Anda di halaman 1dari 5

Analisis unsur teks Hikayat yang berjudul Merong Mahawangsa

Nama : Maulana Dwi Ramadhan


Absen :20

TEKNIK PEMBANGKIT TENAGA LISTRIK


SMKN 2 KRAKSAAN
2023
Hikayat Merong Mahawangsa
Dan Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu
tradisional tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang
dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al – Salatin (Sejarah
Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.
Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang
dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang
membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai
negeri Kedah Zamin Turan.
Penulisan hikayat ini menggemblengkan ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan
Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk
agama Islam. Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur
pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukaka asal
usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembukaan
negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan
terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan
oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kacamata masyarakat
sezaman.
Walaupun tidak semua hasil penulisan sejarah tradisional ditulis berdasarkan ciri-ciri
penulisan sejarah tetapi hanya sebahagian daripada ciri-ciri tersebut, Hikayat Merong
Mahawangsa tertulis dengan berpandukan kelima-lima ciri penulisan sejarah yang
memaparkan konsep sejarah masyarakat zaman silam.
Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan
mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada
bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam.
Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah
ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan
kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam
pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan
dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia
akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan
Raja China. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau
Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja
Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong
Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong
Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya
membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga,
seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di
Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri
Mahawangsa
Pengarang tidak menyebut langsung perkaitan antara negeri Kedah dengan negeri Perak
dan Patani tetapi menggambarkan wujudnya pertalian yang erat antara negeri Kedah dengan
negeri Siam. Pengarang menceritakan bagaimana bermulanya tradisi penghantaran bunga
emas dan bunga perak oleh negeri Kedah kepada Siam bila Raja Seri Mahawangsa (Raja
Kedah yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat putera. Terus
raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hingga ke
akhir zaman setiap kali mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah puteranya, Raja Seri Maha Inderawangsa
menentang perintahnya dan berkahwin dengan puteri bangsa gergasi. Perkahwinan inilah
yang melahirkan Raja Bersiung, raja yang paling terkenal dalam hikayat ini. Raja Ong Maha
Perita Deria atau lebih terkenal sebagai Raja Bersiung menjadi seorang Raja yang zalim
terhadap rakyatnya sendiri dan tersingkir dari takhta. Baginda diganti oleh puteranya yang
bergelar Raja Phra Ong Mahaputisat yang digantikan pula oleh puteranya, Raja Phra Ong
Mahawangsa.
Dalam zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsalah, negeri Kedah menerima
Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah. Baginda merupakan raja Kedah pertama memeluk
Islam dan menukar namanya kepada Sultan Mudzaffar (sic Muzaffar) Syah. Setelah selesai
meletakkan asas keislaman di negeri itu, Syeikh Abdullah pulang ke Baghdad. Sultan
Mudzalfal Syah diganti oleh puteranya bergelar Sultan Mu’azzam Syah. Hikayat diakhiri
dengan jurai keturunan raja-raja yang memerintah Kedah hingga ke Sultan Ahmad Tajuddin
Halim Syah, raja yang memerintah semasa hikayat ini disalin kali terakhir.
Jelas kelihatan bahawa hikayat ini dikarang selepas ketibaan Islam dan pengarang banyak
memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa tertentu yang menyerlahkan asal-usul rajanya,
pertalian dengan Siam yang menceritakan mengikut kebijaksanaan pengarang untuk menjaga
kedaulatan raja dan negerinya, kisah kedatangan Islam yang sengaja dikemukakan berbeza
dengan kedatangan Islam ke Pasai dalam Hikayat Raja Pasai dan kedatangan Islam ke
Melaka dalam Sulalat al Salatin (Sejarah Melayu) dan lain-lain peristiwa. Ini membuktikan
bahawa hikayat ini dikarang secara sedar oleh pengarangnya dengan tujuan mengagungkan
kedaulatan raja dan negerinya (Siti Hawa Salleh).
Sinopsis Merong Mahawangsa
Unsur Intrinsik Merong Mahawangsa

Anda mungkin juga menyukai