Anda di halaman 1dari 11

Ekonomi Islam

1. Mukadimah
Pakar-pakar ekonomi menakrifkan ekonomi sebagai pengurusan sumber-sumber yang
terhad untuk memenuhi berbagai-bagai keperluan manusia. Mengikut pandangan Islam
sumber-sumber ini tidak terhad tetapi Allah menyediakan keperluan-keperluan manusia
secukupnya. Demikianlah yang dinyatakan Allah dalam Quran,

Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan
Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran (yang seimbang). Dan Kami
telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup, dan (Kami menciptakan
pula) mahluk-mahluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kepadanya. Dan
tidak ada sesuatupun melainkan dari sisi Kami-lah khazanahnya, dan Kami tidak
menurunkannya kecuali sesuai dengan kadar yang (Kami) ketahui. (Al-Hijr:19-21)
Menguruskan sumber-sumber alam yang telah diberikan Allah menurut ukuran-ukuran
bagi memenuhi keperluan hidup manusia adalah di antara tugas manusia sebagai
khalifah Allah. Allah berfirman,
Allah telah menciptakan kamu dari bumi dan telah telah menjadikan kamu
pemakmurnya (Huud:61)
Akan tetapi, disebabkan kerakusan manusia atau kerakusan satu-satu bangsa,
sumber-sumber pemberian Allah itu dibolot oleh individu-individu atau oleh satu-satu
kaum. Oleh itu tidak hairan kita melihat ramai manusia yang hidup serba kekurangan,
bahkan tidak dapat memenuhi keperluan asasinya walaupun Allah telah menyediakan
keperluan-keperluan manusia secukupnya.
Bagi orang-orang yang beriman, kegiatan ekonominya hendaklah jelas, iaitu
menjalankan kewajiban dari Allah untuk menguruskan sumber-sumber pemberian-Nya
supaya semua manusia mendapat keperluan asasinya. Jika ia ikhlas, beriman kepada
Allah dan tidak melanggar mana-mana perintah-Nya, niscaya Allah akan memudahkan
urusannya. Demikianlah firman Allah,

Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah memudahkan bagi mu apa yang
di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untuk mu nikmat-Nya lahir batin
(Luqman: 20)

2. Asas Ekonomi Islam

Seorang Islam yang menjalankan kegiatan ekonomi bermakna ia melibatkan dirinya


dalam menguruskan khazanah dan sumber-sumber pemberian Allah untuk memenuhi
keperluan umat. Oleh itu ia merupakan tugas penting yang mempunyai asas-asas
yang kukuh dalam Islam. Asas utama ekonomi Islam tugas manusia sebagai khalifah
Allah dan kedudukan manusia sebagai abdi kepada Allah.
Allah berfirman,
Ingatlah ketika Tuhan mu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. (Al-Baqarah:30)
Kedudukan manusia sebagai khalifah bermakna ia adalah wakil yang bertugas untuk
menguruskan apa jua khazanah dan sumber permberian Allah mengikut peraturanperaturan dan ketetapan Allah. Pembolotan harta dan sumber-sumber kekayaan serta
khazanah bumi merupakan pelanggaran kepada tugasnya sebagai khalifah manakala
pengurusan yang tidak cekap sehingga ramai manusia tidak dapat memenuhi
keperluannya adalah kelalaian menjalankan tugas.

Di samping kedudukannya sebagai khalifah, seorang mukmin perlu sentiasa ingat


bahawa ia adalah abdi kepada Allah swt. Allah berfirman,

Dan tidak Ku-ciptakan jin dan manusia melainkan (semata mata) agar mereka
mengabdi kepada-Ku. (Az-Zariat:56)
Kedudukannya sebagai abdi membawa kepada dua implikasi: Pertama, khazanah yang
diperolehinya bukanlah miliknya tetapi milik Tuannya. Kedua, apa juga yang
dilakukannya mestilah mengikut kehendak Allah dan ikhlas semata-mata kepada Allah.

