Anda di halaman 1dari 10

SAJAK

Adat Sezaman
(Wan Nazihah Wan Abdullah)
Maksud
Rangkap 1
Peradaban zaman semakin berlalu dan meninggalkan kesan kepada masyarakat. Adat tradisi nenek
moyang mempunyai nilai murni yang tinggi dari aspek keindahan budayanya. Budaya tradisi ini mulia dan
sesuai untuk dijadikan bahan kajian. Sikap gadis timur yang penuh kesopanan dan sang teruna yang
mempunyai pegangan agama yang sangat sepadan untuk digandingkan bersama di atas pelamin.
Namun kini perubahan zaman telah memberi kesan dalam kehidupan masyarakat. Kini gadis yang
bersopan santun amat sedikit dan lelaki yang kuat pegangan agama dan nilai ketimuran mulai lenyap
ditelan arus globalisasi. Golongan tua kini berasa malu dengan sikap anak muda yang suka berkelakuan
tidak sopan di tempat awam tanpa segan silu. Sehinggakan ada sesetengahnyayang melampaui batasan
agama.

Tema
Perubahan adat tradisi akibat arus modenisasi.

Persoalan
1. Persoalan adat ketimuran yang tinggi nilainya. Adat timur amat indah dan mulia dalam kehidupan
masyarakat terdahulu.
2. Persoalan pergaulan bebas dalam kalangan anak muda. Pada hari ini anak muda bergaul bebas tanpa
rasa malu.
3. Persoalan perasaan kecewa golongan tua terhadap generasi muda. Golongan tua berasa sangat
kecewa dan sedih apabila melihat budaya kuning yang menjadi ikutan dan sanjungan.
4. Persoalan pegangan agama yang kuat dapat mengelakkan unsur-unsur negatif. Gadis yang
mempunyai pegangan agama mampu mengelakkan diri daripada perbuatan yang negatif seperti
pergaulan bebas.

Bentuk
1. Sajak ini terdiri dari 1 rangkap.
2. Panjang pendek baris tidak sama dengan jumlah perkataan yang tidak terkawal.
3. Terdiri daripada 4 13 suku kata.
4. Sajak berbentuk bebas.

Nada
Melankolik.

Gaya bahasa
1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : warak si teruna jadi ikatan
2. Aliterasi :pengulangan konsonan l
Contoh : terlalu mulia apabila diselidik (rangkap 1,baris 4)
3. Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh : sama cantik sama padan
4. Metafora
Contoh : si tua berduka lara (rangkap 1, baris 16)
5. Anafora
Contoh : terlalu indah apabila dipandang (rangkap 1, baris 3)
Terlalu mulia apabila diselidik (rangkap 1, baris 4)
6. Inversi
Contoh : adat sezaman ditinggal jauh (rangkap 1, baris 4)
Adat agama dipandang remeh (rangkap 1, baris 21)

Nilai
1. Nilai ketinggian budi bahasa. Pada masa dahulu anak gadis dan teruna mempunyai budi pekerti yang
tinggi..
2. Nilai ketakwaan. Ketakwaan pada ajaran agama mampu menghindarkan seseorang itu daripada
melakukan perbuatan yang melampaui batas agama.
3. Nilai jati diri. Gadis yang mempunyai jati diri pasti akan menjunjung adat ketimuran.

Pengajaran
1. Kita hendaklah mengikut adat dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Adat dan agama mampu
menjadi panduan untuk mengekang masyarakat daripada melakukan perkra yang melanggar norma-
norma hidup.
2. Kita hendaklah mempunyai nilai jati diri yang utuh. Sekiranya remaja mempunyai nilai jati diri yang
tinggi, mereka pasti akan menjunjung adat ketimuran.
3. Kita hendaklah bijak memilih pasangan. Seseorang yang rasional akan memilih pasangan yang
berpegang teguh kepada ajaran agama supaya terhindar daripada pergaulan bebas.

Soalan
1. Nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak Adat Sezaman.

