Anda di halaman 1dari 12

Kupasan dan Kajian Teks Puisi Moden

TUKANG GUNTING
T. Alias Taib

MAKSUD
Penyair menggambarkan kisah hidup seorang tukang gunting rambut yang bekerja di bawah
pokok semarak api tua yang condong. Tukang gunting hanya mempunyai sebilah gunting,
sebuah cermin yang usang, sikat yang tidak sempurna lagi dan sebuah kerusi. Dengan peralatan
tersebutlah tukang gunting itu bekerja mencari nafkah bersungguh-sungguh untuk menyara
empat orang anak serta isterinya.

TEMA
Sajak ini bertema perjuangan golongan rendah untuk menyara keluarga demi kelangsungan
hidup.

PERSOALAN
1. Persoalan usaha seorang tukang gunting untuk menyara keluarganya.
2. Persoalan kegigihan seorang ayah bekerja.
3. Persoalan rezeki ada di mana-mana asal sahaja mahu berikhtiar tanpa malu dan malas.

GAYA BAHASA
1. Metafora, contohya di lumpur sungai manusia(rangkap1 baris 5)
2. Simile, contohnya seperti semarak api(rangkap 3 baris 1)
3. Personifikasi, contohnya menyikat remajanya(rangkap 4 baris 3), merapikan
tuanya(rangkap 4 baris 4) dan ia tambatkan masa depan(rangkap 5 baris 3).
4. Imej, contohnya, sebilah gunting(rangkap 2 baris 1), cermin sompek(rangkap 2 baris 2),
sisir rongak(rangkap 2 baris 3) dan bangku kaki tiga(rangkap 2 baris 4) memberi
gambaran tentang peralatan tradisional seorang tukang gunting. Perkara itu memberi
gambaran nyata tentang sukarnnya hidup sebagai seorang tukang gunting.
NILAI MURNI

1. Berdikari, contohnya berusaha sendiri mencari nafkah dengan menggunting rambut.


2. Kerajinan, contohnya sebagai ketua keluarga tukang gunting rajin bekerja untuk
menampung hidupnya sekeluarga.

PENGAJARAN

1. Kita perlu gigih dalam segala usaha sebagaimana kegigihan mencari nafkah sebagai
tukang gunting.
2. Kita perlu betanggungjawab. Sebagai ketua dalam keluarga, tanggungjawab menyara
keluarga suatu kewajipan dan memerlukan kecekalan hati.
3. Kita perlu berusaha. Berusaha suatu kemestian dalam mencari rezeki. Tanpa berusaha,
tukang gunting pasti tidak akan dapat menyara hidupnya sekeluarga.
KEINDAHAN YANG HILANG
Shamsuddin Jaafar

MAKSUD
Keindahan dan kedamaian alam sekitar telah lenyap/musnah sebagai akibat berlakunya
pencemaran. Kawasan yang dahulunya menghijau/indah dan damai dengan air sungai yang
jernih dan mengalir tenang kini hanya tinggal kenangan. Keadaan ini sangat
menyedihkan/mendukacitakan penghuni alam.
Kini manusia telah berjaya menerokai dan menguasai ilmu sains dan teknologi. Selain itu,
manusia sudah mampu menerokai dan menjelajah bulan serta angkasa. Walau bagaimanapun,
kemajuan teknologi ini menyebabkan manusia menjadi alpa sehingga terlupa untuk melindungi
alam sekitar daripada pencemaran. Sebagai akibatnya, kini alam sekitar dan sungai tidak indah
lagi.

TEMA
Sajak ini bertemakan kesan arus pemodenan akibat perkembangan sains dan teknologi yang turut
mengancam hidupan dan alam sekitar.

PERSOALAN
1. Persoalan kehijauan tumbuhan dan kedamaian suasana di hutan rimba menjadi
kegemaran semua.
2. Persoalan keindahan dan keadaan alam semula jadi menjadi habitat haiwan dan
kehidupan.
3. Persoalan “kesucian” bulan tercemar selepas misi penerokaan dan tidak lagi menjadi
sesuatu yang “dihargai” seperti dahulu, ketika ‘uda dan dara’ memadu cinta.

