Anda di halaman 1dari 4

Berbuat Baik Dibalas Baik.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada hari ini saya akan menceritakan sebuah cerita yang bertajuk Berbuat baik dibalas baik. Pada suatu hari, ada seekor kerbau jantan yang kehausan. Kerbau itu berjalan melalui satu lorong menuju ke sebuah sungai. Sungai itu agak luas. Airnya cetek, jernih dan sejuk. Kerbau itu mengharung air sungai. Air sungai itu hanya setakat lutut sahaja. Kerbau itu menuju ke tengah-tengah sungai kerana air di bahagian tengah sungai lagi jernih. Ketika menghirup air, kerbau terdengar sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke arah suara itu. "Tolong! Tolong! Tolong aku, kerbau!" kedengaran satu suara dari tepi sungai dekat rimbunan buluh. Kerbau cuba mendengar dan mengamati suara itu. Suara meminta tolong terus bergema. Merayu-rayu bunyinya. Kerbau mendekati suara itu. Rupa-rupanya ada seekor buaya ditindih oleh pokok kayu, betul-betul di tengah belakangnya. Eh, Sang buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau. "Tolong aku, Sang Kerbau! Aku ditimpa oleh pokok yang tumbang. Aku tidak boleh bergerak. Berat sungguh batang kayu ini," jawab buaya. Kerbau sangat kasihan melihat buaya. Kerbau cuba mengangkat kayu itu dengan tanduknya. Apabila batang kayu terangkat, buaya cepat-cepat melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja kerbau menghumban kayu itu ke bawah, buaya segera menangkap kaki kerbau. "Eh, Sang Buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau apabila merasa kakinya digigit buaya. "Aku hendak makan kau. Hari ini kau menjadi rezeki aku", jelas buaya sambil menggigit lebih kuat lagi. "Kaulah binatang yang amat jahat dalam dunia ini. Tidak tahu membalas budi. Aku berbuat baik, kau balas jahat," kata kerbau. "Sepatutnya buat baik dibalas baik. Buat jahat dibalas jahat", sambung kerbau lagi. "Aku tidak peduli", jawab buaya. Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya menguatkan lagi gigitannya. Kerbau tidak mampu melepaskan diri.

Kerbau merayu supaya buaya tidak membunuhnya. "Janganlah bunuh aku, Sang Buaya! Aku pun mahu hidup. Kau makanlah benda lain", kerbau merayu. Tetapi buaya tetap tidak peduli. "Aku boleh melepaskan kau, tetapi dengan satu syarat," kata buaya. "Apakah syaratnya?" tanya kerbau. "Kita cuba dapatkan jawapan, betul atau tidak bahawa berbuat baik dibalas baik? Kita tanya apa-apa saja yang lalu di sini," ujar buaya. Kerbau bersetuju dengan syarat yang dicadangkan oleh buaya. Mereka menunggu sesiapa sahaja yang lalu atau yang hanyut di dalam sungai itu. Tidak lama kemudian, mereka ternampak seekor kancil. Kancil hendak mencari air kerana kehausan. Kancil itu pergi ke tebing sungai tempat buaya dan kerbau. Sang Kancil terkejut apabila melihat buaya menggigit kaki kerbau. Kancil melihat air mata kerbau berlinang. Manakala buaya pula kelihatan bengis. "Eh ! Kenapa ni Sang Kerbau? Kenapa Sang Buaya gigit kaki engkau?" tanya kancil. "Mujurlah engkau datang, kancil! Kami sedang menunggu hakim untuk mengadili kami," kata buaya. "Mengapa?" tanya kancil. "Kami bertengkar, berbuat baik adalah dibalas jahat," kata buaya. "Tetapi kenapa kamu gigit kaki Sang Kerbau?" tanya kancil. Buaya lalu bercerita mengenai dirinya yang ditindih sebatang kayu. Kerbau datang menolong. Tetapi buaya tidak mahu membalas perbuatan baik kerbau. Buaya menganggap kerbau itu patut menjadi rezekinya. "Tetapi sebelum aku memberikan keputusan, aku mahu tengok kejadian asalnya," kata kancil. "Mula-mula aku kena tindih sebatang pokok yang patah. Batang pokok itu jatuh menimpa belakang aku," jawab buaya. "Boleh aku tengok macam mana pokok itu berada di atas belakang engkau?" tanya Kancil. "Macam mana aku hendak tunjukkan, kerbau sudah alihkan batang kayu itu," jawab buaya. "Baiklah! Sekarang engkau pergi duduk tempat asal, tempat engkau kena tindih," ujar kancil. Buaya mengikut sahaja arahan kancil. Buaya melepaskan kaki kerbau lalu duduk dekat batang pokok.
2

"Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah kayu itu berada di atas belakang buaya? Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya engkau mengangkat batang kayu itu?" kancil mengarah seperti hakim. Kerbau melakukan apa yang disuruh oleh kancil. "Cuba engkau bergerak, buaya! Bolehkah kayu itu diangkat?" kancil mengarah buaya. Buaya cuba bergerak dan mengangkat batang pokok itu tetapi tidak berdaya. "Cuba lagi, seperti engkau mula-mula kena tindih," kata kancil. "Kuat lagi! Kuat lagi!" seru kancil lagi. Buaya terus mencuba tetapi tidak berupaya melepaskan diri. Buaya cuba mengumpul kekuatan untuk mengangkat batang kayu itu, tetapi gagal. "Selepas itu apakah yang terjadi?" tanya kancil. "Selepas itu aku datang menolong. Aku mengangkat batang pokok itu. Apabila buaya terlepas, ia gigit kaki aku," jawab kerbau. "Bagaimanakah cara kamu mengangkatnya?" tanya kancil. Kerbau segera mendekati batang pokok itu. Kerbau menundukkan kepala hendak mengangkat batang kayu itu. "Sudah! Setakat itu dulu. Aku sudah faham. Jangan angkat kayu itu," kata kancil. "Habis tu, macam mana dengan Sang Buaya? Tentu Sang Buaya akan mati," jawab kerbau. "Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau buaya ini hidup, tentu engkau yang mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai. Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu. Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya untuk lepaskan diri. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut kancil. "Jaga, kancil! Kau tipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan engkau," pekik buaya.

Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan jahatnya itu. Ya, ingat ya kawan-kawan, kita mestilah berbuat baik..dan ingat berbuat baik akan dibalas baik. Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai