Anda di halaman 1dari 22

Huraikan ciri-ciri sistem pemerintahan yang berdasarkan ideologi demokrasi.

Seterusnya bandingkan amalan-amalan demokrasi dalam era pasca-Perang Dingin di

Ghana dengan amalan-amalan demokrasi dalam era pasca-Suharto di Indonesia.

PENGENALAN

Dalam kemajuan dan perubahan sistem pentadbiran serta tatacara bermasyarakat,

demokrasi diterima sebagai satu sistem politik terbaik yang sesuai untuk kehidupan manusia.

Bermula dari pemikiran Socrates hingga kini, demokrasi berkembang selari dengan konsep

negara bangsa, kontrak sosial, aspirasi umum, penyertaan rakyat, hak rakyat dan sebagainya.

Kesemua konsep ini mengikat demokrasi dengan kehendak majoriti rakyat terhadap

pemerintah. Pemerintah yang dibentuk daripada pilihan ramai itu bertujuan memberi

perkhidmatan terbaik dan memastikan kehidupan rakyat terjamin.Walaupun ia adalah milik

masyarakat paling ramai, namun demokrasi menentang penindasan terhadap kelompok

masyarakat minoriti di dalam sesebuah negara.

Perkataan demokrasi adalah istilah yang berasal dari bahasa Yunani dan ia terdiri

daripada dua gabungan perkataan iaitu demo yang bermaksud rakyat atau penduduk suatu

tempat dan kratein yang bermaksud untuk kekuasaan atau peraturan. Jadi dari segi bahasa,

demokrasi adalah keadaan negara di mana dalam sistem pemerintahannya, kedaulatan berada

di tangan rakyat, kekuasaan tertinggi berada dalam keputusan bersama rakyat, rakyat

berkuasa, pemerintahan rakyat dan kekuasaan oleh rakyat. Negara yang mengamalkan sistem

demokrasi dikenali sebagai negara demokratik. Kekuasaan tertinggi dalam sistem demokrasi

terletak di tangan rakyat kerana rakyat mempunyai hak dan suara yang sama dalam mengatur

pemerintahan sesebuah negara. Merujuk kepada Angelika Klein et al. (2011) demokrasi

1
adalah 'satu bentuk kerajaan di mana kuasa dan tanggungjawab sivik dilaksanakan oleh

seluruh warga dewasa, secara langsung atau tidak langsung melalui wakil-wakil mereka yang

dipilih secara bebas'.

Dewasa ini menjadi kecenderungan global apabila demokrasi menjadi impian politik

berbagai negara khususnya negara-negara membangun. Berakhirnya perang dingin antara

Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet, memberi kesan positif kepada semaraknya idea

dan proses pendemokrasian di pelbagai negara. Perhatian dunia beralih dari persoalan

ketenteraan, perang konvensional, persaingan senjata dan pertarungan ideologi kepada

persoalan demokrasi dan hak asasi manusia. Demokrasi kemudian menjadi agenda utama

dunia pasca perang dingin. Dunia menjadi begitu peka terhadap masalah-masalah demokrasi

di suatu negara. Maka dapat difahami mengapa penyimpangan hak-hak asasi manusia yang

berlaku di suatu negara mendapat sorotan tajam dari dunia antarabangsa. Berakhirnya perang

dingin membawa angin segar kepada proses pendemokrasian dan penghargaan yang tinggi

terhadap maruah kemanusiaan. Demokrasi diakui sebagai sebuah sistem nilai kemanusiaan

yang paling menjanjikan masa depan umat manusia yang lebih baik kerana pada asasnya ia

sesuai dengan nilai-nilai luhur kemanusian. Anggapan ini muncul kerana beberapa faktor,

antaranya ialah penderitaan manusia akibat fasisme, totaliterianisme, komunisme, dan

fahaman-fahaman anti-demokrasi lain.

IDEOLOGI POLITIK

Pengertian ideologi adalah berbeza pada pandangan tokoh dan sarjana Ideologi

merupakan sistem kepercayaan yang menjadi asas kepada tingkah laku seseorang. Pada

lazimnya ia merujuk kepada set kepercayaan yang menggerakkan suatu pergerakkan politik

2
dan sosial. Ideologi juga dimaksudkan sebagai salah satu item yang membentuk keperluan

mental dan jasmani individu yang membentuk sesebuah masyarakat serta meliputi

permasalahan politik, sosial, ekonomi dan perkara yang bersangkut paut dengan sejarah dan

sosio-geografi manusia. Ideologi ditafsirkan sebagai fahaman (ajaran) yang dipakai atau

dicita-citakan untuk dasar pemerintahan dan lain-lain tujuan.

Ideologi politik merupakan satu fahaman politik manusia yang menerangkan sesuatu

pendekatan kaedah pengurusan politik pemimpin-pemimpin ataupun pemerintah sesebuah

negara dalam urusan pentadbiran negara dan penggubalan sesuatu polisi ataupun dasar politik

dalam sesebuah negara bagi menjaga kepentingan rakyat negara tersebut serta

memperkukuhkan keyakinan rakyat jelata terhadap cara pemerintahan negara tersebut.

ldeologi politik dibahagikan kepada dua jenis iaitu konsep ideologi politik dan falsafah

ideologi politik. Konsep-konsep ideologi politik ini merupakan idea-idea politik yang telah

dicetuskan ataupun diperkenalkan oleh golongan yang memerintah" sejak dahulu lagi hagi

memantapkan kedudukan sesebuah sistem pemerintahan beraja di samping memperkukuhkan

kuasa mereka sendiri. Kebanyakan idea konsep ideologi politik ini sering dikaitkan dengan

unsur-unsur kepercayaan dan ketuhanan.

