Anda di halaman 1dari 6

Dalam era dunia tanpa sempadan ini penggunaan dan pengaplikasian Teknologi Maklumat dan

Komunikasi (TMK) sebagai alat pengajaran diyakini dapat meningkatkan kualiti pembelajaran.
Hal ini adalah kerana, dengan pengaplikasian TMK, guru dapat meningkatkan tahap kecekapan
dan kemahirannya untuk mencapai hasil pembelajaran yang ditentukan dan dapat mewujudkan
suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan serta bermakna kepada murid.
Menurut Rusmini Ku Ahmad (2012), menyatakan bahawa integrasi TMK dalam pendidikan
adalah penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah
kemahiran semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Oleh hal yang demikian,
dengan adanya pengintegrasian TMK ini dapat memberikan nilai tambah kepada setiap aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru.
Menurut Jegayobi dan Subramaniam (2007), menyatakan bahawa TMK dikatakan
sebagai alat pemudah komunikasi apabila digunakan untuk membolehkan murid dan guru
daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat yang berbagai
bentuk. Contohnya penggunaan Virtual Learning Education Frog (VLE) membantu guru
meningkatkan kemahirannya untuk memberi tugasan, mengikuti kerja-kerja dan markah pelajar
serta menghasilkan sumber pengajaran yang menarik yang dapat dijadikan rujukan oleh muridmurid. Frog VLE membantu guru dan murid untuk membina hubungan dalam talian dan secara
tidak langsung pembelajaran dapat dilaksanakan di mana-mana sahaja, 24 jam dalam sehari
dan 7 hari dalam seminggu dengan adanya kemudahan internet. Misalnya murid menghantar
tugasan kepada guru semasa musim cuti sekolah, guru pula boleh menyemak tugasan yang
dihantar oleh muridnya walaupun mereka berada di lokasi yang berbeza.
Sekiranya murid berhadapan dengan masalah atau kekeliruan untuk menyelesaikan
tugasan, mereka boleh menggunakan ruang forum yang terdapat untuk berbincang dan
menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dengan pengintegrasian TMK dalam bidang pendidikan
dapat membantu murid untuk mencapai bahan pembelajaran pada bila-bila masa dan di mana
jua mereka berada, bahan sokongan pembelajaran boleh dirangkaikan dari sumber tambahan
yang berada di seluruh dunia, pengurusan dan pengemaskinian bahan pembelajaran menjadi
semakin mudah dan pantas serta pelbagai bentuk saluran komunikasi boleh disediakan bagi
kegunaan murid dan juga guru. Selain itu, melalui penggunaan komunikasi elektronik, net
meeting, chatroom dan sebagainya memberikan ruang dan peluang kepada guru dan murid
untuk bertukar-tukar idea sesama sendiri atau dengan guru dan murid dari sekolah lain.
Komunikasi dan pertukaran maklumat bukan sahaja boleh dilakukan bersama dengan individu

yang berada di dalam negara tetapi turut boleh dilaksanakan dengan individu yang berada di
luar negara. Ironinya, di samping murid-murid mencari maklumat mengenai pelajaran mereka
juga dapat belajar dan mendapat ilmu baharu mengenai budaya masyarakat negara lain.
Pengintegrasian TMK dalam bidang pendidikan juga dapat membantu guru untuk
meningkatkan tahap kemahiran dan kecekapannya dalam menyampaikan sesuatu maklumat
secara lebih efektif dan interaktif hasil daripada gabungan pelbagai jenis media seperti audio,
teks, grafik, video dan animasi yang terdiri daripada pelbagai corak dan warna yang dipaparkan
di dalam sebuah skrin sahaja. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1992), perkataan
interaktif membawa maksud interaksi atau saling bertindak. Manakala interaktiviti pula adalah
memberikan peluang kepada murid untuk terlibat dan meneroka dalam pelbagai cara. Melalui
interaktiviti ini, murid akan terlibat secara aktif semasa proses pembelajaran. Penglibatan aktif
murid dapat meningkatkan tahap motivasi serta minat mereka terhadap mata pelajaran yang
dipelajari. Proses penyampaian maklumat berlaku lebih berkesan apabila guru menggunakan
media interaktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran kerana media yang interaktif
berupaya untuk meningkatkan tahap penumpuan murid pada persembahan isi pelajaran yang
disampaikan berbanding dengan guru menggunakan kaedah chalk anda talk sahaja.
Misalnya media interaktif yang dipaparkan oleh guru terdiri daripada gabungan pelbagai elemen
audio, imej, grafik, teks, video dan animasi memberikan peluang kepada murid untuk merasa
dengan menggunakan semua pancaindera mereka terhadap isi pelajaran yang ingin
disampaikan oleh guru. Oleh sebab itu, murid dapat mengekalkan tahap tumpuan mereka
berbanding dengan guru yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis serta buku teks
sahaja menyebabkan murid-murid cepat bosan. Apabila mereka bosan dengan secara tidak
langsung murid-murid tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dan memahami isi
pelajaran yang disampaikan seterusnya proses pembelajaran yang berlangsung menjadi tidak
bermakna. Situasi yang terjadi turut disokong oleh Vaughon (1998) yang menyatakan bahawa
media interaktif ternyata mampu menarik perhatian serta mudah untuk difahami berbanding
penggunaan bahan-bahan yang statik dan bisu. Penggunaan bahan-bahan yang statik dan bisu
menjadi kurang sesuai untuk diaplikasikan kepada murid-murid pada abad ini.
Dalam pada itu juga, media interaktif turut menyediakan maklumat yang lebih dan
pantas kepada murid. Secara langsung apabila guru menggunakan media interaktif semasa
proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu membina kefahaman murid pada aras

