Anda di halaman 1dari 5

KEBENARAN MERANCANG

Apa itu Kebenaran Merancang?

Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172), apabila seseorang itu
ingin menjalankan apa-apa pemajuan, ia perlu memperolehi kebenaran merancang
dari pihak Berkuasa Perancangan Tempatan, di dalam kes kawasan pulau iaitu dari
MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG. Kebenaran merancang memberi seseorang
itu kebenaran dari Pihak Berkuasa Tempatan yang bertindak sebagai pihak berkuasa
kawalan pemajuan, untuk menjalankan sesuatu pemajuan mengikut pelan dan syarat-
syarat kebenaran yang akan menentukan, di antara lain, cadangan penjajaran, lebar
dan aras jalan-jalan dan lorong-lorong belakang, cadangan ketinggian, reka bentuk,
size, kegunaan bangunan, anjakan bangunan, ketumpatan / nisbah plot unit
kediaman dan perdagangan atau lain-lain bangunan. Lain-lain cadangan kegunaan
tanah, dan peruntukan-peruntukan utiliti kawasan lapang rekreasi, pusat komuniti,
sekolah dan lain-lain kemudahan yang mana perlu, dan lain-lain syarat untuk
pembangunan yang teratur.

Mengapa Kebenaran Merancang Diperlukan?

Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172),

Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan adalah diberikuasa untuk bertanggungjawab


dalam mengatur, mengawal dan merancang pemajuan serta penggunaan semua
tanah dan bangunan yang terletak di dalam kawasan bidang kuasanya. Ini adalah
untuk memastikan supaya semua pemajuan dan penggunaan tanah oleh seseorang
individu dan pemaju-pemaju akan dijalankan dalam keadaan yang teratur dan tidak
menyebabkan masalah pencemaran dan kacauganggu, kesesakan lalulintas dan
tambahan beban infrastruktur, kehilangan nilai/ ameniti, banjir dan lain-lain kesan
yang tidak diingini kepada kejiranan dan persekitaran, dan juga memastikan
pemajuan baru adalah pada sesuatu tahap yang baik untuk didiami. Sebelum
pemberian kebenaran merancang kepada sesuatu cadangan pemajuan, Pihak
Berkuasa Perancangan Tempatan harus mengambilkira semua perkara yang perlu
untuk perancangan yang berkesan. Ini adalah untuk memastikan cadangan pemajuan
tidak menyebabkan masalah persekitaran yang tidak diingini, termasuk kesan sosial
dan ekonomi, seterusnya mematuhi piawaian dan garispanduan perancangan.
Khususnya Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan perlu mengambilkira peruntukan-
peruntukan Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan-Rancangan Tempatan yang
telah disediakan, sedang disediakan atau akan disediakan (Seksyen 22), Pihak
Berkuasa Perancangan Tempatan perlu juga menyemak agar cadangan pemajuan
mempunyai akses yang baik dan mematuhi semua syarat dan batasan hakmilik tanah,
begitu juga dengan lain-lain kehendak perundangan.

Bila Kebenaran Merancang Diperlukan?

Anda perlu memohon dan diberi kebenaran merancang dari Pihak Berkuasa
Perancangan Tempatan sebelum anda boleh menjalankan apa-apa "pemajuan".
Definasi "pemajuan" mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa adalah luas dan
meliputi:-
1. Perobohan bangunan
2. Pembinaan bangunan
3. Pindaan besar terhadap bangunan
4. Perubahan matan dalam penggunaan tanah atau bangunan
5. Kerja-kerja kejuruteraan, termasuk pembentukan tanah dan pembinaan jalan
6. Kerja-kerja perlombongan
7. Kerja-kerja perindustrian
8. Memecah sempadan dan pencantuman tanah

Dalam kes-kes tertentu, mungkin tidak begitu jelas dan anda adalah dinasihat
menghubungi Jabatan Perancangan Bandar dan Pembangunan, Majlis Perbandaran
Pulau Pinang sebelum menjalankan apa-apa pemajuan/perubahan matan.

Bagaimana Untuk Mendapatkan Kebenaran Merancang?


