Anda di halaman 1dari 2

PROSA TRADISIONAL - Kepimpinan Melalui Teladan

SINOPSIS

Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada (panglima perang Majapahit )
mendapat khabar sedih tentang kematian tujuh orang penjurit (tentera) baginda yang telah
dibunuh oleh Laksamana di Bukit Cina, Melaka. Ketujuh-tujuh penjurit tersebut bersaudara.
Oleh itu, mereka berbincang untuk menewaskan Melaka. Patih Gajah Mada merancang untuk
mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan Laksamananya. Kertala Sari
bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian
ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka. Patih Gajah membawa Kertala Sari
mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat
handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri menyebabkan Seri
Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan
Laksamana Melaka serta menjanjikan jawatan penggawa agung (ketua kampung)
kepadanya. Kertala Sari yang bersemangat waja bersedia menjunjung perintah Seri Betara.
Kertala Sari telah belayar ke Melaka bersama dengan sepuluh orang pengikutnya. Kertala Sari
menyamar sebagai orang Jawa untuk bersama dengan penduduk kampung yang berketurunan
Jawa di Melaka. Kertala Sari telah menyamar sebagai orang Patih Kerma Wijaya (pembesar /
menteri kerajaan Melaka yang berketurunan Jawa). Dia berjaya mengecam Laksamana
yang telah membunuh bapanya.

Di Melaka Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta
mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka
dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya berkawal bagi menjaga keselamatan dan
mengawal keadaan negeri Melaka daripada kejadian kecurian.. Hal ini kerana Kertala Sari
menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Pada malam yang
berikutnya, Kertala Sari menggunakan ilmu saktinya untuk menundukkan para pengawal yang
berkawal di rumah orang kaya itu. Habis harta benda orang kaya itu dicurinya dan isteri orang
kaya itu turut juga dicabul Kertala Sari. Sekali lagi, Sultan Melaka mengarahkan Temenggung
memperkukuh barisan pertahanan bagi mengawal negeri Melaka daripada ancaman pencuri.
Temenggung telah mengerahkan lima ratus orang pengawal menjaga negeri Melaka. Pada
malam berikutnya, rumah Bendahara pula dimasuki pencuri. Laksamana memberitahu Sultan
bahawa pencuri yang sedang mengganas di Melaka mempunyai kuasa sakti dan berasal dari
luar Melaka. Oleh itu, Laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana
kerana mengikut firasatnya Kertala Sari akan masuk ke istana pula.

Laksamana memasang lembing, tombak dan kayu di keliling istana Sultan Melaka.
Laksamana cuba mengalihkan perhatian Kertala Sari agar tidak memasuki istana dengan tipu
muslihat itu. Pada waktu malam, Laksamana memakai pakaian serba hitam dan dia ternampak
Kertala Sari cuba memasuki istana Sultan Melaka. Laksamana menyembunyikan dirinya
untuk melihat perkembangan penjahat itu. Kertala Sari cuba masuk istana itu untuk mencuri
dan mengganggu isteri Sultan yang muda-muda itu. Ketika dia sampai di istana, dia terdengar
bunyi senjata dan kayu yang dipalu dengan begitu bising. Kertala Sari tidak jadi masuk ke
istana Sultan Melaka. Kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh Laksamana
berjaya mengagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta Sultan,membakar dan
mengamuk serta mengambil isteri-isteri Sultan.

Akhirnya, Kertala Sari berjaya dibunuh oleh Laksamana di tengah pasar, manakala
kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti Laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari
telah dikerat-kerat anggota badanya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk
dibuktikan kepada Sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun,
Laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada Sultan bahawa beliaulah yang
telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda Sultan telah memberi anugerah kepada
Laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari

Sultan Melaka menitahkan Bentara Tun Kasturi mengerahkan rakyat untuk


mendapatkan semula harta yang dicuri dan disembunyikan oleh Kertala Sari di Bukit Cina.
Sultan Melaka mengagaihkan segala harta yang diperoleh semula itu kepada tiga bahagian,
iaitu dua bahagian diberikan kepada Laksamana dan satu bahagian diserahkan kepada
pemilik asal harta yang berkenaan. Semua rakyat bersetuju dengan cadangan Sultan itu.
Laksamana telah mengagihkan pula separuh harta yang diterimanya itu kepada tiga bahagian.
Namun begitu, barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh Laksamana kepada
fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun dari harta tersebut.
Negeri Melaka kembali aman dan sentosa selepas Kertala Sari berjaya dibunuh. Sementara
itu, Patih Gajah Mada mendapat berita tentang kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh
Laksamana di Melaka. Patih Gajah Mada berusaha sedaya upaya mencari hulubalang yang
mampu membunuh Laksamana dan menawan negeri Melaka.

Anda mungkin juga menyukai