Anda di halaman 1dari 19

Bab 2: Sekolah dan Proses Sosialisasi

Hasil Pembelajaran

Pada akhir bab ini, anda akan dapat:


1. Menerangkan maksud proses sosialisasi dan dimensi proses
sosialisasi;
2. Memberi contoh proses sosialisasi di dalam dan di luar bilik darjah;
3. Menerangkan ciri-ciri proses sosialisasi di dalam dan di luar bilik
darjah;
4. Mencadangkan aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk proses
sosialisasi di dalam dan di luar bilik darjah;
5. Membezakan antara guru yang bersifat dominan dan guru yang
bersifat integratif (bersepadu).

Kata kunci: Proses sosialisasi, pematuhan tingkah laku, pematuhan moral,


pematuhan budaya, sekolah elit, budaya bilik darjah, kurikulum tersirat,
persahabatan, gender, saiz bilik darjah, luar bilik darjah, taman permainan,
tingkah laku dominan, tingkah laku bersepadu

Pengenalan

Bab pertama telah memperkenalkan unsur-unsur sosiologi pendidikan, kepentingannya


kepada masyarakat dan proses-proses pendidikan di sekolah. Bab ini pula akan mengkaji
proses-proses pendidikan dari segi unsur-unsur sosialisasinya.

2.1 Proses sosialisasi dari sudut pandangan perbandingan dan sejarah

Apakah yang dimaksudkan dengan proses sosialisasi?


Proses sosialisasi merujuk kepada pemupukan bahasa, nilai-nilai, peraturan dan ilmu
mengenai budaya asal seseorang. Melalui proses ini, kita akan mempelajari mengenai asal-
usul kita dan akan dapat membentuk identiti sosial. Oleh sebab kepentingannya ditentukan
oleh masyarakat, proses sosialisasi telah menjadi salah satu daripada bahagian utam sistem
persekolahan dan juga merupakan unsur yang penting dalam proses kehidupan kita.

Kita diajar untuk mengsosialisasikan diri pada setiap peringkat kehidupan di mana kita akan
mempelajari ilmu dan kemahiran sosial baru yang bersesuaian dengan peringkat umur kita.
Setiap perkara yang dipelajari di setiap peringkat akan menjadi asas kepada proses sosialisasi
pada peringkat seterusnya. Contohnya, pada peringkat sekolah rendah, kita akan belajar
membaca, menulis dan mengira dan ini seterusnya akan menjadi asas kepada pembelajaran
yang lebih rumit.

Pada masa yang sama, si anak akan mempelajari proses sosialisasi primer, iaitu maklumat
dan nilai-nilai asas masyarakatnya. Dalam erti kata lain, proses sosialisasinya tertumpu
kepada keluarganya. Ketika ia membesar, ia akan mendalami proses sosialisasi sekunder,
iaitu sintesis, kreativiti, logik, kawalan emosi dan maklumat lanjut. Dengan itu, proses
sosialisasi kini diperluaskan merangkumi institusi, kelompok luar, organisasi dan seterusnya
menyediakannya untuk menghadapi dunia luar.
Aktiviti 2.1

Apakah yang dimaksudkan dengan proses sosialisasi?

Dimensi Sosialisasi

Untuk memahami proses sosialisasi dengan lebih lanjut, kita perlu memahami berbagai aspek
yang dimaksudkan dengan istilah ini terlebih dahulu. Aspek pertama atau dimensi sosialisasi
pertama ialah pematuhan tingkah laku. Sekiranya seorang pelajar mematuhi peraturan dan
prosedur di sekolah, pelajar tersebut akan dianggap sebagai baik. Contohnya, sekolah-
sekolah menegakkan peraturan yang akan mengawal tingkah laku pelajar dalam bilik darjah.
Para pelajar sedar bahawa mereka perlu mengangkat tangan sekiranya mereka ingin bertanya
soalan atau menjawab soalan. Sekiranya tingkah laku pelajar tidak akur kepada peraturan ini,
guru bertanggung jawab menggunakan pengaruhnya untuk mensosialisasikan pelajar supaya
mereka belajar mematuhinya.

Sehubungan dengan itu, sosialisasi melatih para pelajar supaya mematuhi kepada perlakuan
moral yang diterima (pematuhan moral), iaitu perlakuan yang disifatkan sebagai tindakan
yang betul. Para pelajar telah diterapkan dengan nilai-nilai moral seperti bercakap benar,
keadilan, berusaha gigih dan sebagainya. Kurikulum persekolahan Malaysia menawarkan
mata pelajaran seperti Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam dengan tujian memupuk nilai-
nilai murni.

Kesimpulannya, proses sosialisasi bertujuan untuk melatih para pelajar supaya mematuhi
budaya iaitu proses pembudayaan. Apakah yang dimaksudkan dengan pematuhan budaya?
Pematuhan budaya berlaku apabila anggota masyarakat menggabungkan norma-norma dan
nilai-nilai daripada budaya lain ke dalam budaya mereka sendiri. Proses ini berlaku melalui
perhubungan antara budaya dan peminjaman atau pengajukan norma budaya lain. Contohnya,
bahasa Inggeris telah menjadi bahasa kedua Malaysia kerana zaman penjajahan British.
Pematuhan budaya juga merujuk kepada pemerolehan kepercayaan atau perspektif tertentu.
Contohnya, kita cenderung mengagungkan para pelajar yang berpencapaian tinggi
berbanding dengan golongan yang berpencapaian rendah. Perkara ini mungkin berlaku
kerana masyarakat kita lebih menekankan golongan yang berjaya cemerlang dalam
peperiksaan kebangsaan. Dengan itu, kanak-kanak ini akan dapat menyesuaikan diri dengan
masyarakat awam apabila dewasa kelak.

Ketiga-tiga pematuhan ini ditekankan di sekolah tetapi besar kemungkinan bahawa sekolah-
sekolah ini akan dapat memupuk ketiga-tiganya sekali. Contohnya, di akademi atau kolej
pertahanan, para pelajar diwajibkan mematuhi peraturan ketenteraan. Sehubungan dengan itu,
didapati bahawa sekolah-sekolah agama lebih menekankan pematuhan moral. Oleh hal yang
demikian, sekolah-sekolah ini perlu memastikan bahawa pelajar-pelajar mereka dapat
mencapai tahap minima ketiga jenis pematuhan ini. Di samping itu, sekolah-sekolah perlu
menyedari bahawa proses sosialisasi berubah sentiasa mengikut aliran masa, terutamnya dari
segi mesej yang disampaikan dan kaedah penyampaian. Perkara ini begitu nyata sekali jika
gaya hidup kanak-kanak pada abad 1940an dan1950an dibandingkan dengan kanak-kanak
sekarang.
Sekarang kita akan membandingkan perubahan proses sosialisasi yang berlaku sistem
persekolahan apabila budaya persekitarannya berubah.
Pada permulaannya, aktiviti-aktiviti perkampungan atau komuniti tersebut bersifat
lembab dan santai; kurang penekanan terhadap ketiga-tiga dimensi sosialisasi.

