Anda di halaman 1dari 27

BAB 2

PERKEMBANGAN SEJARAH PENGURUSAN

OBJEKTIF BAB

Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Menjelaskan konsep pendekatan klasikal.
2. Menghuraikan pemikiran pengurusan saintifik dan teori
organisasi klasikal.
3. Membincangkan idea Henri Fayol mengenai fungsi dan prinsip
pengurusan.
4. Menjelaskan keterangan mengenai pemikiran sains tingkah laku
dan pergerakan hubungan manusia yang muncul dalam
pendekatan tingkah laku.
5. Mengenal pasti sumbangan perkembangan pemikiran
pengurusan terhadap pemikiran sains pengurusan, pengurusan
kontingensi, dan sistem pengurusan.

2.1 PENGENALAN

Dalam Bab 1 anda telah mempelajari tentang definisi dan konsep


pengurusan, aspek berkaitan dengan pengurusan dan organisasi, dan
hubungan antara pengurusan dengan persekitaran. Kita juga telah
membincangkan aspek-aspek berkaitan dengan kepentingan pengurusan,
jenis pengurusan, kemahiran pengurusan, peranan pengurusan dan
proses pengurusan. Semua aspek ini telah memperkenalkan kepada kita
fungsi asas pengurusan.

Dalam Bab 2 ini, kita akan membincangkan beberapa pendekatan yang


dibentuk dan berkembang sepanjang perkembangan sejarah pengurusan.
Kefahaman mengenai pendekatan yang mengandungi konsep dan teori
pengurusan adalah penting kepada pengurus dan bakal pengurus yang
terlibat dalam menganalisis dan bertindak terhadap situasi pengurusan
serta berminat menyelesaikan masalah organisasi. Terdapat
pertelingkahan berhubung dengan jumlah pendekatan pengurusan yang
telah wujud bertahun-tahun lamanya. Bab 2 ini akan memperjelaskan
kemunculan pendekatan sepanjang perkembangan sejarah pengurusan
dengan ringkas dan mudah difahami.

39
2.2 PENGURUSAN: SATU BIDANG KAJIAN

Pengetahuan mengenai sejarah pengurusan boleh membantu kita


membina pandangan mengenai pembentukan teori, konsep, dan amalan
pengurusan yang menjadi dasar kepada kupasan, idea serta perumusan
teori dan pemikiran pengurusan pada hari ini. Pengurusan sebagai satu
bidang kajian mulai muncul bersama-sama teori pengurusan di sekitar
awal abad ke-20. Pemahaman mengenai sejarah perkembangan
pengurusan akan membantu kita menolak penemuan idea yang telah
dikemukakan sebelumnya. Ia juga membantu kita melihat kepada
sumbangan pandangan, pengajaran, dan teknik yang membimbing
pengurus dalam usaha meningkatkan kualiti dan daya saing.
Bagaimanapun, kita dapat melihat bahawa tidak terdapat satu pendekatan
atau teori tunggal yang boleh diaplikasikan kepada semua situasi
pengurusan. Setiap pendekatan atau teori mempunyai cara tersendiri dan
berbeza dalam meneliti organisasi, aktiviti dan bagaimana manusia
berfungsi dalam organisasi. Anda juga perlu ketahui bahawa setiap
pendekatan atau teori mempunyai nilai tersendiri.

2.3 PENDEKATAN KLASIKAL

Pendekatan klasikal bermula sejak pertengahan kurun ke-19 berikutan


dengan perkembangan revolusi industri dan penciptaan mesin berkuasa
wap. Pertumbuhan pesat perindustrian pada abad ke-20 telah
menyebabkan manusia mula berhadapan dengan pelbagai masalah
pengurusan. Masalah utama yang dihadapi oleh pengurus adalah
berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti
kumpulan kerja. Dapat anda lihat bahawa usaha yang diambil bagi
menangani dan menyelesaikan isu ini merupakan asas kepada
pembentukan kajian pengurusan moden yang dikenali sebagai
pendekatan klasikal. Oleh itu, kita boleh memahami pendekatan klasikal
sebagai pendekatan yang memberi perhatian dan penekanan kepada
kecekapan organisasi dengan tujuan untuk meningkatkan kejayaan
organisasi. Pendekatan klasikal memperlihatkan kepada kita bahawa
pengurus secara berterusan berusaha untuk meningkatkan kecekapan
organisasi sebagai cara bagi meningkatkan pengeluaran. Pendekatan ini
memberi penekanan terhadap pencarian cara dan kaedah yang
bersesuaian untuk mengurus kerja dan organisasi secara lebih berkesan.
Pendekatan klasikal terbahagi kepada dua perspektif yang diterima
umum, iaitu pemikiran pengurusan saintifik dan teori organisasi klasikal.

40
SOALAN DALAM TEKS 2.1

1. Nyatakan perbezaan utama antara pemikiran


pengurusan saintifik dengan teori organisasi
klasikal yang terdapat dalam pendekatan klasikal.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.3.1 Pendekatan Pengurusan Saintifik

Certo (1997) menggunakan terma analisis pengurusan peringkat rendah


untuk pendekatan ini. Anda boleh lihat bahawa pemikiran pengurusan
saintifik ini memberi perhatian terhadap satu cara terbaik bagi
melaksanakan tanggungjawab pengurusan. Pengurusan saintifik
merupakan pendekatan yang menekankan kajian saintifik atau
penggunaan sains bagi menentukan perubahan dalam amalan pengurusan
atau kaedah kerja. Ini adalah sebagai usaha memperbaiki kecekapan dan
produktiviti pekerja. Pendekatan ini menyoal bagaimana suatu situasi
tugas boleh distrukturkan untuk memperoleh tahap pengeluaran yang
tinggi oleh pekerja organisasi.

Pengurusan saintifik wujud bagi menangani keperluan perniagaan yang


semakin berkembang maju pada abad ke-20. Pengeluaran produk dan
pertumbuhan pasaran baru telah berlaku dengan pesat. Ini menyebabkan
timbul masalah kekurangan dalam penawaran tenaga buruh. Bagi
menyelesaikan masalah ini, pengurusan organisasi telah menggantikan
pengeluaran yang berorientasikan buruh kepada modal dan
menggunakan buruh dengan lebih cekap. Pengurusan saintifik lebih
menumpukan perhatian kepada penyelesaian masalah dalam bentuk
kedua.

Kita boleh melihat bahawa terdapat beberapa penyumbang utama dalam


pemikiran pengurusan saintifik. Antara yang terkenal termasuklah
Frederick W. Taylor, Frank dan Lilian Gilbreth, dan Henry L. Gantt.
Kita dapati bahawa kajian mereka lebih bertumpu kepada kerja
kakitangan peringkat rendah dalam organisasi.

(a) Frederick W. Taylor (1856-1915)

Frederick W. Taylor yang dikenali sebagai Bapa Pengurusan Saintifik


telah memberi sumbangan penting kepada bidang pengurusan saintifik.
41
Taylor adalah seorang jurutera yang telah memulakan kerjayanya sebagai
seorang pelatih di sebuah kilang besi waja. Beliau mula bekerja sebagai
seorang buruh di Midvale Steel Works dan kerjayanya meningkatkan
sehingga menjadi ketua jurutera.

Taylor telah memberi perhatian terhadap aplikasi kaedah saintifik kepada


penyelesaian masalah yang wujud di kilang, penggunaan tenaga manusia
dan masa yang wajar dalam melaksanakan sesuatu tugas. Matlamat utama
Taylor ialah untuk meningkatkan kecekapan pekerja melalui kerja yang
direka bentuk secara saintifik. Bagi mencapai matlamat ini, beliau telah
menggunakan pengukuran saintifik ke atas aktiviti kakitangan.

Taylor telah menggunakan kaedah sains untuk menjawab persoalan


mengenai kecekapan, kerjasama, dan motivasi. Beliau percaya bahawa
pengurusan yang tidak berkesan akan menjadikan kerja tidak cekap dan
tidak berkualiti. Beliau juga percaya bahawa perlu wujud saling
pergantungan yang sekata antara pengurusan dengan kakitangan dalam
melaksanakan kerja harian mereka. Oleh itu, beliau mencadangkan
pembentukan sains pengurusan, pemilihan, dan pembentukan sumber
tenaga manusia yang saintifik dan kerjasama peribadi antara pihak
pengurusan dengan kakitangan. Taylor percaya bahawa objektif utama
pengurusan ialah untuk menjamin kemakmuran yang maksimum di
kalangan majikan dan kakitangan.

