Anda di halaman 1dari 2

Malaysia terlibat dalam peringkat antarabangsa

MALAYSIA kini terlibat aktif dalam kerjasama peringkat antarabangsa memandangkan


sistem perdagangan dan kewangan negara-negara di dunia menjadi semakin berintegrasi.
Platform itu digunakan untuk berkongsi idea dan mencari penyelesaian pada peringkat
serantau bagi menangani isu bersama demi memastikan kestabilan kewangan dunia.
Antara forum utama yang disertai oleh Malaysia secara aktif termasuk ASEAN, ASEAN+3
(China, Jepun dan Korea Selatan), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Mesyuarat AsiaEropah (ASEM), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Bank Pembangunan
Asia (ADB), Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 kerjasama ASEAN yang dilihat menjadi titik
perubahan ke arah merealisasikan integrasi dan pembinaan komuniti ASEAN.
Dalam hal ini, Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penubuhan Piagam ASEAN yang dimeterai
pada 12 Disember 2005 dijangka dipersetujui oleh Ketua-ketua Negara ASEAN pada
penghujung tahun ini.
Selaras dengan perkembangan itu, penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC)
dipercepatkan kepada 2015, lebih cepat daripada jangkaan awal pada 2020.
Di bawah perundingan Menteri-menteri Kewangan ASEAN, Malaysia kini menerajui inisiatif
Mekanisme Kewangan Berstruktur ASEAN yang bermatlamat menggunakan tabungan
ASEAN untuk membangunkan infrastruktur dan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi
rantau ini.
Menerusi konteks pengukuhan kestabilan kewangan serantau, ASEAN+3 berterusan
mengeratkan kerjasama kewangan melalui inisiatif utama iaitu Inisiatif Pasaran Bon Asia
(ABMI) dan Inisiatif Chiang Mai (CMI).
ABMI bertujuan menggalakkan pembangunan pasaran bon di rantau Asia Timur, manakala
CMI ditubuhkan selepas krisis kewangan Asia bagi membantu negara anggota yang
menghadapi masalah kecairan atau imbangan pembayaran.
Bagi usaha mempromosi perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka di rantau Asia
Pasifik, Malaysia melalui APEC terus menumpukan kepada kemudahan perdagangan dan
pelaburan serta kerjasama kewangan.
Dalam memupuk hubungan lebih erat antara Asia dan Eropah, platform ASEM pula menjadi
landasan tepat menggalakkan kerjasama lebih erat dan persefahaman yang lebih mendalam
antara penduduk kedua-dua benua.
Menjalin hubungan
Malaysia juga terus menjalin hubungan dengan Institusi Bretton Woods iaitu IMF dan Bank
Dunia. Malah, rumusan rundingan Artikel IV oleh Lembaga Eksekutif IMF pada Februari lalu
memuji prestasi mantap negara.

Selain itu, kerjasama erat Malaysia dengan Bank Dunia diteruskan dalam program bukan
pinjaman, khususnya dalam bentuk latihan dan khidmat nasihat. Melalui program ini,
pegawai dan institusi dari Malaysia mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif bina
upaya, antaranya dalam bidang percukaian, pendidikan dan ekonomi yang berasaskan
pengetahuan dan produktiviti.
Malaysia juga menjadi jurucakap bagi konstituensi Asia Tenggara dalam Jawatankuasa
Kewangan dan Monetari Antarabangsa pada 2006 dan Jawatankuasa Pembangunan pada
2007.
Langkah itu membolehkan negara mempunyai peranan penting dalam perbahasan semasa
mengenai pembaharuan kuota dan isu tadbir urus di kedua-dua institusi tersebut.
Sementara itu, selepas bebas daripada belenggu program pinjaman ADB pada 2006,
penglibatan Malaysia kini lebih tertumpu kepada program bantuan teknikal dan kerjasama
serantau dengan menyumbang sejumlah AS$15 juta sejak tahun 1997 kepada Tabung
Pembangunan Asia.
Dalam IDB pula, peranan Malaysia termasuk mempromosi kewangan Islam, perdagangan
dan pelaburan secara aktif di kalangan negara anggota.
Pada Mei lalu, Malaysia telah berikrar menyumbang AS$20 juta kepada Tabung Pembasmian
Kemiskinan (PAF) yang bermatlamat mengurangkan kemiskinan menerusi projek
infrastruktur, kesihatan dan pendidikan.
Malah peranan Malaysia dalam IDB mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai ahli
lembaga pengarah Perbadanan Pembiayaan Perdagangan Islam Antarabangsa (ITFC) bagi
tempoh 2007-2010.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia terus komited dan
aktif menyertai proses penggubalan peraturan dan rundingan liberalisasi perdagangan
dalam WTO.
Mulai Februari lalu, Malaysia menjadi Pengerusi General Council iaitu badan pembuat
keputusan tertinggi WTO sebagai pengiktirafan kepada peranan aktif dan sumbangan positif
negara ini dalam rundingan terutama selaku Pengerusi Dispute Settlement Body pada 2006
dan Negotiating Group On Trade Facilitation (2004-2006).
Peranan Malaysia sebagai Pengerusi badan itu amat mencabar memandangkan rundingan
Pusingan Doha yang memberi fokus khusus kepada agenda pembangunan berada pada
tahap kritikal.

Anda mungkin juga menyukai