Kaedah persekolahan ini masih wujud di negara-negara yang kian membangun dengan lebih
penekanan kepada budaya kekeluargaan dan perkampungan. Persekitaran bilik darjah
dijalankan secara informal dan sekolah-sekolah tidak menekankan kedatangan para pelajar
pencapaian para pelajar, dan sebagainya. Para guru juga tidak terlalu komited dalam
pengajaran seharian. Senario ini jelas kelihatan dalam laporan yang ditulis oleh Nancy
Hornberger pada 1987 apabila beliau melawat sekolah-sekolah di pedalaman negara Peru.

Sepanjang jangka masa tujuh hari ini, kanak-kanak tersebut telah menghabiskan lebih kurang
50.5 jam di sekolah...30.5 jam telah dihabiskan [di luar bilik darjah] seperti berikut: 16.5 jam
dihabiskan dengan waktu riadah, 4.5 jam dihabiskan dengan kesukanan, 3.5 jam dihabiskan
menunggu ketika para dewasa sedang bermesyuarat, 3.5 jam di mana para guru tidak hadir ke
sekolah dan 2.5 jam dihabiskan dengan beratur (p. 211).

Sebahagian daripada waktu di bilik darjah telah diperuntukkan untuk bergotong-royong


membersihkan bilik darjah.
Kemudiannya, apabila negara-negara ini menjadi lebih berindustri, corak sosialisasi
berubah ke arah latihan tingkah laku dan pematuhan moral. Oleh sebab industri-
industri bergantung kepada eksport, import dan perdagangan antarabangsa,
pematuhan kebudayaan menjadi lebih penting selaras dengan keperluan untuk
bersosialisasi dengan dunia luar.

Ini merupakan persekitaran pada kurun ke-19 di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan
Britain di mana kanak-kanak diajar nilai-nilai yang mencerminkan budaya bermoral, iaitu
bercakap benar, bersopan santun, berbudi bahasa, kasih sayang, berkerja keras, berusaha,
berjimat cermat. Mereka juga diajar nilai-nilai yang berunsurkan patriotisme seperti
keberanian ketika berperang, kepentingan mematuhi undang-undang dan penyertaan secara
bertanggungj jawab dalam masyarakat berpolitik. Gelombang perubahan sosial ini telah
meninggalkan dampak yang besar ke atas matlamat sosial dan amalan di sekolah-sekolah di
seluruh dunia.

Apabila industri-industri ini telah berkembang, organisasi tersebut berubah ke arah


birokrasi dan wujud peraturan dan rutin yang berfungsi untuk mengawal kegiatan
seharian. Pada zaman ini, sekolah-sekolah telah berusaha untuk mendedahkan para
pelajar kepada organisasi birokratik dan penggunaan massa dunia perindustrian.

Apabila negara-negara ini berkembang menjadi negara-negara perindustrian dan semakin


berunsur kapitalis, sistem birokrasi mula mengambil alih. Perubahan ini bermaksud bahawa
sekolah-sekolah di Amerika Syarikat dan kemudiannya Eropah dan dunia perindustrian
secara keseluruhannya mula menyediakan para pelajar untuk dunia pekerjaan yang
berunsurkan birokrasi dan kepenggunaan. Menurut sistem persekolahan baru ini, kaedah-
kaedah yang bersifat autoritarianisme tidak lagi menjadi pilihan utama dari segi kawalan.
Sebaliknya, sekolah-sekolah kini merupakan tempat untuk pembelajaran dan penerokaan
minda secara aktif. Guru-guru kini dipertanggungajawabkan untuk melengkapkan para
pelajar mereka dengan kemahiran mental dan bukan sahaja membina karakter sepertimana
yang dilakukan sebelum ini. Perkembangan kognitif telah diperkenalkan ke dalam kurikulum
kebanyakan sekolah-sekolah. Di samping itu, kesedaran kepelbagaian etnik juga telah
membawa kepada peningkatan kepekaan terhadap isu-isu berunsurkan moral. Bidang-bidang
tertentu seperti kejuruteraan dan teknikal mula diterima untuk menyediakan para pelajar
untuk bidang-bidang perindustrian yang kian berkembang pada ketika itu.

Dengan perkembangan perindustrian, golongan elit telah muncul dan membentuk


corak sosialisasi tersendiri dengan pandangan yang berbeza daripada golongan lain.
Antara sekolah-sekolah elit di Malaysia ialah Sekolah Sri Inai, Sekolah Sri Cempaka
dan antara sekolah elit yang paling terkenal di dunia ialah sekolah Eton di England.

Aktiviti 2.2

Terangkan pematuhan perlakuan, pematuhan moral dan


pematuhan kebudayaan.

Ciri-ciri sekolah elit

Eton College di England, salah satu daripada sekolah paling elit di dunia

Oleh sebab yuran sekolah-sekolah ini seringkali lebih tinggi berbanding dengan sekolah lain,
hanya keluarga-keluarga yang berpendapatan tinggi akan mampu mendaftar anak-anak
mereka di sekolah-sekolah sebegini. Kanak-kanak ini akan membawa peradaban mereka
tersendiri dapat dijadikan teladan oleh rakan-rakan sekelas mereka. Namun demikian,
berkemungkinan besar yang kanak-kanak ini bersifat sombong kerana memandang rendah
terhadap rakan sekelasnya. Ia mungkin hanya ingin berkawan dengan kanak-kanak yang
dipercayai setaraf dengannya.
Proses sosialisasi di sekolah-sekolah elit turut mencerminkan aktiviti-aktiviti yang diamalkan
oleh komuniti sebegini. Kebanyakan sekolah-sekolah swasta sebegini telah ditubuhkan oleh
golongan atasan khususnya untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka. Contohnya, di
negara ini, Kolej Melayu Kuala Kangsar telah ditubuhkan untuk anak-anak golongan DiRaja
dan juga anak-anak dari keluarga ternama. Sehubungan dengan itu, sekolah-sekolah swasta
tertentu di Amerika Syarikat dan England telah ditubuhkan khususnya bagi keluarga-keluarga
berada di negara-negara tersebut, supaya anak-anak mereka akan dipisahkan daripada kanak-
kanak dari keluarga biasa. Sekolah-sekolah ini menerapkan nilai-nilai dan harapan komuniti
mereka ke dalam kurikulum untuk menyediakan kanak-kanak ini untuk masa depan mereka
sebagai bakal pentadbir negara. Contohnya, di Amerika Syarikat, sekolah-sekolah sebegini
telah ditubuhkan di kawasan pedalaman negeri New England dan kurikulumnya menekankan
kawalan kendiri yang tinggi, membuat berbagai tugas pada masa yang sama dan memberikan
mereka ilmu dan kemahiran yang dapat digunakan pada masa depan serta menyediakan dan
membiasakan mereka kepada kehidupan berstatus sosial tinggi (Brint, 1998).