Setiap negara yang dibentuk harus mempunyai sebuah kerajaan yang kukuh. Ini juga

merupakan suatu ciri utama sebuah negara. Sebuah kerajaan yang baru dibentuk boleh

memilih ideologi kerajaan mereka. Antara ideologi kerajaan yang terdapat di dunia adalah

demokrasi, komunisme, fasisme, nazisme, sosialisme dan autokratik. Demokrasi ialah suatu

bentuk kerajaan dengan kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan

3
oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada

oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang

mengamalkan sistem demokrasi dikenali sebagai negara atau kerajaan yang demokratik.

Komunisme adalah ideologi politik yang menggalakkan penubuhan masyarakat

yang egalitarian, tanpa kelas, dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke

atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya. Ideologi ini diperkenalkan oleh Karl

Marx, menurut beliau komunisme tulen merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa

negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat

secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian

dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial. Fasisme merupakan

ideologi politik yang meletakkan kepentingan negara lebih penting daripada kepentingan

individu atau masyarakat. Fasisme mementingkan perpaduan antara masyarakat bangsa yang

sama

CIRI-CIRI SISTEM PEMERINTAHAN YANG BERDASARKAN IDEOLOGI

DEMOKRASI

Secara dasarnya demokrasi bertujuan untuk memelihara maruah dan hak-hak asasi

individu, mencapai keadilan sosial, memupuk pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat,

mengukuhkan perpaduan masyarakat dan meningkatkan ketenteraman negara, serta untuk

mewujudkan iklim yang amat baik untuk keamanan antarabangsa. Sebagai satu bentuk

kerajaan, demokrasi adalah cara yang terbaik untuk mencapai objektif ini, di samping ia juga

satu-satunya sistem politik yang mempunyai keupayaan untuk pembetulan diri.

4
Ciri-ciri asas sebuah negara demokrasi terdiri daripada pertama, wujudnya kebebasan

bersuara, media massa yang bebas dan dan berkecuali, pilihan raya diadakan secara

konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan berpesatuan, pemerintahan

berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan wujud badan kehakiman yang

sentiasa bebas dan berkecuali. Prinsip-prinsip demokrasi meliputi:

a) Perlembagaan

Perlembagaan Perlembagaan bermaksud prinsip asas yang memperkenalkan sistem

pemerintahan sesebuah negara. Perlembagaan adalah undang-undang serta peraturan-

peraturan yang boleh dikuatkuasa untuk mengawal kerajaan dan rakyat. Perlembagaan

sesebuah negara adalah prinsip-prinsip atau dasar-dasar penting berpandukan kepada cara

mana negara itu diperintah dan diisytiharkan.

b) Pengasingan Kuasa

Perlembagaan merupakan medium yang mengehadkan kuasa dan kawalan operasi formal

kerajaan, sama ada secara tulisan, secara norma atau gabungan kedua-duanya. Lazimnya,

Perlembagaan akan memasuki doktrin pembahagian kuasa untuk memastikan satu cabang

kerajaan itu tidak diberi lebih dari satu kuasa. Struktur pemerintahan diasingkan kepada tiga

badan bagi menjamin pemerintahan yang cekap dan telus. Badan tersebut ialah Badan

Perundangan (Legislatif), Badan Pemerintahan (Eksekutif) dan Badan Kehakiman (Judisiari).

Badan perundangan dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat oleh kebanyakan negara-

negara demokrasi moden zaman sekarang. Ia sangat perlu untuk menggerakkan jentera-

jentera kerajaan. Badan perundangan amat penting kerana ia mengawal kebijaksanaan wakil-

5
wakil yang dilantik oleh rakyat. Melalui badan perundangan inilah segala keperluan dan

masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diketengahkan dan dibincangkan dengan sebaik-

baiknya untuk kepentingan rakyat.

Badan eksekutif ialah badan yang menjalankan undang-undang dan dasar-dasar yang

telah ditetapkan. Justeru, ahli-ahli eksekutif perlulah mempunyai sifat bertanggungjawab

untuk melaksanakan demi rakyat. Ketua eksekutif mempunyai bidang kuasa dan autoriti yang

luas dan harus melaksanakan tugas tersebut dengan baik dan demi rakyat.

Strukur kehakiman yang bebas perlu ada dalam sesebuah negara demokrasi iaitu

bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mahkamah penghakiman bebas

mempunyai fungsi menghasilkan keputusan kehakiman dengan baik dan adil, penerangan

mengenai undang-undang tersebut yang menjadikan undang-undang tersebut untuk kerajaan

dan bukan untuk rakyat yang suka berdolak-dalik.