Kekayaan dan harta bukanlah milik mutlak manusia tetapi adalah pemberian Allah
kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Sesungguhnya bumi kepunyaan Allah, dipusakakan-Nya kepada yang dikehendakiNya dari hamba-hamba-Nya. (Al-Araf: 128)
Walau bagaimanapun Islam tidak menjadikan semua harta sebagai milik kerajaan.
Amalan para sahabat Rasulullah saw menunjukkan tiada sekatan pemilikan harta
kekayaan. Ramai para sahabat yang kaya raya dan merekalah yang menggerakan

ekonomi negara dalam peringkat awal Islam. Bahkan mereka menanggung sebahagian
besar perbelanjaan perang untuk menegakkan Islam. Ini menunjukkan kewujudan
usahawan yang kaya raya adalah amat penting dapak sistem ekonomi Islam. Akan
tetapi kekayaan itu tidak boleh dimonopoli oleh segelintir orang sahaja. Demikianlah
firman Allah swt.

jangan sampai kekayaan hanya beredar dikalangan orang-orang kaya saja diantara
kamu (Al-Hasyr:7).

Memperlakukan wang sebagai komoditi dengan cara memungut bunga adalah sebuah
dosa besar, dan orang-orang yang tetap mengambil riba setelah tiba larangan Allah,
diancam akan dimasukkan ke neraka. Allah berfirman,

Orang-orang yang makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang
yang kemasukan syaitan lantaran penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu
adalah disebabkan mereka berkata sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba,
padahal Allah menghalalkan jual beli dan mengharamlan riba. Orang-orang yang telah
sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti, maka baginya apa
yang telah diambilnya dahulu dan urusannya kepada Allah. Orang yang mengulangi,
dia adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya (al-Baqarah:275).

Kesejahteraan ekonomi Islam amat bergantung kepada pengabdian kepada Allah dan
akhlak ummat Islam. Allah swt akan meruntuhkan ekonomi sesebuah negara apabila
nikmat-nikmatNya diengkari. Allah berfirman:

Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya
aman lagi tentram, rezkinya datang melimpah ruah dari segenap tempat, tertapi
(penduduknya) mengingkari nikmat-nikmat Allah, karena itu Allah merasakan kepada
mereka kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat (An
Nahl:112).

Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada
orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka
melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantutnya berlaku
terhadapnya perkataan (ketentuan kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu
sehancur-hancurnya. (Al Israa:16)

Pembaziran adalah satu perkara yang amat ditegah dalam ekonomi Islam. Setiap
perbelanjaan perlu dipastikan keberkesanannya dari peringkat perancangan, merangka
bajet hinggalah ke peringkat perbelanjaan atau perlaksanaan. Allah swt. menyifatkan
orang yang membazir sebagai kawan syaitan.

Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan sesungguhnya
syaitan itu amat engkat kepada Tuhannya (Al-Isra: 27)

3. Belanjawan dan Perancangan


Belanjawan adalah amat penting untuk merancang dan mengawal perbelanjaan. Ia
amat penting untuk mengelakkan pembaziran dan untuk mengagihkan kekayaan
dengan baik serta untuk pembangunan bagi keperluan masa depan. Seorang Muslim
yang terlibat dalam penyediaan belanjawan perlu melihat bukan sahaja pendapatan
masa depan tetapi juga arah pelaburan bagi memenuhi keperluan dan senario masa
depan. Di samping itu ia perlu membuat pelaburan-pelaburan bagi keperluan generasi
akan datang. Ini adalah tugas yang berat tetapi perlu dilaksanakan dengan penuh
tanggung jawab kepada Allah azza wa jalla.
Filipina pada 30 tahun yang lepas merupakan satu negara yang mempunyai ekonomi
yang mantap dengan industri tekstil dan kasut yang maju. Akan tetapi perancang
ekonominya gagal melihat kemajuan industri yang sama di Indonesia dan Vietnam.
Kedua-dua negara ini kemudiannya mampu mengeluarkan produk yang sama dengan
kualiti yang baik dengan harga yang lebih murah. Akibatnya satu demi satu kilangkilang tekstil dan kasut di Filipina gulung tikar dan menyebabkan ramai rakyatnya
menganggur dan ekonomi negara menurun.
Perkara seperti ini banyak berlaku di mana-mana akibat kegagalan perancang ekonomi
sesebuah negara gagal melihat jauh ke hadapan. Misalnya perusahaan pembuatan
kapal di Denmark terpaksa ditutup akibat tidak dapat bersaing dengan Korea. Ini
menyebabkan ramai yang menganggur dan bandar Aalborg yang menjadi pusat
industri kapal menguncup.