Anda perlu kemukakan permohonan kebenaran merancang mengikut cara yang
ditentukan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, Kaedah-kaedah
Pengawalan Perancangan (Am), 1995, yang mana perlu disertakan bersama-sama
dengan:-
1. 2 salinan Borang A
2. Yuran Permohonan
3. Pelan Tapak (8 salinan untuk kawasan Bandar, 12 salinan untuk kawasan luar bandar
atau 15 salinan untuk kawasan luar bandar yang berhadapan dengan Jalan
Persekutuan)
4. Dokumen hakmilik tanah yang sah (IR/QT/FT)
5. Resit Hasil Tanah
6. Satu set borang JPB/KP (6 borang)
7. Dokumen hakmilik tanah/alamat pemilik-pemilik tanah yang bersempadan
8. 10 salinan Laporan Cadangan Pemajuan (LCP)
9. 2 salinan pelan akuan ukur (Certified print)
10. Borang Komputer 'Plan Tracking System'

Permohonan hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perancangan Bandar dan


Pembangunan, Tingkat 16, KOMTAR, yang akan membantu anda sekiranya anda
mempunyai apa-apa pertanyaan. Anda akan diberitahu tentang pindaan/pembetulan
(jika ada) yang perlu dibuat terhadap dokumen dan pelan sebelum permohonan anda
dibentangkan untuk pertimbangan.

Jika permohonan tidak dikembalikan dengan segala pembetulan yang diperlukan


dalam tempoh 1 bulan, ia adalah dianggap sebagai ditarikbalik. Sebelum permohonan
dibentangkan kepada jawatankuasa untuk dipertimbangkan permohonan tersebut
akan dirujuk kepada tuanpunya-tuanpunya lot bersempadan untuk memaklumkan
cadangan pemajuan dan memberi peluang membuat bantahan keatas pembangunan
tersebut, sekiranya ada bantahan ianya akan didengari oleh Jawatankuasa
Pendengaran Bantahan untuk membuat keputusan. Setelah permohonan anda
diluluskan maka anda akan diberi Kebenaran Merancang melalui Borang C1.
Mengapa Ejen Diperlukan?

Anda dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat daripada seseorang ejen yang


biasanya merupakan seorang jururancang bandar atau akitek untuk mengemukakan
permohonan kebenaran merancang. Ejen anda harus mampu menasihat anda bukan
sahaja dari segi proses permohonan kebenaran merancang, tetapi yang lebih penting
adalah dari segi pemilihan pelbagai alternatif pemajuan tanah dan membolehkan
anda membuat keputusan ke atas alternatif yang paling baik serta membantu anda
dalam memastikan semua kelulusan yang diperlukan di bawah peruntukan undang-
undang yang lain seperti Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Balik Tanah, Akta
Jalan, Parit dan Bangunan dan Akta Alam Sekeliling serta pelbagai undang-undang
kecil yang lain boleh diperolehi tanpa apa-apa halangan sebelum anda memulakan
pemajuan.

KEBENARAN MERANCANG
Berapa Lamakah Tempoh Sah Kebenaran Merancang?

Suatu kebenaran merancang, jika tidak dilanjutkan, akan luput dalam tempoh 12
bulan, sekiranya dalam masa tersebut, pemajuan masih belum dimulakan (Seksyen
2A(1)). Walau bagaimanapun, anda boleh mendapatkan perlanjutan atau perlanjutan
tambahan kepada kebenaran merancang dengan mengemukakan permohonan
perlanjutan melalui Borang B sebelum luputnya kebenaran merancang.

Apa Yang Harus Dibuat Selepas Memperolehi Kebenaran Merancang?

1. Anda tidak boleh memulakan pemajuan dengan serta-merta selepas mendapatkan


kebenaran merancang, kerana anda masih memerlukan kelulusan-kelulusan yang lain
seperti:- Pelan jalan dan parit untuk pembinaan jalan dan parit
2. Pelan bangunan dan permit untuk memulakan kerja pembinaan dan bangunan
dibawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan
3. Pelan Pecah Sempadan
4. Pelan kerja tanah
5. Pelan Pembetungan
6. Pelan Lanskap
7. Lesen untuk perindustrian, perdagangan, pertubuhan makanan dan lain-lain untuk
memulakan aktiviti
Anda harus menghubungi ejen anda untuk perkara-perkara tersebut.

Apakah Denda Yang Dikenakan Bagi Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang?

Kamu boleh didenda sehingga RM100,000.00 sekiranya disabitkan kesalahan oleh


mahkamah, dan sekiranya kesalahan itu diteruskan, denda tambahan sehingga
RM1,000.00 setiap hari berikutnya akan dikenakan. Kamu juga mungkin diminta untuk
memulihkan tanah sejauh yang boleh untuk kembali kepada asal sebelum pemajuan.
Bagi mendapat maklumat dan penerangan yang lebih jelas anda boleh
menghubungi:-

Jabatan Perancangan Pembangunan,


Majlis Perbandaran Pulau Pinang
Tingkat 16, Kompleks Tun Abdul Razak,
10675 Pulau Pinang
Tel: 04 - 2592020

Anda mungkin juga menyukai