Pengasingan kuasa dalam sesebuah pemerintahan ini dikenali sebagai Doktrin

Pengasingan Kuasa. Sistem Semak dan Seimbang pula mengiktiraf setiap cabang kerajaan

akan kuasa untuk mengehadkan kuasa cabang kerajaan yang lain. Secara teorinya, tiada

cabang kerajaan yang boleh mempunyai kuasa yang mutlak dalam pentadbiran sesebuah

negara.

c) Pilihan Raya Bebas

Pilihan raya merupakan satu daripada tonggak yang paling penting dalam demokrasi.

Pilihan raya jelas menjadi indikasi asas melihat sesebuah negara untuk dilabelkan sebagai

demokrasi atau tidak demokrasi. Dianggap sebagai penzahiran mutlak kepada konsep

6
kebebasan bersuara, pilihan raya dianggap sebagai mekanisme utama dalam mengkaji

penglibatan masyarakat dalam politik sesebuah negara. Pilihan raya demokratik adalah

apabila rakyat mempunyai kebebasan dan hak untuk memilih pemimpin-pemimpin politik

dan ketua negara. Pilihan raya boleh diadakan dengan pelbagai kaedah. Ia adalah pemilihan

umum ke atas seseorang untuk sesuatu jawatan dan pemilihan tersebut dibuat menerusi undi

sesebuah perkumpulan. Dalam pilihan raya, pemilihan mestilah dilakukan secara terbuka oleh

sekumpulan orang. Maka dalam pilihan raya terdapat dua objek yang terlibat, iaitu orang

yang dipilih dan kumpulan pemilihnya. Tujuan mengadakan pilihan raya adalah untuk

memilih orang atau orang-orang yang akan mewakili kepentingan pemilih-pemilih dalam hal

yang terletak di bawah bidang kuasa organisasi tertentu, di mana orang atau individu-individu

berkenaan dipilih untuk melaksanakan tugas.

d) Kebebasan Bersuara

Kebebasan bersuara merujuk kepada hak seseorang individu untuk mengekspresikan

idea-ideanya, kritikan dan persetujuan mereka untuk mempengaruhi matlamat politik tanpa

campur tangan kerajaan. Hak kepada kebebasan bersuara adalah, sebenarnya suatu

kesinambungan kepada hak terhadap kebebasan. Jika seorang manusia itu mempunyai hak

berfikir untuk dirinya sendiri dan untuk menggunakan mindanya semahunya, maka dia juga

haruslah mempunyai hak untuk mengekspresikan buah fikirannya dan idea-idea dalam bentuk

yang konkrit sama ada dalam bentuk penulisan ataupun lisan.

d) Kebebasan Mengkritik (media massa)

Kebebasan memungut dan menyiarkan berita sering dikaitkan dengan kebebasan

akhbar. Definisi kebebasan adalah berbeza dari suatu negara dengan negara yang lain

7
mengikut keadaan setempat. Media juga harus bersifat berkecuali dengan tidak menyebelahi

salah satu pihak samada kerajaan atau pembangkang.

e) Hak Asasi Manusia Terjamin

Demokrasi mempunyai hubungan yang erat dengan hak asasi manusia kerana

demokrasi berkait dengan kedaulatan rakyat, rakyatlah sebagai pemegang kekuasaan politik

tertinggi dalam sesuatu negara demokratik. Rakyat mempunyai kehendak dan keupayaan

untuk menjayakan demokrasi bagi menjaga hak mereka untuk hidup, memperoleh

pendidikan, hidup bersama-sama seperti orang lain, mendapatkan perlakuan yang sama dan

mendapatkan pekerjaan.

f) Persamaan dan Keadilan dalam Semua Aspek

Sistem demokrasi akan lebih berjaya jika masyarakat dapat disatukan walaupun

terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Sistem

demokrasi tidak mungkin akan berjalan dengan lancar jika terdapat perselisihan dalam

masyarakat majmuk, yang kemudian mampu melahirkan golongan yang suka menimbulkan

masalah. Malah, lebih teruk lagi jika terdapat golongan yang ingin meruntuhkan sistem

demokrasi dalam sesebuah negara. Justeru, menjadi kepentingan kepada sesebuah kerajaan

untuk memberi kesaksamaan dan keadilan kepada rakyat agar sesebuah negara demokratik

itu sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

BENTUK DEMOKRASI

1) Demokrasi Langsung

Demokrasi langsung merupakan suatu bentuk demokrasi di mana setiap rakyat

memberikan suara atau pendapat dalam menentukan suatu keputusan. Dalam sistem ini,

8
setiap rakyat mewakili dirinya sendiri dalam memilih suatu kelebihan sehingga mereka

memiliki pengaruh langsung terhadap keadaan politik yang terjadi. Sistem demokrasi

langsung digunakan pada masa awal terbentuknya demokrasi di Athens, di mana ketika itu

terdapat suatu permasalahan yang harus diselesaikan, seluruh rakyat akan berkumpul untuk

membahasnya. Pada era moden sistem ini tidak dipraktikkan kerana secara umumnya

populasi suatu negara adalah cukup besar dan mengumpulkan seluruh rakyat dalam satu

forum merupakan perkara yang agak mustahil. Selain daripada itu, sistem ini menuntut

penyertaan yang tinggi dari rakyat.

2) Demokrasi Perwakilan

Dalam demokrasi perwakilan, seluruh rakyat memilih perwakilan melalui pemilihan

umum untuk menyampaikan pendapat dan mengambil keputusan bagi mereka. Hampir

keseluruhan negara di dunia mengamalkan demokrasi sebegini. Dalam konteks ini wujudnya

instrumen yang menjadi medium kepada pembentukan sesebuah kerajaan iaitu parti politik.