Menyediakan belanjawan dengan baik adalah salah satu tugas manusia sebagai
Khalifah Allah di muka bumi. Tugas ini bukan sahaja terletak di bahu perancang
ekonomi tetapi juga usahawan-usahawan yang banyak melakukan pelaburanpelaburan jangka panjang. Banyak syarikat-syarikat besar di negara-negara maju yang
mengalami kerugian besar akibat produknya tidak lagi dikehendaki oleh orang ramai
dan menyebabkan banyak pengangguran.
Dalam penyediaan belanjawan negara, kita sering mendengar belanjawan defisit.
Belanjawan defisit berlaku apabila perbelanjaan melebihi pendapatan. Belanjawan
seperti ini biasa berlaku dalam dunia moden yang menggunakan wang kertas.
Biasanya defisit itu ditampung dengan mencetak wang. Perkara seperti ini dapat
dilakukan dengan syarat pelaburan dilakukan kepada projek-projek yang produktif yang
boleh menjanakan ekonomi dalam negara dan tidak memerlukan import. Di antara
pelaburan yang biasa dilakukan ialah pelaburan kepada projek-projek infrastruktur yang
tidak memerlukan banyak bahan dan perkhidmatan import seperti membina jalan raya.
Pelaburan seperti ini bukan sahaja menggerakkan kontraktor tetapi juga pembekal dan
industri-industri sokongan di samping akan menggalakkan lagi pembangunan di
tempat-tempat terpencil. Pelaburan-pelaburan lain seperti membangunkan perusahaan
ubat-ubatan tradisional supaya ia boleh dieksport juga boleh dilakukan.
Belanjawan defisit boleh terus dijalankan jika ia dikawal dengan baik supaya tidak
menyebabkan wang beredar terlalu banyak sehingga melebihi barangan dan
perkhidmatan dalam pasaran. Jika ini berlaku, inflasi dengan kadar yang tinggi akan
berlaku yang akan memporak-porandakan ekonomi.

4. Pelaburan
Pelaburan adalah sesuatu yang dharuri dalam menjamin kelangsungan ekonomi. Jika
semua orang menyimpan wang dan tiada siapa yang melabur, ekonomi akan terhenti
dan tiada pendapatan yang akan diperoleh. Dalam ekonomi Islam, pelaburan sangat
digalakkan sehingga wang yang sentiasa berada dalam kitaran ekonomi tidak
dikenakan zakat. Zakat hanya akan dikenakan apabila wang yang melebihi nisab
tersimpan melebihi setahun.
Pelaburan mestilah produktif. Rasululllah saw bersabda, "Orang yang menjual rumah
(tanpa keperluan), tetapi tidak melaburkan hasilnya dalam sesuatu yang setaraf
dengannya, niscaya Allah swt tidak akan memberkati hasil itu" (H.R. Thabrani).
Rasulullah saw juga bersabda, "Apabila seorang Islam menanam sebatang pohon atau
mengusahakan sebidang tanah, lantas seekor burung atau manusia atau binatang
memakan hasil tanaman tersebut, niscaya amalan tersebut dikira sebagai sedekah"
(H.R. Bukhari). Hadis ini menunjukkan pelaburan mesti produktif, bukan sahaja kepada
manusia tetapi juga kepada makhluk lain.

5. Pasaran Modal dan Bank


Allah swt berfirman,

Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup. (Al-Hijr:20)


Ayat ini menunjukkan bahawa Allah swt menyediakan keperluan-keperluan hidup
manusia dari dahulu, sekarang dan masa-masa akan datang. Di antara keperluan
manusia ialah modal untuk menggerakkan ekonomi. Pada zaman Rasulullah saw
dahulu, modal dikumpulkan apabila ada kafilah perdagangan hendak melakukan
perdagangan. Keuntungan diagih-agihkan dan modal dipulangkan mengikut
perjanjian setelah selesai satu-satu pusingan perdagangan.
Keperluan kepada modal pada hari ini menjadi lebih penting untuk membolehkan umat
Islam bersaing dengan umat-umat lain. Pada hari ini disebabkan ketiadaan modal dan
disebabkan perkara-perkara lain, hasil keluaran semua negara-negara Arab pada tahun
2004 tidak dapat menyamai hasil keluaran negara Sepanyol. Demikian juga hasil
keseluruhan negara-negara Islam tidak dapat menyamai hasil negara Jepun. Ini
menyebabkan umat Islam terpaksa bergantung kepada umat-umat lain untuk
memenuhi keperluannya. Bahkan setengah-setengah umat Islam tidak dapat
memenuhi keperluan-keperluan asasnya.
Ketika umat Islam berhadapan dengan kekurangan modal, ramai individu-individu Islam
yang memiliki wang yang sangat banyak. Di sinilah letakkan keperluan kepada
pasaran modal di mana orang yang berwang bertemu dengan orang yang tidak
berwang tetapi mempunyai peluang perniagaan yang baik.