yang lebih tinggi serta meningkatkan corak ingatan yang lebih kompleks. Menurut Hafstetter
dalam Kamaruzaman Jusof & Khairul Azhar Mat Daud (2010), menyatakan multimedia interaktif
terbukti berkesan dalam membentuk serta mengekalkan maklumat untuk tempoh masa yang
panjang dan ianya boleh dicapai kembali dalam masa yang lebih pantas berbanding kaedah
pengajaran tradisi. Penggunaan media interaktif di dalam bilik darjah menjadikan proses
pembelajaran bermakna kepada murid dan dapat membantu mereka dalam meningkatkan
proses capaian maklumat tersebut di masa hadapan apabila diperlukan untuk menyelesaikan
sesuatu masalah.
Lain daripada itu, TMK turut membantu guru meningkatkan kecekapan dan
kemahirannya untuk mencari dan menyediakan maklumat atau sumber pengajaran dan
pembelajaran yang lebih meluas kepada murid seterusnya dapat meningkatkan kualiti
pembelajaran di dalam bilik darjah. Misalnya guru membuat rujukan terhadap portal-portal
pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar. Melalui portal pendidikan
tersebut membantu guru untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada murid
semasa berada di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, guru ingin menunjukkan suatu
eksperimen sains yang dijalankan. Dengan adanya kemudahan TMK ini, guru dapat
berulangkali menunjukkan eksperimen tersebut kepada murid sehingga mereka memahami isi
pelajaran yang ingin disampaikan berbanding dengan guru menggunakan kaedah tradisi di
mana hanya sekali sahaja dapat ditunjukkan kepada murid. Tambahan pula, menurut Zalina
Yahaya (2002), menyatakan setiap bahan di dalam portal sentiasa dikemaskini dan murid
mendapat banyak bahan baru berbanding dengan buku teks yang diperbaharui dari masa ke
semasa. Secara tidak langsung dengan kemudahan yang wujud dapat membantu meringankan
tugas guru kerana pengajaran boleh diulang mengikut keperluan murid.
Di samping itu juga, dengan kemudahan TMK membantu guru menyediakan sumber
pembelajaran yang bermakna kepada murid. Misalnya, guru menggunakan aplikasi hamparan
elektronik semasa proses pembelajaran. Menurut Walkenbach (2003), aplikasi hamparan
elektronik yang merujuk pada Microsoft Excel adalah mesra pengguna kerana ia
memperkenalkan beberapa ciri baru yang memudahkan pengguna. Ciri-ciri baru meliputi
pembinaan carta, analisis data dan tool bar yang diperkembangkan mengikut aplikasi Microsoft
Word. Sebagai contoh, dalam subjek sains telah dijalankan eksperimen untuk mengukur dan
merekodkan isi padu air yang disimpan dalam botol yang berlainan dan pada ketinggian yang
berbeza. Guru mengaplikasikan hamparan elektronik dengan menterjemahkan data yang