Melalui parti ini akan ada calon-calon yang dilantik dan rakyat akan memilih caloncalon

yang telah dipilih dalam sesuatu parti yang bertanding dalam pilihan raya. Konsep demokrasi

secara perwakilan wujud sebahagian besarnya dari idea dan institusi yang dibangunkan

semasa Zaman Pertengahan Eropah dan Zaman Pencerahannya dan dalam Revolusi Amerika

dan Perancis. Demokrasi melambangkan kesejagatan, persaingan untuk jawatan, kebebasan

bersuara dan akhbar, dan kedaulatan undang-undang. Contoh negara yang mengamalkan

sistem demokrasi adalah seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, India, dan

Malaysia.

3) Demokrasi Berparlimen

9
Demokrasi yang memisahkan antara institusi ketua negara dengan ketua kerajaan.

Ketua negara dalam sistem ini merupakan seorang raja atau presiden (bukan eksekutif)

manakala ketua kerajaan ialah perdana menteri. Perdana menteri dilantik daripada parti atau

kumpulan yang mendominasi parlimen dan berkuasa selagi mendapat sokongan majoriti

parlimen. Kerajaan dan kabinet ini dibentuk oleh parti yang menang dalam pilihan raya dan

ketua mereka akan menjadi ketua kerajaan. Parti yang tewas pula akan menjadi

pembangkang. Sistem ini membahagikan parlimen kepada dua pihak iaitu kerajaan dan

pembangkang.Antara negara yang mengamalkan sistem ini ialah Malaysia, Singapura, Jepun,

Thailand, dan New Zealand.

4) Demokrasi Berpresiden

Sistem demokrasi yang presidennya berkuasa dalam pemerintahan mengikut corak

pemerintahan Amerika Syarikat. Sistem demokrasi ini berbeza daripada sistem demokrasi

berparlimen seperti yang diamalkan oleh Great Britain. Dalam sistem ini, presiden menjadi

ketua negara dan juga ketua kerajaan serentak. Presiden dan ahli kabinetnya tidak

menganggotai dewan perundangan atau kongres, walaupun begitu semua keputusan kongres

perlu mendapat perakuan presiden sebelum dilaksanakan. Presiden melantik anggota kabinet

atas nama setiausaha seperti setiausaha pertahanan dan pelajaran. Dalam maksud lain, beliau

merupakan seorang yang sangat berkuasa dalam pemerintahan negaranya. Contoh negara

yang mengamalkan sistem ini ialah Amerika Syarikat dan Filipina.

5) Demokrasi Liberal

Merupakan sistem demokrasi yang terbuka tanpa sekatan tetapi masih tertakluk

kepada perlembagaan, undang-undang dan suara majoriti. Kerajaan dalam sistem demokrasi

ini tidak meletakkan berbagai-bagai sekatan atau peraturan ketat kepada individu atau

10
kelompok yang bergerak dalam apa juga bidang sama ada ekonomi, politik, dan sosial. Ia

membenarkan persaingan politik yang bebas, kegiatan ekonomi yang terbuka dan hubungan

sosial tanpa sempadan. Melalui pilihan raya, rakyat menyuarakan pilihan mereka dan

keputusan majoriti akan membentuk kerajaan dan mempengaruhi penggubalan dasar negara.

Kebanyakan negara Eropah Barat mengamalkan demokrasi liberal dan kelihatan kerajaannya

sering bertukar ganti menurut kehendak rakyat.

6) Demokrasi Sosial

Sistem demokrasi yang terpengaruh dengan unsur sosialisme. Demokrasi ini

memelihara dan memperbaik kedudukan buruh secara perlahan-lahan dan bukan secara

revolusi. Kedudukan buruh tidak semestinya terhapus tetapi penderitaan mereka yang perlu

dihentikan. Sistem ini menghalang buruh untuk menentang dan menguasai kerajaan. Sistem

ini juga mendukung pemikiran bahawa kerajaan hanya berperanan mengawal ekonomi dan

kedudukan buruh. Pada asalnya, sistem ini dipengaruhi dari idea sosialis dan komunis Marx,

namun lama-kelamaan berkembang sendiri dan menolak idea Marx khususnya yang

berhubung dengan revolusi dan perubahan sosial secara kekerasan. Demokrasi sosial

kemudian berkembang pesat di Eropah Barat sehingga mendorong kepada pembinaan Negara

Kebajikan. Kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan dilaksanakan,

sementara itu golongan atasan terpaksa membayar cukai yang tinggi untuk membantu kelas

bawahan.