Bursa Saham adalah bentuk moden pasaran modal. Syarikat-syarikat yang telah
diluluskan oleh kerajaan boleh menerbitkan saham untuk dijual kepada orang-orang
yang mempunyai modal supaya syarikat tersebut dapat mengumpulkan modal yang
diperlukannya. Oleh itu bursa saham boleh memenuhi sebahagian keperluan umat
Islam kepada modal. Walau bagai mana pun spekulasi pasaran saham adalah
haram kerana ia boleh merosakkan ekonomi.
Bank juga memainkan peranan yang penting untuk mengumpulkan wang dari
orang-orang yang memiliki wang dan kemudian menyalurkannya kepada
usahawan-usahawan yang memerlukan modal. Kewujudan institusi bank telah
dapat mengumpulkan wang yang tersebar di tangan-tangan individu menjadi satu
dana yang besar yang boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan projek-projek
besar.

6. Zakat dan Infak


Zakat adalah salah satu rukun Islam yang sangat penting kedudukannya dalam sistem
ekonomi Islam. Allah swt berfirman,

Apabila telah habis bulan-bulan haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di
mana sahaja kamu temui mereka dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan
intailah di tempat pengintaian. Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat dan
menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (At-Taubah:5)
Dalam Quran selalu digandingkan shalat dengan zakat sehingga Abu Bakar
mengatakan, Aku tidak memisah-misahkan dua hal yang disatukan sendiri oleh Allah.
Zakat merupakan satu institusi yang membezakan seorang Muslim dengan seorang
munafik seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat berikut:

Orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain
adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang
makruf dan mereka menggenggam tangan mereka (kedekut) dan lupa kepada Allah,
maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang orang munafik itulah orangorang yang fasik. (At-Taubah: 67)
Bagi pemimpin umat Islam, Allah telah memerintahkan supaya memungut zakat dan
mendoakan rakyat. Inilah yang menjamin kesucian umat dan menjamin kesejahteraan
ekonomi. Allah swt berfirman,

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan
dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu
menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar dan Maha
Mengetahui (At-Taubah: 103)
Zakat membersihkan dan menyucikan orang-orang Islam yang berharta. Kebersihan
dan kesucian mereka amat penting untuk menjamin kesejahteraan ekonomi. Di
samping itu ia amat penting untuk menolong orang-orang fakir, miskin, musafir yang
terdesak, orang yang baru mendapat petunjuk, orang yang berhutang dan orang yang
bekerja pada jalan Allah.
Di samping mengeluarkan zakat, Allah swt menggalakkan infak sebahagian harta. Allah
amat benci orang yang menyimpan dan menompokkan harta. Allah berfirman,

Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada
jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka seksa yang pedih, pada hari dipanaskan
emas perak itu dalam neraka jahanam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, perut dan
belakang lalu dikatakan kepada mereka, Inilah harta benda yang kamu simpan untuk
diri mu sendiri, maka rasakanlah sekarang apa yang kamu simpan itu . (At-Taubah
34-35)
Harta yang tidak diinfakkan dan tidak dikitarkan dalam kitaran ekonomi tidak
memberikan apa-apa manfaat kepada umat. Ia hanya menambahkan ketamakan dan
kerakusan manusia. Sifat manusia seperti ini amat bahaya dan boleh merosakkan
ekonomi dalam waktu yang singkat. Bukankah krisis ekonomi pada tahun 1997 dan
1998 disebabkan oleh ketamakan dan kerakusan beberapa orang? Krisis ini telah
menyebabkan beberapa negara hampir-hampir muflis dan banyak syarikat-syarikat
yang gulung tikar yang mengakibatkan ramai orang yang kehilangan punca
pendapatan.

