Anda di halaman 1dari 7

Tugasan 1

Soalan 2: Apakah pendapat anda tentang perbuatan seks luar nikah dan sumbang
mahram dan sebagai insan yang bermoral apakan tindakan anda?

1.0 PENGENALAN

Pada era globalisasi ini, kes-kes tentang seks luar nikah dan sumbang mahram
ini semakin meningkat dalam negara kita dan dapat diketahui melalui surat khabar,
internet, televisyen dan sebagainya. Sebagai contoh dari Utusan Melayu yang
memaparkan berita tentang remaja lelaki didakwa sumbang mahram bersama kakak
di Jerantut,Pahang. Tidak dinafikan bahawa pelbagai usaha telah diimplementasikan
bagi mengatasi kemelut ini. Menurut Mohd Khairul (2010), terdapat banyak punca
yang menyebabkan seks luar nikah dan sumbang mahram termasuklah pengaruh
media massa, pengaruh rakan sebaya, kurang didikan agama dan sebagainya.

2.0 DEFINISI DAN KONSEP

Pengertian perbuatan seks luar nikah ini ialah bentuk seks yang tidak
dibenarkan oleh institusi perkahwinan antara lelaki dan perempuan melibatkan
pasangan kekasih yang cenderung melakukannya sebelum mempunyai ikatan sah
sebagai suami isteri. Takrif hamil luar nikah ialah mengandung sebelum berkahwin di
mana kewujudan hubungan seks di antara dua pasangan yang tidak mempunyai
pertalian nikah yang sah (Khadijah, Salina, Fauziah, Noremy, Mohd Suhaimi &
Noorhasliza, 2012). Manakala pengertian sumbang mahram ialah perbuatan zina yang
dilakukan oleh seseorang yang ada pertalian darah dengan mangsa. Ee (1988)
menyatakan bahawa sumbang mahram ini juga dapat didefinisikan sebagai hubungan
jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan antara
mereka adalah tidak sah di sisi undang-undang atau dilarang oleh adat resam dan
agama.

3.0 FAKTOR

Menurut Abdullah Zhidi, Mahdi, Mazlan, Mohd Fu’ ad, & Roslina (2014), punca
yang menyebabkan kes seks luar nikah dan sumbang mahram ialah kepincangan
institusi kekeluargaan. Pada era yang penuh dengan persaingan ini, ibu bapa sangat
sibuk untuk bekerja supaya dapat mencari nafkah bagi menyara kehidupan
keluarganya. Sebenarnya ibu bapa merupakan individu yang paling dekat dengan
remaja dan banyak mempengaruhi proses pembentukan diri remaja. Namun begitu,
ibu bapa kini mengabaikan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.
Hal ini demikian kerana ibu bapa yang bersikap bagai enau dalam belukar,

1
melepaskan pucuk masing-masing dalam mengejar kemewahan dan kebendaan
semata-mata untuk memenuhi naluri mereka. Sikap ibu bapa yang terlalu materalistik
sehingga mengabaikan anak-anak telah menyebabkan anak-anak mereka berasa
kurang kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, remaja akan
terjebak ke kancah permasalahan sosial termasuk melakukan seks bebas dengan
orang lain untuk menarik perhatian ibu bapa mereka supaya mendapat kasih sayang
daripada mereka. Di samping itu, peningkatan kadar penceraian juga akan
menyebabkan lebih ramai kanak-kanak terdedah kepada risiko yang lebih tinggi bagi
mengalami sumbang mahram. Contohnya, jika seseorang ibu berkahwin semula, anak
perempuan yang tinggal serumah dengan mereka terdedah kepada risiko yang lebih
tinggi untuk penganiayaan seksual oleh bapa tirinya berbanding bapanya sendiri.