GAYA BAHASA
1. Personifikasi, contohnya Malam hiba dadanya ungu luka(rangkap 3 baris 1) dan kali
tenang tiba-tiba airnya bengis melanda(rangkap 5 baris 3).
2. Imej, contohnya gambaran tentang alam seperti daun-daun(rangkap 2 baris 1),
mentari(rangkap 2 baris 2), bulan(rangkap 3 baris 3), bintang(rangkap3 baris 4), dan
planet dan angkasa(rangkap 4 baris 4). Gambaran kesedihan unsur alam juga jelas
tertera, contohnya, pungguk tersedu pilu dan angkasa(rangkap 3 baris 2)
3. Metafora, contohnya menara kasih jernih(rangkap 6 baris 1).
4. Bahasa asing(Jawa/Indonesia), contohnya kali(sungai), dan bisa(boleh).
5. Inversi, contohnya Erat bertaut cinta kasih(rangkap 2 baris 6)

NILAI MURNI

1. Kebersihan fizikal dan mental, contohnya sama-sama memulihara alam sekitar.


2. Kesyukuran, contohnya menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan dan berusaha turut
memuliharanya.
3. Rasional, contohnya bersedia menuntut ilmu dalam bidang sains dan teknologi untuk
kesejahteraan hidup.

PENGAJARAN
1. Kita perlu cinta akan alam, contohnya kelestarian alam adalah tanggungjawab bersama
agara keindahan dan kedamaian serta habitat hidupan terpelihara.
2. Kita perlu memiliki sikap bertanggungjawab untuk meneroka bidang sains dan teknologi
tetapi perlu seimbang dengan keindahan dan keselesaan hidup semua makhluk-Nya.
3. Kita perlu bersyukur kerana semua yang ada merupakan ciptaan Allah. Sebagai manusia,
tidak sepatutnya kita hanya pandai mencemar atau mengancam keindahan alam,
sebaliknya memulihara dan menjaga sebaik mungkin.
DIKOTA KECILKU
Baha Zain

MAKSUD
Ketika peyajak pulang ke kampung halamannya, dia teringat akan kenangan masa lampaunya. Di
kota kecil itulah, penyajak mula menuntut ilmu dan hubungan akrabnya dengan rakan-rakan.
Ayah dan emak berkorban untuk menyekolahkannya.
Penyajak melawat ke sekolah lamanya yang sudah jauh berubah. Di sekolah itulah, dia
memperoleh kejayaan yang cemerlang tetapi ayahnya tidak menunjukkan reaksi bangga akan
kejayaan penyajak.
Di kota kecil itulah, penyajak mula mengenal kehidupan. Walaupun kini dia telah berpindah
ke tempat lain, namun dia tetap menyimpan perasaan rindu kepada kota kecil itu.

TEMA
Sajak ini mengangkat tema nostalgia terhadap tempat penyair membesar dan melalui alam
persekolahan.

PERSOALAN
1. Persoalan merenung masa lalu membuatkan seseorang terkenang akan semua peristiwa
semasa kecil.
2. Persoalan walaupun peristiwa silam sudah lama berlalu namun tetap menjadi ingatan
sepanjang hayat.
3. Persoalan mengunjungi semula tempat kita dibesarkan menimbulkan pelbagai ingatan
dan rasa rindu.
4. Persoalan budi baik ibu bapa, guru, rakan dan pihak sekolah tetap selama-lamanya.

GAYA BAHASA
1. Simile, contohnya detik itu mengambang bagai mimpi(rangkap 2 baris 5)
2. Sinkope, contohnya kota kecilku(rangkap 2 baris 6) dan telah lama kutinggalkan(rangkap
3 baris 2)
3. Inversi, contohnya meski berubah pandangan(rangkap 4 baris 6)
4. Imej, contohnya imej yang ditonjolkan berkaitan alam persekolahan penyair seperti
tempat bersekolah(rangkap 3 baris 1), semua guru(rangkap 3 baris 5), markah(rangkap 3
baris 5), dan pangkat pertama(rangkap 3 baris 6)

NILAI MURNI
1. Hemah tinggi, contohnya menghargai jasa orang tua.
2. Kerajinan, contohnya rajin dan gigih belajar hingga berjaya dalam pelajaran.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah mengenang jasa, contohnya sebagai anak kita patut menghargai dan
mengenang jasa orang tua yang telah mendidik kita sehingga menjadi manusia berguna.
2. Kita hendaklah gigih belajar seperti penyair hingga mencapai kejayaan.
SEJARAH
Muhammad Haji Salleh

