Nurul Azreen Binti Zaidi Gindi
Nurul Azreen Binti Zaidi Gindi
Golongan remaja sukar mengawal perasaan untuk sentiasa melibatkan diri dalam
semua perkara. Kecelaruan mencari identiti semasa peringkat remaja sangat aktif agar
sepadan dengan kehendak masing-masing. Implikasi kecelaruan jati diri akan menyebabkan
remaja menurut kehendak hati semata-mata. Contohnya, remaja yang mempunyai
pasangan sekiranya duduk berduaan boleh menyebabkan mereka ingin melakukan
perbuatan seks. Seorang remaja perlu mengatakan tidak terhadap ajakan pasangan yang
ingin melakukan seks luar nikah.
Di samping itu, kes tingkah laku seksual remaja disebabkan oleh ibu bapa yang
kurang memberi perhatian terhadap aktiviti anak-anak. Remaja yang kurang mendapat
perhatian ibu bapa cenderung melakukan perkara luar jangkaan. Terdapat ibu bapa yang
sibuk bekerja akan letih dan membiarkan anak bebas bergerak. Pergerakan remaja yang
tidak terkawal oleh ibu bapa akan mudah untuk mencari rakan sebaya.
Pembuangan Bayi
Sejak akhir-akhir ini kes pembuangan bayi amat meruncing terutamanya dalam kalangan
remaja. Kes pembuangan bayi ini berpunca daripada individu, keluarga dan masyarakat.
Apabila fenomena ini sukar diatasi mendatangkan impak yang negatif dan akan terus
menjadi jarum dalam daging dalam masyarakat. Oleh itu, modus operandi yang bertepatan
akan diperihalkan daripada sudut tanggungjawab individu, ibu bapa dan kerajaan
Individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disebabkan oleh pergaulan bebas
remaja lelaki dan perempuan. Remaja yang tidak mengawal hubungan sosial ketika
bersama berlainan jantina akan mengakibatkan mereka melebihi batas pergaulan.
Contohnya, menatap mata antara lelaki dan perempuan akan menimbulkan perasaan berahi
dan sentuhan akan berlaku. Sentuhan yang sedikit seterusnya mendesak golongan remaja
untuk melakukan lebih daripada sentuhan biasa.
Isu pembuangan bayi juga terjadi apabila pengaruh daripada rakan sebaya sukar
ditangani. Contohnya, remaja lelaki sentiasa dicabar dengan sifat kelakian dengan
melakukan hubungan seksual bersama perempuan. Remaja lelaki yang tercabar akan
mengajak pasangan untuk melakukan seks untuk menunjukkan kejaguhan tersebut.
Implikasi terhadap pasangan perempuan akan menanggung malu dan lelaki tidak akan
bertanggungjawab kerana keinginan tersebut hanya memenuhi permintaan rakan semarta-
mata. Lantaran itu, remaja perempuan akan terbabit dengan kes pembuangan bayi kerana
tidak mampu menanggung kesalahan tersebut seorang diri.
Selain itu, pembuangan bayi berakar umbi daripada keluarga yang bermasalah.
Faktor keluarga bermasalah akan mempengaruhi sikap remaja yang masih memerlukan
perhatian dan didikan yang cukup. Remaja yang kurang mendapat didikan agama
khususnya, terdorong terlibat pergaulan bebas lantas melakukan hubungan seks untuk
mencari keseronokan. Hasil hubungan seks berleluasa mengakibatkan kelahiran anak luar
nikah dan remaja enggan mengambil risiko serta berhadapan masalah keluarga akan
terlibat kes pembuangan bayi.
Langkah yang perlu diambil individu ialah menggelakkan diri daripada bergaul
dengan berlainan jantina terlalu bebas dan kerap. Seseorang individu perlu berhati-hati
dengan ajakan pasangan. Katakan tidak untuk ajakan berhubungan seks luar nikah
merupakan langkah terbaik menggelakkan pasangan terjebak dalam pembuangan bayi.
Pihak kerajaan pula perlu memberi khidmat nasihat kepada remaja yang terlibat
dalam kes pembuangan bayi agar mereka merasakan diri masih diterima masyarakat.
Kerajaan juga perlu giat menjalankan ceramah untuk memupuk kesedaran nilai
kemanusiaan dalam kalangan remaja.
Sumbang Muhram
Sumbang muhram merupakan perbuatan keji yang dilakukan dengan darah daging sendiri.
Kes ini menular dalam masyarakat hari ini kerana berpunca daripada kecanggihan
teknologi, ketidakpuasan hubungan intim dan faktor perempuan. Kesan kes ini dapat
menyebabkan individu yang terlibat stress, masalah personaliti dan terasing dalam
masyarakat. Namun, permasalahan ini dapat dibendung dengan sekatan media, peneguhan
iman dan menjaga aurat.
Langkah yang boleh diambil seperti melakukan sekatan media agar individu tidak
mudah mengakses bahan-bahan lucah. Sementara itu, individu pula hendaklah
mengukuhkan keimanan terhadap ibadah agar terpelihara hati dan dapat mengelakkan diri
aktiviti melakukan maksiat. Manakala perempuan hendaklah menjaga pemakaian supaya
tidak menimbulkan keghairahan pihak lelaki.
Anak Luar Nikah
Anak luar nikah adalah anak yang dilahirkan tanpa ikatan yang sah. Perbuatan ini
berpunca daripada remaja yang kurang pegangan agama dan pendedahan bahan lucah.
Implikasi punca tersebut mengakibatkan remaja melakukan seks tanpa ikatan sah. Langkah
yang boleh diambil ialah melakukan amal ibadah wajib dan sunat secara konsisten dan
melakukan banyak riadah sihat.
Remaja yang kurang pegangan agama cenderung melakukan perkara yang tidak
bermoral kerana tidak menghiraukan hukuman dunia atau akhirat. Maka, golongan ini
mudah terpedaya dengan hiburan yang melalaikan bersama pasangan. Rentetan itu, remaja
akan melibatkan diri untuk mengisi kelapangan tanpa ibadah dengan melihat bahan lucah di
internet. Kesan perbuatan tersebut terhadap pasangan yang bercinta ataupun tidak akan
mengikut hawa nafsu demi memenuhi kehendak seks.
Langkah yang boleh diambil seseorang itu ialah melakukan banyak ibadah dan
menghadirkan diri ke program kerohanian agar terpelihara diri melakukan
maksiat.Seseorang itu juga boleh melakukan aktiviti fizikal seperti bermain permainan dan
berjogging agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat berbanding menonton bahan
lucah.
Kehamilan Remaja
Kehamilan remaja yang tidak direncanakan akan mengakibatkan perubahan sosioemosi dan
fizikal. Punca kehamilan remaja akibat daripada pengetahuan yang cetek, trend dalam
berpasangan dan perubahan zaman. Kesan permasalahan yang berlanjutan ini
mengakibatkan remaja menghadapi masalah psikologi dan masalah pranikah. Langkah
yang boleh diambil seperti pendidikan seks dalam kalangan remaja.