. Sebagai disiplin ilmu yang luas, para
pengkaji berpeluang meneroka apa-apa sahaja fokus yang terdapat di bawah bidang kajian
wacana.

Analisis Wacana Atau Analisis Teks?


Sepanjang perkembangan dalam bidang wacana, terdapat beberapa tanggapan yang agak berbeza
tentang istilah dan pengertian teks, analisis teks, dan analisis wacana. Ketiga-tiga istilah ini
digunakan oleh para pengkaji dalam mana-mana kajian di bawah bidang wacana. Pada
umumnya, kita sering menganggap wacana tulisan ialah teks dan teks pula ialah bahan bercetak
yang perlu dianalisis secara tekstual. Tanggapan tersebut tiada salahnya dan memang itulah yang
difahami oleh semua orang, sama ada mereka dalam bidang wacana atau sebaliknya.
Menurut Idris (2020, 13), terdapat beberapa istilah lain berkaitan analisis wacana, iaitu
analisis teks (text analysis), linguistik teks (text linguistics), dan linguistik wacana (discourse
linguistics). Jika disebut tentang analisis teks, kita akan membayangkan berkenaan kajian tentang
bahasa yang menggunakan teks sebagai bahan analisis. Fokusnya pula ialah pengenalpastian dan
penghuraian aspek-aspek bahasa seperti kata, frasa, ayat dan struktur teks. Idris berpendapat cara
atau tanggapan sebegini bersifat analisis menegak terhadap wacana atau teks, sedangkan analisis
3
wacana lebih daripada itu, iaitu memerihalkan bukan sahaja sistem bahasa, malah menghuraikan
‘mengapa’ bahasa digunakan sedemikian. Maknanya, konsep analisis wacana adalah analisis
mendatar teks atau wacana di samping analisis menegak. Analisis wacana memanfaatkan bahasa
yang benar-benar digunakan dan menyelidiki untuk apa bahasa digunakan. Selain itu, Idris
(2006, 33) menjelaskan sesetengah ahli linguistik membataskan makna teks kepada percakapan
atau penulisan oleh satu orang sahaja atau bersifat monolog non-interaktif, manakala makna
wacana adalah interaksi pertuturan dan penulisan oleh dua orang atau lebih.
Bagi Idris (2020, 15), analisis wacana ialah metodologi yang boleh digunakan dalam
mencerakin dan menjawab pelbagai bentuk persoalan, bukan sahaja persoalan linguistik, malah
persoalan dalam disiplin lain. Antaranya tentang struktur linguistik, perubahan bahasa, tentang
makna, pemerolehan bahasa, tentang peranan dan hubungan sosial, komunikasi, identiti,
ekonomi, kuasa, ideologi dan sebagainya. Dalam perkataan lain, analisis wacana boleh
menghurai dan menjelaskan ‘dunia bahasa’ dan boleh juga menghurai dan menjelaskan tentang
‘dunia nyata’. Secara ringkas, dunia bahasa adalah tentang bahasa – sistem bahasa dan gunanya;
dunia nyata adalah tentang kehidupan sosial manusia – ekonomi, politik, dan sosiobudaya.
Di samping itu, Yoce Aliah, (2014, 23) merumuskan pandangan van Dijk tentang
wacana, iaitu wacana tidak cukup menganalisis pada aras analisis teks semata-mata dan beliau
telah membuat kerangka analisis wacana berdasarkan tiga aras yang berbeza, iaitu;

i. Struktur makro – merupakan makna global / umum dari suatu teks yang dapat difahami
dengan melihat topik dari suatu teks. Tema wacana ini bukan hanya isi, tetapi juga sisi
tertentu daripada suatu peristiwa.
ii. Superstruktur – kerangka suatu teks: bagaimana struktur dan elemen wacana itu
disusun dalam teks secara utuh.
iii. Struktur mikro – makna wacana yang dapat diamati dengan menganalisis kata, kalimat,
preposisi, anak kalimat, parafrasa yang dipakai dan sebagainya.

Menurut Yoce Aliah (2014, 22), analisis wacana tidak hanya terhad dalam kajian bahasa,
tetapi juga dalam pelbagai lapangan kajian lain. Sekiranya dalam linguistik, analisis wacana
merujuk pada kajian terhadap satuan bahasa di atas kalimat yang memusatkan perhatian pada

4
arah lebih tinggi dari hubungan ketatabahasaan (grammatical), dalam sosiologi, analisis wacana
menunjukkan pada kajian hubungan konteks sosial dengan pemakaian bahasa. Sementara dalam
psikologi sosial, analisis wacana merujuk pada kajian terhadap struktur dan bentuk percakapan
atau wawancara manakala dalam ilmu politik analisis wacana menunjuk pada kajian terhadap
praktik pemakaian bahasa dan tali-temalinya dengan kekuasaan. Jelaslah analisis wacana bila
digunakan dalam lapangan kajian apa pun, istilah ini tetap menyertakan telaah dalam pemakaian.
Rumusannya, untuk pengertian penyelidikan wacana yang lebih tepat dan menyeluruh,
istilah analisis wacana lebih memenuhi cakupan bidang wacana itu sendiri, apatah lagi istilah
tersebut merupakan istilah yang telah cukup mantap dan diterima oleh para penekun bidang
wacana. Selain itu, istilah analisis wacana dapat membezakan kajian wacana dengan kajian-
kajian bahasa yang lain.

Tokoh dan Kajian Wacana


Pada awal tahun 1950-an, tatabahasa lebih bertumpu kepada ayat. Sehubungan itu, pada tahun
1952 seorang ahli bahasa terkenal yang bernama Zellig S. Harris telah menyatakan
ketidakpuasannya terhadap “tatabahasa ayat” dengan menerbitkan artikelnya yang berjudul
“Discourse Analysis”. Semenjak kemunculan karangan beliau, mulalah timbul perhatian kepada
discourse atau wacana. Pada awalnya analisis ini terpendam begitu sahaja di Amerika Syarikat
sebagai akibat popularnya aliran-aliran lain. Contohnya, dalam tahun-tahun 60-an aliran
Transformasi Generatif mendapat tumpuan yang menakjubkan kerana aliran ini seolah-olah dapat
menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam pembelajaran bahasa (Asmah, 1980, 14).
Bermula daripada ketidakpuasan hati tentang tatabahasa ayat dan pengenalan istilah analisis
wacana oleh Zelling Harris (1952) itu, telah ramai pengkaji yang menunjukkan minat untuk
merancakkan bidang wacana.

Penulisan berkenaan wacana telah banyak diusahakan oleh tokoh dan pengkaji wacana di
barat dengan pelbagai penelitian dan pendekatan, sesuai dengan cakupan luas bidang wacana.
Antara kajian wacana terawal ialah oleh Sinclair dan Coulthard (1975) dalam buku bertajuk
Towards an Analysis of Discourse: The English Used By Teacher And Pupil yang mengkaji
pengajaran dalam bilik darjah sementara Halliday & Hasan (1976) menerusi bukunya yang
bertajuk Cohesion In English telah menulis tentang linguistik teks dan wacana. Selain itu, Dijk

5
(1985) telah menulis buku yang bertajuk Handbook of Discourse Analysis sebanyak 4 jilid.
Kajian-kajian awal ini menjadi titik tolak dan panduan kepada pengkaji-pengkaji lain untuk
menghasilkan kajian-kajian lanjut yang lebih bervariasi.