Taylor turut memberi penekanan kepada pengkhususan tenaga buruh


yang maksimum. Beliau mengandaikan bahawa peningkatan kecekapan
adalah hasil daripada pengkhususan. Bagi beliau, manusia perlu berusaha
untuk menjadi mahir dalam sesuatu bidang khusus. Taylor bersandar
kepada premis asas, iaitu terdapat satu cara terbaik dalam melakukan
sesuatu kerja bagi mendapatkan kecekapan dan keberkesanan. Mengikut
Taylor, cara terbaik tersebut perlu diperolehi dan digunakan oleh
pengurus dan kakitangan dalam menjalankan tugas.

Taylor turut memberi perhatian terhadap aspek pengambilan pekerja dan


penyediaan latihan yang sesuai kepada mereka. Beliau juga menyarankan
supaya pengurusan menggunakan kad arahan bagi membantu pekerja
menjalankan kerja dan membenarkan masa rehat bagi menghapuskan
keletihan bekerja.

Idea Taylor telah berkembang melalui proses kerja kejuruteraan di kilang


besi waja di Betheleham, Amerika Syarikat. Taylor telah membuat
pengubahsuaian ke atas prosedur kerja kakitangan yang
bertanggungjawab terhadap aktiviti pengendalian besi dan besi waja.
Beliau membuat andaian bahawa kerja kakitangan boleh dikurangkan
melalui penggunaan kaedah sains. Pendekatan Taylor telah meningkatkan

42
kecekapan pekerja. Beliau percaya pekerja yang cekap akan membantu
meningkatkan pengeluaran dan produktiviti. Bagi Taylor pendapatan
kakitangan boleh ditingkatkan dengan cara menawarkan sistem ganjaran
yang menarik. Oleh itu, beliau menyarankan sistem gaji yang berdasarkan
kepada output.

Bagaimanapun, pendekatan pengurusan saintifik yang dipelopori oleh


Taylor masih terdapat kelemahannya. Taylor gagal untuk memahami
sepenuhmya aspek kerja dari sudut psikologi dan sosiologi. Malah
andaian pengurusan saintifik bahawa pekerjaan dimotivasikan oleh wang
tidak semestinya benar pada hari ini.

(b) Frank Gilbreth dan Lilian Gilbreth (1868-1924)

Frank dan Lilian Gilbreth adalah pasangan suami isteri yang turut
menjadi penyumbang utama kepada pemikiran pengurusan saintifik.
Mereka memberi sumbangan terhadap idea mencari dan menggunakan
satu cara terbaik untuk melakukan suatu kerja. Alat utama yang
digunakan dalam penyelidikan pasangan Gilbreth ialah kajian pergerakan.
Kajian pergerakan menekankan kepada aspek pengurangan setiap kerja
kepada pergerakan paling asas. Kajian pergerakan mendapati cara terbaik
untuk menyempurnakan suatu tugas ialah melalui penganalisisan
pergerakan yang perlu untuk melaksanakan kerja tersebut. Analisis
pergerakan digunakan untuk mewujudkan piawaian prestasi kerja. Setiap
pergerakan yang digunakan untuk melakukan suatu kerja akan dikaji
dalam bentuk jumlah masa yang diambil oleh sesuatu pergerakan dan
sejauh mana ia perlu untuk melaksanakan kerja tersebut. Kaedah ini
mengenal pasti pergerakan yang tidak perlu atau tidak cekap dan dibuang.

Frank Gilbreth telah menjalankan penyelidikan mengenai kajian


pergerakan ini berdasarkan kepada pengalaman beliau sebagai penurap
bata. Beliau mendapati bahawa penurap bata boleh meningkatkan output
mereka melalui tumpuan kepada melaksanakan pergerakan tertentu dan
meninggalkan pergerakan yang kurang berfaedah. Bagi setiap operasi
penurapan bata, Gilbreth menunjukkan sama ada ia perlu ditinggalkan
untuk tujuan kecekapan dan mengapa perlu begitu? Kajian pergerakan
penurapan bata telah menghasilkan pengurangan dalam beberapa
pergerakan yang tidak perlu untuk menurap bata dan pengeluaran.
Hasilnya, penurapan bata telah meningkat tiga kali ganda.

Di samping membantu Frank Gilbreth dalam kajian pergerakan, Lilian


juga turut berminat terhadap aspek kerja manusia. Beliau merupakan
pelopor dalam bidang psikologi industri dan telah membuat sumbangan
besar dalam pengurusan sumber manusia.
(c) Henry L. Gantt (1861-1919)

43
Henry L. Gantt turut menjadi penyumbang utama kepada pemikiran
pengurusan saintifik. Gantt turut berminat dalam aspek meningkatkan
kecekapan pekerja. Gantt beranggapan bahawa tugas yang tidak
memuaskan atau tidak berkesan yang dihasilkan oleh seseorang individu
dan kadar insentif upah bagi setiap produk adalah berasaskan kepada
keadaan tugas dan kadar upah yang dilakukan oleh pekerja terdahulu
atau berdasarkan kepada pandangan seseorang mengenai apa yang boleh
dilakukan oleh pekerja. Bagi Gantt, pandangan ini perlu diubah kepada
penelitian terhadap pengetahuan saintifik mengenai apa yang boleh
dilakukan oleh seseorang individu. Gantt menganggap aktiviti ini sebagai
peranan pengurusan saintifik. Falsafah pengurusan saintifik Gantt
terpapar dalam kenyataannya bahawa perbezaan paling asas di antara
sistem terbaik pada hari ini dengan yang lepas ialah cara tugas dijadualkan
dan kaedah prestasi pekerja diberi ganjaran. Berasaskan kepada rasional
ini, kita dapati Gantt berusaha memperbaiki organisasi melalui inovasi
penjadualan tugas dan ganjaran terhadap inovasi.

1. Inovasi Penjadualan Tugas

Gantt merupakan individu pertama yang memperkenalkan alat


penjadualan grafik yang dikenali sebagai `carta Gantt. Carta Gantt
banyak digunakan dalam aktiviti perancangan, penjadualan, pengawalan,
dan pengeluaran. Berdasarkan carta Gantt, pengurus dapat memahami
sesuatu tugas yang perlu dijadualkan untuk suatu tempoh tertentu dengan
mudah dan ringkas, jumlah kerja yang telah diselesaikan, dan individu
atau kumpulan yang melakukan kerja tersebut. Carta Gantt masih lagi
digunakan oleh pengurus moden dalam perlaksanaan tugas mereka.

2. Ganjaran Terhadap Inovasi

Gantt turut memperkenalkan sistem bayaran upah dan pemberian bonus


yang unik berasaskan kepada tugas yang dilaksanakan. Bagi Gantt, upah
harus dibayar untuk tugas yang diselesaikan di bawah paras piawaian
prestasi. Bonus pula diberikan terhadap tugas yang mencapai piawaian
prestasi. Gantt menyarankan tambahan ganjaran diberikan apabila tugas
yang melepasi piawaian prestasi. Satu keunikan yang dapat kita lihat
dalam sistem ganjaran Gantt ialah saranan supaya bonus diberikan
kepada penyelia apabila tugas pekerja mencapai piawaian prestasi.

2.3.2 Teori Organisasi Klasikal

Certo (1997) menggunakan terma analisis pengurusan komprehensif bagi


menggambarkan teori organisasi klasikal. Idea teori ini memfokus kepada
masalah yang dihadapi oleh pengurusan atasan sesebuah organisasi,

44
khususnya organisasi yang besar. Jika dalam pemikiran pengurusan
saintifik anda melihat bahawa teori memfokus kepada pengurusan kerja,
pendekatan teori organisasi klasikal pula memfokus kepada pengurusan
organisasi. Ini bermakna bahawa teori organisasi klasikal melibatkan
kajian fungsi pengurusan sebagai suatu keseluruhan dan menumpukan
kepada prestasi pengurusan. Pendekatan ini mempunyai dua tujuan
utama, iaitu membentuk prinsip asas yang boleh menjadi panduan
kepada pembentukan reka bentuk dan pembangunan organisasi yang
besar, serta mengenal pasti fungsi asas organisasi.

Terdapat ramai sarjana pengurusan dari bidang sains sosial dan psikologi
menjadi penyumbang utama terhadap pendekatan teori organisasi
klasikal. Antara penyumbang terkenal termasuklah Chester I. Bernard,
Henri Fayol, Alvin Brown, Henry Dennison, Luther Gulick dan Lyndall
Urwick, J. D. Mooney dan A. L. Reiley, Oliver Sheldon dan Max Weber.
Bagaimanapun, dalam bab ini kita hanya akan membincangkan secara
ringkas sumbangan yang dibuat oleh Henri Fayol, Chester I. Bernard,
dan Max Weber.

(a) Henri Fayol (1841-1925)

Henri Fayol merupakan seorang jurutera Perancis yang telah


meningkatkan kerjayanya melalui latihan. Fayol dianggap sebagai pelopor
teori pentadbiran dan penyumbang pendekatan teori organisasi klasikal
paling terkemuka. Selain daripada menghasilkan berbagai artikel dalam
bidang pentadbiran melalui bukunya General and Industrial Management,
beliau telah memaparkan falsafah pengurusan yang masih menjadi
rujukan kepada ramai pengurus moden. Fayol merupakan individu
pertama yang membincangkan pengurusan sebagai suatu proses dan
mempunyai fungsi khusus yang perlu dilakukan oleh semua pengurus.
Melalui bukunya General and Industrial Management, Fayol telah
membahagikan aktiviti organisasi kepada enam kategori, iaitu teknikal
(pengeluaran dan perkilangan), perdagangan (jualan dan belian),
kewangan, keselamatan, perakaunan, dan pengurusan. Menurut Fayol,
kesemua kategori ini penting dan wujud dalam organisasi tetapi
berperanan pada tahap yang berbeza.

1. Fungsi Pengurusan

Fayol telah memperkenalkan lima fungsi asas pengurusan iaitu


perancangan, pengorganisasian, pengarahan, penyelarasan, dan
pengawalan. Elemen pengurusan ini masih dianggap bernilai dalam
membuat kajian, analisis, dan kesan proses pengurusan.

45
(i) PerancanganFayol percaya bahawa pengurus perlu
membuat jangkaan terhadap peristiwa yang boleh
memberi kesan kepada organisasi, serta merancang pelan
operasi untuk menghasilkan keputusan pada masa
hadapan.
(ii) PengorganisasianFayol berpandangan bahawa
pengurus harus menentukan gabungan yang sesuai
terhadap sumber organisasi termasuk mesin, bahan dan
tenaga manusia untuk menyiapkan sesuatu tugas.
(iii) PengarahanMenurut Fayol, pengarahan melibatkan
proses memberi arahan kepada pekerja. Fayol percaya
bahawa pengurus perlu bertindak sebagai model dan
memberi arahan dalam bentuk komunikasi dua hala.
(iv) PenyelarasanMenurut Fayol pengurus akan menyelaras
tindakan mereka melalui aktiviti yang dilaksanakan. Beliau
percaya pengurus harus sentiasa menilai struktur
organisasi dan pekerja, dan perlu mengubah struktur jika
wujud keadaan ketidaksempurnaan.
(v) PengawalanFayol percaya pengawalan adalah penting
bagi memastikan aktiviti sebenar konsisten dengan apa
yang dirancang.

SOALAN DALAM TEKS 2.2

1. Senaraikan lima fungsi asas pengurusan yang telah


diperkenalkan oleh Henri Fayol.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2. Prinsip Pengurusan

Fayol telah mengemukakan 14 prinsip umum pengurusan untuk


dijadikan panduan kepada pengurus dalam menyelesaikan masalah
pengurusan. Namun begitu, beliau tidak mencadangkan semua prinsip
pengurusan ini diikuti sepenuhnya. Sebaliknya, beliau mencadangkan
supaya pengalaman dan kesedaran pengurus perlu dijadikan panduan
dalam mengaplikasikan prinsip ini. Prinsip pengurusan yang dicadangkan
Fayol masih dianggap berguna dalam amalan pengurusan kontemporari.
Kita boleh melihat sebahagian daripada prinsip pengurusan Fayol seperti
yang dibincangkan di bawah.

46
(i) Pembahagian kerjaPembahagian kerja merupakan
pengkhususan yang dianggap oleh pakar ekonomi sebagai
perlu untuk meningkatkan tahap kecekapan dalam
penggunaan sumber buruh. Fayol menyerapkan prinsip
ini kepada semua jenis kerja, pengurusan dan teknikal.
Menurut Fayol, kerja perlu dibahagikan di kalangan
individu dan kumpulan bagi memastikan usaha dan
perhatian ditumpukan kepada tugas yang khusus, dan
setiap orang subordinat menerima arahan daripada hanya
seorang pegawai atasan. Ini bermakna, Fayol menegaskan
bahawa pengkhususan kerja merupakan suatu cara terbaik
untuk menggunakan sumber manusia dalam organisasi.
(ii) Autoriti dan tanggungjawabFayol berpandangan
bahawa autoriti dan tanggungjawab adalah saling
berkaitan antara satu sama lain. Autoriti yang diberikan
kepada pengurus berdasarkan jawatan yang disandang
akan menentukan tanggungjawab harus dilaksanakannya.
Autoriti ditakrifkan oleh Fayol sebagai hak untuk
memberi arahan dan kuasa untuk mendapatkan
ketaatan. Autoriti di lihat sebagai gabungan faktor-faktor
rasmi, yang dihasilkan daripada kedudukan pengurus dan
ciri-ciri peribadi seperti pengalaman, nilai moral,
perkhidmatan yang telah diberikan dan sebagainya.
(iii) DisiplinFayol beranggapan bahawa organisasi yang
berjaya memerlukan usaha pekerja yang tertakluk kepada
persetujuan mencapai ketaatan, penggunaan tenaga dan
tanda-tanda hormat yang jelas. Denda dan hukuman
perlu dijalankan secara bijaksana sebagai usaha untuk
memotivasikan pekerja.
(iv) Keselarasan arahanFayol berpandangan bahawa
pekerja seharusnya menerima perintah atau arahan
daripada seorang ketua atau pengurus sahaja.
(v) Keselarasan arah tujuMenurut Fayol, organisasi perlu
bergerak kepada suatu objektif tertentu dalam arah tuju
yang lazim. Prinsip ini memerlukan setiap kumpulan
pekerja yang menjalankan aktiviti yang sama dan
mempunyai objektif yang sama harus diletakkan di bawah
seorang pengurus. Mereka seharusnya beroperasi di
bawah rancangan yang sama.

Prinsip lain termasuk pensubordinan individu dengan kepentingan


umum (kepentingan pekerja harus seimbang dengan kepentingan
masyarakat), imbuhan, pemusatan, rantaian skala, tertib, ekuiti, kestabilan
masa berjawatan, inisiatif, dan espirit de corps.
(b) Chester I. Bernard (1886-1961)

47
Chester I. Bernard menekankan kepimpinan sebagai tugas paling utama
dan penting bagi semua pengurus. Bernard mempelopori penggunaan
prinsip pengurusan asas terhadap mana-mana kedudukan jawatan dalam
pentadbiran. Beliau juga berpandangan bahawa selepas pengurus
menetapkan matlamat dan mengumpulkan sumber, pengurus perlu
menjalankan tugas memimpin sebagai menandakan penerimaan terhadap
kuasa atau autoriti mereka.

(c) Max Weber (1864-1920)

Max Weber merupakan antara penyumbang utama yang mempengaruhi


teori organisasi klasikal. Weber telah mengkaji mengenai teori struktur
autoriti di dalam organisasi. Weber menggunakan terma birokrasi untuk
melabelkan sistem pengurusan formal yang dicirikan oleh peraturan dan
undang-undang, garis hierarki organisasi yang jelas dan hubungan bukan
peribadi di kalangan ahli organisasi. Weber telah mewujudkan jurang di
antara kuasa dan autoriti. Menurut Weber kuasa ialah keupayaan untuk
memaksa orang lain mengikut arahan, dan autoriti ialah keupayaan untuk
memberi arahan yang akan diikuti secara sukarela oleh penerimanya.
Dalam sistem autoriti, kakitangan melihat pengeluaran arahan oleh
mereka yang mempunyai autoriti sebagai suatu yang sah dan normal.
Weber menggunakan perkataan Greek charisma untuk
memperjelaskan kualiti personaliti individu yang membezakannya
daripada individu lain. Perlaksanaan autoriti adalah melalui pengalaman
lepas dan prosedur penggunaan autoriti. Bagi Weber, organisasi yang
birokratik merupakan sebuah institusi yang dominan dalam masyarakat
kerana menganggapnya sebagai yang paling cekap. Weber percaya
bahawa ketepatan, kecepatan, kesinambungan, kejelasan, bersatu-padu,
dan kakitangan yang tegas adalah hasil daripada penyusunan birokratik
yang baik.

