Anda di halaman 1dari 11

Analisis Cerpen Lambaian Malar Hijau (Saroja Theavy a/p Balakrishnan)

TEMA DAN PERSOALAN

3.1.

TEMA

Tema bagi Cerpen Lambaian Malar Hijau ini ialah bertemakan tentang perasaan
cinta dan sayang akan alam sekitar. Dari permulaan cerita hingga berakhirnya
cerita ini sudah terbukti bahawa tema kecintaan terhadap alam sekitar adalah
mesej utama yang ingin disampaikan dan ditonjolkan oleh pengarang. Berlatarkan
hutan rimba dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang anak muda terhadap
hutan tersebut begitu menyentuh sekali. Hal yang demikian kerana rupanya masih
ada lagi benih yang akan memperjuangkan tapak semaiannya iaitu masih ada lagi
generasi masa kini yang dilahirkan untuk menjadi khalifah dalam memperjuangkan
hutan dan alam semula jadi pada abad ini.
Tema perasaan cinta dan sayang akan alam sekitar ini dapat dibuktikan dan
dikukuhkan lagi apabila dalam cerpen ini, Daneng sanggup meninggalkan alam
persekolahannya semata-mata agar dia boleh meneruskan niatnya untuk
memelihara dan menjaga hutan belantara yang merupakan warisan nenek
moyangnya. Dia tidak rela melihat hutan tersebut dimusnahkan dan hilang dari
pandangan generasi selepasnya akibat perbuatan durjana yang tidak
bertanggungjawab.
Selain itu, tema ini juga dapat dibuktikan apabila berbekalkan misi dan niatnya
untuk terus menyelamatkan hutan dan alam sekitar dalam arus pembangunan,
Daneng telah mendapat tiupan api semangat untuk terus cemerlang dalam
pelajaran hingga dia berjaya menjadi seorang yang mampu menyelamatkan hutan
dan alam sekitar bukan sahaja di kawasannya, malahan di seluruh dunia. Daneng
yang telah mendapat hadiah Nobel juga turut diikhtiraf apabila kerajaan Brazil telah
memberi kepercayaan kepadanya untuk memulihkan hutan di Lembangan Amazon.
Tema ini telah menepati dan selaras dengan senario yang kita telah alami sekarang
apabila alam sekitar telah beransur nazak diserang manusia yang telah hanyut
dalam arus pemodenanan hingga mengabaikan jasa alam sekitar dalam proses
pembentukan tamadun manusia. Oleh itu, manusia harus sedar dari mimpi untuk
bangun dan bersama-sama semangat Daneng untuk terus memelihara
kesejahteraan alam sekitar.

