Anda di halaman 1dari 7

Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan
tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan
pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al - Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat
Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.

Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom
yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang
membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai
negeri Kedah Zamin Turan.
Penulisan hikayat ini menggemblengkan ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan
Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk
agama Islam. Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur
pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukaka asal
usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembukaan
negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan
terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan
oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kacamata masyarakat
sezaman.
Walaupun tidak semua hasil penulisan sejarah tradisional ditulis berdasarkan ciri-ciri
penulisan sejarah tetapi hanya sebahagian daripada ciri-ciri tersebut, Hikayat Merong
Mahawangsa tertulis dengan berpandukan kelima-lima ciri penulisan sejarah yang
memaparkan konsep sejarah masyarakat zaman silam.
Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri
berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya,
sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh
Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja
Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan
kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam
pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan
dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia
akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan
Raja China. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau
Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja
Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong
Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong
Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya
membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga,
seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di
Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri
Mahawangsa
Pengarang tidak menyebut langsung perkaitan antara negeri Kedah dengan negeri
Perak dan Patani tetapi menggambarkan wujudnya pertalian yang erat antara negeri Kedah
dengan negeri Siam. Pengarang menceritakan bagaimana bermulanya tradisi penghantaran
bunga emas dan bunga perak oleh negeri Kedah kepada Siam bila Raja Seri Mahawangsa
(Raja Kedah yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat putera.
Terus raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan
hingga ke akhir zaman setiap kali mendapat putera.

Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah puteranya, Raja Seri Maha Inderawangsa
menentang perintahnya dan berkahwin dengan puteri bangsa gergasi. Perkahwinan inilah
yang melahirkan Raja Bersiung, raja yang paling terkenal dalam hikayat ini. Raja Ong Maha
Perita Deria atau lebih terkenal sebagai Raja Bersiung menjadi seorang Raja yang zalim
terhadap rakyatnya sendiri dan tersingkir dari takhta. Baginda diganti oleh puteranya yang
bergelar Raja Phra Ong Mahaputisat yang digantikan pula oleh puteranya, Raja Phra Ong
Mahawangsa.
Dalam zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsalah, negeri Kedah menerima
Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah. Baginda merupakan raja Kedah pertama memeluk
Islam dan menukar namanya kepada Sultan Mudzaffar (sic Muzaffar) Syah. Setelah selesai
meletakkan asas keislaman di negeri itu, Syeikh Abdullah pulang ke Baghdad. Sultan
Mudzalfal Syah diganti oleh puteranya bergelar Sultan Mu'azzam Syah. Hikayat diakhiri
dengan jurai keturunan raja-raja yang memerintah Kedah hingga ke Sultan Ahmad Tajuddin
Halim Syah, raja yang memerintah semasa hikayat ini disalin kali terakhir.
Jelas kelihatan bahawa hikayat ini dikarang selepas ketibaan Islam dan pengarang
banyak memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa tertentu yang menyerlahkan asal-usul
rajanya, pertalian dengan Siam yang menceritakan mengikut kebijaksanaan pengarang untuk
menjaga kedaulatan raja dan negerinya, kisah kedatangan Islam yang sengaja dikemukakan
berbeza dengan kedatangan Islam ke Pasai dalam Hikayat Raja Pasai dan kedatangan Islam
ke Melaka dalam Sulalat al Salatin (Sejarah Melayu) dan lain-lain peristiwa. Ini
membuktikan bahawa hikayat ini dikarang secara sedar oleh pengarangnya dengan tujuan
mengagungkan kedaulatan raja dan negerinya (Siti Hawa Salleh).

1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
6.0
i.

ii.