2. Mengapakah golongan muda perlu memelihara adat mengikut ajaran agama?

Jawapan:
1. Tiga persoalan yang terdapat dalam sajak Adat Sezaman ialah persoalan adat ketimuran yang tinggi
nilainya, persoalan pergaulan bebas dalam kalangan anak muda serta persoalan perasaan kecewa
golongan tua terhadap generasi muda yang menyanjung budaya kuning.
2. Golongan muda perlu memelihara adat mengikut ajaran agama untuk menghindarkan mereka daripada
terjebak dengan budaya kuning yang mengagungkan pergaulan bebas.


Di Perpustakaan
(Shafie Abu Bakar)
Maksud
Rangkap 1
Penyajak menggambarkan suasana di dalam perpustakaan sangat berbeza daripada tempat-tempat lain.
Perpustakaan amat kaya dengan pelbagai ilmu. Para pengunjungnya pula tekun menelaah.
Rangkap 2
Penyajak berasakan bahawa dirinya terlalu kerdil apabila berada di rak buku yang mengandungi pelbagai
jenis buku. Penyajak berasakan ilmu yang dimilikinya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan lautan ilmu
yang terdapat di perpustakaan dan dirinya tidak mugkin dapat menguasai semua ilmu yang ada di dunia.
Rangkap 3
Penyajak berusaha mencari ilmu pengetahuan walaupun dia mengetahui ilmu yang ada tidak akan habis
diterokainya.

Tema
Perpustakaan merupakan gedung ilmu yang menjadi kunjungan pencinta ilmu.

Persoalan
1. Persoalan pelbagai khazanah ilmu yang terdapat di perpustakaan dan perlu dimanfaatkan.
2. Persoalan tentang pencarian ilmu pengetahuan yang terlalu luas bidangnya.
3. Persoalan cinta akan ilmu pengetahun.

Bentuk
1. Terdiri daripada tiga rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada sepuluh baris, rangkap kedua ada lima belas
baris dan rangkap ketiga terdiri daripada enam baris.
3. Mengandungi antara dua hingga lima patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas abccdddddd, abacdbbefegehcc,, abbaba.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada
Sinis

Gaya bahasa
1. Pemilihan kata atau diksinya indah. Contoh : Gua pendeta bersamadi.
2. Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa (rangkap 1 baris 4)
Pengulangan konsonan t
Contoh : satu pertukaran yang kontras
3. Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh :Dahaga tak pernah langsai (rangkap 3, baris 6)
Pengulangan vokal i
Contoh : hanya sebiji dari mutiara (rangkap 2, baris 12)
4. Anafora pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : Di puncak sepi
Di sana sini (rangkap 1, baris 7-8)
5. Metafora
Contoh : Di dada samudera (rangkap 3, baris 3)
Bahtera ilmu (rangkap 2, baris 7)
6. Sinkope
Contoh : Melangkah ke ruangmu
Yang akan kucatat
7. Personifikasi
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa
8. Imejan
Contoh : Gua pendeta bersemadi. (rangkap 1, baris 6)

Nilai
1. Nilai kerajinan, contohnya rajin menuntut ilmu.
2. Nilai ketekunan, contohnya tekun dalam mempelajari ilmu pengetahuan.
3. Nilai bertanggungjawab contohnya berminat untuk mendalami ilmu pengetahuan.

Pengajaran
1. Kita hendaklah tekun semasa menuntut ilmu.
2. Kita hendaklah meneliti minat untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.
3. Kita hendaklah memiliki kegigihan dalam usaha mngejar ilmu.
4. Kita hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan.

Soalan
1. Mengapakah penyajak berasa kagum apabila melangkah ke ruang perpustakaan?
2. Nyatakan dua kepentingan perpustakaan kepada masyarakat.

Jawapan:
1. Penyajak kagum apabila melangkah ke ruang perpustakaan kerana dipenuhi pelbagai buku ilmiah
yang membezakan perpustakaan daripada tempat-tempat lain.
2. Dua kepentingan perpustakaan kepada masyarakat ialah tempat rujukan kepada pencinta ilmu dan
sumber ilmu dalam pelbagai bidang.










Harga Remaja
(Rahman Shaari)
Maksud
Rangkap 1
Pengajak menerangkan tentang kepentingan usia remaja yang tinggi nilainya dalam meniti kehidupan.
Rangkap 2
Penyajak mencetuskan persoalan tentang pengisian kehidupan remaja sama ada dipenuhi kelalaian atau
digunakan untuk menuntut ilmu.
Rangkap 3
Usia remaja amat bernilai dan tidak boleh dibeli dengan perjanjian. Remaja perlu teguh pendirian, berani
menghadapi cabaran dan gigih menuntut ilmu.
Rangkap 4
Remaja perlu mempunyai matlamat hidup untuk menjadi insan yang berguna.

Tema
Ketinggian nilai usia remaja berdasarkan pengisian usia muda.
Zaman remaja ialah zaman paling berharga dan para remaja mesti mengisinya dengan sesuatu yang baik.
Remaja juga mesti berani berpendirian dan berilmu pengetahuan serta mempunyai hala tuju.

Persoalan
1. Persoalan tentang kehidupan remaja yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
2. Persoalan jati diri remaja.
3. Persoalan keberanian remaja dalam menempuh liku-liku kehidupan.Tanpa keberanian, remaja susah
menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.
4. Persoalan hala tuju hidup dalam diri remaja.
Zaman remaja dapat diisi dengan sebaik-baiknya dengan adanya hala tuju dan matlamat hidup.

Bentuk
1. Terdiri daripada empat rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama, kedua dan ketiga terdiri daripada enam baris,
manakala rangkap keempat terdiri daripada dua baris.
3. Mengandungi antara satu hingga empat patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas abaccd,abcdcd, abcdce dan aa.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada
Sinis

Gaya Bahasa
1. Ayatnya pendek-pendek.
Contoh: pendirian (rangkap 3, baris 5)
2. Diksinya mudah difahami.
Contoh: dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)
3. Aliterasi :pengulangan konsonan m
Contoh : remaja amat mahal (rangkap 3, baris 1)
4. Pengulangan konsonan t
Contoh : dengan ketentuan tuju (rangkap 4, baris 2)
5. Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh :dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)
Pengulangan vokal i
Contoh : di pinggir perjalanan ini? (rangkap 1, baris 6)
6. Anafora pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon (rangkap 1, baris 4-5)
7. Metafora
Contoh : piala remajamu (rangkap 2, baris 2)
cuka kesangsian (rangkap 2, baris 3)
madu ajaran (rangkap 2, baris 5)
8. Simile
Contoh : bagai kehijauan daun (rangkap 1, baris 4)
9. Sinkope
Contoh : Penuhilah remajamu
Dengan apakah akan kau penuhi

Nilai
1. Nilai keberanian. Remaja perlu berani untuk menegakkan kebenaran.
2. Nilai kegigihan. Remaja mestilah berusaha untuk menuntut ilmu.
3. Nilai kebijaksanaan. Remaja perlu bijak menentukan hala tuju diri dalam hidup mereka.

Pengajaran
1. Kita hendaklah mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
2. Kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.
3. Kita hendaklah berani menempuh dugaan hidup.Remaja mestilah mempunyai keberanian kerana
tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.
4. Kita perlu mempunyai pendirian yang tetap dan yakin akan diri sendiri.

Soalan
1. Nyatakan dua nilai yang terdapat dalam sajak Harga Remaja.
2. Nyatakan dua pengajaran yang diperoleh daripada sajak Harga Remaja.

Jawapan:
1. i) Nilai keberanian. Remaja perlu berani untuk menegakkan kebenaran.
ii) Nilai kegigihan. Remaja mestilah berusaha untuk menuntut ilmu.
2. i) Kita hendaklah mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
ii) Kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.