7) Demokrasi Terpimpin

Sistem demokrasi yang kuat dipengaruhi oleh pemimpin negara yang biasanya

terdapat di negara yang sedang membangun. Demokrasi ini dikatakan terpimpin kerana

masyarakat negara yang baru merdeka dianggap tidak cukup matang untuk mengamalkan

11
demokrasi liberal. Dalam demokrasi ini, kebebasan politik seperti bersuara, menubuhkan

organisasi, menerbitkan akhbar dan buku serta kebebasan pembangkang terhad. Tokoh yang

memperkenalkan idea ini di Indonesia ialah Sukarno ekoran daripada kegagalan demokrasi

liberal yang diamalkan di negara tersebut sebelum itu. Beliau kemudiannya melancarkan

zaman demokrasi terpimpin dengan mengimbangi kuasa tentera dan parti komunis dalam

jentera pemerintahannya serta menolak peranan modenis Islam. Dalam sistem ini, Sukarno

menggantung parlimen dan pilihan raya, memilik negarakan pelbagai perusahaan besar

terutamanya milik Belanda dan menahan penentang politiknya secara menghantar mereka ke

pulau buangan. Beliau juga percaya bahawa hanya dengan campur tangan pemerintahan

memungkinkan pertumbuhan demokrasi bagi negara yang baru merdeka.

DEMOKRASI DALAM ERA PASCA-PERANG DINGIN DI GHANA

Ghana adalah negara pertama di sub-Sahara Afrika yang mencapai kemerdekaan iaitu

pada tahun 1957. Sejarah Ghana selepas merdeka telah dicirikan oleh tempoh pemerintahan

tentera yang panjang dan dikaitkan dengan pencabulan hak asasi manusia. Kecuali Republik

Pertama di bawah Nkrumah (1960-1966), ketika pemerintahan Republik Kedua (1969-1972)

dan Republik Ketiga (1979-1981), kerajaan awam hanya bersifat sementara kerana ia tidak

dapat bertahan sehingga tiga tahun tanpa digulingkan dalam rampasan kuasa. Pada akhir

1980-an, selepas hampir satu dekad pemerintahan kuasi-tentera di bawah Majlis Pertahanan

Nasional Provisional (PNDC), tekanan dalaman dan luaran yang kukuh kepada kerajaan

membawa kepada pengisytiharan perlembagaan liberal pada tahun 1992 dan pembentukan

sebuah demokrasi parti berbilang pada tahun 1993, detik ini membawa Ghana ke Republik

Keempat.

12
Dalam dekad yang pertama selepas merdeka, negaranya dikuasai oleh Kwame

Nkrumah. Di bawah pemerintahan beliau, ideologi Nkrumaisme dilafazkan sebagai ideologi

negara. Nkrumaisme dianggap sebagai satu falsafah sosialisme yang cuba mempergunakan

idea-idea sosial , ekonomi dan politik semasa sebagai penyelesaian masalah-masalah dalam

negeri dan peringkat antarabangsa. Kepimpinan demokrasi Kwame Nkrumah di Ghana

merupakan sistem yang diamalkan oleh suku kaum yang berpengaruh. Wujud parti

pembangkang yang dikenali sebagai Mankradd yang menentang apa-apa keputusan yang

dinyatakan oleh ketua parti. Dalam sistem ini terdapat sistem pusat iaitu parti yang

memerintah. Apabila keputusan telah dibuat melalui undi majoriti dan menerusi perbincangan

maka tidak perlu lagi mewujudkan berbagai-bagai parti politik.

Sebelum tahun 1945, kegiatan nasionalisme tidak bertindak untuk membebaskan

Ghana daripada belenggu kolonialisme, tetapi telah tertumpu kepada penyertaan politik dan

dewan perundangan negara itu. Selepas Perang Dunia ke Dua, pihak nasionalis menekankan

kemerdekaan untuk negara mereka. Pihak nasionalis tidak menerima satu sistem politik di

mana mereka tidak dibiarkan mentadbir negara mereka sendiri. Oleh kerana tiada keadilan

politik dan sosial pada tahun 1947, pihak nasionalis bertindak untuk melahirkan satu badan

politik iaitu, United Gold Coast Convention (UACC). Kwame Nkrumah menjadi setiausaha

agong UACC. Pada tahun 1949, Nkrumah berundur daripada UACC dan beliau

menganjurkan parti baru iaitu Convention People Party (CCP). Jika dibandingkan dengan

parti-parti politik lain seperti UACC, di mana aktiviti politik dihadkan kepada ketua-ketua

puak dan orang bangsawan, gerakan CPP meliputi semua lapisan masyarakat, khasnya

golongan pekerja dan petani. CPP menjadi parti utama untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Pada pilihan raya pertama tahun 1951, Nkrumah menjadi Perdana Menteri Ghana.

13
Pada tahun 1966, Nkrumah diguling oleh pihak militeri. Maka berakhirlah ideologi

Nkrumaisme di negara Ghana. Di bawah perlembagaan baru tahun 1969, pemerintahan baru

di bawah Dr Busia menjaminkan hak kebebasan individu. Di ruangan dasar luar negara itu,

negara Ghana tidak lagi mengamalkan polisi-polisi anti-imperialisme dan polisi-polisi yang

memperjuangkan persatuan Afrika. Walaupun terdapat beberapa rampasan kuasa selepas

tahun 1966 iaitu pada tahun 1975 dan 1979, negara itu lebih cenderung kepada nilai-nilai

demokrasi.