Di luar negara, pengkaji-pengkaji yang menekuni dunia wacana ini lebih ramai dan sukar
ditentukan bilangannya, lebih-lebih lagi mereka yang menekuni bidang ini semakin bertambah
dari sehari ke sehari. Kajian-kajian wacana yang dihasilkan bukan sahaja diterbitkan dalam
bentuk buku (juga e-book) tetapi turut dimuatkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa seperti
Discourse & Society, Discourse & Communication, dan Discourse Studies yang kini lebih mudah
diakses secara dalam talian. Berikut disenaraikan beberapa pengkaji wacana berserta kajian
masing-masing;

i. Grimes. J.E. (1975). The thread of discourse. The Hague: Mouton.


ii. Sinclair, J.M., & Coulthard, M. (1975). Towards an analysis of discourse. London:
Oxford University Press.
iii. Halliday, M.A.K. & R. Hasan. (1976). Cohesion in English. London: Longman.
iv. De Beaugrande, R.A & Dressler, W.U. (1981). Introduction to text linguistics. London:
Longman.
v. Brown, G. & G. Yule. (1988). Discourse analysis. Cambridge: Cambridge University
Press.
vi. Weiss, G., & Wodak, R. (Ed.). (2003). Critical discourse analysis theory and
interdisciplinarity. New York: Palgrave Macmillan.
vii. Van Leeuwen, T. (2008) Discourse and practice: new tools for critical discourse
analysis: New York: Oxford University Press.
viii. Tannen, D., Hamilton, H. E. and Schiffrin, D. (2015). The handbook of discourse
analysis. UK: Wiley Blackwill.
ix. Fairclough, N. (1989). Language and power. London: Longman.
x. Fairclough, N. (1992). Discourse and social change. Cambridge: Polity Press.
xi. Fairclough, N. (1995). Critical discourse analysis: The critical study of language.
London: Longman.

Bidang wacana tempatan agak lambat membangun memandangkan belum ramai ahli
bahasa yang memajukan bidang ini, oleh itu, tidak banyak kajian yang dapat dihasilkan. Pada
awalnya, ahli bahasa sedia ada lebih berminat menulis dan mengkaji persoalan tentang nahu.
Artikel yang secara langsung memberikan penjelasan tentang konsep analisis wacana dalam
linguistik Melayu ialah penulisan yang telah dihasilkan oleh Asmah (1980) yang bertajuk
Analisis Wacana. Artikel tersebut diterbitkan dalam dua bahagian dalam Jurnal Dewan Bahasa.
Selanjutnya, kajian wacana terus diusahakan oleh Abdul Aziz (1982) dan Azhar (1983).
6
Walaupun tidak banyak kajian bidang wacana dihasilkan selepas itu, namun bermula tahun 1990-
an para pengkaji bahasa tempatan telah mula menekuni bidang wacana dengan pelbagai teori,
pendekatan, dan juga data wacana. Berikut disenaraikan antara kajian wacana tempatan yang
telah diterbitkan.

i. Asmah Haji Omar. (1980). Analisis wacana (Bahagian Pertama). Jurnal Dewan Bahasa,
24 (3), 11-25.
ii. Asmah Haji Omar 1980. Analisis wacana (Bahagian Akhir). Jurnal Dewan Bahasa, 24
(4), 9-25.
iii. Azhar M. Simin. (1993). Sintaksis wacana yang dalam bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
iv. Sanat Md. Nasir (1996). Tautan dalam wacana bahasa Melayu akhbar: Analisis rencana
pengarang Utusan Zaman (1957-1961). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
v. Kamila Ghazali. (2004). The rhetoric of Dr. Mahathir Mohamad a critical discourse
perspective. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
vi. Idris Aman. (2006). Bahasa dan kepimpinan: Analisis wacana Mahathir Mohamad.
Bangi: Penerbit Universiti kebangsaan Malaysia.
vii. Rohaidah Haron. (2016). Bahasa dan identiti wacana Mohd Najib Razak. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
viii. Rohaidah Haron. (2018). Wacana lisan perspektif undang-undang. Kuala Lumpur:
ITBM.
ix. Idris Aman. (2020). Analisis wacana (cetakan keempat). Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Data Wacana
Penyelidikan dalam bidang wacana boleh memanfaatkan dua jenis data, iaitu wacana lisan dan
wacana tulisan. Oleh itu, para pengkaji boleh sahaja memilih mana-mana data wacana yang
difikirkan sesuai dan memenuhi matlamat kajian masing-masing.
Wacana tulisan yang disebut juga sebagai ‘teks’ bermaksud wacana yang ditulis
(dicetak), dan penyampaiannya boleh sahaja dalam bentuk buku, jurnal, surat khabar, novel dan
yang seumpamanya. Namun begitu, seiring peredaran masa, wacana tulisan telah banyak
dipaparkan menerusi medium elektronik semasa seperti media sosial dan buku elektronik (e-
book). Sebagai bahan kajian, wacana tulisan yang sering menjadi tumpuan para pengkaji ialah
seperti teks ucapan para pemimpin, teks belanjawan, novel dan sebagainya. Wacana tulisan
mudah diperoleh berbanding data lisan yang memerlukan transkripsi sebelum boleh dianalisis
dengan teliti dan sistematik.

7
Wacana lisan lazimnya melibatkan sesuatu peristiwa bahasa yang bersifat langsung seperti
perbicaraan di mahkamah, perbahasan di parlimen, jual beli di pasar, pengajaran di dalam kelas,
bual bicara dan sebagainya. Oleh itu, ia memperlihatkan dapatan kajian yang lebih menarik. Hal
ini kerana wacana lisan mengambil kira konteks dan unsur-unsur luar bahasa seperti bahasa
badan, intonasi, mimik muka, serta penampilan diri seseorang turut dapat ditafsir dan
diperhatikan secara langsung. Namun begitu, data wacana tulisan atau lisan masing-masing
mempunyai kesistimewaan tersendiri. Keadaan ini selaras dengan pandangan Idris & Kamila
(2016) yang berpendapat bahawa wacana adalah bahasa gunaan sebenar manusia dalam
kehidupan sosial mereka untuk melangsungkan bermacam-macam tujuan.

Pendekatan Wacana Dalam Kajian Bahasa


Kajian analisis wacana boleh dilakukan menerusi pendekatan yang pelbagai, contohnya Grice
(1975) menggunakan pendekatan analisis maksim perbualan untuk meneliti wacana lisan dan
pendekatan etnografi pula digunakan oleh Hymes (1972) dalam menganalisis pelbagai peristiwa
yang berlaku dalam masyarakat. Sementara itu, pendekatan Halliday & Hasan (1972) dan
Beaugrande & Dressler (1981) digunakan untuk mengkaji aspek nahu wacana. Kajian bahasa
menerusi pendekatan kritis, iaitu yang mengambil kira persoalan sosial telah dimanfaatkan
antaranya oleh Fairclough (1989, 1992 & 1995), Dijk (1985 & 1994) dan Wodak (1985),
manakala antara pengkaji tempatan yang memanfaatkan pendekatan kritis ialah Kamila (2004)
dan Idris (2006). Walaupun banyak pendekatan kajian wacana digunakan oleh para pengkaji,
namun secara utamanya, pendekatan analisis wacana terbahagi kepada dua, iaitu pendekatan
analisis wacana bukan kritis dan analisis wacana kritis (critical discourse analysis). Ruang
lingkup kedua-dua pendekatan ini saling berkaitan dan bermanfaat untuk menghasilkan sesuatu
kajian yang mengambil kira persoalan bahasa dan sosial dalam kehidupan masyarakat.

Analisis wacana bukan kritis (AWBK)


Kajian analisis wacana bukan kritis (AWBK) telah terlebih dahulu mendapat perhatian pengkaji-
pengkaji wacana sama ada pengkaji luar negara atau tempatan. Keadaan ini berlaku kerana
kajian tatabahasa atau nahu berkembang terlebih dahulu dan mendapat sambutan pada ketika itu.
Menurut Wong (1995, 11), walaupun analisis wacana sudah bertapak pada tahun 1960-an, tetapi

8
kebanyakan kajian di Amerika Syarikat masih berlandaskan tatabahasa transformasi generatif
yang meneliti pelbagai unsur bahasa (iaitu, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik) secara
terpisah atau konteks bebas. Dengan penjelasan yang mudah, kajian bahasa yang menggunakan
pendekatan AWBK tidak melihat wacana atau bahasa untuk memahami proses sosial yang
berlaku dalam masyarakat.