Jurai keturunan dalam Hikayat Merong Mahawangsa


Raja Merong Mahawangsa
Raja Merong Mahapudisat
Raja Seri Mahawangsa
Raja Seri Maha Inderawarga
Raja Ong Maha Perita Deria( Raja Besiung)
Raja Phra Ong Mahaputisat
Raja Phra Ong Mahawangsa
Falsafah Hidup dalam Hikayat Merong Mahawangsa
Menghormati autoriti
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, dapat dilihat falsafah hidup burung garuda yang
tetap menghormati Nabi Allah Sulaiman sebagai autoriti dan yang berkuasa di dunia pada
waktu itu. Walaupun burung garuda tersebut merancangkan kejahatan dengan berniat mahu
memisahkan Raja Rum dengan puteri benua China, dia tetap bertanya dan merujuk kepada
Nabi Allah Sulaiman untuk memberitahu akan rancangannya itu.
Maka kata burung garuda kepada burung rajawali: Dimana dapat ia sekalian hendak
mengerjakan pekerjaan itu? Pada fikiranku tiada boleh jadi, tetapi nantilah dahulu, aku
hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman karena ia itu raja besar di dalam dunia ini.
Jikalau sudah ada seperti yang demikiann itu, tiadalah aku beri jadi pekerjaan nikah
keduanya anak raja dua buah negeri itu
(halaman 3)
Percaya kepada takdir

iii.

iv.

Falsafah hidup ini dapat kita lihat dalam diri Nabi Allah Sulaiman. Baginda sangat percaya
kepada takdir. Hal ini dapat dilihat dalam kepercayaan baginda mengenai jodoh pertemuan
yang tidak dapat dipisahkan.
Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, Hai burung garuda, demi Tuhan yang menjadikan aku,
adapun jodo pertemuan itu didalam batu atau didalam kayu sekalipun tiada yang dapat
mencheraikan dia
(halaman 3)
Berpegang kepada janji
Sungguhpun, burung garuda memasang niat yang tidak baik dan merancang perpisahan
antara raja Rum dan puteri raja benua China, namun dia seorang yang berpegang kepada
janji. Burung garuda berjanji kepada Nabi Allah Sulaiman akan mengundurkan diri dan tidak
mengganggu kedua-dua anak raja tersebut andainya dia tidak berjaya memisahkan keduaduanya. Janji burung garuda ini ditepatinya dan dia pergi membawa diri ke laut Kalzum yang
jauh daripada manusia.
Maka sembah burung garuda, Ya Nabi Allah, akan pekerjaan itu atas hambamulah
mencheraikan dia. Jika tiada dapat hamba mencheraikan anak raja kedua itu nischaya
hamba undurlah daripada bawah langit dan atas bumi daerah tempat kediaman segala
manusia sekalian ini.
(halaman 3-4)
Maka sembah burung garuda, Jikalau ada hidup anak Raja Rum itu serta bertemu dengan
anak Raja China yang perempuan tiga berhamba itu, bahwa sesungguhnya tiadalah
hambamu ubahkan seperti janji hambamu daripada zaman ini hendak berundur diri
daripada segala kaum sifat manusia itu dan dimanakan boleh hambamu mungkirkan janji
hambamu dengan Nabi Alla hendak undur dari bawah langit dan atas bumi yang didiami
oleh segala manusia, ya Nabi Allah. Beranikah hambamu membuat dusta kepada Nabi
Allah?
(halaman 20-21)
Maka burung garuda itupun berdatang sembah, Ya Nabi Allah, hambamu pohonkan ampun
banyak2 diatas nyawa badan hambamu daripada kesalahan hambamu yang telah lalu itu. ya
Nabi Allah, mohonlah hambamu pada tahun, bulan, hari ini, hendak pergi keluar daripada
bawah langit dan bumi ini, barang kemana hambamu bawa diri, hambamu diberi izin oleh
Nabi Allah diatas hambamu ini.
(halaman 22)
Taat kepada pemerintah
Falsafah hidup ini telah sebati dan diamalkan dalam diri rakyat yang terdapat dalam Hikayat
Merong Mahawangsa. Jika dilihat, rakyat jelata menanamkan dalam diri mereka hati yang
taat kepada pemerintah walau bagaimanapun pemerintah atau arahan yang diberikan. Ini
dapat dilihat dalam pemerintahan Raja Bersiung. Rakyat jelata masih bertahan berada dalam
pemerintahan baginda biarpun baginda seorang yang kejam. Bukan sahaja rakyat jelata yang
taat kepada pemerintah, malah seorang yang mempunyai kesaktian dan ditakuti raja-raja,
iaitu Raja Merong Mahawangsa. Raja Merong Mahawangsa menerima arahan daripada Raja
Rum untuk membawa anaknya ke benua China untuk dikahwinkan dengan puteri benua
China.
Maka titah Raja Rum kepada Raja Merong Mahawangsa, Hai saudara hamba, hendaklah
saudara pergi ke Benua China, ganti hamba membawa pergi paduka anakanda ini,
kahwinkan dengan anak Raja Benua China. Maka sembah Raha Merong Mahawangsa,
Baiklah, tuanku, barang yang dititahkan itu patik kerjakan, tuanku.