7. Dinar
Dolar Amerika telah dijadikan mata wang antara bangsa. Pembayaran-pembayaran
bagi perdagangan antara negara biasanya menggunakan dolar Amerika. Tetapi krisis
ekonomi pada tahun 1997 telah menyebabkan umat Islam perlu berfikir dengan lebih
jauh lagi sama ada kita perlu berpegang dengan wang kertas itu. Ketika krisis itu nilai
dolar telah meningkat secara mendadak dari RM 2.50 kepada hampir RM 5.00.
Dengan tidak semena-mena hutang luar negeri kita bertambah dan harga barangbarang import melambung. Perubahan yang sangat merugikan umat Islam ini berlaku
hanya semata-mata dengan spekulasi yang didalangi oleh beberapa orang yang tamak
dan rakus.
Ini telah menyebabkan ramai pemimpin Islam dan ulama yang berfikir untuk
memperkenalkan semula mata wang dinar emas kerana ia amat stabil. Harga seekor
ayam pada zaman Rasulullah ialah 1 Dirham (0.7 Dinar). Pada hari ini, selepas 1400
tahun berlalu, harga seekor ayam malah lebih murah.
Wang satu Dinar diperbuat daripada 4.25 gram emas. Jika harga emas RM 53/gram,
maka satu Dinar bernilai RM 225.25 mengikut nilai hari ini (Ogos 2005). Walaupun
harga emas berubah-ubah dalam sebutan Ringgit atau Dolar, tetapi nilai sebenarnya
berbanding dengan nilai barang tetap stabil dari zaman Rasulullah saw hinggalah hari
ini.
Kestabilan ini menyebabkan ramai peniaga-peniaga Islam di peringkat antarabangsa
mula menggunakan mata wang dinar emas. Dianggarkan sekurang-kurangnya

peniaga-peniaga dari 22 negara Islam telah menggunakannya, walaupun di peringkat


kerajaan ia masih mendapat sambutan dingin kecuali beberapa negara seperti
Malaysia yang sedang bersungguh-sungguh berkempen untuk menggunakannya di
kalangan negara-negara OIC.
Perkembangan ini telah membimbangkan ramai pemikir-pemikir di Amerika kerana ia
akan menyebabkan Dolar Amerika tidak dipercayai lagi yang menyebabkan nilainya
akan jatuh. Bahkan di kalangan mereka ada yang menyifatkan perkembangan ini lebih
berbahaya dari bom atom Pakistan.
Penggunaan dinar emas juga mendapat dukungan dari ulama-ulama yang berpegang
kepada wajib membayar zakat dengan sesuatu yang mempunyai nilai sebenar.
Menurut mereka zakat tidak boleh dibayar dengan janji untuk membayar. Disebabkan
wang kertas sebenarnya adalah janji untuk dibayar yang dijamin oleh kerajaan, maka
ulama-ulama ini berpendapat tidak sah membayar zakat dengan wang kertas. Oleh itu
dinar emas memang amat sesuai untuk tujuan membayar zakat. Ulama-ulama ini
berpendapat nilai wang kertas boleh dibatalkan atau diubah oleh kerajaan pada bilabila masa manakala dinar emas mempunyai nilai yang stabil dan tidak boleh dibatalkan.
Dari segi politik, dinar emas adalah penting untuk kestabilan umat Islam dan
membebaskan umat Islam dari didominasi oleh Dolar Amerika. Kepercayaan orang
kepada Dolar Amerika menyebabkan nilainya stabil dan menyebabkan ia boleh dicetak
dengan banyaknya oleh agensi di Amerika untuk membiayai defisit negara itu yang
semakin besar dari tahun ke setahun. Penggunaan mata wang Euro dalam
perdagangan antara bangsa telah mula menggugat kepercayaan orang kepada mata
wang Dolar yang menyebabkan nilainya mulai menyusut. Apabila Dinar emas
digunakan di peringkat antara bangsa, nilai Dolar dijangka akan menyusut lagi dan
orang-orang kaya yang menyimpan duit di Amerika akan menarik duit mereka keluar
dari Amerika.