MAKSUD
Penyajak menyatakan bahawa sejarah berlaku pada masa dan tempat yang ditentukan dan akan
berlalu apabila tiba masanya. Sejarah mencatat pelbagai peristiwa benar termasuklah kisah
kejatuhan orang yang pernah berkuasa. Peristiwa sejarah silih berganti. Setiap peristiwa sejarah
itu dapat dijadikan iktibar.
Penyajak menganggap dirinya hanya manusia kerdil yang tidak penting. Namun, dia tetap
berusaha untuk menunjukkan bahawa kehadirannya bersama dengan rakyat yang lain mampu
menentang golongan yang zalim. Golongan yang zalim itu senantiasa mempunyai perancangan
yang jahat untuk memecahbelahkan rakyat.

TEMA
Tema sajak ini ialah sejarah yang tetap akan berlaku serta tidak boleh dihalang. Begitu juga
dengan kebenaran sejarah.

PERSOALAN
1. Persoalan sesuatu peristiwa yang berlaku akan kekal sebagai sejarah.
2. Persoalan sejarah memberi pengalaman pahit manis dalam kehidupan.
3. Persoalan sejarah tidak pernah menipu atau pun berbohong.

GAYA BAHASA
1. Sinkope, contohnya kugerakkan pernyataan(rangkap 4 baris 6).
2. Metafora, contohnya air peristiwa(rangkap 3 baris 2)
3. Personifikasi, contohnya batu pada sungai marah(rangkap 2 baris 5)
4. Inversi, contohnya juga akan tenggelam(rangkap 2 baris 4)

NILAI MURNI
1. Rasional, contohnya bertindak dengan bijaksana dan melakukan sesuatu yang terbaik
dalam hidup.
2. Kejujuran, contohnya jujur dalam pertuturan dan perbuatan.
3. Keberanian, contohnya berani menentang kezaliman.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah bertindak secara bijaksana, contohnya oleh sebab sesuatu yang berlaku
akan menjadi sejarah, buatlah sesuatu yang terbaik dengan bijak agar sejarah yang dicipta
memberi nama baik serta menjadi ingatan sepanjang zaman.
2. Kita janganlah bersikap diktator, contohnya sifat ini tidak akan disukai orang dan kekal
sebagai sejarah hitam walaupun kita telah meninggal dunia.
3. Kita hendaklah jujur, contohnya tipu muslihat perlu dihindari kerana lambat-laun rahsia
atau perlakuan buruk itu akan diketahui orang juga.
DUHAI PENTAFSIR
Zurinah Hassan

MAKSUD
Penyajak mencari pentafsir(pembimbing) yang dapat memimpinnya ke jalan kebenaran. Dalam
usia tua, penyajak menyedari segala kesilapannya tetapi dia belum menemui hidayah. Oleh sebab
itu, kehidupannya penuh dengan keresahan. Dia melakukan kesilapan kerana tidak mendapat
didikan agama yang cukup sejak kecil. Penyajak sedar bahawa dirinya semakin tua dan kekuatan
fizikalnya pun telah berkurang. Keadaan itu menyukarkannya mendalami ilmu agama. Selama
ini, penyajak terpengaruh oleh pelbagai pengaruh jahat, tetapi kini dia telah sedar dan ingin
mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

TEMA
Tema sajak ini ialah keagamaan. Penyair menggambarkan seorang manusia(si pencari) yang
cuba mencari erti kehidupan dengan meneliti hasil tulisan “pentafsir” iaitu mungkin para
pemikir, ahli falsafah ataupun penulis-penulis tentang kehidupan ini.

PERSOALAN
1. Persoalan mencari dan berusaha mengenal diri dan pencipta tanpa berasa jemu.
2. Persoalan dalam tindakan ataupun usaha, manusia perlu bersandar pada ajaran agama.
3. Persoalan manusia terlalu kerdil dan tidak berkuasa. Sekiranya gagal sekali, teruslah
berusaha dan berdoalah, moga-moga apa yang kita kehendaki tercapai akhirnya.

