Anda di halaman 1dari 4

Buat Baik dibalas baik, Buat Jahat

dibalas jahat
Pada suatu hari ada seekor kerbau jantan hendak minum air. Kerbau itu berjalan
melalui satu lorong menuju ke sungai. Sungai itu agak luas. Airnya cetek aja, jenih
dan sejuk. Kerbau itu mengharung air. Air itu hanya setakat lutut sahaja. Kerbau itu
menuju ke tengah-tengah sungai kerana air di bahagian tengah sungai lagi jernih.
Ketika menghirup air, kerbau terdengar sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke
arah uara itu. Kerbau ternampak air terhambur naik di tebing sungai.
"Tolong! Tolong! Tolong aku, kerbau!" tiba-tiba terdengar suara dari tepi sungai dekat
rimbunan buluh. Kerbau cuba memerhati dan meneliti suara itu. Kerbau ternampak
sesuatu berbalam-balam dari jauh seperti batang kelapa ditindih sebatang kayu.
Suara meminta tolong terus bergema. Merayu-rayu bunyinya. Kerbau mendekati
suara itu. Rupa-rupanya ada seekor buaya ditindih oleh pokok kayu, betul-betul di
tengah belakangnya.Oh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau. "Tolong aku, kerbau!
Aku ditimpa oleh pokok yang tumbang. Aku tidak boleh bergerak. Berat sungguh
batang kayu ini," jawab buaya. Kerbau kasihan melihat buaya. Kerbau cuba
mengangkat kayu itu dengan tanduknya. Apabila batang kayu terangkat, buaya
cepat-cepat melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja kerbau menghumban kayu itu
ke bawah, buaya segera menangkapnya.
"Eh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau apabila dirasai kakinya digigit buaya. "Aku
hendak makan kau. Hari ini kau menjadi rezeki aku," jelas buaya sambil menggigit
lebih kuat lagi. "Kaulah binatang yang amat jahat dalam dunia ini. Tidak tahu
membalas budi. Orang berbuat baik, kau balas jahat," kata kerbau.
"Sepatutnya buat baik dibalas baik. Buat jahat dibalas jahat," sambung kerbau lagi.
"Aku tidak peduli," jawab buaya. Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya
menguatkan lagi gigitannya. Kerbau tidak mampu melepaskan diri kerana berada
dalam air. Kalau buaya menariknya ke bawah tentulah ia akan lemas. Kerbau
merayu supaya buaya tidak membunuhnya. "Janganlah bunuh aku, buaya! Aku pun
mahu hidup. Kau makanlah benda lain," kerbau merayu. Tetapi buaya tetap tidak
peduli. "Aku boleh melepaskan kau tetapi dengan satu syarat," kata buaya. "Apakah
syaratnya?" tanya kerbau. "Kita cuba dapatkan jawapan, betul atau tidak bahawa
berbuat baik dibalas baik? Kita tanya apa-apa yang lalu di sini," ujar buaya. "Kalau
jawapannya sama sebanyak tiga kali, aku akan bebaskan kau," ujar buaya lagi.
Kerbau bersetuju dengan syarat yang dicadangkan oleh buaya. Mereka bersamasama menunggu sesiapa sahaja yang lalu atau yang hanyut di dalam sungai itu.
Tiba-tiba mereka ternampak sebuah saji yang buruk hanyut. Buaya pun bertanya
pada saji.