Mahsuri
(Zurinah Hassan)
Maksud
Rangkap 1
Sajak ini mengisahkan tentang diri Mahsuri dan sumpahannya yang menjadi lagenda di Pulau Langkawi.
Mahsuri digambarkan sebagai lambang wanita yang setia tetapi telah difitnah akibat hasad dengki dan
dendamnya terhadap orang yang menzalimi dirinya. Sumpahan dan darah suci Mahsuri yang mengalir
berwarna putih ketika dia dibunuh telah menjadi lagenda. Setelah tamatnya tempoh sumpahan Mahsuri
tujuh keturunan, kini langkawi telah membangun dengan pesat dan maju.
Rangkap 2
Penyajak menzahirkan pertikaian beberapa pendapat tentang kewujudan Mahsuri kerana ada yang
mengatakan kisah Mahsuri hanyalah khayalan seorang seniman.Namun realitinya kisah Mahsuri itu
benar dan keunikan Mahsuri itu telah digarapkan dalam karya sastera dan akhirnya menjadikan lagenda
itu lebih mahsyur. Lagenda inilah yang menjadi batu loncatan kepada kemajuan Langkawi. Hasil karya
sastera telah memperkasa dan memartabatkan kesusasteraan tanah air tercinta.

Tema
Sejarah dan sastera yang begitu bernilai dan mampu menjana ekonomi Negara.

Persoalan
1. Persoalan fitnah dalam kalangan masyarakat. Mahsuri dihukum bunuh kesan fitnah yang menimpa
dirinya. Disebabkan itu warna darahnya yang mengalir telah menjadi putih.
2. Persoalan sumpah dan dendam. Kezaliman yang berlaku ke atas dirinya telah menimbulkan dendam
sehingga terzahirnya sumpah Mahsuri tujuh keturunan.
3. Persoalan sastera dan sejarah. Sejarah menjadi bukti sahih yang digarapkan menjadi hasil sastera
yang bernilai.
4. Persoalan mengharumkan nama Negara di persada dunia. Lagenda Mahsuri telah memahsyurkan
nama Langkawi diserata dunia.


Bentuk
1. Terdiri daripada dua rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada enam belas baris manakala rangkap kedua
ada sebelas baris.
3. Mengandungi antara satu hingga enam patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas iaitu abbaccdedfaaaaba dan abbaccdeeed.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada
Melankolik.

Gaya bahasa
1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : air matamu dingin embun.
2. Aliterasi :pengulangan konsonan m
Contoh : rambutmu menjadi jalur hitam (rangkap 1 baris 5)
3. Asonansi :pengulangan vokal u
Contoh : menyambut tetamu pulau
4. Metafora
Contoh : terapung di laut malam (rangkap 1, baris 6)
5. Hiperbola
Contoh : melengkung tujuh tanjung (rangkap 1, baris 10)
Putihlah pulau ini (rangkap 1, baris 11)
6. Sinkope
Contoh : kerana tanpamu
7. Personifikasi
Contoh : nyanyian ombak pagi (rangkap 1, baris 4)

Nilai
1. Nilai menghargai. Sejarah dan sastera perlu dihargai sebagai warisan negara yang bernilai tinggi.
2. Nilai kesetiaan. Mahsuri digambarkan sebagai seorang isteri yang sangat setia kepada suaminya.
3. Nilai patriotisme. Perasaan cinta akan sejarah dan sastera penting dalam pembinaan negara bangsa
yang berjaya.
4. Nilai kreativiti penulis.Penulis yang kreatif mampu mengolah bahan sejarah menjadi hasil sastera yang
indah.

Pengajaran
1. Kita hendaklah menghargai sejarah dan sastera kerana kedua-duanya mempunyai kebaikannya
kepada pembangunan negara.
2. Janganlah kita suka menfitnah seseorang tanpa usul periksa.
3. Kita hendaklah berfikiran kreatif dalam usaha merancang pembangunan negara.

Soalan
1. Nyatakan tema sajak Mahsuri.
2. Nyataka dua faktor Pulau langkawi popular sebagai destinasi pelancongan negara.

Jawapan
1. Tema sajak Mahsuri ialah sejarah dan sastera yang begitu bernilai dan mampu menjana ekonomi
negara.
2. Dua faktor Pulau Langkawi menjadi popular sebagai destinasi pelancongan negara ialah kisah lagenda
Mahsuri dan keindahan dan keunikan pulau itu.