SOALAN DALAM TEKS 2.3

1. Bincangkan secara ringkas mengenai teori struktur


autoriti Max Weber.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

48
2.3.3 Sumbangan dan Had Pendekatan Klasikal

Daripada perbincangan di atas, anda boleh melihat bahawa sumbangan


terpenting pendekatan klasikal ialah mengenal pasti pengurusan sebagai
elemen penting dalam masyarakat yang terancang, dan menjadi begitu
penting dalam dunia yang semakin global dan penuh persaingan. Kita
dapati pengurusan juga dijalankan mengikut prinsip yang boleh dipelajari
oleh pengurus. Pendekatan klasikal juga telah mengenal pasti fungsi
pengurusan, iaitu perancangan, pengorganisasian, pengarahan,
penyelarasan dan pengawalan yang menjadi asas kepada pengurus baru.
Bagaimanapun, fungsi pengurusan yang dijalankan bergantung kepada
keupayaan dan kemahiran seseorang pengurus. Kita dapati bahawa
sumbangan pendekatan klasikal sebenarnya bukan hanya tertumpu
kepada mengenal pasti bidang pengurusan, fungsi dan proses
pengurusan, tetapi ia juga merangkumi teknik pengurusan yang
digunakan pada hari ini seperti analisis pergerakan dan masa, kemudahan
kerja, sistem upah, jadual pengeluaran, pengujian personel, dan
belanjawan. Walau bagaimanapun, terdapat kritikan terhadap pendekatan
klasikal, di mana pendekatan ini dikatakan terlalu ringkas untuk
digunakan di dalam organisasi yang kompleks dan sentiasa berubah.
Pendekatan ini dikatakan hanya sesuai digunakan pada masa lalu yang
kebanyakan persekitaran organisasi adalah stabil dan boleh diramalkan.

2.4 PENDEKATAN TINGKAH LAKU

Seperti yang anda pelajari, pendekatan klasikal telah memberi


penumpuan kepada pengurusan kerja dan pengurusan organisasi melalui
pemikiran pengurusan saintifik dan teori organisasi klasikal. Namun
begitu, kebanyakan pengurus mendapati bahawa idea dalam pendekatan
klasikal tidak sepenuhnya mewujudkan kecekapan, keharmonian, dan
kesejahteraan di tempat kerja. Kita dapati masih terdapat pelbagai
masalah berkaitan dengan pekerja yang tidak bertingkah laku seperti yang
dikehendaki. Berasaskan kepada keadaan ini, pendekatan tingkah laku
diketengahkan untuk memberi penekanan terhadap peningkatan kejayaan
organisasi melalui penumpuan ke atas sumber manusia dalam organisasi.
Kita dapati pengikut pendekatan ini memfokus kepada usaha untuk
meningkatkan pengeluaran organisasi melalui kefahaman tentang
manusia. Mereka berpandangan bahawa sekiranya pengurus faham
tentang manusia, iaitu pekerja dan berusaha menyesuaikan organisasi
dengan manusia, kejayaan organisasi akan diperolehi. Pendekatan tingkah
laku dibahagikan kepada dua bahagian utama, iaitu pendekatan sains
tingkah laku dan pendekatan pergerakan hubungan manusia.

49
2.4.1 Pendekatan Sains Tingkah Laku

Pendekatan sains tingkah laku adalah berasaskan kepada penemuan yang


diperolehi daripada kajian Hawthorne. Kita dapati pengikut pendekatan
sains tingkah laku percaya bahawa pekerja adalah lebih kompleks
daripada manusia ekonomi seperti yang digambarkan dalam
pendekatan klasikal atau manusia sosial seperti yang terdapat dalam
pemikiran pergerakan hubungan manusia. Dapat anda lihat bahawa
pendekatan sains tingkah laku lebih memberi tumpuan kepada sifat
sesuatu kerja dan tahap kemampuan kerja memenuhi keperluan manusia
melalui penggunaan keupayaan dan kemahiran mereka. Pengikut
pendekatan sains tingkah laku percaya bahawa individu didorong dan
dimotivasikan untuk bekerja oleh pelbagai sebab selain daripada untuk
memperoleh wang dan menjalin hubungan sosial sesama manusia.

(a) Kajian Hawthorne

Pendekatan sains tingkah laku bermula dengan beberapa siri penyelidikan


yang dijalankan di antara tahun 1924 hingga 1932 yang bertujuan untuk
melihat aspek tingkah laku dan sikap manusia di Hawthorne (Chicago)
Works of The Western Electric Company. Kajian ini dikendalikan oleh
beberapa orang penyelidik termasuk Elton Mayo, F. J. Roethlisberger
dan rakan-rakan dari Universiti Havard. Kajian Hawthorne dibahagikan
kepada dua fasa, iaitu The Relay Assembly Test Room Experiments dan The
Bank Wiring Observation Room Experiments.

1. The Relay Assembly Test Room Experiment

Kajian ini bertujuan untuk meneliti hubungan antara keadaan fizikal


dengan daya pengeluaran. Kajian ini merupakan satu usaha untuk
menentukan hubungan antara intensiti cahaya lampu dengan kecekapan
dua kumpulan kerja yang diukur melalui output yang dikeluarkan.
Intensiti cahaya lampu pada satu kumpulan dibeza-bezakan, manakala
satu kumpulan lain bekerja di bawah intensiti cahaya lampu yang sama.
Kita dapati bahawa hasil kajian menunjukkan apabila intensiti cahaya
lampu meningkat, produktiviti kumpulan kerja meningkat, dan apabila
intensiti cahaya lampu dikurangkan, produktiviti juga turut meningkat.
Keadaan ini menggambarkan bahawa pekerja lebih bertindak balas
terhadap kewujudan cahaya lampu berbanding dengan peningkatan atau
penurunan dalam kadar intensiti cahaya lampu. Perlu anda ketahui
bahawa fenomena ini dikenali sebagai kesan Hawthorne.
Keseluruhannya, hasil kajian membuktikan kepada kita bahawa tidak
terdapat hubungan yang konsisten di antara produktiviti dengan keadaan
fizikal. Penemuan kajian merumuskan bahawa faktor manusia di dalam
organisasi boleh secara signifikan mempengaruhi daya pengeluaran.

50
2. The Bank Wiring Observation Room Experiments

Kumpulan penyelidik Harvard tersebut turut menjalankan kajian yang


bertujuan untuk meneliti dan menganalisis hubungan sosial dalam
kumpulan kerja. Kajian ini melibatkan enam orang wanita yang dipilih
untuk bekerja di bahagian pemasangan telefon di sebuah bilik. Kumpulan
kerja ini diperhatikan bagi suatu tempoh jangka masa yang lama. Di
samping itu terdapat dua belas perubahan dalam persekitaran kerja yang
telah mereka dilakukan. Antaranya termasuklah perubahan tempoh masa
rehat, cara pembayaran upah dan ganjaran dan sebagainya.

Kajian ini adalah berdasarkan kepada andaian sistem insentif ke atas kerja
kumpulan. Sistem ini menyatakan bahawa lebih gigih kumpulan bekerja,
lebih output yang akan dihasilkan. Ini akan memberi upah dan ganjaran
yang lebih kepada pekerja. Penyelidik percaya bahawa hasil kajian
menunjukkan ahli kumpulan kerja akan memberi tekanan sesama mereka
bagi bekerja dengan gigih dan mendapat upah yang lebih. Dalam kajian
ini, penyelidik mendapati bahawa output yang diperolehi adalah sentiasa
lebih tinggi daripada sebelumnya dalam setiap kajian. Kesimpulan
daripada kajian tersebut memperlihatkan kepada kita bahawa perubahan
dan peningkatan dalam produktiviti tidak begitu dipengaruhi oleh
perubahan yang diwujudkan dalam persekitaran kerja, tetapi lebih
dipengaruhi oleh hubungan dan sikap individu dalam kumpulan kerja
tersebut. Kita dapati bahawa hasil kajian menunjukkan kumpulan kerja
memberi tekanan kepada pekerja yang cepat bekerja mengurangkan
kadar kelajuan mereka. Manakala ahli kumpulan didapati lebih berminat
untuk mengekalkan perpaduan kumpulan kerja daripada memperoleh
lebih banyak ganjaran kewangan. Ini memperlihatkan bahawa keakraban
dan persahabatan di kalangan ahli kumpulan merupakan faktor yang
signifikan terhadap peningkatan dalam produktiviti.

