Anda di halaman 1dari 8

NOTA KOMSAS - ASPEK DAN ISTILAH SASTERA

A. TEMA DAN PERSOALAN

TEMA
1. Tema ialah idea dasar atau persoalan pokok yang diungkapkan oleh
pengkarya, sama ada cerpenis, novelis, penyair, atau penulis skrip drama bagi
mendasari karyanya.
2. Dalam upaya mengumpulkan, memilih, dan menyusun bahan-bahan bagi sesuatu
karya, temalah yang menjadi panduan kepada pengkarya.
3. Tema sesuatu karya boleh tidak dinyatakan secara langsung dengan jelas tetapi
dinyatakan melalui unsur-unsur yang membentuk karya itu.
4. Itulah sebabnya tema sesuatu karya lazimnya dapat diketahui hanya sesudah
karya itu dibaca dan dihayati seluruhnya.

5. Banyak perkara yang boleh dijadikan tema bagi sesuatu karya, misalnya
keadilan, perjuangan, sejarah, kemiskinan, kemanusiaan, kehijauan alam, dan
lain-lain sebagainya.

PERSOALAN
1. Persoalan ialah perkara-perkara kecil dalam sesuatu karya yang ada
hubungannya dengan tema.
2. Wujudnya persoalan-persoalan dalam sesuatu karya bertujuan menghidupkan
dan memperkukuh tema yang cuba diketengahkan oleh pengkarya.

PEMIKIRAN
1. Pemikiran membawa maksud yang sama dengan tema dan persoalan.
2. Walau bagaimanapun, pemikiran lazimnya digunakan dalam genre drama
dan puisi.

AMANAT
1. Amanat yang dikenal juga sebagai pengajaran atau mesej bermaksud
perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca.
2. Dalam karya sastera tradisional, amanat tersurat dengan jelas kerana
disampaikan secara langsung oleh pengarang. Contohnya:

(a) Hancur badan dikandung tanah,


Budi yang baik dikenang juga.
(b) Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
(c) Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati.
3. Dalam karya sastera moden, amanat itu tersirat kerana disampaikan secara tidak
langsung.
1
B. WATAK DAN PERWATAKAN
1. Watak ialah sesuatu objek atau pelaku, baik manusia mahupun makhluk lain
seperti haiwan, tumbuhan, dan sebagainya.

2. Dalam drama pula, watak ialah pelakon-pelakon yang menggerakkan plot sesuatu
drama itu.
3. Watak inilah yang mengembangkan tema dan persoalan serta plot karya
yang menjadi pemikiran pengkarya melalui aksinya, tindakannya dialognya, dan
konfliknya.
4. Sesuatu watak akan diberi sifat-sifat tertentu, termasuk perangai dan pemikiran
yang dikenal melalui percakapannya, iaitu dialog disamping perlakuannya, iaitu
aksi.

5. Sifat-sifat yang digambarkan oleh pengkarya pada watak yang diwujudkan


inilah yang dikatakan sebagai perwatakan pula.
6. Sifat-sifat itu antara lain termasuklah yang berupa lahiriah seperti bentuk,
paras rupa, dan tingkah laku serta yang berupa jasmaniah, yakni yang
berkaitan dengan perasaan, sikap, dan pemikiran.
7. Biasanya setiap watak yang diwujudkan, baik watak utama mahupun watak
pembantu atau watak sampingan diberi sifat-sifat perwatakan yang berbeza
dan malah bertentangan.