"Saji, betulkah berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. "Tidak betul. Berbuat baik
dibalas jahat," jawab saji. Saji menceritakan kisah hidupnya. "Di rumah, aku
digunakan untuk menutup makanan. Nasi, lauk, kuih, dan apa-apa sahaja aku
lindungi," jelas saji. "Pendek kata, aku banyak menolong dan berbakti kepada tuan
aku. Kucing dan tikus tidak boleh mencuri lauk. Aku lindungi," cerita saji. "Tetapi aku
amat sedih, apabila aku buruk dan koyak, tidak berdaya lagi menutup makanan, aku
dibuang ke sungai," ujar saji. "Itulah sebabnya aku berkata berbuat baik dibalas
jahat," saji menamatkan ceritanya dan terus hanyut."Macam mana kerbau? Betul
atau tidak apa yang aku kata?" tanya buaya. Kerbau berdiam diri kerana berasa
cemas dan sedih. Kerbau berdoa di dalam hati supaya Tuhan menolongnya. "Tuhan
tentu akan menolong orang yang baik," kata kerbau dalam hatinya.
Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang kasut buruk pula hanyut di situ. Sebelah
daripada kasut itu tenggelam kerana tapaknya tembus. Tetapi kasut itu bergantung
kepada pasangannya dengan tali. Kedua-dua belah kasut itu bersama-sama hanyut.
"Hah, itu satu lagi benda hanyut! Kita cuba tanya," kata buaya. "Kasut, betul atau
tidak berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. Kerbau berdebar-debar menunggu
jawapan kasut. Kalau kasut bersetuju dengan kenyataan itu bererti ia akan selamat.
Kalau kasut berkata tidak betul, habislah riwayatnya. "Tidak betul kerana berbuat
baik dibalas jahat," jawab kasut. Hancurlah harapan kerbau untuk hidup apabila
mendengar kasut memberi jawapan itu. Kasut lalu bercerita.Pada suatu masa lalu,
kasut amat disayangi oleh tuannya. Setiap hari kasut dibersihkan dan dikilatkan.
Apabila malam, kasut itu disimpan di tempat selamat. Kasut itu juga hanya dipakai
oleh tuannya apabila pergi ke bandar sahaja. Kalau tuannya pergi ke tempat
berpasir atau berlumpur, kasut itu tidak dipakainya. Tetapi apabila sudah buruk,
kasut itu tidak disayangi lagi. Badannya tidak dikilatkan lagi. Kasut itu dibaling ke tepi
tangga selepas digunakan. Apabila malam, kasut itu ditinggalkan di halaman rumah.
Kasut itu dibiarkan berembun dan berhujan. Ketika itu juga, kasut itu menjadi tempat
persembunyian katak puru untuk menangkap nyamuk. Apabila sudah terlalu buruk
dan koyak, kasut itu dibuangkan ke dalam sungai. "Itulah sebabnya aku hanyut ke
sini," kasut menamatkan ceritanya lalu pergi bersama-sama arus air. "Sudah dua
jawapan.
Engkau kalah. Tetapi aku bagi satu peluang lagi," kata buaya. "Kalau datang yang
ketiga, sama jawapannya, engkau akan menjadi habuanku," jelas buaya kepada
kerbau.Ketika kerbau dan buaya menanti kedatangan benda yang ketiga, tiba-tiba
datang seekor kancil hendak minum air. Kancil itu pergi ke tebing tempat buaya dan
kerbau. Kancil terkejut apabila melihat buaya menggigit kaki kerbau. Kancil melihat
air mata kerbau berlinang. Manakala buaya pula kelihatan bengis. "Ada apa kerbau?
Kenapa buaya gigit kaki engkau?" tanya kancil. "Mujurlah engkau datang, kancil!
Kami sedang menunggu hakim yang ketiga untuk mengadili kami," kata buaya.
"Mengapa?" tanya kancil. "Kami bertengkar, berbuat baik adalah dibalas jahat," kata
buaya. "Tetapi kenapa kamu gigit kaki kerbau?" tanya kancil. Buaya lalu bercerita
mengenai dirinya yang ditindih batang kayu. Kerbau datang menolong. Tetapi buaya

tidak mahu membalas perbuatan baik kerbau. Buaya menganggap kerbau itu patut
menjadi rezekinya. "Tetapi sebelum aku memberikan keputusan, aku mahu tengok
kejadian asalnya," kata kancil. "Mula-mula aku kena tindih batang pokok
patah. Batang pokok itu jatuh menimpa belakang aku," jawab buaya. "Boleh aku
tengok macam mana pokok itu berada di atas belakang kau?" tanya Kancil. "Macam
mana aku hendak tunjukkan, kerbau sudah alihkan batang kayu itu," jawab buaya.
"Baiklah! Sekarang engkau pergi duduk tempat asal, tempat engkau kena tindih,"
ujar kancil. Buaya mengikut sahaja arahan kancil. Buaya melepaskan kaki kerbau
lalu duduk dekat batang pokok. "Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah
kayu itu berada di atas belakang buaya?
Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya engkau mengangkat batang kayu itu?"
kancil mengarah seperti hakim. Kerbau melakukan apa yang disuruh oleh kancil.
"Cuba engkau bergerak, buaya! Bolehkah kayu itu diangkat?" kancil mengarah
buaya. Buaya cuba bergerak dan mengangkat batang pokok itu tetapi tidak berdaya.
"Cuba lagi, seperti engkau mula-mula kena tindih," kata kancil. "Up! Up!" bunyi suara
buaya cuba mengalih batang pokok. "Kuat lagi! Kuat lagi!" seru kancil.Buaya terus
mencuba tetapi tidak berupaya melepaskan diri. Buaya cuba mengumpul kekuatan
untuk mengangkat batang kayu itu, tetapi gagal. Ekornya sahaja membedal air tetapi
batang kayu tetap itu tidak bergerak. Buaya sudah penat. Kerbau pula menunggu
arahan kancil. "Selepas itu apakah yang terjadi?" tanya kancil. "Selepas itu aku
datang menolong. Aku mengangkat batang pokok itu. Apabila buaya terlepas, ia gigit
kaki aku," jawab kerbau. "Bagaimanakah cara kamu mengangkatnya?" tanya kancil.
Kerbau segera mendekati batang pokok itu.
Kerbau menundukkan kepala hendak engangkat batang kayu itu. "Sudah! Setakat
itu dulu. Aku sudah faham. Jangan angkat kayu itu," kata kancil. "Habis itu macam
mana pula dengan buaya? Tentu buaya akan mati," jawab kerbau. "Engkau ini
sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau
buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya
kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing
sungai. Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah
kena tipu. Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air sungai
melambung naik. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut
kancil. "Jaga, kancil! Kautipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau," pekik buaya.
Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan
terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu telah
menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal dengan
perbuatan jahatnya itu.
"Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini
mati. Kalau buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima
balasannya kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke
atas tebing sungai. Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya
tahu ia sudah kena tipu. Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air

sungai melambung naik. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing
mengikut kancil. "Jaga, kancil! Kautipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau,"
pekik buaya. Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau
mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu
telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal
dengan perbuatan jahatnya itu.

Anda mungkin juga menyukai