Kajian Hawthorne menunjukkan kepada kita bahawa secara


keseluruhannya peningkatan dalam daya pengeluaran adalah disebabkan
oleh faktor sosial seperti semangat bekerja, dan perasaan kepunyaan atau
saling hubungan yang memuaskan antara anggota kumpulan kerja melalui
pengurusan yang berkesan. Sebagai kesimpulan, kajian Hawthorne
memperlihatkan bahawa pekerja lebih dimotivasikan oleh hubungan
antara mereka berbanding dengan faktor ekonomi.

2.4.2 Pendekatan Pergerakan Hubungan Manusia

Kajian Hawthorne turut mencetuskan pendekatan pergerakan hubungan


manusia, iaitu suatu pendekatan yang berorientasikan manusia terhadap
pengurusan. Dalam kajian ini interaksi antara manusia dalam organisasi
dikaji bagi melihat kesan ke atas kejayaan organisasi. Pendekatan

51
pergerakan hubungan manusia memfokus kepada individu pekerja yang
bekerja dalam kumpulan kerja tertentu. Objektif utama pendekatan ini
adalah untuk memperkukuhkan kejayaan organisasi melalui
pembentukan hubungan yang bersesuaian dengan manusia. Pengikut
pendekatan ini berpendapat bahawa bagi membentuk hubungan manusia
yang baik, pengurus perlu mengetahui mengapa pekerjanya menonjolkan
sesuatu tingkah laku dan apakah faktor psikologi dan sosial yang
mempengaruhi mereka bertingkah laku. Mereka percaya bahawa pihak
pengurusan perlu mengenal pasti keperluan pekerja bagi mendapat
pengiktirafan dan diterima ramai. Kita dapati bahawa pendekatan ini
menyarankan agar pengurus perlu dilatih dari segi kemahiran
mengendalikan manusia di samping kemahiran teknikal. Kemahiran
hubungan manusia boleh kita maksudkan sebagai kebolehan untuk
bekerja dengan manusia bagi memperkukuhkan kejayaan organisasi.
Pendekatan perhubungan manusia dipelopori oleh beberapa
penyumbang terkenal termasuk Elton Mayo, Hugo Munsterberg, Mary
Parker Follet, Abraham Maslow, dan Douglas Gregory McGregor. Kita
akan membincangkan secara ringkas sumbangan Elton Mayo, Hugo
Munsterberg, dan Mary Parker Follet.

(a) Elton Mayo (1880-1949)

Elton Mayo, ahli psikologi merupakan pengasas kepada pendekatan


pergerakan perhubungan manusia dan sosiologi industri. Dalam
kajiannya di Universiti Harvard, beliau mendapati bahawa kepentingan
kumpulan mempengaruhi tingkah laku individu dalam kerja. Kajian dan
sumbangan Mayo membawa kepada kefahaman tentang faktor manusia
dalam sesuatu situasi kerja. Mayo juga mendapati bahawa kewujudan
kumpulan tidak formal adalah sebagai sumber motivasi pekerja.

(b) Hugo Munsterberg (1836-1916)

Hugo Munsterberg, ahli falsafah dan psikologi Jerman telah diiktiraf


sebagai `bapa psikologi industri. Munsterberg telah menekankan
penggunaan psikologi kepada industri dan pengurusan. Beliau turut
mengaitkan pengurusan saintifik dengan tingkah laku manusia. Seperti
Mayo, Munsterberg juga berminat dalam konsep kepentingan bersama di
antara pengurus dengan pekerja.

(c) Mary Parker Follet (1868-1933)

Mary Parker Follet mengkaji tentang hubungan manusia dari segi


kumpulan dinamik, konflik dalam pengurusan dan proses politik dalam
organisasi.

52
Dari perbincangan di atas didapati bahawa pendekatan pergerakan
hubungan manusia telah memberi beberapa sumbangan penting kepada
kajian dan amalan pengurusan. Pelopor pendekatan ini telah berterusan
menekankan tentang keperluan untuk menggunakan kaedah
keperimanusiaan dalam mengurus manusia.

2.5 PENDEKATAN SAINS PENGURUSAN

Pendekatan sains pengurusan merupakan pendekatan pengurusan yang


memberi penekanan terhadap penggunaan kaedah saintifik dan teknik
kuantitatif bagi meningkatkan kejayaan organisasi. Ciri utama pendekatan
ini ialah ia mencadangkan supaya pengurus memperbaiki organisasi
mereka dengan cara menggunakan pembuatan keputusan, kaedah
saintifik, teknik matematik dan statistik, dan sistem maklumat untuk
menyelesaikan sesuatu masalah dalam operasi dan pengeluaran. Oleh itu,
kita boleh katakan bahawa pendekatan ini lebih memfokus kepada
penyelesaian masalah secara teknikal dan bukan kepada tingkah laku
manusia.

Pendekatan sains pengurusan juga dikenali sebagai penyelidikan operasi


yang mula wujud dan berkembang semasa Perang Dunia Kedua. Sewaktu
perang, England telah menghadapi masalah yang kompleks dalam
pertahanan yang melibatkan penggunaan kapal selam. Bagi
menyelesaikan masalah ini, England telah membentuk satu pasukan
terdiri daripada saintis, ahli matematik dan ahli fizik yang dikenali sebagai
pasukan penyelidikan operasi. Kumpulan ini telah dapat membuktikan
keupayaan dan kebaikan penggunaan kaedah saintifik untuk
menyelesaikan masalah operasi ketenteraan. Apabila perang tamat, kita
dapat melihat banyak firma di Amerika Syarikat mula menggunakan
kaedah yang dipelopori oleh pendekatan sains pengurusan ini. Pakar
pengurusan operasi dan sains pengurusan menggunakan teknik
kuantitatif bagi menyelesaikan masalah pengeluaran.

Herbert Simon, seorang ahli politik dan sains Amerika Syarikat telah
memberikan sumbangan bermakna ke arah pemikiran dan pelaksanaan
pengurusan melalui pendekatan sains pengurusan dengan menggunakan
keputusan dan dasar maklumat. Beliau melihat pengurusan sebagai
persamaan dengan membuat keputusan, dan mengkaji bagaimana
keputusan boleh dibuat dengan cekap. Dalam hal ini, kita dapat melihat
bahawa Simon telah mencadangkan tiga peringkat dalam membuat
keputusan. Pertama, pengurus perlu mencari situasi yang memerlukan
keputusan dibuat. Kedua, pengurus hendaklah membina dan
menganalisis langkah-langkah tindakan yang mungkin direka bentuk.
Akhirnya, pengurus harus membuat pemilihan ke atas tindakan yang
difikirkan bersesuaian. Mengikut Simon, semua tindakan pengurusan

53
adalah melibatkan proses membuat keputusan. Keputusan yang baik
akan memberi kepuasan kepada pembuat keputusan.

Simon turut melihat keputusan sebagai sesuatu yang berlanjutan, bermula


dari keputusan terprogram (berlaku secara rutin) sehinggalah kepada
keputusan tidak terprogram (tidak rutin dan tidak berstruktur).
Disebabkan kebanyakan keputusan adalah bersifat tidak terprogram, kita
dapat melihat bahawa teknik seperti analisis matematik, kajian operasi,
simulasi komputer, dan sebagainya adalah penting digunakan dalam
pembuatan keputusan.