3.2.PERSOALAN-PERSOALAN
Terdapat banyak persoalan yang cuba ditimbulkan pengarang dalam cerpen
Lambaian Malar Hijau ini termasuklah persoalan tentang kepentingan pendidikan
terhadap seseorang individu. Melalui penceritaan dalam novel ini, pengarang telah
mengutarakan isu pendidikan dalam kalangan remaja orang asli di negara ini.
Kebanyakkan mereka belajar setakat tahap pendidikan yang rendah sahaja kerana
terlalu banyak tembok rintangan dan dugaan yang mereka perlu tempuhi. Cerpen
ini menonjolkan Daneng, remaja orang asli sebagai seorang yang bijak dalam
pelajaran namun enggan meneruskan pelajaran kerana dia merasa lebih bahagia
dengan alam yang penuh ketenangan dan keasyikan dan telah menjadi teman
sepermainannya semasa membesar. Tetapi berkat usaha Cikgu Jo, Daneng akhirnya
sedar akan kepentingan pendidikan dalam hidupnya dan anak bangsanya.
Seterusnya ialah persoalan mengenai kekayaan flora dan fauna serta sikap tamak
manusia. Cerpen ini telah menonjolkan keindahan dan kekayaan flora dan fauna
dalam alam sekitar di negara ini. Penulis menggambarkan hutan yang dihuni oleh
orang asli itu sangat indah dan mengasyikkan dengan kehadiran kicauan burung
dan nyanyian serangga serta pelbagai jenis pokok yang mempesonakan. Tetapi,
secara tidak langsung, penulis juga telah menyentuh tentang sikap tamak haloba
manusia dalam menarik keindahan alam sekitar seperti menjalankan kegiatan
pembalakan haram yang berleluasa di tempat tinggal orang asli dek didorong sikap
tamak.
Persoalan mengenai kehidupan orang asli juga adalah termasuk dalam tema cerpen
ini. Pengarang telah menyuluh kehidupan lahiriah dan batiniah orang asli melalui
cerpen ini. Orang asli ini bergantung sepenuhnya dengan hasil hutan. Mereka selesa
dengan kehidupan yang sederhana, tidak terburu-buru mengejar masa dan hidup
yang aman damai. Oleh kerana diulit dengan kehidupan sedemikian, mereka tidak
mengambil kisah tentang kepentingan ilmu. Golongan ini juga masih berpegang
dengan kepercayaan animisme dan berpegang kuat dengan pelbagai pantang
larang. Ini dapat dilihat melalui watak Daneng yang berpesan kepada Cikgu Jo agar
mengikut pantang larang ketika berada di hutan semasa mereka hendak pergi
memancing.
Selain itu, cerpen ini juga menonjolkan persoalan mengenai tanggungjawab seorang
guru terhadap pelajarnya dalam melahirkan insan yang berjaya. Tugas guru
bukanlah sesuatu yang mudah, dalam melahirkan generasi hebat sebagai pelapis
negara amat memerlukan pengorbanan yang besar dari seorang guru. Melalui
cerpen ini, kita dapat lihat apabila Cikgu Jo sanggup meredah hutan mencurah
peluh memujuk Daneng agar dapat meneruskan pelajarannya. Lilin seorang guru
yang cair begitu sahaja tanpa dapat menerangi orang lain bererti dia masih belum
melaksanakan tanggungjawabnya sebagai guru dengan baik. Walaubagaimanapun,
pengorbanan Cikgu Jo akhirnya berbaloi apabila Daneng setuju untuk menyambung
pelajarannya.

4.

PLOT

4.1.BINAAN PLOT

Binaan plot bagi cerpen ini ialah bermula dengan eksposisi atau permulaan cerita.
Pengarang memulakan cerita dengan menggunakan teknik plot imbas kembali telah
menonjolkan keindahan hutan dan alam sekitar dalam memberi hiasan yang
terhebat dan terbaik melalui kaca mata manusia yang menghargai keindahan flora
dan fauna. Pengarang juga telah mula memberi pengenalan kepada watak-watak
dalam cerpen ini seperti watak Cikgu Jo, Daneng, dan ibu bapa Daneng. Cerita
dimulakan dengan watak Cikgu Jo yang meredah hutan menemui Daneng atas satu
tujuan iaitu memujuknya agar kembali ke sekolah.
Setelah itu, pembinaan plot beralih kepada yang seterusnya iaitu perkembangan
cerita. Perjalanan cerpen ini mula berkembang apabila Cikgu Jo memulakan misi
untuk memujuk Daneng untuk kembali ke sekolah agar dapat menyambung
pelajarannya semasa mereka berdua pergi memancing di sungai dalam hutan.
Watak Daneng telah berhenti sekolah walaupun dia adalah seorang pelajar yang
cemerlang dalam pelajaran. Pada masa yang sama juga, dalam hati Cikgu Jo masih
ada sekelumit perasaan serba salah kerana tidak ingin meragut kebahagiaan
Daneng yang kelihatan hidup dengan aman dan bahagia dalam hutan itu selepas
berhenti sekolah. Namun, Cikgu Jo tetap ingin meneruskan niat baiknya itu kerana
dia tidak mahu Daneng terus ketinggalan sebagai anak orang asli yang tidak
mempunyai pendidikan.
Pembinaan cerpen ini juga diselitkan dengan pembinaan plot konflik cerita. Konflik
dalam cerpen ini telah muncul apabila Cikgu Jo telah menimbulkan soal kepentingan
ilmu kerana Daneng walaupun sebagai anak orang asli berhak dan layak untuk
mendapatkan pendidikan. Daneng tetap dengan pendiriannya dan mula memberi
hujah kerana dia tidak ingin menyambung pelajaran atas alasan ingin memelihara
hutan warisan nenek moyangnya. Cikgu Jo berbekalkan semangat pendidik sejati
negara meneruskan memujuk Daneng dan mula mengeluarkan kata-kata ajaib
seorang guru dalam memujuk Daneng. Konflik cerita ini diteruskan apabila mereka
saling memberikan hujah-hujahsehingga menimbulkan sedikit ketegangan dalam
perbualan mereka.
Seterusnya, pembinaan plot ini berada pada klimaksnya iaitu pada puncak cerita.
Puncak cerita dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini ialah apabila Daneng telah
bersetuju untuk bersekolah semula. Pada mulanya pembaca akan berasa saspens
kerana selepas Cikgu Daneng selesai memujuk Daneng, kelihatan seperti Daneng
tetap dengan pendiriannya iaitu tidak ingin meneruskan persekolahannya. Namun,
puncak cerita ini berlaku apabila Daneng telah memberi sinar kepada Cikgu Jo

kerana dia telah bersetuju menyambung pelajarannya ke tingkatan 4. Hal yang


demikian menunjukkan usaha Cikgu Daneng telah berbaloi.
Cerpen ini berakhir pada pembinaan plot yang terakhir iaitu pada peleraian cerita.
Cerita dalam cerpen ini mula berakhir apabila pengarang telah mempamerkan
pertemuan antara Cikgu Jo dan Daneng 25 tahun selepas peristiwa atau konflik
yang telah berlaku. Peleraian cerita ini juga telah melakarkan tentang kejayaan
Daneng yang kini bergelar Datuk dan terlibat dalam misi untuk menyelamatkan
hutan di negara ini dan seluruh dunia. Kedua-dua mereka bertemu dan berlaku satu
babak yang begitu menyentuh hati apabila Daneng merasa bertuah mendapat
kehadiran seorang guru dalam hidupnya seperti Cikgu Jo yang telah memneri
kesedaran kepadanya tentang erti kejayaan dalam hidup mestilah bermula dengan
ilmu di dada.
4.2.TEKNIK PENCERITAAN/PLOT

Pengarang telah menggunakan beberapa teknik plot dalam pembinaan plot dalam
cerpen ini. Antara teknik plot yang terdapat dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini
ialah teknik imbas kembali. Teknik imbas kembali telah digunakan dari permulaan
cerita hingga akhir cerita. Teknik penceritaan Ini telah ditunjukkan apabila cerita ini
telah diimbas kembali melalui watak dan kaca mata seorang lelaki bernama Datuk
Daneng yang mengimbas dan mengenang kembali perjalanan hidupnya 25 tahun
lepas apabila Cikgu Jo memujuknya untuk kembali bersekolah dengan harapan dia
juga boleh menjaga hutan warisan nenek moyangnya berbekalkan ilmu yang
dituntutnya di sekolah.
Teknik yang seterusnya ialah tenik pemerian. Teknik plot iaitu pemerian juga telah
digunakan dalam plot cerpen ini. Pemerian telah digunakan pada bahagian
eksposisi iaitu permulaan cerita. Pengarang telah menggunakan teknik pemerian
bagi menjelaskan tentang perjalanan Cikgu Jo yang meredah hutan menuju ke
rumah Daneng dan menjelaskan tentang perjalanan Cikgu Jo dan Daneng menuju
ke sungai dalam hutan untuk memancing ikan walaupun pada masa yang sama
Cikgu Jo mempunya niat baik yang lain. Teknik pemerian ini digunakan apabila
pengarang menjelaskan tentang keindahan hutan dalam perjalanan Cikgu Jo
menuju ke rumah Daneng (ms:88).
Cerpen ini juga turut memuatkan teknik penceritaan menggunakan dialog. Teknik
dialog telah digunakan pengarang dari permulaan cerita hingga peleraian cerita.
Teknik dialog turut digunakan semasa perbualan antara Cikgu Jo dan Daneng dan
semasa perbualan Cikgu Jo dengan ibu bapa Daneng. Contoh dialog yang terdapat
dalam cerpen ini ialah:
Jo tersentak. Apa khabar? tercetus suaranya.