Analisis wacana kritis (AWK)


Kemunculan pendekatan analisis wacana kritis (AWK) atau critical discourse analysis (CDA)
sebagai ekoran pentingnya mengambil kira persoalan sosial dalam kajian bahasa menyebabkan
tumpuan para ahli bidang wacana telah beralih ke arah pendekatan kritis, khususnya di barat.
AWK menjadikan penyelidikan bahasa bertambah menarik apabila proses sosial yang berlaku
dalam masyarakat seperti ideologi, identiti, kuasa, kepimpinan dan transformasi diambil kira
dalam kajian bahasa.

Fairclough (1989, 1992, & 1995) menerusi beberapa karyanya telah memperkenalkan
pendekatan analisis wacana kritis yang kemudiannya menjadi ikutan pengkaji-pengkaji lain.
Beliau telah membangunkan teori tiga dimensi dalam meneliti kajian bahasa, iaitu tanpa
mengabaikan proses sosial yang seharusnya diteliti secara serentak dengan analisis bahasa yang
lain. Teori yang disifatkan dinamik, holistik dan praktikal itu amat bertepatan dengan kajian
penggunaan bahasa sebenar manusia. Dengan kata lain, kajian bahasa diteliti dan ditafsir secara
serentak dengan proses sosial yang melatari sesuatu bahasa itu. Oleh sebab itulah teori tersebut
mempunyai dimensi yang saling melengkapi sehingga mampu mentafsir bahasa dan sosial secara
seimbang tanpa meninggalkan salah satu daripadanya. Mengulas pandangan Fairclough (1992),
Idris (2006, 40) melihat penggunaan bahasa dari dua sudut, iaitu bagaimana amalan wacana
dibentuk berdasarkan faktor-faktor sosial (seperti kuasa, ideologi, amalan, dan sebagainya.) dan
juga bagaimana bahasa atau amalan wacana berkenaan memberi kesan kepada aspek-aspek sosial
(seperti identiti, hubungan sosial, pengetahuan dan sebagainya). Inilah yang membezakan
pendekatan kritis dengan pendekatan bukan kritis.

Perkembangan wacana tempatan yang memanfaatkan pendekatan kritis juga telah mula
mendapat sambutan apabila telah ada pengkaji-pengkaji yang meneliti bahasa menggunakan

9
pendekatan kritis. Namun begitu, berbanding kajian AWK di luar negara, kajian AWK di
Malaysia masih belum banyak dihasilkan. Kajian Kamila yang bertajuk The Rhetoric of Dr.
Mahathir Mohamad A Critical Discourse Perspective merupakan kajian wacana yang terawal
menerapkan pendekatan AWK. Selanjutnya, kajian wacana pendekatan kritis dihasilkan pula oleh
Idris (2006) yang bertajuk Bahasa dan Kepimpinan Analisis Wacana Mahathir Mohamad yang
mengaitkan wacana dengan proses kepimpinan. Rohaidah (2016) menerusi kajian yang bertajuk
Bahasa dan Identiti Mohd Najib Razak meneliti cara-cara bahasa digembleng oleh pewacana
untuk merungkai proses pengidentitian yang berlaku dalam wacana ucapan politik. Munif (2016)
telah menghasilkan kajian yang bertajuk Wacana Kepimpinan Rasulullah SAW yang telah
memfokuskan ‘bahasa kepimpinan’, iaitu mentafsir hubungan antara komponen bahasa
kepimpinan Rasulullah SAW dengan elemen analisis wacana yang terdiri daripada iman (amalan
tauhidiah), ciri-ciri teks, amalan wacana, dan pegangan agama (proses sosial). Berdasarkan
pengkaji-pengkaji tersebut, tidak keterlaluan jika dikatakan Idris merupakan tokoh yang banyak
menyumbang kajian kepada dunia wacana kritis dengan menghasilkan buku dan jurnal akademik
tentang analisis wacana.

Ringkasnya, tanpa pendekatan yang bersesuaian, sudah tentu persoalan tentang proses
sosial yang berlaku dalam masyarakat sukar ditafsirkan dan dijelaskan kepada khalayak.
Sehubungan itu, kajian bahasa yang bertujuan mentafsir aspek sosial wajarlah memanfaatkan
pendekatan ini.

Ciri-Ciri Utama Ketekstualan

Bahagian ini menjelaskan ciri-ciri ketekstualan yang wajar dipertimbangkan oleh pengkaji-
pengkaji wacana dalam kajian mereka dan juga merupakan panduan kepada sesiapa sahaja yang
berhajat membina sebuah wacana yang berkualiti dan baik sifatnya. Sehubungan dengan itu,
bahagian ini membincangkan analisis teks yang perlu mematuhi “Seven Standards of Textuality”
seperti yang dinyatakan oleh Beaugrande & Dressler (1981), iaitu kohesi, runtutan, tujuan,
penerima (khalayak), maklumat, keadaan, dan intertekstualiti. Menurut Beaugrande & Dressler
(1981), jika satu daripada ciri tersebut tidak wujud dalam sesuatu teks, maka teks tersebut tidak
dianggap teks yang komunikatif sifatnya. Sehubungan dengan itu, sesebuah wacana perlu

10
mempunyai tujuh standard atau ciri-ciri yang telah dinyatakan oleh Beaugrande & Dressler
(1981) tersebut.

i. Kohesi (cohesion)
Beaugrande & Dressler (1981) meletakkan aspek kohesi sebagai ciri utama ketekstualan dalam
kajian analisis wacana. Ada pengkaji yang menyebut kohesi sebagai tautan (Sanat, 2002) dan ada
pula yang menyebut sebagai tetenunan (Idris, 2020). Wong (1995) pula menggunakan istilah
kesinambungan topik yang juga merujuk kepada konsep yang hampir sama, iaitu sesuatu topik
utama dijalinkan dalam sesuatu urutan klausa mahupun ayat yang tersusun yang membentuk
sesuatu perenggan. Walaupun istilah kohesi yang digunakan oleh penahu berbeza-beza, namun
aspek kohesi mempunyai fungsi yang amat penting dalam binaan sesebuah teks secara
keseluruhannya. Aspek ini ditekankan dalam kajian wacana kerana aspek ini merujuk kepada ciri
linguistik yang menghubungkan satu urutan ayat sehingga membentuk hubungan semantik yang
dapat menjadikan teks bertaut dengan baik, iaitu menghubungkan satu idea dengan idea yang
lain dengan teratur. Idea yang teratur berupaya menyampaikan mesej kepada pembaca dengan
berkesan. Tanpa kohesi dalam teks, maka sesuatu teks atau wacana tidak akan bertaut dengan
baik kerana tiada jalinan idea yang dapat mempertaut teks menjadi suatu kalimat yang bermakna.
Terdahulu, Halliday & Hasan (1976) telah menjelaskan secara terperinci aspek ini menerusi
buku yang menjadi panduan ramai pengkaji bahasa, iaitu Cohesion in English.

Dari perspektif wacana, kohesi (cohesion) (from the Latin verb cohaerere = to be joined,
attached) atau tautan sangat penting dalam binaan sesuatu teks. Mauro Giuffre’ (2017) yang
mengulas pandangan Beaugrande & Dressler (1981) berkenaan hal ini menyatakan kohesi lebih
jelas dilihat dalam unit-unit utama sintaksis, iaitu bergantung kepada binaan frasa, klausa dan
ayat yang menyumbang kepada keseimbangan atau kestabilan ayat.