Sejak tahun 1955, penggunaan pendekatan sains pengurusan bagi


menyelesaikan masalah industri telah terbukti berkesan. Kita dapati
terdapat ramai pengurus organisasi di Amerika Syarikat telah
memperhalusi teknik dan alat saintifik bagi menyelesaikan masalah
pengurusan. Dapat anda lihat bahawa sejak tahun 1965, pendekatan sains
pengurusan telah digunakan oleh banyak syarikat dan diaplikasikan
kepada pelbagai masalah pengurusan seperti jadual pengeluaran, lokasi
loji, dan pembungkusan produk. Dalam tahun 1980-an, teknik sains
pengurusan telah digunakan secara meluas dalam organisasi yang sangat
besar dan kompleks. Bagaimanapun, kita dapati organisasi kecil belum
sepenuhnya menyedari faedah penggunaan teknik ini. Cabaran utama
yang dihadapi oleh pengurus dalam tahun 1990-an sehingga kini ialah
mendapatkan kaedah praktikal yang terbaik untuk mengaplikasikan
teknik-teknik sains pengurusan kepada organisasi kecil.

2.5.1 Ciri-Ciri Aplikasi Sains Pengurusan

Kita boleh melihat bahawa terdapat empat ciri utama yang lazim wujud
dalam situasi di mana teknik sains digunakan. Pertama, kajian terhadap
masalah pengurusan adalah terlalu rumit dan kompleks. Pengurus
memerlukan bantuan dalam menganalisis pembolehubah yang agak
terlalu banyak. Oleh itu, mereka boleh menggunakan teknik sains
pengurusan untuk meningkatkan keberkesanan proses membuat
keputusan dalam situasi seperti ini. Kedua, aplikasi sains pengurusan
secara umumnya menggunakan implikasi ekonomi sebagai garis panduan
bagi membuat keputusan. Oleh itu, teknik sains pengurusan
berkemungkinan sesuai untuk digunakan bagi menganalisis faktor seperti
jualan, perbelanjaan dan unit pengeluaran. Ketiga, penggunaan model
matematik bagi menyelidiki situasi keputusan adalah penting dalam
aplikasi sains pengurusan. Akhirnya, komputer dan analisis matematik
boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah pengurusan yang
kompleks.

54
2.6 PENDEKATAN PENGURUSAN KONTINGENSI

Pendekatan pengurusan kontingensi merupakan suatu pendekatan


pengurusan yang menekankan bahawa apa yang dilakukan oleh pengurus
adalah bergantung kepada satu set situasi yang diberikan. Pendekatan ini
melihat objektif organisasi, reka bentuk kerja, sumber tenaga manusia,
persekitaran dan kemahiran pengurusan sebagai elemen yang saling
bergantungan. Elemen ini berupaya memberi kesan kepada organisasi
melalui fungsi perancangan, pengorganisasian, pengaruh dan pengawalan.

Dalam perbincangan kita yang lalu mengenai pemikiran saintifik dan


teori organisasi klasikal, pengurusan disifatkan sebagai mempunyai satu
cara terbaik bagi melaksanakan sesuatu kerja dan membuat sesuatu
keputusan. Walau bagaimanapun, pengikut pendekatan kontingensi
menafikan wujudnya satu cara terbaik untuk melakukan kerja dan
membuat keputusan kerana setiap situasi yang dihadapi adalah berbeza
sifatnya. Pengikut pendekatan kontingensi menyangkal prinsip
pengurusan universal dan umum untuk semua situasi kerana terdapat
pelbagai faktor, sama ada luaran atau dalaman organisasi yang akan
mempengaruhi dan memberi kesan ke atas prestasi organisasi.

Pendekatan pengurusan kontingensi memberi penekanan kepada


hubungan sekiranya dan kemudian bagi menyelesaikan masalah
berkaitan dengan sesuatu situasi yang wujud. Sebagai contoh, seorang
pengurus akan menggunakan pendekatan pengurusan kontingensi
dengan memimpin secara yang berbeza sekiranya satu kumpulan
subordinatnya tidak berpengalaman berbanding dengan satu kumpulan
subordinat yang berpengalaman.

Kita boleh melihat bahawa pendekatan pengurusan kontigensi cuba


untuk menggariskan situasi di mana berbagai kaedah pengurusan
mempunyai peluang terbaik untuk berjaya. Walau bagaimanapun,
penggunaan pendekatan pengurusan kontingensi memungkinkan
beberapa cabaran utama termasuk melihat situasi organisasi sebagai
benar-benar wujud, memilih taktik pengurusan yang paling sesuai untuk
situasi tersebut, dan melaksanakan taktik tersebut secara bersesuaian.
Oleh itu, pengamal pendekatan pengurusan kontingensi berpandangan
bahawa sekiranya pengurus hendak menggunakan konsep, prinsip dan
teknik pengurusan dengan berjaya, mereka harus mempertimbangkan
situasi organisasi yang khusus yang mereka perlu sempurnakan.

55
Pendekatan pengurusan kontingensi melihat kepada
situasi yang wujud bagi menyelesaikan sesuatu masalah
pengurusan. Sekiranya anda seorang guru, adakah anda
akan menggunakan kaedah pengajaran yang sama
kepada pelajar anda yang terdiri daripada satu kelas
yang pandai dan satu kelas yang lemah? Jelaskan
keputusan anda tersebut dengan mengaitkannya
dengan pendekatan pengurusan kontingensi.

SOALAN DALAM TEKS 2.4

1. Nyatakan empat ciri aplikasi sains pengurusan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.7 PENDEKATAN SISTEM PENGURUSAN

Pendekatan sistem pengurusan merupakan pendekatan pengurusan yang


berdasarkan kepada teori sistem umum. Premis utama teori ini ialah
untuk memahami sepenuhnya operasi sesuatu entiti. Entiti ini harus
dilihat sebagai suatu sistem. Ini bermakna, pendekatan sitem pengurusan
adalah berkaitan dengan cara pemikiran mengenai masalah pengurusan
dan organisasi. Kita boleh memahami sistem sebagai satu himpunan
bahagian dalam organisasi yang saling bergantungan antara satu sama
lain. Ia berfungsi sebagai satu keseluruhan untuk mencapai matlamat
tertentu.

Teori sistem umum mengintegrasikan pengetahuan daripada berbagai


bidang khusus supaya sistem sebagai satu keseluruhan boleh difahami
dengan lebih baik. Dari perspektif sistem, anda dapat lihat bahawa
pengurus melibatkan pengurusan dan penyelesaian masalah dalam setiap
bahagian organisasi. Setiap tindakan yang dilakukan oleh satu bahagian
akan memberi kesan kepada bahagian lain dalam organisasi. Dalam hal
ini tidak ada bahagian yang wujud secara tersendiri dan terpisah dari

56
bahagian lain. Oleh itu, untuk menyelesaikan sesuatu masalah organisasi,
pengurus harus melihat organisasi sebagai sesuatu yang dinamik secara
keseluruhan. Mereka juga harus mengkaji bagaimana setiap bahagian
berfungsi dan kesan setiap keputusan yang diambil ke atas bahagian lain
organisasi.

2.7.1 Sistem Tertutup

Didefinisikan sebagai sistem yang tidak dipengaruhi oleh/dan tidak


berinteraksi dengan persekitarannya. Sistem ini kebanyakannya bersifat
mekanikal dan mempunyai pergerakan atau aktiviti yang telah ditentukan.
Sistem tertutup perlu dilaksanakan tanpa memberi pertimbangan kepada
persekitaran. Sebuah jam merupakan satu contoh terbaik sistem tertutup.
Pergerakkan sebuah jam tidak dipengaruhi oleh persekitarannya. Ia
berfungsi berdasarkan sistemnya tersendiri yang sedia wujud.

2.7.2 Sistem Terbuka

Sistem terbuka merupakan sistem yang dipengaruhi oleh/dan sentiasa


berinteraksi dengan persekitarannya.

2.7.3 Sistem Pengurusan

Sistem pengurusan boleh juga dikategorikan sebagai suatu sistem


terbuka. Bahagian utamanya terdiri daripada input organisasi, proses
organisasi dan ouput organisasi. Bahagian ini mengandungi sumber
organisasi (manusia, wang, bahan mentah, dan modal), proses
pengeluaran dan produk akhir (barangan dan perkhidmatan). Bahagian
ini digabungkan bagi mencapai matlamat organisasi. Pendekatan sistem
pengurusan melihat organisasi sebagai berinteraksi dengan persekitaran
luaran organisasi. Faktor persekitaran yang melibatkan sistem pengurusan
berinteraksi termasuklah pihak kerajaan, pembekal, pelanggan, dan
pesaing. Setiap faktor ini mempunyai potensi untuk mempengaruhi
persekitaran dan mampu mengubah secara signifikan masa depan sistem
pengurusan. Mengikut pendekatan sistem pengurusan, kecekapan
sesebuah organisasi bergantung kepada interaksi organisasi dengan
persekitarannya.