Di England pula, sekolah-sekolah swasta ditubuhkan di luar kawasan bandar London dan
kurikulumnya direka untuk memenuhi permintaan pentadbiran kolonial pada era Empayar
British. Penekanan khas telah diberikan kepada kecergasan fizikal untuk menyediakan
mereka untuk medan peperangan. Sekolah paling ternama di England pula, Eton College,
telah mencipta kurikulum khusus untuk aristokrasi British (McConnell, 1985), sementara
Choate, Phillips-Andover, Groton dan Lawrenceville pula bermatlamat untuk memberikan
persediaan rapi kepada para pelajar untuk memasuki universiti-universiti unggul. Di samping
itu, Empayar British berhajat untuk menyebarkan agama Kristian ke semua negara di bawah
naungannya. Dengan itu, unsur-unsur keagamaan turut disertakan di dalam kurikulum
persekolahan.

Sehubungan dengan itu, negara-negara Eropah lain telah melaksanakan kurikulum


persekolahan yang hampir serupa. Di Jerman, sekolah-sekolahnya menekankan nilai-nilai
bildungsbrgertum untuk memenuhi keperluan golongan pertengahan atasan. Di Perancis
pula, grandes ecoles telah menjadi sebahagian daripada sistem persekolahan kebangsaan
dengan tujuan mentransformasi golongan belianya menjadi tentera, ahli industri dan
pentadbir yang ternama.

Setiap perubahan dari segi sosialisasi akan turut memperlihatkan perubahan dari segi
kurikulum persekolahan. Namun demikian, tidak semua perubahan ini dapat diaplikasi ke
semua lapisan masyarakat di serata dunia. Contohnya, masyarakat Jepun mempercayai
bahawa kanak-kanak mengalami dua peringkat dalam pertumbuhan mereka, iaitu peringkat
kemurnian dan peringkat tanggung jawab. Pada peringkat awal kehidupannya, kanak-kanak
akan mencuba dan mengkaji persekitarannya dan golongan dewasa dalam kehidupannya
hendaklah memberikannya sokongan sepenuhnya. Lazimnya, kehidupan mereka pada tahap
ini tidak berapa berdisiplin tetapi mereka akan lebih berdisiplin apabila mereka meningkat
dewasa kelak.

Proses sosialisasi juga berbeza antara sekolah rendah dan sekolah menengah. Di peringkat
sekolah rendah, guru-guru perlu menggunakan pendekatan yang lebih berbentuk peribadi
dalam mendidik kanak-kanak berbanding dengan guru-guru sekolah menengah. Namun
demikian, guru-guru sekolah menengah seringkali memerlukan lebih pengkhususan untuk
memenuhi keperluan para pelajar yang lebih matang serta masyarakat secara umumnya.
Sehubungan dengan it, kita akan mendapati bahawa sekolah-sekolah tertentu mungkin akan
mengamalkan unsur-unsur sosialisasi tertentu yang hanya wujud di sekolah-sekolah ini
sahaja. Contohnya, budaya di selatan negara Perancis membolehkan seorang kanak-kanak
yang disayangi oleh guru-gurunya untuk bergerak dari kelas ke kelas untuk menerima
pelukan daripada setiap guru. Namun demikian, tidak semua pelajar akan mendapat peluang
ini kerana setiap guru memilik jangkaan tersendiri bagi setiap pelajar. Secara lazimnya, guru-
guru akan meluangkan lebih banyak waktu dengan pelajar yang kurang cemerlang. Golongan
ibu bapa pula mungkin akan memastikan bahawa disiplin di sekolah tersebut dilaksanakan
dengan seketat yang mungkin.

Di samping persekitaran sekolah tersebut, ekonomi tempatan atau status sosio-ekonomi ibu
bapa turut mewujudkan variasi antara kanak-kanak di sekolah. Contohnya, didapati bahawa
sebahagian besar daripada golongan kelas pertengahan dan pertengahan atas di Amerika
Syarikat cenderung mengamalkan birokrasi. Dengan itu, kaedah sosialisasi yang elit akan
kekal diamalkan di sekolah-sekolah swasta dan berasrama. Sebaliknya, di kawasan-kawasan
yang lebih miskin, misalnya komuniti pendatang asing dan Hispanik, kaedah sosialisasi
komunal atau perkampungan masih diamalkan. Di kalangan masyarakat perindustrian,
pematuhan perlakuan seringkali lebih dipentingkan, di mana tingkah laku kanak-kanak akan
dipantau kerana dijangka bahawa mereka akan mematuhi peraturan. Di persekitaran sebegini,
sekolah-sekolah akan lebih tertumpu kepada penghafalan kerana para pelajar diberi tugasan
yang tidak mencabar. Golongan ibu bapa pula memiliki sudut pandangan yang berbeza
mengenai persekolahan kerana telah disosialisasi dari aspek kelas sosial. Contohnya, ibu bapa
dari kelas pertengahan atasan mempercayai bahawa sekolah-sekolah patut menekankan
tugasan yang berunsur kreatif dan berarahkan kendiri. Ibu bapa dari kelas pekerja pula lebih
cenderung memberi penekanan kepada aspek disiplin dan pemantauan dari para guru ke atas
anak-anak mereka.

Sepertimana yang dapat dilihat, persekitaran sosialisasi sekolah dipentingkan di semua


komuniti di seluruh dunia. Namun demikian, negara-negara ini mungkin memiliki corak yang
berbeza tetapi secara umumnya dapat dikatakan bahawa setiap sekolah akan mengamalkan
salah satu daripada tiga dimensi sosialisasi yang telah dibincangkan.

Dengan itu, corak-corak sosialisasi tidak bersifat statik tetapi sebaliknya sentiasa berubah
mengikut peredaran masa. Sepertimana yang telah dibincangkan sebelum ini, setiap negara
telah bermula dengan corak sosialisasi perkampungan yang bersifat bebas. Apabila negara-
negara ini memasuki era perindustrian, sekolah-sekolahnya lebih cenderung kepada kawalan
tingkah laku dan pematuhan moral. Perubahan ini dapat dilihat apabila industri-industri besar
ditubuhkan untuk memenuhi permintaan pekerjaan yang kian meningkat. Kini, masyarakat
yang memiliki status sosio-ekonomi yang tinggi telah berubah dari sistem perindustrian ke
sistem birokrasi. Ini telah menyebabkan sekolah-sekolah mengubah corak sosialisasi mereka
untuk menepati keperluan dunia luar.

Aktiviti 2.3

Jelaskan ciri-ciri sekolah-sekolah elit.


2.2 Sosialisasi di dalam bilik darjah

Salah satu daripada fungsi persekolahan ialah sosialisasi. Sepertimana yang telah
dibincangkan sebelum ini, sekolah-sekolah cenderung mencipta kurikulum supaya selaras
dengan jangkaan masyarakat mengenai perkara-perkara yang patut diajar kepada golongan
muda.