Mengintai Ruang Insaf
(Shukri Abdullah)
Maksud
Rangkap 1
Penyajak berasakan bahawa semakin banyak dosa yang dilakukannya telah menjauhkan dirinya dari
rahmat Allah s.w.t.
Rangkap 2
Penyajak merupakan insan biasa yang seringkali melakukan kesilapan dalam hidup sehinggakan sukar
untuk dirinya mendapat cahaya kebenaran dari Ilahi.
Rangkap 3
Penyajak tidak yakin sekiranya ruang keinsafan akan wujud dalam dirinya.
Rangkap 4
Penyajak berharap agar pintu taubat masih terbuka dan dirinya terhindar dari api neraka.

Tema
Perasaan insaf seseorang atas kesilapan yang dilakukan dan bertekad untuk bertaubat.

Persoalan
1. Persoalan fitrah manusia yang sering melakukan kesilapan dalam hidup.
2. Persoalan keinsafan yang wujud dalam diri manusia apabila menyedari kesilapan masa lalu.
3. Persoalan keinginan untuk kembali mendapat keampunan dan rahmat Allah.
4. Persoalan kesukaran mendapat rahmat Allah akibat berterusan melakukan dosa dalam hidup.

Bentuk
1. Terdiri daripada empat rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada empat baris, rangkap kedua ada enam baris,
rangkap ketiga terdiri daripada lima baris manakala rangkap keempat terdiri daripada tiga baris.
3. Mengandungi antara satu hingga enam patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas abab,abcdbe,aabcd dan abb.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada
Melankolik.

Gaya bahasa
1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : tubuhku tercalar duri pidana.
2. Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : Tanpa kembali ke tunjang makna (rangkap 3 baris 2)
3. Pengulangan konsonan k
Contoh : kerap kakiku tersadung selirat akar (rangkap 2, baris 2)
4. Dialog
Contoh : Apakah dalam sarat khilaf masih terbuka ruang untuk dianugerahkan keinsafan?
5. Asonansi :pengulangan vokal i
Contoh : Sewaktu berlari di padang hidup. (rangkap 2, baris 1)
6. Pengulangan vokal u
Contoh : masih terbuka ruang untuk (rangkap 3, baris 4)
7. Metafora
Contoh : Sewaktu berlari di padang hidup (rangkap 2, baris 1)
8. Hiperbola
Contoh : Tubuhku tercalar duri pidana (rangkap 2, baris 3)
9. Penggunaan bahasa asing.
Contoh : Rabb (bahasa arab)
10. Sinkope
Contoh : Kerap kakiku tersadung selirat akar.



Nilai
1. Nilai keinsafan, contohnya timbulnya perasaan insaf yang mendalam untuk bertaubat akibat kesalahan
masa lampaunya.
2. Nilai rasional, contohnya penyajak mengakui segala kesilapan yang pernah dilakukannya.
3. Nilai kesedaran, contohnya penyajak sedar dirinya telah melakukan banyak kesalahan.

Pengajaran
1. Kita hendaklah berasa insaf terhadap kesalahan yang kita lakukan. Contoh: Penyair insaf terhadap
dosa yang dilakukan sebelum ini
2. Kita wajib bertaubat. Contoh: Penyair berharap taubatnya diterima.
3. Kita jangan melakukan sebarang dosa. Contoh: Penyair kerap melakukan dosa hingga kemuliaan diri
semakin hilang.

Soalan
1. Nyatakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini.
2. Nyatakan dua faktor yang boleh mendorong seseorang itu insaf.

Jawapan :
1. Dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini ialah penggunaan bahasa asing iaitu Rabb (bahasa
arab) dan sinkope ,contohnya, Kerap kakiku tersadung selirat akar.
2. Dua faktor yang mendorong seseorang itu insaf ialah sedar akan kesilapan yang lampau dan
mempunyai keinginan untuk bertaubat.