v.

vi.

vii.

(halaman 5)
Demi didengar oleh sekaliannya titah Raja Merong Mahawangsa yang demikian itu, maka
sekalian itupun mengerahkan sekalian orangnya suruh beringat-ingat serta memegang
senjata masing2 tangan.
(halaman 7)
Mengagungkan dan mempercayai kekuasaan Tuhan
Hikayat Merong Mahawangsa ini juga memperlihatkan betapa Nabi Allah Sulaiman sangat
mengagungkan dan mempercayai akan pekerjaan dan kekuasaan Tuhan. Baginda percaya
bahawa hanya Tuhan yang mempunyai kuasa atas segalanya dan manusia atau makluk Tuhan
tidak dapat menentukan sesuatu perkara sekalipun. Baginda percaya kepada janji Tuhan dan
kekuasaan Tuhan. Kepercayaan baginda dapat dilihat semasa baginda berkata-kata dan
memberi pengajaran dan tauladan kepada raja-raja dan menteri-menteri berkenaan dengan
tindakan burung garuda yang cuba mencabar kekuasaan Tuhan dengan memisahkan manusia
yang telah ditetapkan-Nya untuk bersatu.
Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, Hai segala raja2 dan menteriku bangsa yang baik2,
hendaklah engkau dan kamu sekalian ketahui, demi Tuhanku yang menjadikan aku dan kamu
sekalian diatas segala makluknya, dalam empat perkara ini hendaklah jangan sekali-kali
ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada Tuhan alam. Pertama rezki, sedikit atau
banyak ada sehari semalam itu tiadalah segala makluk hendak tentukan, sekalian dengan
janjinya juga. Kedua, perkara yang memutuskan rezkinya, seperti yang akan datang mara
dan maut, hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat
kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua. Ketiga, perkaranya jodo
pertemuan satu2 makluknya; jikalau berhimpunlah seisi alam dunia ini daripada segala
bangsa yang dijadikan Allah Taala, hendak mencheraikannya, melainkan dengan kehendak
Tuhan yang menjadikan sekalian alam jua, dengan janjinya. Keempat, perkara pencheraian
yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya,
tiadalah boleh, melainkan dengan sekaliannya itupun dengan janjinya jua.
(halaman 22)
Mengambil keputusan daripada tindakan yang difikirkan
Falsafah hidup dalam karya agung ini juga turut memperlihatkan bahawa terdapatnya
manusia yang mengambil keputusan berdasarkan tindakan yang difikirkannya. Contohnya,
anak tengah Raja Merong Mahapudisat disuruh ayahandanya mencari bumi yang baik untuk
membina negeri baru. Baginda bertemu dengan beberapa pulau yang cantik dan sesuai
dijadikan penempatan. Oleh hal demikian, baginda mengambil keputusan untuk memilih
sebuah pulau sahaja yang terkena dengan anak panahnya itu.
Maka diambilnya sebiji anak panahnya daripada perak yang amat putih, lalu dikenakannya
kepada busurnya yang bernama Panah Indera Sakti, katanya, Hai Indera Sakti, jatuhlah
engkau kepada bumi pulau tiga empat biji itu. dimana engkau jatuh sekarang, disitulah aku
perbuat negeri dan kota parit tempat aku diam. Maka ditariknya busurnya itu serta
memanahkan ke udara berdengung-dengung bunyinya seperti kumbang menyering bunga
lakunya, hilang ghaib. Seketika datanglah jatuh pada suatu tempat pulau; dengan sebab
itulah dinamakan Pulau Indera Sakti.
(halaman 38)
Memelihara hubungan baik sentiasa