Kebudayaan Bilik Darjah


Jackson (1968, m.s. 10) telah menjelaskan bahawa sebuah bilik darjah ialah situasi satu
guru-ramai pelajar, di mana para pelajar ini diletakkan berdekatan antara satu sama lain
(bilik darjah) dan si guru (individu utama) ditugaskan untuk mengawal mereka melalui
kaedah-kaedah disiplin. Untuk memahami perhubungan yang terlibat dalam sosialisasi bilik
darjah, anda perlu memahami kepentingan persekitaran bilik darjah.

Budaya bilik darjah terdiri daripada rutin tertentu yang ditetapkan oleh para guru ke atas para
pelajar. Rutin-rutin ini terdiri daripada peraturan bilik darjah dan sekolah yang telah digubal
bagi tujuan mendisiplinkan para pelajar dan untuk memupuk perlakuan, kepercayaan dan
halatuju yang ditetapkan oleh sekolah tersebut. Para pelajar bebas berinteraksi selagi tidak
melanggar peraturan ini. Namun demikian, sekiranya mereka melanggar peraturan-peraturan
ini, contohnya dengan meniru ketika peperiksaan, mengganggu ketenteraman bilik darjah dan
sebagainya, hukuman yang akan dikenakan akan turut ditetapkan berdasarkan peraturan ini.
Boleh dikatakan bahawa peraturan ini merupakan sebahagian besar daripada sistem birokrasi
sekolah yang menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Peraturan sosialisasi berbeza mengikut masyarakat. Misalnya, Amerika Syarikat lebih


mementingkan peraturan pada peringkat sekolah rendah dan setelah para pelajar telah
menyesuaikan diri kepada peraturan-peraturan ini, penekanan terhadapnya semakin
berkurangan sehingga mereka memasuki sekolah menengah. Amalan ini biasa diamalkan di
negara-negara maju. Namun demikian, perkara ini berbeza mengikut budaya. Walaupun
Jepun merupakan sebuah negara maju, pematuhan kepada peraturan ditekankan di peringkat
sekolah rendah dan sekolah menengah. Di negara membangun pula, peraturan dan pematuhan
kepada peraturan ini diberi penekanan yang berat di kedua-dua peringkat. Rutin yang telah
diterapkan ini bukan merupakan sebahagian daripada kurikulum formal tetapi sebaliknya
bersifat informal. Ia juga dikenali sebagai kurikulum tersirat.

Aktiviti 2.4

Terangkan aspek-aspek budaya bilik darjah.

Apakah yang dimaksudkan dengan kurikulum tersirat? Kurikulum tersirat merujuk kepada
proses-proses utama yang menetapkan proses interaksi atau sosialisasi. Contohnya, beratur,
membuat kerja sendiri dalam bilik darjah tanpa berbincang dengan rakan, menurut perintah
yang diberi oleh guru, melakukan kerha berkumpulan dan menjaga kebersihan bilik darjah.
Kadangkala, ia mungkin timbul melalui mesej yang disampaikan oleh guru secara verbal atau
tidak verbal, contohnya jangkaan, tingkah laku dan perhubungan kuasa. Interaksi ini mungkin
berlaku antara guru-murid atau murid-murid.

Apakah jenis-jenis interaksi yang berlaku dalam bilik darjah?


1. Interaksi yang berlaku dalam persekitaran bilik darjah bergantung kepada stail mengajar
guru tersebut. Interaksi antara guru-murid dan murid-murid akan mempengaruhi suasana
bilik darjah. Dalam masa 40 minit, mungkin hampir beratus interaksi akan berlaku. Interaksi
ini mungkin bersifat verbal atau tidak verbal, contohnya riak muka, tona suara, pergerakan
tangan atau pergerakan fizikal. Kesemua interaksi ini mampu mempengaruhi suasana bilik
darjah.

2. Menurut seorang ahli sosiologi bernama Bernstein (1996), interaksi dalam bilik darjah
memiliki kod tersendiri dan ia mampu mempengaruhi peraturan bilik darjah, amalan dan
juga dapat mempengaruhi perhubungan kuasa antara guru dan murid. Aspek-aspek seperti
kurikulum dan pedagogi juga termasuk dalam kod ini. Kurikulum merujuk kepada maklumat
yang telah disusun atau distruktur manakala pedagogi merujuk kepada kaedah penyampai
maklumat ini.

3. Melalui interaksi antara guru (penyampai) dan para pelajar (penerima), maklumat
disampaikan melalui kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru tersebut. Dalam erti kata
lain, guru dapat mengawal cara maklumat ini disampaikan, termasuklah bahan pengajaran,
kemahiran yang akan diterapkan, sebanyak mana maklumat akan disampaikan dan cara
penerimaannya (Bernstein, 1990). Misalnya, Kalekin-Fishman (1991) mendapati bahawa
corak kebisingan dalam tadika-tadika di Jerman dan Israel berpunca daripada halatuju dan
struktur bilik darjah. Didapati bahawa guru-guru yang mengamalkan stail pengajaran yang
bersifat autoritarianisme lebih berjaya dalam mengawal tahap kebisingan bilik darjah kerana
para pelajar hanya dibenarkan bercakap pada waktu-waktu tertentu sahaja. Stail ini lebih
bersesuaian untuk kanak-kanak yang berasal dari keluarga-keluarga kelas pekerja. Namun
demikian, jika guru menganggap dirinya sebagai seorang fasilitator, para pelajarnya akan
diberi lebih banyak kebebasan untuk bercakap dan mereka akan kurang dikawal. Dengan itu,
jelas kelihatan bahawa pendekatan berbeza dalam mengawal para pelajar mendatangkan hasi
yang berbeza ke atas interaksi dalam bilik darjah dan ini seterusnya akan mempengaruhi
proses sosialisasi bilik darjah tersebut.

4. Di samping interaksi guru-murid, interaksi murid-murid juga mampu mempengaruhi


suasana bilik darjah. Bagaimanakah sosialisasi murid-murid diperkembangkan? Antara
norma-norma utama budaya bilik darjah tradisional ialah penetapan tempat duduk para
pelajar oleh guru. Ini bermaksud bahawa bahawa para pelajar tidak dapat memilih tempat
duduk mereka. Dengan ini, para pelajar akan dipaksa berinteraksi dengan pelajar lain yang
duduk berdekatan dengan mereka. Lama-kelamaan, pelajar-pelahar ini akan mula
menghabiskan masa bersama di kantin dan selepas tamat waktu sekolah, walaupun mereka
tidak lagi dipaksa berinteraksi. Persahabatan ini akan menjadi sebahagian yang penting dalam
pengalaman pembelajaran informal mereka.

Aktiviti 2.5

Terangkan kepentingan kurikulum tersirat.