Tiba Waktunya
(Ghazali Lateh)
Maksud
Rangkap 1
Arus globalisasi telah berlaku dengan pantas meliputi pelbagai bidang. Oleh itu, manusia perlu merebut
peluang yang ada selari dengan perubahan zaman.
Rangkap 2 \
Wanita tidak perlu memikirkan perkara-perkara yang bakal menimbulkan kekeliruan untuk membuat
pilihan kerana akan merugikan masa. Perkara yang lebih penting ialah wanita perlu merebut peluang
yang ada dalam usaha memajukan diri dan keluarga.
Rangkap 3
Penyajak menyarankan agar wanita zaman siber berani meluahkan idea ke tengah arena negara.
Penglibatan wanita dalam pelbagai bidang mampu memacu negara mencapai wawasan.
Rangkap 4
Mereka perlu keluar daripada kongkongan kedaifan dan meleraikan semua yang mengelirukan. Mereka
juga perlu berani, berkeyakinan tinggi, tabah di samping menjaga budi pekerti serta hebat semua bidang.
Rangkap 5
Penyajak mengajak wanita supaya mengangkat martabat mereka dengan kekuatan akal dan tenaga
fizikal. Dengan berbekalkan keimanan dan kecekalan, penyajak menyarankan wanita menggerakkan
keupayaan maksimum.
Rangkap 6
Sekaranglah masanya untuk wanita berada di puncak pentas dunia.

Tema
Usaha mengangkat martabat wanita.

Persoalan
1. Persoalan persaingan manusia dalam mengejar kemajuan pada zaman moden.
2. Persoalan keyakinan diri dalam usaha mendapat kesenangan dalam hidup.
3. Persoalan peranan wanita dalam masyarakat.
4. Kepentingan wanita menjadi seorang yang berani.

Bentuk
1. Terdiri daripada enam rangkap.

2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama mengandungi lima baris, rangkap kedua
mengandungi tujuh baris, rangkap ketiga mengandungi empat baris, rangkap keempat mengandungi
enam baris,rangkap kelima mengandungi lima baris dan rangkap terakhir mengandungi dua baris.
3. Jumlah patah kata antara tiga hingga enam.
4. Jumlah suku kata antara tujuh hingga empat belas.
5. Rima akhirnya bebas : aabcc, aaaaabb, abcc, aabbbb, aabbb dan aa.
6. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada
Patriotik

Gaya bahasa
1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : dari putik dan pucuk berembun kemilau
2. Kata ganda.
Contoh : tunas-tunas, gerak geri, sisa-sisa.
3. Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : merebut tunas-tunas harapan yang hijau
4. Asonansi :pengulangan vokal u
Contoh :dari putik dan pucuk berembun kemilau
5. Sinkope.
Contoh : kautanya
6. Hiperbola.
Contoh : angin musim semakin deras dan ganas
7. Metafora
Contoh : tunas-tunas harapan
8. Imajan / simbolik.
Contoh : persada dunia ( puncak kejayaan)
9. Inversi
Contoh : usah kautanya persoalan dilemma

Nilai
1. Nilai keberanian. Wanita kini perlu berani mengemukakan idea dan melibatkan diri dalam pelbagai
bidanguntuk pembangunan negara.
2. Nilai kecekalan. Kecekalan penting untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang.
3. Nilai keyakinan diri. Wanita kini perlu memiliki keyakinan diri dalam menempuh arus perdana dalam
hidup.
4. Nilai berpandangan jauh. Setiap individu perlu berpandangan jauh untuk mencapai matlamat hidup.

Pengajaran
1. Wanita hendaklah berani menghadapi cabaran dalam zaman moden ini demi kejayaan diri sendiri.
2. Kita mestilah cekal dalam meniti kehidupan demi kesejahteraan hidup.
3. Wanita mestilah menjaga iman dan adab sopan agar terpelihara daripada godaan dunia.
4. Wanita hendaklah berusaha mengangkat martabat mereka dengan berbekalkan kekuatan mental dan
fizikal.

Soalan
1. Nyatakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak Tiba Waktunya.
2. Nyatakan dua nilai yang dapat dipetik dalam sajak ini.

Jawapan:
1. Dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini ialah gaya bahasa imajan/simbolik contohnya persada
dunia yang menjadi simbolik kepada puncak kejayaan dan juga gaya bahasa inverse iaitu usah
kautanya persoalan dilemma.

2. Antara nilai yang dapat dipetik dalam sajak ini ialah nilai keberanian iaitu wanita perlu berani
melibatkan diri dalam pembangunan negara. Selain itu nilai kecekalan juga harus ada dalam diri
wanita kerana ia penting untuk mencapai kejayan dalam sesuatu bidang.

Anda mungkin juga menyukai