viii.

ix.

Dalam hikayat ini, Raja Seri Mahawangsa berfikir dan berharap akan hubungan baik antara
dia dan adik beradiknya akan berkekalan sampai anak cucunya. Dengan demikian, nama baik
sahaja yang diingat orang pada masa akan datang, bukannya kejahatan.
Apa juga yang baik aku hendak membalaskan akan anak saudaraku itu, dengan tilik
nazarnya dan fikirnya yang putus didalam hatinya, biarlah jangan lagi tersebut nama
kejahatan pada seisi alam dunia ini, supaya jangan jadi berputusan daripada umur aku ini
boleh sampai pada anak chuchu jangan tersebut nama kejahatan pada segala raja2 dan
pada khalayak sekalian.
(halaman 42)
Maka utusan itupun diberinya persalinan, dan hadiah akan paduka kakanda pula dengan
beberapa pakaian yang indah2 dan kain yang halus2 serta dipesan pula oleh Raja Seri
Mahawangsa dengan titahnya, Hendaklah tuan hamba sekalian sembahkan pada saudara
kita, jika ia beroleh anak beri jua khabar ke negeri Kedah ini, demikianlah kita hantarkan.
Jikalau kita tiada sekalipun, kita pesan taruh kepada anak chuchu kita biar sampai kepada
akhir zaman, nischaya tersebutlah nama kita pada alam dunia ini tanda kita berkasihkasihan.
(halaman 43)
Maka titah Raja Benua Siam, Jikalau ada sekiranya datang didalam negeri saudara kita itu
sesuatu hal seperti datang ke Benua Siam inilah, jika sakit ia, sakitlah kita, karena pula
paduka adinda itu saudara kita, demikianlah pada fikiran kita siang dan malam. Maka kamu
sekalianpun hendaklah demikian jua fikirnya, supaya menjadi baik disebut orang nama kita.
(halaman 44)
Pemenang akan berkuasa
Falsafah hidup ini dapat dilihat dalam diri Raja Kelana Hitam. Baginda berminat untuk
menjadi raja negeri Kedah memandangkan sebelum ini terdapat perkhabaran bahawa negeri
tersebut tidak beraja sampailah mereka menemukan anak Raja Bersiung dan menabalkannya
menjadi raja. Apabila diceritakan keadaan Kedah yang sudah kembali beraja, Raja Kelana
Hitam tidak berpuas hati. Oleh sebab itu, baginda memutuskan untuk mengambil negeri
Kedah secara rampasan jika tidak diizinkan menjadi raja.
Demi didengar oleh Raja Kelana Hitam, maka naik marahlah ia, mukanya merah seperti
bunga raya, serta titahnya, Main yang mana kamu tewas dan peperangan yang mana kamu
sudah alah, tiada patutkah aku menjadi raja didalam negeri Kedah? Jika tiada boleh aku
menjadi raja dengan baik, maka kuambil juga dengan senjataku. Maka hendaklah kamu
katakan pada penghulu engkau itu, jikalau ia hendak menggalang-galang dan menyekat
kami sekalian ini hendak pergi ke negeri Kedah itu, keluarlah ia ke medan peperangan
melihatkan pertikaman kami, baik esok atau sekarang ini, itupun yang mana jadi keseukaan
kamu.
(halaman 70)
Memerintah dengan kasih
Falsafah hidup ini diceritakan oleh menteri Kelahum kepada Raja Phra Ong Mahapudisat
supaya baginda berpegang kepada falsafah tersebut dalam pemerintahannya. Dia mengajar
dan menasihati Raja Phra agar sentiasa memiliki kasih kepada rakyat jelatanya. Dengan
kasih, baginda pasti dapat memerintah dengan bijaksana dan menjadi pemerintah yang
disayangi oleh rakyat.
Setelah itu lalu diperjamukan makan minum pula kepada sekaliannya itu serta dengan
memalu bunyi-bunyian dan mengajarkan Raja Phra Ong Mahaputisat itu sharat orang
menjadi raja: Mahulah baik2, menaruh sabar dan mengasihani diatas segala rakyat bala