Antara Beberapa Contoh Perwatakan Secara Lahiriah

tinggi lampai lemah lembut ikal mayang gemuk gedempol lincah

Antara Beberapa Contoh Perwatakan Secara Jasmaniah

adil alim jujur tegas pemurah pemarah penakut

8. Hal ini demikian untuk menimbulkan unsur-unsur ketegangan atau konflik,


sesuai dengan tema dan persoalan yang ingin diketengahkan oleh pengkarya.
9. Watak dan perwatakan manusia atau makhluk apapun yang diwujudkan bukan
saja berfungsi untuk mengembangkan tema dan persoalan, tetapi juga
untuk mengubah persekitaran atau suasana latar tempat watak itu berada.
10. Selain itu, watak dan perwatakan berfungsi juga untuk menyalurkan buah
fikiran dan pandangan hidup pengkarya serta untuk menimbulkan kesan-
kesan tertentu kepada pembaca.
11. Dalam aspek watak dan perwatakan, pelajar perlu juga tahu akan makna
istilah yang berkaitan dengan aspek watak, iaitu seperti yang berikut.
(a) Watak utama adalah watak penting yang menggerakkan sesuatu
cerita. Pada umumnya, watak utama adalah wira atau wirawati dalam
sesuatu karya itu.
(b) Watak sampingan adalah watak pembantu yang peranannya lebih
kecil daripada watak utama dalam sesuatu karya.
2
(c) Watak hitam adalah watak yang jahat atau watak yang buruk dalam
sesuatu karya.
(d) Watak putih adalah watak yang baik atau watak yang menonjolkan
nilai-nilai yang murni dalam sesuatu karya.
(e) Watak bundar adalah watak yang bersifat kompleks dan segala
sifatnya dijelaskan secara terperinci.
(f) Watak pipih adalah watak yang tidak kompleks dan tidak difokuskan
sangat dalam sesuatu karya.
(g) Watak dinamik adalah watak yang aksi, fikiran, pandangan, atau
perasaannya berkembang dan sering berubah.
(h) Watak statik adalah watak yang tidak mengalami sebarang perubahan
atau fikirannya tidak berkembang dari awal hingga akhir cerita.
(i) Watak kodi adalah watak yang selalu terdapat dalam cerita
rakyat. Watak nenek kebayan dalam cerita-cerita rakyat merupakan
contoh watak kodi.

C. LATAR
1. Latar ialah keterangan mengenai waktu, ruang, dan suasana terjadinya
sesuatu peristiwa dalam karya.
2. Bagi drama pula, latar diertikan sebagai gambaran yang tersedia di belakang
prop.
3. Latar cukup penting dan berperanan untuk mengembangkan watak dan
perwatakan, di samping mengembangkan tema, persoalan, dan plot.
4. Dalam drama, latar memainkan peranan yang penting untuk menerangkan
di mana dan bila kejadian serta peristiwa dalam drama itu berlaku.
5. Latar terbahagi kepada tiga, iaitu latar tempat, latar masa, dan latar
masyarakat seperti yang berikut.
(a) Latar tempat ialah tempat berlakunya sesuatu peristiwa dalam cerita.
(b) Latar masa ialah masa atau tempoh berlakunya sesuatu peristiwa yang
digambarkan dalam sesuatu cerita.
(c) Latar masyarakat ialah keadaan masyarakat di tempat cerita yang
berkenaan berlaku. Gambaran tentang keadaan itu antara lainnya
termasuklah agama, kepercayaan, dan pekerjaan.

D. PLOT
1. Plot lazimnya didefinisikan sebagai penceritaan peristiwa dengan
berdasarkan hukum sebab dan akibat.
2. Ada juga yang mentafsirkan plot sebagai rentetan peristiwa yang bersebab,
yang dijalin dengan melibatkan konflik dan diakhiri dengan peleraian.

3
3. Plot dalam drama ialah satu skema aksi dan plot ini berbeza daripada plot
dalam cerpen dan novel.
4. Perbezaan tersebut adalah dari sudut gerak aksi dan teknik-teknik dramatik
pada tahap pengelana, kemudian muncul perisitwa yang semakin meruncing,
lalu melonjak menjadi klimaks cerita dan akhirnya menemukan penyelesaian.
5. Berdasarkan tafsiran-tafsiran di atas, ternyatalah bahawa plot tidak boleh
disamakan dengan jalan cerita.
6. Jalan cerita sebenarnya merupakan kejadian yang berlaku kerana sebab
tertentu, sementara yang menggerakkan kejadian cerita itu adalah plot.