diperoleh dalam bentuk graf. Kesan yang diperoleh adalah murid-murid lebih memahami dan
dapat membuat perbandingan garis lengkung pada graf yang berbeza untuk botol yang
berlainan. Pembelajaran yang berlangsung menjadi lebih bermakna kepada murid. Tambahan
pula, dengan menggunakan hamparan elektronik tersebut guru dapat menggunakan pelbagai
warna dan bentuk untuk meningkatkan tahap pemahaman dan ingatan murid. Situasi yang
berlaku ini disokong oleh Abdul Halim (2008), yang menyatakan bahawa pelbagai perisian yang
digunakan dapat menambah pengetahuan kanak-kanak, memberikan pengalaman bermakna
dan dapat meningkatkan kemahiran kanak-kanak dalam mempelajari pelbagai bidang ilmu.
Di samping itu juga, menurut Rosenberg (2001), menyatakan integrasi TMK dalam
pengajaran dan pembelajaran memberi peluang kepada guru untuk memperkenalkan
pembelajaran secara kontekstual kepada murid seterusnya dapat meningkatkan kualiti
pembelajaran. Secara ringkasnya, pembelajaran secara kontekstual merujuk kepada suatu
proses pendidikan yang holistik dan bertujuan untuk memotivasikan murid bagi memahami
makna pelajaran yang dipelajarinya dengan mengaitkannya dengan kehidupan seharian
mereka. Melalui pengaplikasian TMK membantu murid untuk menguasai pelbagai kemahiran
manipulatif. Sebagai contoh kemahiran pemprosesan perkataan, pengkalan data dan
pembentangan dengan menggunakan alat-alat teknologi. Menurut Abell & Lederman (2007),
menyatakan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan sekiranya teori yang berbentuk abstrak
boleh dipelajari oleh murid secara praktikal dan kontekstual.
Misalnya, murid-murid akan diberikan tugasan dan dikehendaki menyelesaikan tugasan
tersebut supaya diri mereka dapat berhadapan dengan situasi sebenar untuk menyelesaikan
masalah tersebut dan seterusnya proses pembelajaran menjadi bermakna kepada murid. Hal
ini adalah untuk membantu murid mempersiapkan diri mereka bagi menyelesaikan masalah
yang dihadapi dalam persekitaran hidup mereka setelah mereka tamat belajar. Pengintegrasian
TMK semasa proses pengajaran dan pembelajaran memberi peluang kepada murid untuk
menggunakan komputer dan kemudahan internet bagi mendapatkan pengalaman untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi. Menurut Kolb (1984), menyatakan pembelajaran adalah
proses adaptasi antara pengetahuan diperolehi melalui transformasi pengalaman seseorang.
Hal ini bermaksud, pengalaman dan aktiviti yang dilaksanakan oleh murid adalah sebahagian
daripada proses pembelajaran. Secara tidak sedar murid dalam abad ke-21 berada dalam
gelombang era TMK dan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, setiap murid perlu celik dan
mengetahui penggunaan komputer.

Secara umumnya kemajuan TMK telah menyumbang dalam meningkatkan kualiti


pengajaran dan pembelajaran guru ke arah yang lebih baik, sistematik dan teratur. Segala
urusan guru atau murid dapat dipercepatkan dan dimudahkan melalui kemajuan TMK. Keadaan
ini bukan sahaja menjimatkan masa bahkan juga tenaga. Dengan kemudahan teknologi dapat
membantu guru dan murid menguasai dan mengawal hampir setiap maklumat di hujung jari
sahaja. Justeru itu, dengan mengintegrasi TMK dalam pendidikan akan dapat melahirkan
generasi yang celik teknologi maklumat, lebih berpengetahuan serta insan yang berkaliber dan
bersedia untuk alam pekerjaan. Secara tidak langsung kemajuan dalam bidang pendidikan
dapat menyumbang kepada kemajuan serta produktiviti sesebuah negara.
Pengintegrasian TMK dalam dunia pendidikan telah memberikan impak yang positif
dalam peningkatan aspek kognitif murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Pengintegrasian TMK akan berlaku secara automatik di sekolah sekiranya perkakasan dan
perisian telah tersedia adalah kurang tepat kerana salah satu penentu utama kejayaan atau
kegagalan pengintegrasiannya adalah bermula dari guru itu sendiri. Sekiranya guru tersebut
mempunyai kesedaran yang tinggi maka dirinya akan menjadi agen perubahan yang berguna
dan berusaha untuk mempelajari dan mengintegrasikan TMK dalam dunia pendidikan bagi
meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajarannya dan seterusnya melahirkan modal insan
minda kelas pertama selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan
Wawasan 2020.

Anda mungkin juga menyukai