Baik. Cikgu baik?


Tentu, kalau tidak takkan sampai ke mari. Engkau terima pesanan daripada
Isyak?
(ms:89)
Teknik penceritaan atau plot yang lain ialah teknik monolog dalaman. Teknik
monolog dalaman iaitu bermonolog atau bercakap dalam hati telah digunakan
dalam cerpen ini. Monolog dalaman telah digunakan semasa Cikgu Jo memujuk
Daneng meneruskan pelajaran semasa mereka berdua pergi memancing. Contoh
penggunaan teknik monolog dalaman dalam pembinaan plot cerpen ini ialah:
Adakah aku sudah menyinggung perasannya, adakah nasihatku
keterlaluan? bentak suara hati Jo.
(ms:95)

5.

WATAK DAN PERWATAKAN

Pengarang telah memperkenalkan dan menonjolkan beberapa watak dan


perwatakan setiap watak dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini dengan baik.
Pengarang tidak menonjolkan terlalu banyak watak dalam cerpen ini. Ini
menunjukkan pengarang hanya ingin pembaca terus memberi perhatian terhadap
watak dan perwatakan watak utama di samping watak-watak sampingan yang lain
dalam memberi lebih rasa dan hidupnya cerpen yang telah dikarangnya ini.
Watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen ini bermula dengan watak
utama iaitu Daneng. Daneng merupakan watak dinamis kerana pada permulaan
cerita, watak Daneng merupakan seorang anak orang asli berusia 16 tahun yang
tinggal di hutan dan mempunyai fizikal tubuh badan yang berotot kental, sihat,
gagah dan tahan lasak. Mempunyai warna kulit sawo matang dan rambut pendek
yang kerinting. Kemudian watak Daneng berubah menjadi Datuk Daneng selepas 25
tahun kemudian yang mempunyai pangkat serta kerjaya. Dia juga sudah
berkeluarga dan mempunyai seorang anak bernama Dany.
Perwatakan Daneng dalam cerpen ini ialah bijak. Daneng merupakan seorang anak
orang asli yang bijak. Ini dibuktikan apabila dia telah berjaya mendapat keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kebijakkan
Daneng sekali lagi terbukti apabila dia Berjaya mencapai cita-citanya 25 tahun
kemudian dan bergelar Datuk serta terlibat dalam usaha memelihara kesejahteraan
hutan dan alam sekitar.
Selain itu, Daneng juga mempunyai perwatakan sebagai seorang yang mempunyai
jiwa yang halus dan sensitif. Daneng mempunyai jiwa dan hati yang begitu sensitif
walaupun pada zahirnya kelihatan dia begitu tabah. Ini dibuktikan apabila dia
bercerita kepada Cikgu Jo tentang keadaan hutan yang sekarang telah banyak