8. Etika dan Governance


Allah swt berfirman,

"(Ingatlah) ketika Syu'aib berkata kepada mereka (penduduk Aikah), Mengapa kamu
tidak bertakwa? Sesungguhnya aku adalah seorang rasul yang telah mendapatkan

kepercayaan untuk kamu. Karena itu bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepada ku.
Aku sama sekali tidak menuntut upah dari kamu untuk ajakan ini, upah ku tidak lain
hanyalah dari Tuhan Penguasa seluruh alam. Tepatilah ketika kamu menakar dan
jangan sampai kamu menjadi orang-orang yang merugi. Timbanglah dengan timbangan
yang tepat. Jangan kamu rugikan hak-hak orang (lain) dan janganlah berbuat jahat dan
menimbulkan kerosakan di muka bumi." (Syuara:177-183)
Etika dan governance perniagaan sangat penting dalam sistem ekonomi Islam, bahkan
ia dikaitkan langsung kepada takwa kepada Allah. Perniagaan yang tidak beretika dan
melanggar governance akan merugikan umat dan mengundang bala yang pedih dari
Allah swt. Mungkin peristiwa keruntuhan syarikat Enron di Amerika Syarikat masih
dalam ingatan kita. Ketidak jujuran pengurus-pengurus dan syarikat juru audit telah
menyebabkan syarikat gergasi itu runtuh menjadikan ia peristiwa bankrap yang
terbesar dalam sejarah. Ia telah menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan pekerjaan
dan kehilangan wang disebabkan saham syarikat itu sudah tiada nilai. Oleh itu
kejujuran, menepati janji dan ukuran serta tidak merugikan hak-hak orang adalah amat
penting untuk kesejahteraan ekonomi.

9. Ekonomi dan dakwah


Kegiatan ekonomi dan dakwah boleh berjalan serentak, bahkan perkembangan Islam
ke rantau Asia Tenggara kebanyakannya melalui kegiatan perdagangan. Akan tetapi
jika kegiatan ekonomi menyekat dakwah, maka dakwah mesti diutamakan. Demikianlah
yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw ketika ia berkata kepada pakciknya apabila ia
ditawarkan kekayaan dunia,
Demi Allah, seandainya mereka meletakan matahari di tangan kanan ku dan bulan di
tangan kiri ku agar aku meninggalkan dakwah ini, tak akan aku tinggalkan hingga Allah
swt memenangkan agama ini atau aku binasa tanpa agama
Siapa yang menjalankan kegiatan ekonomi dengan ikhlas kepada Allah dan mengikut
peraturan-peraturan syara, maka Allah akan menambahkan keuntungannya
sebagaimana yang dijanjikan-Nya dalam Quran seperti berikut,

Barang siapa menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu
baginya dan barang siapa menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya
sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di
akhirat. (Asy-Syura:20)
Menafkahkan sebahagian harta di jalan dakwah merupakan perintah Allah. Perintah ini
demikian penting sehingga ia sering kali disatukan dengan perintah beriman kepada
Allah. Sesiapa yang berbuat demikian akan diganjari oleh Allah pahala yang besar.
Demikianlah janji Allah dalam firman-Nya,

10

Berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari harta
mu yang telah jadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang beriman di antara kamu
dan menafkahkan hartanya memperoleh pahala yang besar. (Al-Hadid:7)

10. Ringkasan
Ekonomi berhubung rapat dengan pengurusan sumber-sumber pemberian Allah untuk
memenuhi keperluan manusia. Allah swt telah memberikan sumber-sumber ini
secukupnya tetapi kerakusan manusia telah menyebabkan ramai manusia yang tidak
mendapat keperluannya.
Dalam menggerakkan ekonomi, Islam telah menyediakan banyak instrumen yang telah
terbukti dengan baik. Di antaranya ialah pasaran modal, sistem mata wang dan zakat.
Instrumen-instrumen ini bukan sahaja secara zahirnya memberi keunggulan kepada
sistem ekonomi Islam tetapi juga mendatangkan pertolongan dari Allah swt.
Ekonomi Islam berkait sangat rapat keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Kegagalan
mentaati perintah Allah akan menyebabkan Allah menurunkan bala yang boleh
memusnahkan ekonomi dalam tempoh yang singkat.

11

Anda mungkin juga menyukai