Perlembagaan Ghana 1992 telah membahagi kuasa pemerintahan antara presiden,

parlimen, kabinet, dewan negara dan mahkamah yang bersifat adil dan bebas. Sejak tahun

1992, Ghana telah berjaya mengadakan empat pilihan raya pelbagai parti, dengan pilihan raya

kelima presiden dan Parlimen ialah pada 7 Disember 2008. Pemindahan kuasa secara aman

daripada kerajaan Kongres Demokratik Kebangsaan (NDC) kepada Pihak Patriotik Baru

(RFN) berikutan pilihan raya kebangsaan pada Disember 2000 jelas menunjukkan sejauh

mana perjalanan Ghana ke arah penyatuan demokratik sepanjang dekad yang lalu. Melepasi

pilihan raya yang berjaya, Ghana telah mencapai kemajuan yang ketara dalam membangun

tadbir urus demokrasi pelbagai parti dalam rangka Perlembagaan 1992. Setakat ini, terdapat

bukti bahawa politik liberalisasi membolehkan Ghana untuk menikmati pelbagai hak-hak dan

kebebasan yang lebih luas, serta kemunculan masyarakat sivil yang bertenaga dan media

yang bebas dan merdeka yang semakin mendesak kerajaan bertanggungjawab bagi pihak

rakyat. Malah, dengan perkembangan yang ketara, pendemokrasian Ghana telah disebut-

sebut sebagai salah satu daripada kisah kejayaan politik di Afrika.

DEMOKRASI PASCA SUHARTO

14
Sejak Indonesia mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, para Pengasas Negara

Indonesia melalui UUD 1945 telah menetapkan bahawa Negara Kesatuan Republik Indonesia

mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, yang mana kedaulatan iaitu kekuasaan

tertinggi ditentukan oleh rakyat dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Majlis Permusyawaratan

Rakyat (MPR).

Sewaktu pemerintahan Suharto, pembangkang tidak dibenarkan dan hanya tiga parti

yang diizinkan beroperasi: Golkar, PPP dan PDI. Ketiga-tiga partai ini akan dilantik wakil-

wakil mereka dalam kabinet Suharto. Dengan kata lain, kerajaan Orde Baru Suharto ini tiada

pembangkang sebagaimana sebuah kerajaan perpaduan iaitu sama seperti corak dan ideologi

pemerintahan oleh Perdana Menteri Ghana iaitu Nkrumah pada pasca perang dingin di

Ghana. Perletakan jawatan Suharto pada tahun 1998 yang menandakan keakhiran Order

Baru. Kekurangan semasa pemerintahan Suharto ialah amalan rasuah berleluasa, pakatan

sulit, pembangunan negara yang tidak seimbang, wujud perbezaan pendapatan antara kelas

atas dengan kelas rendah, kunci mulut para pengkritik serta pengharaman sebarang tentangan

dan pembatasan kebebasan individu serta kebebasan akhbar.

Tempoh pelaksanaan Demokrasi Masa Transisi ialah bermula pada tahun 1998

sehingga 1999. Pada tanggal 21 Mei 1998, Presiden Suharto mengundur diri dan pada ketika

itu berlaku penyerahan kuasa oleh beliau kepada Naib Presiden BJ. Habibie. Pada awal

kekuasaan Presiden BJ. Habibie, beliau telah menunjukkan kesungguhan untuk membina

negara undang-undang dan demokrasi kerana beliau mengetahui objektif rejim Orde Baru

iaitu ketika pemerintahan Suharto dalam hal pelanggaran hak asasi manusia. Antara langkah

yang diambil oleh Presiden BJ. Habibie ialah dengan melepaskan sejumlah tahanan politik,

membuka kebebasan akhbar dan kebebasan memberi pendapat, membatalkan undang-undang

15
subversif dan dasar-dasar yang berkaitan dengan penghormatan, perlindungan dan

penegakkan hak asasi manusia. Tindakan yang dilakukan oleh beliau pada awal

pemerintahannya itu merupakan suatu permulaan penting dalam peralihan demokrasi yang

memang perlu dilakukannya. Secara empirikal tempoh panjang pelanggaran hak asasi

manusia semasa Orde Baru bukan sahaja telah memberi gambaran kekuasaan kurang positif

pada mata rakyat tetapi juga menjadi sebab kegagalan Orde Baru dalam mempertahankan

kekuasaanya setelah puluhan tahun menyokong kekuasaan autoritarin.

Agenda utama yang dilakukan B.J. Habibie dalam melaksanakan peralihan politik

ialah mempercepatkan pilihan raya umum, serta menegakkan kedaulatan undang-undang dan

dasar penghormatan dan penegakan hak asasi manusia, khususnya dalam penyelesaian

pelanggaran hak asasi manusia masa lalu. Kuasa pro demokrasi dalam negara mendesak

pilihan raya dilakukan secepat mungkin sebagai proses formal demokratik bagi menamatkan

jejak rejim Orde Baru sekaligus sebagai perlembagaan demokrasi dan pembangunan

semula perpaduan sosial. Pelaksanaan pilihan raya bertujuan untuk melantik kerajaan baru

atau rejim demokratik yang menggantikan pemerintahan autoritarian yang dahulu.