ditebang, hatinya menjadi sayu dan sedih akan perkara tersebut sehingga dia
memendam kesedihan tersebut dalam hati walaupun matanya sudah berkaca-kaca.
Daneng juga merupakan seorang anak muda yang bertanggungjawab. Watak
Daneng merupakan seorang yang penuh dengan tanggungjawab walaupun
umurnya pada masa itu umurnya masih muda, tetapi sikap matangnya begitu
menyerlah. Hal yang demikian dapat dibuktikan apabila Daneng merasa dirinya
sangat bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara hutan warisan nenek
moyangnya sebagai generasi baru.
Daneng juga turut memiliki sifat rendah diri yang tertanam dalam dirinya. Daneng
memiliki sifat rendah diri dan sangat menghormati gurunya. Ini dapat dibuktikan
apabila Daneng walapun setelah mempunyai pangkat dan kerjaya, tetapi masih
merendah diri dengan tidak mahu Cikgu Jo memanggilnya dengan gelaran Datuk
dan masih menghargai jasa dan pengorbanan yang telah Cikgu Jo curahkan 25
tahun yang lalu.
Cerpen ini juga turut memuatkan watak sampingan sebagai penguat jalan cerita
dan berperanan penting dalam perkembangan plot sesebuah cerpen. Antara watak
sampingan cerpen Lambaian Malar Hijau ini ialah Cikgu Jo. Watak Cikgu Jo adalah
sebagai seorang pendidik atau guru muda yang menjalankan tugasnya sebagai
seorang guru di salah sebuah sekolah menengah berhampiran perkampungan
orang asli.
Cikgu Jo mempunyai perwatakan seperti mengambil berat dan bertanggungjawab
terhadap pelajar dan pendidikan. Cikgu Jo sangat mengambil berat terhadap
pelajarnya dan sangat mementingkan pendidikan dan merasa satu kerugian pada
mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan pendidikan dalam hidup.
Hal yang demikian dapat dibuktikan apabila dia begitu bersungguh-sungguh
sehingga sanggup meredah hutan belantara untuk memujuk Daneng agar kembali
bersekolah kerana merasakan Daneng ada potensi untuk terus berjaya sekaligus
dapat membantu kaumnya apabila berjaya kelak. Bagi Cikgu Jo, pendidikan mampu
mengubah hidup seseorang.

Cikgu Jo merupakan seorang yang tidak akan mudah berputus asa dalam membuat
sesuatu kerja. Ini dibuktikan apabila dia dia berputus asa memujuk Daneng kembali
ke sekolah dan terus mengeluarkan hujah tersendiri walaupun ditentang keras
Daneng sehingga usahanya berbaloi apabila Daneng setuju untuk menyambung
pelajarannya.
Watak sampingan yang seterusnya ialah Ibu bapa Daneng. Watak ibu dan bapa
Daneng tidak dinyatakan nama mereka dalam cerpen ini. Mereka merupakan orang
asli yang tinggal dalam sebuah pondok di perkampungan orang asli dan mempunyai
anak bernama Daneng. Perwatakan ibu bapa Daneng ini ialah menghormati orang

lain. Walaupun hidup mereka anak beranak dalam kesederhanaan, ibu bapa Daneng
ini tetap menghormati orang lain seperti tetamu. Semasa Cikgu Jo pergi melawat
Daneng di rumahnya, mereka melayan Cikgu Jo dengan ramah sehingga
menghidangkan makanan dan minuman sebagai santapan.
Ibu bapa Daneng juga merupakan sepasang suami isteri yang pemurah. Ini dapat
dibuktikan apabila mereka telah memberi petai kepada Cikgu Jo. Walaupun hidup
dalam kesederhanaan masih hendak memberi sedekah. tidak mampu memberi
barang yang lebih mewah, itu sudah cukup membuktikan mereka begitu pemurah
dan tidak kedekut.
Watak sampingan yang terakhir ialah Dany. Dany Merupakan seorang anak remaja.
Dany merupakan anak kepada Datuk Daneng. Dia merupakan generasi baru yang
bernasib baik kerana masih berpeluang melihat dan menikmati serta mengagumi
keindahan alam sekitar.. Dalam cerpen ini, watak Dany hanya muncul pada
peleraian cerita. Oleh itu, perwatakan Dany tidak berkembang dalam cerpen
Lambaian Malar Hijau ini.
6.