Selain itu, kurang didikan agama dan moral turut menyebabkan seks luar nikah
dan sumbang mahram. Didikan agama merupakan pendorong dan pedoman hidup
seseorang ke arah yang lebih baik dan dapat menjadi insan yang bermoral dan
sempurna. Remaja yang kurang didikan agama dan moral ini mereka tidak mempunyai
jati diri yang kukuh. Menurut Noor Azam (2015), jati diri merujuk kepada nilai yang ada
dalam diri seseorang yang dapat membawa pengaruh dalam menentukan
hubungannya dengan orang lain. Oleh itu, mereka akan hilang hala tuju dan arah
dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam seks luar nikah dan sumbang mahram.
Jadi, didikan agama yang kurang mantap di kalangan remaja telah menyebabkan
masalah ini kian meruncing.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan faktor yang


menyebabkan seks luar nikah dan sumbang mahram berlaku. Hal ini demikian kerana
rakan sebaya merupakan individu yang paling rapat dengan remaja selain ibu bapa.
Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar
terhadap masa depan remaja kerana mereka lebih mudah dipengaruhi oleh rakan
sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya pada usia awalnya disebabkan
mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Rakan sebaya yang
bermasalah dan suka melakukan aktiviti negatif akan mengajak remaja melakukan
perkara di luar batasan keagamaan dan norma masyarakat seperti berkunjung ke
disko, pusat hiburan, pengambilan dadah dan akhirnya melalukan seks luar nikah.

Seterusnya, arus kemodenan terutama melalui media massa seperti laman


sesawang dan media cetak telah menyemarakkan masalah ini. Program dari negara-
negara barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan
remaja mudah terpengaruh kerana mereka beranggapan bahawa budaya asing yang

2
diikuti adalah cara hidup moden yang seiring dan sesuai dengan dunia yang kini
semakin canggih dan moden. Sebaliknya, mereka menganggap bahawa cara hidup
berlandaskan ajaran agama adalah kuno dan tidak lagi boleh diguna pakai pada
zaman moden ini. Remaja yang pemikirannya masih kurang matang ini mereka
mempunyai perasaan ingin mencuba pasti akan meniru aksi-aksi panas yang terdapat
dalam filem barat bagi memuaskan nafsu mereka. Remaja sekarang juga mudah
melayari laman sesawang apa-apa sahaja termasuk bahan-bahan lucah, penayangan
filem berunsurkan seks oleh media dan akhirnya mereka akan melakukan hubungan
seks luar nikah.

Tambahan pula, pihak sekolah yang lebih mementingkan prestasi akademik


pelajar berbanding pembentukan sahsiah diri pelajar merupakan punca-punca seks
luar nikah dan sumbang mahram di kalangan remaja. Kebanyakan sekolah kini hanya
berfokus kepada pencapaian bidang akademik yang cemerlang dan mengabaikan
kepentingan didikan agama, moral dan sivik kenegaraan di kalangan pelajar
menyebabkan pelajar-pelajar mempunyai keputusan peperiksaan yang cemerlang
tetapi tidak menekankan pembentukan sahsiah diri. Contohnya, pihak sekolah
sentiasa mengambil waktu pendidikan moral dan sivik kenegaraan untuk mengajar
pelajar subjek-subjek akademik seperti biologi, kimia dan fiziks supaya mereka dapat
memperolehi keputusan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam peperiksaan
PMR dan SPM. Pelajar-pelajar juga akan berasa tertekan dan stres terhadap kerja
sekolah yang banyak dan pembelajaran yang berat. Mereka seterusnya akan mencari
keseronokan untuk mengurangkan tekanan mereka dengan melibatkan diri dalam
gejala sosial terutama pergaulan bebas.