Persahabatan

Sumber gambar: www.pkpim.org.my

Sosialisasi persahabatan antara pelajar berbeza berdasarkan persekitaran bilik darjah, iaitu
sama ada bilik darjah tersebut merupakan bilik darjah tradisional atau terbuka. Kajian
menunjukkan bahawa bilik darjah yang tersusun secara demokratik akan mampu
mempengaruhi perkembangan afektif atau emosional pelajar (Grubaugh & Houston, 1990).
Bilik darjah yang tersusun secara afektif akan meningkatkan interaksi dan aktiviti bersama
serta memberi peluang kepada setiap pelajar untuk menjadi popular. Dengan itu,
berkemungkinan besar bahawa setiap pelajar akan dapat cemerlang. Bilik darjah yang bersifat
terbuka akan memupuk persahabatan jangka masa panjang antara ramai pelajar. Apabila bilik
darjah terbuka dan bilik darjah tradisional dibandingkan, didapati bahawa sebahagian besar
daripada pelajar dalam bilik darjah terbuka tidak cenderung memiliki ramai kawan rapat
tetapi lebih cenderung memiliki ramai rakan secara umumnya. Sebaliknya, pelajara dalam
bilik darjah tradisional berpeluang berkawan dengan pelajar lain yang duduk berhampiran
dengan mereka.

Di manakah persahabatan bermula?


Persahabatan bermula pada peringkat pra-sekolah lagi. Di sini, kanak-kanak akan berinteraksi
dengan dunia luar buat pertama kali. Zaman pra-sekolah dipenuhi dengan masa riadah dan
pembelajaran secara informal di mana wujud berbagai peluang untuk mereka berkawan.
Proses sosialisasi bermula di sini dan akan berkembang apabila mereka membesar. Kanak-
kanak yang dapat berinteraksi dengan rakan sekelasnya dengan baik akan selalunya popular.
Ini akan sedikit sebanyak mempengaruhi pertumbuhan sosio-emosional kanak-kanak
tersebut.

Kemahiran bersosialisasi menjadi lebih penting apabila kanak-kanak tersebut membesar


menjadi remaja. Pada peringkat ini, golongan remaja menganggap bahawa persahabatan
merupakan sebahagian besar daripada kehidupan mereka. Mereka menganggap bahawa rakan
sebaya dan kawan rapat mereka merupakan tempat mengadu, pemberi nasihat dan
sebagainya. Dengan itu, golongan remaja cenderung mementingkan rakan-rakan mereka
berbanding dengan ibu bapa mreka kerana mereka menganggap bahawa kesetiaan dan
ketaatan penting kepada suatu persahabatan. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa proses
sosialisasi memainkan peranan penting dalam memupuk persahabatan dalam bilik darjah.

Aktiviti 2.6

Adakah persahabatan penting dalam kehidupan seorang kanak-


kanak? Jelaskan.

Adakah gender mempengaruhi cara seorang pelajar bersosialisasi?


Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara cara
pelajar lelaki dan perempuan bersosial. Sebuah kajian yang dijalankan oleh Corsaro dan Eder
(1990) melaporkan bahawa kanak-kanak perempuan secara lazimnya lebih cenderung
memiliki kawan rapat dan lebih bersifat terbuka kerana gemar berkongsi rahsia dan masalah
sesama mereka. Sebaliknya, kanak-kanak lelaki kurang cenderung memiliki kawan rapat
tetapi lebih cenderung membina persahabatan berdasarkan minat yang sama, terutamanya
dalam bidang kesukanan. Oleh sebab perbezaan yang wujud dalam kaedah sosialisasi, kanak-
kanak lelaki akan selalunya menjadi berdasarkan faktor keupayaan kesukanan mereka,
kecekalan dan keupayaan mereka dari segi perhubungan antara gender. Kanak-kanak
perempuan pula lebih cenderung menjadi popular berdasarkan faktor status sosio-ekonomi
ibu bapa mereka, rupa paras mereka, kemahiran sosial mereka serta pencapaian akademik
mereka (Adler, Kless & Adler, 1992). Sehubungan dengan itu, didapati bahawa kanak-kanak
perempuan yang popular jarang bersosial dengan golongan yang berasal daripada status
sosial yang lebih rendah dari mereka. Kanak-kanak lelaki pula lebih cenderung berlagak
dengan agresif dan kurang sensitif dalam menghadapi tekanan untuk memperoleh
kecemerlangan (Edler et al., 1995).

Apakah faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada corak sosialisasi para pelajar?
1. Struktur organisasi sekolah mungkin memainkan peranan yang penting dalam corak
sosialisasi para pelajarnya. Contohnya, pembahagian para pelajar mengikut pencapaian
akademik mungkin akan bermaksud bahawa pelajar-pelajar yang berprestasi tinggi tidak
berpeluang untuk berinteraksi dengan para pelajar yang berprestasi rendah. Sehubungan
dengan itu, pembahagian para pelajar mengikut kumpulan etnik mungkin akan
mengurangkan peluang untuk mereka bersosial dengan kumpulan etnik lain. Perhubungan
antara etnik pada zaman kanak-kanak akan menyediakan mereka untuk dunia pekerjaan. Oleh
itu, para guru seharusnya memberatkan aspek ini dalam mengatur agenda sosialisasinya di
samping memastikan bahawa persekitaran bilik darjah berada dalam keadaan optima. Ini
dapat dilakukan dengan menyusun semula tempat duduk para pelajar selang beberapa minggu
supaya mereka berpeluang untuk bersosialisasi dengan semua pelajar dalam kelas.

2. Susunan tempat duduk dan keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah juga mampu
mempengaruhi sosialisasi para pelajar. Kebanyakan bilik darjah disusun supaya guru berdiri
di depan dan para pelajar duduk menghadapinya. Ini merupakan kedudukan yang agak
strategik bagi pihak guru kerana ia akan dapat memperhatikan aktiviti dan tingkah laku para
pelajar.
3. Susun tempat duduk para pelajar juga mungkin akan menyebabkan corak sosialisasi
mereka. Pelajar-pelajar yang duduk di hadapan bilik darjah lebih berpeluang untuk menyertai
aktiviti kelas berbanding dengan para pelajar yang duduk di belakang. Kedudukan mereka di
hadapan bilik darjah bermaksud bahawa mereka akan di beri perhatian yang lebih oleh guru
dan rakan sekelas mereka. Beberapa kajian menunjukkan bahawa para guru lebih mengemari
pelajar-pelajar yang duduk di hadapan bilik darjah dan tidak cenderung menghukumi mereka
sekiranya mereka melakukan kesalahan. Pada peringkat kolej atau universiti pula, pelajar-
pelajar yang duduk di hadapan bilik darjah selalunya lebih cerdik dan lebih berkeinginan
untuk memperoleh pencapaian yang baik. Mereka juga lebih menyukai para pensyarah
mereka kerana mereka dapat mendengar dan melihatnya dengan lebih baik. Ini pula akan
membolehkan para pelajar melibatkan diri dalam proses pembelajaran dengan lebih baik.
Namun demikian, sesetengah pelajar akan memilih tempat duduk dalam bilik darjah atau
bilik kuliah kerana tidak ingin diperhatikan oleh guru atau pensyarah mereka.