LATAR

Latar yang terdapat dalam cerpen Lambaian Malar hijau ini terbahagi kepada 3 latar
iaitu latar masa, tempat dan masyarakat. Berikut adalah latar-latar yang terdapat
dalam cerpen ini iaitu latar masa, tempat dan masyarakat.
Latar masa yang terdapat dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini ada banyak latar
masa. Antara latar masa yang terdapat dalam cerpen ini ialah cerpen ini
berlangsung dalam jangka masa satu hari sahaja iaitu dari pagi hingga ke petang
semasa Cikgu Jo memujuk Daneng semasa memancing hingga selesai
perbincangan. Selain itu, latar masa ialah pada tahun 1995, iaitu semasa Daneng
berhenti sekolah pada umur 16 tahun dan kemudian menyambung kembali
persekolahannya. Latar masa berikutnya ialah pada tahun 2020 iaitu pada zaman
kemajuan, selepas 25 tahun berlalu. Daneng kini bergelar Datuk dan terlibat dalam
usaha memelihara hutan di dunia.
Seterusnya ialah latar tempat. Cerpen ini berlatarkan hanya pada beberapa tempat
sahaja. Latar tempat yang terdapat dalam cerpen ini ialah perkampungan orang asli
iaitu perkampungan di mana Daneng dan orang tuanya tinggal di Lembah Tualang
dan hutan di perkampungan ini di mana Daneng dan Cikgu Jo memancing ikan.
Latar tempat berikutnya ialah Danau nyok, iaitu tempat di mana Cikgu Jo dan
Daneng memancing ikan sambil berbincang mengenai misi utama Cikgu Jo
mengajak Daneng memancing bersama. Latar tempat Dataran Tualang juga
terdapat dalam cerpen ini. Pada akhir cerita, Lembah Tualang ditukar namanya
kepada Dataran Tualang setelah dimajukan 25 ahun kemudian. Tempat di mana
Datuk Daneng dan Cikgu Jo bertemu setelah Daneng mencapai kejayaan.

Latar yang terakhir ialah latar masyarakat. Latar masyarakat yang terdapat dalam
cerpen ini ialah masyarakat orang asli. Masyarakat orang asli telah digambarkan
melalui watak Daneng dan ibu bapanya. Kehidupan masyarakat orang asli ini juga
turut digambarkan menjalani hidup yang sederhana di dalam pondok dan masih
mempercayai kepercayaan dan pantang larang. Masih mengekalkan adat dan
tradisi sejak berzaman.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat yang mementingkan pendidikan.
masyarakat yang mementingkan pendidikan di sini bagi mereka yang mempunyai
pengetahuan yang cukup luas dan berpendidikan seperti watak Cikgu Jo yang ingin
melihat Daneng beroleh kejayaan. Selain itu, terdapat juga latar masyarakat yang
mencintai alam sekitar. Masyarakat seperti ini jarang kita jumpa pada masa kini
terutama pada generasi baru. Di dalam cerpen ini masyarakat ini telah dibawakan
oleh watak Daneng dan Cikgu Jo yang tidak ingin hutan dan alam sekitar musnah
oleh mereka yang tidak bertangggungjawab.

7.

GAYA BAHASA

Melalui cerpen Lambaian Malar Hijau ini, kita dapat teliti dan lihat bahawa bahasabahasa yang digunakan dalam cerpen ini amat baik dan menggunakan gaya bahasa
yang begitu indah sekali dalam penceritaan setiap babak. Gaya bahasa yang sangat
indah ini dan mempunyai sedikit ciri tradisional tetapi mudah untuk difahami oleh
pembaca.
Gaya bahasa yang berikut terdapat dalam cerpen ini ialah gaya bahasa
personifikasi iaitu unsur yang digunakan untuk memindahkan atau memberikan
sifat manusia kepada benda-benda mati, binatang, idea atau hal-hal yang abstrak
sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak tanduk. Contohnya :

kabus pagi yang sejuk mengucup mesra jiwa Daneng. (ms:88)

Kemesraan suria perlahan-lahan mendakap kehalusan kabus pagi. (ms:96)

Gaya bahasa yang seterusnya ialah metafora. Metafora merupakan perbandingan


yang tidak jelas tidak melibatkan kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat dan
sebagainya. Contoh bagi gaya bahasa ini yang terdapat dalam cerpen ialah:

Wajah itu diselubungi awan kerisauan. (ms:96)

.ucap Jo sambil mengelap manik-manik peluhnya yang sudah berkedut itu.