3.1 KESAN

Setelah menganalisa punca-punca masalah seks rambang, eloklah kita


mengkaji kesan-kesan jangka panjangnya pula. Pertama ialah dari sudut kesihatan.
Kesihatan remaja yang mengamalkan seks rambang akan terjejas dan mereka boleh
dihidapi penyakit Aids dan juga penyakit kelamin seperti gonorrhoea, syphilis dan
herpes. Imej dan maruah keluarga juga tercemar hanya kerana masalah seks luar
nikah yang dilakukan oleh anak-anak bak kata pepatah,”kerana nila setitik, rosak susu
sebelanga”. Perbuatan seks rambang mahupun melahirkan anak di luar pernikahan
akan menconteng arang ke muka orang tua.

3
3.2 TINDAKAN

Sesungguhnya, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Sebagai insan yang


bermoral, tindakan pertama yang saya akan buat adalah jika saya mengetahui rakan
sebaya ada terlibat dalam perbuatan seks luar nikah, saya akan menasihatinya dan
memberitahu kesan-kesan buruk perbuatan negatif ini kepadanya agar rakan saya
tidak akan terus terjerumus dalam gejala negatif ini. Saya juga akan memberikan kata
sokongan dan kepada mereka supaya mereka tidak berasa tersisih dan lebih
bersemangat untuk menghadapi masalah mereka. Hal ini demikian kerana rakan
sebaya merupakan rujukan utama dalam pembinaan sahsiah dan tingkah laku mereka
dan remaja kini lebih banyak berbincang mengenai permasalahan harian bersama
rakan sebaya bukan dengan ibu bapa. Oleh itu, saya akan memberi cadangan kepada
rakan sebaya saya untuk meluangkan masa lapangnya dengan melakukan aktiviti-
aktiviti yang lebih berfaedah seperti bersenam dan membaca buku.

Selain itu, jika saya mengetahui rakan saya terlibat dalam seks luar nikah atau
sumbang mahram, saya juga akan menasihatinya untuk berjumpa dengan kaunselor
sekolah dengan segera. Dengan ini, guru kaunselor sekolah dapat membantu mereka
dan mengambil tindakan segera dengan memberikan cadangan yang berguna
berkaitan dengan masalah salah laku seksual dalam kalangan remaja dan memberi
penerangan tentang kesan hamil luar nikah dengan lebih mendalam, teliti dan lanjut
kepada rakan saya supaya dia dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam
perbuatan seks luar nikah ataupun sumbang mahram dengan lebih mendalam
sebelum keadaannya menjadi lebih ketara dan serius. Selepas mendapat cadangan
daripada unit kaunselor sekolah, saya yakin bahawa kes-kes berkaitan seks luar nikah
dan sumbang mahram dapat menurun.

Sebagai seorang insan yang bermoral, kita haruslah memasang mata dan
telinga terhadap tingkah laku dan kelakuan remaja serta menjadi lebih proaktif dan
prihatin akan hal-hal yang berlaku di sekeliling kita. Contohnya, jika kita mendapati
bahawa rakan sebaya ataupun remaja di sekeliling kita telah menjadi mangsa tentang
kes-kes sumbang mahram dan terpaksa oleh ahli keluarganya untuk mempunyai
pergaulan seks dengan mereka, kita haruslah mengambil tindakan dengan
melaporkan kepada pihak polis supaya pesalah dalam kes tersebut dapat dikenakan
hukuman yang berat. Dengan ini, mangsa tersebut dapat membebaskan diri daripada
terus dicederakan oleh pesalah itu secara fizaikal ataupun mental.

4
Di samping itu, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, saya akan
menekankan kepentingan didikan agama dan moral dalam keluarga. Menurut
Muhammad Firdaus (2014), keluarga merupakan kumpulan sosial primer dan unit
asas dalam membentukkan sesuatu masyarakat. Oleh itu, Ibu bapa harus mendidik
mereka ajaran agama dan moral supaya mereka mempunyai benteng ketahanan yang
kukuh dan kuat. Ibu bapa juga harus menerapkan nilai-nilai murni dalam sanubari
anak-anaknya seperti menjaga harga diri supaya remaja mempunyai keperibadian
yang baik dan sihat. Seterusnya, saya juga bersetuju dengan kata Noraizah (2014)
agar ibu bapa sebagai pihak yang bertanggungjawab membesarkan anak seharusnya
meluangkan masa untuk menemani mereka dan mengetahui perkembangan anak-
anak mereka pada setiap masa supaya gejala negatif ini dapat ditangani sebelum “nasi
sudah menjadi bubur”.