4. Saiz bilik darjah juga dapat mempengaruhi corak sosialisasi para pelajar. Contohnya, saiz
kelas yang lebih kecil bermakna yang guru akan dapat berinteraksi dan berkomunikasi
dengan pelajarnya dengan lebih rapat. Para guru juga didapati kurang cenderung menekankan
disiplin atau kawalan bilik darjah sekiranya bilangan pelajarnya kecil. Secara
keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa saiz kelas yang kecil membawa kepada persekitaran
bilik darjah yang lebih positif dan membolehkan interaksi antara kumpulan kecil berlaku.
Dengan itu, para pelajar akan lebih berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti
persekolahan dan ini seterusnya akan mewujudkan interaksi informal dengan antara para
guru, pentadbir dan pelajar. Sebaliknya, sekolah-sekolah yang memiliki ramai pelajar
mungkin akan mewujudkan jarak antara para guru dan para pelajar dan ini seterusnya akan
mengurangkan sosialisasi antara mereka kerana peluang untuk para pelajar berinteraksi
dengan para guru secara efektif akan berkurangan.

Aktiviti 2.7

Terdapat empat faktor utama yang mempengaruhi corak


sosialisasi para pelajar. Jelaskan pengaruh setiap faktor.

Bagaimanakah kita dapat melibatkan para pelajar supaya mereka dapat bersosialisasi dalam
bilik darjah?
Jika kita melihat bilik darjah sebagai tempat untuk para pelajar bersosial, kita sepatutnya
membenarkan mereka meluahkan pendapat mereka mengenai perkara-perkara yang
melibatkan mereka. Contohnya,

a. Para pelajar sepatutnya terlibat dalam penggubalan peraturan bilik darjah;


b. Tugas-tugas bilik darjah sepatutnya diubah mengikut perbincangan ketika
mesyuarat bilik darjah
c. Setiap warga sekolah bertanggung jawab ke atas kebajikan para pelajar dalam
bilik darjah, termasuklah para pengawas dan ketua kelas
d. Para guru tidak seharusnya terlalu melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah
atau mengawalnya dengan ketat; ini akan membenarkan para pelajar meluahkan
perasaan mereka dan belajar cara mengorganisasi. Para guru boleh memberikan
pelajar tanggung jawab atau tugas yang tertentu, contohnya mengorganisasi
lawatan sambil belajar ke muzium.
e. Para guru seharusnya memastikan bahawa perhubungan yang rapat antara para
pelajar dalam bilik darjah melangkaui batasan umur, etnik atau pencapaian
akademik
f. Para guru seharusnya menggalakkan para pelajar supaya mereka berkongsi
pengalaman mereka yang berkaitan dengan kerja sekolah mereka, sama ada
pengalaman di luar dan di dalam sekolah
g. Mendidik anak-anak supaya mereka meluahkan penghargaan mereka terhadap
usaha orang lain.

Dengan itu, kita seharusnya membolehkan proses sosialisasi berlaku secara berperingkat
supaya mereka dapat mempelajari mengenai masyarakat orang dewasa secara perlahan-lahan.
Cara ini akan membenarkan mereka mengecapi kebebasan serta tanggung jawab sambil
mereka membesar. Menurut John Dewey, Satu-satu caranya untuk menyediakan diri untuk
kehidupan bersosial adalah dengan melibatkan diri dengan kehidupan bersosial dan bilik
darjah merupakan lokasi yang ideal untuknya.

Pendapat ahli-ahli teori mengenai sosialisasi

Sekarang kita akan menganalisa pendapat para ahli teori mengenai sosialisasi dalam bilik
darjah. Penyokong teori fungsionalis berhujah bahawa sosialisasi dalam bilik darjah
merupakan langkah yang penting kerana ia dapat menyediakan kanak-kanak untuk peranan
mereka dalam masyarakat kelak. Proses sosialisasi bermula dari peringkat sekolah rendah
lagi dan berlanjutan sehingga peringkat sekolah menengah. Melalui proses ini, kanak-kanak
akan dididik mengenai pematuhan, bekerja sama, jangkaan masyarakat serta peranan mereka
dalam kesemua aspek ini dalam memastikan sistem persekolahan dapat berjalan dengan
lancar. Keupayaan mereka untuk disosialisasi mengikut aspek-aspek ini serta keupayaan
mereka untuk bekerja sama dengan orang dewasa dalam konteks sekolah akan menjadi
kriteria dalam pemilihan pelajar. Penyokong teori konflik pula berpendapat bahawa wujud
konflik antara pekerja-pekerja di sekolah, iaitu golongan orang dewasa yang dominan, dan
para pelajar yang dipaksa dan dikawal melalui berbagai cara. Konflik ini disifatkan sebagai
peperangan yang wujud antara kedua-dua pihak. Para guru bertanggung jawab untuk
menyediakan jadual waktu, memulakan perbincangan dan menetapkan peraturan bilik darjah.
Oleh hal yang demikian, aktiviti seharian dalam sekolah akan mencerminkan budaya
dominan yang diamalkan oleh para pelajar. Keupayaan kanak-kanak untuk bersosialisasi
dalam bilik darjah bergantung kepada betapa dominannya guru tersebut serta budaya yang
diterapkan ke dalam para pelajarnya.

Penyokong teori interaksionis pula berpendapat bahawa setiap pelajar mempunyai tanggapan
sendiri mengenai bilik darjah. Sudut pandangannya dan cara ia bertindak balas kepadanya
bergantung berbeza dari pelajar ke pelajar. Perbezaan ini dipengaruhi oleh latar belakang
budayanya dan konflik antara guru dan pelajar tersebut. Contohnya, para pelajar dapat dilabel
sebagai singa, gajah atau kerbau. Label-label ini akan meninggalkan kesan ke atas emosi
kanak-kanak tersebut, di mana ia akan berkelakuan selaras dengan label yang diberikan.
Kanak-kanak yang dilabel sebagai singa mungkin bertanggapan bahawa ianya lebih positif
berbanding dengan label-label lain. Para guru juga mungkin lebih cenderung berinteraksi
dengan positif dengan kanak-kanak yang dilabel singa berbanding dengan label-label lain.
Persepsi yang berbeza ini berkait rapat dengan kelas sosial para pelajar di mana golongan
yang dilabel singa berasal dari kelas sosial yang lebih tinggi berbanding dengan label-label
lain. Oleh itu, para guru lebih cenderung berfokus kepada golongan pelajar ini berbanding
dengan pelajar ini dan ini menyebabkan mereka lebih berinteraksi dengan guru mereka.
Sebaliknya, golongan yang lain pula mungkin berpendapat bahawa guru-guru mereka jarang
berinteraksi dengan mereka.

Aktiviti 2.8

Jelaskan perspektif teori fungsional, konflik dan interaksionis


mengenai proses sosialisasi para pelajar dalam bilik darjah?

2.3 Sosialisasi di luar bilik darjah

Sumber gambar: smkcmyusuf.blogspot.com

Kita telah membincangkan sosialisasi dalam bilik darjah. Namun demikian, sosialisasi juga
berlaku di luar bilik darjah. Para pelajar masih berinteraksi sesama mereka di luar bilik
darjah, misalnya di kantin atau di taman permainan. Walaupun masa yang dihabiskan di luar
bilik darjah tidak sebanyak masa yang dihabiskan di bilik darjah, interaksi dan sosialisasi
yang berlaku pada ketika-ketika ini masih penting.