Halliday & Hasan (1976) menerusi buku Cohesion in English menjelaskan secara
terperinci berkaitan aspek tautan dan telah membahagikan penghubung kohesi kepada dua
kategori, iaitu kohesi nahuan (grammatical cohesion) dan kohesi leksikal (lexical cohesion).
Cara pertama mewujudkan kohesi dalam wacana ialah menerusi kohesi nahuan (grammatical
cohesion) yang terdiri daripada penghubung (penambah, tentangan, musabab, dan tempoh),
rujukan (kata ganti nama personal, demonstratif dan komparatif), penggantian (nominal,
11
verbal, dan klausa), dan pengguguran (nominal, verbal, dan klausa). Berikut dipaparkan tiga
contoh kohesi nahuan yang terjelma menerusi kohesi penghubung (penambah, tentangan,
musabab), iaitu dan, tetapi, dan kerana. Penggemblengan kata penghubung penambah,
tentangan dan musabab menjadikan mesej dalam ayat tersebut saling bertaut, tersusun dan
difahami dengan baik oleh pembaca.

1. Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, dan Mat Jenin wujud dalam diri tiap-
tiap manusia, dalam mana-mana masyarakat dan kalangan semua bangsa dan
tidak wujud hanya dalam cerita atau fiksyen sastera dan filem semata-mata
(Hassan, 2009, 147).

2. Islam melarang perbuatan rasuah, tetapi amalan inilah yang sering dikaitkan
dengan orang Melayu hari ini (Hassan, 2009, 141).

3. Agama Islam juga cepat mempengaruhi minda atau pola berfikir masyarakat
wilayah pengguna bahasa Melayu Asia Tenggara. Islam tidak menghilangkan
segala-galanya kerana apa-apa yang sesuai dan tidak bertentangan menjadi
sebahagian warisan Melayu-Islam (A. Aziz, 2015, 21).

Unsur kohesi rujukan aspek kata ganti nama (personal) dan demonstratif dapat
diperhatikan dalam contoh 4 hingga contoh 6, iaitu pertautan kata ganti nama tersebut
menjadikan mesej atau cerita lebih jelas dan lebih mudah difahami.

4. Mansur memilih untuk duduk sekejap melayan karenah si Sulung. Dia


memahami sifat ingin tahu anak-anak yang meningkat dewasa (Anuar, 2020,
109).

5. “Kenapa saya kena pakai kain ni?” tanya Manisah kehairanan. “Supaya awak
nampak seperti kami juga. Kain Sricindai ini akan menutup bau manusia di
badanmu.” (Anuar, 2020, 124).

6. “Iringilah perempuan manusia ini ke pintu dunia sebelah sana, pulang ke


tempat asalnya. Jangan ditahan atau dikurung lagi di sini” (Anuar, 2020, 183).

Di samping itu, kohesi penggantian dapat diperhatikan menerusi contoh 7 dan contoh 8.
Dalam contoh 7, frasa manusia ada kaitan dengan tanah dan bumi digantikan dengan frasa
kedua-duanya dalam klausa kedua ayat tersebut. Penggantian tersebut merupakan penggantian
namaan yang memperlihatkan pertalian mesej yang ingin disampaikan oleh penulis. Begitu juga
12
dalam contoh 8, unsur kohesi menerusi penggantian namaan, iaitu frasa Manusia dan tanah
digantikan dengan frasa hubungan ini dalam ayat kedua. Penulis ingin menjelaskan perkaitan
antara manusia dengan tanah yang dikaitkan dengan penciptaan manusia.

7. Setelah Allah SWT menjelaskan bahawa manusia ada kaitan dengan tanah
dan bumi, Allah SWT menghubungkan kedua-duanya mengenai perkara
yang besar iaitu hari kebangkitan di alam akhirat (Zul Hilmei & Mohamad
Rohani, 2020, 35).

8. Manusia dan tanah sebenarnya mempunyai kaitan yang sangat rapat. Bagi
menjelaskan hubungan ini, perhatikan firman Allah SWT: “Dan Allah
menciptakan kamu daripada tanah (turab).” (Zul Hilmei & Mohamad Rohani,
2020: 34).

Cara kedua mewujudkan kohesi dalam wacana ialah menerusi kohesi leksikal (lexical
cohesion) yang terbahagi kepada dua aspek, iaitu pernyataan semula leksikal (reiteration) dan
kolokasi. Menurut Halliday & Hasan (1976), pernyataan semula leksikal dapat dibahagikan
kepada tiga, iaitu penggunaan kata yang sama atau hampir sama, penggunaan kata sinonim atau
hampir sinonim, penggunaan kata superordinat. Perhatikan contoh-contoh berikut.

9. Bahtera yang belayar di lautan tidak akan stabil tanpa tarikan graviti yang
seimbang yang terdiri daripada matahari, bulan, dan bumi. Graviti yang
seimbang juga tidak mencukupi tanpa peranan yang dimainkan oleh gunung
(Zul Hilmei & Mohamad Rohani, 2020, 34).

10. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa sesuatu wacana tidak dapat disampaikan
melalui kata-kata dan istilah khusus satu persatu sahaja melainkan melalui
bahasa yang lengkap, kerana perkataan atau istilah itu hanya dapat difahami
melalui penghuraiannya dalam bahasa yang difahami oleh pembacanya, iaitu
pengguna bahasa Melayu sebagai audiens Hamzah Fansuri (Hassan, 2009, 21).

11. Maka tidak benar sama sekali kalau bangsa Melayu hari ini dituduh sebagai
bangsa yang dikongkong oleh bahasanya, atau minda mereka diperangkap oleh
budaya Melayu yang berasaskan bahasa Melayu. Ini tuduhan orang yang cetek
fikiran atau kurang ilmunya (Hassan, 2009, 36).

12. Di dalam nukleus setiap sel, terdapat bahagian yang mengandungi DNA. DNA
mengandungi semua maklumat tentang tubuh manusia. Semua data seperti
warna rambut atau mata, organ dalaman kita, penampilan kita,
ketinggian kita, disimpan di dalam DNA (Zul Hilmei & Mohamad Rohani,
2020, 139).
13
Contoh 9 dan contoh 10 memaparkan pernyataan semula leksikal, iaitu penggunaan kata yang
sama atau hampir sama. Dalam contoh 9, frasa yang sama diulang dalam dua ayat, iaitu graviti
yang seimbang, manakala dalam contoh 10, frasa yang hampir sama diulang ialah kata-kata
dan istilah khusus dan perkataan atau istilah. Kata yang diulang ialah jenis ‘kata isi’ (content
word) dan bukannya ‘kata fungsi’ (function word). Kata isi ialah kata yang penting bagi
pengutaraan idea atau maklumat teks atau wacana. Kata ini boleh dikenal pasti melalui dua cara.
Pertama, kata ini akan menjadi unsur yang tidak boleh ditinggalkan apabila memperkatakan inti
atau idea teks. Kedua, kalau kata berkenaan tidak diulang, teks mungkin terganggu kesatuan
ideanya (Idris, 2020). Perkataan minda dan fikiran dalam contoh 11 pula merupakan penggunaan
kata sinonim atau kata seerti. Menurut Idris (2020), sinonim bertujuan mengelakkan kebosanan
mengulang kata yang sama dalam teks. Selain itu, sinonim memberi variasi kepada teks. Contoh 12 pula
memaparkan penggunaan kata superordinat yang turut membentuk pertautan dalam ayat supaya lebih
mudah difahami oleh khalayak. Lihat analisis mudah di bawah;

kata umum lebih khusus (hiponim)


(hiperonim)
DNA warna rambut atau mata
organ dalaman
penampilan
ketinggian

Kesimpulannya, pernyataan semula leksikal menjadikan maklumat atau idea yang ingin
disampaikan dalam ayat (kata, frasa atau istilah) sentiasa bertaut dan mempunyai pertalian yang
membantu menambah kefahaman pembaca. Kohesi merupakan ciri yang penting dalam wacana
kerana itu Halliday & Hasan (1976) membuat kajian terperinci berkenaan aspek ini, manakala
Beaugrande & Dressler (1981) meletakkan ia sebagai prinsip utama ketekstualan.

ii. Runtutan (coherence)


Runtutan berhubung dengan fungsi ayat dalam wacana, iaitu yang melibatkan binaan frasa,
klausa, dan ayat. Ciri kedua ini merujuk kepada kemampuan yang dimiliki oleh ungkapan
linguistik untuk menyampaikan pengetahuan (makna) sebenar yang wujud dalam teks. Oleh itu,
kesempurnaan teks amat bergantung kepada kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah

14
wacana itu. Kesinambungan idea penting kerana unsur ini akan menjadikan teks mempunyai
makna yang jelas dalam memperkatakan sesuatu isu atau perkara.
Memandangkan aspek runtutan menyumbang kepada penghasilan makna dalam teks, ia
perlu dijalin dengan rapi dan sempurna. Sekiranya aspek runtutan ini diabaikan, sebagai
kesannya idea yang ingin disampaikan oleh pewacana akan terganggu. Ringkasnya, runtutan
merujuk kepada kesinambungan pengetahuan (continuity in knowledge), idea atau mesej yang
terdapat dalam sesebuah wacana dan kesinambungan itu terzahir dalam ayat-ayat yang
menjadikan wacana mempunyai makna dan difahami oleh khalayak. Menurut Halliday & Hasan
(1976), coherence merupakan fitur tekstual dan kualiti penting sesebuah teks.
Perhatikan contoh 13 berikut yang dipetik daripada artikel bertajuk Pengembangan
Persuratan oleh A. Aziz (2015). Perenggan tersebut memperlihatkan kesinambungan idea yang
mantap, tersusun, dan mudah difahami oleh pembaca. Penjelasan isu berkaitan sastera Melayu
digarap dengan begitu teliti oleh penulis dan kesinambungan idea dikembangkan dengan baik
dalam ayat sehinggalah mewujudkan kesatuan idea yang cukup jelas dalam sesebuah perenggan.
Perhatikan pula contoh 14, pengembangan idea disusun dengan jelas dalam ayat dan perenggan,
iaitu berkenaan genre puisi Melayu klasik. Aspek runtutan diaplikasikan dengan jaya apabila
mesej yang disampaikan begitu jelas, terkawal dan tidak terpesong dengan perkara-perkara yang
lain. Inilah satu daripada aspek yang perlu diberi perhatian oleh seseorang penyelidik, khususnya
yang meneliti ciri ketekstualan dalam wacana tulisan.

13. Sumbangan sastera terhadap pembinaan bangsa tidak boleh dipandang kecil,
sama ada sastera Melayu tradisional atau sastera Melayu moden. Sastera
Melayu, melalui cerita penglipur lara dan cerita jenaka sekalipun, tetap
membawa iktibar dan tunjur ajar kepada masyarakat pendengarnya. Sastera
lisan terus diperkembang melalui persembahan atau penceritaan, melalui
cerita penglipur lara Tuk Selampit (Tarik Selampit) atau Awang Batil, melalui
teater tradisional wayang kulit dan makyung, jikey dan hamdolok, dan
sebagainya (A. Aziz, 2015, 185).

14. Genre Puisi Melayu klasik dalam bahasa Melayu memaparkan karangan
berangkap yang dinamai pantun, peribahasa, pepatah, petitih, perbilangan,
syair, gurindam, dan seloka. Sajak ialah karangan berangkap genre baharu.
Kesemua karangan berangkap itu tetap berperanan menanam nilai budi,
pengajaran, nasihat dan memupuk keperibadian bangsa. Penghasilan karya
inilah memperlihatkan kekayaan tradisi sastera dan persuratan Melayu (A.
Aziz, 2015, 185).
15
iii. Tujuan (intentionality)

Jika tautan dan runtutan berperanan penting dalam pertautan dan jalinan idea dalam teks, ciri
tujuan pula mensasarkan matlamat sesuatu wacana itu dihasilkan. Dalam penulisannya, Güzel &
Kiliç (2019) yang menerapkan tujuh ciri ketekstualan Beugrande & Dressler (1981) menyatakan
aspek intentionality merujuk kepada tujuan pewacana, iaitu memujuk, memberi arahan,
permintaan dan pemberian maklumat. Apa tujuan wacana ditulis? Sesuatu wacana tidak akan
terhasil tanpa adanya sesuatu tujuan. Pelbagai wacana yang kita baca dan dengar setiap hari
mempunyai tujuan-tujuan tertentu. Terdapat wacana yang bertujuan memaklumkan atau
menyampaikan maklumat, memberi pengetahuan, memberi panduan, memujuk, mempengaruhi,
menyatakan pendapat, menyatakan emosi dan sebagainya. Seseorang pewacana perlu
memikirkan atau menetapkan tujuan wacana yang ingin dihasilkan. Hal ini penting kerana tujuan
wacana akan menentukan jenis dan binaan ayat, pemilihan kata dan istilah, dan ragam bahasa
yang bersesuaian dengan tujuan wacana itu dihasilkan. Aspek bahasa penting dalam wacana
kerana ia menentukan sama ada tujuan sesuatu wacana tercapai seperti yang diharapkan oleh
pewacana atau pun tidak. Jika dalam wacana lisan seperti ceramah dan pidato, selain aspek
bahasa, aspek-aspek di luar bahasa seperti jenis intonasi, penampilan diri, dan mimik muka turut
diambil kira.
Sebagai contohnya, Perdana Menteri Malaysia menyampaikan perutusan khas berkenaan
Covid-19 bertujuan memaklumkan situasi Covid-19 yang berlaku di Malaysia. Beliau juga
memberi peringatan tentang bahaya Covid-19. Khalayak yang mendengar perutusan tersebut
terdiri daripada rakyat Malaysia. Sehubungan dengan itu, wujud fungsi direktif dalam ucapan
Perdana Menteri, iaitu beliau telah menggunakan banyak ayat larangan ketika memberi
peringatan tentang bahaya pandemik Covid-19 kepada rakyat Malaysia. Dalam hal ini, Siti Hajar
(2010, 94) menyebut tentang fungsi direktif yang jika diujarkan oleh penutur yang berautoriti
menyebabkan pendengar tidak mempunyai pilihan untuk menghindarinya. Selain mempunyai
tujuan, penggunaan ayat larangan bersesuaian dengan kedudukan beliau yang mempunyai kuasa
sebagai Perdana Menteri Malaysia. Contoh 15 dan contoh 16 memaparkan ayat larangan, iaitu
menerusi perkataan jangan dan tidak boleh. Menurut Siti Hajar (2010), melarang diujarkan
kerana perbuatan itu merupakan sesuatu yang tidak boleh dikerjakan, tidak dibenarkan atau

16
tertegah. Penutur menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan melarang rakyat
melepak di kedai mamak, di restoran, di kopitiam, di pusat hiburan, ataupun di tempat-tempat
yang berisiko dijangkiti wabak COVID-19. Selanjutnya, dalam contoh 16 secara jelas beliau
melarang rakyat Malaysia pergi ke masjid untuk bertarawih, mengunjungi bazar Ramadan dan
balik ke kampung. Ternyata, ayat larangan diujarkan oleh individu yang mempunyai kuasa, iaitu
sebagai pemimpin dan ketua kerajaan. Dengan kuasa yang ada padanya, beliau berhak
mengeluarkan larangan dan arahan kepada rakyat jelata dalam mengekang penularan virus
Covid-19. Oleh itu, penggunaan bahasa yang tepat dan bersesuaian akan menentukan tujuan
perutusan tercapai, iaitu memberi peringatan kepada rakyat jelata tentang bahaya Covid-19.