57
Apakah yang anda fahami dengan Rajah 2.1? Jelaskan
kefahaman anda berdasarkan kepada pemikiran sistem
pengurusan.

Rajah 2.1
Sistem Pengurusan dan Persekitaran

INPUT

pelanggan kerajaan
PROSES

pesaing OUTPUT pembekal

PERSEKITARAN

2.8 PENGARUH KONTEMPORARI KE ATAS


PERKEMBANGAN PENGURUSAN

Kita telah membincangkan tentang beberapa orang pelopor dan pemikir


pengurusan yang telah memberi kefahaman terhadap konsep, teori dan
prinsip pengurusan di sekitar abad ke-20. Terdapat antara sumbangan
mereka ini masih lagi menjadi rujukan kepada pengurus pada hari ini.
Kini muncul beberapa orang ahli falsafah dan penganjur amalan
pengurusan yang mewarnai dan membentuk amalan pengurusan
kontemporari.

2.8.1 Tom Peters: Syarikat yang Cemerlang

Tom Peters, seorang perunding pengurusan bagi McKinsey & Company


telah menghasilkan beberapa buah buku berkaitan dengan pengurusan.
Antara yang terkenal dan terlaris jualannya ialah In Search of Excellence
yang ditulis bersama Robert Waterman, A Passion of Excellence, Triving on
Choas: Handbook for Management Revolution, dan Liberation Management. Tom
Peters telah mengenal pasti sembilan aspek yang membolehkan syarikat
diurus dengan cemerlang.

58
(a) Mengurus Kekaburan dan Paradoks

Ketidakpastian merupakan aspek yang sentiasa wujud dalam perniagaan.


Iklim perniagaan selalunya tidak menentu dan kabur. Oleh itu, pengurus
harus sentiasa mengurus organisasi perniagaan yang sentiasa berhadapan
dengan keadaan ketidaktentuan dan kekaburan.

(b) Kecondongan Tindakan

Syarikat perlu berani mencuba tanpa rasa khuatir terhadap kegagalan.

(c) Hampir kepada Pelanggan

Syarikat yang cemerlang mempunyai perasaan yang luar biasa terhadap


apa yang dikehendaki oleh pelanggan mereka. Hal ini disebabkan mereka
adalah pelanggan kepada produk mereka sendiri atau terlalu mendekati
pelanggan mereka.

(d) Autonomi dan Keusahawanan

Pemilikan ke atas jabatan, tugas atau masalah adalah sesuatu yang penting
dalam memotivasikan kakitangan kerana aspek ini menggalakkan
pengurus seperti bekerja sendiri. Syarikat yang cemerlang sentiasa
membenar dan menggalakkan amalan bersifat autonomi dan
keusahawanan di kalangan kakitangan mereka.

(e) Produktiviti Melalui Manusia

Manusia biasanya bertindak selaras dengan layanan yang diterima mereka.


Syarikat yang cemerlang selalunya meletakkan kepercayaan ke atas
kakitangan mereka untuk melakukan perkara-perkara yang betul.

(f) Berpegang kepada Penggerak Nilai

Amalan pengurusan perlu meliputi keseluruhan aspek dan bahagian


dalam organisasi. Pengurusan perlu menambah nilai terhadap setiap
proses dan prosedur.

(g) Kekal kepada Industri Asal

Pengurusan atau pemilik perlu mengekalkan perniagaan dalam industri


asal yang mula diceburi. Kemahiran dan budaya industri yang berbeza
mungkin memberi kejutan kepada organisasi.

59
(h) Bentuk Ringkas Pergantungan Terhadap Kakitangan

Organisasi yang mempunyai lapisan pengurusan yang sedikit yang tidak


dibebani oleh ibu pejabat mencirikan syarikat yang cemerlang.

(i) Pemilikan yang Ketat-Kendur

Pengurusan sesebuah organisasi perniagaan perlu mengekalkan kawalan


yang ketat, tetapi pada masa yang sama membenarkan kakitangan untuk
menjadi lebih fleksibel dalam tindakan mereka.

2.8.2 William Ouchi: Teori Z

Teori Z merupakan teori pengurusan yang diperkenalkan oleh William


Ouchi. Teori ini merupakan penggabungan amalan pengurusan cara
Amerika dan Jepun. Teori Z ini mengandungi sifat tanggungjawab
individu gaya pengurusan Amerika dan penekanan Jepun yang unik
seperti pengaruh pembuatan keputusan kumpulan. Pendekatan Teori Z
adalah tidak bersesuaian untuk setiap situasi, tetapi teori ini memberi
galakan kepada pengurus untuk mempertimbangkan penggabungan
falsafah, kaedah, dan alat pengurusan bagi mencipta organisasi yang lebih
berkesan.

(a) Ciri-ciri organisasi jenis Z

Kita boleh melihat bahawa Teori Z yang diperkenalkan oleh William


Ouchi mempunyai beberapa ciri khusus seperti pekerjaan jangka panjang,
membuat keputusan kumpulan, tanggungjawab individu, penilaian dan
kenaikan pangkat yang lambat, kawalan tidak formal yang tersirat,
pengukuran rasmi yang jelas, laluan kerjaya yang sederhana
pengkhususannya, dan tumpuan terhadap kakitangan dan keluarga.

2.8.3 Michael Porter: Kelebihan Persaingan

Michael Porter, profesor organisasi industri dari Sekolah Perniagaan


Harvard dan seorang perunding merupakan sarjana kontemporari
pertama yang mengaplikasikan pemikiran ekonomi terhadap masalah
pengurusan. Kita boleh melihat bagaimana Porter menghuraikan strategi
korporat dalam terma pasaran yang bersaing. Dalam hal ini, Porter telah
mengenal pasti empat strategi yang generik, iaitu kepimpinan kos,
perbezaan, kos fokus, dan perbezaan terfokus. Menurut Porter,
kelebihan persaingan boleh diperolehi melalui kos yang rendah dan
perbezaan yang wujud.

60
(a) Kepimpinan Kos

Kepimpinan kos adalah strategi yang mempastikan pengekalan kos dan


harga produk lebih rendah daripada para pesaing.

(b) Perbezaan

Perbezaan adalah merujuk kepada keupayaan untuk menyediakan nilai


yang unik dan tinggi kepada pelanggan dalam terma kualiti produk, sifat
istimewa produk, dan perkhidmatan selepas jualan. Dengan kata lain,
perbezaan merupakan suatu strategi yang berusaha untuk memperbaiki
kedudukan persaingan sesebuah firma melalui pembentukan produk yang
unik.

(c) Kos Fokus

Kos fokus merupakan sasaran yang memberi penekanan ke atas


pencapaian kelebihan persaingan melalui kawalan ke atas kos dalam
sesuatu pasaran kecil tertentu.

(d) Perbezaan Terfokus

Perbezaan terfokus merupakan strategi yang melibatkan penyediaan


produk dan/atau perkhidmatan yang unik dan berdaya saing bagi sesuatu
pasaran kecil tertentu.

Pendekatan Porter adalah sesuatu yang penuh pengertian dan proaktif.


Porter merumuskan bahawa fokus analitikal adalah terbaik dalam
menerangkan prestasi ekonomi dan bukanlah firma individu atau kuasa
atau tekanan ekonomi mikro. Porter mencadangkan bahawa penjelasan
mengenai prestasi boleh diperolehi melalui kajian mengapa bangsa
tertentu berjaya dalam industri tertentu.

2.9 RUMUSAN

Dalam Bab 2 ini kita telah membincangkan lima jenis pendekatan yang
berbeza bagi menangani situasi pengurusan dan menyelesaikan beberapa
masalah organisasi. Pendekatan pertama yang telah kita bincangkan ialah
pendekatan klasikal. Pendekatan klasikal ini boleh dikategorikan kepada
pendekatan pengurusan saintifik dan teori organisasi klasikal. Di antara
penyumbang utama pendekatan pengurusan saintifik ialah Frederick W.
Taylor, Frank dan Lilian Gilbreth, dan Henry Gantt. Manakala

61
penyumbang utama teori organisasi klasikal ialah Henri Fayol, Chester I.
Bernard, dan Max Weber. Pendekatan klasikal adalah berdasarkan kepada
usaha mencari satu cara terbaik bagi menyelesaikan masalah pengurusan.