Demokrasi yang dibangunkan pada masa reformasi iaitu bermula pada tahun 1999

sehingga sekarang pada asasnya adalah demokrasi dengan berpandukan Pancasila dan UUD

1945, dengan peningkatan pelaksanaan dan penambahbaikan peraturan-peraturan yang tidak

demokratik, dengan meningkatkan peranan institusi tertinggi negara dengan menegaskan

fungsi, bidang kuasa dan tanggungjawab yang merujuk kepada prinsip pemisahan kuasa dan

sistem hubungan yang jelas antara lembaga-lembaga eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Prinsip demokrasi atau kedaulatan rakyat dapat menjamin peranan masyarakat dalam proses

membuat keputusan sehingga setiap peraturan undang-undang yang diterapkan dan

16
ditegakkan adalah mencerminkan keadilan terhadap masyarakat. UUD 1945 dipinda sebagai

langkah untuk mewujudkan prinsip-prinsip demokrasi dalam pemerintahan negara. Contoh

pindaan UUD 1945 yang ketara ialah berkaitan dengan sekatan kuasa presiden yang mana

jika sebelum pindaan, UUD 1945 memberikan kuasa yang begitu besar kepada presiden

meliputi kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman sekaligus, tetapi kini kuasa presiden

terbatas kepada kuasa eksukutif sahaja.

Secara spesifiknya, pindaan perlembagaan Indonesia menghasilkan sejumlah reka

bentuk baru format kenegaraan seperti berikut:

a) Presiden dan wakil presiden dipilih melalui pilihan raya secara langsung oleh

rakyat, sedangkan bidang kuasa MPR hanya terbatas melantik presiden dan wakil

presiden terpilih sahaja.

b) Demokrasi dilaksanakan oleh pelbagai institusi negara sesuai dengan bidang

tugasnya masing-masing menurut perlembagaan UUD 1945. Hal ini dilihat dengan

adanya pembahagian tugas masing-masing yang makin jelas dan terperinci untuk

mengelakkan berlakunya pertindihan dan campur tangan bidang kuasa antara lembaga

negara. Presiden memegang kekuasaan menjalankan pemerintahan. Dewan

Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD) berperanan

mengawasi perjalanan pemerintahan yang dilaksanakan oleh presiden dan kabinet,

manakala institusi kehakiman iaitu Mahkamah Agung dan Mahkamah Konstitusi

mempunyai bidang kuasa melakukan kawalan penghakiman melalui ulasan

penghakiman terhadap dasar yang diambil oleh presiden sebagai pemegang kekuasaan

eksekutif ataupun terhadap dasar yang dibuat oleh DPR.

17
c) Jawatan presiden dihadkan untuk tempoh lima tahun dan jawatan itu hanya dapat

dilucutkan oleh MPR dalam keadaan tertentu sahaja berdasarkan UUD melalui

mekanisme undang-undang.

Pindaan UUD 1945 juga menegaskan tentang prinsip keseimbangan antara kuasa

eksekutif, legislatif dan kehakiman sebagai salah satu intipati demokrasi. Dengan hasil

pindaan UUD 1945 tersebut, kuasa presiden menjadi terhad dalam masa yang sama jawatan

dan penggunaan kuasa presiden dikawal oleh kuasa legislatif dan kehakiman. Pindaan juga

menyentuh tentang larangan bagi presiden membekukan atau membubarkan DPR, ini jelas

menunjukkan kewujudan institusi DPR yang kuat dalam mengawasi presiden kerana presiden

tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan MPR dan DPR mempunyai bidang kuasa dalam

mengusulkan pemberhentian presiden jika prestasinya tidak baik atau melanggar UUD 1945.

Elemen demokrasi lain yang berubah hampir seratus peratus adalah berkaitan dengan

kuasa kehakiman. Sebelum pindaan dibuat, kuasa kehakiman berada di bawah kuasa

eksekutif. Pindaan terhadap kuasa kehakiman meliputi kebebasan dari aspek struktur, fungsi

dan personal. Kebebasan struktur kuasa kehakiman meletakkan institusi negara ini pada

strukturnya tersendiri yang tidak berada di bawah atau di samping kuasa eksekutif dan atau

perundangan. Kebebasan kuasa kehakiman yang semakin kuat berbanding sebelum ini

sememangnya penting dalam memastikan tertegaknya undang-undang, keadilan dan

perlindungan hak asasi manusia kerana dalam sistem negara moden, cabang kuasa kehakiman

memang harus disusun tersendiri tanpa dipengaruhi oleh kuasa-kuasa lain kerana prinsip

pemisahan kuasa menempatkan kuasa kehakiman pada dimensi sangat penting. Di samping

itu, kebebasan kuasa kehakiman itu adalah jaminan perlembagaan terhadap tertegaknya

undang-undang dan keadilan, jaminan kepada perlindungan hak asasi manusia dari

18
penyalahgunaan kuasa, serta jaminan adanya mekanisme memperjuangkan hak asasi manusia

yang diabaikan oleh undang-undang.

PENUTUP

Ideologi politik ialah satu fahaman politik manusia tentang sesuatu pendekatan

kaedah pengurusan politik oleh pemerintah sesebuah negara dalam urusan pentadbiran negara

dan penggubalan sesuatu polisi ataupun dasar politik dalam sesebuah negara bagi menjaga

kepentingan rakyat negara tersebut serta memperkukuhkan keyakinan rakyat jelata terhadap

cara pemerintahan negara tersebut. Pelbagai ideologi politik yang ada, antaranya ialah

demokrasi, sosialisme, komunisme dan sebagainya. Idealisme demokrasi merupakan satu

tuntutan dunia global kini yang cukup popular dan merupakan idealogi politik yang terbaik

untuk diamalkan khususnya bagi sebuah negara yang sedang berkembang maju.