15. Jangan pula gunakan peluang dua minggu ini untuk lepak di kedai mamak.
Jangan saudara-saudari. Ini akan meningkatkan risiko jangkitan. Elakkan
melepak dengan kawan-kawan di restoran, di kopitiam, di pusat hiburan atau
di mana-mana tempat yang boleh mendedahkan saudara-saudari kepada
jangkitan wabak COVID-19.

16. Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke
bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid
untuk berterawih. Jadi berterawihlah di rumah bersama keluarga. Mungkin
juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.

Dalam bidang politik pula, tujuan kempen politik dilakukan adalah untuk mendapatkan
sokongan masyarakat atau pengundi supaya seseorang calon itu dipilih menjadi pemimpin. Oleh
itu, calon tersebut mesti menggunakan ragam bahasa atau retorik yang dapat memujuk,
meyakinkan, dan mempengaruhi pengundi supaya memilih beliau dalam pilihan raya. Dalam
contoh 17, pewacana memanipulasi bahasa melalui frasa permintaan, iaitu Saya pinta, saya
pohon dan saya merayu. Frasa pilihlah yang memanfaatkan partikel -lah pula mempunyai nada
bersifat pujukan dan suruhan supaya para pengundi memilih parti yang diwakili oleh pewacana.
Pewacana juga menggunakan teknik permainan bahasa untuk meraih sokongan para pengundi,
iaitu hati yang tekad nurani yang bulat bagi menggambarkan kesungguhan beliau. Dalam
contoh 18 dan 19 pula, teknik soalan retorik dimanfaatkan secara maksimum oleh pewacana
bertujuan menyampaikan hasrat perjuangan parti politik dan usaha mendapatkan sokongan
daripada generasi muda kepada parti politik yang diwakili oleh beliau.

17
17. “Saya pinta, saya pohon dan saya merayu kepada para pengundi tanpa ragu-
ragu lagi dengan hati yang tekad nurani yang bulat pada PRU ke-14 kali
ini, pilihlah kami Barisan Nasional!”.

18. Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa
aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa
perkara penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya
mereka bercakap secara jujur, ikhlas dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang
perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda di luar sana ghairah untuk
berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO.

19. Saya kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran
dalam perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik?
Adakah pengikut menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan
mereka untuk tabur kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan
pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar?

Di samping itu, dalam wacana manuskrip Melayu seperti kitab perubatan Melayu yang
bertujuan khusus, iaitu mengubati dan menyediakan bahan-bahan rawatan untuk sesuatu
penyakit, lazimnya, pesakit diminta menyediakan sendiri bahan-bahan rawatannya sendiri. Oleh
itu, pengamal perubatan banyak menggembleng kata kerja dan ayat yang bersifat memberi
arahan atau suruhan. Lihat contoh petikan yang diambil daripada Kitab Tib Muzium Terengganu
Edisi dan Huraian Teks, iaitu ubat untuk gigi kuning dan sakit gigi secara jelas memberi arahan
kepada pesakit, iaitu;

20. Sebagai lagi ubat gigi kuning ambil garam dan sakar maka pipis ketiganya
bubuh air madu maka gosokkan pada gigi yang kuning itu, maka jadi bersih
dan harum bau mulutnya, afiat (Harun, 2017, 99).

i. ambil garam dan sakar


ii. pipis ketiganya
iii. bubuh air madu
iv. gosokkan pada gigi yang kuning

21. Sebagai lagi ubat gigi sakit ambil embalau sekupang dan tawas dan bunga
terung asam barang tiga tangkai, maka dibakar, campurkan maka cucukkan
pada gigi nescaya teguh olehnya (Harun, 2017, 99).

i. ambil embalau sekupang, tawas dan bunga terung asam tiga tangkai

18
ii. dibakar
iii. campurkan
iv. cucukkan pada gigi

v. Penerimaan (acceptability)
Ciri penerimaan merujuk kepada khalayak yang menerima sesuatu wacana itu. Idris (2006)
menggunakan istilah ‘kebolehterimaan’ yang bermaksud idea, gagasan, atau mesej yang
diutarakan dalam wacana mesti mampu difahami dan diikuti oleh khalayaknya. Oleh itu, urutan
ayat atau teks dalam wacana bertulis atau ujaran dalam tuturan perlu diberi perhatian. Kalau idea
itu sukar atau mujarad, pewacana wajar memudahkan cara penyampaiannya dengan
memperbanyak keterangan, contoh, huraian, definisi dan lain-lain. Contohnya, wacana lisan
melibatkan penutur - pendengar, manakala wacana tulisan pula melibatkan penulis - pembaca.
Oleh itu, pendengar dan pembaca merupakan khalayak yang menerima sesuatu wacana itu.
Pewacana mesti mengambil kira khalayaknya supaya penghasilan wacana dapat difahami dengan
baik oleh mereka. Hal ini selaras dengan pandangan Güzel & Kiliç (2019) bahawa term
acceptability ini bergantung kepada penerimaan antara individu yang mempunyai latar belakang
pengetahuan yang berbeza-beza.
Seseorang penulis perlu tahu khalayak yang akan membaca penulisannya supaya dapat
menggunakan laras yang sesuai. Lazimnya, khalayak umum terdiri daripada lapisan masyarakat
yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya, manakala
khalayak khusus terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan, latar belakang, dan
minat tertentu, contohnya, wacana ekonomi mensasarkan khalayak yang mempunyai
kecenderungan dan pengetahuan dalam bidang ekonomi dan laras ekonomi perlu digunakan
supaya penyampaian lebih tepat dan sesuai dengan perkara yang diperkatakan (rujuk contoh 22).
Dalam contoh 23, penceritaan watak bapa yang bermain wau bersama-sama cucunya
digambarkan dengan bahasa yang mudah untuk tatapan pembaca atau khalayak umum. Contoh
24 pula merupakan petikan fasal yang keempat belas Hukum Kanun Melaka yang berkaitan
hukum orang yang bertuduh-tuduhan dan sangkal menyangkal. Pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka, masyarakat pada waktu itu menerima dan memahami peraturan atau hukum adat yang
diamalkan oleh negeri Melaka.

19
22. KDNK Malaysia dijangka berkembang pada kadar 6.0% - 7.5% bagi tahun
2021 berikutan permintaan luaran yang lebih kukuh dan peningkatan aktiviti
domestik, menurut Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020 oleh Bank Negara
Malaysia (BNM) yang diterbitkan hari ini. Ini adalah selaras dengan anggaran
Bank Dunia (6.0%) dan Dana Kewangan Antarabangsa (6.5%), di mana
kedua-duanya mengunjurkan bahawa Malaysia bakal mencapai salah satu
kadar pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di rantau ini.

23. Bapa ketawa terkekeh-kekeh sampai nampak anak lidah. Sesekali bapa
melepas tali, sesekali menarik kalut bila wau melayah menjunam. Bukan
senang menjadikan wau stabil. Bila wau naik mencacak semula, bapa pun
melepas tali lagi. Lenggok wau ke kiri dan ke kanan menjadikan cucu-cucu
melompat seronok. Wau naik semakin tinggi. Hampir lapan depa dari pucuk
kepala. Tetapi, sudah habis dilepas. Tiba-tiba angin buat fasal, berpusar-pusar
tidak tentu hala. Wau pun jadi gila. Layangnya lemah dan semakin menurun.
Bapa bersiul-siul panggil angin, tetapi tali semakin kendur (Azizi, 2016, 19).

24. Adapun jikalau menuduh orang mengambil isteri orang maka menang yang
dituduh itu, dibunuh orang yang menuduh itu kerana hukumnya mengambil
isteri orang itu mati hukumnya. Jikalau tiada dibunuh didenda sepuluh tahil
sepaha, di dalam daripada itu melainkan syafaat sekalian hakim juga karena
hukumnya itu mati kerana menolong orang yang teraniya itu wajib pada kita
kerana disuruhkan Allah dan RasulNya. Adapun pada hukum Allah Ta’ala
tiada demikian, hanyalah bersumpah atau bertaubat daripada perbuatan itu.
Demikianlah pada hukum Allah Ta’ala (Abu Hassan, 1995, 64).

vi. Bermaklumat (informativity)


Maklumat ialah berita, keterangan, idea, fikiran, fakta, usulan, dan lain-lain yang ingin
diutarakan oleh pewacana kepada khalayaknya. Wacana yang baik mesti mengandungi
maklumat baru kepada khalayak sasarannya. Jika khalayak wacana sudah mengetahui maklumat
dalam wacana atau teks yang diutarakan, itu dikira tidak memenuhi ciri ini (Idris, 2006, 38).
Oleh itu, sesuatu wacana perlu mempunyai maklumat yang dapat menambah pengetahuan
seseorang tentang perkara yang dibacanya. Contohnya, Perdana Menteri Malaysia ingin
menyampaikan maklumat tentang jumlah pesakit Covid-19 kepada rakyat, iaitu;

25. Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini
bermakna 43% pesakit COVID-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit
yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu, iaitu
sebanyak 118 kes. Jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan
penurunan sejak beberapa hari yang lalu. Jika trend penurunan ini berterusan

20
untuk tempoh dua minggu akan datang, insyaAllah kita akan dapat mengawal
wabak COVID-19 ini daripada menular.

Bahagian ini tidak membincangkan secara mendalam dan lanjut berkaitan aspek aliran
tematik dalam sesuatu ayat atau klausa dalam teks, sebaliknya hanya melihat kehadiran
maklumat dalam ayat. Menurut Idris (2020, 69), ayat dalam teks mesti ‘bermaklumat’ dan
‘relevan’. Bermaklumat bermaksud pengemukaan ‘maklumat baru’ (new) kepada penerima
wacana atau teks, manakala relevan bermaksud pertalian maklumat baru itu dengan maklumat
yang sedia diketahui oleh penerima wacana, atau ‘maklumat lama’ (given), sama ada melalui
koteks terdahulu atau konteks situasi. Dalam memperkatakan perihal maklumat dalam wacana,
dapat dilihat cara-cara sesuatu maklumat itu distrukturkan dalam sesuatu ayat. Sehubungan
dengan itu, dalam membincangkan tentang maklumat, terlebih dahulu dilihat maksud Tema dan
Rema. Menurut Halliday (1994) yang dipetik daripada Idris (2020, 69), Tema ialah bahagian
ayat yang sudah diketahui atau sekurang-kurangnya jelas dalam situasi yang telah dimaklumkan
lebih awal oleh pewacana. Bahagian ini dikenali sebagai ‘maklumat lama’. Tema juga
merupakan unsur yang berfungsi sebagai titik tolak mesej. Rema pula ialah bahagian ayat yang
mengandungi ‘maklumat baru’ sebenar yang ingin disampaikan, yang antara lain, maklumat baru
itu mengayakan pengetahuan pendengar atau pembaca wacana atau teks. Oleh itu, struktur ayat
atau klausa ialah Tema mendahului Rema. Lihat beberapa contoh di bawah ini dan cara-cara
maklumat baru distruktur oleh penulis dalam artikel yang bertajuk Atasi tekanan elak gejala
bunuh diri.

Bil. Tema (maklumat lama) Rema (maklumat baru)


1. KETERBATASAN pergerakan dan boleh menimbulkan stres tidak terkawal.
aktiviti sosial, warga tua kesunyian,
gangguan aktiviti harian seperti
pengajaran dan pembelajaran (PdP),
kehilangan pekerjaan, penutupan
perniagaan serta kerja tanpa henti
dalam kalangan petugas barisan
hadapan
2. Stres boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan
jika dibiarkan berterusan serta tidak
ditangani,ia boleh menyebabkan
kemurungan.
3. Kemurungan boleh memberi impak kepada gangguan
21
fisiologi dan psikologi, akhirnya
mencetuskan kelakuan bawah sedar atau
luar kawal.
4. Kelakuan inilah mungkin yang membawa kepada gejala
bunuh diri.

Jadual 1: Maklumat lama dan maklumat baru dalam artikel bertajuk Atasi tekanan elak
gejala bunuh diri

Ayat dalam teks bukan sahaja membawa maklumat yang boleh menambah pengetahuan
khalayak dan relevan, tetapi maklumat tidak boleh bertentangan dalam sesuatu wacana yang
sama. Sehubungan dengan itu, mesej yang diperkatakan dalam ayat-ayat mesti mempunyai
perkaitan antara satu sama lain dan memperkatakan perkara yang sama.

vii. Keadaan (Situationality)


Wacana yang dihasilkan perlulah mengambil kira tentang keadaan yang mendorong sesuatu
wacana itu dihasilkan oleh pewacana. Oleh itu, pertimbangan keadaan wacana akan membantu
khalayak untuk lebih memahami maksud dan tujuan sesuatu wacana dihasilkan. Contohnya,
Perutusan khas Perdana Menteri berkaitan Covid-19 diadakan berikutan keadaan pandemik yang
sedang melanda dunia, khasnya di Malaysia. Sehubungan dengan itu, perutusan tersebut
bersangkutan dengan pandemik, peringatan dan larangan, maklumat dan laporan kes Covid-19,
dan sebagainya. Berikutan keadaan pandemik yang berlarutan, wujud slogan khusus tentang
pandemik Covid-19, iaitu kita jaga kita dan stay at home. Istilah-istilah lain yang sinonim
dengan keadaan pandemik juga lazim kedengaran dalam pelbagai media arus perdana seperti
barisan hadapan (frontliners), perintah kawalan pergerakan (PKP), perintah kawalan pergerakan
diperketatkan (PKPD), perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), prosedur operasi
standard atau standard operation procedure (SOP), jarak sosial (social distancing), pelitup muka
(facemask), dan hand sanitizer. Selain mengambil kira keadaan yang berlaku, perutusan
berkenaan pandemik Covid-19 disampaikan dengan bahasa yang sesuai dan mudah difahami
oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira latar belakang sosial, pendidikan,
bangsa, dan sebagainya.

22
Idris (2020, 39) mengaitkan keadaan dengan konteks, iaitu konteks linguistik dan konteks bukan
linguistik atau eksperiensial. ‘konteks linguistik’ adalah aspek bahasa yang melatari atau
membentuk wacana. ‘konteks bukan linguistik’ atau ‘konteks eksperiensial’ adalah konteks cara
wacana berfungsi atau berlangsung. Ini temasuklah jenis peristiwa komunikasi yang melatarinya
(seperti adakah ia jenaka, cerita, kuliah, ucap selamat atau perbualan), topik, tujuan, latar, lokasi,
masa, musim, situasi (seperti saiz bilik, susun atur perabot, dan lain-lain), pemeran dan hubungan
di antara mereka, latar belakang pengetahuan bersama tentang perkara yang diwacanakan, dan
andaian yang melatari peristiwa komunikasi itu.

viii. Intertekstualiti (intertextuality)


Intertekstualiti ialah penjalinan wacana atau teks terdahulu yang menghasilkan teks semasa.
Maksudnya, penghasil teks atau pewacana sentiasa memanfaatkan teks atau wacana terdahulu
dalam penghasilan teks atau wacananya (Idris, 2006, 40). Menurut beliau lagi, intertekstualiti
dilakukan melalui pelbagai cara seperti petikan, parafrasa, metawacana (metafora, peribahasa)
yang merupakan wacana terdahulu. Keberjalinan atau intertekstualiti akan memantapkan
sesebuah wacana. Dalam contoh 26, ketika memperkatakan soal perjuangan, pewacana
menyisipkan kata-kata tokoh (WS Rendra) dan ayat al-Quran (Surah al-Saff , 61:2) sebagai unsur
intertekstualiti dalam binaan wacananya. Intertekstualiti bertujuan membantu kefahaman tentang
perkara yang ingin dinyatakan oleh pewacana. Oleh itu, intertekstualiti boleh terdiri daripada
pelbagai maklumat dan sumber daripada teks atau rujukan lain.