(ms:97)

Cerpen ini juga turut memuatkan gaya bahasa simile. Gaya bahasa ini merupakan
unsur perbandingan terhadap sesuatu keadaan dan lazimnya menggunakan katakata seperti laksana, umpama,ibarat, macam, seperti, dan sebagainya. Contoh
penggunaan gaya bahasa ini dalam cerpen ialah :

Seperti seekor rerama yang terbang bebas. (ms:89)

Bagai seorang pemburu gagah. (ms:91)

Melalui cerpen Lambaian Malar Hijau ini juga, terdapat penggunaan peribahasa
dalam cerpen ini. Contoh penggunaan peribahasa ialah :

Peribahasa yang diterbalikkan iaitu bara yang digenggam perlu menjadi


arang. Sepatutnya genggam bara api biar sampai jadi arang. (ms:95)

Seterusnya ialah gaya bahasa perlambangan. Gaya bahasa ini bermaksud untuk
menerangkan sesuatu dengan menggunakan benda-benda lain. Contoh
penggunaan gaya bahasa ini yang terdapat dalam cerpen ialah :

Engkau bunga bangsa belantara ini. (ms:94)

bunga bangsa di sini melambangkan generasi baru yang menjadi permata negara

Atau mengeji tingkah hitam segelintir manusia.

tingkah hitam melambangkan perlakuan manusia yang tidak bertanggungjawab


terhadap kemusnahan hutan.

Gaya bahasa lain yang terdapat dalam cerpen ini juga termasuklah gaya bahasa
pengulangan (anafora). Gaya bahasa ini bermaksud pengulangan pada permulaan
ayat ungkapan, baris dan rangkap. Contoh penggunaan gaya bahasa ini dalam
cerpen ialah :

Tidak! Tidak! Aku mesti melaksanakan tugas! (ms:89)

Milik kami bersama, milik kami sejak berzaman. (ms:94)

8.

SUDUT PANDANGAN

Cerpen Lambaian Malar Hijau ini menggunakan sudut pandangan orang ketiga.
Sudut pandangan ini merupakan sudut pandangan orang ketiga serba tahu. Hal

yang demikian bermaksud, pengarang bagi cerpen ini iaitu Saroja Theavy a/p
Balakrishnan berada di luar lingkungan cerita ini. Pengarang hanya mengarang
cerita ini orang ketiga dan bukan merupakan sebahagian daripada penceritaan
cerita sama ada dari segi watak dan sebagainya.
Melalui cerpen ini juga, kita dapat mengetahui bahawa pengarang amat mengenali
semua watak yang ditampilkan dan terdapat dalam cerpen ini. Oleh itu, pengarang
dapat menghuraikan watak-watak tersebut berdasarkan perwatakan mereka
dengan jelas dengan teliti.
Sudut pandangan orang ketiga ini juga bermaksud pengarang bagi cerpen
Lambaian Malar Hijau ini dapat menceritakan secara terperinci tentang watak-watak
dalam ceritanya, baik dari segi fizikal, perasaan atau pemikiran.
Sudut pandangan orang ketiga bagi sesebuah cepen bermakud sudut pandangan
yang menghadkan pengarang pada pemikiran dan perasaan watak yang satu itu
saja. Kecuali pengarang cukup mahir dan mampu mempelbagaikan penggunaan
sudut pandangan orang ketiga ini. Sudut pandangan orang ketiga memberikan lebih
kebebasan dibandingkan dengan sudut pandangan orang pertama, tapi kurang
daripada sudut pandangan orang ketiga yang serba tahu.