Asasnya konsep demokrasi dapat ditakrifkan sebagai sebuah negara atau kerajaan

yang berpandukan atau bersumberkan kepada kehendak rakyat atau masyarakat majoriti.

Demokrasi adalah bentuk atau mekanisme sistem pemerintahan suatu negara yang diamalkan

untuk mewujudkan kedaulatan rakyat (kekuasaan warganegara) terhadap negara tersebut

yang dijalankan oleh pemerintah negara. Kekuasaan tertinggi dalam sistem demokrasi

terletak di tangan rakyat kerana rakyat mempunyai hak dan suara yang sama dalam mengatur

pemerintahan sesebuah negara. Demokrasi merupakan 'satu bentuk kerajaan di mana kuasa

dan tanggungjawab sivik dilaksanakan oleh seluruh warga dewasa, secara langsung atau tidak

langsung melalui wakil-wakil mereka yang dipilih secara bebas'. Dalam sistem demokrasi,

kerajaan adalah dari rakyat dan bertanggungjawab kepada rakyat. Untuk mendapatkan

19
mandat pemerintahan, sesebuah parti harus mendapatkan mandat dari rakyat melalui

pilihanraya yang dilakukan mengikut perlembagaan. Golongan minoriti mendapat layanan

yang baik dari golongan majoriti atas sifat tolak ansur. Walau bagaimanapun pendapat

golongan majoriti haruslah diterima dan dipertimbangkan oleh pihak minoriti.

Individu ataupun kumpulan-kumpulan bebas untuk mengeluarkan sebarang cadangan,

kritikan dan sebagainya kepada pihak kerajaan. Ketika pilihanraya diadakan, rakyat

dibenarkan untuk memilih sesiapa sahaja menjadi pilihan mereka. Calon pilihanraya dipilih

secara rahsia dan tanpa paksaan. Orang ramai bebas meluahkan cadangan, kebebasan

bersuara, berkumpul dan menerbit. Kuasa yang terdapat di dalam pentadbiran terbahagi

kepada beberapa bahagian seperti legislatif, eksekutif dan kehakiman atau judisiari yang

dikuasai oleh individu yang berlainan agar tidak berlaku sebarang campurtangan kepada

urusan setiap bahagian.

Secara bandingan, sejak mencapai kemerdekaan sistem pemerintahan negara Ghana

adalah berlandaskan ideologi Nkrumaisme pada Republik Pertama, seterusnya negara

tersebut dikuasi oleh militeri. Pada tahun 1992 pemerintahan secara demokrasi bermula di

Ghana. Perlembagaan 1992 dibentuk yang membahagikan kuasa antara presiden, parlimen,

kabinet, dewan negara dan kehakiman. Preseiden negara dipilih rakyat melalui pilihan raya.

Sistem pemerintahan secara demokrasi bagi negara Indonesia telah ditetapkan dalam

perlembagaan sejak negara itu mencapai kemerdekaan. Walau bagaimanapun ianya tidak

dilaksanakan secara sempurna oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Akibat daripada itu

berlakunya pemusatan kuasa, rasuah berleluasa dan pencabulan hak-hak asasi manusia.

Demokrasi yang diimpikan oleh rakyat mula terlaksana pada era pemerintahan pasca Suharto.

Beberapa perkara dalam perlembagaan dipinda bersesuaian dengan kehendak rakyat yang

mengimpikan pemerintahan berpaksikan sistem demokrasi.

20
RUJUKAN

AbdulGafaru Abdulai. (2009). Political Context Study- Ghana. Universities of Oslo, Leeds

Angelika Klein, Yusuf Kiranda and Regina Bafaki (2011). Concepts and Principles of
Democratic Governance and Accountability. Kampala: Konrad-Adenauer-Stiftung

Arif Wijaya. (2014). Demokrasi dalam Sejarah Ketatanegaraan Republik Indonesia. Al-
Daulah: Jurnal Hukum Dan Perundangan Islam. 4 (1)

Cherif Bassiouni, David Beetham, Justice M. Fathima Beevi, Abd-El Kader Boye, Awad El
Mor, Hieronim Kubiak, Victor Massuh, Cyril Ramaphosa, Juwono Sudarsono, Alain
Touraine, and Luis Villoro. (1998). Democracy: Its Principles and Achievement. Inter-
Geneva: Parliamentary Union.

Denny, J. A (2006). Jatuhnya Soeharto dan Transisi Demokrasi Indonesia.Yogyakarta: LKIS


Yogyakarta

Kwame Boafo.(2008). Democracy and Stability in West Africa: The Ghanaian Experience.
Uppsala: Uppsala University and the Nordic Africa Institute (NAI)

Leeds, C.A. (1981). Politics Studies. Plymouth: Macdonald and Evans

Lutfi Wahyudi (2005). Demokrasi Orde Baru Sebuah Catatan Bagi Masa Depan Demokrasi.
Jurnal Sosial-Politika. 6 (11)

Paula Becker and Jean-Aim A. Raveloson. (2008). What is Democracy?: KMF-CNOE and
Nova Stella

21
Terry Eagleton (1991). Ideology An Introduction. London: Verso

22

Anda mungkin juga menyukai