26. Digarisbawahi prinsip asas dalam budaya politik KEADILAN bahawa politik
bukan sekadar perebutan kuasa tetapi seperti yang dilakar oleh WS Rendra
yakni; “Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata”

. َ ‫ه َيا اُّ ي أِ ذيَ نَ َّ َ م ال ُنواَ آِ لم وَ نَ ُ ُ وَ نَ لَ م َتُقول ا ل َْتفَع‬


Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang
kamu tidak melakukannya! Al-Saff (61:2)

27. Sengaja disingkap butiran sejarah negara untuk mempertentangkan dengan pola
pemikiran jumud sempit perkauman dan kedaerahan yang masih didambakan
oleh segelintir pemimpin kini. Sayugia diingatkan pejuang kebangsaan Dr

23
Burhanuddin Al Helmy melakar pantun dalam pidato di Perhimpunan PKMM
di Melaka pada tahun 1946:

“Di atas runtuhan kota Melaka


kita bangunkan jiwa merdeka,
bersatulah Melayu seluruh baka,
membela hak keadilan pusaka…”

Rumusan
Berdasarkan pandangan Beugrande & Dressler (1981), tujuh ciri ketekstualan yang telah
dibincangkan dalam bab ini penting dipertimbangkan oleh pewacana dalam menghasilkan teks
yang komunikatif dan bermutu. Beugrande & Dressler (1981) telah memberikan panduan atau
kerangka kepada para pengkaji wacana untuk meneliti data wacana dalam kajian masing-masing.
Daripada tujuh ciri ketekstualan tersebut, aspek kohesi (cohesion) paling banyak mendapat
perhatian para pengkaji dan banyak kajian berkaitan kohesi atau tautan telah dilakukan oleh para
pengkaji. Hal ini menjelaskan bahawa aspek pertautan dan jalinan idea dalam ayat amat penting
supaya wacana yang dihasilkan dapat difahami dengan baik dan berkesan. Selain itu, ciri-ciri
ketekstualan yang lain, iaitu tujuan, penerima, maklumat, keadaan dan intertekstualiti penting
menyumbang ke arah penghasilan wacana yang lebih mantap dan sempurna.

BIBLIOGRAFI

A. Aziz Deraman. (2015). Minda dunia Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abu Hassan Sham. (1995). Hukum Kanun Melaka. Melaka: Penerbitan Perbadanan Muzium
Melaka.
Anuar Darwisy. (2020). Bunian. Kuala Lumpur: Penerbitan kaki Novel Sdn. Bhd.
Asmah Haji Omar 1980. Analisis wacana (Bahagian Akhir). Jurnal Dewan Bahasa, 24 (4), 9-25.
Asmah Haji Omar. (1980). Analisis wacana (Bahagian Pertama). Jurnal Dewan Bahasa, 24 (3),
11-25.
Atasi tekanan elak gejala bunuh diri (Julai, 2021)
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/07/838502/atasi-tekanan-elak-gejala-
bunuh-diri
Azhar M. Simin. (1993). Sintaksis wacana yang dalam bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Brown, G. & G. Yule. (1988). Discourse analysis. Cambridge: Cambridge University Press.
De Beaugrande, R.A & Dressler, W.U. (1981). Introduction to text linguistics. London:
Longman.
Fairclough, N. (1989). Language and power. London: Longman.
24
Fairclough, N. (1992). Discourse and social change. Cambridge: Polity Press.
Fairclough, N. (1995). Critical discourse analysis: the critical study of language. London:
Longman.
Grimes. J.E. (1975). The thread of discourse. The Hague: Mouton.
Güzel, S., & Kiliç, V. (2019). The Textual Analysis Of William Blake’s Holy Thursday From
Songs Of Experience. Veysel Electronic Turkish Studies, 14 (6), 3249-3260.
Halliday, M.A.K. & R. Hasan. (1976). Cohesion in English. London: Longman.
Hassan Ahmad. (2009). Ke luar jendela. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Idris Aman. (2006). Bahasa dan kepimpinan: analisis wacana Mahathir Mohamad. Bangi:
Penerbit Universiti kebangsaan Malaysia.
Idris Aman. (2020). Analisis wacana. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Idris Aman & Kamila Ghazali (ed.). (2016). Praktis Analisis Wacana. Kuala Lumpur: University
of Malaya Press.
Kamila Ghazali. (2004). The rhetoric of Dr. Mahathir Mohamad a critical discourse perspective.
Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
KDNK Malaysia dijangka melonjak 6.0 – 7.5 % pada tahun 2021. (Mac, 2021)
https://www.mof.gov.my/ms/berita/siaran-media/kdnk-malaysia-dijangka-melonjak-6-0-7-
5-pada-tahun-2021
Mauro Giuffrè. (2017). Text Linguistic and classical Study Dressler and de Beaugrande’s
Procedural Approach. Itay: Springer International Publishing AG.

Memperkasa Reformasi, Memaknai Demokrasi Teks Ucapan Dasar Presiden Anwar Ibrahim
(Disember, 2019). https://keadilanrakyat.org/wp-content/uploads/2019/11/UCAPAN-
DASAR-PRESIDEN.pdf

Rohaidah Haron. (2016). Bahasa dan identiti wacana Mohd Najib Razak. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Rohaidah Haron. (2018). Wacana lisan perspektif undang-undang. Kuala Lumpur: ITBM.
Sanat Md. Nasir (1996). Tautan dalam wacana bahasa Melayu akhbar: analisis rencana
pengarang Utusan Zaman (1957-1961). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sinclair, J.M., & Coulthard, M. (1975). Towards an analysis of discourse. London: Oxford
University Press.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2010). Pragmatik linguistik. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Tannen, D., Hamilton, H. E. & Schiffrin, D. (2015). The handbook of discourse analysis. UK:
Wiley Blackwill.
TEKS PERUTUSAN KHAS YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN. (April, 2020).
https://portal.mda.gov.my/documents/ukk/1394-teks-perutusan-khas-yab-pm-10042020/
file.html
TEKS UCAPAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN PADA
MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN WANITA, PEMUDA DAN
PUTERI 2014. (November, 2014)

25
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2014/11/19640/teks-ucapan-timbalan-presiden-
umno-tan-sri-muhyiddin-yassin-pada-majlis
van Leeuwen, T. (2008) Discourse and practice: new tools for critical discourse analysis: New
York: Oxford University Press.
van Dijk, T. A. (1994). Editorial. Critical Discourse Analysis. Discourse & Society, 5 (4).
Weiss, G., & Wodak, R. (Ed.). (2003). Critical discourse analysis theory and interdisciplinarity.
New York: Palgrave Macmillan.
Wong Khek Seng. (1995). Kesinambungan topik dalam bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Yoce Aliah Darma. (2014). Analisis wacana kritis dalam multiperspektif. Bandung: PT Refika
Aditama.
Zul Hilmei & Mohamad Rohani. (2019). Fakta sainstifik Surah Yasin. Selangor: Must Read Sdn.
Bhd.

26

Anda mungkin juga menyukai