Taman Permainan

Taman permainan merupakan tempat yang penting untuk bersosial kerana ia merupakan
persekitaran yang informal untuk membina persahabatan. Aktiviti yang berlaku di luar bilik
darjah dapat menyediakan para pelajar untuk dunia orang dewasa kerana mereka akan
mempelajari mengenai harga diri dan kawalan diri sesama rakan. Kebanyakan sekolah
membenarkan para pelajar mereka meninggalkan bilik darjah ketika waktu rehat dan ini akan
membolehkan mereka bersosial dengan pelajar-pelajar lain.
Mengapakah taman permainan sekolah penting kepada proses sosialisasi kanak-kanak?
Apabila para pelajar berada di taman permainan mereka berjauhan dari orang dewasa.
Mereka akan dapat berseorangan dan para orang dewasa hanya memerhatikan mereka sahaja
untuk memastikan mereka berkelakuan baik. Ini akan membolehkan kanak-kanak berkongsi
pengalaman dan memilih rakan sepermainan mereka tanpa penglibatan orang dewasa.
Mereka lebih cenderung memilih sahabat yang sebaya dengan mereka dan tidak semestinya
berkawan dengan jiran atau saudara mereka. Interaksi antara rakan sebaya dapat
mengurangkan jurang sosial yang wujud antara kanak-kanak. Namun demikian, sekiranya
mereka berinteraksi dengan kanak-kanak pelbagai umur, mereka akan dapat mengenali
mereka serta membina perhubungan baru. Kepelbagaian dalam interaksi sosial akan
membantu kanak-kanak memahami masalah-masalah yang dihadapi dalam perhubungan
sosial serta cara-cara menanganinya.

Sumber gambar: drzubaidi.com

Oleh itu, kanak-kanak yang tidak


berapa berpengalaman dalam
bersosialisasi di luar bilik darjah
mungkin akan kurang bersedia untuk
menghadapi zaman dewasa. Aktiviti
dan amalan di taman permainan akan
mendidik mereka mengenai cara
bersosialisasi, berkawan, menangani
kaki buli, gosip dan sebagainya
kerana mereka akan turut berdepan
dengan masalah ini apabila dewasa
kelak.
Di taman permainan, mereka akan mempelajari mengenai pelbagai tingkah laku yang akan
membantu mereka dalam menghakimi perlakuan orang lain. Berikut merupakan contoh
perkara-perkara yang mungkin dihadapi di taman permainan:

Menangani orang yang bersifat agresif;


Tindakan yang sepatutnya diambil apabila kawan sendiri bertingkah laku buruk;
Memahami bahawa mengaku kalah tidak semestinya bermaksud yang dirinya sedang
dibuli;
Membezakan antara maklumat peribadi yang patut dikongsi dan dirahsiakan;
Cara paling efektif untuk berkawan;
Memahami bila ia seharusnya bercakap dan bila ia seharusnya mendengar sahaja.

Dengan menghadapi masalah-masalah ini pada umur yang muda, berkemungkinan besar
bahawa mereka akan dapat menangani masalah-masalah ini dengan bijak apabila dewasa
kelak. Oleh itu, para ahli sosiologi berpendapat bahawa pengalaman di luar bilik darjah
merupakan faktor sosialisasi utama dalam kehidupan kanak-kanak di samping interaksi dalam
bilik darjah.

Jenis-jenis sosialisasi yang berlaku di taman permainan

Boleh dikatakan bahawa sosialisasi yang berlaku antara kanak-kanak lelaki dan perempuan
agak berbeza, baik di luar atau di dalam bilik darjah. Contohnya, pada zaman sekolah rendah,
kanak-kanak lelaki lebih cergas dan lebih cenderung mengawal kawasan permainan dan
mencerobohi kawasan permainan kanak-kanak perempuan. Dengan ini, boleh dikatakan
bahawa taman permainan merupakan arena bersosialisasi melalui sikap agresif, di mana
kanak-kanak dapat membina persahabatan baru dan memutuskan persahabatan lama, belajar
menggunakan bahasa kasar untuk melindungi diri dari kaki buli serta membina identiti baru.

Aktiviti 2.9

Apakah sumbangan taman permainan terhadap sosialisasi kanak-


kanak?

Tugas-tugas di luar bilik darjah

Sumber gambar:
tksdsmpt11nkpwk.wordpre
ss.com

Sekolah-sekolah sering
merancang tugas-tugas
luar bilik darjah,
contohnya
membenarkan para
pengawas bertugas
pada waktu rehat serta
menggalakkan pelajar-
pelajar mereka supaya
melibatkan diri dalam
komuniti sekolah dan
tidak mengehadkan
diri kepada bilik darjah
mereka sahaja. Antara
tugas-tugas yang diberi
kepada para pengawas termasuk membunyikan loceng pada permulaan dan penghujung
waktu persekolahan dan menunggu di pintu pagar sekolah untuk menutupnya apabila loceng
berbunyi pada 7:40 pagi dan membukanya pada 2:00 petang. Selain itu, para pelajar juga
dipertanggungjawabkan dengan tugas yang lebih berat, contohnya menguruskan kedai buku
sekolah, menjaga bengkel basikal serta bertugas di perpustakaan sekolah dan makmal.
Dengan menjalankan tugas-tugas ini, para pelajar akan berinteraksi dan pada masa yang sama
belajar untuk menjadi anggota masyarakat yang berguna. Tanggung jawab yang paling berat
sekali adalah menjaga para pelajar dan para pengawas dipertanggungjawabkan dengan tugas
ini. Di samping itu, terdapat juga tugas-tugas lain seperti menjadi ketua rumah sukan,
olahraga dan pasukan-pasukan sukan lain.

Dengan ini, jelaslah bahawa sosialisasi merupakan aspek yang penting dalam perkembangan
kanak-kanak. Sebagai guru, kita perlu meneliti tingkah laku kita terhadap pelajar. Adakah
kita memiliki tingkah laku yang dominan atau integratif (bersepadu)?
Tingkah laku dominan merujuk kepada kaedah autokratif yang digunakan untuk menangani
para pelajar di mana guru akan mengawal tingkah laku para pelajar. Guru-guru yang dominan
memiliki sifat-sifat berikut:
Berpendapat bahawa ia lebih tahu dari orang lain;
Memastikan bahawa para pelajar bekelakuan mengikut kehendaknya sendiri tanpa
mengambil kira pengalaman, keinginan atau pendapat para pelajar;
Membuat keputusan sendiri tanpa membenarkan penglibatan para pelajar walaupun
keputusan tersebut mungkin akan mendatangkan kesan kepada mereka;
Cenderung mengugut dan menyalahkan pihak lain;
Cenderung mengarah orang lain; dan
Berkelakuan secara agresif apabila para pelajar tidak mematuhi arahannya.