Tambahan pula, sebagai ibu bapa saya juga akan memberikan perhatian dan
kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh kepada anak-anak supaya masalah
ini dapat ditangani dalam kalangan remaja. Pada era yang penuh dengan persaingan
yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi
meningkatkan taraf hidup masing-masing. Sebenarnya ibu bapa harus meluangkan
masa untuk berbual-bual bersama anak-anak dan bertanya kepada mereka keadaan
mereka setiap hari supaya mengetahui masalah anak-anak mereka dan seterusnya
dapat mencari cara mengatasi yang baik dengan awal dan mengelakkan masalah
yang lebih serius berlaku. Oleh itu, ibu bapa harus memberi kasih sayang dan
perhatian yang cukup kepada anak-anak supaya mereka tidak terjemurus dalam
kancah sosial.

4.0 RUMUSAN

Kesimpulannya, kita perlu menerima realiti bahawa masalah seks luar nikah
dan sumbang mahram di negara kita memang menampakkan lonjakan drastik yang
bukan sahaja mencemaskan masyarakat malah turut merimaskan pemimpin-
pemimpin negara. Walau bagaimanapun, masalah ini di negara kita masih rendah dan
terkawal jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia terutamanya dieropah
dan Asia. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masalah seks luar nikah dan
sumbang mahram ini masih berada di peringkat kulit dan belum lagi menyerang urat
dan isi. Dengan yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk
institusi keluarga, institusi agama, swasta, media massa, masyarakat dan pihak
kerajaan untuk menggembleng tenaga bagi membanteras masalah ini dari bumi
Malaysia kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

5
RUJUKAN

Buku

Abdullah Zhidi Omar, Mahdi Shuid, Mazlan Aris, Mohd Fu’ ad Sam, & Roslina
Suratnu. (2014). Pengantar Pendidikan Moral. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.

Ee, A. M. (1988). Pendidikan Moral Untuk Bakal Guru. Petaling Jaya: Longman
Malaysia Sdn. Bhd.

Majalah

Muhammad Firdaus Abu Hassan. (2014, December). Jalan selamat sistem


kekeluargaan. Dewan Masyarakat, 28-29.

Noor Azam Abdul Rahman. (2015, April). Pengukuhan nilai jati diri elak masalah
sosial. Dewan Siswa, 8-11.

Noraziah Mohd. Amin. (2014, December). Remaja “nakal” tidak perlu disangkal.
Dewan Siswa, 8-11.

Sumber Internet

Khadijah Alavi, Salina Nen, Fauziah Ibrahim, Noremy Md. Akhir, Mohd Suhaimi
Mohamad, & Noorhasliza Mohd Nordin. (2012, Jun 9). Hamil luar nikah dalam
kalangan remaja. Journal of Social Sciences and Humanities, 7(1). Dimuat
turun pada 4 Februari, 2015, daripada http://pkukmweb.ukm.my/e-bangi/

Mohd Khairul Hairi Yunus. (2010). Seks luar nikah. Apa puncanya? Dimuat turun pada
Februari 4, 2015, daripada http://minda-sosial.blogspot.my/2010/10/seks-luar-
nikahapa-puncanya.html

Utusan Melayu. (2012, September 14). Remaja lelaki didakwa sumbang mahram
bersama kakak. Dimuat turun pada 2 Mac, 2016, daripada
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20120914/ma_01/Remaja-
lelaki-didakwa-sumbang-mahram-bersama-kakak

6
7

Anda mungkin juga menyukai