GAYA BAHASA
1. Sinkope, contohnya suaramu yang sarat(rangkap 1 baris 2) dan senja ini
menemuiku(rangkap 2 baris 1).
2. Metafora, contohnya lembar-lembar jadi semakin kuning(rangkap 4 baris 6), suaramu
yang sarat(rangkap 1 baris 2), lautan nota-nota(rangkap 3 baris 5),racun
keresahan(rangkap 3 baris 4).
3. Personifikasi, contohnya angin sedang cuba mengoyak-mengoyakkan lembar-lembar
buku(rangkap 2 baris 3).
4. Inversi, contohnya dengan lusuh catatanmu(rangkap 1 baris 1).
5. Hiperbola, contohnya aku tidak bisa tidur dan melupakan(rangkap 3 baris 3), suaramu
yang sarat(rangkap 1 baris 2).

NILAI MURNI
1. Rasional, contohnya berfikiran terbuka dan berusaha meningkatkan keimanan setelah tua.
2. Kasih sayang, contohnya memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak.
3. Kerajinan, contohnya berusaha dengan gigih tanpa mengenal putus asa.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah insaf, contohnya semakin tua dan banyak menikmati kemewahan hidup,
manusia perlu insaf dan bersyukur dan memperbaiki tingkat keimanan.
2. Kita hendaklah cinta akan agama, contohnya kanak-kanak perlu diberi didikan agama
yang sempurna supaya apabila dewasa, dia tahu apakah matlamat hidupnya.
3. Kita perlu berusaha dengan gigih, contohnya kegigihan perlu dalam mencapai apa yang
kita impikan.
DIRUANG GEMANYA
Dharmawijaya

MAKSUD
Penyajak menumpahkan seluruh taat setianya kepada negara dan senantiasa berharap agar
negaranya akan mencapai kegemilangan. Demi rasa setia itulah dia sanggup menghadapi apa-apa
juga rintangan tanpa mengenal rasa kecewa atau derita. Penyajak sanggup menghabiskan usia
dalam hidupnya dengan menghadapi apa-apa sahaja kekecewaan dan penderitaan demi negara
tercinta. Penyajak juga menggangap bahawa dugaan itu adat kehidupan di dunia dan dia sanggup
berkongsi pengalamannya dengan orang lain untuk mengisi kemerdekaan tanah air.

TEMA
Sajak ini mengambil tema patriotik yang memberi gambaran jelas bahawa kesetiaan penyair
yang tidak berbelah bahagi terhadap negaranya.
PERSOALAN
1. Persoalan pengakuan penyair akan ketegasannya yang memiliki sikap nasionalisme dan
patriotisme.
2. Persoalan kesanggupan seorang warganegara dalam perjuangan ke arah kegemilangan
negara tercinta.
3. Persoalan segala kesukaran atau dugaan yang berlaku terhadap sesebuah negara
merupakan lumrah alam.

GAYA BAHASA
1. Metafora, contohnya telah kupahatkan lelah umurku(rangkap 2 baris 1).
2. Sinkope, contohnya telah kurangkumkan rebah setiaku(rangkap 1 baris 1) dan bakal
kukongsikan hati(rangkap 3 baris 3).
3. Imej yang dipilih bersesuaian dengan mesej yang hendak disampaikan iaitu patriotik,
contohnya kata ‘kerikil’ memberi gambaran ‘kekerasan’ dan ‘debu’ menggambarkan
suasana kacau –bilau, tidak jelas pandangan atau dalam keadaan teraba-raba, kotor dan
menyesakkan rongga pernafasan.
NILAI MURNI
1. Keberanian, contohnya berani berjuang dan berusaha untuk memajukan negara.
2. Kejujuran, contohnya ikhlas dalam menjalankabn tugas tanpa meminta imbuhan.
3. Kasih sayang, contohnya cinta akan negara sendiri.

PENGAJARAN
1. Kita perlu bersedia melakukan pengorbanan, contohnya sebagai rakyat kita perlu
berkorban dan berjuang dengan cara apa sekali pun demi kemajuan negara.
2. Kita perlu jujur dan ikhlas dalam usaha membangunkan negara sendiri tanpa
mengharapkan sebarang balasan.
3. Kita perlu cinta akan negara sendiri kerana di situlah tempat kita dilahirkan, dibesarkan
seterusnya mengecapi kejayaan dalam hidup.

Anda mungkin juga menyukai