Guru-guru yang berkelakuan begini cenderung menghasut pihak lain, baik secara tersurat
atau tersirat dan membawa kepada keadaan yang agak berkonflik.

Seorang guru yang bersifat integratif pula memiliki ciri-ciri berikut:


Dapat bekerjasama dengan para pelajarnya;
Menghargai nilai pengalaman para pelajarnya;
Sanggup bekerjasama dan menyesuaikan matlamatnya demi kepentingan pelajarnya;
Sentiasa bertanyakan pendapat para pelajar mengenai perkara-perkara yang mungkin
melibatkan mereka;
Memuji para pelajar apabila mereka berkelakuan baik atau memberi idea yang baik;
Dapat berkongsi tanggung jawab dengan pelajarnya;
Tidak menyalahkan pihak lain;
Meminta para pelajar melakukan sesuatu dan tidak mengarah mereka;
Dapat menerima ketidaksefahaman dengan para pelajar.

Dengan ini, boleh dikatakan bahawa guru integratif bersifat fleksibel, toleransi dan dapat
menyesuaikan diri dengan baik. Guru sebegini menggalakkan pelajarnya melibatkan diri
dalam aktiviti bilik darjah, menggalakkan mereka supaya lebih berinitiatif dan dapat
mengkoordinasi tugas-tugas pelajarnya supaya suasana bilik darjah lebih gembira dan
kondusif kepada pembelajaran.

Dua jenis tingkah laku ini dapat mempengaruhi sosialisasi para pelajar dalam bilik darjah.
Oleh itu, guru-guru perlu menyedari bahawa mereka bertanggung jawab untuk memastikan
bahawa pelajar-pelajar mereka diberi peluang untuk bersosial dan mengembangkan
kemahiran sosial mereka.

Aktiviti 2.10

Apakah perbezaan antara guru dominan dan guru integratif?


2.4 Perspektif antara Sekolah-Sekolah Asia

Selepas Perang Dunia Kedua, bekas tanah jajahan berbagai kuasa Eropah di Asia Tenggara
seperti Indonesia, Malaysia dan Filipina berusaha untuk mencapai kemerdekaan politik serta
pembangunan ekonomi dan sosial. Walaupun tidak dijajah, Thailand turut berganding bahu
dengan negara-negara Asia Tenggara lain dalam mencapai aspirasi mereka.

Negara-negara ini telah melancarkan rancangan pembangunan negara lima tahun dan lapan
tahun telah dilancarkan untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan. Komponen
pendidikan turut ditekankan dalam program ini demi mencapai matlamat negara dari segi
politik, ekonomi dan kebajikan sosial. Fokus pertama kerajaan merupakan aspek ekonomi.
Untuk mencapai matlamatnya dalam aspek ini, pakar-pakar ekonomi memberikan ramalan
mengenai tenaga kerja yang akan diperlukan untuk menangani pertumbuhan ekonomi pada
masa depan. Untuk mencapai matlamat-matlamat ini, sekolah-sekolah dan institusi
pendidikan perlu melatih dan menghasilkan para pelajar yang selaras dengan visi negara.
Oleh itu, sekolah-sekolah perlu mengenali tenaga kerja yang perlu dilatih serta kemahiran
yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan dan program-program yang diperlukan. Setakat ini,
Singapura merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dapat mencapai matlamat
ini.

Tugas sekolah yang seterusnya adalah untuk memupuk nilai-nilai kenegaraan dalam para
pelajarnya. Oleh itu, sekolah-sekolah dipertanggungjawabkan untuk melengkapkan para
pelajar dengan kemahiran berkomunikasi, contohnya dari segi bahasa kebangsaan. Ini
bermaksud bahawa kurikulum sekolah mungkin perlu dilihat semula. Di Malaysia, sekolah-
sekolah diwajibkan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar pembelajaran
dan pengajaran. Di Indonesia pula, sekolah-sekolah diwajibkan menggunakan bahasa
kebangsaan, iaitu bahasa Indonesia. Thailand dan Filipina turut mewajibkan penggunaan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Di Singapura pula, para pelajarnya perlu
menguasai dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan lagi satu bahasa lain.

Di samping menerapkan nilai-nilai kenegaraan di kalangan para pelajar melalui penggunaan


bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, sekolah juga perlu mereka kurikulum yang
berfokus kepada kenegaraan. Kanak-kanak diajar sejarah dengan penekanan kepada
kemenangan di medan peperangan, sumbangan kebudayaan serta kegemilangan empayar
lampau yang menjadi asas kepada kejayaan masa kini. Di samping itu, sekolah-sekolah juga
perlu menerapkan nilai-nilai kesetiaan kepada kerjaan dan negara secara keseluruhannya, dan
bukannya satu etnik, agama atau kelas sosial sahaja. Faktor-faktor penjanaan tenaga kerja dan
kenegaraan menjadi teras kepada pembangunan negara-negara ini. Kedua-dua faktor
dianggap sebagai criteria yang perlu dipenuhi demi mendapat pekerjaan dalam ekonomi baru
ini.

Aspek terakhir yang ditekankan oleh negara-negara ini merupakan kebajikan sosial.
Kebajikan sosial merangkumi kebajikan awam, kebajikan sub-kumpulan serta kbajikan
peribadi. Untuk memupuk kebajikan awam, sekolah-sekolah telah memperkenalkan amalan
kesihatan dan keselamatan untuk memastikan bahawa kanak-kanak cergas dan bebas dari
penyakit. Di samping itu, sekolah-sekolah turut mengutamakan pembelajaran sastera negara
yang menekankan aspek tradisi, budaya dan sejarah serta kesenian. Setiap negara ASEAN
turut menggalakkan kanak-kanak supaya mengikuti pengajian berteraskan agama berdasarkan
agama mereka sendiri. Sekolah-sekolah juga mengangkat kebajikan individu dengan
membenarkan lebih banyak peluang untuk para pelajarnya memilih bidang yang diminati.
Bimbingan pendidikan dan panduan vokasional diberi bagi membantu mereka dalam
merancang masa depan mereka. Di samping itu, mereka turut didedahkan kepada berbagai
pilihan dari segi kurikulum. Kebajikan pelajar OKU pula dijaga dengan memperkenalkan
sistem persekolahan khas yang disesuaikan kepada keperluan mereka.

Rancangan pembangunan kebangsaan merangkumi kesemua aspek yang telah dibincangkan


di atas dan perlu diterapkan dalam sistem persekolahan setiap negara ASEAN. Oleh itu, perlu
wujud persamaan antara kepentingan rakyat dan negara dari segi tenaga kerja dan kesepaduan
politik. Namun demikian, kelihatan seperti tiada satu pun negara di ASEAN yang dapat
mencapai matlamat-matlamat yang telah digariskan dalam rancangan pembangunan
negaranya. Dengan itu, kita berharap bahawa sekolah-sekolah akan memainkan peranan
mereka dalam memastikan bahawa objektif-objektif kebangsaan dapat dicapai.

Anda mungkin juga menyukai