7.0

dan daripada hamba sahaya sekalipun mahulah dengan adil dan murah hati dengan
memberi derma kurnia sedekah akan fakir miskin dan yang patut dibunuh sehari itupun
hendaklah ditaruh sampai tiga empat hari supaya dihalusi baik2 baru dibunuh dan yang
mana menjadi raja didalam negeri Kedah bumi tanah itupun jangan duduk setempat buat
kota parit tempat yang diam itu dan mahulah ada seorang raja yang memegang negeri
mahulah suatu kota. Maka menjadi ramailah orang bumi tanah Kedah ini. Adapun tanah
bumi ini baharulah sangat menjadi daratan tempat kita duduk inipun baik tempat bumi tanah
yang baik dengan daratan boleh diperbuat seperti kota parit akan tempat segala raja2
hendak dibuat negeri duduk itu.
(halaman 78)
Rumusan
Secara keseluruhannya, Hikayat Merong Mahawangsa menampilkan banyak falsafah hidup
yang digunakan oleh golongan pemerintah, golongan antagonis mahupun rakyat jelata.
Falsafah hidup ini menjadi pegangan dalam diri mereka sehingga tindakan mereka banyak
dipengaruhi oleh falsafah hidup yang diciptakan sendiri mahupun diajarkan oleh orang lain.
Falsafah hidup dalam Hikayat Merong Mahawangsa sangat berguna dalam kehidupan
seharian. Fungsinya dapat membimbing rakyat dan pemimpin dalam mengolah corak
kehidupan dan pentadbiran. Falsafah hidup yang meletakkan Tuhan yang paling berkuasa
seperti yang dipegang oleh Nabi Allah Sulaiman menunjukkan ketaatan baginda sebagai umat
Allah. Falsafah hidup ini menjadi panduan dalam kehidupannya. Oleh hal yang demikian,
jelaslah bahawa masyarakat dalam Hikayat Merong Mahawangsa memiliki falsafah hidup
dalam kehidupan seharian mereka.
Rujukan
Dharmawijaya (1971). Ulasan dan Kajian Hikayat Merong Mahawangsa. Melaka: Penerbit
Abbas Bandong
Mana Sikana (1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mohd. Rashid et.al. (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu (KRB3063). Tanjong Malim:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd. Rashid Md. Idris & Abu Hassan Abdul (2010). Falsafah Pendidikan Bahasa. Tanjong
Malim: Emeritus Publications.
Siti Hawa Salleh (1991). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya.
Siti Hawa Salleh (1970). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur:Singapura:
University of
Malaya Press.
Yayasan Karyawan (2000). Pengenalan Konsep dan Gagasam Karya Agung Yayasan
Karyawan.Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Vani Vardiansyah (2012). Falsafah Hidup. Diakses pada 18 April 2014 daripada

http://filsafatilmukomunikasi.blog.esaunggul.ac.id/2012/10/23/32-falsafah-hidup/
Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (2014). Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa.
Diakses
pada 18 April 2014 daripadahttp://www.mykedah2.com/10heritage/111_3.html

Anda mungkin juga menyukai