Pendekatan kedua yang kita telah bincangkan ialah pendekatan tingkah


laku. Pendekatan tingkah laku muncul akibat kurangnya penekanan ke
atas faktor manusia bagi menyelesaikan masalah organisasi dalam
pendekatan klasikal. Pendekatan tingkah laku terbentuk hasil daripada
kajian Hawthorne. Pendekatan tingkah laku terbahagi kepada pendekatan
sains tingkah laku dan pendekatan pergerakan hubungan manusia.

Pendekatan ketiga yang kita telah bincangkan ialah pendekatan sains


pengurusan. Pendekatan ini melibatkan penggunaan kaedah saintifik
serta teknik matematik dan statistik bagi menyelesaikan masalah operasi.
Pendekatan ini bermula semasa Perang Dunia Kedua, dan kini ia lebih
meluas digunakan oleh organisasi yang besar dan lebih kompleks.

Pendekatan keempat, iaitu pendekatan kontingensi menekankan tindakan


pengurus bagi menyelesaikan masalah pengurusan adalah bergantung
kepada situasi semasa yang dihadapi oleh mereka. Pendekatan
kontingensi mengandaikan bahawa tidak terdapat satu cara terbaik bagi
menyelesaikan sesuatu masalah pengurusan untuk semua situasi dalam
organisasi. Bagaimanapun, pendekatan ini masih mengandaikan bahawa
berkemungkinan terdapat satu cara terbaik bagi menyelesaikan sesuatu
masalah pengurusan dalam satu situasi yang khusus.

Pendekatan terakhir yang kita telah bincangkan ialah pendekatan sistem.


Pendekatan ini adalah berdasarkan kepada teori bahawa untuk
memahami sepenuhnya operasi sesuatu entiti, entiti tersebut perlu dilihat
sebagai satu sistem. Di samping pendekatan di atas, kita juga telah
membincangkan beberapa sumbangan terkini yang mempengaruhi
bidang pengurusan masa kini. Faktor pengaruh kontemporari berguna
bagi menangani situasi pengurusan dan menyelesaikan beberapa masalah
organisasi. Pengaruh kontemporari ini muncul hasil daripada usaha untuk
membolehkan sesebuah organisasi menjadi cemerlang dan berkualiti.
Usaha ini adalah bag memastikan organisasi tersebut dapat terus wujud
dan bersaing dalam persaingan global.

Berdasarkan kepada kefahaman anda, cuba anda


bandingkan proses membentuk struktur dan carta
organisasi jabatan di tempat kerja anda dengan teori
pengurusan yang anda pelajari dalam bab ini.

62
SOALAN PENILAIAN KENDIRI

Soalan Objektif

1. _____________ terhadap pengurusan menekankan kecekapan


organisasi untuk meningkatkan kejayaan organisasi.

A. Pendekatan klasikal.
B. Pendekatan sains tingkah laku.
C. Pendekatan sistem pengurusan.
D. Pendekatan sains pengurusan.

2. Proses untuk mendapatkan satu cara terbaik untuk


melaksanakan satu tugas dimajukan dalam.

A. Teori organisasi klasikal.


B. Konsep keseluruhan.
C. Pendekatan sains pengurusan.
D. Pengurusan saintifik.

3. Kajian Hawthorne adalah pemangkin kepada teori pengurusan


yang dikenali sebagai.

A. Pendekatan pengurusan kontigensi.


B. Pendekatan tingkah laku.
C. Pendekatan klasikal.
D. Pendekatan sains pengurusan.

Soalan Esei

1. Berdasarkan kepada kefahaman anda, bincangkan secara ringkas


perbezaan utama di antara pendekatan sains tingkah laku dengan
pendekatan pergerakan hubungan manusia.

2. Berdasarkan kepada kefahaman anda, jelaskan secara ringkas


bagaimana pendekatan sains pengurusan muncul dalam
pemikiran pengurusan moden.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

63
JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 2.1

Pendekatan pengurusan saintifik merupakan bidang yang memberi


perhatian terhadap satu cara terbaik bagi melaksanakan tanggungjawab
pengurusan. Ia menekankan kajian saintifik atau penggunaan sains bagi
menentukan perubahan dalam amalan pengurusan atau kaedah kerja
sebagai usaha memperbaiki kecekapan dan produktiviti pekerja. Ia
menyoal bagaimana suatu situasi tugas boleh distrukturkan untuk
memperolehi tahap pengeluaran yang tinggi oleh pekerja organisasi. Ia
juga menekankan tentang pengkhususan kerja sebagai cara untuk
mengatasi masalah kekurangan dalam penawaran tenaga buruh. Ini
membolehkan buruh digunakan dengan lebih cekap. Manakala teori
organisasi klasikal menfokus kepada masalah yang dihadapi oleh pihak
pengurusan atasan sesebuah organisasi. Jika dalam pendekatan
pengurusan saintifik teori memfokus kepada pengurusan kerja,
pendekatan teori organisasi klasikal pula menfokus kepada pengurusan
organisasi. Oleh itu, teori organisasi klasikal melibatkan kajian tentang
fungsi pengurusan sebagai suatu keseluruhan dan ia menumpukan
kepada prestasi pengurusan. Teori organisasi klasikal mempunyai dua
tujuan utama, iaitu membentuk prinsip asas yang boleh menjadi panduan
kepada pembentukan reka bentuk dan pembangunan organisasi yang
besar, dan mengenal pasti fungsi asas organisasi.

SDT 2.2

Lima fungsi asas pengurusan yang telah diperkenalkan oleh Henri Fayol
ialah perancangan, pengorganisasian, pengarahan, penyelarasan, dan
pengawalan. Elemen-elemen pengurusan ini masih dianggap bernilai
dalam membuat kajian, analisa dan kesan proses pengurusan.

SDT 2.3

Teori struktur autoriti Max Weber menekankan keperluan sistem


birokrasi dalam organisasi. Birokrasi merupakan sistem pengurusan
formal yang dicirikan oleh peraturan dan undang-undang, garis hierarki
organisasi yang jelas dan hubungan bukan peribadi di kalangan ahli
organisasi. Dalam teori struktur autoriti ini, Weber telah mewujudkan
jurang antara kuasa dan autoriti. Mengikut Weber, kuasa adalah
keupayaan untuk memaksa orang lain mengikut arahan, dan autoriti
merupakan keupayaan untuk memberi arahan yang akan diikuti secara
sukarela oleh penerimanya. Mengikut teori struktur autoriti ini,
kakitangan melihat pengeluaran arahan oleh mereka yang mempunyai
64
autoriti sebagai suatu yang sah dan normal. Mengikut Weber,
pelaksanaan autoriti adalah melalui pengalaman lepas dan penggunaan
autoriti. Organisasi yang birokratik dianggap sebagai sebuah institusi
yang dominan dalam masyarakat dan paling cekap. Weber percaya
bahawa ketepatan, kecepatan, kesinambungan, kejelasan, bersatu-padu,
dan kakitangan yang tegas adalah hasil daripada penyusunan birokratik
yang baik.

SDT 2.4

Empat ciri utama aplikasi sains pengurusan

(i) Kajian terhadap masalah pengurusan adalah terlalu rumit dan


kompleks. Pengurus memerlukan bantuan dalam menganalisis
pembolehubah yang agak terlalu banyak. Oleh itu, mereka boleh
menggunakan teknik sains pengurusan untuk meningkatkan
keberkesanan proses membuat keputusan dalam situasi seperti
ini.
(ii) Aplikasi sains pengurusan secara umumnya menggunakan
implikasi ekonomi sebagai garis panduan bagi membuat
keputusan. Oleh itu, teknik sains pengurusan berkemungkinan
sesuai untuk digunakan bagi menganalisis faktor seperti jualan,
perbelanjaan dan unit pengeluaran.
(iii) Penggunaan model matematik bagi menyelidiki situasi
keputusan adalah penting dalam aplikasi sains pengurusan.
(iv) Komputer dan analisis matematik boleh digunakan untuk
menyelesaikan masalah pengurusan yang kompleks.

65

Anda mungkin juga menyukai