E. BINAAN PLOT
1. Binaan plot terdiri daripada bahagian pengenalan, pertengahan, dan
pengakhiran.
(a) Pengenalan merupakan bahagian untuk memperkenalkan watak-watak,
latar, atau konflik yang wujud.
(b) Pertengahan adalah peringkat berkembangnya sesuatu konflik atau
masalah itu hingga sampai ke puncaknya.
(c) Pengakhiran adalah peringkat berakhirnya sesuatu masalah atau
konflik. Pada peringkat ini sesuatu masalah sudah dapat diatasi atau
diselesaikan.
2. Dalam pada itu, penyusunan plot yang melibatkan suatu peristiwa dengan
peristiwa yang lain tidak semestinya berurutan mengikut kronologi.
3. Plot boleh bermula dengan bahagian tengah atau bahagian akhir cerita dengan
menggunakan teknik imbas kembali.
4. Biasanya, teknik penyusunan plot yang menarik ialah yang urutan peristiwa-
peristiwanya tidak menurut kronologi.
5. Setiap cerpen pada umumnya hanya mempunyai satu plot yang merupakan
plot utama.
6. Hal ini demikian kerana dikongkong oleh bentuk dan ciri cerpen, iaitu
pendek, padat, dan ekonomis.

7. Jadi dalam cerpen, peristiwa utama yang membangunkan cerita ditonjolkan


manakala peristiwa-peristiwa kecil, jika ada, bertujuan melengkapi dan
menghidupkan peristiwa utama itu.

8. Untuk novel pula, selain mempunyai plot utama, terdapat juga subplot atau
plot sampingan.

4
F. GAYA BAHASA/UNSUR KEINDAHAN
1. Gaya bahasa atau unsur keindahan merupakan cara bagaimana seseorang
pengkarya itu menggunakan bahasa dengan baik dan kreatif dalam usaha
mengungkapkan tema dan persoalan dalam sesuatu karya yang menjadi
pemikirannya.

2. Gaya bahasa atau unsur keindahan merangkum semua aspek bahasa seperti
pemilihan kata (diksi), penggunaan kiasan, pembinaan frasa,pembinaan
ayat, dan lain-lain sebagainya.

3. Daripada gaya bahasa atau unsur keindahan yang digunakan oleh pengkarya,
akan terpancarlah keindahan pada karyanya yang dapat menarik perhatian
pembaca.

DIKSI
1. Diksi secara mudahnya ialah pemilihan dan penggunaan kata, baik
dalam cerpen, novel, drama, dan puisi.
2. Diksi yang baik terlihat pada:
(a) pemilihan kata yang tepat, sesuai dengan maksud tertentu yang
ingin disampaikan oleh pengkarya;
(b) penggunaan kata yang munasabah yang dapat diterima sebagai
penggunaan diksi yang baik;
(c) penggunaan kata yang jelas dan khusus.
3. Dalam pada itu, pemilihan dan penggunaan kata ini seharusnya sesuai
juga dengan tema serta nada cerita.
4. Di samping itu, setiap kata yang dipilih haruslah dapat memberikan
gambaran tentang sesuatu peristiwa dengan tepat, jelas, dan berkesan.
5. Seterusnya, pemilihan dan penggunaan kata ini harus dapat juga
menghidupkan dan menerangkan watak serta perwatakan dalam karya.
6. Diksi mempunyai hubungan yang rapat dengan pembinaan ayat.

SIMILE

1. Simile ialah perbandingan dengan menggunakan kata-kata seperti,


macam, laksana, umpama, bak, bagai, ibarat, dan sebagainya.
2. Lihat contoh simile yang berikut.
Sesungguhnya Annyss Sophillea umpama akar tunjang, lemah dan
liat. Desis hati kecilnya, dilentur mahu tetapi dipatah tidak dapat.
3. Dalam contoh di atas, pengarang membandingkan Annyss Sophillea
dengan akar tunjang yang lemah dan liat. Maksudnya, Annyss Sophillea
itu tampak saja lemah lebut, tetapi sangat tegas dan sukar menyerah
kalah.

5
METAFORA
1. Metafora merupakan perbancingan secara terus atau langsung tanpa
menggunakan kata-kata seperti, umpama, bak, bagai, ibarat, dan
sebagainya.
2. Lihat contoh metafora yang berikut:
(a) Hatinya karam dalam samudera hampa.
(b) Pelbagai soalan terus muncul dalam lautan fikirannya.
3. Dalam contoh (a) di atas, pengarang membandingkan kehampaan itu
dengan samudera. Samudera di sini melambangkan atau
menunjukkan sesuatu yang sangat luas atau banyak. Secara mudahnya,
maksud samudera hampa ialah berasa sangat hampa.
4. Dalam contoh (b) pula, pengarang membandingkan fikirannya dengan
lautan. Lautan itu melambangkan sesuatu yang luas. Maksud
metafora itu ialah fikirannya sangat luas.