9.

NILAI DAN PENGAJARAN

Melalui pembacaan cerpen Lambaian Malar Hijau ini, kita telah mendapat banyak
pengajaran dan nilai-nilai murni. Buka bertujuan sekadar untuk mengisi masa
lapang dan peneman di kala kesunyian, cerpen ini juga telah menyelitkan beberapa
unsur-unsur tentang nilai dan pengajaran yang dapat kita jadikan tauladan dan
pembimbing dalam menjalani kehidupan di dunia dan mendapat berkat di akhirat
kelak.
9.1.

NILAI

Nilai yang terdapat dalam cerpen ini ialah nilai kemasyarakatan. Antara nilai
kemasyarakatan yang ditonjolkan ialah sikap hormat menghormati. Dalam hidup
bermasyarakat, sikap saling hormat menghormati sesama insan dan masyarakat
amatlah perlu bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan hidup berjiran
walaupun berlainan warna kulit dan bahasa. Contoh yang dapat diambil ialah
apabila keluarga Daneng menghormati Cikgu Jo dan melayannya dengan baik
semasa bertandang ke rumah mereka dan semasa Daneng masih menghormati
Cikgu Jo walaupun sudah bergelar Datuk.
Selain itu, terdapat juga nilai kebudayaan dalam cerpen ini. Antara nilai kebudayaan
yang ditonjolkan oleh pengarang ialah tentang kegigihan. Kegigihan amat perlu

dalam setiap individu dalam mencapai sesuatu yang dikehendaki kerana kejayaan
tidak akan datang dengan sendirinya. Kita perlu mencontohi sikap Daneng yang
berusaha dengan gigih dalam menuntut ilmu sehingga beliau berjaya dalam hidup
dan dianugerahkan anugerah Nobel.
Nilai kebudayaan yang seterusnya ialah tentang jasa dan pengorbanan. Hal yang
demikian bermaksud sedang kita ingin mencapai sesuatu, kita juga telah membuat
jasa dan pengorbanan dalam mengharapkan hasil yang lebih baik bukan sahaja
untuk diri kita, tetapi pada orang lain. Tetapi jangan lupa untuk terus menghargai
jasa dan pengorbanan ini. Ini ditunjukkan apabila Cikgu Jo sanggup berkorban
meredah hutan untuk memujuk Daneng kembali ke sekolah.

9.2.

PENGAJARAN

Pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam cerpen ini melalui hasil pembacaan


cerpen tersebut ialah kita perlu melindungi warisan hutan yang terbentang luas
agar agar tidak tercemar akibat angkara manusia yang rakus. Sebagai seorang
manusia yang berakal dan dikurniakan akal untuk berfikir, kita sepatutnya tahu
mengenai kepentingan untuk menjaga alam sekitar dalam memelihara flora dan
fauna. Alam sekitar ini telah banyak berjasa kepada kita, oleh itu kita haruslah
membalas jasa mereka dengan sama-samamemelihara kesejahteraan hutan dan
alam sekitar.
Selain itu, pengajaran bagi cerpen ini ialah kita mestilah berusaha bersungguhsungguh dalam pelajaran agar dapat menjadi orang yang berjaya dan berguna
dalam hidup. Dalam mencapai sesuatu kejayaan, resepinya ialah kesungguhan dan
keazaman dan hasilnya kejayaan yang dapat kita manfaatkan bukan sahaja kepada
diri, malahan kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Melalui cerpen ini juga, pengajaran lainyang dapat kita teladani ialah kita hendaklah
tahu menghargai jasa seseorang. Apabila seseorang berjasa kepada kita, tiada
wang ringgit dan harta yang dapat membalas jasa mereka. Cukup sekadar kita
menghargai jasa mereka. Janganlah kita bertindak seperti kacang lupakan kulit.
Seperti Daneng yang tidak melupakan jasa gurunya.

Anda mungkin juga menyukai