Anda di halaman 1dari 3

rencana

ARKIB : 04/07/2012

Tempias kecanggihan teknologi


maklumat
KITA berhenti sejenak untuk memerhati senario yang ada di sekeliling kita pada hari
ini. Di kiri kanan kita akan kelihatan manusia yang sibuk dengan telefon bimbit di
tangan masing-masing. Di mana-mana sahaja; di rumah, di kedai mamak, di pasar
raya, pejabat, sekolah dan di mana jua masing-masing sibuk dengan gajet sendiri.
Sayangnya terhadap gajet ini adalah seperti kekasih hati dan kalau tertinggal telefon bimbit di
rumah sehari - serasa seperti tidak lengkap hari itu dan hidup dalam kegelapan. Kalau telefon
berbunyi, terus diangkat tidak kira walaupun sedang memandu. Panggilan perlu dijawab segera
kerana khuatir jika ada hal penting walaupun sedang memandu atau dalam bilik mesyuarat.
Paling tidak membalasnya dengan SMS. Gajet kalau tidak disentuh sehari serasa macam gelap
gelita dunia.
Kita tidak menafikan kepentingan teknologi maklumat membawa kemajuan dan kebaikan
dalam hidup manusia, namun kewujudannya menghadirkan juga pelbagai ancaman daripada
pihak yang tidak bertanggungjawab. Jika kita melihat dari sudut negatif kecanggihan teknologi
internet menyebabkan pelbagai jenayah tradisional dalam bentuk moden seperti memeras ugut,
menipu, dan menyebarkan fitnah.
Baru-baru ini di Batu Pahat seorang remaja dibunuh berhubung sindiran di Facebook. Mangsa
Aw Soo Ming, 17 tahun meninggal dunia walaupun mangsa bukanlah orang yang memberi
komen di Facebook tetapi kawannya. Hanya ayat-ayat dalam Facebook boleh membunuh
manusia. Kes pergaduhan, cerai dan putus hubungan dalam SMS seakan-akan trend pada hari
ini. Kenapa perlu berbicara dalam SMS dan mengugut sesama kita?
Salah faham yang wujud perlu diselesaikan dengan cara baik, bukan dengan kekerasan. Apa
kata kita duduk bersama bincang dari hati ke hati barulah dapat diselesaikan masalah. Tetapi
apa yang anehnya ialah manusia hari ini tidak lagi berani berdepan dan lebih menyedihkan
menggunakan SMS serta e-mail untuk memberi komen berjela-jela. Berperang dalam Twitter
sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah. Kata mereka lebih senang menaip daripada
bertentang mata dan tempiasnya kemajuan teknologi hingga mengorbankan nyawa.
Zaman teknologi kini semakin canggih dengan wujudnya telefon-telefon pintar seperti
Blackberry, Galaxy Tab, iPhone4, yang terbaru Samsung Galaxy S3 sehingga perlu ditempah.
Semua produk terbaru mesti ada di tangan barulah nampak bergaya apatah lagi dengan tawaran
pakej telefon yang sangat menarik.
Internet menjadi medan utama untuk mendapatkan semua maklumat. Pelayar-pelayar Internet
dapat melayari Internet bila-bila masa dengan Ipad 3, Galaxy Tab dan pelbagai lagi cara
berhubung seperti Blackberry Messenger BBM dan Whatsapp.
Itulah penangan kecanggihan teknologi masa kini. Malah jika tidak membuka Facebook sehari
serasa tidak sempurna hidup. Kita dikatakan kolot dan ketinggalan kalau tidak mempunyai