HIPERBOLA
1. Hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan yang digunakan untuk
menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang
sebenarnya.
2. Yang berikut ialah contoh hiperbola.
Akmal sedar betapa kasihnya Annyss pada Eyrique. Seribu lautan
sanggup direnangi, sejuta bintang sanggup dilewati.

3. Dalam contoh di atas, frasa seribu lautan dan sejuta bintang merupakan
suatu gambaran yang berlebih-lebihan kerana di dunia ini bilangan lautan
tidak sampai seribu dan bilangan bintang pula tidak terkira
jumlahnya. Gambaran secara berlebih-lebihan itu digunakan untuk
menunjukkan betapa mendalamnya perasaan sayang Annyss kepada
Eyrique.

SINKOPE
1. Sinkope bermaksud penyingkatan perkataan.

2. Yang berikut adalah contoh sinkof.


Kau ni, Sid! Tak sabar-sabar lagi nak mendaki bukit itu.
3. Dalam contoh di atas, kata engkau disingkatkan menjadi kau kata
ini disingkatkan menjadi ni, kata tidak disingkatkan menjadi tak, dan
kata hendak disingkatkan menjadi nak.

6
G. PEMBINAAN AYAT
1. Dalam hal pembinaan ayat, ada berbagai-bagai jenis ayat yang digunakan
oleh pengkarya dalam karyanya.
2. Penggunaan pelbagai jenis ayat ini disesuaikan dengan tema dan persoalan,
peristiwa, situasi tertentu, watak, dan lain-lain sebagainya.
3. Pelbagai jenis yanat yang digunakan itu antara lain termasuklah ayat yang
ringkas, yang sederhana, dan yang kompleks.
4. Antara jenis ayat itu termasuklah ayat inti, ayat tanya, ayat pasif, ayat penegas,
ayat seruan, ayat gabungan, ayat pancangan, dan lain-lain sebagainya.

RIMA
1. Rima merupakan unsur gaya bahasa yang bukan saja terdapat dalam puisi
tetapi juga terdapat dalam tulisan berbentuk prosa, yakni cerpen dan novel.

2. Rima ialah keselarasan atau persamaan bunyi pada kata atau pada suku
kata terakhir dalam sesuatu ayat atau sesuatu baris puisi.

3. Dalam sesuatu puisi, rima yang terdapat pada baris akhir disebut sebagai
rima akhir.

ASONANSI
1. Asonansi merupakan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam baris-baris
sajak.

2. Lihat contoh asonansi yang berikut.


Cinta kepadanya cinta jutaan bunga-bunga (pengulangan vokal a)

ALITERASI
1. Aliterasi merupakan pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam
baris-baris sajak.
2. Yang berikut ialah contoh aliterasi.
Negeri impian, negeri gemerlapan (pengulangan konsonan g)

PENGULANGAN
1. Unsur pengulangan berlaku apabila kata, ungkapan, baris, atau rangkap
diulang dalam sajak.
2. Ada dua unsur pengulangan, iaitu anafora dan epifora.
3. Anafora ialah pengulangan pada awal baris secara berurutan.
Contohnya: Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

7
4. Epifora pula ialah pengulangan kata pada akhir baris.
Contohnya: Keli masuk ruan keluar,
Matahari masuk bulan keluar.

PERLAMBANGAN
1. Perlambangan atau simbol ialah kata-kata yang digunakan untuk
menerangkan sesuatu benda, keadaan, atau peristiwa.

2. Lihat contoh perlambangan yang berikut.


Masa sudahku lebih mahal
Seindah senja dan merah
di sebelah pagi

3. Dalam contoh yang dipetik daripada sajak Pembeli Masa Sudah, karya T.
Alias Taib, kata senja itu melambangkan usia tua, sementara kata pagi
melambangkan usia muda.

PERSONIFIKASI

1. Personafikasi juga dikenali sebagai pengorangan atau


penginsanan. Maksud personifikasi ialah tindakan pengarang memberikan
sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk
kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang lebih abstrak.

2. Lihat contoh personifikasi yang berikut.


(a) . Kata-kata ibunya dahulu mengasak ke ruang fikirannya.
(b) Pelbagai pertanyaan menerpa di dalam benaknya.

Dicatat oleh keligit97lense

Anda mungkin juga menyukai