Facebook, Twitter dan sebagainya. Anak-anak kecil pun sudah ada akaun Facebook, dan tidak
perlu pergi taman permainan lagi.
Namun kajian mendapati pengguna muda telefon bimbit yang kerap mempunyai ingatan yang
kurang baik, tindak balas yang perlahan terhadap masa dan membuat banyak kesilapan. Kajian
di kalangan 300 pelajar berumur 12 hingga 14 tahun dari 20 sekolah swasta dan negeri di
Melbourne baru-baru ini menunjukkan kanak-kanak yang banyak menggunakan telefon bimbit
kemungkinan mengorbankan ketepatan bagi mencapai kelajuan.
Zaman dulu kita menulis surat, hantar surat, kad raya, kad hari jadi tapi kini semuanya hanya
dengan SMS atau e-mail. Semuanya hanya di hujung jari. Kita tidak perlu lagi mencari sampul
surat, setem dan ke pejabat pos apabila tibanya musim perayaan atau hari-hari yang bermakna
seperti majlis perkahwinan dan majlis hari jadi. Hanya SMS pun mencukupi. Namun ada yang
berkata bahawa menghantar surat lebih bermakna dan menyentuh jiwa berbanding dengan
telefon. Setuju tak sentuhan tulisan yang ditulis lebih penting daripada yang ditaip?
Mariapan seorang wartawan memberitahu saya bahawa jika dia dijemput melalui telefon untuk
menghadiri majlis kahwin, dia tidak akan pergi sebab tidak nampak keikhlasan. Katanya, bukan
dia sombong tetapi perlulah mengikut adat dan resam yang dipegang selama ini.
Jika yang menjemputnya itu kawan, mungkin dia boleh pertimbangkan lagi. Tetapi jika saudara
mara, maka sepatutnya dihantar kad jemputan ke rumah barulah dia akan pergi. Barulah
nampak di hadapan mata wujudnya kemesraan dan kukuhnya ikatan keluarga.
Kenyataan ini disokong oleh Dr. Sharil Nizam Sha'ari pensyarah kanan di Universiti Teknologi
Mara (UiTM) bahawa penggunaan kad masih penting dan popular untuk menghormati
seseorang khususnya keluarga dan saudara mara untuk majlis besar dan penting kerana ikatan
kekeluargaan amat penting.
Zaman dulu dan kini sudah tidak sama. Saya melihat dari aspek kecanggihan teknologi, dan dari
satu sudut lagi kita melihat bahawa peralatan canggih di pasaran sebenarnya mula
merenggangkan ikatan kekeluargaan dan hubungan sesama kita untuk berjumpa dan berbual
secara bersemuka. Kita menjadi lebih menyendiri dan menghabiskan waktu di hadapan alatan
canggih ini. Masa makan bersama keluarga pun masih menjeling telefon bimbit sambil
tersenyum-senyum. Tidak ada lagi gurau senda dan berkongsi cerita.
Namun kita perlu sedar bahawa, semuanya ini akan memberi impak yang besar dalam
kehidupan kita bukan sahaja dalam keluarga namun impak kepada perpaduan negara.
Dulu, kita jiran tetangga bermain batu seremban, congkak, gasing, lompat galah, guli, aci soroksorok, jala itik dan melakukan aktiviti-aktiviti sukan bersama-sama tanpa mengira kaum.
Semasa bermain tidak pula wujud perasaan marah dan benci. Jika berselisih faham pun sekejap
sahaja dan tidak ada rasa untuk berkelahi, malah jika tidak sepakat dalam keputusan pun masih
ada semangat setiakawan. Pelbagai gelar pelik-pelik yang diberi oleh kawan-kawan tetapi kita
masih boleh bermain bersama-sama dengan perasaan hormat dan akrab.
Jika hari ini kita tidak pernah lagi bermain bersama-sama, bagaimana kita boleh bersatu kalau
hanya dengan kecanggihan teknologi. Sekurang-kurangnya dapat bermain bola di taman
permainan dengan berbilang kaum sudah cukup baik. Menurut Syahbudin Abdullah penerbit di
RTM, kecanggihan teknologi menjurangkan komunikasi antara kita dan itulah antara punca
perpaduan tidak dapat dicapai.
Jika ditinjau keadaan remaja hari ini yang banyak melayari internet tidak dapat memiliki
kehidupan sosial yang baik dan mereka menjadi seorang remaja yang obses, paranoid dan
ketagih untuk berkomunikasi di alam maya. Remaja kurang bergaul dan tempiasnya, hubungan
kekeluargaan menjadi renggang.

Teknologi masa kini punca perpaduan kerana kita diajar berdikari dan menyendiri mencari
maklumat sendiri. Bila lama hidup sendiri kita hilang kawan, persaudaraan dan tidak tahu
membawa diri, akhirnya perhubungan sosial menjadi tawar dan hambar. Fikirkan bersama
tentang perlunya kita meletakkan keluarga, sahabat dan orang yang kita sayangi sebagai
nombor satu dan berikan sepenuh perhatian apabila bersama mereka. Letakkan gajet di tepi
sebagai nombor dua. Bicaralah dari hati ke hati dan kongsi isi hati dengan orang yang kita
sayangi. Salam 1Hati.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120704/re_03/Tempiaskecanggihan-teknologi-maklumat#ixzz3hry9sbVI


Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai